Wednesday, January 9, 2008

Drama Jelatang & Bible... Apa Kaitannya?

Oleh Muhammad Ibn 'Az

Assalamualaikum warahmatullah dan selamat sejahtera semua. Tadi semasa sedang saya menyiapkan sebuah posting berkenaan isu penggunaan nama Allah yang menjadi polemik baru yang ditimbulkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, perhatian saya kepada kerja yang sedang dibuat itu terganggu dengan skrip sebuah drama televisyen yang sedang ditonton oleh isteri saya.

Oleh kerana saya biasa menaip artikel dihadapan ruang tamu, maka semua yang disiarkan di televisyen dapat saya dengari. Saya tidak pernah mengambil sebarang perhatian terhadap drama ini malah tidak pernah mengikutinya. Bagi saya, ia hanya sebuah dari ribuan sogokan ‘penceramah-penceramah’ bebas yang cuba mengajar penonton menjadi baik dengan memaparkan isu yang tidak baik.

Sangat menghairankan dengan contoh dan tauladan yang hendak dipaparkan. Sebagai contoh, perlukah kita untuk mengajar anak kita supaya tidak mencuri, maka perlulah kita menjadi pencuri dan membiarkan diri kita tertangkap di depan anak supaya dapat di ambil pengajaran oleh anak tersebut?

Apa yang saya perhatikan lewat ini, terlalu banyak drama dan filem yang hilang nilai seninya. Para karyawan memaparkan hasil kerja mereka dengan membuat interpretasi pada tahap kualiti mee segera untuk menyampaikan sesuatu isu yang cuba disogokkan kepada penonton Melayu terutamanya.

Filem dan drama seharusnya dapat digunakan sebagai medium dakwah bagi mengisi fardu kifayah yang kini hanya menjadi medan perjuangan kosong dan sembrono golongan ‘Abid yang tidak berilmu dan menjadi medan yang ditinggalkan golongan ‘Alim yang tidak mahu mempraktikkan ilmu mereka.

Maka oleh kerana kecewa, maka filem Melayu terakhir yang pernah singgah di jiwa saya hanyalah Filem Bonda lakonan M. Nasir satu ketika dulu. Jika hendak bermesej dan berkhutbah, filem ini bolehlah sedikit diambil contoh. Tidak semak dengan sogokan mesej yang entah apa-apa yang dibebelkan.

Sebenarnya khalayak seni kita telah lama dijangkiti sifat dan sikap tangkap muat. Ini tidak hanya terkena kepada pelakon, tetapi terkena juga kepada pihak penulis skrip, pengarah dan penerbit yang seharusnya merupakan orang yang bijak dan teliti mutu kerjanya.

Saya bukanlah peminat drama atau filem Melayu kecuali filem-filem arahan Tan Sri P. Ramlee, beberapa filem Uwei, satu dua filem dari dato’ Jins Shamsudin dan beberapa filem dari Dato’ Rahim Razali.

Saya tidak pernah menulis apa-apa artikel tentang seni di sini walaupun saya merupakan peminatnya. Tetapi apa yang berlaku dalam drama Jelatang tadi membuatkan saya tergerak untuk menulis artikel ini sebagai mengingatkan penggiat-penggiat seni dan para pengunjung blog ini (www.satuhala.blogspot.com) serta mereka-mereka di badan Penapis Filem dan Drama. Jangan ditelan apa yang cuba disogokkan tanpa memeriksa dulu isikandungannya, kelak apa yang terjadi dalam drama ini, tidak mustahil akan menjadi lebih berleluasa lagi di masa akan datang.

Sedang saya menyiapkan artikel bertajuk ‘Mereka Ingin Meminjam Allah….” (InsyaAllah saya akan muatkan postingnya esok & kemudian akan saya sambung posting berkenaan perkahwinan Rasulullah s.a.w.) Saya terdengar dialog yang diucapkan oleh seorang watak lelaki dalam drama Jelatang (8 Januari 2008) tersebut. Apabila saya amati dan menumpukan perhatian, kelihatan satu watak (menurut isteri saya bernama Salman… jika salah maafkan saya kerana saya tidak mengikuti cerita tersebut) sedang membaca sekeping surat dihadapan seorang gadis yang terlantar sakit di hospital. Saya tidak mengetahui apa ceritanya perempuan itu terlantar sakit, tetapi yang saya tahu kata-kata yang sedang diucap tersebut merupakan kata-kata yang ditulis oleh ibu lelaki tersebut kepada perempuan yang sakit itu.

Apa yang membuatkan saya terpanggil untuk mengamati bait-bait dialog yang sedang diucap tersebut ialah kerana saya seakan-akan pernah mendengarnya di suatu tempat yang lain. Kalau tak silap saya ia berbunyi sebegini…

Ibu manakah yang jika anaknya minta ikan dari padanya, dia akan memberikan ular kepada anaknya itu sebagai ganti ikan?Atau, jika ia minta telur, akan memberikan kepadanya kalajengking?(ed- lebih kurang begitulah bunyinya.)

Oleh kerana semasa menulis artikel “Mereka Ingin Meminjam Allah..” saya menggunakan Tafsir Al-Qur’an dan dua buah Bible dalam simpanan saya untuk dibuat rujukan, maka dengan secara tidak langsung saya teringatkan kepada ayat yang saya pernah baca dalam kitab Bible (Perjanjian Baru) dalam sebuah surah bernama Luke Fasal 11.

Lalu saya pun membuka Bible (versi King James) yang ada di depan saya dan mencari surah tersebut kembali untuk memastikan bahawa apa yang saya dengar itu memang ayat dari Bible yang saya pernah baca.

Apabila surah Luke fasal 11 di buka, saya membaca ayatnya dari ayat 1 hingga 54. Nyata jangkaan saya tidak meleset. Luke fasal 11 menceritakan mengenai Jesus yang sedang berdoa di suatu tempat dengan pengikutnya. Lalu para pengikutnya menanyakan kepadanya satu doa yang boleh kiranya diajarkannya kepada mereka. Lalu Jesus mengajarkan kepada pengikut-pengikutnya cara berdoa dan apa bentuk doa yang seharusnya diminta.

Kemudian Jesus menasihatkan pengikutnya mengenai jangan putus harapan dalam berdoa, kerana Bapa mereka (Tuhan Bapa) tidak akan membiarkan serta menghampakan permintaan anak-anakNya (iaitu umat Kristian pengikut Jesus). Kemudian dia (Jesus) memberikan contoh bagaimana Tuhan Bapa itu menyayangi anak-anakNya dalam ayat 9-12 surah Luke fasal 11 tersebut.

Luke 11 : 9-12
And I say unto you, Ask, and it shall be given you; seek, and ye shall find; knock, and it shall be opened unto you. For every one that asketh receiveth; and he that seeketh findeth; and to him that knocketh it shall be opened. If a son shall ask bread of any of you that is a father, will he give him a stone? or if he ask a fish, will he for a fish give him a serpent? Or if he shall ask an egg, will he offer him a scorpion?

Terjemahannya : Oleh karena itu Aku berkata kepadamu: Mintalah, maka akan diberikan kepadamu; carilah, maka kamu akan mendapat; ketoklah, maka pintu akan dibukakan bagimu. Karena setiap orang yang meminta, menerima dan setiap orang yang mencari, mendapat dan setiap orang yang mengetok, baginya pintu dibukakan. Bapa manakah di antara kamu, jika anaknya minta ikan dari padanya, akan memberikan ular kepada anaknya itu ganti ikan? Atau, jika ia minta telur, akan memberikan kepadanya kalajengking?

Cuma yang berbeza ialah perkataan bapa diganti dengan perkataan ibu dalam skrip drama tersebut. Samada disengajakan atau tidak, saya tidak berhak untuk menilaikannya. Tidak salah membaca Bible dan kandungannya tetapi hendaklah anda mempunyai ilmu sebelum mengambil mana-mana ayat dan kata-kata di dalamnya untuk dijadikan hujah dan dialog. Silap haribulan, rosak akidah nanti. Dalam drama tersebut tidak dinyatakan langsung kata-kata tersebut diambil dari mana. Yang dinyatakan dalam skrip tersebut hanyalah kata-kata yang diambil dari sebuah kitab. Namanya tidak dinyatakan. Tetapi sangat jelas kini, bahawa kitab tersebut merupakan Bible iaitu surah Luke fasal 11.

Oleh kerana majoriti penonton yang menontonnya ialah Melayu Islam, maka sekiranya ada muslihat terlindung untuk mempromosi Bible dan Kristian di dalam media arus perdana pada waktu prima, maka seharusnya stesen televisyen dan kementerian mengambil langkah-langkah proaktif menggantikan panel-panel penilai yang sangat pasif dalam membuat kerja. Apakah negara kita sekarang ini diserang dengan sindrom ‘tidur’. Dari atas sampai ke bawah, dari penulis skrip hingga ke pelakon, dari penerbit sampai ke panel stesen televisyen, semuanya tidur nyenyak sehingga tidak perasankan yang nyamuk sudah pun masuk dalam kelambu.

Berhati-hatilah, setahu saya ada akta yang menghalang penyampaian secara terbuka mana-mana doktrin agama selain Islam dalam media arus perdana sebagai menghormati Perlembagaan Negara. Kita tunggu apakah mereka akan senyap dengan isu ini atau pun diambil perhatian dan tindakan. Kepada semua orang Islam, berhati-hatilah kerana berkelambu itu bukan jaminan nyamuk tidak boleh lepas masuk… Sekian … wallahua’lam….

ed- 25/1/2008...Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Bro. Aizat, Ina, Teoh dan Rosli Gan Abdullah kerana membuat teguran berkenaan penggunaan dialog berbahasa Cina sebelum ini yang dikatakan mengandungi sedikit kesilapan fakta. Saya telah membuat suntingan dan mengeluarkan bahagian tersebut. Terima kasih sekali lagi kerana menegur dan maaf kerana lambat bertindak dan lambat membalas email anda disebabkan saya agak sibuk seminggu dua ini..... Terima kasih sekali lagi..

© January 2008 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.

eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...

Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)

13 comments:

assalamualaikum,

Syabas kepada saudara kerana dapat menulis artikel yang cukup bagus sebagai dakwah anda. saya bukanlah seorang yang berilmu dan tidak pernah baca bible. tapi sekiranya apa yang saudara tulis ini adalah benar belaka dan ada bukti sahih, maka anda sepatutnya menulis satu surat kepada pihak yang bertanggungjawab sebagai satu tindakan wajar anda. dan itu juga dianggap sebagai jalan dakwah anda. saya amat berharap malaysia tidak menjadi negara yang tidur...

sekian
 
aduh..mana hilangnya nilai seni dalam bangsaku..
mana hilangnya nilai agama dalam bangsaku..
mana hilangnya nilai gagah dalam bangsaku..

p/s:mari kita tgk skrip nanti.cukup bukti kita saman.
 
ASSALAMUALAIKUM

SEMOGA SAUDARA SIHAT SEJAHTERA,
ALHAMDULILLAH SAYA SEMAKIN SERONOK MEMBACA TULISAN SAUDARA,DAN SEKARANG SAYA SEMAKIN JATUH HATI MENUNGGU POSTING BARU SAUDARA,SEBABNYA BANYAK POSTING SAUDARA DAPAT MEMBANTU SIKIT SEBANYAK MASALAH SAYA YANG DI TANGGUNG SELAMA INI,
SEBABNYA BANYAK POSTING SAUDARA BERKEBETULAN DENGAN SOALAN-SOALAN YANG DIAJUKAN ORANG-ORANG KRISTIAN BERTANYAKAN KEPADA SAYA SEMATA-MATA UNTUK MEMENINGKAN SAYA SEDANGKAN BANYAK JAWAPAN YANG SAYA DAPAT SELESAIKAN TETAPI DITIMBUNKAN LAGI SOALAN LAIN.TIADA YANG DIAMBIL PENGAJARAN

WALAUPUN SAYA TIDAK PERNAH MEMBACA DAN MELIHAT BIBLE DIDEPAN MATA . BAGI SAYA LEBIH BAIK TIDAK BACA KERANA PERNAH SATU KETIKA SAIDINA ALI MEMBAWA BIBLE KEPADA RASULLULLAH DAN RASULLULLAH MEMALING MUKA DARI SIADINA ALI DAN SAIDINA OMAR MEMUJUK KEPADA RASULLAH DENGAN DOA RADHITUBILLAH HIRABBA ILA AKHIR.(APA YANG DIBERITAHU OLEH USTAZ)..
TAPI KALAU KITA ADA ILMU BACALAH BIBLE.
 
Saudara,

Teruskan usaha ini. Menakjubkan. Saya akan rekomen kawan-kawan lawati blog ini.
 
Salaam alaikum w.b.t.. alhamdulillah cantik tulisan ini, saya pn setuju dengan saudara penulis. Dan semoga kita semua menambah ilmu di dada dan cuba menyampaikan Islam dengan berhikmah. Wallahu a'lam :)
 
Wa'aalaikumsalam MAtBon, aduhbangsaku, Anzartika, Anonymous, dan saudara Nizam Mod Blog Hikmatun... terima kasih atas komen dan sokongan anda.. sememangnya kita harus berhati2 dalam kehidupan kita setiap saat dan masa..
 
Salaam sdra Muhammad Ibn 'Az,

maaf krn saya lambat beritahu psl posting sdra ini saya ada letakkan di CARI.com & telah dibincang/debatkan di sana..

ref:
http://forum4.cari.com.my/viewthread.php?tid=326762&extra=page%3D1

..dan maaf juga sekiranya pendpt2 di sana kadangkala berbaur sinis/menghentam posting sdra ini.. bagaimanapun, terima kasih krn menulis posting ini.. dan semoga sdra akn terus 'menulis' pandangan sdra mengenai 'kekhilafan' seandainya ada dlm industri hiburan (filem/tv)..

..Wassalam.
 
Salam tuan punya blog...

masa babak itu disiarkan, saya ada menontonnya dan ingat lagi dialog tersebut. mungkin penulis skrip cerita berkenaan memang memetik ayat tersebut daripada bible, cuma hampir kebanyakan penonton tidak tahu atau naif mengenainya, termasuk saya sendiri. terima kasih atas pendedahan ini...
 
tahniah diucapkan atas tulisan dan pemikiran saudara yang amat kritis. kagum kerana saudara menyampaikan komen berdasarkan fakta dan bukan sekadar emosi semata2. Saya amat bersetuju dgn cadangan matbon. mungkin setidak2nya saudara boleh menulis diruangan yang lebih ramai khalayak pembacanya seperti di ruangan komen diakhbar contohnya.tahniah sekali lagi.
 
Wa'alaikumsalam Ajami, Unsung Hero dan Irdina Khan.. tq atas komen anda dan berkunjung ke sini.. Ajami.. berkenaan dengan komen2 sinis tu saya tiada masalah dengannya dan sudah biasa dengannya.. sedangkan Al Qur'an yang sempurna dari Allah s.w.t. pun di kritik oleh manusia ciptaannya, inikan pula hasil tulisan dari manusia biasa seperti saya.. cuma saya ingin menjelaskan mengapa perkara ini harus diberi perhatian dan terdapat kemungkinan dakyah songsang cuba diserap masuk sedikit demi sedikit.. Saya mengatakan boleh jadi ia sebagai dakyah ialah kerana perkara yang dipersembahkan dalam siri tersebut amat bertentangan dengan amalan biasa kita sebagai umat Islam semasa melawat mana-mana saudara seagama yang sakit.. kebiasaannya kita disunatkan mendoakan kesejahteraan dan rahmat Allah ke atas si pesakit supaya disembuhkan Allah segala sakit yang dideritainya.. dan disunatkan kita juga untuk mengajar mana-mana saudara kita yang sakit tenat dengan kalimah syahadah supaya dalam sakaratul maut (mabuk maut) itu, dia masih berada dalam landasan akidah yang betul iaitu mentauhidkan Allah s.w.t.

Kita juga disunatkan membaca surah Yassin sebagai usaha bagi meringankan penderitaan serta mempermudahkan jalan kembali bagi si pesakit tersebut. Tetapi yang berlaku sebaliknya dalam drama tersebut. Si pesakit itu dibacakan petikan Bible semasa dia sedang bertarung dengan nyawanya.

Perlu di ketahui bahawa dalam surah Luke tersebut sebagaimana yang dipegang oleh majoriti Kristian yang beriman kepadanya, Jesus itu dianggap sebagai Tuhan. Dan kalimah-kalimah yang diucapkan itu, diucapkan oleh Tuhan yang menjelma dalam bentuk manusia. Ini sangat bertentangan dengan syahadah kita yang pertama. Bukankah ianya amat bertentangan dengan amalan mengajarkan kalimah mentauhidkan Allah seperti yang sepatutnya diajarkan kepada si pesakit tersebut. Jika quote dari gandhi, confucius dan sebagainya, ianya tidak memberikan apa apa masalah kerana ia tidak bertentangan dengan akidah kita. Jika ianya bertentangan dengan akidah, jauhkanlah diri darinya.

Bagi yang beragama plural dan cuma menganggap ini sebagai quote biasa yang menjadi prerogative bagi sang director untuk menggunakannya atas lesen kreatif dan merasakan mereka sangat berfikiran terbuka dan moden, mereka sebenarnya hanya modern bagi segala perkara yang remeh dan tidak mempunyai apa-apa impak kepada ketamadunan manusia. Ini kerana kemodenan yang dikejar mereka dalam bentuk itu hanyalah bekas-bekas tapak kaki bagi mereka yang telah bergerak terlebih dahulu dalam arah itu. Dengan hasil kerja yang tidak seberapa dan hanya gah menggunakan quote2 yang dirasakan sangat moden dan penuh nilai estatika untuk mengangkat standard hasil kerja yang tidak seberapa, mereka ini sebenarnya tertipu dengan diri mereka sendiri. Biarkanlah kepada golongan ini. Mereka ini tidak pernah senyap sejak ribuan tahun dahulu.

Jika mereka telitikan dan pelajari dengan betul akan quote2 yang digunakan, pastinya mereka akan berasa seperti tertipu dengan ayat2 bombactic tersebut. Mereka inilah sebenarnya fanatik yang pantang ditegur. Jika ditegur, melenting-lentinglah mereka dengan segala macam polemik dan rhetorik. Biarkanlah mereka..

Cuma satu perkara yang harus kita beringat, jangan kita semua terlalu alpa. Jangan juga malu untuk bersuara mempertahankan agama.. sedangkan di US sendiri, si Barrack H. Obama mendapat kesan langsung dengan sentimen agama yang dimainkan pihak pro kristian di sana. mereka menolaknya hanya kerana nama tengahnya ialah Hussein. Sedangkan dia bukanlah Islam. Jika perkara ini pun menjadi sesuatu yang amat sensitif di dalam negara yang dikategorikan dan diangkat oleh golongan plural dan liberal sebagai paling maju, inikan pula kita yang amat dekat dengan agama kita.

Terima kasih Ajami kerana membuka ruang dialog dan debat di Cari.com, cuma malangnya, terlalu ramai antara kita yang suka membuat kesimpulan dan melenting tanpa meneliti isikandungan sesuatu yang ingin diulas dan dihentam mereka. Saya sudah biasa dihentam dan malah lebih teruk lagi dihentam semasa posting "Pembohongan Azab Kubur" saya uploadkan dulu. Biarkanlah mereka... kerana kebenaran itu akan jelas diakhirnya... TQ sekali lagi.. InsyaAllah jika ada kesempatan, saya akan buat beberapa posting mengenai seni di sini..
Wassalam....
 
Salaam sdra Muhammad Ibn 'Az..

fyi, tv3 dah 'buang' babak tersebut dr website derang.. congrats 2 u bro!

ref:
http://www.tv3.com.my/Shows/EpHighlight.aspx?MasterID=303&ShowID=496&MenuID=2&TemplateID=1&SubMenuID=1&VideoID=6783&EpID=10520#anchorVid
 
assalamualaikum,
takde salah membaca kitab2 nabi walaupun skrg byk perubahan di dalam kitab,Islam percaya kepada Allah,kitab2,percaya pada malaikat,hari kiamat,qadak qadar & byk lg.
 
Assalamualaikum..

Saya sangat sedih dengan kebanyakan komen yang bagi saya kadang2 cakap tak serupa bikin di cari.com..
apa yang diorang sume pk kadangkala diorang cakap guna emosi dan tak baca serta kaji dahulu..
suka hati jerk nak cakap ikot apa yang drg fikir tanpa ada bukti.
bila saya fikir balik saya dah tak mampu nak mendengar atau mengubah pandangan mereka.. cuma yang saya mampu, hanya mengubah diri sendiri sehingga ada kekuatan dalam diri..
 

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email