Monday, January 19, 2009

Palestin : Sebuah Post Mortem

5
oleh Muhammad ibn 'Az

Bismillahir Rahmaanir Raheem.. Setiap kesudahan terbentuk dari jalan yang ditempuh. Setiap jalan yang ditempuh, langkah-langkah diatur menurut perancangan dan juga gerak hati. Setiap gerak hati didorong satu permulaan azam dan setiap azam ditanam setelah membuat ketetapan dari penilaian. Setiap penilaian bermula dengan permerhatian. Memerhati dengan hati membawa mati, memerhati dengan mata membawa kepalsuan mengaburi yang nyata. Memerhati dengan akal, satu hala tuju mencari redha Allah membawa kesudahan bahagia di dunia dan akhirat.

Bahagia itu tidak diukur dengan harta tidak juga ia diukur dengan gulung-gulung ijazah menggunung. Ia tidak diukur dengan gelaran dan juga jumlah keluarga serta pujian manusia. Tetapi bahagia itu satu kesudahan dan pengakhiran kepada penghujung harapan dalam mencari redha Allah. Biar berdebu air diminum, biar rezeki dimakan bersulam darah, biar bayi comel sendiri yang masih menyusu terkorban, biar tulang menggeletar kesejukan dihembus bayu malam dicelah-celah runtuhan bangunan yang satu ketika dahulu dipanggil kediaman, biar dibiarkan saudara-saudara yang ramai di seluruh dunia yang tidak berbuat apa-apa, tetapi dalam mencari bahagia di dalam pengakhiran redha Allah, semua itu tidak apa. Tidak mengapa jika saudara-saudara seagama membisu tak bersuara. Tidak mengapa jika saudara-saudara seagama tidak membantu menghulurkan dana. Tidak mengapa jika terus tergamak meminum Cola buatan Amerika. Tidak mengapa jika saudara-saudara yang ada gemar beretorik takut dihukum neraka dunia di kiri tangan Dajjal setelah dihujankan Dajjal dengan kesuburan syurga dunia dalam bentuk ekonomi yang terjana.

Muhammad s.a.w. sudah 1400 tahun menubuhkan negara Madinah, Pohon kurma di Baysan sudah lama berbuah, Tasik Tabariyyah (Galilee) semakin surut dan berada di penghujung akhir khidmatnya kepada manusia, ‘anak-anak gembala’ sudah berkahwin mengalahkan raja, Muslim sudah mula dikerumun serigala yang lapar biar pun jumlah mereka terlalu banyak. Sebahagian besar ulama-ulama sudah mula mengikut keperibadian orang-orang yang terdahulu daripada mereka. Sebahagian besar ulama-ulama sudah pun terkesima dengan keperibadian bersandar retorik kata-kata. Disembunyikan perintah Allah untuk menghalalkan yang jelas dilarang. Diubah hadis-hadis nabi bagi membela sahabat karib yang bersedekah. Malang tiada wujud muslim berpangkat ulama’ pada kualiti keperibadian Abdullah bin Salam, bekas Rabbi Yahudi di zaman Rasulullah tidak berani muncul untuk menegur.

Semuanya ada kaitan dengan apa yang telah diberitahukan kepada kita lama dahulu. Sehari bagai setahun sudah berlalu. Sehari bagaikan sebulan di penghujung hari terakhirnya melengkapkan sepurnama. Sehari bagaikan seminggu, benang putih dari kegelapan malamnya sudah mula menampakkan tanda yang menandakan subuh hari ketiga itu menjelang tiba. Semua ini berkenaan dengan dia. Dia pernah berkata kepada Tamim ad Dari 1400 tahun dahulu bahawa, “Aku akan beritahukan tentang diriku kepada engkau. Aku ialah Dajjal. Waktunya sudah hampir tiba untuk aku diizinkan pergi. Aku akan bergerak dari tempat ke tempat selama empat puluh hari. Tiada tempat di dunia yang tidak aku singgah kecuali Mekah dan Madinah. Di sana ada malaikat yang menunggu dengan pedang terhunus pada setiap jalan di kota tersebut.”

Setelah terbuang jauh di lautan dan dipukul gelombang selama sebulan, itu sebahagian berita mengenai Dajjal yang dibawakannya kepada Rasulullah setelah kembalinya dia ke Madinah. Hari ini, hanya Allah sahaja yang memiliki pengetahuan sebenar apakah benar hari-hari yang kita lalui ini merupakan yang hari yang ke 2 di dalam empat puluh hari perjalanan Dajjal membuat onar di muka bumi. Jika menilaikan semua tanda-tanda serta petunjuk yang ditinggalkan, tidak salah untuk menyatakan bahawa bahawa ia jelas mendorong kepada sebuah kesimpulan kemas yang menandakan dengan tiada ragu bahawa akhir zaman sudah pun bermula pada ketika sebelum kejatuhan sistem khalifah Turki Uthmaniah.

Rasulullah mahukan kita semua sentiasa peka dan memerhatikan petanda-petanda yang diberitahukannya supaya dapat berwaspada dengan kemunculan Dajjal. Pendek kata, baginda sendiri pernah mengintip dari sebalik kebun kurma dengan beberapa orang sahabat apabila diberitahukan kepada baginda tentang seorang pemuda dari Bani Israil yang memiliki beberapa persamaan susuk fizik dengan al Masih ad Dajjal. Nyata Ibnu Sayyad yang diintip tersebut bukanlah Dajjal yang dimaksudkan apabila salah satu daripada ciri-ciri utama yang perlu ada pada Dajjal tidak dimilikinya. Dajjal tidak dapat menembusi dan memasuki Madinah, tetapi Ibnu Sayyad tinggal dan menetap di sana. Maka dia bukanlah Dajjal yang dibertahukan tentang kewujudannnya kepada kita. Perhatikan nanti, sebaik sahaja Amerika jatuh tersungkur akibat greenback yang susut nilai, subuh hari ketiga akan muncul. Tika dan saat itu, akan bangunlah sebuah kuasa baru dunia di atas satu cita-cita bangsa palsu menuntut janji Tuhan kepada Abram. Untuk berbicara dan membedah siasat pemasalahan saudara-saudara kita di Palestin, tidak dapat tidak, harus dibentangkan hingga ke akar permulaan masalah tersebut yang bermula pada waktu seluruh alam langit dan bumi mula terbentuk mengikut apa yang dipercayai oleh orang-orang Yahudi. Maka disinilah bermulanya kisah tuntutan palsu sebuah bangsa degil ke atas tanah yang dijanjikan Allah kepada mereka-mereka yang beriman.

Post Mortem Permasalahan Palestin :
Dari Penciptaan Langit dan Bumi ke Generasi Abram :

Menurut tradisi Yahudi yang diceritakan, bermulanya penciptaan langit dan bumi dari sebuah batu yang kini dikatakan ditempatkan di bawah batuan di dalam Kubah As Sakhra (Dome of the Rock) Palestin. Lalu daripadanya diciptakan Tuhan cahaya, langit, bumi, air, siang dan malam pada hari pertama. Rabbi-rabbi Yahudi menyatakan bahawa, di tempat itulah berkumpulnya semua doa dan harapan manusia di bumi sebelum diangkat kepada Tuhan setiap hari. Ia menjadi pintu ke kerajaan langit. (Muhammad s.a.w. pernah menjejakkan kaki di tempat ini pada malam Israk sebelum diMikraj menghadap Allah). Hingga ke akhir penciptaan di hari ke enam apabila debu dan tanah dari bumi dibentuk dan ditiupkan roh menjadi satu lagi bangsa terbaru makhluk ciptaan Tuhan. Dia disamakan keupayaan akal mengikut sunnah Tuhan. Dinamakan dirinya Adam dan ditempatkan buat sementara waktu di Syurga sehinggalah Iblis di dalam rupabentuk ular menghasut pasangannya dan menyebabkan kedua mereka dan Iblis tersebut dihalau ke bumi dengan sumpahan permusuhan antara ketiganya sehingga kiamat.

Adam berkahwin dengan Hawa dan melahirkan Abel (Habil) dan Cain (Qabil). Kerana berebutkan wanita, darah dari pembunuhan manusia pertama tertumpah di atas bumi amanah Tuhan kepada bangsa manusia ini. Disumpah laknat Cain tujuh keturunan kerana perbuatannya lalu dia membawa diri ke timur Eden dan bermastautin di sebuah tempat yang dinamakan Nod. Dinamakan Nod kerana ia tidak pernah diam dari gegaran masalah berpunca dari jiwa Cain yang tidak pernah tenteram.1 Lalu dari jalur keturunannya dilahirkan semua pemuzik yang bermain harp dan seruling. Dari dirinya juga dilahirkan Tubal Cain yang menjadi moyang kepada mereka-mereka yang mempunyai kepakaran membentuk peralatan dengan menggunakan tembaga dan besi.

Ketika Adam berumur 130 tahun, Hawa melahirkan seorang lagi anak kepadanya. Oleh kerana pada ketika waktu kelahiran anak tersebut Hawa berkata, “Tuhan telah memberikan anak lelaki kepada aku untuk menggantikan Abel (Habil) yang dibunuh Cain (Qabil),” Lalu Hawa menamakan dia sebagai Seth yang di dalam bahasa Hebrew menyamai maksud ‘yang telah memberikan’. 2 Bermula pada keturunan inilah nama Tuhan mula dicemarkan dengan penyabitannya dengan berhala-berhala sembahan manusia.3 Seth dikurniakan anak lelaki bernama Enosh, Enosh pula dikurniakan anak lelaki bernamaKenan. Dari Kenan dilahirkan Mahalel dan dari Mahalel, Jared dilahirkan. Dari Jared, dilahirkan Enoch dan dari Enoch, Metushelah dilahirkan. Pada usia 187 tahun, Metushelah dikurniakan anak lelaki bernama Lamech. Metushelah meninggal dunia pada usia 969 tahun. Lamech berusia 182 tahun pada ketika dia dikurniakan anak lelaki. Dalam gembira menyambut anak lelaki tersebut, Lamech meletakkan pengharapan agar anak yang dikurniakan ini bakal mengeluarkan mereka dari semua permasalahan dan kerja-kerja berat. Kerja-kerja berat dilakukan mereka berpunca akibat sumpahan dari perbuatan dosa Adam di mana setiap gandum yang mereka tanam membuahkan lalang dan pohon berduri. Semua pekerjaan dilakukan dengan tangan tanpa peralatan yang sesuai. Dengan rahmat kedatangan anak ini nanti, diharapkan agar semua permasalahan tersebut akan dicabut dari mereka dan ianya akan membawa kelegaan kepada seluruh masyarakat. Lalu dinamakan anak tersebut dengan nama Noah (Nuh) yang membawa maksud ‘kelegaan’ di dalam bahasa Hebrew.2

Selepas berumur 500 tahun, Noah mempunyai tiga orang anak. Shem, Ham dan Japheth. Ketika itu, apabila Tuhan (sepertimana yang digambarkan di dalam Bible) melihatkan kepada perbuatan jahat manusia yang semakin menjadi-jadi, lalu ia menjadi satu kekesalan kepadaNya dan membuatkan Dia menyesal kerana menciptakan manusia. Keputusan lalu diambil dan Tuhan berkata, “Aku akan menghapuskan semua manusia-manusia ini yang aku ciptakan, termasuk binatang-binatang dan burung-burung kerana Aku menyesal menciptakan setiap satu daripada mereka,". Tetapi Tuhan suka kepada Noah.Lalu diperintahkan Noah membina sebuah bahtera untuk memuatkan semua hamba-hamba Tuhan yang beriman kepadaNya dan semua binatang-binatang secara berpasang-pasangan. Tujuh hari selepas dari perintah tersebut diberikan kepada Noah, hujan lebat akan turun ke bumi tanpa henti selama empat puluh hari siang dan malam.

Ketiga-tiga anak Noah menurut dan memasuki bahtera tersebut, mereka dikategorikan sebagai manusia-manusia yang beriman kepada Tuhan pada ketika tersebut. Shem, Ham dan Japteth antara mereka yang terselamat dari bencana banjir besar tersebut. Kebiasaan bagi mana-mana tradisi Hebrew, anak sulung harus diutamakan. Perhatikan dari awal kejadian seperti yang diringkaskan dari kitab kejadian, semua nama yang disebutkan turun temurun dari Adam merupakan anak sulung, tetapi bermula di sini di dalam ayat Genesis (Kitab Kejadian) fasal 6 ayat 9 hingga 10, hak anak sulung diketepikan bagi memberi keutamaan kepada Shem.

Sebenarnya Japheth merupakan anak sulung kepada Noah, tetapi Shem diletakkan di dalam keutamaan senarai yang disebutkan di dalam ayat di atas disebabkan dia merupakan bapa kepada keturunan Abraham yang mana akan lahir dari susur galur keturunannya bangsa Israil. Keutamaan menyalahi hukum-hukum yang telah ditetapkan, malah di dalam kitab yang didakwakan mereka sebagai Taurat Musa juga telah disebutkan bahawa :

Deuteronomy 21 : 15 – 17
21:15 If a man have two wives, one beloved, and another hated, and they have born him children, both the beloved and the hated; and if the firstborn son be hers that was hated. Then it shall be, when he maketh his sons to inherit that which he hath, that he may not make the son of the beloved firstborn before the son of the hated, which is indeed the firstborn. But he shall acknowledge the son of the hated for the firstborn, by giving him a double portion of all that he hath: for he is the beginning of his strength; the right of the firstborn is his.
4
Terjemahannya : Kitab Ulangan : 15 – 17
21:15 "Apabila seorang mempunyai dua orang isteri, yang seorang dicintai dan yang lain tidak dicintainya, dan mereka melahirkan anak-anak lelaki baginya, baik isteri yang dicintai mahupun isteri yang tidak dicintai, dan anak sulung adalah dari isteri yang tidak dicintai, maka pada waktu ia membahagikan warisan harta kepunyaannya kepada anak-anaknya itu, tidak boleh ia memberikan bahagian anak sulung kepada anak dari isteri yang dicintai dengan menyebabkan merugikan anak dari isteri yang tidak dicintai, yang merupakan anak sulung. Tetapi dia harus mengakui anak yang sulung, anak dari isteri yang tidak dicintai itu, dengan memberikan kepadanya dua bagian dari segala kepunyaannya, sebab dialah kekuatannya yang pertama-tama: dialah yang empunya hak sebagai anak yang pertama."5

Apa jua bentuk kebencian kepada isteri atau perbuatannya, hak anak sulung itu seharusnya dihormati. Perhatikan bagaimana nanti di dalam kitab Bible, semua hak-hak ini dirampas tanpa alasan yang munasabah, malahan ada diantaranya melalui penipuan bagi memberi jalan kepada Bani Israil terpilih sebagai kaum yang dikatakan berpegang kepada janji Tuhan dengan Abraham.

Di dalam Genesis fasal 6 ayat 9 hingga 10, disusun keutamaan anaknya sebagai berikut. Shem, Ham dan Japteth. Hak Japteth sebagai anak sulung sudah diketepikan. Ia demi bagi memberi kemuliaan kepada mereka-mereka yang bakal membentuk keturunan Bani Israil.
Fakta : Ham, yang juga anak bongsu kepada Noah merupakan bapa kepada keturunan Canaan. Orang-orang Canaan merupakan penduduk asal negara Palestin yang mana pada ketika itu dikenali sebagai Tanah Canaan.

Laknat pertama Tanakh & Bible ke atas Bangsa Canaan :
Selepas terselamat daripada banjir besar tersebut, Noah (menurut Bible) merupakan antara manusia pertama yang menanam anggur secara bentuk perladangan. Anggur-anggur yang ditanamnya dijadikan wine sebagai minuman. Setelah meminum wine yang dihasilkan, Noah menjadi mabuk. Akibat daripada kemabukan tersebut, Noah menanggalkan kesemua pakaiannya sehingga bertelanjang tanpa seurat benang. Lalu dia tidur di dalam khemahnya dalam keadaan tanpa seurat benang. Ham yang ternampak bapa mereka dalam keadaan telanjang bertindak keluar lalu memanggil kedua abang dan adiknya Shem dan Japteth. Shem dan Japteth lalu mengambil sehelai jubah dan meletakkannya dibelakang mereka, lalu mereka berjalan secara mengundur ke khemah tersebut dan menutup aib bapa mereka. Sedar sahaja Noah dari mabuknya, dan mengetahui apa yang dilakukan oleh anak bongsunya, lalu dia pun menyumpah Ham dan seluruh keturunannya sepertimana yang tersebut di dalam ayat dari Genesis fasal 9 ayat 24 hingga 27 seperti di bawah.

Genesis 9 : 24 - 27
9:24 And Noah awoke from his wine, and knew what his younger son had done unto him. And he said, Cursed be Canaan; a servant of servants shall he be unto his brethren. And he said, Blessed be the LORD God of Shem; and Canaan shall be his servant. God shall enlarge Japheth, and he shall dwell in the tents of Shem; and Canaan shall be his servant.
4
Terjemahannya : Kitab Keluaran 9:24 Setelah Nuh tersedar dari mabuknya dan mendengar apa yang dilakukan anak bongsunya kepadanya, berkatalah ia: "Terkutuklah Kanaan, hendaklah ia menjadi hamba yang paling hina bagi saudara-saudaranya." Lagi katanya: "Terpujilah Dia, Tuhan kepada Shem, Canaan akan menjadi hamba baginya.

Apa sebenarnya yang dilakukan oleh Ham sehingga keturunannya menjadi laknat dan disumpah menjadi hamba kepada Shem bapa terawal bagi keturunan Bani Israil? Merujuk beberapa Bible termasuk Tafsir Bible itu sendiri, alasan yang diberikan sangat tidak lojik untuk dijadikan hujah bagi menghukum seluruh keturunan di atas alasan kesalahan yang kecil melihat keaiban bapa sendiri.

Menurut Matthew Henry di dalam Tafsir Biblenya seperti yang di petik di bawah :
God often visits the iniquity of the fathers upon the children, especially when the children
inherit the fathers' wicked dispositions, and imitate the fathers' wicked practices, and do nothing to cut off the entail of the curse. Disgrace is justly put upon those that put disgrace upon others, especially that dishonour and grieve their own parents. An undutiful child that mocks at his parents is no more worthy to be called a son, but deserves to be made as a hired servant, nay, as a servant of servants, among his brethren. Though divine curses operate slowly, yet, first or last, they will take effect. The Canaanites were under a curse of slavery, and yet, for a great while, had the dominion; for a family, a people, a person, may lie under the curse of God, and yet may long prosper in the world, till the measure of their iniquity, like that of the Canaanites, be full.6
Terjemahannya : Kebiasaannya Tuhan akan mengenakan kejahatan yang dilakukan oleh nenek moyang ke atas keturunannya, terutamanya apabila anak-anak keturunannya mewarisi sikap buruk nenek moyangnya, dan meniru perbuatan buruk nenek moyangnya, dan tidak berbuat sesuatu bagi menjadikan laknat yang dikenakan ke atas mereka terbatal. Kehinaan hanya menimpa ke atas mereka yang menghinakan orang-orang yang lain, terutamanya mereka-mereka yang mencemar hinakan serta membuat ibu bapanya bersusah hati. Anak-anak yang tidak bertanggungjawab yang memperolok-olokkan ibu bapa mereka adalah tidak layak langsung untuk digelarkan sebagai anak, tetapi dia selayaknya dijadikan hamba, tidak, seharusnya menjadi hamba kepada hamba-hamba di kalangan saudara-saudaranya. Walaupun laknat Tuhan ini direalisasikan secara beransur-ansur, tetapi, untuk saat-saat genting, ianya kekal di dalam penguasaan (laknat tersebut). Untuk keluarga, bangsa, individu, boleh jadi berada di bawah laknat Tuhan tetapi mungkin boleh kekal berjaya di dalam kehidupan dunia sehinggalah hukuman laknat Tuhan ke atas mereka, sepertimana yang dikenakan ke atas Canaann, dipenuhi.

Matthew Henry yang menulis Tafsir Bible ini terlepas pandang kepada dua perkara. Pertama, dia menafsirkan ayat tersebut menurut pandangannya dan gagal merujuk kepada pandangan Rabbi Yahudi mengenai apa sebenarnya yang dilakukan Ham (menurut tradisi Yahudi), sehingga laknat Tuhan menimpanya dan keturunan Canaan daripadanya. Ini kerana, Kitab Old Testament yang terdapat di dalam Bible yang menjadi 2/3 daripada kitab yang disebut sebagai Injil Kristian sekarang ini, merupakan Kitab Tanakh Yahudi. Untuk memahami dan menafsirkan Kitab-Kitab Yahudi ini, seseorang yang melakukannya tidak boleh melakukannya tanpa merujuk kepada kitab-kitab yang dikarang oleh golongan tersebut. Kitab-kitab Midrash seperti kitab Bereishit Rabbah yang berkaitan dengan Book of Genesis ini seharusnya dirujuk untuk memahaminya dari pandangan Ahli Kitab dari bangsa Yahudi kerana kitab ini diturunkan kepada bangsa mereka sebelum diubah. Mudah bagi seorang Muslim yang untuk mengkaji Bible dan Tanakh kerana kita mempunyai panduan jelas dan cara bagaimana memahami al Qur’an dan ilmu-ilmu tentangnya yang membentuk paksi turutan apa yang dibolehkan dan apa yang tidak dibolehkan dalam mentafsirkan ayat al Qur’an. Kita memahami bahawa untuk memahami ayat al Qur’an terdapat elemen-elemen yang perlu dipertimbangkan seperti Asbabun Nuzul (sebab-sebab turunnya ayat), nasikh dan mansukh, Bahasa Arab, ilmu balaghah, Usul fiqh, Ilmu Qiraat dan ilmu-ilmu dunia yang dapat membantu meletakkan landasan tafsiran di dalam arah yang betul., bagaimana sesuatu ayat itu ditafsirkan dengan ayat al Qur’an yang lain, bagaimana ayat al Qur’an itu ditafsirkan dengan hadis-hadis Nabi dan bagaimana ayat-ayat al Qur’an ditafsirkan dengan perkataan para sahabah (Tafsir Bir Riwayah). Bagaimana sesuatu ayat al Qur’an itu diterjemahkan dengan penjelasan Rasulullah s.a.w., dan juga bagaimana sesuatu ayat di ditakwilkan (dikembalikan) penafsirannya kepada ijtihad para ulama yang memiliki kesemua syarat yang diperlukan untuk mentafsirkan ayat-ayat al Qur’an (Tafsir Bid Dirayah).
Syarat-syarat ketat ini membuatkan mana-mana mufassir (ahli tafsir) sentiasa berhati-hati di dalam membuat tafsiran mereka dan amat teliti dalam memutuskan takwil yang hampir kepada yang benar kepada apa yang dimaksudkan dengan ayat-ayat tersebut. Takwil sebenar pada keseluruhan lapisan maksud ayat hanya Allah sahaja yang mempunyai pengetahuan mengenainya. Syarat-syarat ketat ini juga menjadikan mana-mana ahli tafsir berkeupayaan untuk memahami kitab-kitab sebelum al Qur’an dengan mudah. Lihat sahaja Maulana M. Rahmatullah Kairanvi pengarang kitab Izhar ul Haq yang menjawab dakwah Kristian yang disebarkan di India dalam bentuk buku Mizanul Haq dan dakwah Kristian yang ditentangnya di kurun ke 19. Begitu juga dengan Syed Qutb (Fi Zilalil Qur’an) dan Hamka (Tafsir al Azhar), mereka hebat di atas ilmu yang dikurniakan Allah kepada mereka termasuk Kitab-Kitab yang diturunkan sebelum daripada al Qur’an. Tulisan-tulisan mereka ini banyak membantu saya dengan cara mereka menggariskan serta menghujahkan sesuatu ayat. Hampir 360 darjah keliling sesuatu ayat itu disentuh mereka bagi memberi kefahaman. Dan cara itu sedikit sebanyak membantu sesiapa yang biasa dengan kitab tulisan mereka untuk bergerak sendiri mencari kebenaran. Tetapi kehebatan mereka akhirnya menjadikan mereka buruan pihak-pihak yang tidak senang dengan mereka.

Mereka menggunakan ilmu-ilmu dalam bidang Tafsir al Qur’an sebagai bantuan mereka untuk mengkaji ilmu berkaitan kitab-kitab sebelum dari al Qur’an. Dengan hanya menggunakan kaedah yang lebih kurang seperti kaedah Tafsir Bir Riwayah, pembohongan yang dimasukkan ke dalam kitab-kitab Taurat, Zabur dan Injil sepertimana yang didakwa oleh ahli-ahli kitab dengan sendirinya termuntah keluar dari kitab-kitab mereka tanpa perlu bersusah payah untuk memahaminya. Mudah bagi Muslim untuk mengetahui yang mana betul dan yang mana palsu di dalam kitab mereka. Dengan membiasakan diri dengan al Qur’an, dengan mudah gaya bahasa dan cara ayat yang dipersembahkan di dalam kitab-kitab sebelumnya kita akan ketahui sama ada ianya ayat dari Tuhan atau pun ayat-ayat yang dipautkan masuk oleh manusia-manusia yang dilaknat Allah.

Dengan berpandukan al Qur’an yang juga berfungsi sebagai al Furqaan, ayat-ayat dalam kitab-kitab sebelum ini boleh disahkan benar atau palsu atau terkadangnya terdapat ayat-ayat yang mana Rasulullah s.a.w. pernah berkata, jangan mengiakan dan menafikan tentangnya. Allah s.w.t. berfirman dalam surah Ali Imran ayat 3 hingga 4

Diturunkannya kepada kamu al Kitab (al Qur’an yang berisi) kebenaran membenarkan Kitab-kitab yang berada di depannya (kitab-kitab yang turun sebelumnya) dan diturunkanNya pula Taurat dan Injil. Sebelumnya (sebelum diturunkannya al Qur’an) menjadi petunjuk bagi manusia dan diturunkanNya pula al Furqaan (Kitab yang memisahkan yang hak dan yang batil). Sesungguhnya orang-orang yang kafir terhadap ayat-ayat Allah, bagi mereka disediakan siksa yang berat, dan Allah Maha Tangguh (menguasai segala urusan sehingga tidak ada suatu pun yang dapat menghalangiNya untuk menunaikan janji baik dan janji burukNya) dan mempunyai balasan siksa (terhadap orang yang derhaka)7

Berbalik kepada Matthew Henry di dalam menafsirkan kitab Genesis (kitab keluaran), apa yang dia terlepas pandang ialah di dalam Kitab Midrash Gen. Rabbah (Bereishit Rabbah), tradisi Hebrew menyatakan bahawa laknat tuhan ditimpakan Tuhan ke atas Ham adalah seperti yang di petik seperti di bawah.

Cursed be Canaan You have caused me to be incapable of begetting another fourth son to serve me. Cursed be your fourth son, that he should minister to the children of these older ones [Shem and Japhet], upon whom the burden of serving me has been placed from now on. Now what did Ham see (what reason did he have) that he castrated him? He said to his brothers,“The first man [Adam] had two sons, and one killed the other so as to inherit the world, and our father has three sons, and he still desires a fourth son!”
Terjemahannya : Laknat Tuhan ke atas Canaan: Engkau telah menjadikan aku tidak lagi mampu mempunyai anak ke empat untuk berkhidmat kepadaku. Laknat jatuh ke atas anak ke empat dari engkau yang dia seharusnya berkhidmat kepada anak-anak saudara (saudara Ham) yang lebih tua daripadanya (iaitu Shem dan Japteth), yang mana bebanan (laknat khidmat) tersebut dikenakan bermula sekarang. Sekarang (diperjelaskan) apa di dalam fikiran Ham semasa dia melakukan perbuatan mengkasi kemaluan bapanya sendiri. Dia berkata kepada saudara-saudaranya, “Manusia pertama (Adam) mempunyai dua orang anak, seorang membunuh yang seorang lagi untuk mewarisi dunia, dan bapa kita pula mempunyai anak seramai tiga orang, dan dia masih lagi inginkan anak yang ke empat!

Na’uzubillah.. segala yang dibentangkan di atas dari awal merupakan semua yang dikisah di dalam kitab kejadian (Genesis) di dalam Bible fasal satu hingga sembilan. Mereka memfitnah Nabi Allah Nuh a.s. yang dipandang mulia orang Islam dengan sabitan kelakuan mabuk dan bertelanjang sehinggakan dikasi kemaluannya oleh anaknya sendiri. Al Qur’an menyatakan perkara baik bagi Nuh dan jauh sekali sikap dan perbuatan sedemikian rupa layak bagi Rasul Allah yang pertama.

Permasalahan Yahudi-Kristian Evangelist dengan bangsa penghuni Palestin bermula dengan tuntutan yang menyatakan bahawa ‘Foundation Stone’, batu yang digunakan Tuhan sebagai asas penciptaan langit dan bumi berada di bawah kubah as Sakkhra. Kemudian dilanjutkan dengan ayat yang menyatakan bangsa Canaan penduduk asal negara Palestin merupakan bangsa yang dilaknat Tuhan di atas perbuatan bapa kepada keturunan itu yang mengkasi kemaluan bapanya Noah. Jadi mereka memandang dengan pandangan hina ke atas bangsa Canaan dengan menganggap bangsa itu pada kelas tiga itu pada tahap hamba kepada hamba abdi mereka. Bermula dari Genesis fasal 9, segala pencabulan hak ke atas penduduk asal tanah Palestin ini akan menajdi-jadi dengan lebih teruk lagi.

Berbalik kepada komentar yang di buat oleh Matthew Henry tadi, seperti mana yang dinyatakan di atas bahawa dia terlepas pandang di dalam dua perkara. Perkara pertama sepertimana yang dibentangkan di atas tadi ialah berkenaan tafsiran yang dibuatnya dengan tidak merujuk apa kata Rabbi Yahudi mengenai sejarah ayat tersebut. Perkara kedua yang dia terlepas pandang ialah komennya itu akan memakan diri apabila sampai kepada penceritaan mengenai Jacob (Yaakob) dan Esau anak kepada Isaac (Ishak) nanti.
Kita tidak mahu membincangkan mengenai kenapa Tuhan di dalam Bible seperti gagal untuk memilih orang yang tepat bagi dimuatkan di dalam Bahtera Noah sepertimana yang yang dikatakanNya di dalam ayat Genesis fasal 7.

7:1 And the LORD said unto Noah, Come thou and all thy house into the ark; for thee have I seen righteous before me in this generation.4
Terjemahannya : 7:1 Lalu berfirmanlah TUHAN kepada Nuh: "Masuklah ke dalam bahtera itu, engkau dan seisi rumahmu, sebab engkaulah yang Kulihat benar di hadapan-Ku di antara orang zaman ini.5

Begitu juga dengan penyesalan Tuhan terhadap keputusannya menciptakan manusia lalu ingin Dia menghapuskan manusia di atas kesilapanNya dalam menilai halatuju makhluk-makhluk ciptaanNya. Begitu juga dengan percanggahan yang terlalu banyak bermula dengan ayat-ayat penciptaan di dalam Genesis fasal satu sehingga 10 yang sedang dibincangkan. Ini kerana tujuan penulisan ini bukanlah untuk mencari kelemahan tetapi untuk memahami kenapa dunia Judeo-Kristian sangat-sangat membenci dan membiarkan orang-orang Palestin dibunuh seperti tiada nilai sedikitpun nyawa mereka. Untuk membincangkan kelemahan kitab mereka, mungkin di penulisan nanti.

Di dalam Genesis fasal 10 diceritakan mengenai, keturunan Shem, Ham dan Japteth. Anak-anak kepada Japteth adalah seperti berikut – Gomer, Magog(Makjuj), Madai, Javan, Tubal, Meshech dan Tiras. Mereka merupakan bapa-bapa kepada bangsa manusia yang dikenali dengan nama yang sama dengan nama mereka. Anak-anak Gomer merupakan kaum yang dikenali sebagai Ashkenaz, Riphath dan Togarmah. Anak-anak Javan merupakan penduduk Elisha, Sepanyol, Cyprus dan Rhodes.

Keturunan Ham pula adalah seperti yang dinayatakan di dalam Genesis Fasal 10 seperti berikut:
10:6 And the sons of Ham; Cush, and Mizraim, and Phut, and Canaan.
10:7 And the sons of Cush; Seba, and Havilah, and Sabtah, and Raamah, and Sabtechah: and the sons of Raamah; Sheba, and Dedan.
10:8 And Cush begat Nimrod: he began to be a mighty one in the earth.
10:9 He was a mighty hunter before the LORD: wherefore it is said, Even as Nimrod the mighty hunter before the LORD.
10:10 And the beginning of his kingdom was Babel, and Erech, and Accad, and Calneh, in the land of Shinar.
10:11 Out of that land went forth Asshur, and builded Nineveh, and the city Rehoboth, and Calah,
10:12 And Resen between Nineveh and Calah: the same is a great city.
10:13 And Mizraim begat Ludim, and Anamim, and Lehabim, and Naphtuhim,
10:14 And Pathrusim, and Casluhim, (out of whom came Philistim,) and Caphtorim.
10:15 And Canaan begat Sidon his first born, and Heth,
10:16 And the Jebusite, and the Amorite, and the Girgasite,
10:17 And the Hivite, and the Arkite, and the Sinite,
10:18 And the Arvadite, and the Zemarite, and the Hamathite: and afterward were the families of the Canaanites spread abroad.
10:19 And the border of the Canaanites was from Sidon, as thou comest to Gerar, unto Gaza; as thou goest, unto Sodom, and Gomorrah, and Admah, and Zeboim, even unto Lasha.
10:20 These are the sons of Ham, after their families, after their tongues, in their countries, and in their nations.


terjemahannya : 10:6 Dan berikut anak-anak Ham; Cush, dan Mizraim, dan Phut, dan Canaan.
10:7 Anak-anak kepada Cush; Seba, dan Havilah, dan Sabtah, dan Raamah, dan Sabtechah: dan anak-anak kepada Raamah; Sheba, dan Dedan.
10:8 dan Cush melahirkan Nimrod(Namrud): dan dia menjadi antara penguasa terbesar di dunia..
10:9 Dia merupakan seorang pemburu yang gagah di hadapan Tuhan: disebabkan pernah dikatakan, "Seperti Nimrod, seorang pemburu yang gagah perkasa di hadapan TUHAN."
10:10 Mula-mula kerajaannya terdiri dari Babel, Erekh, dan Akad, semuanya di tanah Sinear.
10:11 Dari negeri itu ia pergi ke Asyur, lalu mendirikan Niniwe, Rehobot-Ir, Kalah
10:12 dan Resen di antara Niniwe dan Kalah; itulah kota besar itu.
10:13 Misraim memperanakkan orang Ludim, orang Anamim, orang Lehabim, orang Naftuhim,
10:14 orang Patrusim, orang Kasluhim dan orang Kaftorim; (dari mereka inilah berasal orang Filistin.)
10:15 Kanaan memperanakkan Sidon, anak sulungnya, dan Het,
10:16 serta orang Yebusi, orang Amori dan orang Girgasi;
10:17 orang Hewi, orang Arki, orang Sini,
10:18 orang Arwadi, orang Semari dan orang Hamati; kemudian berseraklah kaum-kaum orang Kanaan itu.
10:19 Daerah orang Kanaan adalah dari Sidon ke arah Gerar sampai ke Gaza, ke arah Sodom, Gomora, Adma dan Zeboim sampai ke Lasa.
10:20 Itulah keturunan Ham menurut kaum mereka, menurut bahasa mereka, menurut tanah mereka, menurut bangsa mereka.
5

Beri perhatian bahawa daripada keturunan Ham inilah lahirnya bangsa Canaan dan semua bangsa yang menjadi penduduk asal tanah Palestin. Perhatikan kaitan dengan semua nama dan keturunan yang berasal dari Ham ini, mereka inilah yang kini sedang dijahanamkan oleh rejim Zionis-Amerika. Merekalah yang menjadi penduduk Iraq, Mesir, Libya, Cush dan Canaan. Bagi mereka yang menyatakan bahawa apa yang berlaku di Palestin ini tiada kaitan dengan agama, mereka sebenarnya sedang terawang-awang di dalam dunia mereka sendiri. Segala yang berlaku di Palestin di dunia pada masa ini ada kaitan dengan cita-cita Zionis untuk mengembalikan mereka ke zaman kegemilangan King David di mana mereka memerintah dunia dengan menguasai daerah bermula di barat Sungai Nil hingga di timur Sungai Euphrates.


Selepas ini akan saya huraikan keturunan Shem hingga ke Abraham dan dari Ibrahim hingga ke Musa sepertimana yang diceritakan di dalam Bible dan apa yang diberitahukan kepada kita melalui al Qur’an dan hadis. Insya Allah di sana nanti kita akan mengenali bagaimana segala taktik penipuan, kebaculan, penindasan dan perampasan hak dilakukan mereka-mereka yang dilaknat kerana mengubah perintah-perintah Allah terhadap mereka ini. Ianya sekaligus membenarkan firman Allah. Wallahua’lam..

_____________________________________________________________________________________
Rujukan :
  1. Genesis 1-4, Commentary on the Whole Bible (Genesis to Deuteronomy) Volume 1 by Matthew Henry. Grand Rapids, MI: Christian Classics Ethereal Library
  2. Genesis fasal 4 ayat 25, Today’s English Version (Special Missionary Edition), American Bible Society 1976. m/s 8.
  3. Bereishit Rabbah, Judaica Press Complete Tanakh with Rashi’s Commentary.
  4. King James Version, Martin Luther King Bible.
  5. Al Kitab (Bible) Terjemahan Indonesia.
  6. Genesis 9 verse 24 - 27, Commentary on the Whole Bible (Genesis to Deuteronomy) Volume 1 by Matthew Henry. Grand Rapids, MI: Christian Classics Ethereal Library, m/s 125 & 126.
  7. Tafsir Jalallain berikut Asbabun Nuzul, Imam Jalalluddin al Mahalli & Imam Jalallauddin as Suyuthi,
  8. Bereishit Rabbah, Judaica Press Complete Tanakh with Rashi’s Commentary. Bereishit fasal 9 ayat 25.
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.

eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...

Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)


Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

5 comments:

Anonymous said...

salam saudara.. saya terbaca beberapa blog yang berkaitan dengan pertentangan dr pihak Orthodox Jews terhadap israel dan zionist.cthnya http://www.nkusa.org/ atau jewsnotzionist.org. pada pendapat saudara adakah mereka-mereka ini benar-benar ikhlas dan 'genuine' dalam perjuangan atau sekadar untuk mengaburi pandangan? terima kasih.

Anonymous said...

salam...saya sangat kagum dengan huraian yang anda berikan dalam artikel-artikel saudara...nampaknya saudara seperti seorang yang mendalami atau menkaji tentang agama-agama lain dan membuat perbandingan. Syabas!

oh ya! saya ada melihat latar belakang saudara...Di dalam bidang engineering, boleh saya tahu pengkhususan di dalam bidang apa? Saudara nampak seperti orang berjiwa muda kerana minat muzik2 yang agak berat...Namun itu tidak menghalang saudara untuk mendalami ilmu agama..bgus2..

satuhala said...

Wa’alaikumsalam Irdina, buat pengetahuan Irdina dan semua yang membaca ruangan ini, terdapat perbezaan ketara antara Zionis yang menghuni Israel buat masa sekarang dan kaum Yahudi yang wujud pada masa sekarang. Bani Israel terdiri dari 12 suku yang berasal dari Nabi Ya’akob (Israel) a.s. Menjelang abad ke 7 masihi, di Timur Eropah, satu kaum yang namakan bangsa Khazer memeluk agama Yahudi. Mereka ini tiada kaitan dengan bangsa Yahudi yang berasal dari ke susur galur Nabi Ya’akob a.s. Mereka juga terkadangnya digelarkan sebagai suku ke 13 Bani Israel iaitu bangsa lain yang memeluk agama Yahudi.
Menurut Imran N. Hosein di dalam bukunya Jerusalem in the Qur’an, (terbitan Masjid Dar Al Qur’an, New York USA, cetakan 2002, mukasurat 128 – 129), bangsa Khazer ini memeluk agama Yahudi bukanlah kerana ingin menganut agama tersebut, tetapi mereka menganut agama Yahudi semata-mata atas sebab politik. Dipercayai, menurut Imran N. Hosein, mereka ini memiliki kekuatan luar biasa yang dikaitkan dengan elemen mistik (dipercayai dibantu Dajjal) sehingga mereka dapat menyekat kemaraan tentera Islam lebih jauh ke dalam Eropah. Wallahua’lam.
Dari kaum Yahudi suku ke 13 inilah gerakan Zionis ditubuhkan. Hanya mereka sahaja yang beria-ia benar hendak menakluk Baitul Maqdis. Kaum Yahudi yang berpegang erat dengan agama mereka dari 12 suku yang asal (digelar sebagai Yahudi Ortodoks) menentang sebarang percubaan untuk kembali ke ‘tanah yang dijanjikan’ sebelum masanya tiba. Salah seorang ketua Kaum Yahudi Ortodoks yang pernah terselamat di dalam Holocaust di Jerman pada perang dunia kedua, Rabbi Teitelbum, menyatakan bahawa, berseleraknya Yahudi di seluruh dunia pada waktu kini dan diharamkan mereka pulang ke sana adalah disebabkan dosa mereka dengan Tuhan satu ketika dulu.
Menurutnya, Holocaust yang berlaku adalah dibuat di bawah perancangan sengaja Zionis bagi mencari jalan supaya cita-cita mereka untuk mendapatkan simpati dunia berhasil. Mereka sanggup mengorbankan nyawa Yahudi yang lain semata-mata kepada kepentingan mereka sendiri.
Rabbi Teitelbum, juga menyatakan bahawa, adalah HARAM bagi kaum Yahudi pulang ke Baitulmaqdis selagi belum tibanya Messiah yang mereka tunggu-tunggu. Messiah yang mereka tunggu-tunggu itu akan membawa mereka kembali ke sana, menyucikan dosa-dosa mereka yang lalu melalui penyembelihan anak lembu merah yang disembelih yang mana darahnya akan ditaburkan ditapak pembinaan kuil ketiga dan akan membina kembali ‘Kuil Haikal’ yang ketiga tersebut di puncak Gunung Moriah, tempat di mana Masjidil Aqsa di bina.
Mereka dari golongan Yahudi Ortodoks ini menentang sebarang gerakan untuk kembali ke Tanah Palestin sekarang ini sehinggalah Messiah yang ditunggu itu sampai. Tidak semua Yahudi itu jahat dan kejam. Ramai kalangan Nabi kita berbangsa Yahudi. Nabi Ya’akob, Ishak, Yusof, Daud, Sulaiman, Isa dan banyak lagi kesemuanya merupakan orang-orang berketurunan Yahudi. Ramai dari kalangan pengikut nabi-nabi dan rasul-rasul ini merupakan Muslim yang taat pada agama Allah pada zaman mereka.
Malah di dalam kitab yang mereka dakwa sebagai Taurat sendiri menunjukkan bahawa agama serta wahyu yang diutuskan Tuhan kepada mereka bukanlah khas untuk bangsa mereka sendiri iaitu Bani Israel. Ianya disebut di dalam kitab Keluaran (Exodus) sebagaimana yang didakwa mereka terkandung di dalam kitab Musa yang dikenali sebagai Taurat.
Sahabat-sahabat Rasulullah yang beriman kepada Allah dan Rasulullah juga terdiri dari Rabbi-Rabbi Yahudi yang memeluk Islam setelah meyakini akan kebenaran Rasulullah. Antara mereka ialah Abdullah bin Salam. Isteri Rasulullah s.a.w., Safiyyah, juga merupakan seorang berketurunan Yahudi.
Memukul rata semua Yahudi itu kejam seperti binatang bererti kita menghinakan semua Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul kita. Tidak semua Yahudi itu kejam. Yang kejam ialah gerakan Zionis yang didukung majoritinya oleh Yahudi & Kristian Evangelist berfahaman sekular yang mempergunakan agama mereka sebagai alat untuk mencapai kejayaan menakluk dunia.
Mengenai samada mereka ikhlas memperjuangkan nasib Palestin dan mennetang Zionis, hanya Allah sahaja yang Mengetahuinya. Tetapi, pendapat saya ialah bahawa mereka melakukan demikian supaya agama mereka, Judaism, tidak terpalit dengan perbuatan orang-orang mereka yang menyokong Zionis.
Persoalan mengenai siapa itu Messiah yang ditunggu mereka dan ‘kuil ketiga’ yang mereka ingin bina itu akan saya jelaskan di dalam posting sambungan Post Mortem Palestin nanti, InsyaAllah..

satuhala said...

Wa'alaikumsalam Techis.. segala puji itu bagi Allah. Saya dari jurusan Kejuruteraan Elektronik. Muzik itu jiwa saya, agama pula pegangan saya dan blog ini ialah satu perjalanan saya dalam satu hala memenuhi kehendak rukun iman.. InsyaAllah perjalanan akan tetap diteruskan. TQ atas sokongan. Wassalam.

B Hunter said...

Assalamualaikum.

Mungkin bro agak expert dlm bab2 Yahudi ni. Tapi sy cadangkan dapatkan buku Sejarah Agama Yahudi & Kitab Perjanjian Lama.