Bismillahir Rahmanir Raheem.. sekitar 2005, saya
dipertemukan Allah dengan salah seorang saudara Islam semasa diamanahkan
menguruskan sebuah projek membaikpulih sejumlah prasarana di Pulau Pinang.
Peter, nama yang diperkenalkannya kepada saya. Seorang bertubuh sangat tinggi
dan agam. Ketinggiannya melebihi 2
meter. Hampir setengah kaki tingginya di dari saya.
Dia merupakan kontraktor di bawah seliaan saya.
Bekas seorang pengurus pub, pengembara dan samseng jalanan. Pertama kali saya disapa
olehnya di dalam mesyuarat, saya agak terkejut. Dengan lengan sebesar peha yang
penuh bertatu, dia menyapa saya dengan salam.
Saya menjawab salamnya dalam keadaan kaget.
Seluruh gambaran yang wujud di dalam perkiraan minda tipikal muslim di Malaysia
yang ada pada saya ketika itu, kehadiran dia di hadapan saya pada ketika itu
membuatkan pemikiran saya sedikit berceramuk mencari logik susunan penampilan
zahir dan sisi batin dirinya. Wajahnya garang seperti Kerry King, pemain gitar Slayer di usia
tuanya. Tetapi tidak sebotak Kerry King, rambutnya panjang ala Jeff Scot Soto
semasa di awal kemunculannya bersama Yngwie Malmsteen di dalam Rising Force.
Ibarat berhadapan dengan the Undertaker dalam WWE. Bayangkan apa yang bermain
di minda saya ketika orang seperti di bawah ini memberikan salam dan memberikan
senyuman yang saya nampak sangat ikhlas di sebalik wajah bengisnya.
Selesai mesyuarat, dia mengajak saya bersembang.
Usia saya pada ketika itu lewat 20 an. Peter hampir 50 tahun. Antara berani dan
takut, saya menurutnya ke sebuah gerai kecil di tepi jalan. Awal pagi, tentu
sahaja minuman yang dikaitkan dengan obesiti menjadi pilihan. Jika hanya minum
kemudian tidur dan kemudian terus berceramah pasal Islam itu syumul tanpa
mempraktikkannya, obesiti yang dikaitkan dengan minuman tersebut bertukar
menjadi doa-doa yang dimakbulkan.
Saya tidak mahu bertanya lebih. Cukup dengan dia
menjegil, ia sudah cukup untuk membuatkan kepala lutut tercabut. Pelbagai perkara
yang diceritakannya. Dari cerita dia bermula dengan mengurus sebuah pub di
Pulau Pinang semasa muda ke cerita anaknya yang bersepah di seluruh dunia
sehingga ke ceritanya menjual Catamaran miliknya sebelum pulang ke Malaysia. Tetapi
semua itu masih belum cukup bagi saya. Dalam hati, saya mahu dia menyinggung
persoalan tentang agamanya. Mungkin kerana masih muda mentah, memek muka saya yang
tidak sabar untuk terus ke soalan cepu emas tersebut dapat dibacanya.
“Nama saya Peter Abdullah,”.
Bermula dari hari itu, setiap kali berjumpanya
untuk urusan kerja, mana-mana gerai tepi jalan akan disinggahi bagi mendengar
cerita-ceritanya. Ibarat penglipur lara, saya belajar banyak perkara dari
pengalamannya yang tidak kedekut dikongsinya. Dari cerita suka ke duka dan yang
merapu, semua dia boleh. Memang sesetengah manusia itu diciptakan Allah hebat
bercerita. Dia termasuk salah seorang daripadanya. Jika bosan dan merasakan masa
berjalan dengan perlahan, Peter mempunyai magis untuk menggerakkan masa
tersebut dengan kelajuan super sehinggakan lima jam terasa seperti 30 minit.
Saya lebih banyak diam. Apalah yang menarik yang
ada pada pengalaman seorang anak muda berusia 20 an untuk diceritakan kepada
seorang penglipur lara yang calar balar pengalamannya meredah dunia sangat
jelas digambarkan di dalam cerita-ceritanya. Apa yang lebih pada saya ketika
itu hanyalah mengorbit seputar spesifikasi serta kehendak-kehendak kontrak
kerja kejuruteraan. Hanya perkara yang membosankan itu sahaja yang dapat saya
tawarkan serta dia mahukan dari pengalaman saya dihadapannya.
Pernah sekali saya bersamanya dalam satu keadaan
yang sedikit genting di Kedah. Ia apabila salah sebuah prasarana yang ditempatkan
berhampiran ladang kelapa sawit dicerobohi. Pada ketika itu, saya memeriksa
panel elektrik yang baharu sahaja siap kerja pemasangannya. Semua staf yang
lain telah pulang, tinggal saya melayan Peter bercerita. Tiba-tiba saya
ternampak kelibat dua orang warga asing yang menceroboh masuk. Saya memberitahu
kepada Peter dan kami berdua ke sana untuk mengarahkan mereka keluar. Oleh kerana
kawasan tersebut di bawah tanggungjawab saya, maka sebarang kes kecederaan,
kemalangan serta kematian yang berlaku, saya perlu menjawabnya. Bagi mengelakkan
kejadian yang tidak diingini daripada berlaku, saya berjumpa dengan kedua-dua
penceroboh tadi dan mengarahkan mereka meninggalkan premis tersebut.
Saya bercakap selembut mungkin menggunakan
segala bahasa berbunga yang boleh saya susun untuk mengarahkan mereka keluar.
Ia supaya tidak timbul keadaan yang boleh mencetuskan kemarahan. Tetapi penceroboh
itu tidak berpuas hati. Mungkin tidak puas hati kerana diarahkan keluar oleh ‘seorang
budak’, mereka kemudian beredar dengan wajah yang marah.
Selang 15 minit selepas dari itu, kedua orang
yang menceroboh tersebut datang kembali bersama parang dan sekumpulan lagi
sahabat-sahabat mereka. Jika tidak silap, tujuh orang semuanya. Hanya saya dan
Peter yang seperti Undertaker itu sahaja untuk berhadapan dengan mereka. Mereka
mula menjerit-jerit marah. Oleh kerana masih muda dan panas suhu darah dalam
diri, saya terlupa mereka bertujuh dan berparang. Peter menyuruh saya diam dan
kemudian mengajak saya berhadapan dengan mereka mengikut caranya.
“Biar saya yang berbicara,” kata Peter.
Pada sangkaan saya, Peter akan menggunakan cara
yang lebih berdiplomasi. Saya menunggu untuk melihat bagaimana situasi ini
ditanganinya. Saya membaca segala apa yang saya tahu ketika itu termasuk doa
makan. Pengalaman hidup belum cukup untuk membuatkan wajah saya setenang Peter.
Dalam hati dan pemikiran, berligat berfikir macam-macam perkara. Untuk menelefon
polis, jalan masuk ke kawasan itu sahaja memakan masa untuk sampai ke lokasi
tersebut. Kemudian Peter membuka mulut.
“Saya nak kamu semua tahu yang kami berdua tidak
kisah untuk mati di sini. Bagaimana pula dengan kamu? Sudah sediakah untuk melihat
anak bini kamu mengangis petang ini?!”
Apa? Petang ini? Gila punya Peter. Siapa cakap
saya tidak kisah untuk mati. Saya belum kahwin! Sekurang-kurangnya mereka ada
bini untuk menangis petang itu. Gaya Peter mencabar penceroboh tersebut
mengingatkan saya dengan komik Pedang Setiawan. Kata-kata yang digunakannya
dalam komik tersebut kurang lebih sama seperti pepatah ‘Bila keranda diusung
baru bercucuran airmata’. Apakah Peter pernah belajar jurusLima
Guntur Membelah Neraka seperti di dalam komik-komik Hong Kong yang satu
ketika dulu menjadi kegilaan remaja lelaki Malaysia? Sekurang-kurangnya ketika
mereka gilakan komik ini, mereka tidak merempit kerana menunggu giliran untuk
membaca komik yang dibeli seorang tetapi dikongsi puluhan orang. Sampai ke
pembaca terakhir, rupa komik sudah seperti kertas pembalut roti canai.
Peter kemudian meninggikan lagi
suaranya. Rupanya seperti orang kerasukan. Tetapi berlainan sekali riak muka
wajah-wajah penceroboh tersebut. Kelihatan mereka takut.
“Saya mahu kamu semua tahu. Polis
dalam perjalanan ke sini. Saya beri peluang untuk kamu semua pulang dengan
selamat.” Polis jugalah yang dicari bila susah-susah macam ini. Peter yang kelihatan
sebegitu ganas pun terpaksa berselindung di sebalik pihak berkuasa tersebut. Mereka
kelihatan bersungut dan berkata sesuatu. Kemudian mereka mengambil keputusan
untuk berundur. Samada mereka takut kepada jurus-jurus tempur Peter atau pun
mereka lebih takut kepada lelaki-lelaki berbaju biru, saya tidak pasti. Tetapi sesuatu
yang saya pasti hayat saya mungkin lebih panjang dari petang itu dan
kemungkinan saya untuk berbini cerah kembali.
Petang itu kami berdua selamat.
Bersyukur kepada Allah, Dia-lah yang menyelamatkan kami berdua petang itu. Untuk
menenangkan diri, saya dan Peter ke
sebuah lokasi untuk minum petang. Ketika itulah baru dia bercerita tentang
bagaimana dia memeluk Islam.
Dia memulakan perniagaan sejak
awal usia 20 an. Pernah memiliki pub yang dikatakannya sangat menguntungkan. Pernah
diceritakannya, setiap malam minggu mesin daftar tunainya tidak cukup untuk
memuatkan wang pelanggan yang mabuk tidak sedar diri berbelanja. Sehinggakan ada
ketikanya dia terpaksa memasukkan wang ke dalam bakul yang disediakan di
sebelah mesin daftar tunai tersebut. Dengan wang yang begitu banyak, arak dan
perempuan, dia masih merasakan ada sesuatu perasaan di sudut hatinya yang menyatakan
dia sedang mencari sesuatu. Cuma masalahnya, dia tidak tahu apa yang sedang
dicarinya.
Bosan dengan bau arak dan
perempuan di pub, dia menjual perniagaannya untuk berhijrah keluar negeri. Dia melakukan
pelbagai kerja di sana. Dia mencari sesuatu, tetapi sesuatu itu tidak
ditemuinya di Eropah. Bosan hidup bagai nomad, dia tiba-tiba ingin menyendiri
dan tempat yang dirasakannya yang membolehkannya hidup sendiri hanya
bertemankan perasaannya hanya boleh dicapai dengan belayar solo di lautan luas.
Menggunakan semua wang
simpanannya, dia membeli sebuah catamaran untuk digunakannya untuk bersendiri
di tengah lautan. Hanya dia dan alam ciptaan Allah yang luas ini bertemankannya
di lautan. Sunyi dan ditemani kebesaran Allah yang baru kini dia melihatnya
dengan pemikiran yang tenang tanpa alkohol yang menyelubungi pemikirannya, baru
dia sedar apa sebenarnya yang sedang dia burukan. Dia sedang mencari dirinya
kembali. Dia sedang mencari asal usul dirinya dan asal usul dirinya
mempertemukan dia dengan Tuhannya tidak lama sesudah itu.
Dia menjual catamaran miliknya
dan kembali ke Malaysia. Tidak lama di Malaysia dia mengambil keputusan untuk
memeluk Islam. Dengan syahadah yang diucapkannya, dia menyatakan seolah-olah
pada hari itulah dia baru dilahirkan. Dia tidak pernah merasai sesuatu yang
indah sepertimana pada hari dia pertama kali mengucapkan syahadah. Terlalu indah
dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Hanya mereka-mereka yang pernah
melalui kehidupan sepertimana dia, tahu bagaimana syahadah yang pertama yang
diucapkan itu membawa satu bentuk keindahan yang tidak terungkap dengan
kata-kata. Dia kemudiannya berkahwin dengan sorang wanita Melayu tidak lama
sesudah itu.
Dia ada bercerita mengenai
sikap sesetengah umat Islam yang memandang sinis kepadanya setiap kali dia ke
masjid. Sentiasa dia mengenakan baju dengan lengan yang panjang supaya tatu
miliknya yang pernah dia cacahkan semasa zaman sebelum Islamnya dapat
disembunyikan. Tetapi pada ketika memerlukannya berwuduk, dia terpaksa
melakukannya supaya tidak menimbulkan sebarang rasa pelik dan tidak senang
sesetengah orang Islam. Dia menceritakan dia pernah diludah oleh seorang lelaki
di dalam masjid hanya kerana terpandang tatu ditangannya. Tetapi baginya, tidak
mengapa, kerana mungkin pada firasatnya, lelaki itu tidak faham dengan situasi
serta sejarah hidupnya.Perit dengan sikap muslim tetapi dia tetap tenang dalam
Islam. Dia mengaku perbuatannya mencacah tatu ke tubuhnya satu perbuatan yang
disesalinya sepanjang hayatnya. Dia juga mengaku jika pemikirannya bijaksana
walaupun sebelum memeluk Islam, tentu sahaja dia tidak akan melakukan perbuatan
tidak cerdik seperti itu. Malang sekali tiada panduan untuknya bagi menyuluh
jalan yang terang.
Saya teringat kepada Peter
apabila pada petang semalam saya menonton sebuah video mengenai seorang saudara
Islam dari British yang memeluk Islam sejak 20 tahun yang lalu. Dengan penuh
tatu di sebahagian tubuhnya dan wajahnya yang penuh dengan kesan tindikan,
siapa sangka hidayah Allah akan meresapi kemas dalam jiwa dan sanubari dirinya.
Begitu juga dengan video mengenai muslim di Jepun. Saya melihat Bro. Abdullah Taki di
dalam video tersebut juga mempunyai sejarah yang hampir sama dengan Matthew (Abdul Malik). Kedua-dua
mereka pernah menjalani kehidupan yang hampir sama dengan Peter dan ketiga-tiga
mereka kini menjadi hamba-hamba Allah di dalam satu nafas kehidupan baru yang
lebih indah dan tidak mahu dipersia-siakan mereka.
Cuma sesuatu yang merisaukan
saya. Apakah pula penghujung nasib saya sebagai hamba Allah dimuka bumi ini? Saya
amat takut sekiranya saya yang dilahirkan di dalam rahmat dan dilahirkan
sebagai hambaNya yang Islam, berubah hala dari menjadi seorang yang berusaha
keras untuk menjadi mukmin, tetapi tercampak ke jurang serta lembah hina hanya
kerana sifat takbur, sombong dan sebagainya. نعوذبالله منذلك.
Semoga Allah
mengekal saya, keluarga dan kita semua dalam keimanan yang lebih kukuh semasa
hayat, mati dan dihidupkan kembali sebagai orang-orang yang beriman apabila
berhadapan dengan Allah nanti. Amin.
Jangan kita terlupa
dengan kisah bagaimana Iblis dilaknat Allah hanya kerana sombong dan takbur
yang dia lebih mulia dari Adam a.s. Iblis merasakan dia lebih layak dari Adam
a.s. kerana sejarah asal usulnya yang dirasakannya lebih mulia. Mana mungkin
untuk dia tunduk kepada Adam a.s. sedangkan Iblis pada ketika itu merupakan
antara hamba-hamba Allah yang paling taat sehingga kedudukannya diangkat dari
satu langit ke langit yang satu. Hebatnya dia beribadat sehinga benar-benar
tinggi kedudukannya. Malang sekali sifat sombong yang ada pada dirinya
menghancurkan ke semuanya. Lebih malang lagi apabila ada pula dikalangan
anak-anak Adam yang mendakwa diri mereka ahli ibadat, mempertontonkan amal
ibadat serta kemuliaan mereka dan dalam masa yang sama menghina sesama
anak-anak Adam bahawa kedudukan mereka di sisi Allah lebih mulia dari saudara
segama mereka yang lain. Dengan amal ibadat yang tidak pun boleh mengakibatkan
kaki mereka terangkat sekaki ke udara, riak, sombong dan takbur mereka telah melebihi
tahap sombongnya Iblis yang pernah diangkat Allah ke lapisan-lapisan langit yang lebih tinggi. Seolah-olah hanya mereka itu Islam dan yang lain itu penghuni kekal
neraka jahannam. Seolah-olah hanya mereka itu pandai dan semua orang lain bodoh hanya kerana tidak mahu bersama mereka. Perkataan bodoh, bahlol dan bengong menjadi zikir harian dan bahan sendaan untuk meletakkan kemuliaan kepada diri sendiri dan menghinakan saudara Islamyang tidak sehaluan dengan mereka. Sangat sedih melihatkan perkembangan mutakhir kini. Kita benar-benar terlupa dengan sejarah Iblis.
Ya Allah, lindungilah kami dari tertipu dengan tipu daya
syaitan dan kelemahan diri kami sendiri. Amin.
satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.
6 comments:
Anonymous
said...
assalammualaikum w.b.t, sy tertarik dgn post saudara "revert muslim bertatu" ttp bukan itu yg sy ingin rungkaikn. sy cma ingin brtanya bagaimana dgn buku yg saudra ingin terbitkn tu,adakah sudah siap dan telah terbit dipsran.t.kasih!
Assalammaualaikum tuan, pengalaman yang menarik tetapi yang menariknya kenapa bila nyawa dihujung tanduk kita ingat pula kita masih bujang dan belum berbini. Bila naik kereta laju pun siap pesan "awak tu belum kawin lagi jangan laju-laju" saya cume fikir positif mungkin melalui perkahwinan itu dapat menyempurnakan sebahagian agama. Bab tatu tu memang sebahagian dari kita selalu memandang sinis ego perasan macam tak berdosa, kalaulah dosa kita tu Allah jelmakan menjadi tatu kat badan takut-takut tak cukup tempat nak letak. Sesungguhnya beruntunglah mereka yang revert tu dosa dah terhapus seperti bayi baru lahir. Rasa macam nak minta doa biar tambah hidayah untuk saya. Adila_Alim
Wa'alaikumsalam wrt Anon June 14, 2012; perihal buku2 yg sedang diusahakan saya ada sebutkan di dalam post "Menyamak dosa Bani Israel dengan memfitnah Musa a.s.,".. saya sedang berusaha dgn keras untuk menyiapkan kesemua yang telah dirancangkan. Saya sangat berharap usaha tersebut dipermudahkan Allah, TQ atas sokongan.
Wa'alaikumsalam wrt Adila_Alim, Perkahwinan memang menyempurnakan sebahagian dari agama. Tetapi dalam penulisan atas, ia hanyalah satu quote dari bentuk pemikiran seorang anak muda yang mentah semasa saya berusia 20 an. Ia juga sesuatu yg seringkali disebut oleh orang2 kita sptmana yg Adila komenkan... kita telah terprogram untuk berbicara dgn cara demikian.. ia satu bentuk pemikiran kurang matang di dalam meletakkan sesuatu keutamaan dan saya akui, ia juga antara sebahagian dari kekurangan sistem pemikiran yg pernah mengisi pusat akal fikiran saya dulu.. perlahan2 setiap yg kurang baik itu diperbetulkan seiring dengan peningkatan usia.. masih belum berjaya sepenuhnya dan masih terdapat lebih banyak jatuh dari bangun dalam usaha pembaikan tersebut.. Semoga kita semua mendapat serta kekal mendapat hidayah Allah pada setiap saat dan masa. Amin.