Thursday, September 3, 2015

Quote Kedai Kopi

0

"Melayu, bual punya berbual, ayam sekor pun tak terjual"

Selama dua hari di Johor Baru, sempat bersarapan pagi dengan beberapa old timer penggerak politik dari kedua-dua pihak Muslim yang pernah berpecah.



Seperti biasa, saya hanya mendengar. Tokok garam pada lauk hanya bila perlu.


Dalam berbual pagi sambil menghabiskan kopi panas, seorang old timer ini meluahkan perasaannya dengan sifat gerakan Melayu dan Islam di negara ini.

"Melayu, bual punya berbual, ayam sekor pun tak terjual"

Itu juga yang saya hadapi suatu ketika sebuah mesyuarat untuk menggerakkan usaha mengangkat kembali Kedaulatan Islam di Malaysia.

Masing-masing datang dengan cadangan untuk menghabiskan masa mengkaji istilah, awak perlu berbuat ini, anta perlu berbuat itu.


Sedangkan umat ini memerlukan solusi segera. Umat ini memerlukan tindakan dan bukan lagi kertas-kertas kerja panjang berjela, forum dan seminar "tepuk-tepuk makan", jihad karipap tidak habis-habis, kenyang dan selesa berseminar lebih dari gusar dan susah hati melihat keadaan umat.


Saya ambil kesempatan untuk bangun dan memberitahu majlis :



"Tuan-tuan, ketika kita sibuk mengkaji itu dan ini, musuh sudah ada di atas jalan dan di dalam rumah-rumah kita melakukan kerosakan. Jadi kita mesti cepat dan tepat di dalam tindakan."

Mujur kepimpinan di tempat saya bertugas faham dan jelas tentang apa yang diperlukan dan yang harus diutamakan berbanding apa yang dirasakan perlu diutamakan.

Saya menulis ini ketika sedang cuba menghadam quote kedai kopi dari old timer tadi. Meminta izin dari dia untuk menulis tentang itu, dan diberikan keizinan.

Tinggallah saya seorang menghirup kopi menghadap Selat Tebrau, termenung, menggelengkan kepala dan terkadang mengangguk-ngangguk seorang cuba bermuhasabah.

Yang jelas, kita perlukan tindakan dari semua pihak dan cukup-cukuplah bercakap, menulis dan berseminar tanpa mahu bergerak secara serius.

Dan yang paling utama, perubahan itu mesti dimulakan oleh diri kita sendiri kerana itulah yang paling mudah daripada cuba mengubah sistem dan manusia lain.

Jika kita berubah, suasana di sekeliling kita turut berubah. Jika suasana di sekeliling kita berubah, suasana di sekeliling suasana kita turut berubah.

Jangan berlengah untuk melakukan perubahan ke atas diri sendiri.

Cukup-cukuplah dengan "ayam yang tak terjual".

Penulisan Asal Di Sini :
Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

No comments: