Oleh : Imran Haaz/M.I.A. Penulisan ini bermula dengan dialog dengan beberapa orang sahabat di facebook. Lalu saya jadikan ia sebagai sebuah artikel. Ia mengenai lirik sebuah lagu lama. Mungkin sama atau lebih tua dari mereka-mereka yang paling tua yang masih hidup. Jika
dilayan sebagai hiburan, hati terhibur. Jika dilayan pada kata yang indah, hati
teruja. Dan jika diberikan perhatian kepada apa yang disampaikan, ia merupakan
satu teguran kepada bentuk kemandulan pemikiran Melayu Muslim yang tertipu dengan keindahan sementara yang
dikejar. Begitulah lirik Ikan di laut, Asam di darat. Saya merujuk versi
dendangan A. Halim dan Norlela Nasir. Liriknya seperti di bawah dan
lagunya di dalam pautan yang dimuatkan.
Kalau menyanyi perlahan-lahan,
Di bawa angin terdengar jauh,
Kalau menyanyi perlahan-lahan,
Di bawa angin terdengar jauh,
Kalau hati tidak tertahan,
Di dalam air badan berpeluh,
Kalau hati tidak tertahan,
Di dalam air badan berpeluh,
Bunga melati di dalam taman,
Daun yang hijau banyak yang gugur,
Bunga melati di dalam taman,
Daun yang hijau banyak yang gugur,
Kalau turut makrifat iman,
Minyak dan air mungkin bercantum,
Kalau turut makrifat iman,
Tidakkan air mungkin bercantum,
Kalau takut dilambung ombak,
Jangan berumah di tepi pantai,
Ikan di laut asam di darat,
Dalam periuk bikin mufakat,
Dalam periuk bikin mufakat,
Dikatakan
ianya merujuk lagu yang sudah didendangkan sejak lama dahulu. Kali pertama
direkodkan ialah di dalam filem Dewi Murni 1950. Yang mendendangkannya ialah
Allahyarham R. Azmi dan Allahyarhamah Rubiah dengan tajuk Jodoh. Liriknya tidak
banyak berbeza dengan versi A. Halim dan Norlela Nasir.
Kenapa versi A. Halim dan Norlela Nasir? Pada
mulanya tiada alasan spesifik melainkan mungkin kerana saya menyukai filem Pulp
Fiction dan beberapa filem Quentin Tarantino terutamanya Kill Bill 1 & 2.
Apa pula kena mengena Quentin Tarantino dengan lagu ini? Ia tiada kena mengena
sebenarnya. Tetapi feel kepada lagu
ini mengingatkan saya kepada feel
menonton filem-filem tersebut, kerana kebanyakan runut bunyi di dalam
ketiga-tiga filem tersebut menggunakan lagu Surf
dan Swing.
Tetapi setelah mendengarnya berkali-kali, ia
menjentik pemikiran saya mengenai sesuatu. Boleh jadi terdapat sesuatu yang
cuba disampaikan penulis lirik asal lagu tersebut. Di dalam era penjajahan dan
Melayu Muslim diselubungi pemikiran kolot, seakan terdapat satu keperluan bagi
baki orang Melayu yang masih mempunyai sisa rasional di dalam pemikiran mereka untuk
membuat teguran supaya bangsa ini segera bangkit.
Fenomena teguran kepada kolotnya pemikiran
Melayu pada ketika itu bukan hanya menjadi sebutan golongan yang terdorong
dengan potif politik dan kuasa, malah ianya turut didorong oleh gerakan yang
dijalankan guru-guru agama yang mengasaskan pondok-pondok pengajian di serata
pelusuk Nusantara.
Antara yang terkenal lantang menegur masalah
kolotnya pemikiran orang-orang Melayu ketika itu ialah Tok Kenali. Beliau yang
dikenali kerana ketokohannya yang hebat. Pemikiran Tok Kenali mendahului zaman,
tetapi malang sekali cerita dari mulut ke mulut yang gemar disampaikan mengenai
beliau sentiasa disalutgulakan dengan elemen mistik bagi membangkitkan rasa
kagum kepada orang-orang Melayu terhadapnya. Orang-orang Melayu tidak akan
memandang kepada awan sebagai sebuah kehebatan ciptaan Allah melainkan
sekiranya terdapat kalimah namaNya terpahat di situ. Orang Melayu tidak akan
memandang ibadah solat sebagai satu rutin aturan hidup seorang manusia yang
sangat hebat melainkan apabila sejadah yang digunakan ‘bangun duduk dengan
sendirinya’. Ini satu penyakit. Itulah
juga yang menjadi masalah rasukan yang menghantui pemikiran Melayu setelah
mereka lama terjajah. Melayu asalnya tidak sedemikian rupa pemikiran mereka
sebelum mereka berpecah lalu terjajah oleh Portugis. Pemikiran mereka hebat dan
mendahului zaman. Tetapi semua itu berubah apabila mereka terlalu lama dijajah.
Tok Kenali tidak senang dengan masalah kolotnya
pemikiran orang-orang Melayu ini. Dari masa ke semasa beliau menegur dengan
lantang tentang masalah pemikiran orang-orang Melayu. Tercata di dalam kompilasi buku Tamadun
Melayu jilid 5, yang mengisahkan mengenai gaya pemikiran Tok Kenali. Tok Kenali
yang dicemari kisahnya dengan elemen mistik dan mengarut oleh tradisi lisan,
tetapi di dalam buku ini, mengisahkan gaya berfikir seorang pejuang bangsa yang
tahu berpijak di bumi yang nyata. Satu pernyataan bertulis yang ditulis oleh
Tok Kenali yang masih kekal menjadi pemangkin kepada cara saya berfikir
sehingga ke hari ini ialah seperti berikut:
Maka
seyogialah bagi tiap-tiap yang berakal itu bahawa mengedarkan tapaknya ke medan
ketinggian yang bersetuju dengan adab agama dan berkenan pula dengan adat yang
terutama, tiadalah kelebihan seseorang itu dengan perasaan dirinya sahaja,
melainkan apabila menyaksikan yang demikian itu oleh segala mata yang melihat
dan segala telinga yang mendengar seperti menyaksi kita bagi perbuatan orang
yang dahulu dan sekarang... maka menunjukkan bahawa kita daripada orang yang
tiada beramal dengan amalan yang mendatangkan manfaat bagi jenis bangsa dan
kaum, padahal jika tilikan orang yang dahulu dan yang sekarang yang boleh
menjalankan kehidupan yang tinggi dan perintah yang bergoncang laut dan darat
tiadalah pada mereka itu satu tulang dan urat yang terlebih dari kita. 1
Di dalam tulisan beliau seperti yang dipetik di
atas, Tok Kenali mengajak bangsanya ini bangkit belajar dari tamadun
orang-orang yang hebat tanpa merasa rendah diri akan keupayaan sendiri.
Kenyataannya pada bait ini ‘padahal jika
tilikan orang yang dahulu dan yang sekarang yang boleh menjalankan kehidupan
yang tinggi dan perintah yang bergoncang laut dan darat tiadalah pada mereka itu satu tulang dan urat yang terlebih dari kita.’
Tiada apa yang lebih ada pada Yahudi dan bangsa
Eropah melainkan tetap mempunyai bilangan urat dan tulang yang sama dengan apa
yang ada pada diri kita. Malang sekali kita terperangkap di dalam
ketidakupayaan yang berpunca dari kelemahan pemikiran kita sendiri. Walaupun
telah merdeka kita masih lagi terbelenggu dengan keupayaan yang terpenjara oleh
kekolotan pemikiran kita sendiri. Kita menjadi satu bangsa yang mudah
dimanipulasikan. Kita menjadi sebuah bangsa yang sanggup menjadi soldadu kepada
pihak yang mahu menggunakan kudrat dan keupayaan kita demi keuntungan jangka
panjang yang langsung tidak menguntungkan kelestarian kehidupan kita di bumi
Nusantara ini. Bumi anugerah Allah yang bakal terlepas pegangannya kerana ramai
di antara kita hanya wujud pada bilangan kiraan jasad, tetapi jasad itu bagai
jamadat kaku dan kejur yang tidak berupaya berfikir dengan waras lantas menjadi
mangsa manipulasi pihak yang berkepentingan.
Tidak terkecuali yang menyedari betapa bermasalahnya
pemikiran majoriti masyarakat kita pada ketika itu ialah golongan seniman. Seni
jika dipacu di dalam trajektori yang tidak menyimpang dari syariat, ianya boleh
memacu ummah sebagai pemangkin yang mempercepatkan pembebasan pemikiran
orang-orang kita.
Satu contoh yang ingin dibawakan ialah lirik
lagu Ikan Di Laut Asam Di Darat versi A. Halim dan Norlela Nasir. Lagu ini dilihat
sebagai merupakan satu gesaan, teguran dan tawaran. Liriknya telah diperbaiki
oleh mereka yang menerbitkannya kembali di dalam versi ini. Keseluruhan lirik jika
mahu dirangkumkan, ia membawa satu maksud yang mahukan mereka yang mendengarnya
memerdekakan pemikiran dari belengu limitasi indera. Frasa yang biasa digunakan
ialah Mind Over Matter. Jika kuasa
minda terlalu dididik untuk terkepung dengan keupayaan indera yang lima, maka
manusia tidak akan mencapai tingkat keupayaan kemajuan yang melampaui keupayaan
manusia-manusia yang terbatas. Manusia yang sentiasa beriman dengan frasa seeing is believing ialah golongan
manusia kolot yang terperangkap di dalam zaman jumud yang anti kepada kemajuan
yang melampaui kemampuan manusia.
Kalau
menyanyi perlahan-lahan, dibawa angin terdengar jauh.
Liriknya dimulakan dengan ayat ini. Ada yang
menganggapnya bait rangkap pantun cinta, mungkin boleh diiyakan jika
keseluruhan konteks lirik tidak diberikan perhatian. Pada pandangan saya yang
cuba menyelami apa yang disampaikan, ia merupakan satu mukaddimah nasihat
kepada yang bakal mendengar keseluruhan lagu ini.
Seolah ia menyatakan, untuk mengubah dasar
pemikiran umat Melayu ini, ia harus dilakukan dengan perlahan dan penuh
hati-hati. Tidak perlu terlalu berebut dengan cemas yang merosakkan. Jika
mahukan perubahan itu berlaku dengan sekelip mata, bukan itulah caranya untuk
berhadapan dengan umat yang darah keturunan mereka telah memeluk segala agama
dan meninggalkan segala-galanya yang mengarut setelah berjumpa dengan kebenaran
Islam. Hanya umat manusia yang maju di dalam keupayaan pemikiran menyambut
Islam dengan tangan terbuka tanpa berbantah pada kali pertama bertemu
dengannya. Hanya bangsa ini menerima Islam tanpa mempertikaikannya. Hanya
jauhari mengenal maknikam. Kebenaran yang dicari oleh manusia dengan asas
pemikiran yang sihat akan segera dikenalpasti kehebatannya sebaik bertemu.
Begitulah dengan Islam. Bangsa Arab sendiri memerangi Islam sebelum ego mereka
ditundukkan dengan kehebatannya. Tetapi perkara itu tidak berlaku dengan bangsa
Melayu. Tetapi amat malang apabila keupayaan pemikiran ini telah tertimbus di
dalam sela masa penjajahan yang terlalu lama.
Jadi sisa keupayaan pemikiran hebat ini perlu
digalikan kembali dari kubur kemandulan daya fikirnya. Ia perlu dilakukan
dengan segera tetapi tidak perlu dipecutkan dengan cemas. Segalanya perlu
dilakukan dengan penuh hati-hati. Prinsip mudah yang menulis kata-kata nasihat
ini ialah, kalau mahu mengambil tanggungjawab mengubah pemikiran bangsa ini,
hendaklah perlahan-lahan. Perubahan itu akan tetap berlaku jika diusahakan
dengan teliti. Bagai dibawa angin terdengar jauh, begitu jugalah usaha yang
dilakukan dengan penuh teliti ini. Allah akan mempermudahkan ia berkembang dan
kemudian tersebar luas gelombang perubahan pemikiran yang cuba disampaikan
melalui usaha tersebut.
Kalau hati
tidak tertahan, di dalam air badan berpeluh
Ada juga pantun rindu-rinduan yang menyambung
rangkap di atas, tetapi penulis lirik tersebut membuangnya dan perbuatan ini
dilihat seolah cuba menjauhkan keseluruhan penceritaan nasihat di dalam lagu
ini dari terkepung di dalam tema cinta yang menyesakkan.
Menyambung rangkap awal dengan nasihat bahawa gerakan
untuk mengubah gaya pemikiran Melayu perlu dilakukan dengan penuh strategi dan
berhati-hati, penulis lirik memasukkan nasihat tentang akibat jika tersalah
langkah atau keupayaan diri tidak cukup kuat untuk mengharungi cabaran
tersebut. Kalau hati tidak tertahan, di dalam air badan berpeluh.
Tugasan ini bukanlah satu tugasan yang boleh
dilakukan oleh orang-orang yang biasa. Kekuatan yang luar biasa diperlukan
untuk mengheret umat Melayu keluar dari kubur kejahilan minda. Tanpa kekuatan
dan daya ketahanan, di dalam apa jua keadaan, pembawa obor perubahan ini akan
berada di dalam kedudukan yang tidak menyelesakan.
Bunga
Melati Di Dalam Taman, Daun Yang Hijau Banyak Yang Gugur
Rangkap ini memasuki fasa yang menyentuh
mengenai trajektori kiblat pemikiran dan
matlamat yang selama ini cuba ditujui tidak seharusnya menghalalkan cara
pembersihan minda tersebut cuba dilakukan. Kerap kali, inilah yang berlaku.
Melati tidak akan putih jika dedaunnya tidak hijau sempurna.
Bunga Melati merupakan puspa bangsa Nusantara.
Malah Indonesia mengambilnya sebagai salah satu dari 3 jenis bunga yang
dijadikan bunga nasional. Melati di Indonesia diangkat sebagai Puspa Bangsa
negara mereka.
Bunga Melati dikenali dengan pelbagai nama
diseluruh dunia. Nusantara sendiri menggelarkannya dengan pelbagai nama. Kebanyakan
orang-orang tempatan di Malaysia merujuknya sebagai bunga Melur. Warnanya putih
dengan kelopak ringkas.
Melati sentiasa digunakan sebagai lambang
kesederhanaan dan kesucian. Ia jalan tengah antara kelopak dan warna anggerik
yang lebih kompleks dan warna serta kelompak
bunga kemboja yang terlalu ringkas.
Begitu jua dengan usaha membebaskan umat Melayu
dari belengu kebodohan pemikiran. Ia satu usaha yang dijalankan atas tujuan membersihkan
fikiran orang Melayu dari semua bentuk halangan yang mengehadkan keupayaan
berfikir mereka yang selama ini telah dilemahkan. Gerakan membersihkan cara
berfikir orang Melayu ini dibuat supaya mereka kembali sepertimana mana mereka berupaya
menguasai Asia Tenggara suatu ketika dahulu.
Mereka suatu ketika dahulu
merupakan umat yang sentiasa bersederhana di dalam mengambil apa jua pendapat dan
pegangan. Mereka tidak terlalu cenderung kepada ekstremisme dan tidak terlalu
pasif bertindak. Kerap kali tindakan yang dilakukan mereka bukanlah tindakan
spontan tetapi merupakan tindakbalas terancang yang sentiasa memastikan setiap
apa yang cuba dicapai itu dapat disempurnakan tanpa melibatkan kegagalan yang
merosakkan.
Dahulu mereka sentiasa tegas di dalam tindakan.
Lembut mereka bertempat. Tetapi di dalam mempertahankan kesucian agama dan
kedudukan bangsa mereka di tanah anugerah dan yang diamanahkan Allah ke atas
mereka, mereka tidak takut untuk menggadaikan kudrat, harta dan nyawa untuknya.
Ia berbeza dengan Melayu pasca Merdeka. Jasad mereka merdeka tetapi pemikiran
mereka terjajah sehingga akar minda yang paling dalam. Mereka tidak hanya
terjajah dengan dogma serta gaya pemikiran bangsa-bangsa lain. Malah kesalahan
dogma dan doktrin yang pernah dijalankan bangsa-bangsa lain.
Kerana itulah di dalam rangkap ini, telah
disebutkan mengenai halatuju usaha bagi membersihkan serta mempoleskan kembali sistem
serta keupayaan pemikiran Muslim di Malaysia.
Kiblatnya ialah pembersihan serta pengukuhan
keupayaan akal supaya mereka dapat bersaing dan mendahului. Halatujunya ialah
supaya Muslim di Malaysia bebas dari kekangan serta rasa rendah diri dan takut
untuk melakukan perubahan kepada jalan takdir hidup mereka yang telah
dirancangkan musuh mereka ke atas mereka sejak sekian lama dulu. Tetapi di
dalam menjalankan usaha bagi melakukan pembersihan serta peningkatan keupayaan
akal Muslim ini, jalan-jalan usaha yang digunakan nanti tidak boleh sama sekali
tidak selari dengan syarak.
Mereka yang terlalu memberi fokus kepada indahnya
bunga Melati semasa berkembang, jangan mereka terlupa bahawa yang memberikan
keupayaan serta keindahan kepada bunga itu ialah dedaunannya yang menghijau. Daun-daun
pohon itulah yang membajai keupayaan bunga tersebut untuk berkembang dengan
indah. Tanpa daun-daun pohon tersebut yang sihat dan hijau, mana mungkin bunga
Melati atau sasaran usaha penyucian ini dapat disuburkan.
Penulis lirik di dalam versi A.Halim dan Norlela
Nasir mungkin peka dengan situasi dan keadaan yang berlaku pada masa itu.
Mungkin dia melihatkan di dalam cuba mengusahakan percubaan melonjakkan
pemerkasaan ekonomi dan pemikiran umat Melayu pada ketika itu, banyak
aspek-aspek yang penting kepada pembinaan sahsiah diri mereka sebagai umat
Islam menjadi longgar. Terlalu banyak fokus yang diberikan kepada matlamat
penghujung tanpa memberikan keutamaan kepada jalan-jalan yang menghala ke
matlamat tersebut.
Seolah-olah, di dalam meletakkan fokus kepada keupayaan
pencapaian yang telah ditetapkan, apa sahaja cara dilihat boleh mempercepatkan
matlamat tersebut dicapai dengan pantas akan digunakan. Disinilah mungkin lahirnya
teguran di dalam kiasan bahasa yang indah, bunga
Melati di dalam taman, daun yang hijau banyak yang gugur.
Dengan kembali memberikan fokus kembali kepada
pembangunan siasah yang tidak lari dari syarak, maka sasaran pembebasan
pemikiran umat Islam di Malaysia ini dari pemikiran yang kolot akan dicapai
dengan keupayaan umat-umat yang berkualiti.
Umat-umat yang berkualiti ini, setelah mereka
bebas dari belenggu yang selama ini melemaskan mereka di dalam kejahilan dan
kemunduran, akan muncul sebagai pendahulu. Ini kerana mereka tidak lagi terikat
dengan dogma bahawa semua dan apa sahaja yang dikatakan pemikir dan saintis
barat itu betul dan harus dipatuhi sepenuhnya. Mereka tidak akan lagi
menggunakan sistem pemikiran barat untuk menjadi kayu ukur keupayaan serta apa
yang dibolehkan serta tidak dibolehkan di dalam perkembangan sains dan
teknologi dan sistem hidup. Al Qur’an menjadi panduan mereka kerana Al Qur’an
itu kitab panduan yang dijamin Allah tidak akan mengalami kegagalan dan rosak.
Kalau
turut makrifat iman, minyak dan air mungkin bercampur
Berbeza dengan lirik asal di dalam filem Dewi
Murni yang berbunyi seperti berikut :
Putus
di hati makrifat iman, air dan minyak mungkin bercampur..
Penggubah lirik di dalam versi A. Halim dan
Norlela Nasir, telah mengubah lirik
tersebut seperti berikut:
Kalau
turut makrifat iman, minyak dan air mungkin bercampur..
Di dalam versi asal, kita faham maksud yang cuba
disampaikan dengan contoh minyak dan air. Ia berkenaan perkara halal dan haram
serta perkara maksiat dan taat kepada Allah. Apabila putus makrifat iman, maka
halal dan haram pasti tidak akan dikenal lagi dan manusia tidak akan segan silu
melakukan maksiat kepada Allah di dalam satu masa dan menunjukkan taat di dalam
satu masa yang lain. Itu maksud yang cuba disampaikan di dalam lirik di dalam
filem Dewi Murni (1950).
Tetapi, perubahan kepada lirik tersebut telah
dibuat semasa versi A.Halim dan Norlela Nasir direkodkan. Pada kali ini, ia
secara jelas membawa maksud zahir kepada sifat minyak dan air sepertimana yang
disebutkan. Ia sebagai kesinambungan kepada usaha pembersihan serta
mengeluarkan umat Islam dari kejumudan akal fikiran.
Apabila semua usaha yang dijalankan bagi
membebaskan Muslim dari segala bentuk kejumudan cara berfikir, apa yang mungkin
dapat dicapai pada ketika itu ialah, Muslim yang telah dibebaskan ini akan
berupaya berfikir melampaui keupayaan indera dan limitasi pemikiran manusia
yang hidup sezaman dengan mereka.
Makrifat iman yang dimaksudkan secara jelas
merujuk kepada Muslim yang benar-benar memahami bahawa luasnya ilmu tentang
sesuatu perkara itu jauh sempadannya. Ia boleh digali dan dikaji selagi al
Qur’an tidak menegahnya melakukan perbuatan tersebut. Mereka mengetahui bahawa
sifat fizik bahan boleh diubah jika Allah mengkehendakinya. Penuh di dalam al
Qur’an contoh-contoh perkara yang boleh dilakukan oleh manusia dengan kekuatan
iman yang mencapai tingkat yang tinggi. Generasi para nabi, sahabat dan tabi’in
telah membuktikan banyak perkara yang secara normalnya tidak dapat dilakukan,
ia dapat berlaku melalui keimanan mereka yang tinggi. Mereka yakin jika Allah
mengkehendaki sesuatu itu berlaku, tiada apa perkara yang boleh menghalangnya
daripada berlaku.
Penggubah lirik tersebut mengubah halatuju lirik
tersebut dengan memberi fokus kepada sifat fizik dan kimia bahan tersebut dan bukan lagi kepada aspek falsafah spiritual pemisahan kedua bahan tersebut.
Sehinggalah pada 2003 apabila Ric Pashley 2 dari Australian National
University, melakukan satu eksperimen berkenaan sifat daya tarikan hydrophobic
jarak jauh (long range hydrophobic force).
Pengenalan, long range hydrophobic force ini merupakan daya yang dikatakan
bertanggungjawab membuatkan molekul-molekul minyak pada permukaan untuk bercantum
sesama sendiri dan berkumpul secara sepusat. Daya ini dikatakan dapat menarik
molekul minyak di atas permukaan air untuk berkumpul meskipun jarak antara
keduanya agak jauh.
Ketika mengkaji daya inilah, Pashley menyedari
terdapat beberapa wujudnya tompokan air di celah permukaan minyak yang
berkumpul. Setelah mengambil sampel, beliau mendapati sampel tompokan tersebut
merupakan campuran minyak dan air yang bersatu.
Dia mendapati bahawa, di dalam setiap liter air
akan terdapat sejumlah kecil gas yang terlarut di dalamnya. Pahsley juga mendapati
melalui eksperimennya, perkara yang menghalang minyak dan air dari bercampur
ialah kewujudan gas-gas ini. Lalu beliau mengambil keputusan untuk membuat satu
eksperimen untuk menyahkeluarkan gas-gas terbabit dari campuran air dan minyak melalui
kaedah menyejukbekukan dan kemudian mencairkannya kembali. Proses ini
diulang-ulang berkali-kali sehingga hampir keseluruhan gas yang terdapat di
dalam campuran tersebut dikeluarkan.
Hasilnya, apabila jumlah gas yang terdapat di
dalam campuran tersebut dinyahkeluar semaksimum yang mungkin, minyak dan air
tersebut bercampur dan membentuk cairan emulsi.
Sebelum ini cairan emulsi antara campuran air
dan minyak hanya boleh dicapai dengan memasukkan elemen surfactant yang membantu minyak dan air membentuk emulsi.
Antara surfactant yang kita kenali ialah sabun
yang digunakan untuk mencuci. Air Sabun akan membantu kotoron minyak
digabungkan dengan air bagi tujuan membersihkan. Begitu juga surfactant banyak
digunakan di dalam cat emulsi bagi tujuan memudahkan likatan cat tersebut
melekat pada dinding atau apa-apa permukaan.
Surfactant
(Surface Active Agents)
Air dan minyak merupakan cairan yang mempunyai
sifat polariti yang berbeza. Air merupakan molekul berkutub (polar molecules) manakala minyak pula
dikategorikan sebagai molekul tidak berkutub (non-polar molecules). Secara ringkas (dengan tidak menyentuh sifat
atom di dalam pecahan sub-atom dan skala Plank), setiap atom terdiri dari neutron,
proton dan elektron.
Bagi molekul dengan bilangan elektron yang cukup
dan stabil pada petala elektron, molekul itu dikenali sebagai molekul tidak
berkutub. Bagi molekul dengan elektron yang tidak cukup, maka molekul tersebut
dikenali sebagai molekul berkutub.
Hubungan tindakbalas antara sesuatu molekul kepada air dibahagikan kepada 3 jenis. Yang pertama, hydrophilic, kedua Hydrophobic dan ketiga Amphiphilic.Hydrophilic = diambil dari perkataan Greek ‘hydro’ iaitu air dan ‘philia’ membawa maksud suka atau cenderung. Dalam kata ringkas, sifat Hydrophilic ini merupakan keadaan di mana seseuatu molekul itu ‘sukakan air’. Sifat hydrophilic membolehkan sesuatu bahan itu menyerap dan bergabung dengan air.
Hydrophobic = diambil dari perkataan Greek ‘hydro’ iaitu air dan ‘phobic’ membawa maksud takut atau dalam kes ini menolak. Dalam kata ringkas, sifat Hydrophobic ini merupakan keadaan di mana seseuatu molekul itu ‘menolak/menjauhi air’. Sifat hydrophobic membolehkan sesuatu bahan itu terpisah dari bergabung dengan air. Video di sebelah ini menunjukkan bagaimana sifat hydrophobic yang ada pada daun keladi dikaji dan kemudian digunakan sebagai salutan yang menghalang air dari melekat ke permukaan gelas. Pernah mendengar pepatah 'Bagai Menuang Air Di Daun Keladi.'? Ketika kita hanya sibuk menggunakannya sebagai pepatah dan tidak mahu memaksimumkan pengetahuan tersebut, orang lain sibuk mengkaji kenapa daun keladi mempunyai sifat hydrophobic dan menggunakan kajian tersebut untuk kemudahan manusia.
Amphiphilic pula merupakan molekul yang
mempunyai gabungan sifat Hydrophilic dan
Hydrophobic.
Minyak yang diketahui mempunyai sifat hydrophobic akan terpisah secara
fizikalnya dari air. Sifat hydrophobic pada minyak akan menyebabkan ianya akan
meminimumkan sentuhan permukaan molekulnya dengan permukaan air. Lalu perkara
ini menyebabkan apa yang seringkali diperhatikan di dalam pemerhatian-pemerhatian
yang dijalankan bilamana minyak akan terapung pada permukaan atas air ketika
mana ia dicampurkan di dalam bekas. Ia sesuatu yang diketahui semua pihak. Malah
banyak pepatah menggunakan sifat hydrophobic minyak ini untuk menggambarkan
situasi di mana dua perkara di dalam dua sifat berbeza tidak mungkin bercampur.
Dengan menggunakan surfactant seperti sabun, campuran atau emulsi minyak dan air dapat
dihasilkan dan dapat dikekalkan di dalam bentuk emulsi tersebut. Sehingga ke
masa eksperimen Pashley dijalankan, emulsi yang mengandungi campuran antara
minyak dan air hanya dapat dihasilkan dengan bantuan surfactant. Walaupun bercampur sebagai emulsi, ia masih lagi tidak
bercampur sepenuhnya kerana emulsi tersebut terhasil dengan bantuan surfactant.
Video di bawah membantu sedikit sebanyak tentang pemahaman kesan surfactant dalam
menghasilkan emulsi antara minyak dan air.
Sebagaimana yang diyakini oleh penggubah lirik
tersebut, keadaan minyak dan air boleh bercampur boleh dicapai. Bukan dengan
menggunakan bantuan surfactant tetapi dengan memahami apa sebenarnya yang
menghalang keduanya bercampur. Tetapi ianya hanya boleh dicapai dengan
pemahaman yang mendalam tentang aspek fizik dan kimia bahan-bahan tersebut. Inilah
yang dinyatakannya dengan frasa ‘kalau turut makrifat iman, minyak dan air
mungkin bercampur.’
Malang sekali setelah berdekad-dekad lagu ini
dinyanyikan, kita tetap mengambil aspek hiburan darinya tanpa memberikan
perhatian serius kepada apa yang cuba disampaikan.Berpuluh tahun dahulu,
penggubah lirik ini menyatakan bahawa minyak dan air dapat bercampur jika kita
benar-benar faham akan hakikat sifat fizik bahan tersebut serta bagaimana
sifat-sifat fizik tersebut tidak tetap dan boleh diubah jika kita benar-benar
faham dengan apa yang kita lakukan.
Penggubah lirik ini telah secara yakin
menyatakan bahawa minyak dan air dapat bercampur pada ketika seluruh dunia
malah saintis-saintis barat sendiri masih terbelenggu dengan kepercayaan bahawa
kedua bahan tersebut tidak akan dapat bercampur tanpa apa-apa bahan tambahan
samasekali.
Penggubah lirik ini bijak menggunakan ruang seni
untuk perjuangan panjang bagi mengajak rakan sebangsanya dan seagamanya
dengannya untuk membebaskan diri dari kejumudan pemikiran. Hanya jika bidang
seni dipenuhi dengan mereka-mereka yang berfikiran jauh dan mempunyai daya
keyakinan serta kekuatan akal sepertinya, maka seni itu sendiri akan turut
berubah menjadi wadah perjuangan. Malang sekali, bidang seni kini dipenuhi
dengan timbunan sampah.
Itulah jadinya apabila mereka-mereka yang
berkeupayaan untuk menakhodakan sesuatu bidang tersebut meninggalkannya untuk
diisi oleh manusia-manusia yang tersalah kiblat pemikiran. Maka jadilah sesuatu
yang sepatutnya harus ditunggangi bagi mempercepatkan sesuatu gerakan untuk
mengislahkan pemikiran umat Islam terbiar dan diisi oleh mereka-mereka yang
menggunakannya bagi tujuan merosakkan.
Masanya akan tiba tidak lama lagi bilamana kudeta
bidang seni perlu dilancarkan! Bagi yang masih terbuai dengan hanyutan sampah yang dipakejkan sebagai apa yang didakwa seni, beringatlah, Kudeta Seni sedang mengetuk pada pintu... berubahlah sebelum terkapai-kapai ditinggalkan nanti. Cukup-cukuplah merosakkan pemikiran anak-anak muda dengan kiblat pemikiran songsang. Berubahlah supaya seni itu dipandang tinggi dan menjadi mangkin kepada kebangkitan ummat.
Rujukan :
1).
Abdul Rahman al Ahmadi; Pokok Pemikiran Haji Yusuf bin Ahmad al-Kenali (Tuk
Kenali); Tamadun Melayu; Jilid Empat, Dewan Bahasa dan Pustaka 1995. m/s 1416.
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda
dengan orang melayu ni umpama mcm tarik benang dlm tepung. Memang tulang dan urat sama darjatnya dengan yang dibarat, tapi hati kita ini, hanya Zat yang maha tinggi je berkuasa atas kita.
Pada saya lagu ni memang tinggi hematnya. Begitu juga dengan kebanyakan lagu sekitar 80an. Khas buat para daie, para pencari kebenaran hakiki. Saya banyak perhatikan karya M nasir yang memang jelas rintih pasal umat. Sesuai dengan ucapan nabi ketika wafat...ummati...ummati...ummati..
Minyak dan air memang bercantum di satu tempat yang selalu di sebut Nabi kita iaitu dalam mulut.Ilmu itu pertamanya dimenafaatkan ke Diri Sendiri ....http://www.oilpulling.org/oil-pulling/
saudara, lagu inilah yang ingin didengar oleh Natrah Maaruf sebelum beliau meninggal. bahkan, beliau ingin memiliki sekali cd penuh yang berisi lagu ini. hehe. ada makna tu. kebetulan pula, kes Natrah juga berlaku pada tahun 1950. terima kasih atas penerangan saudara tapi kenapa tak diterangkan sekali rangkap2 terkhir lagu itu, ya? penerangan saudara masih perlu ada tambahan nampaknya
AbiDamia.. Benar air dan minyak bercantum di dalam tubuh. Diluar tubuh, memerlukan ilmu pengetahuan manusia.
Tanpa Nama December 18, 2013 at 12:01 AM, Dalam ramai2 yg membaca, anda seorang perasaan tentang rangkap terakhir. Sengaja sya tinggalkan krn maksudnya sgt jelas. Siapapun kita, kita ialah makhluk Allah yang beriman kepada Allah. Tujuan hidup kita cuma satu iaitu beribadat kepada Allah. Dan kekuatan itu kita perolehi jika kita melihat semua umat Islam sebagai saudara, tidak kira apa asal usul mrk. Inilah sumber kekuatan Islam yg digeruni musuh Islam.
Utk fakta Natrah, sejujurnya saya tidak tahu tentang itu. TQ atas perkongsian maklumat.
sebenarnya, ada 1 lagi versi lagu ini yang dinyanyikan rubiah dan m. yatim. anda boleh cari di youtube. sementara itu, dari maksud lirik lagu ini, ia seolah2 ditujukan kepada natrah sendiri. ke hanya kebetulan? Wallahu a'lam