Friday, May 11, 2012

Terlewat 1400 Tahun : Barat Memperakui Keberkesanan Iddah


Oleh Imran Haaz/M.I.A.

Bismillahir Rahmanir Raheem.. lebih 1400 tahun yang lalu, seorang manusia yang paling mulia dilantik Allah menjadi seorang pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan kepada semua manusia dan jinn yang mendiami bumi ini. Dia adalah rahmat untuk sekelian alam sebagaimana Penciptanya memperakukannya. Bersama dirinya di bawa satu bentuk rahmat yang amat luas dan terang yang mana ruang cakupannya sebagai petunjuk kepada jalan kebahagiaan umat manusia meliputi segala zaman kemanusiaan yang waras dan rasional.

Islam melalui perlantikan Muhammad s.a.w. sebagai nabi dan rasul, dilengkapkan agama tersebut untuk dijadikan anutan, pegangan serta panduan umat manusia bagi menjalani sebuah kehidupan yang membawa kebahagiaan di dunia dan diakhirat. Apa yang telah disampaikan kepada kaum Nuh a.s., kepada kaum Hud a.s., kepada Bani Israel oleh Musa a.s. sehingga Isa a.s. merupakan asas-asas kepada agama ini yang hanya dipelengkapkan sebaik sebelum  Muhammad s.a.w. , sebagai nabi dan rasul terakhir, menghembuskan nafasnya yang terakhir 1400 tahun dahulu.

Yahudi, Kristian dan pelbagai cabang agama lain semuanya bermula dari satu agama iaitu Islam. Sehinggalah orang-orang yang berkepentingan yang diamanahkan memegang urusan umat-umat terbabit, digelapkan hati mereka dengan kecintaan terhadap menganggap diri mereka sendiri sentiasa betul dan mula mengenepikan apa sahaja yang diwahyukan serta disampaikan oleh rasul-rasul yang penuh amanah kepada mereka. Perselisihan demi perselisihan inilah yang telah menyebabkan agama yang pada asal dasarnya satu, berpecah menjadi cabang-cabang yang semakin jauh dari akar tauhid yang benar.

Di dalam penulisan kali ini, saya ingin menulis sesingkat mungkin berkenaan kecenderungan tamadun barat yang tanpa mereka sedar sedang memperakukan sistem-sistem yang telah menjadi amalan Islam sejak sekian lama.

Mengiktiraf Wujud Keperluan Untuk Bercerai
Islam merupakan sebuah agama yang memberikan penekanan yang kuat serta tegas kepada aspek pembinaan sesebuah keluarga. Segala bentuk panduan, peraturan serta undang-undang bagi memastikan pembinaan sesebuah keluarga yang sihat telah tersedia di dalam agama ini. Lengkapnya undang-undang keluarga Islam ini termasukklah kepada undang-undang yang membenarkan pembubaran sesebuah perkahwinan itu dilaksanakan.

Pembubaran sesebuah perkahwinan bukanlah sesuatu yang digalakkan di dalam Islam dan hanya menjadi pilihan terakhir sekiranya pembubaran perkahwinan tersebut membawa lebih banyak kebaikan dari mudarat dan kerosakan lebih besar  jika masih diteruskan hidup bersama. Malah Allah s.w.t. di dalam al Qur’an mengajar para muslim remedi-remedi yang  perlu dipertimbangkan sebelum pembubaran perkahwinan menjadi pilihan. Hanya jika keadaannya lebih membawa mudarat serta kerosakan yang lebih besar kepada pasangan, keluarga serta mereka-mereka disekeliling perkahwinan mereka, barulah perceraian menjadi sesuatu yang tidak dapat ditolak untuk berlaku.

Beberapa mazhab Kristian terutamanya mazhab Katolik Kristian, tidak membenarkan perceraiaan berlaku. Begitu juga dengan agama Sikh pada kitab ajaran agama mereka tidak membenarkan perceraian daripada berlaku. Bagi mereka, perkahwinan itu merupakan satu ikatan suci antara dua jiwa yang tidak boleh dipisahkan. Malang sekali, realiti kehidupan di dunia ini tidak memungkinkan setiap perkahwinan yang didirikan itu dapat bertahan lama dan indah pada setiap keadaan dan masa. 

Terdapat pelbagai faktor yang wujud serta mewujudkan keperluan kepada sesebuah perkahwinan itu dibubarkan.  Alasan penyakit, kelumpuhan keinginan seksual, keganasan rumahtangga, tidak sefahaman, ketidakmampuan pasangan, pasangan yang tidak bertanggungjawab dan pelbagai masalah lagi yang mungkin membelengu sesebuah pasangan memungkinkan jalan pemisahan untuk dipilih bagi mengurangkan kemudaratan.  Malang sekali lagi apabila jalan pemisahan bukanlah suatu pilihan yang boleh diambil oleh penganut agama-agama yang dimaksudkan. Disebabkan kekangan sebegini, penganut-penganut agama-agama tersebut memerlukan satu bentuk jalan keluar bagi membolehkan perkahwinan yang seharusnya suci tetapi menjadi rosak itu dibubarkan. Tiada pilihan bagi mereka melainkan membubarkan perkahwinan tersebut melalui Undang-Undang Sivil di Negara di mana mereka bermastautin.

Tetapi di dalam kebanyakan kes, perceraian bukanlah jalan terbaik bagi mengatasi semua masalah yang timbul. Terkadang perceraian menimbulkan konflik-konflik baru yang berpanjangan serta lebih memudaratkan. Perebutan harta, pemisahan anak-anak dengan keluarga ibu dan bapa, konflik dengan dengan keluarga mertua, sekadar menamakan antara masalah yang biasa berlaku selepas sesebuah perkahwinan dibubarkan. Kerana itulah difahami kenapa Allah tidak menyebut perceraian sebagai pilihan di dalam ayat-ayat yang membicarakan tentang remedy-remedi yang perlu dipertimbangkan serta dijalankan bagi mengelakkan perceraian daripada berlaku.

Bagaimanapun, mungkin disebabkan dengan keadaan hubungan yang terlalu panas, maka perceraian terpaksa menjadi jalan terakhir yang dipilih.

Dalam Islam, perceraian tidak boleh dibuat sesuka hati terutamanya di atas alasan-alasan yang mendiskriminasikan wanita. Sesuai dengan firman Allah di dalam al Qur’an, umat Islam merupakan umat pertengahan. Mereka tidak ekstrem dan cenderung kepada hukum-hukum serta peraturan yang  terlalu kaku dan rigid.

Perceraian merupakan sesuatu yang diharamkan di dalam sesetengah mazhab agama Kristian dan Sikh. Manakala perceraian di atas alasan yang sangat mendiskriminasikan wanita dibenarkan pula di dalam tradisi Yahudi dan Hindu bersandarkan kitab Talmud Yahudi serta Kitab Undang-Undang Manu (Manu Smriti). Orang Yahudi digesa menceraikan isteri mereka sekiranya di dalam tempoh sepuluh tahun perkahwinan, wanita tersebut gagal melahirkan zuriat kepada pasangannya. Ia disebut di dalam Talmud. Manakala mengikut Undang-Undang Manu, seseorang wanita yang dikatakan mandul, boleh diceraikan pada tahun ke lapan perkahwinan. Untuk yang pernah melahirkan anak tetapi ke semua anaknya meninggal dunia, perlu diceraikan pada tahun ke sepuluh, manakala isteri yang hanya melahirkan zuriat perempuan disarankan dicerai pada tahun perkahwinan mereka yang ke sebelas. Isteri yang suka bertengkar pula disarankan supaya diceraikan tanpa bertangguh. Perkara ini pernah saya sentuh secara mendalam di dalam penulisan di dalam tahun 2008 blog satuhala ini di bawah tajuk  “Memperbetulkan Serta Menjawab Pertuduhan YangMenyatakan Rasulullah s.a.w. seorang Kaki Perempuan dan Paedophile. Bahagian 6” (Klik untuk membaca).

Jadi di antara dua remedi ekstrem ke atas institusi perkahwinan, Islam datang memberikan harapan, keadilan serta jalan keluar kepada kemelut kekeluargaan yang dihadapi saban hari oleh umat manusia. Sepertimana yang disebutkan sebelum ini, Islam membenarkan perceraian itu berlaku tetapi tidak menggalakkannya. Malah di dalam al Qur’an itu sendiri menjelaskan proses-proses yang perlu dijalani bagi tujuan mengambil sepenuh usaha bagi menyelamatkan perkahwinan itu dahulu sebelum pilihan untuk bercerai diambil. Malah, setelah opsyen untuk bercerai dipilih, ia masih perlu berada di dalam tempoh Iddah supaya titik noktah perkahwinan yang sedang ditujui itu, dapat direnungkan kembali serta supaya kedua-dua pihak mengambil peluang untuk bermuhasabah. Di dalam novel Syahadah Gadis Ateis, saya memasukkan topik ini bagi membincangkan pertuduhan ke atas sistem nilai keluarga Islam dan fitnah keganasan domestik yang dilemparkan kepada ayat-ayat Allah di dalam al Qur’an.

Selepas 1400 Tahun, Kebekersanan Iddah Diperakui

Tiga tahun yang lepas, pada 2009, saya memotong satu keratan akhbar berkenaan satu cadangan dari sebuah badan pemikir, Duncan Smith’s Centre For Social Justice, yang beroperasi di Britain. Badan pemikir itu mencadangkan supaya dilakukan satu perubahan radikal kepada undang-undang keluarga di Britain. Mereka mahu undang-undang keluarga di Britain mewajibkan setiap pasangan berkahwin yang mahu memfailkan perceraian menjalani proses bertenang selama 3 bulan. Ia bagi memberi peluang kepada pasangan-pasangan tersebut untuk menyelesaikan segala perkara yang menyebabkan berlakunya konflik, sehingga mereka memilih jalan untuk berpisah.


Tempoh tiga bulan yang dicadangkan itu bagi membolehkan setiap pasangan bertenang, bermuhasabah dan berfikir semula supaya menilaikan segala kemungkinan yang akan berlaku sekiranya perpisahan itu tetap akan terjadi.

Ia menyamai konsep Iddah di dalam Islam yang telah diamalkan sejak lebih dari 1400 tahun yang lalu. Peratusan kadar cerai yang meningkat di Britain, menyebabkan cadangan ini dikemukakan. Mereka merasakan bahawa peratusan pasangan-pasangan yang memilih untuk bercerai apabila berhadapan dengan konflik rumahtangga akan dapat dikurangkan sekiranya perubahan ini dibuat.

Perceraian tidak membawa kepada kebaikan secara total, tetapi lebih banyak buruk dari yang baik. Tidak dinafikan bahawa perceraian adakalanya merupakan satu-satunya jalan bagi menyelesaikan kemelut di dalam rumahtangga, oleh kerana itulah Islam membenarkan ianya berlaku tetapi tidak menggalakkannya. Di dalam Syahadah Gadis Ateis, saya membicarakan secara santai kenapa perceraian tidak disebutkan sebagai sebuah pilihan yang harus diberikan keutamaan. Sekiranya perpisahan itu tidak dapat dielakkan, masih terdapat remedy yang memberi peluang kepada kedua-dua pasangan untuk bermuhasabah dan memperbaiki kembali perhubungan yang sebelum ini retak melalui peraturan Iddah.
Jelas barat telah banyak bereksperimen dengan segala macam bentuk teori dan cara hidup yang dirasakan mereka bakal memberikan mereka kebahagiaan hakiki dalam kehidupan mereka. Nyata mereka sentiasa gagal di dalam setiap percubaan mereka dan kemudian dengan menebalkan muka, mereka mula mengiktiraf jalan hidup sebagaimana yang telah digariskan Allah melalui Islam. Tetapi yang lebih pelik pula, apabila orang-orang Islam terutamanya Melayu terkinja-kinja mahu mengejar budaya-budaya serta sistem-sistem kegagalan barat yang orang-orang barat sendiri mahu tinggalkan.

Lebih pelik lagi apabila golongan yang mendakwa diri mereka pejuang hak asasi manusia di Malaysia ini, masih tidak sedar dari delusi mendewakan segala yang barat. Pada mereka segala apa yang telah diperjuangkan di Barat itu perlu difotokopi secara total tanpa had. Sedangkan barat kini semakin memperakui bahawa mereka gagal di dalam percubaan mereka dan mahu kembali kepada sistem yang diamalkan oleh Islam walaupun mereka tidak memperakuinya melalui lisan mereka. Perbuatan mereka menjelaskan pengiktirafan tanpa sedar yang sedang mereka lakukan. Hanya pejuang -pejuang hak asasi manusia setaraf burung kakak tua di Malaysia yang masih belum sedar dengan trend yang sedang rancak berlaku di Barat. Mungkin termalu dengan perlakuan mereka sebelum ini yang menentang semua nilai-nilai yang disokong Islam, maka dengan menebalkan muka, mereka tetap bedegil berkeras mahu menentang segala yang berbau Islam di muka bumi Malaysia ini. Benarlah kata-kata Allah di dalam Al Qur’an bahawa Dia akan memperolok-olokkan golongan ini dengan sikap dan perlakuan mereka sendiri. Saya bersyukur dilahirkan Islam, dibesarkan secara Islam dan merayu kepada Allah supaya dapat menghembuskan nafas saya yang terakhir sebagai orang Islam dan mukmin yang mendapat keredhaan Allah di dunia dan akhirat nanti. Dengan berpegang kepada apa yang ditinggalkan Rasulullah s.a.w. kepada kita 1400 tahun yang lalu, kita secara tidak langsung terselamat dari dijadikan tikus-tikus makmal kepada segala bentuk eksperimen sistem ‘kemanusiaan’ yang dicuba dan ditinggalkan di dalam kadar yang kerap oleh manusia-manusia yang merasakan diri mereka lebih bijak dari Tuhan yang menciptakan manusia-manusia itu sendiri. Tuan-tuan, kita sangat beruntung. 



© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.


9 comments:

mark dulu nak baca kemudian...huhuhuh
 
salam tuan, terima kasih kerana rajin mengingatkan muslim betapa beruntungnya kita semua sebenarnya.moga-moga jati diri muslim makin tinggi dengan artikel-artikel sebegini.
dalam pada barat mahu kita memisahkan kehidupan kita daripada addeen, barat sebenarnya banyak bergerak (dan berjaya) dengan mengaplikasi aturan hidup muslim.dibuangnya syahadah iman, tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah.tetapi segala macam cabang ilmu, seni muzik sekalipun datang ketika pencerahan yang pesat berlaku di sepanyol dan juga ketika kehebatan empayar turki utmaniah.
model kehidupan berkeluarga barat telah gagal.masyarakatnya makin merosot.bandar-bandar eropah akan menjadi bandar muslim pada 2050 nanti.jadi remedi yang mereka jumpa tentulah daripada kejayaan berkeluarga orang muslim dan agility masyarakatnya.
dalam mereka kacau sistem keluarga muslim dengan cerita penderaan wanita, tiada kebebasan dsb, mereka, seperti kata tuan pengarang telah mencedok cara hidup komuniti islam.tanpa masyarakat yang berdaya saing dan teguh nilai kekeluargaannya, bahasa apalagi ekonomi akan pupus.itu yang mereka takutkan.itu juga yang sedang berlaku di dalam negara sekular mereka.
wallahualam
 
Shamsadis,
Pelan-pelan kayuh..
 
Wa'alaikumsalam Tuan Rizal Hass,
betul apa yg tuan suarakan. Mereka sedang menuju kepada kepupusan. Dengan kadar kelahiran yang jatuh mendadak, sebahagian rakyat mahu jadi gay dan lesbian, penyakit2 kembali bercambah disebabkan nasab keturunan yang makin kabur. Mereka sebenarnya menuju kehancuran. Akhir sekali, mereka cuba pakejkan kembali sistem Islam dengan membuang Tuhan dan Muhammad sebagai remedi, seolah ianya ciptaan mereka dari hasil genius pemikiran mereka.

Lalu bertempik soraklah burung2 kakaktuan melayu liberal tidak sabar2 mahu mencuba remedi repackage ini tanpa mereka tahu mereka sedang diperolok-olokkan oleh Allah.
 
Assalamualaikum tuan.
Mohon share
 
Wa'alaikumsalam Unknown,
Boleh sahaja. Semoga manfaatnya lebih meluas lagi dgn perkongsian.
 
Wa'alaikumsalam Unknown,
Boleh sahaja. Semoga manfaatnya lebih meluas lagi dgn perkongsian.
 
Assalammualaikum wbt, tuan, saya sedang menghadam buku Sebarkanla Cinta-Mu oleh Fatimah Syarha, banyak info menarik yang kebanyakankanya berkisar tentang poligami dan hak-hak wanita yang selari dengan fitrah sebagai manusia. Pada hemat saya, sistem-sistem barat banyak diguna pakai kerana pendedahan yang banyak berbanding sistem Islam itu sendiri menyebabkan wanita kelihatan tiada hak dalam Islam. Gaya penafsiran mereka nampak ala moden tetapi hanya memenangi sebelah pihak sahaja tetapi tidak seSyumul Islam.
Seperti tuan, saya sangat-sangat bersyukur kerana dilahirkan Islam yang mana Allah sangat kasihkan wanita dan sangat memuliakan wanita. Kurangnya penyebaran maklumat dan kefahaman menyebabkan Islam dianggap kolot. Saya masih terkesan dengan ayat 1 dari surah Al-Mujadallah sungguh Allah sangat mendengar. Semoga kita Allah pilih dikalangan orang yang mahu berfikir.
adila_alim
 
Wa'alaikumsalam wrt Adila,
Apa yang dikatakan Adila itu ada lojiknya. Kita kelihatan kolot kerana tidak tidak bersungguh-sungguh mempromosikan keindahan serta kesyumulan sistem-sistem yang terdapat dalam Islam. malah terkadang, kita tidak mempraktikkan apa yang kita selalu cakap.

Jadi dari sana juga berpunca kenapa Islam sentiasa dipandang lekeh oleh orang-orang barat. Mereka memberi penumpuan kepada apa yang dilakukan oleh org2 Islam, tetapi mereka tidak memberikan penumpuan kepada apa sebenarnya yang Islam mahu muslim lakukan. Terkadang dan kebanyakan daripada masa, kesalahan adalah terjatuh atas bahu kita sendiri.

Kita perlu memperbaiki semua ini dengan memulakannya dengan perubahan dala diri kita sendiri. Saya harus berubah, begitu juga dengan orang disekeliling saya. Sama-sama kita memperbaiki ummat supaya gelombangnya yang bermula kecil akan sampai perlahan-lahan kepada segenap lapisan masyarakat. Islam itu indah, mari kita tafsirkannya melalui perbuatan kita sendiri. TQ Adila atas pendapat yang baik.
 

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email