Tuesday, September 3, 2019

Minyak Naik, Naik Minyak.


Sebagai rakyat, kami faham kenapa harga minyak perlu dinaikkan. Harganya di dalam pasaran telah melonjak naik sejak Julai lalu di dalam minggu-minggu terdekat ini harganya semakin mendaki naik. Tetapi beberapa persoalan berikut harus ditangani Ah Jib Gor dengan lebih baik.


1)       Kenaikan harga minyak pasti akan meningkatkan harga kos projek-projek kerajaan sediada. Ketirisan masih berlaku sepertimana yang dilaporkan di dalam laporan Audit Negara. Pemerintah harus bersungguh menangani permasalahan ini sebagaimana yang dijanjikan pemerintah di dalam pengumuman kenaikan harga minyak.

2)      Tolong tingkatkan kecekapan serta kebolehpercayaan rakyat kepada sistem pengangkutan awam. Ia janji yang telah diberikan pada kali terakhir minyak dinaikkan mendadak  sehingga 78 sen ketika era perdana menteri sebelum ini. Yang jelas ternampak, hanya beberapa bandar besar mendapat manfaat ini. Ia masih belum meluas untuk membolehkan rakyat mempunyai lain pilihan selain daripada terpaksa memandu kenderaan sendiri ke tempat kerja dan bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi lain dengan kos yang lebih murah dan keadaan yang lebih selesa.



3)      Penekanan kepada aspek pemantauan projek yang sedang berjalan supaya ianya dapat dilaksanakan mengikut perancangan asal tanpa melibatkan peningkatan kos yang tidak perlu. Bagi mana-mana kontraktor projek mega yang tidak dapat menyiapkan projek mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan, ketatkan syarat pemberian EOT (Extension of Time) dan jalankan LAD (Liquidated & Ascertained Damages) sekiranya kegagalan menyiapkan projek disebabkan oleh masalah pihak kontraktor. Kita tidak mahu melihat kontraktor dilepaskan begitu sahaja dan dapat bersantai ketika projek menuju tarikh penyiapan tanpa mematuhi perancangan kemajuan kerja yang telah ditetapkan. Budaya bersahaja kerana sudah biasa menjangkakan bahawa mereka tidak akan dikenakan LAD kerana pengaruh politik harus dihapuskan.

4)      Budaya penyelenggaraan yang cekap dan mematuhi masa yang ditetapkan harus ditekankan serta dipastikan berjalan. Kebanyakan pembaziran kos sehingga menyebabkan perlunya proses pembelian serta penggantian peralatan yang tidak perlu adalah disebabkan oleh budaya penyelenggraan yang lem,ah

5)      Tidak cekapnya jabatan-jabatan kerajaan melaksanakan kerja-kerja tanpa perancangan teliti sehingga menyebabkan berlakunya kes satu kerja perlu dibuat sehinga beberapa kali di dalam setahun. Contohnya, kerja penurapan serta pengorekan jalan yang tidak mengambilkira kewujudan serta kedudukan lurang serta kedudukan utiliti telekom, fibre optik, paip bekalan air dan kumbahan yang sediada. Turap serta pengorekan jalan sehingga menutup kemudahan ini yang kemudiannya perlu dinaikkan dan dialihkan kembali setiap kali jalan diturap dan digali. Tiada perancangan bersepadu dikalangan JKR, TNB, IWK, TM, Syarikat Telekomunikasi, Pihak berkuasa Air dan Pihak Berkuasa Tempatan. Kesannya, penjimatan yang banyak yang seharusnya mampu dijimatkan dibazirkan dengan ketidakmampuan PBT untuk mengatur satu pertemuan antara jabatan-jabatan ini bagi membentangkan perancangan pembangunan mereka di dalam masa setahun. Kesannya, pembaziran dalam kerja-kerja yg tidak sepatutnya perlu dijalankan berlaku. Beberapa kali dalam setahun kabel-kabel milik TNB terpaksa diubah bagi memberi laluan kepada kabel telekomunikasi, begitu juga sebaliknya termasuk dalam kerja penanaman paip-paip dan konduit baru. Tiada perancangan bersepadu menyebabkan berlakunya ketirisan yang boleh membantu kerajaan mengawal defisit. RM 3.3. Billion yang dijimatkan itu boleh diperolehi dengan penjimatan melalui perancangan bersepadu diseluruh Malaysia.

6)      Penguatkuasaan undang-undang secara tegas. Jika penguatkuasaan undang-undang dijalankan dengan tegas, kes-kes kontroversi seperti perobohan bangunan tambahan rumah ibadat yang berlaku baru-baru ini tidak akan menjadi satu isu nasional jika ianya ditangani sejak dari mula bangunan itu dibina. Semua ini melibatkan kos dan masa yang berharga bagi mencapai penyelesaian yang disenangi semua pihak. Jika pemerintah berterusan membiarkan budaya membiarkan undang-undang terus berhabuk di dalam buku serta almari pentadbiran tanpa dikuatkuasakan, bagaimana mungkin penjimatan dapat digalakkan di dalam budaya pentadbiran tempatan.

7) Kerajaan mensasarkan untuk membantu golongan berpendapatan rendah dengan pendapatan RM 3000 ke bawah dengan peningkatan BRIM pada tahun ini. Bagaimana pula dengan golongan pertengahan bergaji antara RM 3001 hingga RM 5,000 yg memiliki keluarga di tengah bandar?  
Golongan ini merupakan golongan menengah yang terbesar di dalam negara. Kebanyakan eksekutif di dalam projek kendalian saya merupakan golongan ini. Mereka bekerja dengan perunding kejuruteraan dengan kadar penggunaan kenderaan yang kerap. Tuntutan perjalanan dari 3,000 hingga 7,000 km secara purata setiap bulan melibatkan perbelanjaan petrol dan diesel yang jelas tinggi. Jelas mereka inilah yang akan terjejas teruk dengan peningkatan kos ini.



Untuk membantu mereka menyerap peningkatan kos yang perlu dikeluarkan untuk melaksanakan kerja, syarikat terpaksa meningkatkan bayaran tuntutan perjalanan. Ia melibatkan peningkatan kos kepada syarikat. Peningkatan kos kepada syarikat bermakna, peningkatan kos perkhidmatan yang diberikan kepada klien termasuk pihak swasta dan kerajaan. Peningkatan kos tuntutan kepada klien juga akan meningkatkan kos perbelanjaan kerajaan. Jadi, bukankah penjimatan RM 3.3 billion itu akan menjadi sekadar sebuah fantasi kerana ia akan turut menarik duit poket kerajaan untuk terus tiris di dalam peningkatan kos projek. Boleh dikatakan majoriti daripada projek-projek pemberian kerajaan yang mempunyai Bills of Quantities (BQ), menggunakan kontrak standard PWD 203 A.


Kontrak standard ini memberikan keadilan kepada mana-mana kontraktor yang menjalankan kerja dengan klausa 30 sekiranya berlaku peningkatan kos. Peningkatan harga diesel akan meningkatkan kos bahan mentah di dalam peratusan tertentu. Ia sekaligus akan meningkatkan kos-kos projek yang sedang dijalankan serta yang bakal ditender oleh pemerintah. Ia akan menyerap kebanyakan dari penjimatan yang sedang cuba diusahkan oleh kerajaan sekarang. Bayangkan peningkatan kos sebanyak 1% untuk projek-projek yang sedang berjalan serta bakal dijalankan berikut :

1)       Keretapi Berkembar Rawang-Ipoh                   : RM 4.34 Bil + Kos Tambahan 1.43 Bil
2)      Landasan Berkembar Johor                                 : RM 7.2  billion
3)      Loji Langat & Penyaluran Air Mentah Pahang              : RM 8.9 Billion
4)      Keretapi Elektrik KL-Singapura                                         : RM 20 hingga RM 30 Billion.

Keseluruhan jumlah anggaran kos projek di atas berjumlah  RM 41.87 billion minimum. Bayangkan peningkatan kos bahan mentah menyumbang hanya 1%  kenaikan kos di dalam fantasi utopia kita. Ia akan melibatkan peningkatan kos sebanyak RM 418 juta. Itu hanya untuk anggaran 4 projek dari sekian banyak projek milik kerajaan di atas.

Rakyat faham bahawa pembangunan serta projek-projek tersebut menggerakkan ekonomi. Tanpa ekonomi yang bergerak, pergerakan wang menjadi statik dan memberi impak yang negatif kepada ekonomi sesebuah negara. Tetapi mereka juga inginkan supaya pemerintah mencari remedi di dalam bentuk penjimatan lain terlebih dahulu seperti menangani ketirisan serta ketidakcekapan Jabatan-Jabatan kerajaan yang kelihatan saban tahun membenarkan pembaziran berlaku tanpa kawalan yang jelas. Ia jelas dapat dilihat di dalam laporan Audit Negara yang dibentangkan saban tahun.

Meningkatkan harga minyak merupakan solusi mudah dari sekumpulan penasihat ekonomi yang mahukan segalanya berlaku di dalam tempoh segera. Benar ianya termasuk di dalam perbelanjaan yang menarik keluar wang dari poket kerajaan keluar dari sistem perancangan perbelanjaan yang lebih stabil. Perbelanjaan ke atas subsidi minyak, tidak pernah tetap dan stabil. Ia tambah merunsingkan dan menjerut poket di dalam keadaan pergolakan politik di Timur Tengah dengan ancaman perang proksi oleh UAE dan Arab Saudi di Syria dan masuk campurnya Amerika dan Russia bagi memainkan peranan proksi di dalam percaturan timur tengah yang sedang berlaku sekarang. 

Semuanya menjurus kepada ketidakstabilan harga minyak. Semoga ia tidak melonjak kepada 140 Dollar setong seperti 2008. Ia benar-benar memeritkan semua pihak.


Sudah mula terdengar cakap-cakap orang dengan spekulasi kedai kopi yang menyatakan percaturan tentang peningkatan harga minyak berlaku sebulan sebelum pemilihan UMNO yang dijadualkan pada Oktober 2013. Manusia yang mahu mengambil kesempatan akan menyusun semua kepingan puzzle ini untuk membentuk gambaran wajah pemerintah sepertimana yang mereka mahukan di dalam cita-cita politik mereka. Sentimen yang dibentuk akan mengundang pemikiran rasional tercampak ke parit dan longkang. Itu kuasa pembentukan persepsi dan sentimen. Ramai yang merasakan canggung bila ada yang menyusun kepingan puzzle di dalam bentuk potret kemungkinan berkenaan.

Walaupun rakyat masih faham bahawa peningkatan ini diperingkat global memang tidak dapat dikawal. Tetapi jangan pula diambil mudah dengan rasa faham ini kerana rakyat tetap mahukan pihak pemerintah untuk menyusun penjimatan melalui ruang-ruang kelemahan sediada yang perlu diperbaiki terlebih dahulu sebelum menyentuh setiap sen di dalam periuk nasi mereka yang semakin mengecil.

Pemerintah sudah tidak punyai ramai ‘kawan’, jadi jagalah mereka-mereka yang masih sudi berkawan dengannya di masa susah dan senang. Kebanyakan mereka ialah golongan Melayu Islam yang membentuk golongan menengah dan rendah teramai di bumi pecahan kecil Nusantara ini.



Rujukan Anggaran Kos (Bukan Kos Sebenar) :
4)      Kos pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2) dan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang dan Selangor (PPAMPS) RM 8.9 Billion http://www.sinarharian.com.my/nasional/kos-loji-langat-2-dan-ppamps-lebih-rendah-berbanding-saluran-paip-dari-tasik-kenyir-1.65977




Friday, February 15, 2019

Rak Rak Rum!

Semakin bejat pengisian naskah drama dan filem kita. Islami mereka ialah pada tudung dan langkah terkepit. Benar-benar sempit. Islami pada penampilan dan kosmetik drama, tetapi semua batas hukum dilanggar, dirodok dan disodok. Berpeluk sakan sampai tidak ingat akhirat. Sebaik lesen besar berlakon sebagai suami isteri diberikan pengarah, ia diangkat sebagai wahyu baharu dari otoriti yang lebih besar dari Tuhan untuk melanggar hukum-hukum Tuhan tanpa rasa bersalah.

“Itu kehendak pengarah. Saya hanya menjalankan tugas. Semua ini tuntutan skrip.”
Kuyup lencun habis basah dikahakkan alasan tersebut untuk sesiapa sahaja yang bertanyakan perihal itu kepada mereka. Bagaimana pula dengan kehendak Tuhan, serta tuntutan agama? Ke parit dan longkang mana ia dihumbankan?

Patutlah kualiti filem dan drama kita semakin hari semakin menuju ke loji kumbahan. Jika sebelum ini, mereka berbangga dengan hasil kutipan. Tahun lepas dan tahun ini, kutipan semakin merudum. Sama merudumnya dengan sisi kebejatan moral di dalam sampah-sampah di dalam gelap yang ditawarkan kepada penonton Melayu. Rak Rak Rum jatuh berderai rumah nenek bagai dalam cerita ram-ram pisang.

Tak tegur makin bejat. Tapi kalau ditegur sakan mereka melompat-lompat.
“Penonton sekarang sudah bijak.” Itu satu lagi klise. Entah Einstein mana yang tolong membuat ukuran. Mungkin kerana penonton semakin bijaklah mereka kini berbelanja dengan bijak dengan menolak untuk menghabiskan duit dan wang mereka dengan menyokong industri filem kita.

Bukan semua insan seni dan pengarah berfikiran demikian, Cuma majority daripada mereka yang memalitkan lumpur kepada segelintir minoriti. Ini kisah yang malang. Medium yang seharusnya menjadi penggerak kekuatan generasi Islam menjadi kunyahan manusia-manusia dengan pemikiran yang boleh dipertikaikan.

Menggeleng kepala melihat bagaimana watak seorang ‘muslimah’ tidak dapat membendung nafsu lantas mengambil tindakan drastik meraba secara rakus punggung pelakon lelaki di dalam sedutan drama di bawah. Seolah-olah itulah punggung terakhir di dalam dunia yang boleh diramasnya.

Oh maaf.. saya yang tersilap. Saya tidak patut menegur. Itu semua kehendak pengarah rupanya. Terlalu berani dan cabul penulisan ini menegur pengarah dan penerbit yang seolah-olah mempunyai Otoriti yang lebih tinggi dari Tuhan semesta alam.
Maaf sekali lagi.. saya terlupa. Itu semua tuntutan skrip rupanya.

Maaf.. sekali lagi saya terlupa. Saya terlupa bahawa mereka telah mendapat wahyu dari tuan pengarah untuk membatalkan hukum-hukum Tuhan.

“Penonton sekarang sudah bijak!”

Oh Maafkan saya sekali lagi kerana tidak sebijak penonton yang menonton drama-drama dan filem-filem tersebut.

“Kami sudah merujuk ustaz dan kitab-kitab besar,”

Oh.. kalau begitu saya sedang hidup sebagai orang jahiliah.Maafkan saya sekali lagi.
“Sebagai manusia yang lebih bijak mengenai bidang seni Negara, kamilah yang lebih layak untuk menentukan halatuju industri seni Negara.”

Oh.. kalau begitu, saya terus tersilap membuat judgement awal kepada apa yang saya rasa sebagai bejat. Cuma tinggal satu persoalan, jika tuan-tuan pemain industri ini terlalu super-duper bijak dan wajib menerima sebelas anugerah nobel di dalam semua hal-hal tersebut, kenapa situasi kewangan FINAS setelah diserahkan kepada pemain industri turut rak rak rum seperti rumah nenek di dalam cerita ram ram pisang?


Inilah jadinya bila pengarah menjadi Tuhan dan skrip menjadi kitab panduan. Jahanam. Rak rak rum!


Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email