Friday, October 5, 2012

Sejarah Ringkas Pengumpulan al Qur'an.

2
Bismillahir Rahmanir Raheem..

Ringkasan sejarah pengumpulan al Qur'an ini sepatutnya dimasukkan ke ruang komen untuk permintaan Saudari Hasanah. Oleh kerana ruang komen mempunyai ruang lapang yang terhad, maka saya muatkan di sini. Ia ditulis seringkas mungkin dan sedapat mungkin memberikan gambaran asas kepada permintaan saudari Hasanah. Maaf kerana ianya sedikit lewat dan sudah melewati bulan Ramadhan seperti yang diharapkan. Jika ada manfaat yang membawa kebaikan di dunia dan akhirat untuk usaha ini, semoga kita semua mendapat bahagian yang membahagiakan nanti dari usaha kecil ini. Berikut asas dan ringkasan sejarah pengumpulan al Qur'an.


Al Qur’an memerupakan Kalamullah dan mempunyai kitab Induk yang tersimpan di Lauh Mahfuz. Satu persatu ayatnya disalin oleh para Malaikat. Kemudian disampaikan kepada Muhammad s.a.w. mengikut arahan dan perintah Allah pada waktu-waktu dan ketika yang bersesuaian. Ia disampaikan Jibril a.s. kepada Muhammad s.a.w. mengikut serta menyentuh perkara-perkara yang berlaku di dalam keadaan umatnya pada ketika itu.

Al Qur’an pertama kalinya diturunkan pada malam Qadr (Lailatul Qadr). Dalilnya : Surah ad Dukhan ayat 1 hingga 3, al Qadr ayat 1 hingga 2 dan al Baqarah ayat 185.

Ayat pertama : Surah al Alaq ayat 1 hingga 5.

Surah pertama yang diturunkan dengan lengkap : al Muddatsir.

Surah terakhir diwahyukan : At Taubah

Ayat terakhir yang diwahyukan : al Baqarah ayat 281. Sebenarnya terdapat banyak pendapat dari ramai golongan sahabat mengenai ayat apa sebenarnya merupakan ayat terakhir yang diwahyukan Allah kepada Rasulullah s.a.w.. Para sahabat memberikan jawapan berbeza-beza, mungkin disebabkan mereka merujuk pengalaman mereka sendiri yang menerima ayat terakhir ketika mereka bersama dengan Rasulullah s.a.w.. Saya mengambil ayat 281 surah al Baqarah sebagai ayat terakhir kerana seluruh penulisan ringkas yang dimuatkan ini mengmbil kitab Syarah ‘ulumul Qur’an oleh Syeikh Muhammad Alias-Shabuni. Beliau menghuraikan beberapa hadis yang menguatkan hujah ayat 281 al Baqarah sebagai ayat terakhir termasuk menyatakan bahawa ayat tersebut diwahyukan 9 malam sebelum Rasulullah s.a.w. wafat. Bagi saya sendiri, perkara mengenai ayat mana yang terakhir bukanlah perkara pokok untuk diberikan terlalu banyak perhatian. Yang perlu diberikan perhatian oleh umat Islam ialah, membaca, memahami serta mengamalkan seboleh mungkin sepenuhnya setiap apa yang Allah s.w.t. wahyukan kepada kita di dalam al Qur’an. Tanyakan kepada diri kita, tidakkah kita malu untuk mengaku diri Islam sedangkan al Qur’an yang menjadi tunggak kepada apa sebenarnya Islam, tidak pernah kita baca dan faham maksudnya sehingga habis? Kita semua perlu berusaha keras untuk memperbaiki kelemahan kita ini.

Al Qur’an mempunyai 6,236 ayat. Mempunyai 114 surah.

Dimulakan dengan kalimah Basmallah pada 113 surah dan satu surah iaitu at Taubah tidak dimulai dengan kalimah tersebut. Ia berkenaan laknat Tuhan kepada golongan yang bakal diperangi Rasulullah s.a.w. di dalam perang Tabuk. Tiada lagi belas dan rahmat ke atas mereka.

Walaupun surah at Taubah tidak dimulakan dengan kalimah Basmallah, jumlah kalimah tersebut di dalam al Qur’an tetap dihitung cukup pada jumlah 114. Ini kerana di dalam surah an Naml ayat  30, kalimah tersebut disebutkan di dalam kisah surat Nabi Sulaiman a.s. kepada Ratu Saba’ yang dimulakan dengan kalimah tersebut.

"Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): "Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani..

Al Qur’an diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w. dalam pelbagai cara :

a.       Jibril memasukkan secara terus ayat-ayat tersebut ke dalam hati baginda dalam keadaan baginda tidak melihat apa-apa. Satu rasa terbit di dalam hati Rasulullah s.a.w. bahawa baginda dapat merasakan wahyu itu telah berada dalam hatinya.

b.   Malaikat Jibril a.s. menyerupakan dirinya seperti seorang lelaki dan muncul di hadapan Rasulullah s.a.w. dan mengucapkan ayat kepada Baginda sehingga Baginda benar-benar dapat menghafaz ayat yang diturunkan itu.

c.       Wahyu datang kepadanya berserta bunyi loceng. Ini adalah cara yang paling berat dihadapi oleh Baginda sehingga keadaan baginda sangat panas walaupun ketika itu cuaca sangat sejuk.

d.     Jibril memperlihatkan dirinya yang sebenar sepertimana yang dialami oleh Baginda sewaktu turunnya ayat surah al-Muzammil.

Al Qur’an diturunkan kepada kaum Quraisy yang rata-rata masyarakatnya tidak tahu membaca. Kelebihan umat sebegini ialah, apabila mereka tidak mempunyai keupayaan untuk membaca, mereka mempuanyi keupayaan yang hebat pula di dalam menghafal. Hati mereka terang dan mereka tidak bergantung kepada bahan bacaan untuk merujuk sesuatu. Mereka ini sejak dari sebelum zaman Islam terkenal dengan kebolehan menghafal syair-syair indah yang panjang dan cerita-cerita yang disampaikan dari masa ke semasa. Mereka telah sedia dibentuk sebagai masyakat yang kuat daya hafalan. Jadi ianya tidak menjadi masalah apabila al Qur’an mula diwahyukan, mereka dengan segera dapat menangkap serta menghafal apa yang diwahyukan dengan mudah dan tanpa sebarang masalah.

Mereka juga tidak terdedah kepada pembohongan demi pembohongan atas nama agama yang sedang dilakukan secara meluas oleh kalangan ahli kitab pada ketika itu. Malah Muhammad s.a.w. merupakan seorang pemuda berpemikiran hebat tetapi baginda sendiri tidak tahu membaca. Ia dinyatakan Allah di dalam surah al Ankabut ayat 48 seperti berikut :

Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya Al-Quran ini, dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kananmu (kalaulah engkau dahulu pandai membaca dan menulis) tentulah ada alasan bagi orang-orang kafir yang menentang(mu) - akan merasa ragu-ragu (tentang kebenaranmu).

Sistem susunan ayat al Qur’an dibuat melalui ketetapan yang telah ditetapkan Allah yang disampaikan melalui Jibril. Ianya tidak disusun secara Kronologi. al Qur'an juga tidak disusun mengikut giliran turunnya ayat. Ia disusun menurut turutan yang telah ditetapkan Allah sepertimana Ia sebelum ini ditempatkan di Lauh Mahfuz. Perhatikan sejarah turunnya wahyu. Wahyu pertama yang disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. ialah ayat 1 hingga 5 surah al Alaq. Tetapi surah al Alaq tidak dilengkapkan sesudah ayat kelima. Ayat satu hingga 5 ini, dinyatakan oleh sebahagian besar ulama tafsir sebagai pengesahan pelantikan Muhammad s.a.w. sebagai seorang Nabi. Wahyu kedua yang diturunkan Allah kepada Muhammad s.a.w., berlaku setelah Muhammad s.a.w. tidak mendapat sebarang berita dan wahyu dari Allah dalam satu jeda masa tanpa wahyu sebelum surah Ad Muddatsir diwahyukan.

Penentuan susunan kedudukan surah-surah di dalam al Qur’an pula, terdapat tiga pendapat utama mengenainya :
a.    Pertama, Ia merupakan ketetapan yang telah ditentukan oleh Rasulullah s.a.w.
b.   Kedua, ia merupakan ijtihad para sahabat pada masa penyusunan al Qur’an dilakukan.
c.  Ketiga, ia bersandarkan kepada ketetapan Rasulullah s.a.w. dan sebahagiannya lagi bersandarkan kepada ijtihad para sahabat.

Jumhur Ulama, termasuk Al-Imam Malik, Al-Qadhi Abu Bakar bin Thayyib Al-Baqillani, lebih cenderung kepada pendapat kedua, iaitu berdasarkan ijtihad para sahabat. 2

Wahyu kemudian tidak turun dalam satu tempoh yang lama. Kemudian pada suatu hari, Jibril a.s. muncul dilangit lantas menyampaikan ayat dari surah al Mudatsir (Orang Yang Berselimut). Ayat ini pula ditafsirkan ulama’ tafsir sebagai pengesahan kepada perlantikan Muhammad s.a.w. sebagai seorang Rasul yang ditugaskan untuk menyampaikan Islam kepada seluruh manusia.

Ada surah-surah diturunkan sekaligus secara lengkap. Ada pula surah yang diturunkan secara peringkat demi peringkat mengikut situasi dan keadaan keperluan ummah pada ketika itu. Surah-surah ini diwahyukan dengan diselang seli oleh penurunan surah-surah yang lain. Ia seperti contoh di mana yang telah disebutkan di dalam perkara 4 di atas. Surah al Alaq yang masih belum dilengkapkan kemudian diwahyukan pula kepada Muhammad s.a.w. ayat di dalam surah al Muddatsir dari awal sehingga lengkap.

Standard bacaan dan ketepatan piawaian bacaan terjaga melalui satu sistem semakan yang dijalankan pada seiap tahun kerasulan Muhammad s.a.w.. Piawai bacaan serta hafalan al Qur’an Rasulullah s.a.w. disemak oleh malaikat Jibril a.s. pada sekali pada setiap Ramadhan. Pada tahun akhir sebelum Rasulullah s.a.w. wafat, Jibril a.s. menyemak bacaan Rasulullah s.a.w. sebanyak 2 kali.

Rasulullah s.a.w. pula akan sentiasa menyemak bacaan para sahabat dari masa ke semasa.

Walaupun Rasulullah s.a.w. tidak tahu membaca dan menulis, setiap kali turunnya wahyu, baginda akan memerintahkan beberapa orang sahabat untuk tolong menuliskannya di atas lembar kulit, kayu, batu, tulang dan sebagainya. Ini kerana kertas serta teknologi menghasilkannya belum meluas di tanah Arab.

Rasulullah s.a.w. mempunyai beberapa orang jurutulis yang terkenal. Antaranya  dari kalangan Muhajirin iaitu Khulafa ar Rasyidin, Muawiyyah bin Abu Suffyan dan beberapa sahabat lain. Manakala dikalangan Ansar, Ubay bin Ka’ab, Mu’adz bin Jabal, Zaid bin Tsabit dan Abu Yazid dan sahabat-sahabat yang lain.

Al Qur’an diwahyukan secara beransur-ansur dalam tempoh 23 tahun (ada pendapat mengatakan 26 tahun). Hikmah penurunan secara beransur-ansur seperti berikut:

a.       Memudahkan para sahabat melakukan hafalan.
b.      Sentiasa berkait serta bertujuan menyelesaikan setiap masalah dan isu yang dihadapi oleh umat Islam pada ketika itu.
c.       Memudahkan pelaksaan peringkat demi  peringkat syariat yang disampaikan supaya ianya tidak terlalu mengejutkan.
d.      Memberi ruang kepada umat Islam mempraktikkan apa yang disampaikan dan membolehkan mereka mendengar ayat-ayat al Qur’an lantas patuh mengerjakannya dengan tertib.
e.       Sebagai tanda Allah s.w.t. sayangkan Rasulullah s.a.w. dan tidak meninggalkan baginda sepanjang tempoh tugasan sebagai nabi dan rasul. Dengan pelbagai ujian yang dihadapi dengan berat, kedatangan wahyu sentiasa memberi satu indikasi bahawa pada setiap saat dan masa, Allah bersama Rasulullah s.a.w. memimpin serta memberi pedoman kepada setiap perkara yang berlaku disekeliling mereka.

f.        Ia juga memperkukuhkan hati dan kekuatan umat Islam dalam menangani ancaman golongan musyrik, ahli kitab dan semua jenis musuh yang berada disekeliling mereka.

Pada masa hayat Rasulullah s.a.w., sudah terdapat beberapa mushaf al Qur’an yang bertulis. Beberapa orang sahabah menyimpannya dan mushaf-mushaf itu dikenali dengan nama mereka-mereka yang mengumpul dan menyimpannya. Antaranya Mushaf Ibnu Mas’ud, Mushaf Ali, Mushaf A’isyah dan beberapa Mushaf lainnya.

Rasulullah s.a.w. wafat selepas 9 malam hari ayat terakhir (Al Baqarah ayat 281) diwahyukan.

Pengumpulan al Qur’an Di Zaman Abu Bakar r.a.

Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w., berlaku pemberontakan. Abu Bakar as Siddiq r.a., yang diangkat ke jawatan Khalifah, mengambil langkah memerangi  golongan yang tidak mahu melunaskan zakat yang kemudiannya murtad.

Berikutan pergelutan dan perang memerangi gerakan pemberontakan terutamanya yang diketuai oleh nabi palsu, Musailamah al Kazzab, di dalam perang Yamamah, ramai Qurra (orang yang menguasai pembacaan al Qur’an) dan huffaz (yang menghafal) al Qur’an gugur sebagai syahid. Perkara ini membimbangkan Umar al Khattab r.a.

Lantas Umar al Khattab r.a. bertemu Saidina Abu Bakar r.a. untuk mengemukakan cadangan supaya al Qur’an dikumpulkan serta dibukukan ke dalam bentuk kitab.

Saidina Abu Bakar as Siddiq r.a. pada awalnya tidak bersetuju. Beliau tidak mahu melakukan perkara yang tidak pernah dilakukan Rasulullah s.a.w.. Ini kerana beliau faham betapa Rasulullah s.a.w. membenci bidaah.

Antara lain sebab kenapa Saidina Abu Bakar as Siddiq r.a. sangsi pada awalnya untuk bersetuju dengan cadangan Umar r.a. ialah berkenaan sebab-sebab tambahan berikut:

a.       Ia bakal mewujudkan masyarakat Islam yang kurang mengambil berat untuk menghafal al Qur’an ke dalam hati sepertimana generasi sahabat.

b.       Ia bakal membuatkan manusia secara ramainya malas bertanya dan belajar ilmu secara berdepan dengan guru masing-masing.

c.       Beliau takut tindakannya itu akan disalahfahami oleh majoriti umat Islam dikalangan para sahabat dan akan mengakibatkan berlakunya perpecahan.perpecahan mungkin berlaku sekiranya terapat kumpulan yang tetap berkeras dengan pendapat bahawa usaha pembukuan al Qur’an itu dianggap sebagai bidaah.

Setelah beberapa kali berbincang dan berdialog dengan Umar al Khattab r.a., maka Allah s.w.t. memberi keyakinan kepada Saidina Abu Bakar r.a. untuk bersetuju dengan cadangan Umar r.a.

Sebaik bersetuju, beliau memanggil Zaid bin Tsabit r.a. yang terkenal dengan sikap amanah, teliti, kecerdasan akal yang tinggi, sentiasa bersama Rasulullah s.a.w. sehingga ke akhir turunnya wahyu, berakhlak yang sangat baik dan pintar.

Zaid bin Tsabit r.a. juga pada awalnya menolak, tetapi sesudah diyakinkan Abu Bakar r.a. dan Umar r.a., maka beliau pun berkata : “Demi Allah, sekiranya aku diberikan tugas untuk memindahkan gunung di antara gunung-gunung, maka itu tidak sebeart tugas yang engkau berikan amanahkan kepadaku.”

Zaid bin Tsabit r.a., mula membuat penelitian dan menetapkan dua sumber berikut sebagai sumber utama sebagai panduan untuk pengumpulan al Qur’an:

a.       Ayat-ayat yang telah dihafal sahabat.
b.      Ayat-ayat yang telah ditulis dihadapan Rasulullah s.a.w.

Umar r.a. kemudian pergi ke hadapan orang ramai sebagaimana kisah yang tercatat di dalam Sunan Abu Daud seperti berikut:

Umar r.a. datang lalu berkata : “Barangsiapa yang mendapatkan ayat dari Rasulullah s.a.w., maka hendaklah ia membawa  kepadanya (Zaid bin Tsabit r.a.). Mereka menuliskan ayat-ayat itu pada lembaran, ketulan batu dan pelepah-pelepah kurma. Dan dia (Zaid) tidak mahu menerima ayat dari seorang pun sebelum terlebih dahulu disaksikan dua orang saksi.”

Abu Dawud juga meriwayatkan, bahawa Abu Bakar r.a. berkata kepada Umar r.a. dan Zaid r.a.:

“Duduklah kalian pada pintu masjid. Sekiranya ada orang datang membawa ayat-ayat( al Qur’an) yang telah diperkuatkan dengan pernyataan dua orang saksi, maka hendaklahkalian menulisnya.”

Apa yang dimaksudkan dengan sua saksi? Imam Ibnu Hajar menyatakan, bahwa maksud dua saksi itu ialah ayat yang dibawakan dalam bentuk hafalan dan tulisan. Manakala Imam Sakhawi pula menjelaskan ia merujuk kepada dua orang saksi yang menyaksikan dihadapan mata mereka sendiri ayat tersebut ditulis dihadapan Rasulullah s.a.w.

Ali bin Abi Talib r.a. pernah diriwayatkan berkata : “Orang yang paling besar pahalanya dalam hal mushaf ialah Abu Bakar r.a.. Beliaulah yang mempelopori pengumpulan al Qur’an.

Mushaf yang berjaya dikumpulkan oleh Saidina Abu Bakar r.a. bukanlah satu-satunya mushaf yang ada pada ketika itu, tetapi mushaf yang diusahakannya merupakan mushaf yang disusun dengan cara paling sistematik dan melalui teknik pengumpulan yang ketat serta disusun dan disemak oleh mereka-mereka yang layak. Mushaf lain yang ada pada ketika itu hanyalah mushaf-mushaf untuk kegunaan sendiri. Mushaf yang dikumpulkan khalifah Abu Bakar r.a. ini merupakan piawai dan standard al Qur’an yang menjadi rujukan.

Penyalinan Mushaf Abu Bakar r.a. di Zaman Utsman bin Affan r.a.

Pada zaman khalifah Utsman r.a., Islam telah berkembang ke pelbagai pelosok daerah yang jauh dari pusat pentadbiran Islam di Madinah. Pelbagai bangsa yang berbeza bahasa pertuturan mula memeluk Islam. Lalu timbul pula satu masalah yang kemudiannya dilihat sebagai satu ancaman yang boleh menyebabkan berlakunya perpecahan. Perpecahan atas masalah Qiraat al Qur’an pada zaman Saidina Utsman r.a. hampir sahaja menyebabkan berlaku pergaduhan. Sebagai contoh, penduduk Syam menggunakan Qiraat yang disampaikan Qari mereka Ubai bin Ka’ab. Penduduk Kuffah menggunakan Qiraat Abdullah bin Mas’ud. Sedangkan yang lain menggunakan Qiraat Abu Musa al Asya’ari. Mereka yang dari generasi sahabat tidak mempunyai masalah dengan perbezaan Qiraat ini. Tetapi masalah timbul apabila daerah-daerah yang jauh ini terkadangnya mempunyai pengikut-pengikut sesetengah Qiraat yang terlalu taksub kepada kumpulan mereka sendiri sehingga menyebabkan berlakunya kafir mengkafir dan berlakunya perpecahan.

Diriwayatkan dari Abu Qibalah, ia berkata : “Pada masa khalifah Utsman bin Affan r.a., seorang guru mengajarkan Qiraat kepada seorang murid. Sementara itu ada seorang guru lain mengajarkan Qiraah kepada murid yang lain pula. Kemudian apabila setiap murid tadi saling bertemu, maka mereka akan bertengkar. Bahkan pertengkaran itu memuncak melibatkan guru masing-masing, sehingga di antara mereka sering kafir mengkafir. Maka ketika peristiwa pertengkaran itu sampai ke pengetahuan Utsman r.a., beliau berkata : “Sedangkan di hadapanku kalian berani bertengkar, apa lagi di tempat yang lebih jauh dariku, tentu lebih sengit.”


Masalah perbezaan Qiraat bacaan ini perlu diatasi segera supaya perpecahan dapat dibendung dengan pantas.

Lantas Utsman r.a. mengarahkan beberapa orang sahabat yang terkenal bijak dan pintar untuk meneliti permasalahan tersebut. Lalu satu cadangan dibuat supaya dihasilkan mushaf-mushaf piawai yang banyak, lalu ke semua mushaf tersebut perlu dikirimkan ke segenap pelosok daerah umat Islam yang mendiaminya.

Lantas 4 (empat) orang sahabat dilantik sebagai penyalin kitab. Kesemuanya dari golongan Muhajirin Quraisy Mekah kecuali Zaid bin Tsabit r.a. yang merupakan golongan Ansar. Nama ketiga-tiga sahabat lagi yang ditugaskan menyalin kitab tersebut ialah seperti berikut:  Abdullah bin Zubair, Sa’ad bin Ash dan Abdur Rahman bin Hisham.

Mereka telah diarahkan untuk meminjam mushaf piawai al Qur’an yang telah dikumpulkan oleh Saidina Abu Bakar as Siddiq r.a. sebelum ini yang pada masa itu disimpan oleh anak Saidina Umar al Khattab r.a. yang juga isteri kepada Rasulullah s.a.w., Hafsah binti Umar r.a.

Di dalam Riwayat Imam Bukhari, Anas bin Malik r.a., dia berkata ; “Sesungguhnya Hudzaifah bin Yaman datang kepada Utsman. Ketika itu beliau sedang menyiapkan penduduk Syam dan Iraq untuk satu peperangan ke Asia Tengah. Maksud kedatangan Hudzaifah itu sebenarnya ialah untuk meminta pertolongan Saidina Utsman sehubungan dengan kegusarannya melihat pertengkaran yang terjadi antara para sahabah dalam masalah Qiraat. Dia berkata kepada Utsman bin Affan r.a. : “Wahai Amirul Mukminin, tolonglah umat ini sebelum pertengkaran mereka mengenai kitab semakin parah sebagaimana parahnya pertengkaran antara orang Yahudi dan Nasrani.” Kemudian Utsman mengirimkan surat kepada Hafsah yang berbunyi, “Aku memohon agar kira dapat puan menyerahkan mushaf kepadaku, untuk kusalin menjadi beberapa mushaf. Dan apabila sudah selesai kusalin akan aku kembalikan ia semula kepada puan.” Hafsah pun segera mengirimkan mushaf kepada Utsman. Selanjutnya beliau mengarahkan Zaid bin Tsabit, Abdullah bin Zubair, Sa’ad binAsh, Abdur Rahman bin Harith bin Hisyam menyalin mushaf Hafsah tersebut menjadi beberapa mushaf. Dan mereka bersedia melaksanakan tugas itu. Lalu Utsman memberikan pesanan kepada tiga orang sahabat dari kalangan Quriasy itu, “Jika kalian berselisih pendapat dengan Zaid bin Tsabit di dalam hal al Qur’an, maka tulislah apa yang kamu perselisihkan itu dengan bahasa Quraisy, kerana al Qur’an diturunkan dengan bahasa Quraisy.”


Al Qur'an Saidina Utsman r.a.


Al Qur'an Saidina Utsman r.a. (Lagi gambar di sini)

Kesimpulan Ringkas

Al Qur’an tidak dikumpulkan serta dibukukan pada zaman Rasulullah s.a.w. masih hidup kerana wahyu masih berterusan turun. Malah wahyu terakhir diwahyukan Allah kepada Rasulullah s.a.w. berlaku 9 malam sebelum kewafatan baginda.

Oleh kerana ayat-ayat al Qur’an tidak diwahyukan secara kronologi dan ayat-ayat di dalam kebanyakan surah-surah tertentu diwahyukan secara berpisah-pisah di dalam konteks keadaan dan masa, maka penyusunannya di buat kebanyakannya melalui hafalan dengan Rasulullah s.a.w. melalui tunjuk ajar Jibril a.s., menentukan ayat mana patut diletakkan di dalam surah yang mana dan di mana kedudukan ayat tersebut di dalam surah yang ia dimasukkan.

Ia juga melibatkan soal ayat-ayat yang menggantikan fungsi hukum ayat-ayat yang lain yang masih lagi diwahyukan sehinggalah ayat 3 surah al Maidah diwahyukan Allah pada masa Haji Wida’. Ini merupakan ayat terakhir yang melibatkan ayat-ayat yang menerangkan tentang hukum, perkara-perkara yang halal dan haram. Ayat tersebut seperti berikut :

Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi (termasuk semuanya) dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi dan yang mati ditanduk dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya) dan yang disembelih atas nama berhala dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang dia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah dia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Ayat berkenaan hukum yang terakhir diwahyukan ialah ayat di atas iaitu ayat 3 surah al Maidah. Manakala ayat al Qur’an terakhir yang diwahyukan ialah ayat 281 surah al baqarah.

Usaha pengumpulan serta pembukuan al Qur’an yang pertama sekali dimulakan oleh Saidina Abu Bakar as Siddiq r.a. yang menerima cadangan Saidina Umar r.a.

Manakala usaha yang dilakukan pada zaman Saidina Utsman r.a. pada zaman pemerintahannya ialah usaha untuk menyalin naskah mushaf yang telah disiapkan pada zaman khalifah Abu Bakar as Siddiq r.a. dalam jumlah yang banyak dan kemudian dikirimkan kepada daerah-daerah umat Islam bagi menetapkan piawai supaya perselisihan berkenaan masalah Qiraat dapat diatasi dan pertengkaran sesama umat Islam dipadamkan.

Untuk ringkaskan kronologi semua yang ditulis di atas dalam satu ayat, saya menulisnya seperti berikut : Al Qur’an, Kalamullah yang disalin dari lauh mahfuz, dibawakan Jibril a.s. kepada Rasulullah s.a.w., dikumpulkan dalam satu mushaf oleh Saidina Abu Bakar as Siddiq r.a. dan ia kemudian disalin dalam beberapa salinan yang lebih banyak pada zaman Utsman bin Affan r.a.

Semoga jelas dengan apa yang sebolehnya ditulis secara ringkas ini. Wallahua’lam.


Rujukan :
1) Syeikh Muhammad Alias-Shabuni, M.S. Hafid Mashuri (Penterjemah),  Syarah ‘ulumul Qur’an (Penjelasan Ilmu-Ilmu  al Qur’an), (2002), Crescent News (K.L.) Sdn. Bhd.
2) Syeikh Thahir Al Jazairi; At-Tibyan li Ba’dh Mabahits Al-Muta’alliqah fi Al-Qur’an : 109 . Dipetik dari Sistem Pengurusan FatwaUniversiti Sains Islam Malaysia 
Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

2 comments:

shamsadis said...

sejarah nie

hasanah said...

alhamdulillah.. terima kasih kpd penulis yg memberi penerangan yang terperinci dan jelas mengikut kefahaman saya..semoga Allah s.w.t merahmati usaha penulis dalam menyampaikan dakwah kpd golongan2 yang alpa dan jauh dari Allah s.w.t.. seperti mana ustaz saya dahulu menerangkan kepada saya dakwah itu tidak semestinya dari perbuatan semata malahan melalui cara percakapan dan penulisan juga boleh digunakan dalam berdakwah.. teruskan usaha tuan.. keep it up!!!