oleh Muhammad Ibn 'Az
Assalamualaikum warahmatullah, saudara Johan telah melontarkan satu persoalan di dalam shoutbox satuhala pada 25 September 2007.
Johan - Assalamualaikum w.b.t. saya nak tumpang tanye sket...apa citer kes imam mahadi di akhir zaman? setau saya tiada dalam al quran dan sesungguhnya al quran adalah kitab yg sempurna..so mcm mana?
Persoalan yang dilontarkan tersebut berkisar tentang kemunculan Imam Mahdi pada akhir zaman nanti. Yang menjadi kemusykilan kepadanya ialah, mengapa Al-Qur'an sebagai kitab yang sangat sempurna, tidak menyatakan langsung di dalamnya mengenai perihal Imam Mahdi ini.
Benar, Imam Mahdi tidak dinyatakan di dalam Al-Qur'an. Sumber yang mengenalkan kita umat Islam mengenai kedatangannya di sebut dalam banyak hadis termasuk dalam hadis yang dikategorikan sebagai hadis sahih. Menurut Ulama, terdapat lebih dari seratus hadis yang memperkatakan tentang kedatangan Imam Mahdi, tetapi kebanyakan daripadanya diragui kesahihannya kecuali pada beberapa hadis yang diiktiraf sebagai sahih. Berikut merupakan petikan hadis-hadis yang disahihkan oleh ulama-ulama besar berkenaan dengan Imam Mahdi.
Ali Bin Abi Talib r.a. menyatakan Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Al Mahdi berasal dari Ahlul Bait kami yang diperbaiki Allah dalam satu malam.” (Riwayat Imam Ahmad dan Ibn Maqah)
Diriwayatkan dari At Tirmidhi, Dari Abu Hurairah r.a. bahasanya Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘ Jika sekiranya tidak tinggal dari dunia ini kecuali sehari, nescaya Allah akan memanjangkan hari tersebut sehingga memimpin seorang lelaki dari keluargaku, namanya serupa dengan namaku.”
Dari Abu Said r.a., dia berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w. bersabda,‘Al Mahdi dari keturunanku, lebar dan baik dahinya, mancung hidungnya, dia memenuhi bumi dengan keadilan sebagaimana meluasnya kezaliman dan kekejian, dia memimpin selama tujuh tahun.’ (Hadis Riwayat Abu Daud)
Persoalannya, kenapa Al-Qur'an sebagai kitab yang paling sempurna tidak menceritakan perihal Imam mahdi di dalamnya?
Sebelum menghuraikan persoalan ini, sebagaimana biasa bagi kita sebelum memahami sesuatu isu atau perkara, kita kenali dulu akar kepada masalah atau isu tersebut. Akar kepada isu tersebut ialah, Al-Qur'an ialah kitab yang sempurna, jadi adalah tidak layak bagi Al-Qur'an itu mengandungi kekurangan hatta sedikit kekurangan sekalipun. Kekurangan yang dimaksudkan oleh penanya soalan di sini ialah tiadanya berita mengenai kemunculan Imam Mahdi pada akhir zaman nanti.
Apakah boleh kita katakan Al-Qur'an ini tidak sempurna sekiranya tiada berita mengenai Imam Mahdi dinyatakan? Pendapat sebegini adalah salah… Biasanya pendapat yang salah ini terdorong oleh salah faham tentang apa itu Al-Qur'an itu sendiri. Saya akan cuba menghuraikan setakat ilmu yang Allah s.w.t. anugerahkan serta amanahkan kepada saya. Jika saudara-saudari di luar sana mempunyai penjelasan yang lebih baik, bolehlah menambah sedikit sebanyak di sini. Jika saudara-saudari juga menjumpai mana-mana hadis yang sahih atau ayat-ayat Al-Qur'an yang menyatakan sebaliknya dari penjelasan yang saya kemukakan, terimalah ayat Al-Qur'an dan petikan hadis tersebut sebagai panduan kerana saya hanyalah manusia biasa yang sentiasa ada melakukan kesilapan dan dosa. Tapi dalam memastikan penjelasan yang saya buat ini cukup bagi memberi kefahaman kepada pembaca sekelian, saya melakukan banyak rujukan sedaya mungkin supaya apa yang dibentangkan nanti tidak salah haluan.
Pertama sekali saya akan cuba huraikan di sini ialah, apakah yang dimaksudkan dengan kesempurnaan. Kesempurnaan itu jika kita fahami betul-betul ianya membawa maksud cukup dan tidak mengalami kekurangan. Seorang bayi yang dilahirkan sempurna membawa maksud semua panca indera, anggota tubuhnya serta semua aspek yang menjadikan bayi tersebut sebagai manusia ada berfungsi secukupnya pada dirinya. Seorang bayi yang kurang sempurna pula dapat digambarkan dengan serba sedikit kekurang fizikal atau pancaindera yang dialaminya semenjak lahir. Perlu diingat, kekurangan dalam bentuk kecacatan sebegini bukanlah bermakna ianya tidak setaraf dengan manusia lain yang lebih sempurna, tetapi merupakan nikmat Allah yang Allah s.w.t. kurniakan kepadanya supaya apa saja yang biasa dilakukannya, akan membawa impak pada skala luar biasa. (Sila baca artikel saya berkenaan perkara ini dengan klik sini!!). Jika seorang bayi dilahirkan dalam keadaan sempurna dengan semua pancainderanya dan anggota tubuhnya berfungsi sempurna, apakah kita boleh menyatakan dia tidak sempurna hanya semata-mata kerana dia dilahirkan dalam keadaan tidak berpakaian dan bertelanjang? Tentunya tidak bolehkan? Ini kerana pakaian itu cuma satu aspek luaran yang menjadi perlu apabila manusia itu bergaul dalam masyarakat supaya dapat memelihara aurat. Maka keperluan ini harus dicari dari sisi dunia dan ianya tidak dilahirkan bersama bayi tersebut.
Satu lagi contoh ialah, berkenaan dengan peta. Sebagaimana yang kita sedia maklum, peta digunakan manusia untuk membimbingnya mengikuti jalan yang betul supaya destinasi yang ditujuinya itu tepat dan tidak tersasar. Sesiapa yang menggunakannya akan selamat dari sebarang jalan yang akan menyesatkannya dari destinasi yang ingin ditujuinya. Sebuah peta yang sempurna akan memuatkan di dalamnya petanda-petanda penting yang akan disedari dan dilihat oleh pengguna peta tersebut sepanjang jalan yang dilaluinya menuju ke destinasinya.
Antara petanda-petanda penting yang sering dimuatkan di dalam sebuah peta yang sempurna ialah kawasan tempat rehat dan rawat, hospital, stesen minyak dan sebagainya. Jadi dalam perjalanan menuju destinasinya, si pengguna peta akan menyedari di mana dia berada melalui petanda-petanda yang ternampak olehnya. Jadi jika dia melalui sesebuah kawasan rehat dan rawat, dan dia merujuk kepada petanya, dia akan tahu di tempat atau kawasan mana dia berada dan dia tahu apa yang boleh dan harus dilakukannya disana. Tetapi, apakah boleh kita katakan peta yang digunakannya itu tidak sempurna hanya kerana di dalam peta tersebut tidak dinyatakan mengenai gerai Mak Bedah Laksa, Pak Tam Tomyam dan Kedai Mak Limah yang menjual kerepok lekor di perhentian rehat dan rawat tersebut? Tentunya tidak bolehkan? Ini kerana tujuan peta itu sendiri ialah memberi bimbingan yang tepat supaya destinasi yang ditujui akan sampai dengan tepat. Petanda-petanda yang diletakkan di dalam peta tersebut cuma sebagai peringatan dan persediaan tentang apa yang boleh dan harus dilakukan jika melalui tempat-tempat tersebut. Ini supaya pengguna peta itu dapat bersedia dan tahu apa yang hendak dibuatnya jika minyak kenderaannya hampir habis atau perut mula terasa lapar, maka apabila sampai saja ke tempat yang mempunyai petanda yang sesuai seperti yang dicarinya, dia akan tahu apa yang perlu dilakukannya bila saja sampai ke tempat tersebut. Biasanya tempat-tempat ini hanya akan disinggahinya dalam masa yang sebentar saja sebelum meneruskan perjalanannya ke destinasi yang menjadi matlamatnya.
Begitu jugalah dengan Al-Qur'anul Karim. Ia merupakan Kalamullah yang terpelihara dan sangat sempurna bagi membimbing manusia untuk mencapai tujuan mereka diciptakan. Didalamnya dimuatkan Allah dengan berbagai petunjuk serta petanda-petanda penting yang sangat signifikan jikalau diambil peduli. Ini termasuklah petanda-petanda awal sebagai amaran kepada kita bahawa saat dunia ini bakal dihancurkan Allah s.w.t. semakin hampir tiba. Salah satu dari tanda yang menunjukkan Kiamat sangat hampir ialah dengan turunnya Nabi Isa a.s. Petanda ini dinyatakan dengan sangat jelas di dalam Al-Qur'anul Karim :
Dan sesungguhnya Nabi Isa menjadi tanda kedatangan hari kiamat, maka janganlah kamu ragu-ragu tentang (hari kiamat) itu, dan turutlah (petunjukKu); inilah jalan yang lurus. (Az Zukhruf ayat 61)
Menurut hadis, Imam Mahdi akan sama-sama membantu Nabi Isa a.s. dalam memerangi Dajjal dan kekufuran. Cara Allah s.w.t. menyebut sesuatu perkara di dalam Al-Qur'an ialah dengan cara menyebutkan perkara yang paling utama dan signifikan atau yang paling tinggi kedudukannya.
Jadi, kedatangan Nabi Isa a.s. itu lebih utama untuk disebutkan di dalam Al-Qur'an sebagai petanda akhir zaman yang menghampiri. Dengan mengenali Nabi Isa a.s., kita juga akan mengenali golongan mukmin yang membantunya yang diketuai Imam Mahdi. Seperti petanda yang dimuatkan di dalam peta dalam contoh tadi, Nabi Isa a.s. menjadi petanda di zaman apa yang kita lalui bila kemunculannya. Jika kita semua masih panjang umur sehingga hari tersebut, kita juga akan mengenali dan mengetahui siapa itu Imam Mahdi melalui kemunculan semula Nabi Isa a.s. Biarpun tidak disebut dalam Al-Qur'an tentang perihalnya, tetapi ianya cukup di sebut di dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w. sebagaimana contoh yang saya nyatakan tadi.
Menurut Ibnu Kathir (Abu Fidaa’ Ismail Bin Katsir Al-Quraisy) di dalam bukunya yang bertajuk Al-Nihayah Fi al-Fitan Wa al-Malahim (terjemahan bukunya dengan judul ‘Malapetaka Bakal Menimpa Menjelang Hari Kiamat’ terjemahan oleh Taat Amrullah Harun Arrasyid Hj. Tuskan dan disemak oleh Yang Berbahagia Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz terbitan Darul Fajar boleh didapati dikedai-kedai buku atau dari Darul Fajar Fax No : 03-2989609), boleh jadi Imam Mahdi yang dimaksudkan di dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah merupakan Nabi Isa Bin Maryam a.s. itu sendiri dengan kemunculannya di akhir zaman nanti. Kenyataan ini dibuat berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Ibnu Majah:
Dari Anas Bin Malik r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Tidaklah permasalahan semakin, bertambah kecuali rumit, tidak juga dunia kecuali ditinggalkan, begitu juga manusia tidak lain kecuali bertambah kedekut, dan tidak tiba hari kiamat kecuali pada seburuk-buruk manusia, serta tidaklah Al Mahdi itu kecuali Isa Bin Maryam.’
Beliau juga menyatakan yang hadis tersebut turut tidak menafikan mana-mana tokoh yang jika muncul dengan memenuhi semua kriteria yang disebut oleh hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang lain berkenaan dengan Imam Mahdi yang merupakan Imam yang ditunggu oleh majoriti Muslim.
Menurut Ahlus Sunnah Wal Jamaah, Imam Mahdi merupakan seorang lelaki yang lahir dari keturunan Rasulullah s.a.w. yang akan muncul pada akhir zaman. Imam Mahdi menurut Ahlus Sunnah Wal Jamaah, merupakan lelaki biasa yang tidak maksum kerana dia bukanlah merupakan Nabi. Allah s.w.t. akan memilihnya untuk menyatukan kembali semua umat Islam yang berpecah dan membawa mereka kembali ke jalan yang benar.
Inilah yang seharusnya kita sebagai umat Islam pegang dan yakini. Tetapi perlulah diingat yang tiada mana-mana ayat Al-Qur’an atau hadis yang menyatakan ianya menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk menunggu kedatangan Imam Mahdi ini dan melepaskan tanggungjawab yang dipikulkan ke atas mereka. Muslim juga seharusnya tidak tertipu dengan mana-mana individu yang mengakui dirinya sebagai Imam Mahdi sehinggalah bukti-bukti kejadian, peristiwa-peristiwa yang mengiringi kemunculannya berlaku dan ciri-cirinya yang dinyatakan di dalam hadis jelas wujud. Jangan terus mempercayai tanpa membuat penilaian menggunakan sumber-sumber yang sah.
Apa fungsi dan tanggungjawab kita sebagai Muslim berkenaan dengan perihal Imam Mahdi ini?
Kita sebenarnya terlupa bahawa bukanlah menjadi tanggungjawab kita untuk menunggu kedatangan Imam Mahdi ini. Bila tiba saatnya kita haruslah membantunya dalam perjuangan menegakkan keadilan sepertimana yang termaktub dalam perjanjian kita dengan Allah sebagai Muslim. Tibanya Imam Mahdi juga membawa maksud kedatangan Dajjal dan peperangan yang mengorbankan majoriti umat Islam akan berlaku. Apakah itu yang kita tunggu sedangkan Nabi s.a.w. sentiasa mengingatkan kita supaya berdoa supaya dihindari dengan fitnah Dajjal.
Imam Mahdi bukanlah keutamaan hidup dalam setiap Muslim. Keutamaan setiap Muslim ialah menegakkan agama Allah tidak kira siapa jua dirinya itu samada dia seorang pemimpin, imam atau rakyat biasa. Melakukan apa yang disuruh Allah dan meninggalkan apa yang dilarangnya serta amar maa’ruf nahi munkar merupakan tanggungjawab setiap Muslim. Menunggu Imam Mahdi datang untuk melaksanakan tanggungjawab yang seharusnya dilakukan oleh kita sebelum dari kedatangannya menunjukkan kita sebagai Muslim merupakan umat yang paling tidak bertanggungjawab!
Kedatangan Imam Mahdi itu sendiri membawa maksud bahawa Muslim yang ada dan wujud pada ketika kedatangannya itu majoritinya tak boleh diharap langsung sehinggakan disegerakan Allah kedatangannya untuk memperbetulkan keadaan dunia dan memikul tanggungjawab sebagai Muslim yang telah ditinggalkan. Ingatlah, tanggungjawab kita sebagi Muslim ialah memajukan umat dengan memajukan diri sendiri dan masyarakat supaya Islam tidak dipandang hina sepertimana yang kita alami sekarang ini. Kini wujud ramai individu-individu dan kumpulan-kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Muslim dengan pelbagai label moden. Mereka ini cuba menjadi juara kononnya dalam mempertahankan hak-hak asasi manusia dengan merendah-rendahkan ajaran Islam mengikut lojik akal mereka sendiri. Ramainya mereka ini semakin mendekatkan kita dengan kedatangan Imam Mahdi kerana kita tidak ertanggungjawab dengan agama kita.
Sudahkah kita berfungsi sebagai Muslim yang sebenarnya? Jika benar kita telah melakukannya, kenapa pula angkasawan kita terpaksa menumpang kapal angkasa golongan bukan Islam? Tidakkah kita terasa sedikit tercalar dengan kedaifan kita ini biarpun kita semakin membuka langkah untuk cuba menguasai teknologi ini? Apakah yang kita lakukan selama ini? Makan, tidur, pencen ke surau dan mati? Itukah saja sumbangan kita yang lebih kepada mementingkan diri sendiri? Bolehkah kita digelar sebagai Muslim yang bertanggungjawab sekiranya 80 peratus kekayaan Negara dimilik oleh bukan Islam yang merupakan hanya 30 % dari jumlah penduduk Negara ini? Kita harus sedar segera dari lamunan yang terlalu panjang ini… kelak kitalah umat yang akan berjumpa dengan Mahdi. Wallahua’lam…
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.
eNovel dari pemilik blog satuhala Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...
Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)