Sunday, January 6, 2008

Memperbetulkan Serta Menjawab Pertuduhan Yang Menyatakan Rasulullah s.a.w. seorang Kaki Perempuan dan Paedophile. Bahagian 5

0
oleh Muhammad Ibn 'Az

(artikel ini merupakan bahagian 5 dari posting dengan tajuk yang sama, bahagian 4nya boleh dibaca dengan klik sini.)
Perkahwinan Rasulullah s.a.w. Dengan Zainab Binti Jahsy r.a.
Zainab Binti Jahsy bin Riab Al Asadiyah juga dikenali sebagai Ummul Hakam. Ibunya bernama Umamah Binti Abdul Mutallib. Zainab r.a. merupakan sepupu kepada Rasulullah s.a.w.

Zainab juga merupakan antara wanita-wanita terawal memeluk Islam. Beliau bernikah dengan Zaid Bin Haritsah yang merupakan hamba kepada Siti Khadijah r.a., isteri Rasulullah s.a.w. yang pertama. Rasulullah s.a.w. memerdekakan Zaid yang mana kemudiannya Zaid dijadikan sebagai anak angkat oleh Rasulullah s.a.w.

Rasulullah pada ketika awalnya menamakan Zaid sebagai Zaid bin Muhammad sebelum amalan ini ditegur Allah melalui surah Al Ahzab ayat 4 dan 5:

...... dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang (kamu dakwakan mengenai perkara-perkara yang tersebut) itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul.
Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seugama dan sebagai "maula-maula" kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Menamakan anak angkat berbinkan kepada bapa angkat merupakan amalan-amalan jahiliah yang dihapuskan melalui kedatangan Islam. Bukankah ia satu amalan yang tidak patut menafikan hak bapa sendiri serta menafikan salahsilah keturunan seorang anak angkat dengan perbuatan sebegini.

Para sahabat baginda juga tidak mahu memanggil Zaid sebagai Zaid Bin Haritsah, tetapi dipanggilkan sebagai Zaid Bin Muhammad. Petujuk Allah s.w.t. ini selanjutnya disusuli dengan tindakan Rasulullah s.a.w. menamakan semula Zaid dengan berbinkan bapa asalnya iaitu Haritsah. Manusia-manusia yang beriman, apabila diberi perintah oleh Tuhannya, dia akan berkata, “Kami dengar dan kami patuh,” , dan itulah yang dilakukan RasulNya dan para sahabatnya. Setelah penurunan ayat ini, mereka memanggil Zaid sebagai Zaid bin Haritsah.
Beberapa perkara berkenaan dengan kehidupan Zaid Bin Haritsah ini ada dicatatkan di dalam Al-Qur’an. Melalui kisahnya juga beberapa ketetapan hukum dapat kita pelajari.
Masyarakat Arab semenjak dari zaman Jahiliah lagi mempunyai satu bentuk amalan yang sangat buruk iaitu mereka mengamalkan dasar perkauman dalam apa jua perkara. Satu suku yang lebih rendah darjatnya dipandang hina dan tidak dapat bergaul sama dengan dengan suku yang lebih tinggi darjatnya.

Lebih teruk lagi mereka memandang hina ke atas golongan hamba. Seorang dari keturunan bangsawan tidak suka jika dirinya bercampur gaul dengan golongan hamba. Perkahwinan dari dua golongan yang berlainan darjat ini merupakan sesuatu yang diluar kebiasaan dan dipandang serong pada ketika itu.
Islam mengajar semua itu sama. Tidak kira bangsa, tidak kira warna kulit, rupa, fizikal dan sebagainya. Semuanya sama menurut Allah. Yang membezakan manusia di depan Allah ialah takwa mereka kepadaNya. Bagi membuka jalan serta menunjukkan contoh praktikal terhadap apa yang dibawa oleh Islam, Rasulullah s.a.w. melalui perintah Allah menyuruh Zaid, seorang hamba, berkahwin dengan Zainab, sepupu Rasulullah yang berasal dari keturunan Quraisy yang dimuliakan.

Mendengar perancangan Rasulullah untuk mengahwinkannya dengan Zaid, Zainab menolak sama sekali cadangan Rasulullah ini dengan berkata; “Ya Rasulullah, akan tetapi aku tidak rela dia menjadi suamiku. Aku anak perempuan kaumku orang yang merdeka dan aku juga adalah anak perempuan ibu saudara Tuan, iaitu orang bangsawan, kerana itu aku tidak setuju,”

Penolakan Zainab ini akhirnya membawa kepada turunnya wahyu dari Allah dalam surah Al Ahzab 36:

Al Ahzab 36
Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.



Setelah wahyu tersebut disampaikan kepada Zainab, selaku wanita yang benar-benar beriman kepada Allah, Zainab akur dan akhirnya tunduk dan berkahwin dengan Zaid. Perkahwinan ini menjadi buah mulut masyarakat Mekah pada ketika itu yang memandang perkahwinan ini sebagai melanggar adat kebiasaan di mana seorang wanita bangsawan dikahwinkan dengan seorang yang berasal dari kalangan hamba.

Zainab yang juga membesar dalam keadaan masyarakat yang mementingkan kedudukan serta hubungan darah yang sangat mementingkan pangkat dan darjat, kelihatan sukar untuk tunduk kepada suaminya. Zaid tidak dapat mengawal sikap Zainab yang terbawa-bawa dengan cara pemikiran yang sudah tertanam dalam dirinya semenjak kecil. Zaid yang tidak tahan dengan sikap Zainab, telah beberapa kali bertemu Rasulullah s.a.w. memohon keizinan dari Rasulullah untuk menceraikan Zainab. Rasulullah s.a.w. menghalangnya pada setiap kali Zaid bertemu dengannya bagi tujuan meminta izin untuk menceraikan Zainab dengan berkata; “Jaga baik-baik isterimu, jangan ceraikan. Takutlah engkau akan Allah,” Rasulullah s.a.w. melarang Zaid dari menceraikan Zainab oleh kerana perkahwinan mereka merupakan satu ketetapan Allah kepada mereka melalui ayat surah Al Ahzab 36 tadi.

Selang beberapa lama, oleh kerana tidak dapat lagi tahan hidup dengan Zainab yang sukar ditundukkan, Zaid menceraikan Zainab. Zainab bersikap sedemikian kerana cercaan-cercaan yang diterimanya yang menambahkan tekanan kepada dirinya yang juga masih dibelengu adat istiadat jahiliah yang masih sukar dikikis.

Setelah Zaid menceraikan Zainab, tinggallah Zainab sebagai janda. Di atas pengorbanannya merelakan dirinya yang dikategorikan dalam golongan bangsawan berkahwin dengan seorang yang dipandang rendah oleh masyarakat jahiliah, serta di atas pengorbanannya sanggup menahan cercaan masyarakat sekeliling semata-mata kerana patuh kepada perintah Allah untuk mengahwini Zaid, maka Allah menggantikan kedukaannya selama ini dengan sebuah perkahwinan yang tidak terjangka langsung olehnya. Kini, kitalah generasi Muslim yang mendapat manfaat dari pengorbanan yang dilakukan Zaid dan Zainab ini bagi membuka jalan contoh bagi perkahwinan merentas sempadan bangsa, keturunan dan darjat.

Al Insyirah (atau dikenali juga dengan nama Asy Syarh) ayat 5 - 6
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

Setiap kesukaran yang Allah s.w.t. tetapkan ke atas kita sebenar terdapat kemudahan dan kesenangan yang menunggu di kemudian hari. Ianya hanya akan dinikamti oelh golongan yang bersabar dengan segala ujiannya. 

Setelah selesai tempoh iddah Zainab, Rasulullah s.a.w. diperintahkan Allah untuk mengambilnya sebagai isteri sebagai memuliakan dirinya yang sanggup berkorban demi mematuhi perintah Allah sebelum pada perkahwinannya dengan Zaid sebelum ini.

Al Ahzab 37
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: "Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah", sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian) manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.

Jika Rasulullah s.a.w. dikatakan sebagai seorang kaki perempuan, jadi kenapakah pada awalnya baginda memerintahkan Zainab yang merupakan sepupunya itu berkahwin dengan Zaid bim Haritsah r.a. Bukan setakat itu, malah baginda sendiri yang meminang Zainab serta mengadakan maskahwinnya bagi pihak Zaid. Bukankah lebih baik baginya sendiri mengahwini Zainab sekiranya benar apa yang didakwa golongan Orientalis dan Evangelist sebagai Rasulullah itu kaki perempuan?

Golongan orientalist juga memfitnah Rasulullah s.a.w. sebagai menaruh hati kepada Zainab setelah terpandang Zainab di dalam rumahnya setelah tabir rumahnya tersingkap dan menampakkan dirinya kepada Rasulullah semasa ketiadaan Zaid. Perkara ini dikatakan mereka sehingga memberikan kesan kepada Rasulullah sehingga baginda mengucapkan perkataan ini : “Maha Suci Allah Yang membalik-balikkan hati,". 

Mereka memberikan tafsiran tidak benar kepada sebahagian daripada ayat 37 surah Al Ahzab seperti dibawah iaitu:

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: "Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah", sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian) manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya)....

Mereka menafsirkan apa yang tersimpan dalam hati Rasulullah s.a.w. itu sebagai perasaan cintanya terhadap Zainab setelah peristiwa terlihat akan dirinya disebalik tabir tersebut. Padahal apa yang dimaksudkan dengan ayat tersebut ialah, perasaan takut dan gusar Rasulullah s.a.w. untuk menjalankan perintah Allah supaya baginda mengambil Zainab sebagai isterinya sebaik iddah Zainab tamat. Baginda resah memikirkan tindakan dan cercaan kaum Quraisy terutamanya golongan jahiliah kerana baginda tahu bahawa perintah Allah ke atas baginda supaya mengahwini Zainab sudah hampir untuk dilaksanakan. Lupakah mereka (golongan orientalis dan evangelist) dalam menaburkan fitnah tersebut bahawa Zainab itu merupakan anak kepada ibu saudara Rasulullah s.a.w.? Jadi bukankah Zainab sudah biasa berada dekat dengan keluarga Rasulullah s.a.w. semenjak dari kecil lagi. Jadi sangatlah tidak masuk akal tuduhan mereka dalam menyatakan bahawa Rasulullah sebaik terpandang Zainab dalam peristiwa tersebut, terus jatuh cinta kepadanya. 

Zainab telah dipandang hina oleh masyarakat Quraisy selepas dari perkahwinannya dengan Zaid. Selepas diceraikan, tiada mana-mana pemuda atau lelaki Quraisy yang mahu memperisterikannya setelah dia menjadi janda kepada seorang bekas hamba. Perancangan Allah sangat hebat. Allah kemudiannya memerintahkan Rasulullah s.a.w. memperisterikan Zainab di atas beberapa sebab.


1) Menunjukkan pengajaran kepada umat Islam bahawa isteri atau suami kepada seorang anak angkat yang telah diceraikan, boleh dikahwini oleh bapa atau ibu angkat mereka sendiri. Ini bagi membatalkan adat yang diamalkan dalam masyarakat Arab Jahiliah sebelum itu yang mengharamkan perbuatan serupa daripada dipraktikkan.


2) Mengangkat kembali martabat serta maruah Zainab yang telah dipandang hina masyarakat kerana menjalankan perintah Allah supaya mengahwini Zaid, sedangkan pada ketika itu tiada mana-mana wanita Quraisy yang berkahwin dengan lelaki yang lebih rendah kedudukan dan darjat daripada mereka. Jika tiada mana-mana pihak lagi mahu ‘mencemarkan’ maruah dan kedudukan mereka dengan mengambil Zainab, janda kepada seorang bekas hamba sebagai isteri, jadi siapakah yang lebih layak lagi untuk memuliakannya kembali setelah apa yang dilaluinya selain daripada Rasulullah s.a.w.? Apabila saja Rasulullah s.a.w. menyuruh Zaid pula meminang Zainab bagi pihak dirinya, maka secara automatik, masyarakat sekeliling tidak lagi berani mengatakan apa-apa cercaan terhadap Zainab seperti yang dilakukan mereka sebelumnya. Rasulullah mengambil tanggungjawab dan memberikan kemuliaan kembali kepada Zainab.

Jadi, apakah seorang kaki perempuan mahu melakukan sesuatu seperti yang dilakukan Rasulullah dalam perkahwinan ini?

Perkahwinan Rasulullah s.a.w. Dengan Zainab Binti Khuzaimah r.a.
Zainab Binti Khuzaimah bin Harits bin Abdullah, begitulah namanya. Suaminya yang pertama bernama Abdullah Bin Jahsy (saudara lelaki kepada Zainab Binti Jahsy r.a. yang juga merupakan isteri Rasulullah s.a.w.). Dia diceraikan oleh Abdullah bin Jahsy dan kemudiannya dia berkahwin pula dengan Ubaidah bin Harits bin Abdul Mutallib yang merupakan sepupu kepada Rasulullah s.a.w.

Ubaidah r.a. dan Zainab Binti Khuzaimah r.a. ini merupakan antara golongan As Sabiqunal Awwalin (Golongan yang terawal memeluk Islam). Ubaidah r.a. juga merupakan kumpulan 313 orang sahabat berperang dalam perang Badar. 

Perang Badar diantara golongan Mukmin dan Musyrikin Mekah ini dimulakan dengan perlawanan satu lawan satu antara 3 orang Mukmin dan 3 orang Musyrikin Mekah. 3 orang Mukmin yang berlawan tersebut ialah Hamzah Bin Abdul Mutallib, Ali bin Abi Talib dan Ubaidah sendiri. Kedua-dua Hamzah r.a. dan Ali r.a. hanya memerlukan masa yang sekejap sahaja bagi membunuh lawan masing-masing. Lawan mereka tumbang sebaik saja dilibas beberapa kali dengan pedang mereka. Tetapi Ubaidah r.a. mengalami sedikit masalah untuk menundukkan lawannya.

Dalam perlawanannya dengan pihak musuh tersebut, Ubaidah mendapat kecederaan parah sehingga memerlukan Hamzah dan Ali menewaskan lawannya tersebut.Setelah musuhnya itu berjaya dibunuh, Saidina Hamzah r.a. dan Saidina Ali r.a. mengangkat Ubaidah yang tercedera dan membawanya kepada Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. memangku Ubaidah r.a. yang cedera parah. Ubaidah lansung tidak menunjukkan rasa takut atau sesal dengan apa yang menimpanya bahkan dia sangat bersemangat sambil membacakan satu bait syair daripada Abu Talib:

“Kami lebih banyak daripada apa yang diucapkan oleh Abu Talib (yang ertinya): “Apakah patut kita menyerahkan Muhammad kepada kaum Musyrikin? Biarlah kita mati terbunuh untuk membelanya dan melengahkan diri terhadap anak dan isteri,"

Cintanya terhadap Rasulullah sehinggakan dia lebih mengutamakan perihal keselamatan Rasulullah dan Islam daripada dirinya dan masa depan keluarganya sendiri. Dalam sedang berasa sakit akibat kecederaan parah tersebut, dan masih berada dalam pangkuan Rasulullah s.a.w., Ubaidah bertanyakan kepada Rasulullah satu soalan terakhir. “Apakah aku tidak mati syahid sekarang ini Ya Rasulullah?” Rasulullah kemudian menjawab ; “Aku bersaksi bahawa kamu adalah Syahid,”

Selepas mendengar jawapan Rasulullah s.a.w., maka Ubaidah yang senang hati mendengar persaksian Rasulullah s.a.w. tersebut, dijemput Allah untuk kembali ke RahmatNya. Gugurlah Ubaidah r.a. sebagai syuhada yang pertama dalam mempertahankan Islam dan RasulNya. 

Tinggallah isterinya sebatang kara. Sebagai muhajirin yang berada diMekah tanpa tempat bergantung setelah kesyahidan suaminya itu, dan ditambah pula dengan hidupnya yang sangat miskin, Zainab binti Khuzaimah r.a. tidak pernah sekali pun merungut. Dia hanya menyerahkan dirinya dan nasibnya itu kepada Allah untuk dipelihara. Janji Allah terhadap mereka yang berjuang serta setia tunduk kepadaNya ialah, kebaikan dunia dan akhirat pasti akan dianugerahkanNya kepada mereka.

Rasulullah s.a.w. yang telah lama mengetahui akan kesusahan hidup Zainab ini, kemudiannya meminangnya dan menjadikannya sebagai isteri. Perlu diketahui bahawa pada ketika Rasulullah s.a.w. memperisterikannya, Zainab binti Khuzaimah berusia 60 tahun. Apakah seorang kaki perempuan mahu melakukan apa yang dilakukan Rasulullah? Mahukah seorang kaki perempuan mendekati (bukan menikahi, kerana kaki perempuan idak suka akan tanggungjawab) seorang wanita miskin yang berusia 60 tahun?

Zainab merupakan seorang yang miskin dan mengasihi orang-orang yang miskin. Dia juga digelarkan sebagai Ummul Masakin sama seperti yang digelarkan kepada Sayyidah Saudah r.a.

Beliau meninggal dua selepas setahun dua bulan beliau berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Hanya Zainab dan Siti Khadijah binti Khuwailid r.a. yang meninggal dunia sebelum kewafatan Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. dalam kehidupannya sentiasa menjadi perhatian ramai pihak termasuk gadis-gadis yang mengimpikan untuk menjadi isterinya. Dengan perwatakan yang baik dan mulia serta cantik rupa paras, Rasulullah s.a.w. sentiasa menjadi perhatian sehingga terkadang timbul rasa cemburu dalam hati Siti A’isyah r.a. sepertimana yang diriwayatkan dalam hadis di bawah :

Dari A’isyah r.a.Isteri Rasulullah s.a.w., dia menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w. pergi dari rumahnya (rumah A’isyah). Kata A’isyah, “Kerana aku cemburu kepada beliau. Setelah beliau kembali, beliau memperhatikan tingkah lakuku lalu beliau bertanya, “Mengapakah engkau hai A’isyah, cemburukah?” jawabku, “Bagaimana wanita seperti aku tidak cemburu terhadap lelaki seperti anda?” Tanya beliau, “Apakah syaitanmu telah datang pula menggodamu?” Jawab A’isyah, “Ya Rasulullah, apakah aku bersama syaitan?” Jawab beliau, “Ya!”. Tanyaku, “ Apakah setiap orang begitu?” Jawab, “Ya!”. Tanya, “Anda sendiri juga?” Jawab, “Ya! Tetapi aku dilindungi Tuhanku sejingga aku selamat.” 
(Hadis Riwayat Imam Muslim)

Tidak kurang wanita-wanita termasuk gadis-gadis yang datang menawarkan diri mereka untuk dikahwini Rasulullah, tetapi baginda menolaknya dengan baik. Ini dibuktikan melalui hadis seperti di bawah:

Dari Sahal Bin Saad As Sa’idi r.a. katanya: “Seorang perempuan datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu dia berkata, “Aku datang untuk menyerahkan diriku kepada anda," Kerana itu Rasulullah s.a.w. melihat kepada wanita itu dari atas ke bawah. Kemudian beliau diam sambil menundukkan kepalanya. Tatkala terlihat kepada perempuan itu Rasulullah tidak memberikan tanggapan apa-apa, lalu dia duduk. Maka berdirilah seorang sahabat sambil berkata; “Ya Rasulullah! Jika anda tidak mahukan wanita itu, kahwinkanlah dia denganku. Rasulullah s.a.w. bertanya, “Apakah engkau punyai sesuatu untuk maskahwinnya?” Orang itu menjawab, “Tidak! Demi Allah Ya Rasulullah!” Sabda beliau, “Pergilah kepada keluargamu, lalu cari-cari, mungkin boleh kamu dapatkan sesuatu,” Maka pergilah orang itu, setelah kembali dia berkata, “Demi Allah tiada satu pun yang kuperoleh untuk mas kahwinnya” Maka bersabda pula Rasulullah s.a.w., “Cubalah engkau cari-cari walaupun sebentuk cincin besi,” Lalu pergilah orang itu, dan setelah kembali dia berkata pula, “Tidak ada Ya Rasulullah, tidak ada walaupun sebentuk cincin besi. Yang ada hanya sarungku ini," Kata Sahal, dia tidak ada sarung melainkan sarung yang dipakainya itu. “Kuberikan untuknya (perempuan itu sebagai mas kahwinnya) separuh,”Jawab Rasulullah s.a.w., “Apa yang dapat kamu perbuat dengan sarungmu itu, jika engkau pakai, dia tidak dapat memakainya, dan jika dia yang memakai, engkau tidak punya apa-apa,” Kerananya, maka duduklah lelaki itu. Setelah agak lama dia duduk, lalu dia berdiri. Rasulullah s.a.w. melihat dia pergi, lalu disuruh panggil oleh beliau. Setelah dia datang, baginda bersabda, “Surah apa sajakah yang dapat engkau hafal di antara surah-surah Al Qur’an?” Jawabnya, “Aku menghafal surah ini dan surah itu,” Dia menghitung. Tanya Rasulullah, “Dapatkah engkau hafal di luar kepala?” Jawabnya, “Ya!”, Sabda Rasulullah s.a.w. “Engkau bawakanlah dia! Aku kahwinkan engkau dengan mahar mengajarkannya Al-Qur’an yang engkau hafal kepadanya,”
(Hadis Riwayat Muslim)


Jika Rasulullah s.a.w. seorang kaki perempuan, kenapakah dia menolak permintaan wanita ini untuk berkahwin dengannya? Kenapa pula Rasulullah s.a.w. memilih wanita yang lebih tua dan lepas usia kesuburan mereka untuk dikahwini? Bukankah ini menunjukkan perkahwinan-perkahwinan Rasulullah s.a.w. tergolong dalam 4 hikmah yang dibicarakan awal tadi. Sangatlah jelas bagi yang mengenali sejarah dan perwatakan baginda bahawa bukanlah baginda seorang yang layak digelar sebagai kaki perempuan.

Bersambung dalam bahagian 6. Klik sini untuk membacanya.....



Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.

eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...

Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)



Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

No comments: