oleh : M.I.A.
Bismillahir Rahmanir Raheem.. Jarang saya bercerita cerita peribadi di sini. Apa salahnya bercerita sedikit sebagai pemanas enjin sebelum posting-posting berat saya muatkan. Selalu sangat serius kalau, blog ni nampak macam blog orang mati pula kan... Jadi sedikit cerita kecil dari apa yang saya lalui semasa bergelar pelajar saya kongsikan di sini. Tiga belas tahun dahulu, saya ditempatkan di dalam Kolej Jati blok D Siswa bilik 4603 seksyen dua Shah Alam bersama dengan ‘gerombolan budak-budak Hell’s Engine’. Budak-budak gila lagi sakit mental. Skodeng awek kolej Jati blok E sudah menjadi kuliah maghrib tetap budak-budak ini. Tiga belas tahun dahulu, belum lagi wujud telefon bimbit sepertimana yang ada sekarang. Jika ada pun, telefon tersebut kalau ia mengalami kerosakan, beg bimbit yang mengandungi komponen elektronik telefon tersebut boleh ditukarkan fungsi menjadi beg pakaian jemaah haji. Lalu komunikasi dua hala antara blok siswa blok D dan siswi blok E hanya menggunakan tingkap sebagai bahasa isyarat. Sesiapa yang hidup pada ‘zaman batu’ itu tahu macam mana kaedah komukasi tersebut dilakukan. Yang lebih advance, mereka merampas gelombang radio stesen-stesen tertentu untuk memulakan stesen radio sendiri pada waktu-waktu tertentu untuk berkomunikasi dan menyebarkan fahaman underground kepada kelompok mereka. Waktu tersebut, tidak banyak stesen radio. ERA dan kebanyakan stesen radio swasta yang sekarang ini belum lagi wujud. Jadi untuk mengisi ruang, stesen radio haram dengan jarak capaian kurang lima puluh meter diwujudkan kumpulan ini. Semuanya dilakukan sekadar suka-suka dan tidak bertahan lama.
Zaman itu, semua assignment dibuat dengan menggunakan mesin taip. Komputer sudah ada tapi terlalu mahal untuk pelajar-pelajar yang tidak mendapat biasiswa termasuk saya. Tidak mendapat biasiswa bukan kerana berasal dari keluarga yang kaya. Keluarga saya merupakan keluarga golongan sederhana. Tetapi untuk menipu pendapatan bapa saya demi untuk mendapatkan biasiswa merupakan satu perkara yang tidak sanggup untuk saya lakukan. Biar susah sedikit asal semua garis takdir yang bakal bermula dari titik pengajian ini akan berakar kepada sumber yang halal. Seksanya membuat assignment dengan menggunakan mesin taip ialah apabila tersalah menaip ayat, perkataan atau fakta. Sekali tersalah, seluruh mukasurat tersebut perlu ditaip semula. Bising membuat assignment tak usah cakap. Bilik jadi bising macam tembakan AK 47 setiap malam ada assignment penting terutamanya hari-hari akhir mendekati deadline. Jadi untuk mengurangkan kebisingan situasi berperang di dalam bilik, lagu-lagu keras dipasang bagi meredakan tekanan serta menimbulkan Interference terhadap bunyi ‘tembakan AK 47’ tersebut. Buat apa belajar fizik kalau tak tahu nak praktiskan.
Susahnya jadi pelajar waktu itu, sampaikan terkadang ada satu tahap sebungkus mee segera terpaksa dipotong dua untuk makanan dua hari. Mee segera waktu itu umpama emas. Dalam waktu-waktu kronik, ia menjadi satu bahan komoditi yang boleh ditukar di dalam sistem barter bagi upah membuat assignment. Masih saya ingat satu ketika yang amat kronik ketika menyewa rumah di luar, bila bungkusan mee segera terakhir dalam rumah tersebut merupakan milik saya. Semua mata bertumpu seperti cannibal ke arah tempat simpanan rangsum saya. Oleh kerana waktu tersebut kertas perperiksaan terakhir hanya melibatkan saya dan dua orang sahabat yang lain, maka yang lainnya sudah pun pulang ke rumah keluarga masing-masing. Setelah berfikir jauh dan tidak mahu meninggalkan rumah tersebut dengan mayat dua orang sahabat yang mati kebuluran, maka saya berikan mee segera tadi kepada sahabat saya Pak Dee untuk memasaknya untuk dinikmati kami bertiga. Dia ke dapur, saya dan seorang lagi sahabat melepak di ruang tamu. Bosan dan tiada aktiviti yang boleh dibuat, sahabat saya ini meminta saya mencari chord lagu Flybaits, Kenangan Lalu dan Bunga Padang Pasir dari Sofea. Walaupun lagu pop, untuk melayan kawan-kawan saya carikan juga chord dan tab lagu tersebut. Lalu saya mengambil kasetnya dan mula mencari chord lagu tersebut. Hampir setengah jam, semua tab dapat saya siapkan dan saya mainkan lagu tersebut dengan gitar buruk puaka tinggalan rumah tersebut. Dia menyanyi saya petik gitar, (hah.. macam lagu Mas Idayu bunyinya). Kemudian Pak Dee turut masuk kaki. Lepas dua jam berhibur syok sendiri, baru saya teringat tentang mee segera tadi. Saya tanyakan kepada Pak Dee, tentang perkembangan semasa ‘santapan diraja tersebut’. Pak Dee tiba-tiba saja berubah wajah, macam ternampak hantu. Saya mula tak sedap hati bila nampak Pak Dee bertukar menjadi Usayn Bolt. Dia berlari pantas ke dapur. Bila saja Pak Dee masuk kembali ke ruang tamu membawa periuk dan ditunjukkan isikandungannya kepada saya dan Chain (sahabat saya tadi), maka hormon Incredible Hulk di dalam diri saya mula bergelojak. Chain terus terduduk bila terlihat mee segera tadi berjaya Pak Dee ubah genetiknya menjadi sebesar kelingking. Kuahnya hilang secara total tanpa dapat dikesan. Sekejap kecil sekejap besar saya nampak Pak Dee. Jika ada manusia yang saya rasa mahu ‘bunuh’ hari itu, tentulah Pak Dee berada di dalam senarai nombor satu hingga tiga. Saya beristighfar banyak kali. Chain kemudian mengambil mangkuk untuk membahagi mee segera yang urat-urat mee-nya sudah sebesar kelingking. Masuk saja mulut terus termuntah. Saya tidak pernah berasa marah dalam seumur hidup saya pada tahap marah Incredible Hulk selain dari hari itu. Tiket bas pulang hanya pada keesokan malam, duit di dalam poket hanya cukup untuk kos tambang pulang. Sebahagian dari cerita dalam Novel Syahadah itu bermula sehari selepas kejadian Pak Dee membuatkan saya dan Chain kebuluran selama hampir dua hari. Dua hari saya makan kacang kelisa (kacang botol) yang tumbuh belakang rumah dengan telur goreng disebabkan Pak Dee dan 'eksperimennya'. Jika kambing boleh berdiri dan memberikan tabik hormat, tentu kepada saya dan sahabat-sahabat yang memakan diet kacang kelisa = telur goreng selama dua hari, pasti ia akan tabik dengan ke empat-empat kakinya. Itu cerita semasa saya dan sahabat-sahabat menyewa di Seksyen 7, Jalan Ferum 4. Tempat itu baru dibuka dan antara penghuni awal di sana ialah budak-budak dari batch saya dan lain-lain. Satu-satunya restoran yang ada untuk makan pada ketika itu hanya Restoran Khalifa.
Sebelum diarahkan menyewa di luar, kolej Jati Siswa menjadi tempat tinggal kami. Oleh kerana antara syarat menetap di kolej kediaman tersebut ialah dengan memastikan kehadiran kuliah subuh hendaklah melebihi 80% dari kuliah yang diadakan, maka saya dan ‘gerombolan tersebut’ ‘ditendang keluar’ sebaik sahaja memasuki semester ketiga di Shah Alam. Memaksa budak-budak remaja mendengar kuliah dari ustaz dengan nada monotonous setiap pagi Sabtu merupakan suatu perkara yang meresahkan jiwa. Topik yang tidak menarik ditambah dengan jarangnya topik yang dekat dengan anak remaja membuatkan subuh saya kerap disambung dengan tidur selepas selesai berdoa. Tidak hadir kuliah subuh tidak bermakna tidak bersolat subuh. Solat lima waktu tetap dijaga, cuma kualitinya mungkin boleh dipersoalkan. Hidup seperti Batman, berjaga malam dan tidur siang menjadi rutin, maka tak hairanlah kalau solat subuh kadang-kadang dilakukan dalam keadaan terlalu mengantuk. Baru sahaja angkat takbir, sedar-sedar sudah bagi salam. Sembahyang macam mayat hidup tanpa jiwa dan pergerakan badan di kawal oleh otak yang bergerak pada mode auto-pilot, tanpa khusyuk dan tumpuan kepada Allah.
Saya hidup dikalangan budak-budak nakal tetapi aktif mengambil tahu perkembangan semasa. Tidak seperti majoriti budak-budak nakal sekarang ini yang serba tak tahu. Budak-budak underground dahulu yang saya kenal, tidak pernah pada pengetahuan saya mereka meninggalkan solat. Peliknya dengan segelintir budak-budak underground sekarang, ada sehingga menyembah syaitan kerana ikut-ikutan. Sedangkan mereka tidak tahu apa si Anton la Vey, pemimpin gereja syaitan itu perjuangkan. Mereka tidak tahu bahawa si Anton La Vey itu memulakan gereja syaitannya setelah muak melihat sikap berpura-pura umat Kristian yang berpura-pura baik dan beragama pada setiap pagi Ahad tetapi menjadi hamba nafsu pada setiap malam minggu di sarkas tempat kerjanya. Sembilan Rukun yang digariskannya semuanya merupakan satu penolakan kepada hipokrasi gereja tetapi dengan memilih jalan yang salah iaitu mengikut jalan syaitan yang pada mereka bersikap lebih realis.
Saya membaca Kitab yang ditulis La Vey satu ketika dulu untuk mengambil tahu dan dibuat penilaian, tetapi tidak pula saya terpesong kerana kitab tersebut hanya merupakan khayal kosong Anton la Vey kerana muaknya dia dengan kepura-puraan masyarakat Kristian disekelilingnya. Ianya lebih buruk dari cerita-cerita dongeng kerana dongengan yang diwujudkan La Vey mahu mereka jadikan doktrin tanpa asas dan tujuan khusus. Mereka ini yang dilahirkan sebagai muslim kini seolah-olah terlalu bodoh dan tidak dapat berfikir.
Mereka percayakan kepada kewujudan syaitan tetapi menolak Wujudnya Allah. Bila bersoal jawab dengan mereka kenapa percayakan syaitan tetapi tidak Allah, mereka tidak tahu menjawab. Bila saya ajukan pertanyaan dari mana kamu tahu mengenai kewujudan syaitan, tidak dapat mereka jawab. Bila saya terangkan kepada mereka bahawa syaitan itu hanya dikenali dan tahu kewujudannya melalui teks-teks agama, mereka mula membuat muka hairan. Bila saya katakan jika kamu percayakan kewujudan syaitan, ia bermakna kamu percayakan kewujudan Allah. Ini kerana melalui kitab-kitab Allah lah kita tahu wujudnya sejenis makhluk bernama Jin yang diciptakan Allah di mana sebahagian besar dari mereka digelarkan Allah sebagai syaitan kerana kufur terhadap Allah.
Ketika saya masih berkawan dengan budak-budak underground dulu, tidaklah terdengar berita ada individu-individu yang terjebak kepada perlakuan syirik dan sebagainya. Ya.. mungkin ada segelintir yang terlalu terikut-ikut, tetapi yang lainnya masih waras bertauhidkan Allah yang satu. Sehingga kini, masih ada sahabat-sahabat baik saya yang masih aktif di dalam dunia tersebut, malah ada yang setelah berjaya di dalam perniagaan kembali membantu sahabat-sahabat dalam dunia tersebut menerbitkan album dengan material yang dikawal sepenuhnya supaya tidak terpesong dari landasan agama.
Kalau ada budak-budak underground yang membaca posting ini, ingatlah bahawa hanya orang bodoh tidak mengenal Allah. Tidak mengenal Allah adalah satu bentuk kebodohan yang menghinakan akal seseorang manusia. Perhatikan kepada mana-mana doktor dan saintis yang menganut pelbagai agama lain selain Islam. Mereka mendakwa diri mereka cerdik pandai, tetapi setiap hari dalam kehidupan mereka mereka menyerah nasib serta meminta bantuan serta doa mereka kepada batu-batuan yang diukir sendiri oleh tangan-tangan manusia. Patung-patung yang tidak dapat menyelamat dirinya sendiri, hatta untuk menghalau seekor lalat yang hinggap pada wajahnya diserahkan untung nasib oleh manusia-manusia yang menganggap diri mereka pandai tadi untuk ditentukan oleh patung-petung tersebut. Bukankah ini satu penghinaan terhadap keupayaan dan daya akal manusia. Tidak mengenal Allah itu adalah ultimatum kebodohan! Jika anda di dalam dunia itu dan lumpur kotorannya terpalit kepada minda dan gaya berfikir anda, segeralah bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Banyak pengalaman yang boleh dikategorikan sebagai mistik menimpa kawan-kawan saya berkenaan perkara ini sehingga mereka menjauhi diri dari dunia tersebut kerana mereka sedar langkah mereka di sana sudah agak jauh. Terkadang itu lebih baik tidak diceritakan daripada diceritakan kerana saya tidak suka akan cerita-cerita mengarut dijadikan hujah untuk dibuat sandaran bagi menentukan hala tuju kehidupan.
13 tahun dahulu, sebelum diarahkan menyewa diluar, saya memenuhi waktu lapang saya dengan bermain gitar dan jamming dengan kawan-kawan. Seksyen 7 Shah Alam belum lagi dibangunkan waktu tersebut. Malam minggu, kalau ada lebih duit sedikit, jamming studio di seksyen dua jadi satu kemestian. Sekurang-kurangnya dengan bermain muzik ini, menjauhkan saya daripada banyak aktiviti yang lebih merbahaya dari H1N1. Semua lirik lagu yang ditakrifkan kami sebagai memesongkan akan diubah dengan lirik sendiri. Jadi dengan aktiviti syok sendiri ini, Allah menjauhkan kami dari pelbagai lagi perkara buruk dalam aktiviti hidup ‘lelaki-lelaki bujang’.
Bilik saya yang sebelum ini sering menjadi port aktiviti-aktiviti kurang siuman, ditakdirkan Allah bakal berubah pada suatu ketika semasa saya di dalam semester ketiga. Suatu hari, ditakdirkan Allah, ditempatkan seorang lelaki dari jemaah Tabligh untuk menjadi penghuni tetap di dalam bilik saya Jati D-4603, bilik tengah yang menghadap kolej Jati Siswi blok E. Jika sebelum ini bilik saya menjadi port segala macam aktiviti dari aktiviti ‘astronomi’ hingga ke ‘kasino tanpa pertaruhan’, kemasukan hamba Allah ini membersihkan bilik saya dari segala macam teropong, daun terup, jenis-jenis bahan-bahan hisapan dan segala macam perkara yang boleh disebut dan malu untuk saya sebut. Saya tidak merokok (sehingga kini) tetapi bilik saya sentiasa berjerebu dengan asap hembusan pengunjung yang tidak putus bermula maghrib sampai ke subuh.
Pada awalnya saya tinggal seorang diri di dalam bilik yang sepatutnya dihuni dua orang. Bagai dilanggar garuda, bila sahaja lelaki ini ditempatkan di bilik saya, semua pemastautin, setinggan tetap di situ hilang tanpa khabar berita. Semua kelihatan seperti takut melepak di bilik saya seperti biasa. Hebat betul aura mamat ni.
Bermula dengan kemasukan mamat ini, maka bilik saya mula dikunjungi oleh sahabat-sahabatnya pula. Ta’alim satu kemestian. Mana saya nak lari? Saya betul-betul terperangkap dalam sinaran, macam lagu Hanafie Warren, tetapi di dalam sinaran yang berbeza. Remaja seperti saya dan sahabat-sahabat saya tidak takut akan apa jua pun. Aktiviti lasak, gaduh, bertumbuk dan sebagainya bukanlah menjadi satu ketakutan yang akan dihindari, tetapi apabila ternampak sahaja kelibat jemaah tabligh sedang bergerak dari bilik ke bilik, maka dengan tidak semena-mena kesemua yang ‘berani’ tadi bertempiaran lari. Betullah kata ulama’, syaitan itu takut akan orang-orang beriman. Hanya manusia-manusia yang ditautkan hatinya kepada syaitan yang bergantungan sahaja yang akan lari bertempiaran bila ternampak orang-orang beriman datang.
Maka kumpulan-kumpulan Tabligh ini merupakan kegerunan kepada banyak pihak. Kalau tak percaya, pergi ikut mereka berdakwah dari rumah ke rumah. 70% dari rumah-rumah yang dikunjungi pasti akan kehilangan penghuni secara tiba-tiba biarpun set televisyen di rumah masih terpasang dan buaian masih berayun di luar rumah. Malah satu insiden suatu ketika di mana sahabat saya, Chef Pak Dee yang diceritakan tadi, mengalami demam panas sehingga tidak boleh bangun. Dia merupakan batch terakhir yang terkena demam tersebut di dalam rumah sewa itu. Saya yang baru sembuh keluar membeli bubur nasi kepadanya. Teruk demamnya sehingga menyuap makanan pun tidak bermaya. Petang itu, selepas pulang dari membeli makanan kepadanya, saya bermain gitar disebelah dia yang sakit bagai menunggu Izrail datang memanggil. Tiba-tiba, sahabat-sahabat saya yang lain yang bermain sepak raga di luar, berlari bagai orang tak cukup tanah meluru masuk ke dalam rumah dan terus ke tingkat atas. Saya yang terkejut bertanyakan mereka apa yang berlaku? Sett, pelari di kedudukan kedua akhir hanya menjerit, “Tabligh! Tabligh! Selamatkan diri!!!”.
Baru saja melemparkan gitar ke tilam yang dihamparkan, terdengar beberapa pemuda dari jemaah tersebut memberi salam. Mereka sudah di depan pintu, dan saya yang baru hendak membuka langkah seribu memberhentikan langkah tersebut serta merta bila menyedari mereka sudah ternampak saya. Saya menoleh ke belakang untuk melihat samada Pak Dee masih di situ atau tidak. Saya terkejut melihat Pak Dee yang tadi tidak mampu hatta untuk menyuap bubur nasi ke dalam mulutnya hilang entah ke mana. Wah.. sepantas Gaban menukar pakaian Pak Dee boleh hilang. Sampai begitu sekali sikap setia kawan sahabat-sahabat saya. Saya membuat satu teori kehilangan Pak Dee dengan menganggap dia diangkat oleh kawan-kawan saya yang lain ke atas. Selesai sesi dengan jemaah tabligh di bawah dan jemaah tersebut meneruskan pergerakan mereka ke rumah-rumah yang lain, satu persatu sahabat-sahabat saya ini turun bersalam sambil mencium tangan dan memeluk saya. Kata mereka, mahu mengambil berkat ahli syurga. Tak guna punya kawan-kawan. Saya ternampak Pak Dee turut turun sambil tersengih, lalu saya bertanyakan kepadanya siapa yang mengusungnya naik ke atas. ‘Aku terkejut tabligh mai, lepas tu aku terus lari naik atas..’ itu jawapan Pak Dee dalam loghat utara. Hebat bukan penangan jemaah tabligh ini. Yang demam dan tak boleh bangun pun boleh jadi sembuh kerana terkejut dengan kehadiran mereka. Saya tahu di luar sana perkara yang serupa juga turut berlaku. Buat apa hendak larikan diri dari mereka sedangkan mereka membawa urusan yang baik untuk kita. Jika dulu, semasa remaja, memang betul setiap kali mereka datang saya akan lari. Tetapi tidak kini kerana saya memahami apa yang yang cuba mereka buat dan tidak semua pemuda mempunyai keazaman mahu melihat manusia-manusia lain beriman kepada Allah berkumpul dan meninggalkan urusan masing-masing untuk waktu-waktu tertentu demi mengajak manusia lain kembali kepada Allah. Walaupun bukan salah seorang dari mereka, saya merupakan antara produk yang diasah kerap oleh mereka.
Berbalik kepada cerita di bilik saya di Kolej Jati siswa tadi. Bermula dari kemasukan salah seorang jemaah tabligh ke dalam bilik itu, saya mula terlibat dengan argumentasi berpanjangan dengan jemaah tabligh ini. Saya merupakan orang yang sangat susah untuk mempercayai sesuatu tanpa usul periksa terlebih dahulu. Saya mempunyai sedikit asas perbandingan agama kerana telah didedahkan dengan perkara ini semenjak di sekolah rendah. Saya sudah mula mengenali cara kritikan teks-teks agama lama sebelum itu. Tetapi saya tidak pernah serius di dalam usaha tersebut. Apabila kitab Fadhael Amal sering digunakan di dalam Ta’alim, saya mula mempertikaikan kesahihan segelintir hadis di dalamnya kerana ia terlalu berbunyi Israeliyyat dan malah kadang-kadang di luar lojik akal. Ini kerana saya biasa mendengar dan membacanya di dalam buku-buku sejarah bangsa Yahudi dan kritikan-kritikan teks Kristian dan kitab-kitab hadis sahih.
Tetapi saya bukan ahli di dalam bidang tersebut untuk menolak seratus peratus. Lalu saya mengambil apa yang baik dan mendiamkan apa yang saya musykilkan atas kebaikan bersama. Tetapi satu perkara yang saya belajar dari mereka ini ialah, mereka tidak pernah malu dan kedekut untuk menginfaq diri dan kehidupan mereka untuk Allah.
Di dalam kumpulan yang sentiasa hadir dalam aktiviti Ta’alim di dalam bilik saya, terdapat beberapa lelaki yang sifat dan kelakuan mereka sedikit lembut jika dibandingkan dengan yang lain. Lembut bukan bererti mereka tidak jantan. Jantan mereka melebihi saya dalam memberanikan diri berdakwah kepada orang lain. Kelembutan sifat mereka di dalam kejantanan yang masih dijaga, memberikan mereka kelebihan di dalam ketegaran mereka dalam mencapai misi dan objektif dakwah. Mereka petah berbicara dan bicara mereka sentiasa penuh dengan semangat.
Jika anda biasa ketemu dengan kumpulan tabligh, pasti ajakan ke masjid menjadi antara agenda utama. Saya yang pada waktu itu kini tinggal di dalam satu bilik dengan salah seorang daripada mereka, mencipta hampir 180 alasan, satu alasan untuk setiap hari dalam semester itu untuk mengelak daripada mengikutnya keluar dan menginfaqkan masa di jalan Allah di masjid-masjid berdekatan.
Sebelum cuti semester, beberapa orang dari jemaah ini mengajak saya dan drummer band saya, Adybogart, untuk keluar di jalan Allah sekurang-kurangnya tiga hari di masjid sekitar Shah Alam. Diberitahukan mereka, bahawa selepas sembahyang Jumaaat pada hari exam terakhir saya, mereka akan datang menjemput saya dan Adybogat untuk keluar di jalan Allah. Mengetahui semua itu, saya dan drummer saya membuat plan ABC (Angkut Barang dan Cabut!). Selepas solat Jumaat di Pusat Islam UiTM, saya bergegas pulang dengan sahabat saya untuk melaksanakan plan ABC tadi. Saya yang sedikit lembab dalam mengemas barang, telah ditinggalkan drummer saya di tingkat empat sambil dia menunggu di bawah. Oleh kerana telefon bimbit belum ada, kelibat jemaah tabligh yang mahu menjemput saya dan drummer saya tadi, hanya disedari kehadiran mereka oleh drummer saya tanpa boleh dia memberikan amaran kepada saya. Drummer saya mengambil langkah drastik untuk terus ke plan C.. ya.. terus cabut dan tinggal beg di bawah untuk diambil kemudian nanti. Plan ABC saya sudah bertukar menjadi ABC Dead, sama macam nama kumpulan ABC Dead dianggotai brader Kuman dulu.
Saya sudah terkepung dan tidak boleh lari ke mana. Mereka menunggu di bawah bersebelahan Dewan Makan menghadap Blok D. Mahu tak mahu saya terpaksa turun juga dan berjumpa dengan mereka. Saya cuba memberikan pelbagai alasan kepada mereka. Mereka tidak memaksa saya, tetapi saya berasa malu untuk menolak ajakan mereka tanpa alasan kukuh.
Tetapi semua alasan yang diada-adakan itu dipatahkan oleh sahabat kepada room-mate saya dengan satu soalan yang sehingga kini menghantui saya. Lelaki dari jemaah tabligh yang berpewatakan sedikit lemah lembut itu membisukan saya secara total dengan soalannya kembali. Suaranya lembut tetapi dalam nada yang tegas dan serius dia bertanyakan saya soalan berikut:
“Nizam.. antara percaya dan yakin Nizam kepada Allah, kedudukan Nizam di mana?”
Dunia seakan-akan sebuah babak di dalam filem Vanilla Sky di mana bandar New York tiba-tiba sunyi sepi tanpa penghuni kecuali Tom Cruise tergamam ditengah-tengahnya. Itulah yang saya rasakan.. Owh.. bukan merasakan diri seperti Tom Cruise, jauh panggang dari api, tapi merasakan dunia sunyi seperti di dalam babak tersebut. Apa yang dimaksudkan lelaki tersebut? Percaya dan yakin.. apa bezanya?
“Kedua-keduanya, saya percaya dan yakin kepada Allah,” itu jawapan saya dengan harapan boleh mengelakkan diri dari diangkut ‘keluar ke jalan Allah’.
“Jika yakin, ia bermakna Nizam turut percaya kepada Allah. Tetapi jika percaya, tidaklah bererti Nizam sangat yakin kepada Allah.” Wah.. semakin keliru saya dibuatnya. Saya yang keliru meminta penjelasan.
Saya tidak ingat namanya, tetapi yang saya ingat dia menjelaskan kepada saya pada ketika itu bahawa percaya kepada kewujudan Tuhan itu hanyalah satu fitrah yang ditanamkan Allah ke dalam setiap jiwa manusia dan makhluk berakal. Fitrah semulajadi manusia itu ialah menginginkan kepada agama. Tiada siapa pun boleh nafikan perkara ini. Semua orang mencari Tuhan. Cuma bezanya seorang Muslim dengan manusia yang memeluk agama lain ialah, mereka sudah pun kembali kepada jalan fitrah Allah. Bahawa kepercayaan mereka bahawa Tuhan itu ada sudah pun membawa mereka kepada perakuan Syahadah yang mengiktirafkan tiada Tuhan selain Allah. Tetapi percaya kepada Allah itu tidak sama dengan yakin kepada Allah. Saya yang masih keliru dengan apa yang dinyatakannya memintanya memberikan penjelasan.
“Pernah menonton silap mata?” apalah punya gila soalan tak ada kena mengena macam ni diajukan pula kepada saya. Lalu saya anggukkan saja. Waktu itu belum ada siri-siri street magician seperti David Blaine dan sebagainya. Satu-satunya figura yang diperkatakan hebat dalam bidang silap mata ini ialah David Copperfield. Maka dialah yang menjadi objek imaginasi saya.
“Pernah tengok pertunjukan di mana ahli silap mata itu mengarahkan salah seorang pembantunya berdiri berhampiran dinding, lalu diletakkan sebiji epal di atas kepala pembantunya untuk dipanahnya dengan sebuah crossbow?” tanya lelaki berpewatakan lembut itu lagi. Saya masih mengangguk tidak faham ke mana cerita ini akan dibawakan untuk bertemu kaitannya dengan persoalan antara yakin dan percaya.
“Bayangkan Nizam merupakan penonton pertunjukan tersebut dan duduk di tempat paling hadapan dan menghadap kepada ahli silap mata tersebut, lalu dia bertanyakan kepada semua penonton ‘Siapa di antara kamu yang percaya saya akan dapat memanah buah epal tersebut dengan tepat dan memberi keselamatan kepada pembantu saya ini, sila angkat tangan?’, hanya seorang dua sahaja kelihatan mengangkat tangan tetapi yang lain hanya mendiamkan diri. Nizam bagaimana? Hendak angkat tangan atau tidak?” tanya lelaki Tabligh itu lagi.
“Hanya setelah dia menunjukkan contoh kebolehannya dengan memanah sekali, barulah saya percaya dan angkat tangan..” itu jawapan saya.
“Ok... setelah bertanyakan kepada penonton tadi, ahli silap mata tadi pun terus memanah buah epal tersebut dan tepat mengenai buah epal di atas kepala pembantunya tanpa mencederakan pembantunya, semua penonton bertepuk dan bersorak kagum dengan kebolehan ahli silap mata itu. Kemudian dia kembali menghadap penonton dan bertanyakan soalan lagi ‘Apakah kalian kini percaya?’. Semuanya secara serentak menjawab ‘Ya!’. Lalu dia bertanyakan lagi, “Kini.... siapa di antara kalian yang yakin dengan kebolehan saya memanah dengan tepat dan memastikan keselamatan pembantu saya terjamin, sila angkat tangan..” Hampir keseluruhan dewan tersebut mengangkat tangan mendabik dada menunjukkan mereka benar-benar yakin kepada kebolehan ahli silap mata terbabit. Kemudian dia berkata, ‘Saya tidak yakin kamu benar-benar yakin dengan saya, kamu semua hanya percayakan janji saya itu, tetapi kamu tidak yakin akan janji saya,kamu semua sebenarnya hipokrit!’ Para hadirin mula kebingungan. Melihatkan penonton berkeadaan seperti mula tidak puas hati dengan tuduhan hipokrit itu tadi, maka ahli silap mata itu pun bertanyakan kepada semua penontonnya lagi, “Jika kamu semua benar-benar yakin dengan saya, siapa di antara kamu yang benar-benar yakin untuk mengambilalih tempat pembantu saya ini dan meletakkan epal dikepalanya untuk saya panahi.. sila angkat tangan?” Terdiam semua hadirin. Tiada siapa pun berani mengangkat tangan. Semua terdiam kaku. Lalu ahli silap mata itu berkata, ‘Bukankah saya sudah cakapkan, bahawa kamu semua cuma percaya akan kemampuan, kebolehan dan janji saya, tetapi tidak seorang pun dari kamu kecuali pembantu saya ini yang benar-benar yakin dengan saya..’. Jadi Nizam, di antara percaya dan yakin akan janji Allah, bahawa debu-debu yang melekat pada tubuh-tubuh muslim yang keluar mengajak yang ma’ruf di jalan Allah, akan mengelakkan bahagian itu dari menjadi jilatan api neraka, di mana kedudukan Nizam...?”
Sedar-sedar tujuh hari saya tidur di masjid sekitar Shah Alam mengikut mereka bertabligh dari rumah ke rumah. Muka yang pada mulanya terasa tebal itu dipandang sinis sepanjang berjalan dengan mereka dilupakan kerana mahu kemampuan diri menghampiri kedudukan orang-orang yang benar-benar yakin kepada janji-janji Allah... Itu sedikit cerita kecil saya satu ketika dahulu.. Bagaimana pula dengan keadaan kita di dalam setiap pekerjaan kita hari ini. Apakah kita yakin atau hanya sekadar percaya bahawa setiap yang baik itu ada balasannya di sisi Allah di akhirat nanti? Muhasabah kembali setiap amal perbuatan kita.. apakah benar kita yakin atau hanya sekadar percaya..? Tahap yakin pemuda tabligh yang lemah lembut itu, sehinggakan setiap pekerjaannya ditinggalkan biarpun kerja itu hampir selesai 15 minit sebelum panggilan azan. Setiap perkara yang mahu dilakukannya diletakkan kehendak Allah mengatasi kehendak naluri dirinya sendiri, yang was-was ditinggalkan secara total biar pun bisikan hati sentiasa merenggut jiwanya melakukan yang lain. Keuntungan dunia diletakkan pada prioriti sekunder tetapi tidak dijauhi. Saya masih cuba keras berusaha ke arah itu.. terkadang gagal terkadang hanya sekadar menghampiri.. Semoga Allah meletakkan kita di dalam kategori hamba-hamba Allah yang benar-benar yakin dengan janji Allah.. kalau ada kesempatan saya sambung kisah-kisah sebegini di masa akan datang. Wallahua’lam..
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.