Thursday, February 4, 2010

Harga Bukan Isunya.. Ia isu Pengkhianatan dan Keselamatan Rapuh!


oleh : M.I.A.
Melihat kepada kenyataan Menteri Pertahanan Malaysia, bahawa harga enjin jet bagi pesawat F 5E yang hilang sebelum ini hanyalah pada hitung kasar RM 300 ribu lebih. Jumlah yang digembar-gemburkan media itu tidak tepat. Lalu kenyataan ini diberikan sebagai langkah mitigasi isu supaya ia sedikit reda dengan kehilangan yang sikit.

Sebagai Muslim rakyat Malaysia, harga bukan isunya. Jika pencungkil gigi berharga lima puluh sen milik mana-mana juruterbang TUDM hilang di dalam pesawat sekalipun ia tetap isu besar. Isu ini merupakan isu pengkhianatan terhadap negara. Isu ini merupakan isu betapa lemahnya sistem keselamatan dan kawalan melibatkan aset paling penting negara. Ia merupakan isu betapa harapan rakyat kepada pemerintah yang diharapkan menyediakan system pertahanan yang boleh melindungi mereka, diperkosa harapan itu oleh pemegang-pemegang amanah yang tidak cekap, cemerkap dan bermentaliti mee segera. Segalanya segera. Segalanya dilihat pada kadar penilaian kesan akibat sekadar dua minit ke depan.

Googlekan sahaja melalui Google Earth mana-mana pengkalan tentera di Malaysia. Susun atur pesawat, hangar, bangunan pentadbiran, lokasi-lokasi aset-aset strategik, transformer pembekal kuasa elektrik, tangki air, berek dan segalanya jelas terpampang dalam skrin computer mana-mana pihak yang berminat dengan apa jua niat untuk mengetahui apa yang Malaysia ada sebagai aset pertahanan. Biarpun rata-rata imej Google Earth itu berusia dua tahun ke belakang, asset-aset bangunan biasanya tidak berubah kedudukan dan kemajuan pengkalan dulu dan kini dapat dinilaikan oleh pihak-pihak yang mahu mengambil tahu. Jika niat yang mahu mengambil tahu itu baik, tidaklah menjadi masalah. Tetapi bagaimana jika yang mahu mengambil tahu itu sedang merangka suatu kemudaratan yang datang bersama angin pagi yang betiup sesudah subuh pada suatu hari dihapadan nanti? Generasi kita mungkin sudah lupa dengan cakap besar sebuah republik yang menyatakan bahawa Malaysia ini dapat di tawan hanya dengan dua serangan udara. Operasi DAWN BLITZ yang digembar-gemburkan satu ketika dulu.


RMAF Butterworth yang terletak di kawasan Bagan Ajam tempat saya selalu memancing juga selalu menimbulkan rasa kurang senang hati bagi saya yang selalu berulang-alik ke sana. Dengan Transformer bekalan elektrik pembekal kuasa kepada pengkalan tersebut yang hampir dengan jalanraya, dibatasi hanya dengan pagar Chainlink dan kedudukan pagar tidak sampai 10 meter dari transformer tersebut, menimbulkan seribu satu persoalan, siapakah yang mengatur dan merangka strategi pertahanan negara? Siapa sahaja orang itu, yang jelas dia kurang bijak! Transformer bekalan elektrik yang menjadi nadi operasi pengkalan yang diletakkan pada kedudukan yang mudah diakses oleh orang luar tanpa perlu memasuki kawalan ketat pengkalan, meletakkan status operasi pengkalan tersebut mudah untuk disabotaj. Dengan bermotor kapcai dan peralatan yang sesuai, keseluruhan operasi pengkalan tersebut boleh dilumpuhkan dalam masa yang tidak sampai 10 minit! Apakah pengkalan sebegini yang kita harapkan untuk menjadi benteng utama pertahanan negara? Ini satu teguran. Jika enjin jet boleh di bawa keluar tanpa sebarang masalah, apatah lagi perkara-perkara lain yang tidak pernah terfikir oleh rakyat Malaysia yang menyandarkan pengharapan kepada pengkalan seumpama ini boleh berlaku.

Cuba google earthkan pula pengkalan dan system pertahanan negara jiran Singapura. Segalanya kelabu asap. Sesiapa sahaja yang hidup di zaman Red Alert dan menggilainya sehinga tak tidur dua tiga malam tahu apa yang diperlukan pengkalan masing-masing untuk mengelakkan aset-aset strategic mereka dibom dan dihancurkan dari jauh. Gap Generator yang mengkelabukan kawasan dengan awan gelap merupakan sesuatu yang perlu sebagai perlindungan dari satelit-satelit dan pesawat-pesawat pengintip. Mungkin teknologi sedemikian belum wujud, tetapi tidak mustahil ia boleh dihasilkan.

Saya ada ramai kawan dari yang berpangkat rendah hingga ke yang sedikit berpangkat di dalam perkhidmatan tentera. Semangat mereka cukup kuat untuk mempertahankan negara. Semangat mereka cukup hebat. Mereka tidak bercakap mengenai kelemahan, mereka sentiasa bercakap mengenai semangat. Tetapi malang bagi mereka kerana semangat mereka itu seakan bersandarkan suntikan placebo yang tidak memberi jaminan dan kesan. Isu pertahanan negara bukan satu isu yang kecil. Jika ada elemen yang menggugat keselamatan negara, saya percaya ramai masyarakat muslim di Malaysia ini tahu akan tanggungjawab mereka mempertahankan negara ini walaupun diri mereka bukan anggota tentera. Muslim sanggup mengangkat senjata jika diperlukan negara untuk berjuang bermati-matian untuk mempertahankan negara ini dari segala pencabulan luar. Tetapi janganlah mempariahkan semangat ini dengan ketumbukan dan pembuat dasar yang tidak kompeten! Kami mahu keseriusan dalam segala perancangan yang melibatkan semua dasar dalam negara terutamanya keselamatan. Kami mahukan negara diperlengkapkan dengan system pertahanan paling hebat tanpa perlu membazirkan wang dengan komisen-komisen yang tak perlu sehingga merendahkan spesifikasi asal ke tahap peralatan buruk yang sesuai untuk India besi buruk. Tak siapa melupakan 35 buah pesawat Skyhawk bertaraf ‘besi buruk terbang’ di gurun Arizona yang masih tersadai hingga kini kerana masalah-masalah ‘teknikal’. Apakah pembuat dasar membeli peralatan semata-mata untuk dihadiahkan kepada India besi buruk? Jika demikian keadaannya, bukankah lebih baik ditukarkan sahaja nama Kementerian Pertahanan kepada Kementerian Besi Buruk atau Kementerian Tak Tahan.. Auww…

Pada ketika pak-pak menteri, jeneral-jeneral perang dan pakar-pakar pertahanan sibuk mengira apa bentuk kontrak yang boleh diwujudkan bagi usaha memenuhkan tembolok golongan tertentu dan lena terkenyang di dalam angan di bawah sedar mereka, tiada siapa pun peduli tentang apa khabar keadaan dan situasi beberapa tempat dengan kedalaman lebih 30 meter di bawah tanah negeri-negeri yang bersempadan dengan jiran kecil yang bercita-cita besar. Kita semua berfikir bahawa pencerobohan itu mungkin berlaku melalui jalan udara, darat dan air, tetapi tiada siapa pun peduli mahu memeriksa apa yang berlaku di bawah tanah negeri-negeri yang bersempadan dengan negeri-negeri yang dekat dengan kita tetapi jauh mata fikir mereka. Malangnya kita fakir dalam cara kita berfikir. Saya tidak mempunyai apa-apa maklumat, saya hanya berfikir sebagaimana saya pernah berfikir semasa menjadi ‘jeneral perang’ di dalam Red Alert satu ketika dulu. Taktik perang meracun tanah dengan menggunakan Desolator yang dihantar melalui jalan bawah tanah, penkalan tentera musus diracun dan dimusnahkan dalam masa yang singkat. Dengan nick Black Flag 2.0 sempena band hardcore kegemaran saya di zaman remaja dulu, saya membawa panji hitam kepada ‘musuh-musuh’ cyber saya. Black Flag lawannya Bendera Putih. Black Flag bagi saya membawa simbolik bahawa saya berperang bermati-matian dan membawa angin maut untuk dihembuskan ke kerongkong jalan keluar roh pihak musuh. Black Flag milik saya bukan seperti bendera Jolly Roger. Ia semata-mata bendera hitam yang bererti ‘maut untuk anda sebagai musuh’.

Ya.. ia mungkin fantasi liar bahawa negara ini mungkin diceroboh melalui jalan bawah tanah oleh elemen yang cuba meruntuhkan sistem dan membuat kekacauan dari dalam sebelum apa-apa DAWN BLITZ atau operasi yang sewaktu dengannya dilancarkan, tetapi bagaimana jika ini merupakan satu bentuk calling bahawa sejak 30 tahun dahulu, di bawah tanah dalam negeri-negeri tertentu yang bersempadan dengan negara lain, sudah pun dibina labyrinth dan terowong-terowong yang berakhir di dalam rumah-rumah dan bangunan-bangunan tertentu yang bersekutu dengan musuh dari luar sebagai jalan seludup perkara-perkara, bahan-bahan atau apa saja elemen-elemen yang membawa kesudahan bersifat subversive di dalam negara? Bukankah ianya menarik untuk disiasat? Terpulang.. mungkin hanya saya seorang ‘berfantasi’…

Terbaru.. sebaik mahu memuatkan penulisan yang saya tulis hampir seminggu lepas ini, menteri yang sama mengumumkan bahawa rahsia pertahanan negara telah dibocorkan oleh agen-agen yang diupah oleh kedutaan sebuah negara. Apa perlu mempunyai sistem jika sistem itu mudah digodam, diceroboh dan dilelong sesuka hati? Saya bukanlah ahli dalam bidang ini. Tetapi saya mempunyai hak untuk bersuara demi menjalankan tanggungjawab dan amanah lisan dan pertuturan yang Allah kurniakan kepada kita semua. Apa yang kita mahu semua yang terlibat dan menamakan diri mereka sebagai kerajaan yang mewakili rakyat Malaysia, harus bermuhasabah dan memandang berat setiap amanah yang dipikulkan ke atas bahu mereka dan tidak mempersekutukan ibadah tanggungjawab mereka itu dengan motif-motif lain selain dari mengharap redha Allah. Di pencapaian itu, kita semua akan selamat dan aman di dalam naungan rahmat dari Allah. Tetapi sebelum ke pencapaian itu, jihad menentang kehendak hawa nafsu harus dimenangi terlebih dahulu. Tuan berusaha dan kami juga berusaha. Semoga Allah memudahkan usaha kita semua. Amin… Wallahua’lam.

p/s: Kepada tuan Jeneral dan pak menteri… jangan lupa hal-hal bawah tanah dengan negeri bersempadan negara jiran.. mungkin ada penemuan menarik di situ… tidak salah untuk memeriksa, jika benar tidak ada apa-apa, bukankah ia satu bentuk kelegaan kepada semua bahawa kita selamat dari pencerobohan dalam satu aspek.

6 comments:

good article
=)
 
entah la bro...
tapi harga mmg bukan isunya...
 
betul tu..jangan sampai jadi Red Alert The Yuri Revenge sudah..
 
Salam Syam Komeng,
TQ.. segala puji itu bagi Allah.
 
Salam Mee..
bukan setakat itu. Sebagai negara dengan majoriti muslim, kita seharusnya sentiasa di depan dalam cara kita berfikir mengenai masa depan negara ini.. pemikiran mi segera dalam kementerian yang antara paling penting di negara ini seharusnya dibendung. betul tak mee?
 
Salam Penulis,
Yuri sudah lama masuk dan memanipulasi minda orang ramai untuk tunduk dan patuh secara membabi buta kepada tokoh-tokoh dan perjuangan-perjuangan tertentu.. yang belum terhasil ialah serangan pada skala besar-besaran dan untuk pengetahuan jam tika itu berlaku sedang bergerak dengan pantas.. bukan mudah untuk menumpaskan base yang dijaga Yuri bukan? betul tak Penulis..?
 

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email