Penggal pertama Barrack Obama berkhidmat sebagai Presiden Amerika (POTUS), pentadbiran Obama melaras semula fokus kepada pengimbangan semula kuasa tentera Amerika di Asia Pasifik (1). Di sebalik semua bentuk kenyataan yang dibuat, komitmen pentadbiran Obama ke arah mencapai sasaran “Pivot To Asia”, dilihat tidak digerakkan dengan sepenuh kesungguhan. Hanya USD 10 ke 15 billion dari keseluruhan peruntukan belanjawan kewangan bernilai USD 600 billion, diperuntukkan kepada pemindahan aset ke Asia Pasifik.
Dalam ucapan pada 2012, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Leon Panetta mengatakan menjelang 2020, Washington akan meletakkan 60% fokus pasukan US Navy di Pasifik dan hanya 40% kekuatan memberi fokus kepada kawasan Atlantik. Pada 2013, Setiausaha Pertahanan Amerika, Chuck Hagel menyatakan, 60% kekuatan Tentera Udara Amerika turut akan difokuskan di Asia Pasifik.
Quadrennial Defense Review 2014 (QDR 2014) yang dikeluarkan oleh US Navy, turut mengeluarkan kenyataan menyokong penuh hasrat Presiden Amerika dan usaha-usaha memantapkan jaringan kerjasama keselamatan dengan negara-negara Asia Pasifik. QDR 2014 merujuk Jepun, Korea Selatan, Filipina, Thailand dan Australia sebagai negara sekutu dan merujuk negara Malaysia, Singapura, Vietnam dan lain-lain sebagai negara rakan di dalam pelan strategik berkenaan perancangan di Asia Pasifik.
Polisi pentadbiran Obama pada ketika itu, meletakkan sebarang respons kepada sebarang bentuk provokasi, pelanggaran, pencerobohan atau konflik yang dihadapi, ianya mestilah dihadapi dan diselesaikan dengan penuh ketenangan. Ia sebuah dasar yang seharusnya disambung sebagai bentuk kesinambungan terhadap dasar luar Amerika oleh sesiapa sahaja yang dilantik sebagai presiden selepas Barrack Obama.
Apabila Donald Trump diangkat sebagai Presiden Amerika pada 2016, seolah-olah semua bentuk konvension polisi luar lama, berubah sekelip mata. Tahun pertama Trump di Rumah Putih, Trump di dalam mode perang. Trump melancarkan perang ke atas Deep State Amerika yang menguasai pentadbiran lama, media, agensi penguatkuasaan, perisikan dan segalanya.
Trump menghadapi krisis untuk meletakkan orang-orang kepercayaannya. Siri kegilaan kenyataan-kenyataan spontan dan twit-twit beliau dan orang kepercayaan beliau, menyebabkan pemerhati politik dunia sentiasa berada di dalam debaran.
Kenyataan Steve Bannon, kini menjadi mantra yang diulang-ulang oleh pengkaji dasar luar Amerika. Ia memasuki hampir semua cetakan majalah, berita, kertas strategik.
“We are going to war in South China Sea in five to ten years. There’s no doubt about that”
Tetapi, kenyataan Trump pada 8 Ogos 2017, hampir menyebabkan perang meletus di Asia Pasifik beberapa hari lepas.
“North Korea best not make any more threats to the United States. They will be met with fire and fury like the world have never seen”.
Kenyataan Trump ini disambut pantas oleh Kim Jong Un, dengan menyatakan bahawa Korea Utara tidak akan teragak-agak untuk menyerang Pulau Guam, yang dirujuk mereka sebagai wilayah Amerika di Pasifik. Media Korea Utara turut memaparkan beberapa keping foto menunjukkan Kim Jong Un sedang diberikan taklimat tentang prospek serangan ke atas Pulau Guam oleh beberapa orang pegawai tertinggi tentera.
General Kim Rak Gyom, Komander Pasukan Strategik Korean People's Army (KPA), cabang ketenteraan yang mengawal selia unit peluru berpandu, menyatakan bahawa pelan serangan ke atas Pulau Guam adalah termasuk melancarkan 4 unit roket Hwasong-12 melintasi Shimane, Hiroshima dan Kochi di Jepun dan mengenai sasaran di tengah laut 30 hingga 40 km dari Pulau Guam.
Pasukan tentera Amerika di Pulau Guam, kemudiannya memberikan respons dengan memuatkan imej-imej kesiapsagaan ke semua unit dan jentera perang mereka dengan memaparkan hashtag #readytofighttonight.
Majalah Time keluaran 28 Ogos 2017, melaporkan Joseph M. Dunford Jr, pegawai tertinggi pasukan tentera Amerika, telah diarahkan untuk mengadakan lawatan ke Seoul, Tokyo dan Beijing untuk memberikan penjelasan dan jaminan bahawa sebarang bentuk krisis jika berlaku di Semenanjung Korea, perkara tersebut akan diselesaikan ‘melalui saluran tekanan diplomatik dan ekonomi’. Kenyataan 8 Ogos Trump tersebut, diperjelaskan bahawa dibuat tanpa merujuk kepada mana-mana pegawai terlebih dahulu.
Pada 29 Ogos 2017, Republik Korea Utara melancarkan sebuah unit peluru berpandu balistik melintasi ruang udara Jepun, dan mengenai sasaran di tengah laut bahagian timur Cape Erimo, Hokkaido. Ia sebagai tanda peringatan kepada Amerika dan sekutu mereka yang baru selesai mengadakan latihan ketenteraan bersama selama 18 hari di Hokkaido. Ia juga sebagai satu mesej tanda bahawa ugutan ‘Fire dan Fury’ Trump, tidak menggerunkan Korea Utara.
Pada 25 dan 30 Ogos 2017, Komander PACAF (Pacific Airforces), Jeneral Terence J O’Shaughnessy mengadakan lawatan kehormat ke Malaysia dan Singapura dalam rangka lawatan pengenalan dan memberi fokus kepada mengembangkan rakan kerjasama di wilayah Asia Pasifik.
30 Ogos 2017, Trump terus dengan twit provokasinya:
“The U.S. has been talking to North Korea, and paying them extortion money, for 25 years. Talking is not the answer!”
Tiada siapa tahu, apa pula yang akan berlaku selepas ini. Melihat kepada kenyataan Steve Bannon pada Mac 2016, bahawa Amerika memang akan berperang di Laut China Selatan dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun, ditambah pula dengan perancangan yang dikemukakan oleh Leon Panetta dan Chuck Hagel yang menyatakan bahawa 60% kekuatan tentera Amerika akan difokuskan kepada kawasan Asia Pasifik, ia segera mengingatkan kita semua kepada sebuah temuduga yang pernah dibuat oleh General Wesley Clark pada 2 Mac 2007.
General Wesley Clark menyatakan perkara berikut : “We’re going to take out seven countries in 5 years, starting with Iraq, and then Syria, Lebanon, Libya, Somalia, Sudan and, finishing off, Iran”
Selepas itu, Iraq, Syria, Libya, Somalia dan Sudan tumbang satu per satu.
Bagaimana dengan Malaysia? Apakah Malaysia akan kekal berkecuali atau bakal dipaksa menyebelahi mana-mana pihak? Bagaimana pula dengan persediaan negara ini jika perang benar-benar meletus di Laut China Selatan sebagaimana yang dibayangkan oleh Steve Bannon atau di Asia Pasifik sebagaimana yang sedang panas pada ketika ini?
Sudahkah Dasar Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) negara mencapai piawaian yang telah dikenalpasti?
Mohd Aswanizam Bin Alias
Pengurus Penyelidikan & Pembangunan,
Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM)
Penulisan ini pertama kali diterbitkan pada 8 Ogos 2017.