Thursday, June 21, 2012

Why Be You When You Can Be New?


oleh : M.I.A/Imran Haaz

Petikan yang digunakan di dalam tajuk di atas diambil dari filem animasi Robot yang saya tonton satu ketika dulu dengan anak perempuan saya, Mifthahul Jannah. Bila Bigweld ditendang keluar dari industri kerana memperjuangkan semua robot adalah hebat tak kira mereka diperbuat daripada apa, dengan slogan ‘You can shine no matter what you’re made off.’ Kata-kata seperti ini dikatakan sangat merugikan kepada golongan kapitalis. Lalu tempatnya diambil oleh pentadbiran muda yang bakal melonjakkan graf keuntungan berlipat kali ganda. Ratchet, robot yang tunjang akar pemikirannya sentiasa berlegar dalam pemikiran kapitalis mengambil alih pentadbiran Big Weld Industries. Dialah yang mempromosikan tag ‘Why Be You When You Can Be New’ dalam iklan-iklan untuk memprogramkan minda robot-robot yang lain untuk kembali merasa rendah diri dengan keupayaan diri mereka. Sama situasinya dengan dunia diluar filem animasi tersebut.

Orang-orang biasa harus sentiasa diperingatkan tentang kekurangan diri supaya mereka akan merasa diri mereka sangat inferior lalu mereka akan segera mencari remedi untuk mengembalikan keyakinan diri mereka. Mereka setiap hari di dalam hayat hidup mereka, pancaindera mereka dilambakkan dengan iklan yang menunjukkanbagaimana rupa manusia-manusia yang berjaya, apa bentuk tubuh mereka, apa yang dipakai oleh mereka, apa yang dimakan mereka, siapa yang menjadi pasangan mereka, apa kenderaan yang dinaiki mereka, di mana rumah tempat tinggal mereka, ke mana mereka menghabiskan wang, di mana mereka bercuti, apa gajet yang digunakan mereka dan segala-galanya tentang mereka-mereka yang dipotretkan sebagai manusia-manusia yang berjaya. Segalanya dibentuk bagi memahat sebuah persepsi supaya semua manusia yang ada di dalam khalayak yang lebih ramai akan dihumbankan dengan perasaan rendah diri, tiada kemegahan dan menyebabkan mereka mula merasakan ingin mengungsi diri ke sebuah sudut gelap di dalam masyarakat. Mereka mahu menjadi halimunan sekiranya mereka tidak dapat menjadi seperti ‘insan-insan berjaya’ yang disogokkan setiap hari di media dan kaca tv. Mereka ingin keluar dari perasaan resah tersebut tetapi mereka tertanya-tanya bagaimana mungkin ianya dapat dilakukan.


Mereka berasa malu apabila panggilan telefon dari gajet murah milik mereka berbunyi  ketika mereka berada dikalangan para sahabat mereka yang sentiasa up to date dengan perkembangan gajet terkini. Mereka mula berasa malu untuk keluar bersama para sahabat yang lain kerana sepatu yang dipakai tidak segah dan selari dengan tafsiran ‘orang-orang berjaya’ di kaca tv. Mereka berasa malu untuk ke gedung membeli belah yang hebat kerana pakaian mereka kelihatan janggal disebalik kemilauan kehebatan busana manusia di sana.

 Setelah diprogramkan untuk mengidamkan semua ini, industri mengambil kesempatan dengan menawarkan produk-produk sebagai remedi kepada resah yang disangka boleh menuju bahagia. Biar papa asalkan bergaya menjadi moto taruhan. Mereka mula membelanjakan wang dan pendapatan milik mereka demi untuk melastik kedudukan mereka sebaris dengan manusia-manusia yang dipamerkan di dalam kaca tv.

Mereka mula berbelanja diluar keperluan dan tanpa menghitung kesan yang bakal dirasakan. Yang penting mereka harus sebaris dan inferiority complex di dalam diri itu perlu diubati segera dengan mendapatkan remedi-remedi yang ditawarkan. Ketika mereka menyangka diri mereka mencapai bahagia dengan poket menipis dihujung bulan, sang kapitalis tadi bergerak dalam jet peribadi merentas dari awan ke awan menuju negara-negara destinasi pelancongan untuk membelanjakan wang hamba-hamba abdinya yang telah diprogramkan untuk menyembah setiap ‘remedi’ yang ditawarkannya.

Jadilah mereka selamanya sebagai hamba kepada sebuah sistem perhambaan moden yang telah diprogramkan ke dalam minda mereka. Messiah mereka ialah produk. Seolah, tanpa produk mereka sesat.
Tidak salah untuk menjadi seperti diri sendiri. Jika tidak mampu, jangan memaksa diri untuk berbelanja melebihi kemampuan hanya kerana orang lain telah diprogramkan untuk berbuat demikian. Ferrari bernilai jutaan ringgit dan pakaian bernilai puluhan ribu ringgit jika dibelanjakan oleh insan yang sangat kaya tanpa dia melupakan manusia-manusia yang tidak bernasib baik dan tanggungjawabnya terhadap agamanya, ianya sesuatu yang tidak menjadi kesalahan baginya untuk berbuat demikian. Dia mampu dan dia sangat bertanggungjawab kepada agamanya. Berbelanjalah mengikut kemampuan. Jika terlalu kaya, berbelanjalah seperti orang yang mampu dan tidak melakukan pembaziran serta tidak melupakan tanggungjawab membantu saudara Islam dan bukan Islam yang susah. Jika berkemampuan sederhana, berbelanjalah mengikut kemampuan yang ada. Jika susah, berusahalah supaya mengeluarkan diri dari belengu kesusahan. Makanan yang dapat melapik perut, pakaian yang cukup menutup aurat serta tempat tinggal yang dapat melindungi dari hujan, panas dan bahaya sudah mencukupi, kecuali bagi orang-orang yang berfikir dari tembolok.

Dunia hari ini telah dibentuk supaya menjauhi sunnah yang telah dinyatakan dengan jelas oleh Rasulullah s.a.w. apabila perasaan resah menuju bahagia itu tidak muncul. Pandanglah kepada mereka yang lebih bawah dari kita.

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Lihatlah kepada orang yang lebih bawah daripada kamu, dan janganlah kamu melihat orang yang lebih tinggi daripada kamu; ianya lebih wajar, agar kamu tidak memperkecilkan nikmat Allah." (Riwayat Muslim)

Sebelum mengambil keputusan untuk membeli Ferrari, sebelum mengambil keputusan untuk melancong ke luar negeri dan bersungut kerana tidak boleh melakukannya dengan lebih kerap, sebelum mengambil keputusan untuk memilih antara iPhone 4 dan Samsung Galaxy dan bersungut kerana tidak tahu memilih yang mana satu yang lebih sesuai dengan imej diri, ingatlah kepada insan kecil dalam pelukan ibunya ini. Dia tidak akan bersungut sekiranya air yang disuapkan kepadanya merupakan air dari longkang. Dia tidak akan bersungut sekiranya kerak roti yang dibuang masyarakat kita yang menganggapnya keras untuk dimakan, disuapkan ke mulutnya dengan penuh kasih sayang oleh ibunya yang juga tidak bermaya. Tetapi malang apabila dengan melihat ke bawah, kita tidak pernah berbuat apa-apa untuk membantu insan-insan seperti ini. Ini kerana, sebaik kita melihat ke bawah, kita segera mendongak ke atas memikirkan kita juga insan-insan yang malang hanya kerana tidak dapat melancong dengan lebih kerap dan iPhone milik kita tidak secantik telefon milik sahabat kita.


Kita telah diprogramkan untuk menjauhi sunnah, lalu anak-anak seperti ini terus terbiar kelaparan. Kita menjauhi sunnah, lalu kita membiarkan diri kita berterusan diperhambakan. Kita semua, majoritinya pada hari ini ialah insan-insan yang tidak berfikir sebagaimana Allah dan RasulNya mahu kita berfikir. Tetapi kita telah berjaya membesar sebagaimana sistem kapitalis mahu kita sebagai manusia berfikir. Maka, sehingga hari kita dijemput pulang nanti, kita akan sentiasa hidup sebagai hamba-hamba produk dan hamba-hamba kepada sistem pimikiran yang menjajah keupayaan diri kita untuk menentukan apa yang terbaik untuk diri kita. Persoalannya, apakah kita sedar dengan semua yang berlaku dan keinginan yang dicetus dari dalam diri kita pada hari ini, bukanlah sesuatu yang kita mahukan, tetapi sesuatu yang telah dipaksamahukan kepada kita melalui program-program minda yang menerobos akal kita sejak lahir hingga dewasa? Keinginan kita bukan lagi keinginan kita yang sebenar. Ia kehendak sang kapitalis yang telah dipaksakan serta dipahat kukuh di dalam diri dan pemikiran kita. Kita perlu kembali memerdekakan pemikiran kita. Untuk merdeka, kita perlu berjuang. Untuk berjuang kita memerlukan senjata. Tetapi sayang, senjata yang seharusnya digunakan kita untuk berjuang telah dibiarkan berhabuk di dalam almari perhiasan. Senjata yang disentuh hanya ketika ianya dijadikan hantaran perkahwinan. Sehabis batal air sembahyang, berpuluh tahun senjata itu disimpan kesunyian seolah ia tiada teman.

Kita harus menjadi generasi yang kembali kepada al Qur’an bukan hanya sekadar membacanya, tetapi memahaminya serta menggali segala khazanah hebat yang terkandung di dalamnya dan menebarkan ilmu-ilmunya ke segenap pelusuk alam. Selepas itu, barulah laungan merdeka itu membawa erti kemerdekaan sebenar. InsyaAllah, kita akan kembali menguasai dunia sesudah kita mengenal siapa diri kita. Orang yang mengenal dirinya, dia kenal Tuhannya. Orang yang kenal Tuhannya, dia kenal jalan pulangnya. Orang yang kenal jalan pulangnya, dia sentiasa bersedia menyediakan keperluan kepulangannya. Apakah kita telah bersedia untuk dijemput pulang dengan tiba-tiba? Jika belum, perlahan-lahan dan mengikut keupayaan diri kita perbetulkan jalan hidup kita. Allah sahaja yang lebih mengetahui siapa kita melebihi diri kita sendiri. Semoga kita semua dan semua ahli keluarga kita menjadi hamba-hamba Allah yang diredhaiNya dalam kehidupan kita di dunia dan akhirat. Amin.

© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda. 

6 comments:

assalamualaikum-tuan, hamba termasuk juga dalam golongan ini kerana mengidamkan samsung galaxy note-nampak macam hebat-boleh lukis segala-yang penting kadang2 masa menunggu atau dalam bas teringin nak baca sesuatu yang boleh menggerakkan minda macam blog tuan..tapi sangat betul apa yang tuan kata, zaman materialistik, kita semua kena cucuk hidung jadi goyim kerja bela dajjal dan manusia suruhannya...ikut nafsu mati, lepas satu-satu...teringat pula satu peristiwa semasa berkecimpung dalam bidang hartanah dulu, isteri pelanggan yang baru saja beli rumah percutian bernilai hampir sejuta ringgit (pada tahun 2004)merungut tentang bisannya yang berpangkat datuk, suaminya tidak, keluhannya seperti sedikit malu alah dengan mereka. walaupun mereka kaya (suaminya merupakan seorang doktor usahawan melayu yang mempunyai puluhan rangkaian klinik di sekitar lembah kelang)-kereta bmw 7 series baru, rangkaian rumah kedai, sambut raya sekeluarga di london dsb...malah jamuan rumah terbuka raya sudah macam mini pasar malam dengan pelbagai gerai makanan, tetapi si isteri masih mengeluh...sememangnya mengejar nafsu memang tidak pernah selesai...lepas gaji besar, nak pangkat besar, nak kereta besar, nak plat single digit, nak rumah besar, terbang kelas pertama atau persendirian, sememangnya tidak ada kesudahan, kecuali dijemput Allah swt ataupun kiamat!
 
ameen...
 
jauh hanyut...
 
Salam..saudara pasti sudah mennegtahu mengenai pernyataan Syed Abdullah Syed Hessein Al-Attas mengenai Sultan Johor dan rakyatnya..saya harap saudara dapat kogsi sedidkit pendapat mengenai isu tersebut kerana pendapat saudara selalunya berdasarkan fakta dan boleh diterima akal saya..terima kasih jika saudara boleh berkongsi pendapat mengenai isu tersebut..
 
Wa'alaikumsalam wrt guli-guli marble,
Maaf kerana saya tiada sebarang pengetahuan mengenai apa yang dibicarakan untuk membuat sebarang jsutifikasi tentang hal tersebut. Ketiadaan fakta-fakta serta bukti-bukti dakwaan yang boleh saya percayai dan sandarkan untuk membuat sebarang justifikasi, tidak memungkinkan saya untuk memberikan sebarang komen tentang perkara tersebut. Mengambil prinsip yang disebut Socrates, "Know that you don't know,' saya tahu saya tiada keupayaan utk memberikan sebarang justifikasi mengenai hal tersebut. Mohon maaf atas kekurangan tersebut.

Cuma mahu berkongsi satu lagi pesan Socrates," “Strong minds discuss ideas, average minds discuss events, weak minds discuss people.”

Sama-sama kita ambil pengajaran.. TQ.
 
Wa'alaikumsalam wrt Rizal Hass,
Hampir semua orang menginginkan smart phone.. ia bukan satu masalah, yang menjadi masalah ialah bersungut dengan smartphone yang ada hanya kerana dia tidak dapat memiliki smartphone yg lebih canggih.. sama macam kes isteri pelanggan yang bersungut dalam pengalaman tuan tersebut. Menahan nafsu itulah yang paling susah..
 

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email