Tuesday, February 19, 2008

Pencerahan Terhadap Isu Email Berantai Tarikh Kiamat...

7
oleh Muhammad Ibn 'Az

Assalamu’alaikum warahmatullah dan selamat sejahtera kepada semua. Saya masih belum habis menyiapkan artikel panjang berkenaan dengan perkahwinan Rasulullah s.a.w. dengan Saidatina A’isyah r.a. Maafkan saya atas kelemahan saya ini. Jika diizinkan Allah, bila siap nanti ianya akan dilengkapkan dengan hujah-hujah pemati terhadap golongan penentang Islam yang suka menggunakan isu ini untuk mencerca Islam serta keperibadian Rasulullah s.a.w. Buat kali ini, saya ingin memperjelaskan beberapa isu yang ditimbulkan serta komen saya terhadap beberapa email dari beberapa orang sahabat yang yang meminta saya membuat sedikit pencerahan terhadap email berantai yang banyak tersebar dalam rangkaian maya ini. Pertama email di bawah ini yang diminta oleh Umie Safa supaya diberikan komen. Sebenarnya Umie Safa telah beberapa kali dengan sabar menghantar email dalam bentuk yang hampir sama yang meminta supaya saya menegur mengenai perbuatan menyebarkan email berkaitan hari kiamat yang tersebar luas. Saya pernah menyatakan kepadanya bahawa saya akan membuat komen terhadap isu tersebut apabila diizinkan Allah nanti. Atas kelemahan saya ini, saya tidak sempat untuk memenuhi permintaan tersebut. Pada mulanya saya bercadang untuk memuatkan posting penuh berkenaan perkara tersebut dalam blog ini, tetapi tidak berkesempatan. Jadi saya mengambil kesempatan di sini untuk memuatkan sedikit komen serba ringkas dan sedikit sebanyak akan memberikan jawapan serta pencerahan kepada isu tersebut. Terima kasih kepadanya kerana bersabar dan terus menghubungi saya menerusi email walaupun terkadang (majoriti daripadanya) saya lambat membalasnya disebabkan kesibukan. Begitu juga dengan banyak lagi pengirim email dari rakan-rakan blogger dan pengunjung blog ini yang sentiasa bersabar dan kerap menghantar email kepada saya. InsyaAllah, semua email tersebut akan saya balas pada ketika yang diizinkan Allah nanti. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada ABJ di atas teguran dan keikhlasan dalam komen terhadap artikel dalam blog ini, begitu juga dengan saudara Adi dari http://hardyw3b.wordpress.com yang membantu saya sedikit sebanyak dengan aspek teknikal blog ini. InsyaAllah bila sempat nanti, akan saya memperbetulkan perkara yang disentuh dalam teguran tersebut. (ed- saudara Adi juga menulis sebuah eBook berkaitan aspek teknikal computer yang saya kira padat dan cukup membantu bagi mereka yang sangat berminat untuk mendalami ilmu tersebut. Jika berminat, hubungi saudari Adi di blog kendaliannya dalam link yang disebut tadi). Dan terima kasih kepada anda semua yang menghantar email dan yang setia berkunjung ke sini.

eMail yang diminta oleh Umie Safa untuk ditegur ialah email dibawah ini (dalam font italic berwarna biru):

Assalamualaikum.

.
Mesti korang tkejut kan..neway, just bace dulu n evaluate it
later...Allah sahaja yang tahu kebenarannya.
Bukti kebenaran Al Quran. Fenomena ini telah disebut dalam Quran 1400
tahun dahulu dan 1999/2000 tahun gambar itu diambil oleh NASA.


a) Mengikut hadith umat Rasulullah akan hidup selama 1500 tahun
sekarang sudah 1439 =426 + 13 tahun hijrah daripada ini kita ketahui
kita akan bertahan dalam masa 61 tahun lagi.. Jikalau ini benar, bumi
akan kiamat pada tahun 2066


b) Saintis telah menjumpai sebuah planet yang lebih kecil daripada
bumi yang menghala ke bumi.. Ia telah dianggarkan bahawa planet itu
akan melanggar bumi pada tahun 2014. Amerika akan cuba untuk
menukarkan orbitnya dengan menembaknya dengan sebuah roket Dan
saintis juga telah menjumpai sebuah planet yang juga akan menghentam
bumi Ia dianggarkan akan melanggar bumi dalam masa 60 tahun lagi..
Dan planet ini lebih besar daripada bumi Jikalau ini benar, dunia
akan musnah pada tahun 2065.

c) Dan dikatakan kuasa Israel akan mencapai puncaknya pada tahun 2007
Dan kuasanya akan jatuh semula dalam 14 tahun, iaitu tahun 2022,
disebabkan oleh penurunan semula Nabi Isa . Dan hadith mengatakan
bahawa Nabi Isa hanya akan hidup selama 40 tahun dan dunia akan
kiamat pada hari Nabi Isa wafat.. Jikalau ini benar dunia akan kiamat
pada tahun 2062 Dianggarkan Bumi Akan Kiamat Antara Tahun 2062-2066.


Wallahualam
Semua ini telah dikaji Dan yang dipercayai paling tepat ialah hadith
yang mengatakan bahawa umat Rasulullah akan bertahan selama 1500
tahun Kita telah berada di bumi ini selama 1439 tahun Cubalah anda
kirakan sendiri


Beribadatlah wahai umat Islam sekalian Ini adalah antara berpuluh-
puluh artikel di internet yg seperti ini. Dan jangan tunggu artikel
seperti ini dikeluarkan baru kita nak buat amal. Benda ni dah diajar
sejak kita kecil lagi. Kiamat pasti tiba. hanya orang yang leka
dengan dunia shj yang akan rugi. berhibur tidak salah tapi jangan
lupa apa yang disuruh oleh Allah. Patuhi suruhan Allah dan tinggalkan
yang mungkar. dan korang jangan risaula..aman dunia akhirat..sama-
sama kita doakan kesejahteraan untuk semua umat Islam.


P/s : mmmm kalu rajin pass la kat kawan2 korang erk.. sian kawan2
korang kalu tak tau ni...

Wallahua'lam...

Berkenaan dengan email di atas ini, seorang pengunjung blog ini yang menamakan dirinya sebagai En. Taupik Lubis dari Indonesia dan sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Islam dalam Universiti tempatan (Malaysia) juga ada mengirimkan email dan memberikan sedikit pendapat berkenaan dengan isu yang hampir serupa. Saudara Taupik juga ada bertanyakan pendapat berkenaan dengan isu ini. Pendapat dan soalannya seperti di bawah ini (dalam tulisan italic biru):

bagaimana pandangan antum tentang sebagian ulama dan umat islam yang suka sangat bercerita tentang masa berlakunya hari kiamat, terkadang mereka seolah-olah memberikan gambaran kiamat akan berlaku dalam masa dekat. ana tahu bahwa perkara ini telah pun berlaku semenjak dahulu, mungkin semenjak kewafatan Rasullah pun perkara ini dah berlaku. yang terbaru ada isu yang seolah-olah kiamat akan berlaku pada tahun 2012 ( 4 tahun lagi dari sekarang) dengan mengkaitkan kajian NASA. pada ana, kita memanglah yakin bahawa kiamat mesti akan berlaku satu masa nanti, tetapi ana tak suka dengan sikap sebahagian kita yang seolah-olah tak sabar-sabar nak tunggu kiamat berlaku, ana sokong sekiranya kita bercerita tanda-tanda akhir zaman mengikut hadis nabi yang keshahihannya tak diragukan dan disesuaikan dengan fakta-fakta yang berlaku hari ini sehingga menyedarkan umat untuk sentiasa beriman kepada allah swt. pada ana allah dah tetapkan pun dalam quran bahawa tak ada seorang pun yang tahu secara pasti bila kiamat itu berlaku termasuk rasullah saw, dan ini tentunya menjadi had laju bagi kita untuk bercerita tentang hari kiamat.

Saya pernah ditanya beberapa kali dalam email oleh beberapa pengunjung blog satuhala tersebut mengenai perkara ini. Saya sedang menyiapkan satu posting penuh bagi memperbetulkan semua kenyataan dalam email dan cara dakwah yang sedikit tidak bertanggungjawab ini. Menurut kebanyakan email yang membawa maksud serupa (seperti juga sama dengan email kiriman Umie Safa di atas), pihak NASA meramalkan bahawa terdapat sebuah planet kecil akan menghentam bumi pada 2014.

Sedikit pembetulan fakta ingin saya lakukan di sini. Menurut NASA, bukan planet kecil yang bakal menghentam bumi pada 2014, tetapi sebuah asteroid. Menurut NASA lagi, tarikh hentaman tersebut dijangka berlaku pada 21 March 2014. Asteroid tersebut dinamakan dengan nama 2003QQ14. Anda semua boleh membaca laporannya dengan klik laman di bawah ini.

http://dsc.discovery.com/news/afp/20030901/asteroid.html

Jika impak dari asteroid yang hendak mereka guna sebagai hujah untuk tarikh kiamat dunia, cuba klik di bawah ini untuk lihat ratusan tarikh kiamat bagi bumi berdasarkan ramalan dari NASA. Apakah bumi itu akan kiamat beratus-ratus kali?

http://neo.jpl.nasa.gov/risk/

Sebenarnya tarikh dan waktu sebenar kiamat tiada siapa yang tahu melainkan Allah s.w.t. Jika kita cuba bertindak bijak dengan membuat ramalan dan memberikan mana2 tarikh , ini bererti bahawa kita sedang menafikan ayat-ayat Allah sepertimana yang diwahyukan Allah dalam Al Qur’an.

Luqman 34
Sesungguhnya hanya pada sisi Allah sajalah pengetahuan tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.

Yang perlu kita lakukan ialah memenuhi tanggungjawab kita sebagai khalifah Allah dimuka bumi ini dengan berbakti kepada Allah dan kepada sesama manusia dan makhluk dengan niat ikhlas keranaNya. Kiamat itu akan datang. Tanda-tanda hampir datangnya kiamat sudah dijelaskan dalam Al Qur’an dan hadis. Jika ingin berdakwah mengenai hari kiamat, lebih baik diambil cerita dan fakta2 dari dua sumber ini. Saya pasti saudara Taupik dan majoriti anda diluar sana lebih arif mengenainya. Berkenaan dengan manusia-manusia yang sentiasa sibuk membuat ramalan mengenai kiamat ini, pernah seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah mengenai bila berlakunya kiamat? Lalu Rasulullah menjawab, apa yang telah dia (sahabat) tadi sediakan untuk itu (kiamat)? Dari sini kita sedia maklum mengenai apa yang perlu kita sibukkan sebagai keutamaan kita, iaitu beribadat dan melaksanakan tanggungjawab kita sebagai khalifah, sebelum kita lekas sibuk mencari bilakah gerangannya bakal berlakunya kiamat. Saya bersetuju dengan pendapat saudara Taupik yang menyatakan bahawa seolah-olah ada antara kita kelihatan seperti sudah tidak sabar lagi untuk bertemu dengan janji Allah ini.

Berkenaan dengan perkara (a) seperti di bawah ini yang dipetik dari email yang dikirimkan oleh Umie Safa :

a) Mengikut hadith umat Rasulullah akan hidup selama 1500 tahun
sekarang sudah 1439 =426 + 13 tahun hijrah daripada ini kita ketahui
kita akan bertahan dalam masa 61 tahun lagi.. Jikalau ini benar, bumi
akan kiamat pada tahun 2066

Ini komen saya :
Dalam email tersebut, tidak langsung dinyatakan dari mana sumber hadis tersebut diambil, siapa periwayatnya dan dari sanad mana satu hadis tersebut diambil dan apa taraf hadis tersebut? Ianya penuh dengan kekaburan dan sangat susah untuk menilaikannya. Tetapi saya bertemu dengan satu kenyataan oleh Ibnu Kathir yang dimuatkan dalam sebuah kitab tulisannya dengan tajuk “Al Nihayah Fi Al Fitan Wa Al Malahim” (terjemahan Bahasa Melayunya boleh didapati di bawah tajuk ‘Malapetaka Bakal Menimpa Menjelang Kiamat’ diterjemahkan oleh Taat Amrullah Harun ArRasyid Hj. Tuskan dan disemak oleh Y Bhg. Datuk Abu Hassan Din Al Hafiz, Darul Fajar Cetakan Kedua 2004, mukasurat 20) yang menyatakan :

Adapun berita yang menyebar di kalangan kebanyakan orang awam bahawasanya Nabi tidak berumur 1000 tahun di dalam bumi, tidak ada dasarnya, juga tidak pernah disebutkan di dalam kitab-kitab hadis yang menjadi pegangan, kami juga tidak pernah mendengarnya atau mendapatkannya di dalam kitab-kitab yang tebal atau pun kitab-kitab yang nipis, dan tidak ditetapkan dalam hadis Nabi bahawasanya beliau menentukan waktu-waktu tertentu, adapun yang disebutkannya adalah sebahagian dari tanda-tanda kiamat…..

Sangat jelas di sini semua yang menggunakan hadis-hadis dalam rupabentuk yang seakan sama dengan hadis yang diberikan komentar oleh Ibnu Kathir ini tidak mempunyai asas dan tidak tercatat dalam mana-mana kitab hadis samada kitab yang ‘besar’ atau pun kitab-kitab ‘biasa’. Maka hujah yang cuba di bawa kehadapan oleh penulis email tersebut bagi memberikan kredibiliti kepada hujahnya bahawa kiamat semakin dekat adalah tidak boleh diterima sama sekali, malah ianya lebih kepada perbuatan yang sia-sia kerana membawa masyarakat secara amnya untuk percaya kepada hadis yang tidak langsung wujud dan sengaja diada-adakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Bukankah lebih baik diceritakan mengenai tanda-tanda yang bakal muncul sebelum kiamat yang terdapat jelas dalam Al Qur’an dan kitab-kitab hadis yang muktabar. Mengapa jalan ini tidak dipilih sedang inilah jalan yang selamat dan lurus?

Berbalik kepada perkara (c ) yang ditimbulkan dalam email yang dikirimkan Umie Safa tadi:

c) Dan dikatakan kuasa Israel akan mencapai puncaknya pada tahun 2007
Dan kuasanya akan jatuh semula dalam 14 tahun, iaitu tahun 2022,
disebabkan oleh penurunan semula Nabi Isa . Dan hadith mengatakan
bahawa Nabi Isa hanya akan hidup selama 40 tahun dan dunia akan
kiamat pada hari Nabi Isa wafat.. Jikalau ini benar dunia akan kiamat
pada tahun 2062 Dianggarkan Bumi Akan Kiamat Antara Tahun 2062-2066.

Komen saya:
Sebagaimana kita maklum bahawa pada tahun 2006 telah meletus satu peperangan yang melibatkan Rejim Pengganas Zionis-Israel dengan pihak Hizbullah di Lubnan. Peperangan tersebut dinamakan dengan julukan Milkhemet Levanon Ha-ShnĂ­a dalam bahasa Hebrew (Perang Lubnan Kedua @ Second Lebanon War). Umum mengetahui bahawa pada ketika tersebut, Rejim Pengganas tersebut bermati-matian dan bergolok gadai untuk cuba melemahkan pejuang Islam Hizbullah (ed-walaupun majoriti daripada mereka bermazhab Syiah, janganlah kita sesekali terpengaruh dengan dakyah Dajjal yang cuba memporak perandakan kita dengan saudara kita yang mentauhidkan Allah dengan segala macam kebobrokan yang hanya menjauhkan kita sesama kita.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa, orang kafir itu hanya akan menang ke atas orang Islam hanya melalui satu jalan, iaitu dengan memperkudakan satu pihak Islam untuk menentang pihak Islam yang satu lagi. Bila orang Islam tidak bersatu, maka mereka (yang bergaduh dan berpecah itu) tidak dilindungi Allah s.w.t. melalui janjiNya kepada Rasulullah s.a.w. Lihat saja apa yang berlaku kepada Afghanistan, Iraq, Pakistan, Turki, Palestin dan banyak lagi contoh dimana pihak barat memperkudakan satu pihak Islam untuk bergaduh dengan satu pihak Islam yang lain dengan tujuan untuk melemahkan mereka. Maka, sampai bila pun perjuangan mereka tidak akan dapat kemenangan disebabkan perpecahan ini. Percayalah, satu hari nanti, sebelum Israfil dipanggil memulakan tugasnya, kita semua akan berada dibawah satu panji yang sama dalam mentauhidkan Allah dan bersaksikan Muhammad s.a.w. itu pesuruh Allah dan berjuang di atas satu jalan lurus yang telah dijanjikan akan berlaku. Yang penting sekarang ini ialah jalan untuk menyatukan kita semua kembali dalam satu jemaah yang bersatu dalam Islam. Dialog-dialog untuk mendekatkan golongan Syiah dan Ahlul Sunnah Wal Jamaah telah lama diusahakan. Doa kita agar suatu hari nanti, Islam akan kembali bersatu sebagaimana di zaman Rasulullah s.a.w. dan Khulafa Ar Rasyidin. InsyaAllah)

Berbalik kepada perkara perang Rejim Pengganas Zionis-Israel tersebut, mereka pada tahun 2006 telah mengalami kekalahan yang teruk serta manjatuhkan maruah serta reputasi mereka sebagai antara tentera yang mempunyai kelengkapan ketenteraan paling canggih. Dua tahun selepas perang tersebut, sebuah laporan telah dikeluarkan pihak berkuasa Israel yang mengakui bahawa dalam perang yang berlangsung pada tahun 2006 itu, pihak Israel mengalami kekalahan yang amat memalukan. Laporan tersebut dinamakan sebagai Laporan Winograd boleh dibaca dengan klik link di bawah ini.

http://www.vaadatwino.org.il/pdf/press%20release%20april%2030-yd-final.pdf

laporan kekalahan mereka dapat di baca di sini:

http://www.nowpublic.com/politics/its-official-israel-lost-war-lebanon

Pihak Israel semenjak tahun 1987 lagi, sejak Intifada pertama dilancarkan oleh Pejuang Islam Palestin yang dimulakan dari sebuah kem pelarian Jabalia, telah tidak senang duduk dan tergugat kedudukan mereka sedikit demi sedikit sehinggalah perbalahan tercetus antara Hamas dan Fatah baru-baru ini, yang memberikan mereka sedikit ruang untuk bangkit. Perpecahan ini hanya menguntungkan Israel. Sekiranya semua ini dinilaikan kembali, maka perkara (c ) dalam email tersebut adalah tidak masuk akal untuk dipercayai. Rejim Pengganas Zionis-Israel, semenjak 1948 sehingga kini, tidak pernah berada dalam puncak kuasa mereka. Malah tahun 2007 sepertimana yang didakwa dalam email tersebut, yang sepatutnya menunjukkan mereka berada dipuncak, merupakan tahun dimana maruah mereka tercalar akibat kekalahan dalam perang Lubnan Kedua ini. Maka adalah tidak masuk akal untuk menjadikan hujah yang dikemukakan dalam perkara (c ) ini sebagai hujah untuk memberikan satu tarikh kepada bila mungkinnya kiamat itu akan berlaku. Sepertimana yang telah saya nyatakan dalam komen tadi, hanya Allah s.w.t. mempunyai pengetahuan bilakah kiranya seluruh alam ini akan dimusnahkannya dengan tiupan sangkakala oleh Israfil.

Jika kita mempunyai anak yang malas bersolat dan kuat meminta-minta, kita seharusnya menghantukkan kepala kita sendiri ke meja dan berasa malu dengan kumpulan pejuang-pejuang Muda Palestin yang semenjak dari mereka kecil lagi sudah mengenal apa itu erti perjuangan. Dengan hanya bersenjatakan batu, mereka ini berani mempertaruhkan nyawa mereka menentang pengganas-pengganas bacul Rejim Zionis yang bersembunyi dalam kereta kebal kerana takut mati dibaling dengan batu yang dilempar kanak-kanak ini. Kanak-kanak ini tidak pernah meminta ibu bapa mereka membelikan handphone, mainan, PS 2 dan sebagainya. Apa yang mereka mahu ialah tanah air mereka merdeka dan mereka sanggup mempertaruhkan nyawa mereka biarpun hanya batu menjadi senjata mereka. Sebagai ibubapa, kita seharusnya berasa malu apabila gagal mendidik anak-anak kita apa itu erti perjuangan, maruah dan apa itu erti sebenar akidah yang perlu dipertahankan.Yang ada ada hari ini ialah, ibu bapa yang sibuk dan gila mahu menjual maruah anak mereka dengan sanggup menghantar anak-anak mereka termasuk diri mereka sendiri ke program-program pencarian bakat realiti. Mereka ini menangis teresak-esak bukan kerana kereta kebal musuh sedang mengacukan senjata ke kepala anak mereka, tetapi menangis bagaikan meratapi kematian hanya kerana anak mereka mendapat sebuah beg untuk dihantar pulang ke pangkuan keluarga setelah tersingkir dalam program tersebut! Sepatutnya ibu bapa tadi mengambil beg tersebut dan menghantukkan kepala mereka sendiri dengan beg yang diusung itu bagi mengingatkan betapa bahlolnya perbuatan membuang air mata atas sesuatu perkara yang amat sia-sia. Tidak malukah kita dengan kanak-kanak ini?!!!!

Saudara Taupik dalam email yang sama seperti yang saya sebutkan di atas tadi, ada meminta penjelasan berkenaan perdebatan berhubung Isu ‘Pembohongan Suara Azab Kubur’, pertanyaannya seperti di bawah:

ketika ana menyemak perdebatan nizam dalam youtube, ana menilai bahawa nizam nak pertahankan prinsip kebenaran dalam berdakwah, ini bermakna dakwah semestinya membawa fakta dan hujjah yang benar dan bukannya kebohongan, dalam pada ini ana nak tanya macam mana dengan lakonan yang nizam sebut sebagai pengajaran (walaupun kebenaran fakta dalam lakonan itu dipertikaikan ), ataupun bagaimana cerita yang dibuat-buat/tidak jelas kebenarannya sebagai contoh cerita novel, atau cerita "fikrah sains" dalam blog antum yang bercerita tentang pelajar muslim dengan profesor atheis. apakah itu semua boleh kita bawa dalam dakwah, walaupun idea-idea dalam cerita tu bersesuaian dengan agama. kita tahu bahwa rasullah pun ada membawa cerita dalam dakwahnya kepada ummat, tapi itu semua adalah cerita benar, bukan cerita rekaan.

Berkenaan dengan perkara ini, yang dimaksudkan dengan berlakon di sini ialah dengan menunjuk contoh perbuatan yang betul dan tidak melanggari mana-mana hukum syarak untuk dijadikan sebagai medium dakwah. Bukan sepertimana lakonan dalam 99.99% drama dan filem tempatan.

Begitu juga dengan novel, cerita dan kisah yang cuba disampaikan sebagai contoh tauladan supaya memberikan pengajaran kepada masyarakat dan orang sekeliling. Selagi semua perkara ini selaras dengan Al-Qur’an dan As Sunnah, maka ianya diperbolehkan. Sebagai contoh, Allah s.w.t. sendiri menggunakan cerita-cerita perbandingan imaginatif bagi membuatkan hamba-hambaNya supaya lebih mudah faham dengan apa yang cuba disampaikan melalui wahyuNya dalam Al Qur’an. Terdapat banyak contoh ayat-ayat Al Qur’an dimana Allah s.w.t. mengambil pendekatan bercerita seperti ayat2 di bawah.

Al Baqarah 17
Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).

An Nahl 75
Allah memberikan satu misal perbandingan: Seorang hamba abdi yang menjadi milik orang, yang tidak berkuasa melakukan dengan bebasnya sesuatupun; dan seorang lagi (yang merdeka) yang Kami kurniakan kepadanya pemberian yang baik (harta kekayaan) dari Kami, maka dia pun membelanjakan hartanya dengan bebasnya, sama ada secara bersembunyi atau terbuka, adakah kedua orang itu sama? Segala puji tertentu bagi Allah (dan Allah jualah yang berhak disembah), tetapi kebanyakan mereka (yang musyrik) tidak mengetahui (hakikat tauhid itu).

Dalam dua ayat di atas, Allah s.w.t. menggunakan pendekatan bercerita supaya hamba-hambaNya dapat lebih senang memahami apa yang cuba disampaikanNya melalui contoh yang diberikan. Perhatikan bahawa cerita dan contoh yang diberikan itu hanyalah contoh bayangan, bukannya contoh sepertimana biasa yang kita baca dalam sebahagian lagi ayat-ayat Al Qur’an yang menceritakan kisah-kisah benar yang terjadi di zaman-zaman dahulukala. Terdapat banyak lagi ayat seperti di atas ini dalam Al Qur’an, dua contoh di atas ini sebagai bukti.

Rasulullah s.a.w. juga menggunakan pendekatan yang sama dalam beberapa hadis baginda. Baginda menggunakan contoh bayangan atau khayalan yang bukan realiti untuk memberi contoh kefahaman kepada para sahabat baginda yang bertanyakan soalan. Sebagai contoh, hadis di bawah ini saya petik.

Dari Abu Musa r.a., dari Nabi s.a.w. sabdanya; “Perbandingan orang Yahudi dan Nasrani dan Kaum Muslimin seumpama orang yang mengupah suatu kaum. Mereka bekerja untuk hari itu satu hari penuh sampai malam dengan upah tertentu. Tetapi setelah mereka bekerja setengah hari, mereka berkata: Kami tidak memerlukan upah yang telah Anda janjikan untuk kami. Dan apa yang telah kami kerjakan, semuanya batal.

Kata si pengupah kepada mereka, “Janganlah kamu berbuat begitu. Selesaikanlah sisa pekerjaan kamu dan ambillah upahmu secukupnya.” Mereka menolak, dan meninggalkan pekerjaan mereka.

Kemudian si pengupah itu dua orang upahan sesudah mereka, dan berkata kepada keduanya. “Sempurnakanlah sisa harimu ini, untukmu upah yang telah saya janjikan kepada mereka.”

Mereka pun bekerjalah. Setelah tiba waktu Asar, keduanya berkata. “Apa yang telah kami kerjakan batal. Untuk andalah upah yang telah anda janjikan kepada kami.”

Kata si pengupah, “Sempurnakanlah pekerjaan kamu, kerana sesungguhnya sisa yang tinggal itu sedikit sahaja.”

Tetapi keduanya menolak. Maka si pengupah itu mengupah kaum untuk mengerjakan sisa hari mereka. Lalu bekerjalah mereka sehingga matahari terbenam. Sesudah itu mereka menerima upah mereka, meliputi upah kedua golongan yang telah mendahului mereka tadi. Begitulah perumpamaan mereka, dan hasil yang mereka terima dari cahaya (petunjuk) ini.”

(Hadis Riwayat Bukhary)

Dalam hadis di atas Rasulullah s.a.w. menggunakan pendekatan bercerita dengan menggunakan cerita bayangan atau perumpamaan yang secara realitinya tidak berlaku, tetapi bayangan cerita tersebut menggambarkan serta memberikan penerangan jelas bagaimana Kaum Yahudi, Nasrani dan Muslimin itu dibandingkan dalam kerja agama mereka. Jika saudara lihat, Allah dalam cerita tersebut digambarkan sebagai si pemberi upah. Rasulullah s.a.w. mengambil pendekatan menggunakan watak-watak imaginasi sebagai satu cara dakwah untuk memberikan satu gambaran kefahaman kepada apa yang berlaku secara realiti dalam kerja-kerja agama. Jadi, di sini pendekatan penulisan novel, kisah, cerita serta dialog yang diimaginasikan untuk menyampaikan sesuatu ilmu dengan cara yang tidak bercanggah dengan Al Qur’an dan Sunnah, merupakan satu cara dakwah yang selari dengan apa yang dilakukan Allah s.w.t. dalam Al Qur’an dan Rasulullah s.a.w. dalam hadis-hadis baginda.

Tetapi berbeza pula cara yang digunakan pakai dalam “Suara Audio Azab Kubur” tersebut. Mereka menyatakan bahawa ini satu pendekatan untuk memberi keinsafan kepada kaum muslimin dan harus diambil positif. Tetapi tanpa mereka sedar apa yang cuba disampaikan mereka itu amat bercanggah dengan kenyataan Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya seperti berikut.

Dari Anas r.a., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila mayat seseorang telah diletakkan di dalam kuburannya dan kawan-kawannya telah pulang, kendatipun dia mendengar bunyi terompah mereka, dua orang malaikat datang kepadanya, lalu mendudukkannya dan menanyainya.
Tanya : “Bagaimana pendapat engkau tentang orang ini (iaitu Muhammad s.a.w.)?
Jawab : “Aku mengakui dia hamba Allah dan Rasul-Nya.”
Kata Malaikat: “Lihatlah tempat engkau di neraka, Allah menukarnya bagimu dengan tempat di syurga.”
Kata Nabi s.a.w. : “Dia melihat tempat itu kedua-duanya.”
Adapun orang kafir dan orang munafik berkata : “Aku tidak tahu. Aku hanya berkata apa yang dikatakan orang.”
Kata Malaikat : “Engkau tidak pernah mempelajari dan membaca?”
Lalu orang itu dipukulnya dengan pukulan besi di antara kedua telinganya, sehingga orang itu berteriak sekeras-kerasnya dan didengar oleh orang sekelilingnya kecuali manusia dan Jinn.”

(hadis riwayat Bukhary)

Dari Abu Sa’id Al Khudri r.a., katanya Nabi s.a.w. bersabda: “Setelah jenazah disiapkan dan dibawa bersama-sama, maka jika jenazah itu baik, ia berkata: “Bawalah saya dengan cepat!” Tetapi kalau ia tidak baik, ia mengatakan kepada keluarganya: “Wah, Celaka! Kemana saya dibawakannya?” suara itu terdengar oleh segala-galanya selain manusia. Kalau sekiranya manusia mendengarnya akan pengsanlah dia.”
(hadis riwayat Bukhary)

Dua hadis di atas ini dengan tegas memberitahu kita bahawa suara orang yang sudah mati itu, termasuk yang diseksa dalam kubur itu tidak boleh didengari oleh mana-mana manusia dan jinn. Jadi, jika kita dengan bermati-matian dan bersungguh-sungguh menyatakan bahawa rakaman ‘Audio Azab Kubur’ itu benar, di mana pula hendak kita letakkan hadis-hadis Shahih riwayat Imam Bukhary ini? Apakah hadis-hadis ini boleh dikatakan hadis palsu semata-mata untuk membenarkan keimanan sembrono sesetengah pihak terhadap rakaman tersebut?

Jadi, yang mana satu benar? Hadis Shahih tersebut atau rakaman Audio tersebut? Kedua-duanya tidak boleh menjadi benar dalam satu masa. Pasti salah satu daripadanya itu mengandungi kepalsuan. Ini kerana kenyataan kedua-duanya itu amat bercanggah antara satu sama lain. Hadis menyatakan suara azab kubur tidak boleh didengar manusia biasa. Tetapi rakaman tersebut menyatakan sebaliknya. Mana satu yang benar?

Saya tetap berpegang kepada Al Qur’an dan Sunnah. Maka apabila saya menegur perbuatan salah menyebarkan rakaman tersebut sebagai bukti wujudnya azab kubur, melenting-lentinglah manusia-manusia di luar sana menuduh segala macam perkara serta tohmahan ke atas teguran tersebut termasuk melabelkan saya sebagai bersekongkol dengan syaitan. Ini termasuk serangan ke atas akaun youtube saudara NizamPAblo sebelum ini sepertimana yang dinaatkan oleh saudara Taupik. Syukur bila semakin lama saya dapat lihat semakin ramai orang yang dapat memahami teguran saya tersebut termasuk anda sendiri. Kepada yang masih berdegil tu, hanya doa saya dapat saya panjatkan supaya kebenaran itu dapat dilihat atau disedari suatu hari nanti.

Saya harap sedikit sebanyak email ini dapat memberikan sedikit pencerahan terhadap semua topik atau pertanyaan di atas. Rasanya saudara Taupik dan ramai diantara anda diluar sana lebih layak dalam membuat penilaian terhadap sesuatu isu berkaitan Islam itu sendiri. Apa yang disampaikan ini hanyalah apa yang saya ketahui melalui ilmu yang dipinjamkan Allah kepada saya. Mungkin rujukan anda lebih meluas dan saya harap dapat kiranya anda menegur sekiranya terdapat apa-apa perkara yang tidak kena dalam mana-mana artikel atau posting saya nanti. Wallahua'lam... Semoga kita semua sentiasa dilindungi Allah setiap saat dan masa. Amin…

© February 2008 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.



eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...

Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)


Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

7 comments:

batalion pedang tajam@ilmuwan Media said...

mengapa hendak disibukkan kiamat besar sedangkan kiamat kecil bagi setiap manusia iaitu mati akan tiba bila-bila masa dan setiap dari kita akan melalui saat-saat itu dan kembali kepada pencipta kita yang maha esa iaitu Allah SWT. dan mati itu adalah kiamat bagi setiap kita sebagai hamba Allah yang akan Allah ambil semula hak-Nya ke atas kita yang hanya meminjam dari-Nya. bersiap sedia untuk kiamat kecil ini dari disibukkan bilakah kiamat besar akan berlaku. subhanallah.

batalion pedang tajam@ilmuwan Media said...

mengapa disibukkan bila kiamat besar berlaku sedangkan kiamat kecil bagi setiap hamba Allah iaitu mati mesti terjadi dan berlaku bila-bila masa sahaja. bersiap sedia bagi kiamat kecil ini dari disibukkan bilakah kiamat besar akan berlaku kerana kiamat kecil ini (mati) mesti berlaku keatas semua manusia tanpa diketahui bila ajalnya melainkan Allah sahaja yang maha mengetahui. Allah akan ambil semula apa yang telah dipinjamkan-Nya kepada kita. bersiap sedia dgn amal ibadat untuk kembali dan bertemu dengan-Nya kerana mati itulah kiamat bagi kita.

harun Madinah said...

Bismillah........salam..
tentang kiamat!!!
First baca dulu surah 17 ayat 36.
faham kan betul ayat nyer..

so,, senan cerita klu tak der Allah larang dari membicarakan atau membuat sesuatu..
so tak plu la korang nak bersangka2... baca kan surah 49 ayat 12..
yang lebih adalah korang dan kita kita seme fikir kan dulu tuk naikan kembali darjat islam, al quran sebelum fikir ttg kiamat.. selesaikan yang tu dulu...
hamdalah...........

Anonymous said...

apa yang saya cari, terima kasih

Unknown said...

Salam saudara penulis.Saya telah menjumpai ebook syahadah gadis melayu ateis di dalam internet.Saya search terjumpa ebook.Saya telah download pdf file tersebut.Tetapi secara haram tanpa bayaran.Saya risau ilmu yang saya dapat dari novel saudara tidak halal.Jadi saya memohon untuk membeli novel ebook dari penulis asalnya.Novel berbentuk hardcopy sudah kehabisan stok dipasaran.Saya harap saudara penulis membantu saya

Unknown said...

Salam saudara penulis.Saya telah menjumpai ebook syahadah gadis melayu ateis di dalam internet.Saya search terjumpa ebook.Saya telah download pdf file tersebut.Tetapi secara haram tanpa bayaran.Saya risau ilmu yang saya dapat dari novel saudara tidak halal.Jadi saya memohon untuk membeli novel ebook dari penulis asalnya.Novel berbentuk hardcopy sudah kehabisan stok dipasaran.Saya harap saudara penulis membantu saya

Unknown said...

Salam saudara penulis novel syahadah melayu ateis?Saya ada terjumpa novel ebook syahadah dari internet.Saya telah download dan sedang membacanya.Saya tidak ingat dari mana saya jumpa laman web tersebut.Lama kelamaan saya rasa tidak sedap hati sebab seakan mendapat ilmu tanpa keizinan.Jadinya encik macam mana?novel hard copy sudah tiada stok dipasaran.Saya harap saudara penulis dapat membantu