Kita mahukan kedua-dua mereka bersetuju atas satu modus vivendi yang meletakkan segala kepentingan Islam dan umat ini (majoritinya Melayu) di tempat yang diberikan keutamaan tanpa kita menindas hak yang sepatutnya diberi kepada pihak lain. Jika mereka tidak mahu bergabung, harus dipaksakan satu kesepakatan yang membentuk modus vivendi yang menjamin hak-hak berkenaan Islam dan umatnya terbela dan tidak digadaikan dan modus vivendi itu dihormati kedua-dua entiti ini. Kenapa perlu kepada modus vivendi sebegini? Semua ini berlaku kerana saya melihat terdapat kecenderungan pada kedua-dua pihak untuk menggadaikan segala apa yang ada pada umat yang membentuk peratusan muslim terbesar ini, demi hanya kerana mahu meraih sokongan golongan bukan Islam. Kenapa harus kita berada di dalam kedudukan yang terlalu lemah dan menjadi pak turut sebegini? Kenapa kedua-dua entiti ini berada di dalam kedudukan seperti peminta sedekah kepada pihak bukan Islam? Mereka lemah kerana mereka tiada kekuatan sokongan penuh. Mereka lemah kerana sokongan yang diperlukan mereka, pada sangkaan mereka hanya boleh diberikan oleh orang bukan Islam. Sedangkan umat Islam yang membentuk majoriti di negara mereka laga-lagakan demi untuk menarik sokongan membuta tuli kepada salah satu daripada kedua mereka. Blog-blog politik tidak membantu malah menjadikan kedudukan dan hubungan antara kedua-dua mereka bertambah parah. Fitnah menjadi makanan ruji di dalam arena politik. Dari politikus bergelar ustaz, lebai, YB, Dato', pak menteri, Tan Sri, guru dan bukan guru, mereka bertepuk sorak dengan keadaan ini. Seolah-olah ini satu pesta yang mengasyikkan. Apakah Allah telah menutup pintu hati hampir kesemua mereka kerana permusuhan dan rasa dendam yang bersangatan? Apakah Allah telah menutup pintu hati mereka kerana nawaitu perjuangan mereka sebenarnya bukan kerana Allah tetapi kedudukan dan pangkat? Keadaan ini sangat menyedihkan.
Perbalahan mereka telah menjadikan kita minoriti di dalam tafsiran hukum demokrasi. Ya, kita telah menjadi minoriti hanya kerana perbalahan tanpa kesudahan oleh kedua-dua pihak ini. Realiti jumlah muslim di Malaysia ini adalah dalam lingkungan 60 hingga 70% sahaja. Pecahkan kepada dua, jadi kuasa suara kita hanya dinilaikan mengandungi 30 hingga 35% kekuatan. Pecahkan kepada tiga, kuasa suara kita hanya dinilaikan mengandungi 20 hingga 23% kekuatan.
Berbeza dengan baki 40% penduduk bukan muslim. Apa jua keturunan, agama dan kepercayaan mereka, mereka tetap berpegang kepada satu modus vivendi yang sama iaitu menentang syariah Islam yang mahu ditegakkan kembali dan menentang kedudukan keistimewaan orang-orang Melayu. Artikel 160 Tafsiran Perlembagaan Persekutuan menjelaskan semua Melayu itu ialah Muslim. Modus vivendi mereka diikat kukuh pada perkara ini biarpun mereka bertelagah di dalam pelbagai isu-isu yang lain.
Perhatikan bagaimana seterusnya modus operandi mereka ini dalam memastikan Lubnan dengan jumlah Kristian sebanyak 40% dari jumlah penduduknya, dapat memerintah Lubnan dan mengenepikan umat Islam dengan jumlah sebanyak 60% di sana. Pertama, mereka memulakan dengan propaganda bagi mengapi-apikan semangat berpuak kaum muslimin di Lubnan. Mereka memecahkan umat Islam Lubnan kepada 3 kumpulan besar. Umat Islam yang membentuk jumlah majoriti 60% di Lubnan, kemudiannya dipecahkan kepada 3 iaitu, kumpulan Sunni, Syiah dan kumpulan Druze. Mereka menyemai doktrin Assobiyyah di dalam ketiga-tiga kumpulan ini sehingga kumpulan Sunni meyakini bahawa mereka benar-benar bukan sebahagian dari saudara seIslam dengan puak Syiah. Puak Syiah juga diyakinkan agen-agen dajjal ini bahawa mereka bukanlah saudara Islam kepada puak Druze. Maka 60% jumlah penduduk Islam di Lubnan telah dengan jayanya dipecahkan kepada 3 puak. Maka jadilah setiap satu dari puak tersebut lebih kurang dalam bentuk pecahan berikut 30% sunni, 20% Syiah dan kurang 10% Druze.
Orang-orang Kristian secara automatiknya menjadi majoriti dan kuasa pemerintahan diberikan mereka untuk mentadbir Lubnan secara sekular mengikut tradisi Kristian. Bukankah apa yang berlaku ini merupakan refleksi kepada apa yang sedang berlaku dinegara kita ini? Begitu juga dengan Timor Timur, perhatikan bagaimana kuasa dunia Kristian yang menguasai banyak pertubuhan-pertubuhan bersifat penyangak dunia bersatu untuk membebaskan daerah majoriti Kristian di dalam negara Indonesia, supaya dipisahkan menjadi sebuah negara bertunjangkan Kristian berdaulat dan memisahkannya secara terus dari negara majoriti Islam Indonesia.
Kenapa perkara yang serupa tidak dapat dilakukan oleh pertubuhan-pertubuhan penyangak ini untuk membebaskan Daerah Pattani, Narrathiwat dan Yala selatan Thai dan Bangsa Moro dari negara Kristian Filipina, sedangkan mereka merupakan bangsa-bangsa yang tidak pernah dijajah? Kita sedang menuju kesudahan yang sama degan Syam kerana kita sedang berpecah dan mengikut telunjuk hawa nafsu kita dalam mengejar kepentingan dunia. Doakan agar kita bersatu kerana hijrah tidak mungkin berlaku jika Aus dan Khazraj tidak disatukan menjadi kumpulan Ansar. Negara kita ini masih lagi di dalam fasa awal Mekah di mana Islam itu belum dihayati sepenuhnya hatta oleh orang-orang Islam itu sendiri. Fasa Mekah Malaysia harus diperkukuhkan dahulu dan kemudian jika mahu Malaysia berhijrah dari fasa Mekah ke fasa Madinah, penyatuan inilah satu-satunya perkara yang harus diberikan perhatian. Selepas mencapai fasa Madinah barulah mampu kita membawa negara ini ke arah gagasan khilafah dengan bersatu dengan semua negara Islam yang lain.
Dari ‘Amir bin Sa’ad, dari bapanya r.a. katanya, “Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. datang dari daerah perbukitan. Ketika beliau sampai di Masjid Bani Mu’awiyah beliau masuk ke masjid lalu solat dua rakaat. Kami pun solat bersama-sama dengan beliau. Beliau mendoa kepada Tuhan panjang sekali. Setelah mendoa beliau berpaling kepada kami lalu bersabda, “Aku memohon kepada Tuhanku tiga perkara. Dia memperkenankan dua perkara dan menolak satu perkara. Aku memohon kepada Tuhanku supaya jangan membinasakan umatku dengan musim susah yang panjang, maka diperkenankan. Aku memohon supaya jangan dimusnahkan umatku dengan bencana tenggelam, permohonanku itu juga diperkenankanNya juga. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan kerana pertentangan sesama mereka. Permohonan ini tidak diperkenankan.” (Hadis Riwayat Muslim)Begitu juga dengan hadis di bawah ini.
Dari Tsauban r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah Ta’ala memperlihatkan kepadaku bumi secara keseluruhan, sehingga aku dapat melihat bumi sebelah Timur dan Barat. Dan sesungguhnya kekuasaan umatku akan sampai keseluruh tempat yang Allah Ta’ala tunjukkan kepadaku. Kepadaku diberikan dua macam perbendaharaan, yaitu merah dan putih. Aku memohon kepada Tuhan untuk membantu umatku agar mereka tidak dibinasakan oleh kekuatan asing selain oleh diri mereka sendiri, sehingga kekuasaan mereka menjadi hancu luluh. Tuhanku berfirman, “Ya, Muhammad! Apabila aku sudah memutuskan suatu putusan, maka putusan-Ku tidak dapat diubah lagi. Aku memperkenankan doamu untuk umatmu, bahawa mereka tidak akan binasa dengan musim susah yang panjang. Dan bahawa Aku tidak akan menjajahkan kepada mereka suatu kekuatan musuh selain selain diri mereka sendiri sehingga kekuatan mereka hancur luluh, sekalipun musuh-musuh mereka bersatu mengelilingi, kecuali bila sebahagian mereka membinasakan sebahagian (yang lain) dan mereka saling tawan menawan.” (Hadis Riwayat Muslim)Hadis di atas adalah berkaitan dengan ayat 65 surah al An'am yang mana sebab turunnya ayat tersebut dicatatkan melalui hadis berikut:
Ibnu Abu Hatim telah mengetengahkan melalui Zaid ibnu Aslam yang telah mengatakan, bahawa tatkala ayat ini turun, iaitu firman Allah : Katakanlah : Dialah yang berkuasa mengirimkan azab kepadamu dari atas kamu, atau di bawah kakimu atau Dia mencampurkan kamu menjadi golongan-golongan (yang berbeza keinginan) dan merasakan kepada sebahagian dari kamu keganasan sebahagian yang lain. Perhatikanlah, bagaimana Kami menjelaskan tentang ayat-ayat barangkali (yang menunjukkan kuasa Kami) barangkali sahaja mereka mahu memahaminya (kebatilan kelakuan mereka) (al An'am 65). Rasulullah s.a.w. bersabda : "Janganlah kamu menjadi kufur sesudahku, di mana sebahagian dari kamu memukul leher sebahagian yang lainnya dengan pedang," Kemudian para sahabat berkata: "Bukankah kami telah bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, dan sesungguhnya engkau utusan-Nya?". Sedangkan sebahagian orang-orang menyatakan: "Tidak akan terjadi selamanya sebahagian di antara kami memukul sebahagian yang lainnya sedangkan kami sama-sama kaum muslimin. Kemudian turunlah ayat 67 surah al An'am (M.I.A.: sila periksa tafsir masing2)Perhatikan bagaimana dengan memahami kekuatan yang dijanjikan Allah ini kepada umat Islam jika kita bersatu bahawa tiada kuasa di dunia dapat menawan dan memperhambakan kita sekiranya kita berpegang teguh di dalam satu jemaah yang mentauhidkan Allah. Perhatikan juga bagaimana janji Allah ini tidak terpakai kepada tempat-tempat di mana umat-umat Islam yang tidak mahu bersatu dan bergaduh sesama sendiri.
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda (yang bermaksud): “Lagi akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan “Ruwaibidhah””.Sahabat bertanya, “Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?”. Nabi saw. menjawab, “Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai”. (H.R. Ibnu Majah)Apabila sentimen ini membakar secara marak, maka apa yang dikatakan oleh penasihat perang Maharaja Wu (Dinasti Chou) apabila Maharaja tersebut meminta nasihat dari penasihat perangnya, Ta’i Kung, bakal memberikan gambaran dan lampu hijau kepada pihak yang mahu menyerang dengan keyakinan bahawa mereka akan menang.
Maharaja Wu bertanyakan kepada Ta’i Kung :“Sebelum memasuki medan perang, beta mahu mengetahui terlebih dahulu tentang kekuatan dan kelemahan pihak musuh, ia bagi tujuan meramalkan samada kemenangan atau kekalahan akan berpihak kepada kita. Bagaimana mungkin kita dapat meramalkan kekuatan yang ada pada musuh kita?”
Ta’i kung menjawab: “Petunjuk atau petanda kemenangan atau kekalahan itu pertamanya terkandung di dalam semangat yang ditunjukkan mereka. Jeneral-jeneral perang yang bijak akan menyiasat mengenai perkara ini, kerana terdapat petanda yang jelas pada setiap anggota mereka (tentera musuh).”“Perhatikan dengan teliti bagaimana pergerakan tentera itu diatur tidak kira samada pada cara mereka mara atau berundur, cara mereka datang dan cara mereka pergi. Siasat tindak tanduk mereka dan perlakuan semasa mereka sedang beristirehat, samada mereka galak bercakap tentang sesuatu yang bakal berlaku dan apa yang dilaporkan oleh tentera-tentera dan pegawai-pegawai mereka. Jika tentera-tentera mereka kelihatan gembira dan penuh semangat, dan pegawai-pegawai dan tentera-tentera mereka merupakan orang-orang yang mematuhi undang-undang; menghormati arahan Jeneral; kelihatan riang dan ceria sesama mereka di dalam perjuangan menentang musuh, bermegah-megah di antara satu sama lain tentang keberanian dan kegarangan mereka; dan memuji sesama mereka tentang kehebatan dan kemahiran mereka berperang – ini adalah petanda bahawa ketumbukan tentera itu merupakan pasukan tentera yang kuat.”
“Jika tentera musuh itu sudah dikejutkan beberapa kali, para pegawai dan tentera-tenteranya sudah tidak lagi berdisplin; mereka menakut-nakutkan sesama mereka dengan cerita-cerita tentang kekuatan musuh; mereka bercakap dan mengkritik sesama sendiri tentang kelemahan yang ada pada mereka, mereka mencurigai antara satu sama lain dan jika diberi perhatian kepada apa yang cakapkan dan terdengar ada di antara mereka heboh menceritakan mengenai bala yang bakal menimpa dan banyak mulut pula membawa khabar-khabar berita yang mengelirukan sesama mereka; mereka tidak mematuhi peraturan dan undang-undang dan tidak mengambil endah akan kedudukan Jeneral mereka – Ini ialah petanda dan petunjuk jelas yang menunjukkan bahawa tentera tersebut merupakan sebuah pasukan tentera yang lemah.”
“Jika tentera itu disusun dengan baik; (ditambah) strategi ketumbukan yang jitu – dengan parit pertahanan yang dalam disamping tembok pertahanan yang kukuh dan tinggi – dan mereka memandang kehadiran angin yang kuat dan hujan lebat sebagai satu kelebihan buat mereka dan mereka tidak bimbang kerananya (angin dan hujan tersebut). Panji-panji amaran dan petunjuk berkibar ke hadapan Bunyi paluan gong dan loceng mereka bergema tinggi dan jelas; dan bunyi gendang-gendang perang mereka tidak kira samada ia kecil atau besar jelas kedengaran – inilah petanda tentera mereka memperolehi semangat tinggi, bantuan kebijaksanaan dan menunjukkan bahawa kemenangan besar berpihak kepada mereka. “Jika susun atur mereka tidak jitu, panji petunjuk dan panji amaran mereka dalam kedudukan mengelirukan dan berbelit antara satu sama lain; mereka berada dalam kedudukan yang terbalik dari mendapat kelebihan dari tiupan angin dan hujan yang lebat; tentera-tentera mereka pula mula ketakutan akibat angin dan hujan yang tidak memberikan kelebihan kepada mereka; Ch’i (semangat atau moral) mereka hancur dan dalam masa yang sama mereka tidak bersatu; kuda-kuda perang mereka menjadi takut dan melarikan diri; kenderaan-kenderaan perang mereka (chariot) mengalami kerosakan; bunyi paluan gong dan loceng mereka tenggelam dan tidak jelas; bunyi paluan gendang mereka yang kedengaran basah dan lembap – inlah petunjuk bahawa kekalahan besar sedang menanti.” 1 (MIA : di dalam peperangan mereka dahulu, bendera-bendera dikibarkan bagi menandakan gerakan-gerakan yang bakal diatur dan kedudukan mereka seharusnya berada di dalam arah yang selari dengan tiupan angin bagi memberi kelebihan kepada pasukan pemanah. Bendera petunjuk yang berkibar ke hadapan membawa maksud pasukan itu mempunyai perancangan dan mengambil kedudukan strategik kerana segala bentuk kelebihan bakal berpihak kepada mereka. Begitu jua dengan bunyi gendang perang yang jelas kedengaran menunjukkan kedudukan pasukan tentera tersebut berada di kedudukan strategik selari dengan arah tiupan angin dan semangat pemukulnya yang tinggi)Mengenali dan memerhatikan keadaan sepertimana yang ditegaskan Ta’i Kung kepada maharajanya, nampak jelas bahawa Iran belum tentu dapat diperangi dengan mudah. Sebagaimana Ta’i Kung di dalam Enam Rahsia Ajaran Ta’i Kung menjelaskan, semangat, kesatuan, displin dan kekuatan moral diletakkan sebagai indikasi pertama yang harus diberikan perhatian bagi mana-mana jeneral pasukan perang sebelum menyerang lawan mereka. Ini kerana dedikasi, semangat, displin, kesatuan dan moral itu bakal membuahkan barisan pertahanan dan barisan serangan yang kuat dan jitu. Dari semua persefahaman yang wujud inilah lahirnya taktik-taktik perang yang membawa kelebihan positif dan bijak. Kerana itulah, taktikal dalam peperangan diletakkan pada perkara sekunder yang harus ditakuti.
Rujukan :
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.