Tuesday, July 1, 2008

InsyaAllah... Perjalanan akan diteruskan....

13
Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera semua... Lama dibiarkan ruang ini kosong tanpa cerita dan berita. Bukan kerana suka-suka. Tapi bermusafir jauh dari tempat biasa. Tanpa laptop dan kemudahan internet, semua usaha yang sedang dilakukan terbengkalai buat sementara waktu.
Disangkakan dan dirancangkan, apabila saja pulang ingin disambung semua kerja tertangguh termasuk dialog dengan flaneldez dan rakan-rakan seangkatannya di Youtube. Tetapi perancangan Allah lebih hebat dan pastinya berlaku dan terjadi tanpa siapa dapat menghalang.
Sedang bersarapan ditempat kerja dan selepas membuat temujanji dengan salah seorang sahabat setia di sini, saudara Abdullah Jaafar yang mempunyai urusan kerja di Pulau Pinang, saya menerima satu panggilan dari isteri yang menyatakan masanya sudah sampai. Ya.. memang masanya sudah sampai sehinggakan saya panik seketika. Manakan tidak, inilah ketika yang sudah ditunggu tiga tahun lamanya.
Temujanji dengan ABJ terpaksa saya batalkan. Maafkan saya ABJ, ia berlaku diluar perancangan. Mungkin dilain waktu diizinkan Allah dapat kita berborak sekali lagi bila ke sini. Sampai saja dirumah, lantas isteri saya bawakan ke hospital pada jam 0930 pagi. Selesai urusan pendaftaran, jam menunjukkan hampir jam 10 pagi. Tidak lama kemudian, tepat jam 1029 pagi, Nur Mifthahul Jannah Haaz dilahirkan dengan selamat biarpun hanya berusia 7 bulan dalam kandungan. Maha Suci Allah, Segala Puji Bagi Allah, Tiada Tuhan selain Allah dan Allah Maha Besar… Ampunkanlah segala kesilapan dan dosa yang pernah dilakukan dan jadikanlah kami bersyukur dengan nikmat ini.
Rutin harian secara automatik terpaksa ditukar dan kami sehingga kini terpaksa berulang alik beberapa kali setiap hari ke Hospital bagi menjenguk, membuat medical checkup dan bagi tujuan menyusukan Nur Mifthahul Jannah Haaz.
Nur Mifthahul Jannah Haaz membawa maksud, ‘Cahaya Anak Kunci Syurga’, di mana Haaz pula merupakan nama keturunan. Mifthahul Jannah ialah Syahadah kerana tanpa Syahadah, pintu syurga tidak akan dibuka untuk kita. Semoga Allah memberikan takdir, masa depan dan jodoh yang baik dalam kehidupan dunia dan akhirat kepada puteri sulung kami ini dan semoga dia menjadi Cahaya Pembawa Syahadah dan jalan lurus bagi semua yang berada disekelilingnya dan dirinya sendiri. Semoga Allah memasukkannya ke dalam golongan mukminah yang berfungsi sebagaimana yang dikehendaki Allah dalam tempoh hayatnya di dunia ini sebagai salah seorang dari 6 billion khalifah Allah di sini nanti.Semoga amanah Allah kepada kami ini dijauhkan Allah dari segala bentuk keburukan dunia dan akhirat dan diberikan segala kebaikan dunia dan akhirat kepadanya.
Terima Kasih atas semua komen dan kunjungan anda semua semasa ketiadaan saya di sini dan terima kasih juga kepada semua yang menggantikan tempat saya menunaikan fardu kifayah berdialog dan berdebat dengan flaneldez di youtube. InsyaAllah, Email-email anda akan cuba saya balas satu persatu sebaik Nur Mifthahul Jannah Haaz sihat sepenuhnya. Mifthahul jannah sudah pun dibenarkan pulang dan dikesempatan yang ada ini saya menaip posting ini. InsyaAllah saya akan menyambung penulisan seperti biasa setelah puteri kami ini sihat sepenuhnya..

Segala puji bagi Allah yang mengurniakan zuriat bagi kami,sesungguhnya Allah Maha Mendengar doa permohonan.
Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang yang berserah diri kepada-Mu, dan jadikanlah keturunan kami umat yang berserah diri kepada-Mu dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani; 1
Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang, dan zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doaku. 2.
Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal pembalasan.3
Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah engkau bebankan kepada orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kami, dan ampunkanlah kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; maka tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir. 4 Amiin.


1. Al Baqarah ayat 128
2. Ibrahim ayat 40
3. Ibrahim ayat 41
4. Al Baqarah ayat 286
Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

13 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum

lama tak dengar khabar tuan..

alhamdulillah.. dapat baby baru.. bertambah sorang lagi umat Nabi ..

Anonymous said...

Salam.. tahniah diatas kelahiran puteri kesayangan..

dah lama menunggu update terbaru dari blog ni..

adi said...

tahniah.... tahniah...

Anonymous said...

Salam.. patutlah dah lama tak posting artikel. dah naik 'pangkat' rupanya.. tahniah. moga puteri kecil itu dianugerahkan keperibadian wanita solehah. Moga saudara dan isteri juga diberikan kesihatan yang baik bagi menjalankan tanggungjawab 'pangkat' tersebut.

suara said...

Salam dan tahniah untuk anda dan isteri... Doa saya juga teriring untuk anakanda, semoga hadirnya menyertai kita dibumi Allah ini akan menyumbangkan perkembangan generasi Islam yang lebih gagah.

Anonymous said...

harap saudara dapat beri penjelasan atau sedikit komen...

http://www.youtube.com/watch?v=0dRm_1OG4oE&feature=related

Anonymous said...

moga cepat sihat anak daranya..moga juga tabah kepada saudara dan isteri. dugaan manusia ini datang dalam pelbagai bentuk.

Anonymous said...

apa kabar blogger kita? anak dara? moga segala cepat pulih ya. sungguh Allah Maha Bijaksana. pastinya Dia tahu apa yg terbaik untuk kita.

Anonymous said...

salam.. lama menghilang. bagaimana dgn puteri baru?semoga tabah menghadapi dugaan.

Najib Ariyan Ali Basha said...

Bersempena dengan Aidil Fitri tahun 2008 ini, Abang Bear mintak maaf atas segala keterlanjuran .....kita melangkah meninggalkan ramadhan yg barakah dgn berat hatinya di samping gembira menyambut tibanya syawal yg mulia.... semoga persaudaraan kita kekal dan sentiasa dalam redha Allah.....

Ketupat diletak di atas para
Rendang diletak di bawah titi
Andai ada tersilap bahasa
Maaf dipinta menyusun jari

Adat jauh kata mengata
Adat dekat puji memuji
Andai ada tersilap kata
Maaf dipinta sepuluh jari

Sungai disusur sepanjang sehari
Dalam gelap menangkap ikan
Kami menyusun sepuluh jari
Salah dan silap harap maafkan

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf zahir dan batin dari Abang Bear

wassalam

BurungBelatuk said...

askum....salam singgah n salam pkenalan...selamat berhari raya...anyway, tahniah..

OTAI (Otak Tenang Akal Inovatif) said...

saya LIHAT ALAMAT KAMU DALAM YOUTUBE MENGENAI PEMBOHONGAN SIKSA KUBUR

blog saya

http://aberamly.wordpress.com

http://ramly0tai.blogspot.com

http://awanggedeber.blogspot.com

Anonymous said...

TAHNIAH DIATAS KEHADIRAN PUTERI KESAYANGAN...SALAM UKHWAH...saya link blog saudara.