Oleh Imran Haaz/M.I.A.
Bismillahir Rahmanir Raheem.. lebih 1400 tahun yang lalu,
seorang manusia yang paling mulia dilantik Allah menjadi seorang pembawa khabar
gembira dan pemberi peringatan kepada semua manusia dan jinn yang mendiami bumi
ini. Dia adalah rahmat untuk sekelian alam sebagaimana Penciptanya
memperakukannya. Bersama dirinya di bawa satu bentuk rahmat yang amat luas dan
terang yang mana ruang cakupannya sebagai petunjuk kepada jalan kebahagiaan
umat manusia meliputi segala zaman kemanusiaan yang waras dan rasional.
Islam melalui perlantikan Muhammad s.a.w. sebagai nabi dan
rasul, dilengkapkan agama tersebut untuk dijadikan anutan, pegangan serta
panduan umat manusia bagi menjalani sebuah kehidupan yang membawa kebahagiaan
di dunia dan diakhirat. Apa yang telah disampaikan kepada kaum Nuh a.s., kepada
kaum Hud a.s., kepada Bani Israel oleh Musa a.s. sehingga Isa a.s. merupakan
asas-asas kepada agama ini yang hanya dipelengkapkan sebaik sebelum Muhammad s.a.w. , sebagai nabi dan rasul
terakhir, menghembuskan nafasnya yang terakhir 1400 tahun dahulu.
Yahudi, Kristian dan pelbagai cabang agama lain semuanya
bermula dari satu agama iaitu Islam.
Sehinggalah orang-orang yang berkepentingan yang diamanahkan memegang urusan
umat-umat terbabit, digelapkan hati mereka dengan kecintaan terhadap menganggap
diri mereka sendiri sentiasa betul dan mula mengenepikan apa sahaja yang
diwahyukan serta disampaikan oleh rasul-rasul yang penuh amanah kepada mereka. Perselisihan
demi perselisihan inilah yang telah menyebabkan agama yang pada asal dasarnya
satu, berpecah menjadi cabang-cabang yang semakin jauh dari akar tauhid yang
benar.
Di dalam penulisan kali ini, saya ingin menulis sesingkat
mungkin berkenaan kecenderungan tamadun barat yang tanpa mereka sedar sedang
memperakukan sistem-sistem yang telah menjadi amalan Islam sejak sekian lama.
Mengiktiraf Wujud
Keperluan Untuk Bercerai
Islam merupakan sebuah agama yang memberikan penekanan yang
kuat serta tegas kepada aspek pembinaan sesebuah keluarga. Segala bentuk
panduan, peraturan serta undang-undang bagi memastikan pembinaan sesebuah
keluarga yang sihat telah tersedia di dalam agama ini. Lengkapnya undang-undang
keluarga Islam ini termasukklah kepada undang-undang yang membenarkan
pembubaran sesebuah perkahwinan itu dilaksanakan.
Pembubaran sesebuah perkahwinan bukanlah sesuatu yang
digalakkan di dalam Islam dan hanya menjadi pilihan terakhir sekiranya
pembubaran perkahwinan tersebut membawa lebih banyak kebaikan dari mudarat dan
kerosakan lebih besar jika masih
diteruskan hidup bersama. Malah Allah s.w.t. di dalam al Qur’an mengajar para
muslim remedi-remedi yang perlu
dipertimbangkan sebelum pembubaran perkahwinan menjadi pilihan. Hanya jika
keadaannya lebih membawa mudarat serta kerosakan yang lebih besar kepada
pasangan, keluarga serta mereka-mereka disekeliling perkahwinan mereka, barulah
perceraian menjadi sesuatu yang tidak dapat ditolak untuk berlaku.
Beberapa mazhab Kristian terutamanya mazhab Katolik Kristian,
tidak membenarkan perceraiaan berlaku. Begitu juga dengan agama Sikh pada kitab
ajaran agama mereka tidak membenarkan perceraian daripada berlaku. Bagi mereka,
perkahwinan itu merupakan satu ikatan suci antara dua jiwa yang tidak boleh dipisahkan.
Malang sekali, realiti kehidupan di dunia ini tidak memungkinkan setiap
perkahwinan yang didirikan itu dapat bertahan lama dan indah pada setiap
keadaan dan masa.
Terdapat pelbagai faktor yang wujud serta mewujudkan
keperluan kepada sesebuah perkahwinan itu dibubarkan. Alasan penyakit, kelumpuhan keinginan seksual,
keganasan rumahtangga, tidak sefahaman, ketidakmampuan pasangan, pasangan yang
tidak bertanggungjawab dan pelbagai masalah lagi yang mungkin membelengu
sesebuah pasangan memungkinkan jalan pemisahan untuk dipilih bagi mengurangkan
kemudaratan. Malang sekali lagi apabila
jalan pemisahan bukanlah suatu pilihan yang boleh diambil oleh penganut
agama-agama yang dimaksudkan. Disebabkan kekangan sebegini, penganut-penganut
agama-agama tersebut memerlukan satu bentuk jalan keluar bagi membolehkan
perkahwinan yang seharusnya suci tetapi menjadi rosak itu dibubarkan. Tiada
pilihan bagi mereka melainkan membubarkan perkahwinan tersebut melalui
Undang-Undang Sivil di Negara di mana mereka bermastautin.
Tetapi di dalam kebanyakan kes, perceraian bukanlah jalan
terbaik bagi mengatasi semua masalah yang timbul. Terkadang perceraian
menimbulkan konflik-konflik baru yang berpanjangan serta lebih memudaratkan.
Perebutan harta, pemisahan anak-anak dengan keluarga ibu dan bapa, konflik
dengan dengan keluarga mertua, sekadar menamakan antara masalah yang biasa
berlaku selepas sesebuah perkahwinan dibubarkan. Kerana itulah difahami kenapa
Allah tidak menyebut perceraian sebagai pilihan di dalam ayat-ayat yang
membicarakan tentang remedy-remedi yang perlu dipertimbangkan serta dijalankan
bagi mengelakkan perceraian daripada berlaku.
Bagaimanapun, mungkin disebabkan dengan keadaan hubungan
yang terlalu panas, maka perceraian terpaksa menjadi jalan terakhir yang
dipilih.
Dalam Islam, perceraian tidak boleh dibuat sesuka hati
terutamanya di atas alasan-alasan yang mendiskriminasikan wanita. Sesuai dengan
firman Allah di dalam al Qur’an, umat Islam merupakan umat pertengahan. Mereka tidak
ekstrem dan cenderung kepada hukum-hukum serta peraturan yang terlalu kaku dan rigid.
Perceraian merupakan sesuatu yang diharamkan di dalam sesetengah
mazhab agama Kristian dan Sikh. Manakala perceraian di atas alasan yang sangat
mendiskriminasikan wanita dibenarkan pula di dalam tradisi Yahudi dan Hindu
bersandarkan kitab Talmud Yahudi serta Kitab Undang-Undang Manu (Manu Smriti).
Orang Yahudi digesa menceraikan isteri mereka sekiranya di dalam tempoh sepuluh
tahun perkahwinan, wanita tersebut gagal melahirkan zuriat kepada pasangannya.
Ia disebut di dalam Talmud. Manakala mengikut Undang-Undang Manu, seseorang
wanita yang dikatakan mandul, boleh diceraikan pada tahun ke lapan perkahwinan.
Untuk yang pernah melahirkan anak tetapi ke semua anaknya meninggal dunia,
perlu diceraikan pada tahun ke sepuluh, manakala isteri yang hanya melahirkan
zuriat perempuan disarankan dicerai pada tahun perkahwinan mereka yang ke
sebelas. Isteri yang suka bertengkar pula disarankan supaya diceraikan tanpa
bertangguh. Perkara ini pernah saya sentuh secara mendalam di dalam penulisan
di dalam tahun 2008 blog satuhala ini di bawah tajuk “Memperbetulkan Serta Menjawab Pertuduhan YangMenyatakan Rasulullah s.a.w. seorang Kaki Perempuan dan Paedophile. Bahagian 6”
(Klik untuk membaca).
Jadi di antara dua remedi ekstrem ke atas institusi
perkahwinan, Islam datang memberikan harapan, keadilan serta jalan keluar
kepada kemelut kekeluargaan yang dihadapi saban hari oleh umat manusia. Sepertimana
yang disebutkan sebelum ini, Islam membenarkan perceraian itu berlaku tetapi
tidak menggalakkannya. Malah di dalam al Qur’an itu sendiri menjelaskan
proses-proses yang perlu dijalani bagi tujuan mengambil sepenuh usaha bagi
menyelamatkan perkahwinan itu dahulu sebelum pilihan untuk bercerai diambil. Malah,
setelah opsyen untuk bercerai dipilih, ia masih perlu berada di dalam tempoh
Iddah supaya titik noktah perkahwinan yang sedang ditujui itu, dapat
direnungkan kembali serta supaya kedua-dua pihak mengambil peluang untuk
bermuhasabah. Di dalam novel Syahadah Gadis Ateis, saya memasukkan topik ini
bagi membincangkan pertuduhan ke atas sistem nilai keluarga Islam dan fitnah keganasan
domestik yang dilemparkan kepada ayat-ayat Allah di dalam al Qur’an.
Selepas 1400 Tahun, Kebekersanan Iddah Diperakui
Tiga tahun yang lepas, pada 2009, saya memotong satu keratan
akhbar berkenaan satu cadangan dari sebuah badan pemikir, Duncan Smith’s Centre
For Social Justice, yang beroperasi di Britain. Badan pemikir itu mencadangkan
supaya dilakukan satu perubahan radikal kepada undang-undang keluarga di
Britain. Mereka mahu undang-undang keluarga di Britain mewajibkan setiap
pasangan berkahwin yang mahu memfailkan perceraian menjalani proses bertenang
selama 3 bulan. Ia bagi memberi peluang kepada pasangan-pasangan tersebut untuk
menyelesaikan segala perkara yang menyebabkan berlakunya konflik, sehingga
mereka memilih jalan untuk berpisah.
Tempoh tiga bulan yang dicadangkan itu bagi membolehkan
setiap pasangan bertenang, bermuhasabah dan berfikir semula supaya menilaikan
segala kemungkinan yang akan berlaku sekiranya perpisahan itu tetap akan terjadi.
Ia menyamai konsep Iddah di dalam Islam yang telah diamalkan
sejak lebih dari 1400 tahun yang lalu. Peratusan kadar cerai yang meningkat di
Britain, menyebabkan cadangan ini dikemukakan. Mereka merasakan bahawa peratusan
pasangan-pasangan yang memilih untuk bercerai apabila berhadapan dengan konflik
rumahtangga akan dapat dikurangkan sekiranya perubahan ini dibuat.
Perceraian tidak membawa kepada kebaikan secara total,
tetapi lebih banyak buruk dari yang baik. Tidak dinafikan bahawa perceraian
adakalanya merupakan satu-satunya jalan bagi menyelesaikan kemelut di dalam
rumahtangga, oleh kerana itulah Islam membenarkan ianya berlaku tetapi tidak
menggalakkannya. Di dalam Syahadah Gadis Ateis, saya membicarakan secara santai
kenapa perceraian tidak disebutkan sebagai sebuah pilihan yang harus diberikan
keutamaan. Sekiranya perpisahan itu tidak dapat dielakkan, masih terdapat
remedy yang memberi peluang kepada kedua-dua pasangan untuk bermuhasabah dan
memperbaiki kembali perhubungan yang sebelum ini retak melalui peraturan Iddah.
Jelas barat telah banyak bereksperimen dengan segala macam
bentuk teori dan cara hidup yang dirasakan mereka bakal memberikan mereka
kebahagiaan hakiki dalam kehidupan mereka. Nyata mereka sentiasa gagal di dalam
setiap percubaan mereka dan kemudian dengan menebalkan muka, mereka mula
mengiktiraf jalan hidup sebagaimana yang telah digariskan Allah melalui Islam. Tetapi
yang lebih pelik pula, apabila orang-orang Islam terutamanya Melayu
terkinja-kinja mahu mengejar budaya-budaya serta sistem-sistem kegagalan barat
yang orang-orang barat sendiri mahu tinggalkan.
Lebih pelik lagi apabila golongan yang mendakwa diri mereka
pejuang hak asasi manusia di Malaysia ini, masih tidak sedar dari delusi mendewakan
segala yang barat. Pada mereka segala apa yang telah diperjuangkan di Barat itu
perlu difotokopi secara total tanpa had. Sedangkan barat kini semakin
memperakui bahawa mereka gagal di dalam percubaan mereka dan mahu kembali
kepada sistem yang diamalkan oleh Islam walaupun mereka tidak memperakuinya
melalui lisan mereka. Perbuatan mereka menjelaskan pengiktirafan tanpa sedar
yang sedang mereka lakukan. Hanya pejuang -pejuang hak asasi manusia setaraf burung
kakak tua di Malaysia yang masih belum sedar dengan trend yang sedang rancak
berlaku di Barat. Mungkin termalu dengan perlakuan mereka sebelum ini yang
menentang semua nilai-nilai yang disokong Islam, maka dengan menebalkan muka,
mereka tetap bedegil berkeras mahu menentang segala yang berbau Islam di muka
bumi Malaysia ini. Benarlah kata-kata Allah di dalam Al Qur’an bahawa Dia akan
memperolok-olokkan golongan ini dengan sikap dan perlakuan mereka sendiri. Saya
bersyukur dilahirkan Islam, dibesarkan secara Islam dan merayu kepada Allah
supaya dapat menghembuskan nafas saya yang terakhir sebagai orang Islam dan
mukmin yang mendapat keredhaan Allah di dunia dan akhirat nanti. Dengan
berpegang kepada apa yang ditinggalkan Rasulullah s.a.w. kepada kita 1400 tahun
yang lalu, kita secara tidak langsung terselamat dari dijadikan tikus-tikus
makmal kepada segala bentuk eksperimen sistem ‘kemanusiaan’ yang dicuba dan
ditinggalkan di dalam kadar yang kerap oleh manusia-manusia yang merasakan diri
mereka lebih bijak dari Tuhan yang menciptakan manusia-manusia itu sendiri. Tuan-tuan,
kita sangat beruntung.
© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.