Dunia yang semakin menggila ini, hasil dari cernaan akal fikiran dangkal manusia yang cuba mengatur hak-hak yang didorong nafsu hedonisme kini semakin melampaui batas. Dengan menggunakan hak-hak asasi manusia sebagai dalil, maka apa saja yang ingin dituruti oleh nafsu serakah, mereka turuti dan halalkan. Segala bentuk tindakan dan perbuatan yang mengarah kepada hedonisme dianggap sebagai lambang kemajuan dalam ketamadunan bagi golongan ini. Tiada apa lagi yang terbatas bagi mereka.
Agama dan moraliti bukan lagi penghalang malah dianggap pula sebagai kolot dan ketinggalan zaman. Mereka-mereka yang memperjuangkan hak-hak asasi manusia membuta tuli ini semakin berani mengenengahkan fahaman mereka yang songsang untuk diikuti dan dihalalkan di seluruh dunia.
Termasuklah di negara Malaysia yang tercinta ini, golongan pejuang hak-hak asasi manusia yang berkiblatkan barat ini semakin berani memperjuangkan hak-hak yang semakin lama semakin jelas penentangan budaya yang ingin diketengahkan dengan ketamadunan Islam. Biarpun moraliti serta kepincangan institusi keluarga dan masyarakat menjadi taruhan, rasukan budaya kuning barat yang menguasai diri dan fikiran telah membutakan akal analitik mereka untuk berfungsi dengan bijak.
Hak-hak golongan homoseksual semakin diperjuangkan. Dahulunya dilakukan secara sembunyi dan senyap, tetapi ledakan kemudahan teknologi maklumat semakin hari semakin mendedahkan belang sebenar akar tunjang perjuangan songsang ini. Ramai dari kita mungkin sedia maklum dengan perkara homoseksual yang disebut tadi, tetapi kini mereka melangkah dengan setapak ‘maju’ lagi. Berita yang bakal dipaparkan ini agak memeranjatkan bagi mereka yang tidak langsung fahami atau mengambil peduli tentang perjalanan songsang dunia sekarang. Baru-baru ini di Jerman, pejuang hak-hak asasi manusia melangkah satu lagi tapak ke arah ‘memajukan’ budaya dan perjuangan mereka.
Sepasang kekasih warga Jerman yang merupakan saudara kandung iaitu Patrick Stübing ,28, dan adik perempuannya, Susan yang berusia 21 tahun; telah menjalinkan hubungan songsang sehingga melahirkan empat orang anak. Kes ini berlaku di bandar Leipzig, Jerman. Patrick yang terpisah dengan keluarganya semenjak dari kecil dan dipelihara oleh keluarga angkat di Postdam, Jerman, disatukan kembali dengan keluarganya pada tahun 2000 dan tinggal bersama ibunya, Annemarie, dan disanalah dia pertama kali bertemu dengan Susan, adik kandung perempuannya. Selepas 6 bulan tinggal bersama, ibu mereka mengalami serangan jantung dan meninggal dunia.
Beberapa ketika selepas dari itu, mereka jatuh cinta dan anak sulung hasil hubungan mereka ,Eric, dilahirkan dalam tahun 2000. Anak ini telah dirampas dari mereka dan kini diletakkan dibawah jagaan keluarga angkat. Begitu juga dengan dua lagi anak mereka yang dilahirkan selepas itu, Sarah dan Nancy, anak-anak tersebut turut dirampas dan diberikan kepada keluarga angkat. Anak ke empat mereka yang berusia setahun, Sofia, kini masih dalam jagaan mereka. Patrick menyatakan bahawa mereka tetap akan hidup dalam situasi sedemikian rupa dan akan terus cuba untuk memperolehi anak disebabkan oleh pihak berkuasa bertindak tidak adil kepada mereka dengan merampas anak-anak mereka.
Patrick telah pun dihadapkan ke mahkamah dan telah menjalani hukuman penjara selama dua tahun yang mana keputusan ini telah diputuskan oleh mahkamah di Leipzig disebabkan oleh perbuatan sumbang mahramnya dengan adik perempuannya. Dia bakal menghadapi satu lagi hukuman penjara jika perenggan 173 dalam undang-undang negaranya yang menghalang perbuatan sumbang mahram tidak dimansuhkan. Kini dengan bantuan pejuang-pejaung hak asasi manusia di Jerman, Patrick kini dalam proses mencabar undang-undang yang menghalang perbuatan sumbangnya itu.
Endrik Wilhem, peguam yang mewakili pasangan tersebut menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai cara lain untuk menyelamatkan Patrick dari dipenjarakan melainkan dengan mencabar kesahihan dan menghapuskan undang-undang sedia ada. Beliau juga dipetik sebagai berkata pasangan tersebut tidak mengakibatkan dan mendatangkan apa-apa kemudaratan kepada mana-mana pihak, maka sesiapa saja berhak berbuat apa saja asalkan perbuatannya itu tidak mengancam dan memudaratkan sesiapa.
Menurut mereka lagi, Jerman sepatutnya mencontohi negara-negara Eropah lain yang berjiran dengannya, yang mana kebanyakan dari negara-negara tersebut telahpun memansuhkan serta membuang undang-undang yang menghalang perbuatan sumbang mahram daripada dilakukan. Antara negara-negara yang tidak lagi mempunyai undang-undang yang menghalang serta mengkategorikan perbuatan sumbang mahram ini sebagai jenayah ialah Belanda, Luxembourg, Belgium, Portugal dan yang lebih memeranjatkan lagi, Turki. Jepun, Argentina dan Brazil juga termasuk dalam negara-negara yang tidak mempunyai undang-undang yang menghalang sumbang mahram.
Peguamnya turut menambah bahawa undang-undang tersebut adalah tidak selari dengan perlembagaan Jerman (Unconstitutional). Alasan sebegini juga semakin hari semakin berkumandang dalam perjuangan sesetengah pihak di Malaysia ini dengan agenda tersembunyi masing-masing, mempertikaikan beberapa tindakan dan undang-undang negara yang bagi mereka tidak selari dengan perlembagaan. Lagu yang mereka mainkan di seluruh dunia adalah sama biarpun pemainnya berbagai rupa. Kita akan lebih kerap mendengar alasan-alasan sebegini dimainkan dengan lebih kerap dalam tahun-tahun yang mendatang, jadi seharusnya kita mesti bersedia. Kini Mahkamah Perlembagaan Jerman sedang dalam proses untuk membuat keputusan mengenai kes Patrick tersebut.
Apakah kemajuan yang semacam ini yang ingin dikecapi dan diperjuangkan? Kelihatan jelas, semua ini merupakan langkah-langkah ke belakang malah lebih merupakan tuntutan-tuntutan nafsu haiwaniah yang tidak mampu dikawal akal rasional. Menurut pakar-pakar perubatan, anak-anak yang dilahirkan hasil dari hubungan sumbang ini, separuh daripadanya berkemungkinan mengalami kecacatan selepas dilahirkan. Begitulah yang terjadi kepada dua daripada empat anak yang dilahirkan pasangan Patrick ini, dua daripada anaknya mengalami kecacatan sejak lahir dan mengidap sawan.
Islam secara jelas menghalang serta mengharamkan perbuatan sumbang mahram ini seperti mana yang dijelaskan dalam ayat 23 surah An-Nisaa’ :
Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (An-Nisaa’ : 23)
Perkara sebegini jika dibiarkan akan melahirkan satu generasi yang tidak langsung produktif dan mengucarkacirkan nasab salahsilah keluarga serta menyebabkan generasi yang kemudiannya yang lahir dari perhubungan seumpamanya menghadapi kemurungan yang bakal menjejaskan kehidupan mereka.
Peraturan dan undang-undang yang ditetapkan Allah s.w.t. adalah jelas bagi membimbing manusia ke arah kehidupan yang berakhlak dan selamat di dunia dan akhirat.
Allah menghendaki (dengan apa yang telah diharamkan dan dihalalkan dari kaum perempuan itu) ialah untuk menerangkan (SyariatNya) dan untuk menunjukkan kepada kamu jalan-jalan aturan orang-orang yang dahulu daripada kamu (Nabi-nabi dan orang-orang yang soleh, supaya kamu mengikutinya), dan juga untuk menerima taubat kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Dan Allah hendak (membersihkan kamu dari dosa dengan) menerima taubat kamu, sedang orang-orang (yang fasik) yang menurut keinginan hawa nafsu (yang diharamkan oleh Allah itu) hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng (dari kebenaran) dengan penyelewengan yang besar bahayanya. (An-Nisaa’ Ayat 26 dan 27)
Islam menegaskan serta memberi penekanan terhadap tanggungjawab seseorang individu dalam keluarga dan masyarakatnya bukan hanya sekadar mementingkan hak asasi mereka sahaja. Hak asasi perlulah menurut kepada fitrah yang telah ditetapkan dan tidak melampaui batas. Maka jika perkara sebegini semakin menguasai cara hidup dan pemikiran di barat, maka tidak hairanlah majalah Economist keluaran Jun 2006, melaporkan serta meramalkan bahawa menjelang tahun 2050, Islam berpotensi untuk menjadi Agama utama di kota-kota besar Eropah. Ini adalah disebabkan oleh saiz demografi masyarakat barat bukan Islam Eropah yang semakin mengalami penyusutan mendadak. Berlainan pula dengan apa yang sedang dialami masyarakat Muslim Eropah, tidak kira dari keturunan Arab, India Muslim, Pakistan dan masyarakat Muslim kulit putih Eropah, peningkatan kadar kelahiran serta populasi mereka sedang meningkat dalam kadar yang sangat memberangsangkan dan mendadak. Ini disebabkan oleh Rahmat Allah kerana mereka-mereka ini tetap berpegang teguh dengan kepentingan institusi keluarga. Tidak cukup dengan itu, kadar peningkatan mereka yang memeluk Islam di Eropah juga meningkat berkali ganda setiap tahun.
Jika Diizinkan Allah, suatu hari nanti, Islam akan menjadi Agama utama di Eropah. Janganlah kita di sini terpengaruh dengan dakyah yang meletakkan akal fikiran di tapak kaki ini dengan membuta tuli. Nabi Muhammmad s.a.w. bersabda dalam hadisnya mengenai akhir zaman.
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a. berkat : Bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?”. Nabi s.a.w. menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka”. (Hadis Riwayat Muslim)
Kini jelaslah apa yang dikatakan dan diperingatkan oleh Rasulullah s.a.w. , lihat saja pada majoriti generasi muda di negara kita sekarang. Apa yang berlaku kini telah dinyatakan 1400 tahun yang lalu oleh Rasulullah sa.w.
Ditambah parah lagi dengan generasi ibu bapa yang langsung tidak mengambil peduli tentang pembangunan sahsiah dan akidah anak-anak yang Diamanahkan Allah s.w.t. kepada mereka. Jika semua usaha untuk membendung dan membentuk akhlak yang sempurna bagi umat Islam dihalang, maka tidak mustahil satu hari nanti akan ada pasangan sumbang mahram di Malaysia ini pula mula mencabar sistem undang-undang yang ‘unconstitutional’ beralasankan hak-hak asasi mereka.
Joachim Renzkikowski, seorang pakar dalam bidang jenayah seksual di Universiti Halle memberitahu dalam satu temuramah pada tahun 2005 bagi mengulas berkenaan dengan kes sumbang mahram pasangan Patrick ini, “Persoalannya sekarang ialah samada undang-undang jenayah patut digunakan untuk menjaga moral dan kepercayaan individu dan masyarakat, dan saya merasakan perkara ini (mengawal moral seseorang dan masyarakat dengan penguatkuasaan undang-undang) adalah tidak wajar!”. Dialog dan komen sebegini juga telah mula kedengaran di negara kita baru-baru ini diucapkan oleh mereka-mereka yang kita harapkan akan menjaga kesucian Islam di negara ini hasil dari tekanan pihak-pihak luar. Maka kini terpulang kepada kita untuk membentuk keluarga samada hidup dalam persekitaran Islam yang menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat atau pun membesarkan mereka dengan budaya-budaya yang anti ketamadunan dan mengagungkan hedonisme ini.
Beringatlah, apa yang terjadi kepada negara-negara Islam di luar sana mungkin juga terjadi kepada kita.
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Hampir tiba satu masa seluruh manusia akan mengerumuni kamu seperti orang yang ingin makan mengerumuni talam hidangan”. Sahabat bertanya “Apakah kerana kami sedikit Ya Rasulullah ? ”. Maka Nabi s.a.w. menjawab “Tidak, bahkan bilangan kamu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari musuh kamu, dan Allah mencampakkan penyakit wahan ke dalam hatimu”. Sahabat bertanya, “Apakah itu wahan?” Nabi menjawab, “Cintakan dunia dan takutkan mati”. (Hadis Riwayat Abu Daud)
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.