Oleh M.I.A./Imran Haaz
Bismillahir Rahmanir Raheem..
Sebelum ini, saya telah menyentuh sedikit
mengenai Perjanjian Ruh di alam arwah. Ia merupakan sebuah perjanjian di antara
kita semua dengan Allah s.w.t., Pencipta, Pemilik serta Pentadbir sekelian alam
ini sebelum Ruh dimasukkan ke dalam jasad kita sebagai manusia. Perjanjian Ruh
ini termuat di dalam beberapa tempat di dalam al Qur’an. Salah satu ayat yang
menyentuh tentangnya ialah ayat yang menceritakan tentang ciri-ciri manusia
yang Allah sebutkan sebagai layak memasuki Syurga ‘Adn. Syarat pertama seperti
yang dinyatakan ialah manusia itu memenuhi janji tidak akan mempersekutukan
Allah dengan apa jua pun sebagaimana dia pernah persaksikan di alam arwah.
Perjanjian ini ada disebutkan di dalam al Qur’an
dan kitab-kitab agama lain termasuk kitab-kitab golongan sofis sejak zaman
berzaman . Ia menunjukkan sejak zaman-berzaman, pengetahuan tentang terdapatnya
satu perjanjian antara ruh manusia dan penciptaNya bukanlah sebuah subjek yang
pelik untuk dibicarakan. Allah membenarkan tentang adanya perjanjian sedemikian
rupa. Terdapat penjelasan mengenai bila
perkara itu berlaku serta apa intipati perjanjian tersebut yang sentiasa
menjadi subjek yang dipertuturkan oleh golongan manusia yang berfikir sejak
zaman berzaman. Pertama, biar saya jelaskan apa kata Allah di dalam al Qur’an
mengenai Perjanjian Ruh ini.
Telah berlaku satu perjanjian antara Ruh dan
Allah sebelum dari Ruh kita semua dimasukkan ke dalam jasad yang diciptakan
kemudiannya di dalam turutan yang dijelaskan di dalam ayat 172 hingga 174 surah
ar a’raaf seperti berikut :
Dan ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam
dari sulbi mereka, iaitu anak cucu mereka, dan Allah mengambil kesaksian
terhadap jiwa mereka, “Bukankah Aku ini Tuhanmu?”, mereka menjawab : “Betul,
kami menjadi saksi,”, (ia diperingatkan supaya) tidak kamu mengatakan di hari
kiamat kelak: “Sesungguhnya kami terhadap hal-hal ini (keesaan Allah) adalah
orang-orang yang lalai,”. 172
Atau agar kamu tidak mengatakan : “Sesungguhnya orang-orang
tua kami telah mempersekutukan Tuhan sejak dahulu, sedangkan kami ini adalah
anak-anak keturunan yang datang sesudah mereka, maka apakah Engkau akan
membinasakan kami kerana perbuatan orang-orang yang sesat dahulu?” 173
Dan demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu agar mereka
kembali. 174
Prof Dr. HAMKA, menjelaskan Perjanjian Ruh ini
merupakan antara subjek yang seharusnya diberikan perhatian dan diberikan
perhatian khusus. Ini kerana umumnya manusia terlupa. Akan terbit rasa tidak
tenteram dan hilang ketenangan di dalam jiwa setiap manusia sekiranya mereka
tidak kembali diperingatkan tentang butir utama perjanjian yang pernah
dimeterai antara kita dengan Allah s.w.t.
Rumah, kereta, kemewahan serta keluarga yang
besar tidak menjanjikan sebuah ketenangan kepada jiwa. Jiwa itu sentiasa
meronta-ronta cuba mencari sebab kenapa rasa gundah serta tidak gembira itu
masih hadir ketika kehidupan kita berterusan dikelilingi dengan segala apa yang
ditafsirkan sebagai kemewahan.
Seolah-olah terdapat satu ruang kosong yang
meruntun perasaan. Seolah-olah jiwa itu sedang mencari sesuatu tetapi tidak
diketemukan. Ia sangat pelik, lalu segala yang dipandang sebagai nikmat-nikmat
yang dikejar-kejar sebelum ini, mula kelihatan tidak memberikan kepuasan
sepenuhnya terhadap remedi bagi kekosongan yang dicari. Pada sangkaan awal,
pasangan hidup yang cantik, harta, rumah yang besar, kenderaan mewah, serta
anak pinak yang disangka dapat mengubat resah di dalam jiwa itu gagal
menghadirkan dirinya. Perasaan tersebut hadir seolah-olah ia mmberitahu kepada
hati dan perasaan kita bahawa terdapat satu tanggungjawab atau tugasan yang
masih belum diselesaikan.
Lalu kita cuba untuk mencari jawapan.
Perlahan-lahan kita menyelidiki apa yang tidak kena dengan diri kita pada waktu
tersebut. Secara zahir, segalanya kelihatan tidak bermasalah. Kemudian barulah
terdetik, mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan sisi dalaman di dalam
diri. Ia mungkin ada kena mengena dengan jiwa yang tidak tenang.
Lalu, barulah disedari bahawa jiwa itu terdiri
dari tubuh yang dihidupkan dengan ruh. Kombinasi keduanya menjadikan tubuh itu
berfungsi dan dapat menjalani kehidupan. Mana mungkin manusia itu mendapat
ketenangan jikalau ruhnya tidak mendapat makanan yang tepat. Kehendak ruh atau
rohani inilah yang menyebabkan ramai manusia merasakan diri mereka kosong
walaupun hidup dikelilingi dengan pelbagai nikmat dan kemewahan.
Ruh berkehendakan supaya janji yang pernah
dimeterai antara mereka dan Tuhan ditepati. Kehendak inilah yang mana jika
tidak dipenuhi akan menghantui setiap jiwa manusia yang akan sentiasa dihambat
rasa kekosongan kerana hidup bertuhankan segala perkara lain kecuali Allah.
Manusia mengejar harta, kedudukan, publisiti dan pangkat seolah-olah itulah
tujuan utama mereka hidup di dalam dunia. Itu merupakan trajektori pemikiran
yang silap jika kehidupan bahagia menjadi destinasi yang ingin ditujui.
Tetapi Allah tidak pernah membiarkan manusia itu
terkapai-kapai di dalam mencari jawapan. Lantas pada setiap kali umat manusia
hilang panduan, Allah s.w.t. mengutuskan para nabi dan rasul untuk mengajak
serta mengingatkan kembali dasar tauhid yang menjadi intipati utama perjanjian
antara ruh kita dengan Allah s.w.t., Pencipta dan Pentadbir sekelian alam.
Itulah yang menjadi intipati kepada ayat 172
hingga 173 surah al A’raaf. Rasul dikirimkan kepada umat manusia supaya manusia
tidak mengatakan kembali bahawa mereka tidak pernah diperingatkan tentang
perjanjian untuk tidak menyekutukan Allah dengan segala sesuatu yang lain.
Menepati Perjanjian Ruh ini menjadi syarat utama
bagi manusia-manusia yang dikira layak untuk layak memasuki syurga. Di dalam
surah ar Ra’d ayat 19 hingga 26, Allah s.w.t. menyebut tentang penghuni Syurga
‘adn.
Adakah
orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Rabb-mu itu
benar sama seperti orang yang buta? Sesungguhnya yang mahu mengambil pelajaran
itu hanyalah orang-orang yang berakal sahaja. 19
Iaitu
orang-orang yang memenuhi janji Allah dan tidak merosakkan perjanjian. 20
Dan
orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya
dihubungkan (iman, silaturrahim) dan mereka yang takut kepada Rabb mereka dan
takut kepada hisab yang buruk. 21
Dan
orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Rabbnya, dan mendirikan solat,
dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara
sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan,
orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik. 22
Syurga
‘Adn, yang mereka masuk ke dalamnya dengan orang-orang yang saleh dari
bapa-bapanya, isteri-isterinya dan anak cucunya, sedangkan malaikat-malaikat
masuk ke tempat-tempat mereka dari setiap pintu. 23
Kesejahteraan
buat kalian berkat kesabaran kalian, maka alangkah baiknya tempat kesudahan
ini. 24
Banyak
mufassir serta ulama’ cuba mentafsirkan bagaimana perjanjian tersebut
dimeterai. Perkara itu cuba dijauhkan dari penulisan ini kerana ianya diluar
daripada bidang keupayaan manusia untuk mendapatkan gambaran sebenarnya. Malah
cara bagaimana perjanjian itu dimeterai antara ruh dan Tuhan yang
menciptakannya juga akan dijauhi sedapatnya. Yang penting, intipati kepada
perjanjian itu diketahui dan bagaimana cara perjanjian itu boleh dipenuhi telah
dijelaskan sepenuhnya di dalam al Qur’an.
“Mereka bertanya
kepadamu tentang ruh. Katakanlah: ‘Ruh itu termasuk urusan Rabbku dan tidaklah
kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit’.” (Al-Isra: 85)
Cuma
penulisan ini digarapkan atas tujuanbagi menunjukkan bahawa perkara Perjanjian
Ruh ini merupakan sebuah subjek yang turut menjadi sentuhan dan perbincangan
manusia-manusia yang menamakan diri mereka manusia beragama sejak zaman
berzaman.
Al Qur’an
secara jelas menyatakan bahawa semua agama yang wujud dimukabumi ini pada hari
ini sejak semalam jauh, berasal dari satu agama yang sama. Agama yang asal itu
ialah Islam yang diperkenalkan kepada manusia semenjak zaman Nabi Adam a.s.
Pada mulanya manusia itu
ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka
berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira
(kepada orang-orang yang beriman dengan balasan syurga), dan pemberi amaran
(kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka) dan Allah
menurunkan bersama Nabi-nabi itu kitab-kitab suci yang (mengandungi
keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia
mengenai apa yang mereka perselisihkan. Dan (sebenarnya) tidak ada yang
melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka
kitab-kitab suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan
yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama
sendiri. Maka Allah memberikan pertunjuk kepada orang-orang y ang beriman ke
arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan
izinNya. Dan Allah sentiasa memberi pertunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang di
kehendakiNya ke jalan yang betul-lurus (menurut undang-undang peraturanNya).
(al Baqarah ayat 213)
Ruh, Pembalasan Akhirat dan Syariat
Awal Manusia
Anak-anak
Adam a.s. telah mengetahui mengenai beberapa syariat ringkas. Ia melibatkan
beberapa hukum asas dan pengetahuan bahawa setiap perbuatan itu akan mendapat
balasan yang setimpal diakhirat. Kerana itulah, apabila diugut untuk dibunuh dengan
tindakan zalim oleh Qabil, Habil hanya menyatakan perkara berikut kepada
saudara kandungnya. Surah al Maidah ayat 27 hingga 29 berikut.
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka
kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan
sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban
(untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di
antaranya (Habil) dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata
(Qabil): Sesungguhnya aku akan membunuhmu!. (Habil) menjawab: Hanyasanya Allah
menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.
Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam.
Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam.
Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali
dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka dengan itu
menjadilah engkau dari ahli Neraka dan itulah dia balasan orang-orang yang
zalim.
Pewaris nabi yang terawal, Habil, tidak mahu
bertindak zalim di atas kezaliman yang bakal ditimpakan ke atasnya. Maka
jadilah dia korban pertama demi mempertahankan prinsip yang dipegangnya bahawa
semua perbuatan jahat itu akan mendapat balasan dari Allah. Tetapi untuk
memaksanya bertindak zalim dan ganas sebagai balasan kepada perbuatan zalim
yang bakal ditimpakan saudara kandungnya ke atasnya, ianya tidak menjadi
pilihannya sama sekali. Sempurna mendapat didikan dari ayahandanya yang
merupakan ayahanda kepada kita semua, dia menolak untuk mengambil jalan
bermusuhan dengan saudaranya sekalipun saudaranya secara jelas menzalimi
dirinya. Betapa kualiti ini, tidak kelihatan lagi di dunia ini kecuali pada
pewaris nabi yang sedikit jumlahnya.
Melalui kisah yang cukup ringkas diceritakan di
dalam Al Qur’an ini, terlalu banyak maklumat yang diperolehi mengenai kehidupan
keluarga manusia terawal di dunia. Pertama, mereka telah bercucuk tanam dan
memelihara binatang ternak sebagai makanan. Jelas mereka telah mempunyai sistem
tugasan dan teknik bagi mencukupkan keperluan asas iaitu makanan. Mereka telah mempunyai sistem hidup yang
sistematik dan membahagi-bahagikan tugas sebagaimana manusia dengan pemikiran
yang bertamadun melakukannya. Mereka juga
menyelesaikan perebutan dan konflik melalui sistem timbang tara yang pada waktu
itu diadili oleh Allah s.w.t. dengan korban salah seorang dari mereka diterima
Allah bagi menyelesaikan isu yang timbul sesama mereka. Mereka telah mempunyai
pengetahuan tentang apa yang baik dan apa yang buruk untuk dikerjakan. Mereka
telah mempunyai set undang-undang yang menunjukkan bahawa setiap perbuatan itu
akan mendapat balasan yang setimpal. Mereka juga telah mengetahui mengenai
kematian dan destinasi yang bakal dituju selepas kematian.
Mereka telah mengetahui mengenai aspek rohani
bahawa setiap jiwa itu terdiri dari ruh dan jasad. Ia difahami apabila Habil
berkata kepada Qabil, bahawa dia akan kembali membawa dosa-dosanya dan dosa dia
membunuh Habil apabila berhadapan dengan Allah diakhirat nanti. Jelas di sini,
Habil mengetahui bahawa apabila mati nanti, jasadnya mungkin akan disimpan
bumi, tetapi ruh tetap hidup dan akan dibangkitkan kembali diakhirat nanti.
Itulah kehebatan al Qur’an, dapat menjelaskan
pelbagai perkara hanya di dalam 3 ayat ringkas. Di dalam 3 ayat sebegini
ringkas, hampir seluruh sistem hidup keluarga manusia yang terawal di dunia
dijelaskan hampir sepenuhnya. Banyak mitos tentang aspek kehidupan manusia
terawal yang seringkali dikaitkan dengan bidang arkeologi yang berkiblatkan
barat menjadi tidak relevan dan dapat diperbetulkan hanya melalui 3 ayat
ringkas dan mudah ini. Sebenarnya kisah Habil dan Qabil tidak berakhir pada
ayat 29 surah al Maidah tersebut, tetapi ianya dilanjutkan sehingga ayat 31.
Banyak lagi lapis pengetahuan yang boleh digali melalui penelitian ke atas dua
ayat tambahan tersebut. Jika mula mengambil serius dengan al Qur’an, Allah
s.w.t. akan membuka jalan-jalan pemahaman yang lebih dalam. Tahukah
sahabat-sahabat pengunjung blog satuhala ini, di dalam kisah Adam a.s. dan
keluarganya yang dicatatkan di dalam al Qur’an, terdapat pelbagai ilmu lagi
selain yang boleh dijadikan panduan
kepada pelbagai bidang dari bidang serius seperti arkeologi hingga ke bidang
glamor seperti fesyen. Tahukah sahabat-sahabat pengunjung bahawa al Qur’an dan
Sunnah memberikan panduan bagaimana untuk membezakan yang mana satu antara
beberapa tengkorak di bawah ini merupakan tengkorak manusia lampau dan mana
satu yang bukan? Jika Nabi secara jelas dapat memberikan jawapan kepada setiap persoalan yang diberikan kepadanya melalui bantuan Allah, seharusnya pewaris nabi turut menjadi kemuncak pusat rujukan untuk semua umat Islam di dalam pelbagai bidang supaya mereka dapat menjalankan usaha mereka mengikut jalan yang betul dan tidak sia-sia membuang masa.
Tahukah sahabat-sahabat pengunjung blog bahawa
Allah s.w.t. menjelaskan peringkat-peringkat ketamadunan manusia menggunakan keadah
yang lebih spesifik berbanding kaedah pembahagian zaman yang longgar digunakan
ahli arkeologi yang hanya membezakan zaman mengikut peralatan yang digunakan
manusia seperti zaman Neolitik, Paleolitik, Logam, Besi dan sebagainya?
Tahukah sahabat-sahabat pengunjung blog, bahawa
al Qur’an mengatakan imaginasi pengembaraan angkasa sebagaimana yang
digambarkan James Cameron di dalam filem Avatar itu silap kaedahnya? Tahukah tuan-tuan
bahawa kaedah pengembaraan angkasa serta perkara-perkara yang perlu diberikan
perhatian kepada manusia yang mengembara jauh diangkasa yang sedang diselidiki
NASA itu sudah pun ada panduan jelasnya bagaimana untuk melakukannya di dalam
al Qur’an? Tahukah sahabat-sahabat pengunjung, bahawa segala panduan yang sangat bermanfaat di dalam al Qur'an itu tidak akan memberikan sebarang untung kepada umat Islam selagi mereka tidak mengambil serius tentang al Qur'an dan selagi mereka tidak kembali bersatu atas satu jemaah yang bersatu atas satu persamaan iaitu kita semua mengucapkan dua kalimah syahadah dan kembali menjernihkan semua perselisihan yang diwujudkan musuh-musus agama kita ke atas kita?
Tahukah sahabat-sahabat kenapa ilmu-ilmu itu
semua tidak kita ketahui ada di dalam al Qur’an selama ini sedangkan akses
kepada semua pengetahuan hebat dan panduan kepada semua manusia yang mengejar
segala bentuk ilmu sudah lebih seribu tahun diberikan kepada kita melalui al
Qur’an? Ini kerana al Qur’an sudah lama berada di dalam tangan majoriti manusia-manusia
yang hanya berminat untuk menggunakannya sebagai sarung tinju bagi menjatuhkan
lawan. Mereka tidak mahu menggunakan al Qur’an sebagai panduan yang menguatkan
tetapi semakin membinasakan. Tidakkah kita sebagai umat Islam semakin pelik
apabila semakin ramai dihantar anak-anak muda kita keluar negara untuk belajar
ilmu agama, majoriti daripada mereka pulang dengan tujuan untuk mengurangkan
jumlah umat Islam di dalam negara. Pulang sahaja dari belajar, mereka sudah
bersedia untuk menjadi algojo. Habis semua umat Islam dilabelkan mengikut
kumpulan-kumpulan tertentu. Semakin hari semakin kecil jumlah umat Islam akibat
dilabelkan dan dikelompok-kelompokkan. Semakin bertukar zaman, semakin banyak
kumpulan umat Islam dilabelkan. Sehinggakan kini umat Islam dilihat tidak lebih
dari jutaan buih-buih dipukul ombak ditepian pantai. Sampai bila semua ini akan
berhenti?
Jika ada umur yang panjang, kesempatan serta
keberkatan masa dan kelapangan ekonomi, InsyaAllah saya akan jelaskan semua
perkara yang saya sebutkan di atas di dalam blog satuhala ini dan di dalam
medium-medium yang saya rasakan sesuai.
Berbalik kepada Perjanjian Ruh antara ruh
manusia dengan Allah, jelas prinsip kefahaman tentang kewujudan ruh yang akan
dibangkitkan kembali bersama jasad sudah sedia wujud sejak zaman Adam a.s.
lagi. Ia seperti yang disebut di dalam ayat yang menyentuh kisah Habil dan
Qabil di atas.
Apabila manusia mula jauh dari jalan agama dan
menuju jalan yang tersasar, Allah s.w.t. akan mengirimkan nabi dan rasul bagi
membantu manusia kembali ke jalan yang sepatutnya. Variasi pelbagai agama yang
wujud pada hari ini, semuanya berakar kepada Islam. Yahudi, Nasrani, Hindu dan
sebagainya berakar kepada jalan tauhid yang asal yang membentuk agama Islam di
zaman silam sebelum ia dilengkapkan semasa Muhammad s.a.w. diutuskan sebagai
nabi dan rasul.
InsyaAllah, penulisan-penulisan seterusnya selepas
ini saya akan menjelaskan butiran mengenai Perjanjian Ruh di dalam sebuah kitab
agama yang didakwa pengikut mereka sebagai kitab agama yang tertua di dunia
untuk agama yang masih wujud di dalam dunia kini. Ia berkenaan syarat
perjanjian Ruh yang terdapat di dalam kitab Bhagavad Gita. Kemudian saya akan berkongsi
tentang kisah perjanjian Ruh yang menjadi subjek bicara golongan ahli falsafah
Greek dan dalam masa yang sama menjelaskan aspek perjanjian ini di dalam
konteks Yahudi dan disempurnakan apabila Islam dilengkapkan.
InsyaAllah bahagian seterusnya akan dimuatkan
pada 15 Oktober 2012, tepat jam 11:30 malam. Sebahagian penulisan tersebut di
dalam bentuk ‘pra-matang’ telah saya muatkan di dalam akaun facebook saya. Bagi
yang berminat, boleh ke sana untuk membaca penulisan yang belum diedit
sepenuhnya.
© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.