Thursday, October 10, 2013

Sujudnya Non Muslim Kerana Hero Bola

Oleh : Imran Haaz

Seorang sahabat berkongsi kata-kata hikmah dari Albert Einstein di dalam Facebook.

“Great spirits have always encountered violent opposition from mediocre minds.” 
― Albert Einstein

Ia sama maksud dengan seperti apa yang dimaklumkan Waraqah pada Rasulullah s.a.w. semasa baginda masih di dalam proses cuba memahami apa sebenarnya yang berlaku kepada dirinya di Gua Hira’ selepas pertemuan dengan Jibril a.s.

"Kamu akan dihalau keluar dari kampung halaman kamu sendiri" (bukan verbatim)

Waraqah, dia menyalin kitab-kitab Yahudi dan Nasrani ke dalam bahasa Arab. Dia sedar serta maklum ada serpihan petikan kata-kata Isa di dalam Gospel of Mark fasal 6 ayat 4 seperti berikut :

Then Jesus told them, "A prophet is honored everywhere except in his own hometown and among his relatives and his own family."

Begitu juga dengan Matthew fasal 13 ayat 57 :

And they were deeply offended and refused to believe in him. Then Jesus told them, "A prophet is honored everywhere except in his own hometown and among his own family."..

Permusuhan yang terbit dari mediocre mind akan menentang segala apa yang dilihat mengancam survival kebijaksanaan dangkal mereka. Mereka tidak suka kelihatan kurang bijak dari apa yang cuba dibawakan. Lantas, mereka memilih pendekatan konfrontasi kerana minda mereka tidak mampu untuk menidakkan kehebatan yang cuba dibawa lawan mereka.

Rasulullah s.a.w. menjadi mangsa serangan peribadi dan fizikal kerana ketinggian Islam yang cuba disampaikannya. Ketinggian Islam segera menyerap ke dalam hati mereka-mereka dengan keupayaan akal tinggi, tetapi ditentang oleh golongan pemikiran rendah yang melihat mereka tidak mempunyai tempat dan kedudukan untuk menang ke atas Rasulullah s.a.w. dan Islam secara bertamadun dan bijaksana.

Siri penghinaan, pemboikotan, penyeksaan dan 19 perang tidak mampu memadamkan kemaraan sesuatu yang sangat unggul. Islam terus berkembang sehingga hari ini. Di mana-mana Islam menerobos masuk dan mengecilkan wilayah mereka-mereka yang sangat memusuhinya.

(Bukan benda-benda yang dipertuhankan itu yang memberi kesenangan kepada mereka) bahkan Kami biarkan mereka dan datuk-nenek mereka menikmati (kesenangan hidup) hingga berlanjutanlah umur mereka (dalam keadaan yang menyebabkan berlaku perkara yang tidak diingini mereka). Maka tidakkah mereka melihat bahawa kami datangi daerah bumi yang mereka kuasai dengan menguranginya sedikit demi sedikit dari sempadan-sempadannya? Jika demikian halnya, maka adakah mereka yang akan menang? (al Anbiya’ ayat 44)



Itu janji Allah. Sesungguhnya janji Allah amat benar dan ia sedang berlaku dengan pantas di depan mata kita. Semua ini benar, maka syurga turut benar, neraka itu benar dan pertemuan kita dengan Allah yang menciptakan kita turut benar. Tiada siapa yang dapat mengalahkan kebenaran. Kebenaran sentiasa mengambil masa untuk dilihatkan kebenarannya. Tiada kuasa di dalam dunia dapat melawan kebenaran. Tiada empayar di dalam dunia yang dapat mempertahankan diri dari takdir runtuhnya mereka oleh ketetapan Allah kerana menolak kebenaran. Ada yang runtuh dan ranap di dalam sekaligus seperti yang berlaku kepada Namrud. Ada yang runtuh dan binasa di dalam perlahan seperti Tokong Demokrasi Amerika yang sedang dimamah anai-anai ekonomi yang dicipta melalui tangan mereka sendiri. Semua yang dijanjikan Allah akan berlaku.

Wajah-wajah orang Islam semakin ramai di negara-negara barat. Hatta di dalam Liga Bolasepak Eropah itu sendiri kini dipenuhi dengan pemain-pemain beragama Islam yang menjadi tonggak dan penentu kepada kekuatan pasukan masing-masing. Frank Ribery kini antara kemudi utama Bayern Munich, kelab terkuat di dunia. Ketika Arsene Wenger dikecam kelab penyokong Arsenal, Mesut Ozil hadir memberikan satu rejuvenasi harapan baru kepada pasukan tersebut. Bukan hanya mereka, Anelka, Demba Ba, Yaya Toure, Karim Benzema dan ramai lagi masing-masing bermain secara aktif dan memberi sumbangan kepada pasukan masing-masing. Masih ingat lagi bagaimana Yaya Toure menolak menerima champagne ketika diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan secara live di televisyen? Tindakan itu kemudiannya membuatkan Liga merubah tradisi tersebut dengan memberikan trofi kepada  semua pemain terbaik.



Pemain Muslim dengan displin Islam yang tinggi dan pencapaian hebat digelanggang tidak perlu berserban dan berjubah untuk berdakwah dan merubah sistem dengan khutbah berapi-api. Tidak perlu berebut-rebut untuk menjadi siapa yang lebih dahulu dan terpantas memberikan fatwa di dalam Twitter mengenai isu semasa. Tidak perlu bagi mereka untuk bertakbir sekuat hati pada kadar melebihi 65 decibel untuk menyatakan Islam itu hebat.  Kehebatan Islam serta positifnya imej Islam itu dipoleskan mereka melalui kecemerlangan mereka. Bukankah pepatah Inggeris menyatakan ‘Action speaks louder than words’ ? Bukankah Rasulullah s.a.w. itu digambarkan sebagai al Qur’an yang berjalan?


Kecemerlangan mereka, membuatkan suara mereka didengari. Kecemerlangan mereka membuatkan prinsip untuk kukuh berpegang dengan amalan Islam dihormati. Malah telah dilaporkan bahawa setiap tindak tanduk mereka menjadi ikutan. BBC pernah melaporkan bahawa sudah menjadi satu trend baru dikalangan anak-anak remaja di United Kingdom untuk melutut (bersujud) ketika menjaringkan gol di taman-taman permainan. Mereka mungkin tidak faham apa yang dilakukan pemain ternama dan hebat tersebut. Tetapi, apa yang mereka tahu, mereka sedang melakukan sesuatu yang hebat yang dilakukan hero-hero bolasepak mereka yang hebat. Bagi mereka, melutut dan bersujud itu adalah sesuatu yang melambangkan kehebatan, pencapaian dan sangat ‘cool’. Ia sebuah epitome kepada kecemerlangan.




Satu ketika, dilaporkan pula bagaimana Demba Ba yang bertegas mahu berpuasa mendapat kritikan Allan Pardew, pengurus pasukannya. Dia memandang amalan berpuasa Demba Ba sebagai sesuatu yang menyebabkan prestasi Demba Ba sedikit merosot pada permulaan musim. Peminat yang mengetahui tentang perkara tersebut kemudiannya mula mengikuti rapat perkembangan Demba Ba. Maka, pada setiap kali Demba Ba menjaringkan gol, penyokong pasukannya bersorak dan bernyanyi meraikan gol tersebut sambil mengira jumlah gol yang dijaringkannya satu persatu di dalam rentak lagu Can’t Get Enough dari Depeche Mode. 

Kecemerlangannya menyindir pandangan sinis Pardew. Peminat menyokong tindakannya berpuasa.
Kecemerlangan mereka ini di dalam bidang yang diceburi mereka membuatkan setiap amalan Islam yang dilakukan mereka dilihat sebagai sesuatu yang positif serta menggerakkan perubahan. English Premier League telah melakukan beberapa perubahan sebagai laluan akomodasi untuk pemain-pemain serta staf beragama Islam untuk berasa lebih selesa di dalamnya. Apakah perubahan sedemikian akan dilakukan sekiranya pemain-pemain Muslim ini hanya sekadar memberikan khidmat ‘cap ayam’ kepada kerancakan liga mereka? Jawapannya tidak sama sekali. Ini ialah dunia yang mementingkan kecemerlangan.

Bukankah Islam itu yang paling cemerlang? Jika Islam agama yang cemerlang, kenapa kita mahu mempotretkan kita sebagai penganutnya sebagai sesuatu yang sebaliknya pula dengan ketidakcemerlangan kita yang sibuk berkhayal, bergaduh serta membuat kerja separuh masak?
Apakah orang akan tertarik kepada Islam jika kita hanya mampu terjerit-jerit dan bergolek-golek di atas jalan bekas laluan haiwan, menjeritkan kami mahu Islam? Apakah orang akan tertarik kepada Islam jika kita lebih kuat bertakbir di dalam kampung dari bekerja dengan kuat untuk kecemerlangan? Hanya mereka yang gemar bermimpi akan berfantasi dengan fantasi eksotik sedemikian rupa.

Masing-masing manusia mempunyai cerita peribadi tersendiri. Begitu juga dengan pemain-pemain bola Muslim. Ada yang elok dan ada yang terkadangnya kurang sedap di dengar. Selagi mereka mengucapkan syahadah dan tidak melanggar syarat Perjanjian Ruh yang telah mereka lakukan sebelum ruh mereka ditiup ke dalam jasad, selagi itulah mereka orang-orang Islam. Orang-orang Islamlah yang mewarnakan dunia dan menjadi satu-satunya sebab kenapa bumi ini, masih diizinkan Allah berputar di dalam orbit dan matahari terus kelihatan bersinar pada setiap datangnya pagi. Jika orang Islam, cuba sedaya upaya untuk berdiri sama tinggi dengan imej Islam yang cemerlang. Jangan Islam dimalukan kerana sikap dan kelemahan kita.

 Manusia, biasa akan jatuh dan bangun semula dengan kesedaran baru. Kita tidak akan berlari pada hari ini sekiranya kita berhenti menjadi berani untuk jatuh sekali lagi pada ketika kita mula belajar berdiri semasa masih bayi.

Sesungguhnya kejayaaan itu datang dengan solat dan sabar. Solat membentuk displin serta ketahananan diri serta mendekatkan kita kembali kepada Allah yang mengetahui apa terbaik disediakannya untuk kita. Sabar itu membolehkan kita belajar dari setiap kesilapan langkah untuk memperbaiki langkah kedua dan ketiga yang disusun pada masa hadapan.

Ingat, Islam ialah sebuah magnet yang sentiasa menarik golongan berakal dan menyebabkan golongan yang sempit pemikiran menjauhinya. Lebih besar permusuhan mereka terhadap agama Islam, bermakna pemikiran mereka adalah yang paling sempit dan terkebelakang. Kita harus terus bergerak untuk mencapai kecemerlangan. Di dalam perjalanan kita nanti, akan ada banyak distraksi yang cuba melemahkan momentum pergerakan kita. Jika kita berhenti kerana distraksi tersebut, kita hanya akan menangguhkan hari kejayaan kita lebih lewat dari jangkaan. Sama seperti apa yang berlaku kepada Demba Ba ketika dia bertegas untuk berpuasa dan mengharungi kritikan pengurusnya. Winston Churchill pernah berkata :

“You will never reach your destination if you stop and throw stones at every dog that barks.”

Begitu juga dengan dengan apa yang dinukil oleh Dr. ‘Aidh bin Abdullah Al-Qarni dalam bukunya ‘La Tahzan’ .

“Biarlah jiwa kita seperti lautan luas, tidak akan terpengaruh dengan lontaran batu seorang anak kecil. Laut itu airnya suci, halal bangkainya. Begitulah perbandingan seorang insan yang memiliki kesabaran, keberanian dan kebijaksanaan, tetap mempunyai kekebalan untuk dibenci atau dicaci orang. Jiwanya tidak sedikitpun tersinggung dan terluka.

Kita dituntut untuk menjadi manusia yang cemerlang. Kita diberikan panduan lengkap dengan roadmap bagaimana untuk kita menjadi cemerlang. Setiap kecemerlangan itu akan datang bersama ujian pahit dan getir. Setiap yang dirasakan sebagai pahit dan getir itu kita tafsirkan ia sebagai satu kesusahan sementara. Setiap kesusahan itu pula akan datang bersama kejayaan dalam bentuk kemenangan. Itu juga yang dinyatakan pemilik alam ini di dalam surah al Insyirah. Malah, ayat itu diulang sebanyak dua kali di dalam surah yang sama, yang membuatkan para mufassir menyatakan bahawa setiap kesusahan itu akan datang bersamanya dua kemenangan. Teruskan bersolat dan teruskan bersabar. Siapa tahu, In Sya Allah, kemenangan itu milik kita tidak jauh dari sekarang.  Wallahua’lam.

Rujukan :


© 2013 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email