Sunday, August 22, 2010

Berikan mereka remedi untuk 2018..

oleh : M.I.A.
Bismillahir Rahmanir Raheem.. Muslim yang memahami putaran kejam ekonomi dunia yang berorientasikan kapitalisme, memahami bahawa mereka harus bersedia dengan segala macam kenaikan harga barang dari yang lojik sehingga ke peringkat yang tak masuk akal. Sistem ekonomi Islam dicadangkan tetapi pelaksanaannya tidak menyeluruh dan terhalang. Tinggallah Muslim harus berdepan cabaran demi cabaran demi survival kendiri.

Peningkatan harga barang bukanlah berlaku hari ini, ia berlaku sejak dahulu lagi. Bagi yang tidak memahami, banyak pihak dituding bagi masalah yang berlaku supaya masalah yang terbeban diminda akibat tidak bersedia, dapat dipikulkan secara maya ke atas orang lain. Itu satu kebiasaan bagi manusia-manusia lemah. Muslim bukan umat yang lemah. Yang melemahkan mereka ialah sikap mereka sendiri. Mereka diberikan Allah petunjuk lengkap dan diberi jaminan oleh Allah bahawa rezeki mereka di dunia dan akhirat dijamin Allah dengan syarat mereka mematuhi syarat-syarat tertentu yang ditetapkan oleh Allah.


Kenaikan harga ini berlaku secara konsisten sejak dahulu lagi. Entah kenapa ramai dari kita tidak mahu mengambil peduli untuk merancang masa depan dengan mengambil iktibar dari apa yang berlaku. Muslim bukanlah satu umat manusia yang membiarkan dunia dan apa yang berlaku disekeliling mereka menentukan jalan hidup mereka. Muslim merupakan manusia-manusia yang menilai situasi kini dan masa lepas supaya mereka dapat bersedia supaya tidak terjerumus ke dalam perangkap masalah yang sama berulang kali di masa hadapan.


Baru-baru ini, kenaikan harga minyak berlaku lagi dan ia akan berlaku berulang-ulang kali lagi di masa hadapan. Kita menghadapinya pada hari-hari lepas dengan bersungut, malah lebih teruk lagi ada yang sanggup berguling-guling di atas jalan kerana diperbodohkan oleh sekumpulan petualang. Tetapi tiada siapa mahu mengambil pelajaran dan iktibar. Kita masih berbelanja seperti biasa. Kita masih mengharapkan sumber kewangan yang sama sebagai nafkah untuk diri dan keluarga. Kita masih berada ditakuk yang lama menyediakan tengkuk kita untuk kembali disembelih apabila masalah ini berlaku lagi di masa hadapan. Kita hanya menyediakan diri kita untuk kembali bersungut, meraban dan lebih malang dipergunakan petualang-petualang yang menunggu peluang. Mereka-mereka ini melihat kesusahan yang dialami muslim sebagai batu loncatan. Malang sekali apabila muslim-muslim ini membiarkan diri mereka dan intelektual minda mereka dipijak sebagai tangga bagi sekumpulan petualang sebagai jalan mudah bagi mereka menaiki hirarki pemerintahan.


Kita adalah generasi umat yang diiktiraf Allah sebagai umat yang terbaik. Kita mengajak kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar. Kita adalah umat yang Allah berikan kebebasan mutlak untuk hidup dengan cara kita sendiri mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan di dalam kitabullah. Kenapa kita masih mahu membiarkan intelektual minda kita diliwat, diperkosa dan dipijak-pijak oleh pihak-pihak yang sebenarnya tidak mahu mengambil peduli tentang kesusahan kita, sebaliknya memperjuangkan nafsu diri sendiri untuk naik ke atas? Jika benar mereka mahu ambil peduli, kenapa tidak diajar dan diberitahukan kepada setiap umat Islam supaya sentiasa bersedia bahawa putaran dunia di dalam persekitaran ekonomi kapitalis yang kejam itu akan meragut mangsa-mangsa yang tidak bersedia? Kenapa tidak diajarkan kepada muslim yang dikatakan sangat disayangi mereka tentang persediaan ekonomi pada masa kini dan akan datang supaya kumpulan umat Islam ini tidak akan berada di dalam keadaan tertekan apabila putaran kejam ini kembali mengganas? Pada hakikat sebenarnya, mereka tidak mahu muslim itu menjadi bijak dan pandai. Mereka hanya mahu menternak kebodohan di dalam seramai mungkin minda muslim supaya golongan ini menjadi ramai untuk mudah mereka mempergunakannya nanti. Zombi-zombi berminda kosong inilah yang akan dikerah mereka untuk berjuang membabi buta tanpa ia tahu bahawa apa yang dilakukannya sangat salah di sisi Allah. Mereka terkesima dengan imej-imej kosong yang disifatkan warak. Mereka terkesima dan terasuk dek kerana ketaksuban sehingga minda mereka lumpuh dari maya berfikir. Ini zamannya muslim berdikari atas kaki sendiri dengan memperlengkapkan ilmu al Qur’an dan sunnah sebagai pegangan supaya kita tidak mudah diperbodohkan dengan perwatakan rosak yang dilindungi fa├žade kewarakan.


Bila saja pemerintah melakukan kesilapan, penganiayaan dan kekejaman, kita sebagai muslim harus menyatakan protes dengan kuat dan menunjukkan kita sebagai umat yang mempunyai daya intelektual tinggi dan mengingatkan mereka supaya tidak bermain-main dengan kesatuan umat ini. Protes bukanlah dengan berkelakuan seperti beruk dan berguling-guling seperti orang tidak ada pegangan agama di atas jalan-jalan raya bekas laluan dan bekas kencingan binatang-binatang haram. Protes harus dilakukan pada meja rundingan secara bijak bagi menunjukkan kekuatan dan bersemuka dengan pemerintah sebagaimana kaum bukan Islam sudah lama melakukannya terlebih dahulu bagi mendapatkan hak-hak mereka. Mereka mendapatkan hak mereka di dalam senyap hanya dengan bijak memanipulasi keadaan dan mengugut pemerintah dengan jumlah undi dan kesatuan yang berdiri dibelakang mereka. Yang berkompang dan bergendang hiruk pikuk hanya zombi-zombi muslim yang dipergunakan pelbagai pihak bagi kepentingan mereka sendiri. Yang sentiasa menang pula ialah pihak bukan Islam di dalam negara ini kerana di dalam sistem demokrasi, mereka tahu dan kenal apa kelemahan utama pemerintah.


Pihak-pihak berkepentingan cuba menafikan realiti sekeliling dan keadaan dunia ini. Mereka menyudukan kepada pengikut-pengikut mereka dengan khayal candu ideologi utopia. Tetapi hakikatnya mereka sendiri tahu bahawa perubahan sikap umat itulah yang paling penting bagi menjamin kebahagian hidup mereka di dunia dan akhirat.


Sediakan payung sebelum hujan. Orang-orang tua dahulu kala yang bijak merangka simpulan bahasa sebagai nasihat kepada generasi seterusnya agar sentiasa waspada dengan iklim dan keadaaan sekeliling. Hari yang cerah tak bermakna hujan tidak akan turun di masa hadapan. Muslim harus bersedia dengan menyediakan remedi sebelum masalah berlaku. Persoalannya kenapa ini tidak ditekankan oleh pihak-pihak yang mendakwa diri mereka sayangkan bangsa dan agama? Kenapa tidak disekolahkan pengikut-pengikut mereka supaya bersedia menghadapi kemungkinan yang lebih buruk di masa hadapan? Kenapa tidak diajarkan daripada mengajak mereka berguling-guling seperti ayam golek di bawah terik panas matahari, bahawa perbuatan itu tidak membawa apa pun kesan positif kepada mereka dalam persediaan mereka menghadapi masa depan. Benar, terkadang demonstrasi perlu dilakukan, tetapi harus ia dilakukan setelah semua pilihan yang ada digunakan. Memprotes bukanlah dengan berguling-guling seperti orang tidak siuman. Tetapi proteslah sepertimana muslim-muslim yang beriman, bertegak dan berpanas atas nama protes dengan berkhutbah membangkitkan semangat mahu pemerintah berubah tanpa perlu berkelakuan seperti binatang. Dunia ini pada masa hadapannya kurang perkara yang positif akan berlaku. Itu realitinya.


Putaran ekonomi pada setiap sepuluh hingga ke 12 tahun akan memasuki putaran merudum akibat permintaan yang semakin tepu. Semua ini diketahui oleh orang-orang yang memerhati. Bahawa pada seawal 2018 nanti, sekali lagi struktur permintaan di dalam ekonomi akan meruntuh dan merudum akibat kenaikan harga minyak dan permintaan yang semakin tepu. Itu semua diketahui oleh mereka-mereka yang arif ekonomi. Jadi kenapa tidak diberitahukan kepada pengikut mereka bahawa masa depan mereka pada seawal 2018 nanti akan menyaksikan sebuah lagi masalah ekonomi berlaku, di mana ramai yang akan dibuang kerja, perniagaan mula merosot dengan kurangnya permintaan disebabkan kuasa beli pengguna mengecil, masalah sosial seperti rompak, ragut, pelacuran, buang anak, bunuh diri dan sebagainya akan berlaku dalam skala lebih besar? Jika benar-benar sayangkan negara, umat, bangsa dan saudara seagama, kenapa hanya mahu menggunakan mereka sebagai pelacur jalanan dan zombi untuk kepentingan sendiri? Yang mereka tahu cuma maki hamun, fitnah dan mencarut. Kenapa remedi tidak diberikan sejak dahulu. 1985, 1998, 2007 dan selepas ini 2018, semua itu memberitahu sesuatu. Setiap kali pilihanraya jatuh pada ketika putaran ekonomi menjunam, maka menjunam pulalah kerusi-kerusi parlimen yang dipegang oleh pemerintah mana-mana negara. Lihat sahaja apa yang berlaku di Malaysia. Setiap pilihanraya yang dekat dengan tahun seperti kejatuhan ekonomi 1998 dan 2007, maka pemerintah juga akan turut terjunam jatuh sokongan terhadap mereka. Ia lumrah, dan menjadi lebih parah jika pihak yang berada di pagar sebelah pandai memanaskan lagi keadaan yang sudah sedia panas. Berikan kepada umat Islam pengetahuan serta apa yang harus mereka perbuat bagi menghadapi masa depan yang berada di dalam putaran yang kejam ini. Berikan mereka persediaan dan kesiapsagaan, agar mereka tidak sekali lagi menjadi bahan lacuran di jalanan. Mereka tidak mahu jadi bodoh dan diperbodohkan. Apa yang mereka mahu cuma sebuah kehidupan. Mereka mahu tenang sebagaimana kini di masa hadapan. Jangan dipergunakan mereka setelah mereka diperbodohkan selama ini. Jika benar sayangkan umat ini, beritahu mereka apa yang terhidang di masa hadapan. Sediakanlah mereka untuk saat itu. Kepada semua, seharusnya bermula semalam kita sudah persiapkan diri untuk menghadapi segala kemungkinan di dunia dan akhirat. Bukankah kita sebaik-baik umat?

© 2007 - 2010 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.

1 comments:

Saya bersetuju dengan pandangan saudara M.I.A. bahawasanya umat Islam perlu menyiapkan diri bagi menghadapi masalah2 yang akan mendatang. Apa yang saya lihat di sini ialah umat Islam rata-ratanya mementingkan diri sendiri. Malas membaca buku dan mengkaji(bukan semua). Walaupun begitu, saya tetap hormat dengan mereka yang masih marah kalau agama sendiri dihina berbanding si Murtad yg sudah tentunya tidak mempedulikan agama ini. Cumanya, kalau yang marah2 tu berusaha untuk memperbetulkan tanggapan salah orang lain terhadap agama Islam bukankah itu lebih baik. Akhlak juga saya kira satu perkara yang sudah hilang hari ke hari dalam diri seorang Muslim. Berapa ramai yang komennya bertujuan membela Islam tetapi memesongkan lagi pandangan org kafir(saya kira tak perlu nak kata org bukan Islam kerana Kafir bermaksud bukan Islam seperti yang dikatakan oleh saudara M.I.A sendiri.)

Ketaksuban yang melampau kepada pemimpin juga saya kira adalah faktor utama yang boleh menggugat perpaduan umat islam terutamanya bangsa Melayu. sebagai contoh Al-Arqam dahulunya merupakan sebuah pertubuhan Islam yang terkemuka dan dikagumi ramai. Kepimpinan Abuya Ashaari dalam mentadbir dan menjalankan dakwah patut dikaji biarpun pada akhirnya Al-Arqam tumbang kerana isu Abuya berdialog dengan Nabi. Ketaksuban kepada pemimpin menyebabkan pemimpin yang berbuat salah tidak dapat diperbetulkan.

Tidak ada manusia yang sempurna dari kesalahan malah Saidina Umar Al-Khattab pernah mengatakan kepada khalayak ramai "jika aku berbuat salah maka perbetulkan aku" lebih kurang macam ni la ayat beliau.. Kita sedia maklum Saidina Umar seorang insan yang sgt tegas dalam melaksanakan hukum agama. walaupun begitu, beliau juga pemimpin yang adil dan prihatin terhadap rakyat di bwah pemerintahannya. Beliau merendah diri dengan menerima pandangan orang lain walaupun beliau seorang pemimpin sebuah kerajaan yang besar pada masa itu.

Mana-mana pemimpin pasti akan berbuat kesalahan. Adalah tanggungjawab kita memperbetulkan kesalahan tersebut dengan cara yang baik juga. Bukannya terpekik dan terlolong di jalan raya yang sudah tentunya akan menambahkan kacau di negeri sendiri.
 

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email