Wednesday, March 20, 2013

Jabidah Massacre & Perjanjian Damai Sebagai Senjata

Oleh : M.I.A.\Imran Haaz



Bismillahir Rahmanir Raheem

Sebelum ini saya telah menulis tentang Jabidah Massacre (klik sini). Sebuah gerakan rahsia kerajaan Filipina di dalam era Marcos, bagi membentuk sebuah pasukan pemberontak dikalangan Muslim Moro untuk mengucarkacirkan Sabah. Ianya berada dalam lingkungan pengetahuan yang dirahsiakan dan tidak diperakui sejarahnya oleh kerajaan Filipina selama ini. Sehinggalah apabila terbitnya satu berita semalam. Kerajaan Filipina kini memperakui bahawa merekalah yang melatih dan terlibat dalam Ops Merdeka pada lewat tahun 1960 an. Jadi apa yang ditulis di dalam blog ini hampir setahun yang lalu, ada asasnya.


Bila menyebut tentang Filipina, segera saya teringat kepada sebuah peribahasa Melayu, Telunjuk Lurus Kelingking Berkait. Tiba-tiba sahaja, bagai dirasuk, sekumpulan orang-orang Islam menerobos masuk ke Sabah dan membuat kacau ganggu. Lalu, tidak dapat tidak, ingatan segera dipoleskan untuk kembali mengingati peristiwa pembunuhan Jabidah. Jika dulu, saudara-saudara seagama dengan kita yang dilatih pihak berkuasa Filipina, untuk memerangi saudara seagama dengan mereka di Sabah, menolak untuk melakukannya di atas faktor persaudaraan Islam. Mereka menolak untuk bersekongkol dengan Filipina yang merupakan sebuah kerajaan Katolik Majoriti. Mereka akhirnya dibunuh kerana menolak untuk bekerjasama dengan kerajaan Katolik Filipina untuk membunuh sesama Islam. Tetapi kali ini perkara itu tidak berlaku dengan Kiram. Kiram yang mempunyai seorang paderi Kristian yang dikenali sebagai Pastor ‘Boys’ Saccon sebagai penasihat 2, tergamak untuk mengirimkan pasukannya membunuh sesama Islam.



Dia tidak seperti kumpulan Moro di dalam peristiwa pembunuhan Jabidah. Ada tangan yang lebih berkuasa yang cuba mengatur gerak kumpulan ini dengan pembiayaan dan persenjataan. Ada pihak di dalam negara di dalam kedua-dua belah negara yang menyokong agar perkara ini dapat member keuntungan kepada motif jangka panjang cita-cita mereka.

Dari Ibnu Umar r.a., dia berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda : Barangsiapa membawa pedang melawan kami, ia tidak termasuk golongan kami. (H. Muttafaq Alaihi)

Al Hafizh Bin Hajar Al ‘Asqalani menjelaskan hadis di atas di dalam kitabnya Bulughul Maram sebagai berikut. Yang dimaksudkan sebagai ‘Tidak termasuk golonganku’ ialah tidak menurut jalan Rasulullah s.a.w., kerana jalan beliau adalah bermaksud membantu orang Muslim, sedangkan memeranginya tidak termasuk membantu. 1

Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan). (al Hajj ayat 39)

Kita memerangi mereka setelah kita diperangi. Kita memerangi mereka, setelah sebahagian dari kita telah dikeluarkan dari kampong halaman masing-masing. Semuanya hanya kerana mereka mengaku, Allah itu satu-satunya Tuhan mereka. Kita tidak pasti apa yang dinasihatkan Pastor  tersebut kepada Kiram. Rekod penyiasatan mereka mengatakan bahawa dia tidak terlibat dalam menasihati Kiram untuk membunuh orang-orang Islam di Sabah. Tetapi apa yang kita pasti, rasa bersaudara sesama Islam yang ada pada sekumpulan pejuang Islam Moro yang dibunuh di dalam peristiwa Jabidah Massacre pada lewat  1960 an itu, tidak wujud di dalam diri Kiram dan kumpulannya. Bagi yang tidak mengikuti perkembangan dunia dan hanya membaca akhbar politik yang terbit dua kali seminggu, mereka akan bertanya, entah kenapa, dengan tiba-tiba sahaja dan tidak semena-mena berlakunya peristiwa ini. Tapi bagi mereka yang memerhati dengan rapat perkembangan dunia dan memantau fasad gerakan-gerakan dajjal, mereka sudah dapat mengagak dan menghidu peristiwa ini akan berlaku tidak jauh dari tarikh perjanjian damai antara MILF dan kerajaan Filipina sebelum ini. Kerana itu juga, saya mengingatkan pada Ramadhan yang lepas, bahawa detik untuk orang-orang kita bersolat di dalam hutan dengan pakaian tentera di medan tempur seperti gambar di bawah sudah tidak lama.



Kurang 6 bulan dari memberikan peringatan tersebut, ia berlaku secara realitinya. Lihat sahaja perajurit kita di bawah.



Kembali Merujuk Sunnah

Jika kita mengkaji teknik peperangan Rasulullah s.a.w., antara teknik dan seni perang yang bijak yang digunakan baginda ialah menggunakan perjanjian damai sebagai senjata. Perjanjian Hudaibiyyah jika dilihat dalam konteks stereotaip di dalam kuliah-kuliah serta ceramah agama yang dihiasi hilai ketawa, ianya hanyalah sebuah cerita yang dilagu-lagukan sebagai halwa telinga kepada para hadirin yang menggunakan masjid sebagai tempat mencari hiburan.

Hilai ketawa yang melampau akan mematikan mata hati. Bila mata hati dikafankan, daya intelektual akan segera dikirimkan ke alam barzakh.  Jika tempat di mana mata hati itu dirawat telah dijadikan tanah perkuburan mata hati, maka nasib buruk akan cepat dan segera datang mengetuk pintu keamanan manusia-manusia di dalam umat tersebut.

Perjanjian Hudaibiyyah merupakan sebuah perjanjian damai yang dirangka dan dikompromi secara intelektual oleh Rasulullah s.a.w.. Ia sekadar sebuah perjanjian untuk membolehkan umat Islam menunaikan haji pada tahun berikutnya bagi mereka yang mahu melihat dan terus menyampaikannya secara stereotaip. Ia bermula dengan mimpi Rasulullah s.a.w. menunaikan haji di Mekah. Lalu atas petunjuk Allah, umat Islam pada anggaran jumlah 1,400 orang dikumpulkan dan dibawa untuk menunaikan haji di Mekah. Ia sebuah aturan taktikal yang dibimbing kebijaksanaan seorang pemimpin yang dipandu oleh gerakan wahyu.

Lalu peristiwa-peristiwa yang sering kita dengar di dalam ceramah dan dijawab dalam kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia berlaku sepertimana yang digambarkan dan diceritakan. Saya pasti semua pengunjung blog satuhala ini sudah biasa dengan kisah-kisah yang menghiasi kisah perjanjian Hudaibiyyah ini termasuk peristiwa penahanan Uthman bin Affan r.a., Bai’ah ar Ridhwan, serta isikandungan perjanjian damai yang kelihatan berat sebelah, termasuk tindakan orang-orang musyrik menyuruh Rasulullah s.a.w. memadamkan kedudukannya sebagai rasul di dalam butiran perjanjian damai tersebut. Jika tidak biasa, boleh merujuk kembali kepada peristiwa sebelum, semasa dan selepas Perjanjian Hudaibiyyah untuk kembali memperkasakan pengetahuan mengenai peristiwa yang melingkari umat terbaik dikalangan manusia-manusia yang pernah hidup di dunia.

Satu sisi yang jarang diberikan perhatian oleh mereka yang mengajarkan serta menyampaikan cerita mengenai Perjanjian Hudaibiyyah ini ialah keupayaannya yang berubah menjadi sebuah senjata perang. Siapa sangka sebuah perjanjian damai itu merupakan sebuah senjata perang yang sangat effisien dan sekaligus melumpuhkan kekuatan lawan.

Saya seorang peminat teori dan taktikal perang dan sering mengkaji teori-teori peperangan. Saya melihat Rasulullah s.a.w. sebagai seorang Panglima Perang yang sangat intelektual dengan dibantu oleh jeneral-jeneral dalam kalangan sahabat baginda yang sangat bijak mengenai taktikal peperangan.  

Sesuatu yang sangat jarang dijumpai saya di dalam 6 kitab seni perang Cina, Greek dan Melayu ialah penggunaan perjanjian damai sebagai sebuah senjata. Ia sebuah inovasi tindakan taktikal peperangan yang membolehkan kemenangan sebuah perjuangan dicapai dengan jalan yang kurang menumpahkan darah. Ia sebuah teknik yang jarang dipakai tetapi sangat effisien.

Pakatan Musuh Islam
Pada zaman tersebut, negara Islam Madinah, sedang berada di dalam satu bentuk ancaman oleh sebuah pakatan yang dianggotai oleh 3 puak yang bersekutu atas satu modus Vivendi iaitu atas tujuan memadamkan terus sinar Islam dari dunia. Pakatan yang terdiri dari tiga puak yang berlainan tujuan dan matlamat, tetapi bersatu atas modus Vivendi tersebut yang akan membolehkan setiap satu daripada mereka mendapat apa yang mereka inginkan. Pakatan tersebut terdiri daripada golongan munafik di Madinah yang diketuai oleh Abdullah bin Ubay, golongan Musyrikin Mekah yang menguasai Mekah dan semua bisnes dan perniagaan berasakan berhala di Mekah dan golongan ahli kitab yang terdiri daripada Yahudi yang tidak mahu tunduk kepada seorang Rasul yang diutus bukan dari kalangan bangsa dan keturunan mereka.

Motif Abdullah bin Ubay, ketua orang-orang munafik di Madinah, ialah untuk menjatuhkan Rasulullah s.a.w. dan membolehkannya diangkat sebagai pemimpin di Madinah. Bukanlah satu rahsia, bahawa Abdullah bin Ubay, sebelum dari kedatangan Rasulullah s.a.w. ke Madinah, dia sudah hampir diangkat menjadi Raja kepada penduduk Madinah. Cita-citanya untuk menjadi pemimpin Madinah terhalang dengan kedatangan Rasulullah s.a.w. Justeru, dia menseterui Rasulullah s.a.w. dan mengekalkan dendam kesumatnya  ke atas baginda yang menghalang cita-citanya. Untuk memastikan dia menjadi pemimpin, Muhammad s.a.w. perlu dimusnahkan.

Motif orang-orang Musyrik Mekah, ialah supaya Islam itu tidak akan berkembang dan mengakibatkan mereka dan segala yang diusahakan mereka yang berasaskan kepada ekonomi penyembahan berhala musnah. Mereka bimbang pengaruh kekuasaan mereka akan hancur sebaik Islam mula kuat bertapak. Mereka bimbang agama nenek moyang mereka akan ditinggalkan secara beramai-ramai sekaligus mengurangkan pengaruh kuasa mereka di atas manusia-manusia lain dan merosakkan kekuatan empayar ekonomi mereka yang diperkuatkan oleh kepercayaan terpesong tersebut. Untuk memastikan penguasaan mereka ke atas Mekah, penduduknya serta kekuatan ekonomi mereka, Muhammad s.a.w. perlu dimusnahkan.

Motif orang-orang Yahudi pula amat jelas. Mereka juga menguasai manusia melalui kebijaksanaan ekonomi, menjadi kiblat kuasa dan mencapai semuanya melalui putarbelit agama. Mereka melihat Muhammad s.a.w. merupakan satu ancaman besar kepada semua cita-cita mereka. Mereka bukanlah manusia-manusia yang asing kepada agama yang dibawakan Muhammad s.a.w.. Malah, mereka telah diberitahukan sejak ribuan tahun lamanya, bahawa Muhammad s.a.w. akan muncul untuk membimbing mereka dan memberikan mereka satu ultimatum dengan peluang terakhir supaya mereka kembali diiktiraf sebagai umat pilihan Allah di mukabumi. Syaratnya mudah, mempersaksikan Muhammad s.a.w. sebagai rasul yang diutus oleh Allah. Tetapi perkara itulah yang menjadi suatu pantang yang dibenci oleh orang-orang Yahudi. Bagaimana untuk mereka tunduk kepada Goyyim, sedangkan Goyyim atau bangsa-bangsa lain itu kelasnya bagi mereka lebih rendah daripada binatang. Sedangkan nabi dan rasul dikalangan mereka sendiri mereka membunuhnya, apatah lagi Muhammad s.a.w. yang berbangsa Arab Quraisy. Untuk memastikan mereka terus menguasai urusan putar belit agama mereka, Muhammad s.a.w. perlu dimusnahkan.

‘Muhammad s.a.w. perlu dimusnahkan’ menjadi modus Vivendi yang disepakati pakatan ini. Percayalah, pakatan seumpama ini akan sentiasa muncul sehingga hari kiamat. Pakatan yang terdiri dari kumpulan munafik, musyrik dan ahli kitab. Mereka mempunyai modus Vivendi yang sama iaitu mahu memastikan syiar Islam terus terpadam di muka bumi. Pakatan-pakatan seumpama ini merasakan diri mereka bijak. Mereka merancang, tetapi perancangan Allah itu yang lebih hebat.

Mereka sebenarnya telah berpakat untuk memerangi Rasulullah s.a.w.. Mereka telah bersetuju untuk membantu antara satu sama lain dan telah dibuktikan ianya dilakukan semasa perang Ahzab/ Khandak. Umat Islam memenangi Perang Ahzab juga dengan sebahagian taktikal peperangan dari Parsi. Ia berlaku lebih setahun sebelum Perjanjian Hudaibiyyah di meterai.

Perjanjian Damai Sebagai Senjata Perang
Semasa Perjanjian Hudaibiyyah, pihak Islam dan musyrikin Mekah bersetuju dengan beberapa perkara. Yang mahu saya berikan fokus ialah gencatan senjata selama 10 tahun antara orang-orang Islam dan golongan musyrikin Mekah.

Dengan termeterainya perjanjian damai dan gencatan senjata selama 10 tahun tersebut, salah satu cabang kekuatan kepada pakatan yang memusuhi Rasulullah s.a.w. dan orang-orang Islam di Madinah, terikat tangan mereka secara automatik.

Maka sebarang ancaman daripada selatan Madinah sudah dapat dikendurkan. Ia meninggalkan pakatan tersebut dengan hanya dua golongan utama, iaitu kumpulan munafik dan kumpulan bangsa-bangsa Yahudi yang berada di sekeliling bahagian utara Madinah.
Walaupun Perjanjian Hudaibiyyah pada mata zahir kelihatan lebih menguntungkan pihak musyrikin Mekah, ianya sebenarnya sebuah aturan taktikal yang hebat yang bakal memberikan kekuatan tambahan kepada perjuangan umat Islam dalam tempoh terdekat.
Setelah tangan pihak Musyrikin Mekah terikat dengan perjanjian damai tersebut. Maka Rasulullah s.a.w. dan pasukan Islam mempunyai kelapangan ruang masa, ekonomi dan pergerakan untuk mengubah haluan serangan ke arah utara Madinah.

Kumpulan Yahudi yang memberontak dan memusuhi Islam, kini seolah kehilangan pasukan sokongan. Golongan munafik Madinah tidak boleh menjalankan apa-apa bantuan tanpa sokongan golongan musyrikin Mekah. Walaupun mereka berjanji untuk membantu golongan Yahudi yang diperangi atas kezaliman mereka oleh orang-orang Islam, tetapi bantuan itu tidak dapat dihulurkan pada masa kumpulan Yahudi ini dikepung.

Tentera-tentera Islam tidak membuang masa setelah perjanjian damai tersebut dimeterai. Lalu ekspedisi melumpuhkan kekuatan Yahudi di Khaibar dilancarkan. Dengan taktik perang dan kelicikan muslihat perang, pihak muslim berjaya memutuskan pasukan Yahudi di Khaibar dari bantuan tambahan Yahudi Bani Ghatafan. Perang Khaibar, sebuah sejarah pertempuran yang hebat. Ia sebuah pertempuran yang menunjukkan bagaimana sebuah kubu yang dilengkapi pelbagai kelengkapan perang yang kukuh dapat ditembusi dan dihancurkan oleh pasukan muslim yang ikhlas berjuang kepada Allah. Bila sahaja salah sebuah kubu, ditembusi, pasukan Rasulullah s.a.w. menjumpai senjata-senjata perang yang banyak termasuk kereta-kereta perisai dan manjanik (trebuchet@pelontar) yang telah disiap untuk digunakan. Apabila ditanyakan kepada orang-orang Yahudi yang ditawan, untuk siapakah peralatan ini semua disediakan, mereka menjawab bahawa semua itu disediakan untuk memerangi serta menghapuskan Rasulullah s.a.w.. Khaibar akhirnya jatuh dan ia sekaligus melumpuhkan seluruh kekuatan Yahudi yang menjadi ancaman kepada negara Islam Madinah.

Berikutan kejatuhan serta kemusnahan salah satu daripada cabang ketumbukan utama pakatan ini, Mekah kemudiannya dapat dibuka dengan penuh bijaksana tanpa sebarang pertumpahan darah pada tahun 630 M/8 Hijrah. Tetapi pasukan Islam hanya dihantar ke Mekah setelah sekutu Musyrikin Mekah, Bani Bakr, melanggar perjanjian damai  dengan membuat serangan ke atas Bani Khuza’ah yang merupakan sekutu umat Islam. Dengan terlanggarnya perjanjian damai ini, Abu Sufian (semasa itu bersama musyrikin Mekah) cuba bertemu Rasulullah s.a.w. bagi memperbaiki perjanjian yang dirosakkan. Tetapi Rasulullah s.a.w. bertegas bahawa pelanggaran perjanjian itu tetap bermaksud suatu pengkhianatan.

Pasukan Islam yang terdiri daripada 10,000 sahabat itu kemudian digerakkan ke Mekah. 
Penduduk Mekah menjadi cuak dengan taktik serta kekuatan pasukan yang ditunjukkan Rasulullah s.a.w.. Mereka kemudian membuat keputusan untuk menyerah dan mengembalikan Mekah kepada agama asalnya iaitu Islam tanpa sebarang pertumpahan darah. Kebijaksanaan taktikal perang Rasulullah s.a.w. yang bermula dari perjanjian damai Hudaibiyyah ini, memungkinkan tanah suci Mekah, dapat dikembalikan kepada mereka tanpa mencemarkannya dengan pertumpahan darah. Siapa sangka, sebuah perjanjian damai, boleh dijadikan sebagai senjata utama bagi menjamin kemenangan mudah di dalam taktikal perang Rasulullah s.a.w.

Kita pernah menggunakan sunnah perjanjian damai ini ketika menuntut kemerdekaan tanpa melibatkan pertumpahan darah. Ketika itu pandangan-pandangan ulama’ besar diambil kira. Lalu kita merdeka fizikal, tetapi tidak dalam bentuk cara berfikir dalam tahun 1957.

Tetapi, lewat ini, kita melihat taktikal perang yang ditunjukkan kepada umat Islam supaya mengikutnya, kini digunakan sebagai senjata untuk memerangi negara umat Islam kembali.
Pada ketika, pihak MILF memeterai perjanjian damai dengan pihak kerajaan Filipina, saya sudah menjangka bahawa perjanjian ini akan memberikan satu ruang kelapangan bagi pihak-pihak berkepentingan di Filipina untuk bebas dari menumpukan perhatian kepada ancaman di kepulauan selatan negara mereka. Dengan bebasnya mereka dari ancaman tersebut, ia memberi ruang kepada pihak mereka untuk menggunakan peruntukan, keupayaan serta semua tenaga yang selama ini ditumpukan bagi menyelesaikan isu dalaman, kepada menumpukan kepada cita-cita luaran mereka yang terbantut sejak peristiwa pembunuhan Jabidah lewat tahun 60 an. Filipina pada era Marcos mungkin berbeza dengan Filipina dalam era Aquino. Tetapi sisa-sisa buruk antara keduanya mungkin masih lagi mempunyai siri-siri agenda gelap yang meruntuhkan yang mahu dijalankan. Saya tidak menuduh tetapi ingin mengingatkan kepada pihak berkuasa kita dengan kemungkinan-kemungkinan yang bisa terbit dari perjanjian damai antara MILF dan Filipina begitu juga dengan perjanjian damai yang sedang diusahakan antara Pejuang Muslim Bahagian Utara Tanah Melayu * dengan kerajaan Siam. Usaha itu baik, tetapi ada sisi gelapnya.

Ingat, wassatiyyah itu bukan bermaksud berlembut pada setiap masa. Jangan kerana mahu menjadi juara perdamaian dan kebaikan, kita sendiri menjadi mangsa. Ikutilah al Qur’an dan sunnah, kerana panduan sentiasa ada di dalam semua tindakan dan perkara. Semoga negara kita dan semua umat Islam sentiada di bawah perlindungan Allah pada setiap saat dan masa dan semoga semua perajurit kita selamat dan berjaya diperbatasan. Ameen..
Wallahua’lam.


 Rujukan :
1)      Al Hafizh Bin Hajar Al ‘Asqalani (diterjemah oleh : Drs. H. Moh. Rifai A. Qusyairi Misbah) , Bulughul Maram,(2001), Thinkers Library Sdn. Bhd., Batu Caves, Selangor, Hlmn 722.


Nota kaki :
Pejuang Muslim Bahagian Utara Tanah Melayu = Adalah tidak adil untuk menggelarkan mereka sebagai pejuang pemisah selatan Thai, kerana negeri mereka ialah negeri Melayu Islam. Kemasukan mereka ke dalam Thailand juga adalah melalui aturan sejarah kolonial yang tidak memberikan peluang kepada mereka untuk bersuara menyatakan kemahuan mereka. Ia suatu penghinaan kepada perjuangan mereka untuk mendapatkan kembali negara mereka. Kebanyakan kita di sini sangat-sangat terhutang budi dengan jasa ramai ulama'-ulama' Nusantara yang berasal dari wilayah Yala, Pattani dan Narrathiwat. Semoga mereka juga dapat keamanan dan segera dapat membentuk sistem pentadbiran kehidupan yang diredhai Allah sebagaimana yang menjadi harapan setiap seorang daripada mereka. Ameen.



© 2013 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email