Friday, October 16, 2009

Deepavali

1

Bismillahir Rahmanir Raheem... Saya tahu terlalu ramai di luar sana yang sentiasa menghadapi sedikit masalah apabila tiba musim perayaan bagi penganut-penganut agama lain. Sebagai rakyat Malaysia yang hidup di dalam persekitaran masyarakat majmuk dan dikelilingi pelbagai bangsa dan agama, tidak dapat tidak, interaksi antara kita dengan mereka turut menjadi faktor penilaian yang memainkan peranan besar di dalam gerakan dakwah.

Yang selalu menjadi masalah ialah apabila sampainya ketika di dalam kalendar tahunan agama mereka, perayaan bagi membesarkan agama mereka akan diraikan mereka. Sebagaimana mereka yang sentiasa mengucapkan Selamat Hari Aidilfitri kepada kita, maka balasan yang serupa mungkin diharapkan mereka bagi menunjukkan toleransi antara agama. Tetapi seharusnya diingat perbuatan mengucapkan ucap selamat sempena dengan perayaan berkaitan agama telah difatwakan haram dilakukan jika perayaan tersebut berkaitan dengan agama-agama selain Islam.

Bagi mereka yang hidup dalam isolasi kelompok agama dan bangsa yang sama, pastinya masalah-masalah ini tidak akan timbul apatah lagi berlaku. Tetapi bagi mereka-mereka yang sentiasa berurusan dengan manusia dari pelbagai bangsa dan agama, perkara ini menimbulkan sedikit dilemma. Dilemma yang bukan berat tetapi kerana memikirkan bahawa sikap dan perlakuan kita juga merupakan salah satu bentuk sumbangan besar kepada gerakan dakwah bagi membawa mereka ini ke jalan Allah.

Mereka ini bukan untuk dijauhi. Simpatilah kepada mereka kerana mereka berada di dalam landasan jalan yang menuju kepada kesudahan yang teramat buruk. Kufur terhadap Allah kesudahannya ialah selamanya menjadi bahan bakaran di dalam neraka. Jadi, kita sebagai umat Islam harus berasa sedihi dan berusaha membawa mereka kepada keselamatan hidup yang hakiki di dunia dan akhirat.

Majoriti dari kita juga berasal dari keturunan nenek moyang yang satu ketika dulu merupakan penyembah-penyembah berhala. Ia adalah fakta sejarah. Tanah Melayu ini baru sahaja menikmati nikmat Islam kurang dari seribu tahun yang lampau. Seribu tahun hanya menghamparkan dua puluh enam generasi di atas kita dari generasi nenek moyang kita yang menganuti pelbagai agama dari animisme hingga ke agama Hindu. Jika tidak kerana pedagang-pedagang Arab, India dan China yang mempunyai hubungan rapat dengan nenek moyang kita satu ketika dulu, tentu sahaja lorongan hidayah Allah kepada kita sepertimana yang kita nikmati pada hari ini tidak akan diperolehi. Jika satu ketika dulu nenek moyang mereka membawa Islam kepada kita, kenapa tidak kini kita membalasnya kembali dengan membawa pula Islam kepada mereka.

Fatwa melarang kita mengucapkan selamat bagi perayaan yang berkaitan dengan agama lain dan Allah juga melarang kita dari mendoakan apa jua bentuk doa kepada mereka kecuali mendoakan mereka mendapat hidayat Allah. Tiada yang lebih besar selain daripada mendapat hidayah dari Allah untuk memeluk agama Islam. Jadi doa selain dari doa memohon hidayah Allah diberikan kepada mereka adalah dilarang.

Ia sepertimana yang ditegur Allah kepada Nabi Ibrahim a.s. ketika baginda mendoakan keampunan bagi Azar, bapanya bagi dosa-dosa yang dilakukan. Ia dicatatkan di dalam al Qur’an pada surah al Mumtahanah ayat 4 :

Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya - contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): "Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata", tetapi janganlah dicontohi perkataan Nabi Ibrahim kepada bapanya (katanya): "Aku akan memohon kepada Tuhanku mengampun dosamu, dan aku tidak berkuasa menahan (azab seksa) dari Allah sedikit juapun daripada menimpamu". (Berdoalah wahai orang-orang yang beriman sebagaimana Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya berdoa ketika mereka memusuhi kaumnya yang kafir, dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Kepada Engkaulah sahaja kami berserah diri, dan kepada Engkaulah kami rujuk bertaubat, serta kepada Engkaulah jua tempat kembali!

Hidayah dari Allah pula hanya Allah sahaja yang berhak menetukan kepada siapa yang bakal diberikannya nanti. Tugas kita cuma menyampaikan dan berusaha. Tetapi hidayah juga boleh diusahakan oleh mereka yang baik amal perbuatannya untuk mendapatkannya. Diceritakan oleh Hakim bin Hizam r.a. di dalam sebuah hadis sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim seperti mana di bawah :

Dari Hakim bin Hizam r.a. bertanya klepada Rasulullah s.a.w., katanya : “Bagaimanakah pendapat anda tentang perbuatan-perbuatan baik yang pernah aku lakukan pada masa jahiliyyah, seperti sedekah, memerdekakan budak dan menghubungkan silaturrahim, apakah semua itu mendapat pahala atau tidak?” Jawab Rasulullah s.a.w., “Anda masuk Islam berkat kebajikan-kebajikan yang telah anda lakukan sebelumnya," (Hadis Riwayat Muslim)

Jadi apa yang difahami di sini bahawa kebaikan dan amal perbuatan baik yang datang dari keikhlasan hati oleh mana-mana pihak dan individu bukan Islam, akan membawa mereka semakin dekat kepada Allah dan bakal dikurniakan Allah kepada mereka akan hidayat tersebut sebagai rahmatNya kepada mereka dengan terbukanya hati mereka memeluk Islam.

Dengan memahami segala perkara demikian, maka pada setiap kali kawan-kawan beragama Hindu termasuk individu yang mana saya jadikan rujukan untuk memahami teks-teks Hindu serta ritual amalan mereka dan yang saya jelaskan Islam kepada mereka, maka SMS dan email saya kepada mereka adalah berlegar-legar dalam lingkungan mendoakan supaya setiap amal dan perbuatan mereka yang ikhlas dan baik akan membawa mereka dekat kepada Allah. Berikut contoh antara SMS berupa doa kepada mereka yang biasa saya hantarkan semasa mereka merayakan Deepavali.

May all your good deeds in life brings you closer each day to Eternal Light.

SMS diatas merangkumi semua aspek yang sudah saya jelaskan di atas. Ia berupa doa mengharapkan agar semua perbuatan baik mereka akan membawa mereka lebih dekat kepada Allah dari hari ke hari. Oleh kerana Deepavali bagi mereka adalah sinonim dengan Cahaya, maka saya menggantikan Asma Allah tadi dengan satu lagi Asma Allah yang suci dan baik, iaitu An Nur. Allah ialah Cahaya bagi langit dan bumi. NamaNya yang suci ini, bila diterjemahkan di dalam bahasa Inggeris lebih dekat kepada pengertian the Light atau Eternal Light. Maka, SMS itu bagi mereka yang memahami objektifnya akan membawa maksud bahawa , ‘Semoga semua perbuatan baik saudara akan membawa saudara lebih dekat lagi kepada Allah.’

Mudah bukan... jika dalam kehidupan kita seharian dalam berhubungan dengan mereka-mereka yang menganut agama Hindu, tunjukkan contoh tauladan serta perlakuan yang baik sepertimana Rasulullah s.a.w. berhemah dikalangan komuniti orang-orang musyrik satu ketika dulu. Dia yang digelar al Amin oleh majoriti musyrikin Mekah, memudahkan Islam itu diterima kerana adab sopan baginda sehari-hari tidak terlawan oleh mana-mana individu dikalangan masyarakat tersebut. Jadi, jika anda tidak pernah mendoakan hidayat bagi mereka, ambil kesempatan ini dengan mendoakan hidayat buat mereka melalui ucapan-ucapan yang berlegar di dalam perbuatan yang diizinkan Allah. Islam itu tidak keras.. Islam itu juga tidak kaku. Yang menjadikannya Islam sentiasa dilihat kaku ialah sikap muslim itu sendiri.

Tetapi, dalam bergaul dengan mereka, janganlah sampai nanti kita 'melanggar sempadan' hanya kerana mahu mereka sentiasa mendampingi kita. Perkara-perkara seperti yang berlaku dan yang dilakukan oleh ahli-ahli politik lewat ini hendaklah dijauhi sama sekali. Muslim seharusnya bersatu tidak kira apa jua fahaman mereka. Di sini saya sentiasa menyeru semua muslim kembali bersatu. Jika kesemua parti politik muslim ingin kekal bercakaran sesama sendiri, apa yang boleh kita lakukan ialah turut mendoakan hidayat Allah diberikan bagi mereka. Tidak kira samada tua atau muda, berserban atau bersongkok, mereka seharusnya kembali ke jalan Allah, berpegang teguh kepada al Qur'an dan Sunnah yang sebenar dan bukan Islam yang ditafsirkan sesuka hati mereka. Semoga Allah menyatukan kita semua.. Ameen...

© 2007 - 2009 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.

Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

1 comment:

silence reader said...

salam,

sy nak minta bantuan, bagi perayaan christmas, ungkapan apa yg sesuai sbg ucapan?

selain itu, saya ingin meminta pandangan saudara, sudah menjd kebiasaan org barat utk bersantai/meraikan sesuatu di pub2 oleh krn budaya mereka tidak sama mcm kita di malaysia ada restoran2/kedai mamak utk bersosial dgn rakan2, so, apb ada sesuatu keraian yg menjemput kami menyertainya sebolehnya sy dan kwn selalu mengelak diri dgn bg 888 alasan sbb takut syubhah.. kkdg malu jg asik bg alasan dan takut jg kalau silap langkah. tp dlm masa yg sama kami berpikir mcm mana nak ubh persepsi mereka bhw muslim ni bknla anti sosial. harap boleh memberi pandangan dan cdgn