oleh : M.I.A/Imran Haaz
Petikan yang digunakan di dalam tajuk di atas
diambil dari filem animasi Robot yang saya tonton satu ketika dulu dengan anak
perempuan saya, Mifthahul Jannah. Bila Bigweld ditendang keluar dari industri
kerana memperjuangkan semua robot adalah hebat tak kira mereka diperbuat
daripada apa, dengan slogan ‘You can shine no matter what you’re made off.’ Kata-kata
seperti ini dikatakan sangat merugikan kepada golongan kapitalis. Lalu
tempatnya diambil oleh pentadbiran muda yang bakal melonjakkan graf keuntungan berlipat
kali ganda. Ratchet, robot yang tunjang akar pemikirannya sentiasa berlegar
dalam pemikiran kapitalis mengambil alih pentadbiran Big Weld Industries.
Dialah yang mempromosikan tag ‘Why Be You When You Can Be New’ dalam iklan-iklan
untuk memprogramkan minda robot-robot yang lain untuk kembali merasa rendah
diri dengan keupayaan diri mereka. Sama situasinya dengan dunia diluar filem
animasi tersebut.
Orang-orang biasa harus sentiasa diperingatkan
tentang kekurangan diri supaya mereka akan merasa diri mereka sangat inferior lalu mereka akan segera mencari
remedi untuk mengembalikan keyakinan diri mereka. Mereka setiap hari di dalam
hayat hidup mereka, pancaindera mereka dilambakkan dengan iklan yang
menunjukkanbagaimana rupa manusia-manusia yang berjaya, apa bentuk tubuh
mereka, apa yang dipakai oleh mereka, apa yang dimakan mereka, siapa yang
menjadi pasangan mereka, apa kenderaan yang dinaiki mereka, di mana rumah
tempat tinggal mereka, ke mana mereka menghabiskan wang, di mana mereka
bercuti, apa gajet yang digunakan mereka dan segala-galanya tentang
mereka-mereka yang dipotretkan sebagai manusia-manusia yang berjaya. Segalanya
dibentuk bagi memahat sebuah persepsi supaya semua manusia yang ada di dalam
khalayak yang lebih ramai akan dihumbankan dengan perasaan rendah diri, tiada
kemegahan dan menyebabkan mereka mula merasakan ingin mengungsi diri ke sebuah
sudut gelap di dalam masyarakat. Mereka mahu menjadi halimunan sekiranya mereka
tidak dapat menjadi seperti ‘insan-insan berjaya’ yang disogokkan setiap hari di
media dan kaca tv. Mereka ingin keluar dari perasaan resah tersebut tetapi
mereka tertanya-tanya bagaimana mungkin ianya dapat dilakukan.
Mereka berasa malu apabila panggilan telefon
dari gajet murah milik mereka berbunyi ketika mereka berada dikalangan para sahabat
mereka yang sentiasa up to date dengan
perkembangan gajet terkini. Mereka mula berasa malu untuk keluar bersama para
sahabat yang lain kerana sepatu yang dipakai tidak segah dan selari dengan
tafsiran ‘orang-orang berjaya’ di kaca tv. Mereka berasa malu untuk ke gedung
membeli belah yang hebat kerana pakaian mereka kelihatan janggal disebalik
kemilauan kehebatan busana manusia di sana.
Setelah
diprogramkan untuk mengidamkan semua ini, industri mengambil kesempatan dengan
menawarkan produk-produk sebagai remedi kepada resah yang disangka boleh menuju
bahagia. Biar papa asalkan bergaya menjadi moto taruhan. Mereka mula
membelanjakan wang dan pendapatan milik mereka demi untuk melastik kedudukan
mereka sebaris dengan manusia-manusia yang dipamerkan di dalam kaca tv.
Mereka mula berbelanja diluar keperluan dan
tanpa menghitung kesan yang bakal dirasakan. Yang penting mereka harus sebaris
dan inferiority complex di dalam diri
itu perlu diubati segera dengan mendapatkan remedi-remedi yang ditawarkan.
Ketika mereka menyangka diri mereka mencapai bahagia dengan poket menipis
dihujung bulan, sang kapitalis tadi bergerak dalam jet peribadi merentas dari
awan ke awan menuju negara-negara destinasi pelancongan untuk membelanjakan wang
hamba-hamba abdinya yang telah diprogramkan untuk menyembah setiap ‘remedi’
yang ditawarkannya.
Jadilah mereka selamanya sebagai hamba kepada
sebuah sistem perhambaan moden yang telah diprogramkan ke dalam minda mereka. Messiah
mereka ialah produk. Seolah, tanpa produk mereka sesat.
Tidak salah untuk menjadi seperti diri sendiri.
Jika tidak mampu, jangan memaksa diri untuk berbelanja melebihi kemampuan hanya
kerana orang lain telah diprogramkan untuk berbuat demikian. Ferrari bernilai
jutaan ringgit dan pakaian bernilai puluhan ribu ringgit jika dibelanjakan oleh
insan yang sangat kaya tanpa dia melupakan manusia-manusia yang tidak bernasib
baik dan tanggungjawabnya terhadap agamanya, ianya sesuatu yang tidak menjadi
kesalahan baginya untuk berbuat demikian. Dia mampu dan dia sangat
bertanggungjawab kepada agamanya. Berbelanjalah mengikut kemampuan. Jika
terlalu kaya, berbelanjalah seperti orang yang mampu dan tidak melakukan
pembaziran serta tidak melupakan tanggungjawab membantu saudara Islam dan bukan
Islam yang susah. Jika berkemampuan sederhana, berbelanjalah mengikut kemampuan
yang ada. Jika susah, berusahalah supaya mengeluarkan diri dari belengu
kesusahan. Makanan yang dapat melapik perut, pakaian yang cukup menutup aurat
serta tempat tinggal yang dapat melindungi dari hujan, panas dan bahaya sudah
mencukupi, kecuali bagi orang-orang yang berfikir dari tembolok.
Dunia hari ini telah dibentuk supaya menjauhi
sunnah yang telah dinyatakan dengan jelas oleh Rasulullah s.a.w. apabila perasaan
resah menuju bahagia itu tidak muncul. Pandanglah kepada mereka yang lebih bawah
dari kita.
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w.
bersabda: "Lihatlah kepada orang yang
lebih bawah daripada kamu, dan janganlah kamu melihat orang yang lebih tinggi
daripada kamu; ianya lebih wajar, agar kamu tidak memperkecilkan nikmat
Allah." (Riwayat Muslim)
Sebelum mengambil keputusan untuk membeli
Ferrari, sebelum mengambil keputusan untuk melancong ke luar negeri dan
bersungut kerana tidak boleh melakukannya dengan lebih kerap, sebelum mengambil
keputusan untuk memilih antara iPhone 4 dan Samsung Galaxy dan bersungut kerana
tidak tahu memilih yang mana satu yang lebih sesuai dengan imej diri, ingatlah kepada
insan kecil dalam pelukan ibunya ini. Dia tidak akan bersungut sekiranya air
yang disuapkan kepadanya merupakan air dari longkang. Dia tidak akan bersungut
sekiranya kerak roti yang dibuang masyarakat kita yang menganggapnya keras
untuk dimakan, disuapkan ke mulutnya dengan penuh kasih sayang oleh ibunya yang
juga tidak bermaya. Tetapi malang apabila dengan melihat ke bawah, kita tidak
pernah berbuat apa-apa untuk membantu insan-insan seperti ini. Ini kerana,
sebaik kita melihat ke bawah, kita segera mendongak ke atas memikirkan kita
juga insan-insan yang malang hanya kerana tidak dapat melancong dengan lebih
kerap dan iPhone milik kita tidak secantik telefon milik sahabat kita.
Kita telah diprogramkan untuk menjauhi sunnah,
lalu anak-anak seperti ini terus terbiar kelaparan. Kita menjauhi sunnah, lalu
kita membiarkan diri kita berterusan diperhambakan. Kita semua, majoritinya
pada hari ini ialah insan-insan yang tidak berfikir sebagaimana Allah dan
RasulNya mahu kita berfikir. Tetapi kita telah berjaya membesar sebagaimana
sistem kapitalis mahu kita sebagai manusia berfikir. Maka, sehingga hari kita
dijemput pulang nanti, kita akan sentiasa hidup sebagai hamba-hamba produk dan
hamba-hamba kepada sistem pimikiran yang menjajah keupayaan diri kita untuk
menentukan apa yang terbaik untuk diri kita. Persoalannya, apakah kita sedar
dengan semua yang berlaku dan keinginan yang dicetus dari dalam diri kita pada
hari ini, bukanlah sesuatu yang kita mahukan, tetapi sesuatu yang telah
dipaksamahukan kepada kita melalui program-program minda yang menerobos akal
kita sejak lahir hingga dewasa? Keinginan kita bukan lagi keinginan kita yang
sebenar. Ia kehendak sang kapitalis yang telah dipaksakan serta dipahat kukuh
di dalam diri dan pemikiran kita. Kita perlu kembali memerdekakan pemikiran
kita. Untuk merdeka, kita perlu berjuang. Untuk berjuang kita memerlukan
senjata. Tetapi sayang, senjata yang seharusnya digunakan kita untuk berjuang
telah dibiarkan berhabuk di dalam almari perhiasan. Senjata yang disentuh hanya
ketika ianya dijadikan hantaran perkahwinan. Sehabis batal air sembahyang,
berpuluh tahun senjata itu disimpan kesunyian seolah ia tiada teman.
Kita harus menjadi generasi yang kembali kepada
al Qur’an bukan hanya sekadar membacanya, tetapi memahaminya serta menggali
segala khazanah hebat yang terkandung di dalamnya dan menebarkan ilmu-ilmunya
ke segenap pelusuk alam. Selepas itu, barulah laungan merdeka itu membawa erti
kemerdekaan sebenar. InsyaAllah, kita akan kembali menguasai dunia sesudah kita
mengenal siapa diri kita. Orang yang mengenal dirinya, dia kenal Tuhannya. Orang
yang kenal Tuhannya, dia kenal jalan pulangnya. Orang yang kenal jalan
pulangnya, dia sentiasa bersedia menyediakan keperluan kepulangannya. Apakah
kita telah bersedia untuk dijemput pulang dengan tiba-tiba? Jika belum,
perlahan-lahan dan mengikut keupayaan diri kita perbetulkan jalan hidup kita.
Allah sahaja yang lebih mengetahui siapa kita melebihi diri kita sendiri. Semoga
kita semua dan semua ahli keluarga kita menjadi hamba-hamba Allah yang
diredhaiNya dalam kehidupan kita di dunia dan akhirat. Amin.
© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.