Tuesday, February 26, 2013

Rogol Beramai-Ramai Dan Sebatang Lilin Pencuci Dosa

6
Oleh : Imran Haaz/M.I.A.

Seorang gadis malang di India telah dirogol beramai-ramai. Seolah ia satu pesta yang mengasyikkan. Satu  Pakatan dibuat antara pemandu bas dan beberapa rakan buasnya. Puas merogol, gadis malang itu dibelasah dan kemudiannya dilempar keluar dari bas yang seharusnya membawa dia pulang dengan selamat ke kediaman keluarganya. Insiden malang ini mencetuskan kemarahan di seluruh dunia. Kita yang membacanya di sini juga terbakar dengan perasaan marah. Kita marah apabila manusia hilang perikemanusiaan demi melampiaskan nafsu serakah yang hanya menghinggap secara sementara ke dalam cetusan ghairah di atas manusia dengan tingkah abnormal ini. Cakap-cakap di dalam berita menyatakan, kes rogol dicatatkan setiap 22 minit di India.

Pantas, rusuhan bertukar menjadi wabak pernyataan rasa serta ekspresi betapa marahnya khalayak umum dengan berita yang tumbuh keluar di dada-dada akhbar dan media sosial. Kerajaan, sistem perundangan, sistem kepolisan, sistem ambil tahu masyarakat, sistem pengangkutan, kebebasan tanpa sekatan dan banyak lagi perkara ini diletakkan pada lapang sasar untuk dibidik oleh mereka-mereka yang tidak berpuas hati dengan parah luka kejadian tersebut.


Segala usaha ditumpukan kepada gerakan untuk menyelamatkan mangsa. Lalu dia diterbangkan ke Singapura, sebuah negara yang pernah mencatatkan kegagalan satu eksperimen perubatan tidak bertanggungjawab untuk memisahkan kembar siam Ladan dan Laleh satu ketika dulu. Ladan dan Laleh datang penuh ceria sebagai jasad yang bersatu, malang sekali mereka pulang sebagai dua mayat yang terpisah.

Entah kenapa harapan diberikan seolah mangsa rogol ini akan mendapat sentuhan magis di sana. India yang terkenal dengan universiti-universiti serta kolej-kolej perubatannya yang gah bernama cemerlang sebelum ini mungkin sudah tidak lagi percaya dengan harapan.

Malang sekali anak gadis tersebut tidak dapat diselamatkan. Segala usaha telah dilakukan. Maka api kemarahan yang sebelum ini sudah marak di India, bagaikan dicurahkan dengan minyak. Masing-masing menjerit-jerit dijalanan dan merusuh. Masing-masing menuntut pelaku jenayah kekejaman diluar norma batasan akal manusia dihukum dengan hukuman setimpal. Setimpal? Apa maksud mereka dengan tuntutan hukuman setimpal sebenarnya?




Oh.. sebelum dari itu, kita kembali ke Malaysia buat sementara waktu. Kes-kes sebegini juga bukanlah sesuatu yang asing di negara ini. Malah ada yang lebih kejam perlakuannya pernah menggemparkan penduduk Malaysia yang waras. Tidak perlu disebutkan nama-nama mangsa bagi mengelakkan waris-waris mereka kembali bersedih dengan kehilangan mereka-mereka yang tersayang. Umum sedia tahu tentang kes-kes melampaui batasan kemanusiaan. Mangsanya dari anak kecil sehingga ke nenek yang sudah berusia. Setiap kali berlakunya peristiwa seumpama dengan yang telah berlaku di India, maka rakyat jelata terutamanya waris-waris terdekat dengan mangsa menuntut keadilan diberikan kepada mereka. 




Mereka melaung-laungkan supaya si pelaku jenayah terbabit dikenakan hukuman yang setimpal. Dari pihak menteri sehingga ke rakyat jelata dan ahli mesyuarat kedai kopi, ke semua mereka bersatu di dalam satu nada yang mahukan hukuman setimpal diberikan kepada pelaku jenayah tersebut. Setimpal? Apa maksud mereka dengan hukuman setimpal sebenarnya?




Ketika sebahagian dari dunia yang gempar dengan tragedi abnormal yang normal berlaku di India ini, muncul pula golongan yang mahu menangguk populariti seolah-olah mereka itu sangat mahu memperjuangkan keadilan sejagat. Ketika anak-anak kecil dirogol, bunuh, seksa dan dicincang di Malaysia, mereka hanya membuat pekak, tuli dan buta. Tiada demonstrasi apatah lagi membazirkan wang untuk membeli sebatang lilin bagi tujuan melakukan upacara vigil. Itu tidak penting kata mereka. Tetapi apabila isu dakwat pilihanraya dan isu-isu berkenaan hak meliwat dan bersenggama ala binatang, pantas mereka mencari lilin di dalam laci untuk segera diadakan vigil sebagai tanda bahawa hak asasi manusia itu telah mati di Malaysia. Biar sampai terbakar tangan dan basah dalam hujan, mereka sanggup berdiri demi memperjuangkan hak berjimak antara jantan sesama jantan melalui jalan kebun yang tidak subur.  Tidak pernah pun kelihatan mereka mengadakan vigil untuk anak-anak mangsa rogol di bumi Malaysia sebelum ini.

Tiba-tiba baru-baru ini, mereka menyatakan mereka mahu mengadakan vigil untuk memperingati mangsa rogol terbabit. Seolah-olah mereka amat peka dan mengharapkan keadilan untuk segera diberikan kepada mangsa. Apakah hari ini mereka kurang sihat dan mengalami halusinasi temporan 1 bahawa tindakan mereka itu turut memperjuangkan hak dan keadilan kepada si mangsa? Mereka menuntut keadilan, tetapi apakah keadilan itu sebagaimana yang dimahukan oleh keluarga si mangsa?




Keluarga mangsa dan mereka-mereka yang bersimpati dengan tragedi yang menimpa mangsa menuntut satu bentuk hukuman setimpal diputuskan ke atas binatang-binatang yang menyarung jasad manusia terbabit. Mereka mahukan hukuman setimpal. Setimpal? Apa maksud mereka dengan hukuman setimpal sebenarnya?

Kanun Keseksaan bagi undang-undang jenayah negara kita merupakan undang-undang yang dibentuk bedasarkan kepada Kanun Keseksaan India (1860) yang dirangka oleh Suruhanjaya Undang-Undang India yang diketuai oleh Lord Macaulay. Manakala perlembagaan dan kanun acara jenayah di India pula merupakan satu adaptasi common law dan kanun acara jenayah yang digunakan di British. Kedua-dua India dan Malaysia merupakan negara Komanwel. Kelab negara dijajah kata Tun Mahathir satu ketika dulu.

Dalam kedua-dua negara, terdapat peruntukan undang-undang bagi hukuman mati untuk kesalahan-kesalahan tertentu seperti membunuh dan melancarkan mutini. Cuma lewat ini, muncul manusia-manusia yang mengalami halusinasi temporan yang mahukan peruntukan bagi hukuman mati dihapuskan sama sekali bagi semua jenis kesalahan terutamanya di Malaysia. Kebanyakan dari mereka dan yang kuat menjuarai agenda menghapuskan samasekali hukuman mati untuk semua kesalahan di Malaysia ini terdiri dari peguam yang merangkap aktivis dan ahli politik yang kini bernaung di bawah Parti KeAdilan Rakyat (PKR). Mereka kini galak mendesak kerajaan supaya semua bentuk hukuman mati dihapuskan dari sistem undang-undang Malaysia.

Baru-baru ini, Naib Presiden parti, N. Surrendaran di bawah kapasitinya sebagai pengasas kepada Lawyer For Liberty menyatakan serta mendesak pihak kerajaan supaya menghapuskan semua bentuk hukuman mati di dalam sistem perundangan negara. Beberapa pihak turut sama mendesak perkara yang sama atas satu alasan goyah bahawa hukuman mati tidak akan menghalang pelaku jenayah dari melakukan jenayah. Keratan akhbar mengenai perkara tersebut disertakan di bawah.


Democratic Action Party (DAP) pula merupakan ahli kepada pertubuhan Socialist International (SI). SI merupakan sebuah pertubuhan yang turut bersekutu dengan World Labour Zionist Movement (WLZM) & Jewish Labour Bund (JLB).  SI sebuah pertubuhan yang antara lain memusatkan tumpuan kepada pembatalan semua bentuk hukuman mati dan usaha-usaha ke arah itu di seluruh dunia. Alasan sama seperti yang dimainkan sebelum ini iaitu hukuman mati tidak akan menghalang pelaku jenayah dari melakukan jenayah. Bagi yang masih dibuai mimpi bahawa hukuman hudud akan dilaksanakan entiti-entiti ini bilamana mereka mendapat kuasa, maka bolehlah mula mengesat lelehan air liur basi untuk segera sedar dan bangun dari mamai yang berlanjutan begitu lama.

Keahlian Sedunia SI.(Klik)
Komitmen SI untuk menghapuskan semua bentuk hukuman mati (Klik sini)

Teks-teks perundangan sentiasa meletakkan neraca keadilan seharusnya memenuhi fungsi-fungsi keadilan dengan harapan yang berikut.Setiap undang-undang mengenai hukuman kepada jenayah perlu secara kolektif mencapai maksud-maksud berikut :

i)    Memenuhi hak-hak serta prinsip-prinsip keadilan untuk si tertuduh.

ii)   Memelihara struktur kestabilan dan keamanan sosial di dalam masyarakat melalui jalan berikut:

            a.       Menjadikan bentuk hukuman untuk kesalahan jenayah mencapai maksud  pencegahan (deterrence) untuk masyarakat.

            b.      Pengelakan (prevention) dan menghilangupaya/pelumpuhan (Incapacitation) bagi memastikan si pelaku jenayah tidak dapat mengulangi lagi perlakuannya ke atas masyarakat.

            c.       Pembaikan (Rehabilitation) -  mengenalpasti sisi-sisi perkara yang mencetuskan jenayah tersebut dilakukan dan memperbaiki keupayaan diri si pelaku jenayah untuk mempunyai ketahanan diri daripada mengulangi perlakuan yang serupa.

            d.      Pengutukan (Denunciation) – menjadikan jenayah yang dilakukan mendiami sisi buruk di dalam persepsi masyarakat supaya perlakuan tersebut sentiasa dianggap sesagai sesuatu yang salah dan tidak dapat diterima oleh masyarakat manusia yang berfikiran normal.

            e.       Pemulihan (Restoration) – memastikan si pelaku jenayah tersebut, selepas menjalani tempoh hukuman atau sebarang bentuk hukuman yang dikenakan ke atas mereka, akan keluar kepada masyarakat sebagai seorang manusia yang tidak lagi menjadi ancaman serta membahayakan kepada system sosial masyarakat.

Tetapi, jarang sekali teks perundangan ciptaan manusia pada lewat ini memberi perhatian kepada sisi psikologi, kesan trauma dan merawat rasa marah yang membara dan mula membakar di dalam jiwa serta pemikiran mangsa dan keluarga mangsa.

Maka atas sebab itulah timbulnya gesaan demi gesaan menghapuskan hukuman mati dari mereka-mereka yang mendakwa diri mereka memahami undang-undang. Tetapi pada hakikatnya gagal untuk memahami sisi psikologi dan kesan trauma yang terpaksa dilalui oleh mangsa dan keluarga mangsa. Mereka seolah-olah menafikan fakta bahawa api di dalam sekam itu lebih membahayakan jika tidak dipadam lebih awal. Mereka juga seolah-olah gagal memahami bahawa jika ketidakpuasan hati mangsa dan keluarga mangsa timbul kepada sistem keadilan yang dirasakan langsung tidak memberikan keadilan kepada pihak mereka, pilihan membalas dendam dengan mengambil inisiatif sendiri untuk memuaskan rasa tidak berpuas hati itu akan tercetus. Lihat sahaja petikan akhbar berikut yang menyiarkan percubaan mereka-mereka yang merasakan keadilan tidak akan dapat ditegakkan melalui sistem keadilan India. Akan terdapat mereka-mereka yang menuntut bela atas kematian tersebut.  Tindakan lebih ekstrem seperti cubaan mengebom rumah salah seorang pemangsa telah dikesan cuba dilakukan. Jadi, sistem perundangan dan keadilan juga harus mengambilkira hati dan perasaan golongan seperti ini yang perlu ditenteramkan melalui satu bentuk hukuman yang akan melepaskan hati dan perasaan mereka dari dendam yang sedang membakar dengan marak.




Selain dari percubaan mengebom rumah suspek, kita melihat saban hari, semakin ramai manusia di India mula mengeluarkan sisi-sisi emosi yang selama ini dipendam mereka mengenai kegagalan sistem keadilan dan keselamatan sosial masyarakat mereka. Mereka kini secara beramai-ramai mula mendesak hukuman mati, kasi dan sebagainya dikenakan ke atas enam yang tertuduh tersebut. Lihat sahaja petikan gambar di dalam keratan akhbar berikut. 




Mereka mahukan hukuman setimpal. Bagi mereka hukuman mati itu walaupun tidak setimpal, sekurang-kurangnya ia tetap perlu dilaksanakan. Ini kerana hanya itulah sahaja pilihan yang ditawarkan sistem perundangan ciptaan manusia yang lemah. Jika mahu tahu apakah definisi hukuman setimpal yang dimahukan atau dimaksudkan, maka hendaklah keluarga mangsa tersebut ditanyai tentang apa hasrat mereka berkenaan nasib manusia-manusia yang telah merogol tanpa belas, memukul serta mengakibatkan kematian anak gadis yang menjadi harapan kepada masa depan bahagia mereka. Pastinya hukuman mati melalui hukuman gantung bukanlah hukuman setimpal yang mereka maksudkan. Mereka pasti mahukan hukuman di dalam bentuk bunuh dengan perlakuan balas atau Qisas seperti di dalam sistem keadilan Islam.

Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa. (al Baqarah ayat 178 hingga 179)

 An eye for an eye, tooth for a tooth seperti di dalam hukuman Allah di dalam agama Islam sejak di zaman Bani Israel.

"Dan Kami tetapkan atas mereka di dalamnya (Taurat) bahwa jiwa dibalas dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka luka pun ada Qisasnya. Barangsiapa yang melepaskan hak Qisas, maka melepaskan hak itu jadi penebus dosa baginya. Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka adalah orang-orang yang zalim." [Al Maa-idah:45]

But if there is serious injury, you are to take life for life, eye for eye, tooth for tooth, hand for hand, foot for foot, burn for burn, wound for wound, bruise for bruise. (Exodus fasal 21 ayat 23 hingga 25)

Adalah menjadi sesuatu yang sangat normal di dalam memadamkan api dendam supaya tidak melarat sekiranya hukuman setimpal sepertimana di dalam Qisas diberikan pilihan. Dalam hal peruntukan Qisas ini, nasib kepada pelaku jenayah tersebut jika telah dibuktikan bersalah oleh hakim, akan diserahkan kepada keluarga si mangsa samada mahu dilaksanakan hukuman bunuh balas atau pun mengarahkan wang tebusan darah dibayar atau pun mengambil pilihan yang lebih dekat dengan keuntungan yang lebih iaitu dengan memberi keampunan kepada mereka-mereka yang telah melakukan kesalahan. Pilihan tetap diberikan kepada keluarga mangsa untuk diputuskan nasib pelaku-pelaku jenayah tersebut.  Inilah hukuman setimpal yang diinginkan oleh mana-mana keluarga mangsa yang dimangsai oleh apa sahaja perlakuan jenayah. Ia suatu perkara normal yang cuba dinafikan. Lihat sahaja kepada contoh satu kes penculikan yang pernah diselesaikan di Amerika Syarikat dan komentar keluarga mangsa culik setelah ditanyai mereka berkenaan hukuman penjara yang diputuskan.



Laporan di sebelah ialah berkenaan kes penculikan bayi kepada pasangan Tyson yang berlaku pada 1987. Bayi mereka yang pada ketika itu berusia 3 minggu telah diculik oleh Ann Pettway yang mengalami masalah kemurungan akibat beberapa kali keguguran. Menyamar sebagai seorang jururawat, Pettway menceroboh masuk ke hospital dan menculik bayi tersebut untuk dijadikan anaknya. Peristiwa tersebut benar-benar menghancurkan hati pasangan Tyson. Ibu bapa mana yang dapat hidup tenteram jika anak mereka yang baru berusia 3 minggu hilang secara tiba-tiba tanpa diketahui apa nasib yang menimpa bayi tersebut. Setelah lebih dua dekad berlalu, bayi tersebut yang kini telah dewasa merasakan terdapat kejanggalan mengenai akar darahnya dan asal usul dirinya. Lalu dia mengambil keputusan untuk menghubungi  National Centre For Missing and Exploited Children. Dari sana dia mengambil keputusan untuk menjalani ujian DNA bagi mencari keluarga sebenarnya. Dengan bantuan sistem rekod yang efisien, hasilnya ibu bapa biologinya berjaya ditemui. Pettway kemudian ditahan dan kemudian dibicarakan. Dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan menculik. Tetapi hukuman tersebut, masih belum dapat membalut luka serta trauma yang mengahntui pasangan Tyson selama 23 tahun. Walaupun Carlina White, anak yang diculik tersebut telah kembali ke pangkuan mereka, anak tersebut masih belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan persekitaran keluarga yang baru. Kata-kata ibu dan bapa Carlina White benar-benar menunjukkan sisi luka dan trauma yang masih lagi menghantui hidup mereka. ‘Jiwa saya telah hancur kepada berjuta pecahan. Walaupun anak saya telah pulang, hakikatnya dia masih belum sepenuhnya kembali.’ Joy White, ibu kepada anak tersebut cuba menjelaskan luka dihatinya. ‘Selama 23 tahun kamu menyebabkan saya hidup di dalam kesengsaraan. (perbuatan) Kamu telah menggantikan hati saya dengan seketul batu.’ Carl Tyson, bapa kepada bayi tersebut menjelaskan pula sengsara yang dilaluinya. ‘Saya mahukan dia dipenjarakan selama 23 tahun.’  Bagi Carl Tyson, hukuman penjara 12 tahun yang dihukumkan ke atas Ann Pettway tidak cukup untuk dia menganggapnya sebagai setimpal dengan apa yang telah dilakukan Ann ke atas keluarga mereka. Jelas hukuman dalam bentuk keadilan ciptaan manusia tidak akan dapat memberikan keadilan sebenar dan tidak akan dapat merawat luka kepada mereka-mereka yang dimangsai. Ann Pettway bernasib baik kerana keluarga Tyson masih dapat mengawal kemarahan mereka dengan sistem perundangan yang dirasakan tidak akan memberikan keadilan kepada keluarga mereka. Perhatikan pula kes di bawah ini.



Kes ini melibatkan perasaan marah seorang ayah di Jerman yang tidak terbendung. Peristiwa itu berlaku apabila dia mendapat panggilan yang menyatakan bahawa seorang datuk kepada rakan sekelas anaknya, meniduri anaknya sejak beberapa bulan yang berlalu. Marah dengan apa yang berlaku, dia membuat laporan polis supaya tindakan undang-undang dapat diambil ke atas lelaki berusia 58 itu. Malang sekali apabila pihak polis menyampaikan kepadanya bahawa mengikut undang-undang ciptaan manusia yang dikuatkuasakan di sana, lelaki berusia 58 tahun yang meniduri anak perempuannya, secara teknikalnya, tidak melakukan apa-apa bentuk kesalahan. Marah dengan keadaan itu, dia mangambil keputusan untuk mendapatkan keadilan dan menjalankan undang-undang sendiri yang dirasakannya bakal memberikan keadilan kepadanya. Dengan bantuan beberapa rakan, dia menceroboh masuk ke kediaman lelaki tersebut, membelasah dan seterusnya mengikat kaki dan tangan lelaki terbabit. Ianya tidak habis di situ. 

Bapa kepada anak gadis tersebut kemudiannya mengeluarkan skalpel (pisau bedah) dan kemudian mengambil tindakan memotong testikel  lelaki terbabit. Setelah puas melihat testikel lelaki terbabit dipotong, dia kemudiannya menghubungi ambulans. Dia kemudian ditangkap dan dibicarakan. Amat jelas, tindakan yang dilakukannya itu adalah berpunca salah satunya dari sifat undang-undang ciptaan manusia yang tidak dapat memberikan keadilan dengan hukuman setimpal yang dituntut oleh keluarga mangsa.

Melihat semua ini, di manakah lojik gesaan dari beberapa pertubuhan peguam, Majlis Peguam dan NGO-NGO yang mahu semua bentuk hukuman mati di negara ini dihapuskan. Jika hukuman mati dihapuskan, apakah bentuk hukuman yang mereka rasakan paling adil untuk diberikan kepada mereka-mereka yang menjadi tertuduh di dalam kes belasah, rogol dan bunuh yang menjadi topik bualan panas di India dan serata dunia ini? Cukupkah menghukum mereka dengan hukuman penjara dan sebat? Adilkah mereka-mereka yang telah menghancurkan impian sepasang ibu bapa untuk melihat anak gadisnya berjaya di dalam kehidupan hanya dipenjarakan dan disebat setelah mereka memperlakukan perlakuan yang lebih buas dari binatang ke atas mangsa?



Malang sekali hukuman sebat ke atas semua perlakuan jenayah juga kini berada di dalam radar serta gesaan untuk turut dihapuskan sama sekali dari sistem perundangan negara. Hukuman sebat tidak berperikemanusiaan kata Majlis Peguam. Jika hukuman sebat itu tidak berperikemanusiaan dan perlu dihapuskan dari sistem perundangan negara, jadi hukuman dalam bentuk apa yang sesuai untuk perogol dan pembunuh seperti dalam kes yang berlaku di India tersebut? Tolong beritahukan kepada kami yang mahu tahu apakah bentuk hukuman setimpal yang boleh dijatuhkan ke atas mereka-mereka yang melakukan jenayah seperti yang berlaku di India tersebut? Pilihan apa yang masih ada untuk diberikan sebagai hukuman jika hukuman mati dan sebat telah dihapuskan? Sister In Islam.. boleh beritahu kami, apa bentuk hukuman yang boleh memberikan keadilan kepada perasaan keluarga mangsa yang kini hancur? Kami tidak mahu mendengar retorik pandangan yang hanya mahu memberikan penumpuan kepada aspek didikan tetapi sisi keselamatan sosial, kawalan pergaulan, kekuatan undang-undang pencegahan dan ketegasan undang-undang hukuman yang membentuk perlindungan holistik kepada wanita dan orang awam dinafikan begitu sahaja.

Jadi, apa bentuk hukuman yang sesuai kepada mereka-mereka yang didapati bersalah di dalam kes seumpama kes tersebut? Penjara 6,000 tahun? Hanya hakim yang mempunyai pemikiran tidak waras akan memenjarakan seorang manusia yang mempunyai jangka hayat tidak lebih dari 120 tahun dengan hukuman penjara 6,000 tahun. Ini bukan keadilan, tapi rasa diri cerdik yang terbit dari sistem caturan aritmetik otak terhasil dari pemikiran lojik yang rosak.

Jika dihukumkan mereka dengan hukuman penjara 30,000 tahun atau 30 Billion tahun sekalipun, mereka tetap hanya akan menjalani sebahagian kecil dari tempoh yang telah ditetapkan ke atas mereka oleh hakim yang telah hilang keupayaan pemikiran yang waras.

Apakah adil hanya dengan memenjarakan mereka yang terlibat dengan perlakuan jenayah berat sedemikian rupa? Bayangkan situasi ini yang pernah saya berikan contohnya di dalam novel Syahadah Gadis Ateis. Bayangkan jika perogol dan pembunuh anak gadis tersebut hanya diberikan hukuman penjara seumur hidup. Sudah tentunya bentuk hukuman sebegini akan menimbulkan rasa tidak puas hati yang sangat mendalam yang bakal menghiris hati keluarga mangsa. Lebih malang lagi apabila bapa, ibu dan ahli keluarga yang lain merupakan golongan yang tidak pernah culas di dalam menunaikan tanggungjawab mereka membayar cukai kepada kerajaan India. Kenapa saya katakan isu pembayaran cukai oleh keluarga mangsa ini dikatakan bakal menjadikan kedukaan keluarga tersebut menjadi berlipat kali ganda?

Untuk memenjarakan mana-mana banduan untuk tempoh masa yang tertentu, ia melibatkan kos perbelanjaan yang tinggi oleh mana-mana kerajaan di dalam dunia. Banduan yang dihukum penjara perlu diberikan tempat tidur, pakaian, alat kebersihan diri, sistem kebersihan penjara, sistem elektrik, air serta kumbahan penjara. Mereka-mereka ini juga wajib diberikan makanan dan minuman, masa beriadah, kursus-kursus kemahiran dan pemulihan dan banyak perkara lagi. Semua ini melibatkan kos yang bukan sahaja tinggi, malah ia membebankan sistem kewangan mana-mana kerajaan. Dari mana pula kerajaan mendapatkan dana pembiayaan untuk memastikan sistem penjara dapat diuruskan dengan betul dan selamat? Tentu sahaja ia diambil dari hasil cukai yang dikutip di dalam negara termasuk cukai perniagaan dan pendapatan rakyat. Maka bermula di sinilah episod paling malang dalam sistem keadilan ciptaan manusia ini menampakkan kepincangannya.  Bayangkan situasi contoh dalam senario berikut di mana ibu, bapa dan sanak saudara mangsa rogol dan bunuh tersebut merupakan pembayar cukai yang setia. 

Disebabkan oleh sistem keadilan manusia itu telah tunduk dengan desakan Majlis Peguam India, Suruhanjaya Hak Asasi India, Sekretariat Tuntutan Pilihanraya Bersih India dan Parti Keadilan India untuk menghapuskan hukuman mati dan sebat ke atas mana-mana kesalahan jenayah, maka satu-satu pilihan hukuman yang ada ialah hukuman penjara seumur hidup.

Lalu di dalam senario tersebut, kesemua tertuduh kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Lalu kesemua mereka dihantar ke penjara untuk menjalani tempoh hukuman. Mereka diberikan makan, pakai, katil, tilam, aktiviti riadah dan segala keperluan tanpa perlu mereka mengeluarkan wang hatta untuk satu sen sekalipun. Jadi siapa yang membiayai kehidupan serta keperluan mereka di dalam penjara? Tidak lain dan tidak bukan, keluarga mangsalah yang menanggung semua kos hidup perogol ganas dan pembunuh anak gadis mereka secara tidak langsung melalui cukai yang dibayar oleh mereka dengan wang titik peluh serta jerit payah mereka mencari nafkah. Jadi di dalam situasi dan senario demikian, siapa yang dihukum sebenarnya? Perogol-perogol tersebut atau keluarga mangsa rogol? Apakah mereka redha sekiranya wang hasil titik peluh mereka yang perlu mereka bayar sebagai cukai kemudiannya digunakan untuk memastikan semua hak-hak kemanusiaan seorang banduan dipenuhi? Apakah ini yang dinamakan keadilan? Apakah adil bilamana hak mangsa sebagai seorang manusia dinafikan perogol-perogol terbabit tetapi hak si perogol sebagai banduan pula perlu menjadi tanggungan dan bebanan keluarga mangsa? Siapakah yang dihukum sebenarnya di dalam situasi seperti ini? Perogol atau keluarga mangsa?

Itu belum lagi mengambil kira senario tuntutan pihak-pihak di dalam negara yang mahukan pihak kerajaan melakukan perbelanjaan berhemah. Maka apabila mana-mana kerajaan mahu mengetatkan belanjawan, beberapa potongan kepada bahagian-bahagian keperluan yang dilihat tidak begitu mendesak akan mula dicadangkan. Maka cadangan-cadangan penjimatan akan mula dikemukakan. Tidak dinafikan perbelanjaan kerajaan di dalam menguruskan sistem penjara merupakan sesuatu yang sangat membebankan dan besar jumlahnya. Lalu timbullah idea untuk memperkenalkan sistem parol yang membenarkan banduan-banduan yang masih belum tamat tempoh hukuman untuk dilepaskan dengan bersyarat. Mana-mana banduan yang menunjukkan prestasi kelakuan yang baik akan dibenarkan menjalani parol. Kerajaan Malaysia menyatakan bahawa melalui sistem ini, hampir 20,000 tahanan yang bersamaan dengan 2/3 dari jumlah banduan di dalam negara akan layak untuk dibebaskan dengan syarat parol. Kerajaan menurut laporan yang dilampirkan di bawah menyatakan bahawa sistem parol yang bakal diperkenalkan tersebut akan memberikan penjimatan sehingga RM 700,000.00 sehari atau bersamaan RM 21 juta sebulan. (Artikel penuh di sini. klik)

Maka, cuba pula bayangkan senario imaginari berikut, setelah semua hukuman mati dan sebat dihapuskan, banduan-banduan yang merogol dan membunuh itu kemudiannya setelah puas disara keluarga mangsa melalui cukai yang dibayar mereka, mereka kemudiannya dibebaskan dengan parol beberapa tahun lebih awal dari tempoh maksimum hukuman penjara mereka kerana mereka telah berkelakuan baik di penjara. Apakah ini boleh dianggap sebagai keadilan itu tertegak dengan sistem ciptaan manusia ini? Pastinya tidak sama sekali.

Justeru itu, satu nasihat ingin saya berikan kepada peguam yang merancang untuk mengadakan vigil di Singapura kerana simpati dengan nasib yang menimpa gadis malang tersebut. Saya mahu dia menukar lokasi dan mengadakan vigil di hadapan pejabat majlis peguam dan kemudian dihadapan ibu pejabat pkr dan seterusnya vigil sehari semalam dihadapan mana-mana wakil parti yang terlibat dengan Socialist Internationl supaya memastikan tiada seorang dari mereka akan meneruskan rancangan mereka untuk mendesak hukuman mati dan sebat dari dihapuskan dari sistem perundangan negara.  

Melihat semua ini, amatlah jelas keadilan itu hanya boleh tertegak dengan seluruh dunia kembali kepada undang-undang yang telah ditetapkan Allah. Kita semua perlu bergerak ke arah itu. Samada laju atau perlahan, yang penting kita harus terus bergerak dan saya konsisten tentang perkara ini sejak dari awal menulis di dalam blog ini lagi. Wallahua’lam.

Nota kaki :
1. Halusinasi Temporan      = Tidak perlu untuk google atau mendapatkan kamus untuk mencari maksud kepada  terma ini. Ia sebuah terma yang saya wujudkan . Ia merujuk sikap bodoh sombong yang disengajakan bagi tujuan mendapatkan perbatuan politik dan apa sahaja perkara yang beoleh memenuhkan tembolok ketamakan mereka.


© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda

Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

6 comments:

...Juwita Maya... said...

Artikel ini membuatkan saya banyak sekali berfikir..sebab tu kene baca tengah malam...'halusinasi temporan'..baru saja berkira2 nk google lepas abis baca tengok2 dah siap2 tulis di bawah :)

satuhala said...

Juwita Maya,
Anak saya mempunyai satu terminologi untuk dia menjelaskan yg dia sedang berfikir. Dia gunakan term 'pusing otak' utk jelaskan bahawa dia baru mendapat idea untuk menyelesaikan masalah tingkap sebelah katilnya yang tempias bila waktu hujan lebat.

Pada usianya awal 4 tahun, dia membuat cadangan supaya plastik keras portable yg boleh diseret buka dan tutup dipasang pada tingkapnya. Plastik tu diambil dari rumah plastik permainannya. Menghairankan apabila cadangan dari hasil 'pusing otak' budak berumur 4 tahun ni menyelesaikan masalah dengan mudah, kos efektif (RM 0 sebenarnya) dan tidak membuang masa. Berbanding cadangan bapanya yg pompous dan melibatkan kos yg lebih tinggi. Sya menjalankan ideanya dan hairan kenapa saya yg mendapat latihan kejuruteraan tidak terfikir perkara semudah itu utk menyelesaikan masalah tingkapnya.

Lalu saya cuba berfikir semudah mungkin spt anak saya. Dr itulah lahirnya Halusinasi Temporan.. tidak perlu membuang masa mencari perkataan yg tidak ada dan menunggu sehingga adanya perkataan itu untuk digunakan. Cipta sahaja terma tersebut dan jelaskan.

TQ kerana memberi perhatian serius kepada apa yg disampaikan..

...Juwita Maya... said...

Bijaknya Jannah ;) semoga menjadi anak yang bahagia di dunia dan beruntung di akhirat sana.

shamsadis said...

Majlis Peguam India, Suruhanjaya Hak Asasi India, Sekretariat Tuntutan Pilihanraya Bersih India dan Parti Keadilan India

- gelak aku baca pertubuhan tue semua...hahahahha

satuhala said...

Juwita,
Semoga semua anak2 muslimin muslimat mendapat kebahagiaan berkekalan di dunia dan akhirat.. Ameen..

satuhala said...

Shamsadis..
Mrk yg arif akan cepat tangkap maksudnya..

Hanya Johari Kenal Maniam..