Oleh : Imran Haaz/M.I.A.
Bismillahir Rahmanir Raheem.. Selepas ini,
pihak berkuasa agama Islam negeri mungkin terpaksa mengadakan satu lagi jawatan
untuk pengurusan masjid. Pemain organ untuk lagu-lagu ketuhanan ala-ala lagu
gospel gereja mungkin diperlukan selepas ini. Fatwa-fatwa mengarut demi
pengaruh politik mula tersebar sepantas penyakit ebola bawaan udara.
Mereka kini tidak tahu beza antara masjid,
pentas konsert, perpustakaan dan studio rakaman. Hanya perlukan kopiah, sedikit
janggut dan wajah yang dibuat innocent,
ia sudah cukup Islami bagi minda yang terasuk serta dilemahkan oleh kryptonite
minda muslim. Kini, apa sahaja instrument muzik boleh dibawa masuk ke masjid
atas nama muzik Islami. Manusia ke masjid tidak lagi kerana menunggu dan rindu
kepada Allah, tetapi seronok dan sedap mendengar dendang seruling, petikan
ukulele dan sebagainya. Tiada akan ada banyak perbezaan antara masjid dengan
gereja dalam dekad-dekad akan datang. Bermula dengan menjinakkan masjid dengan
ukulele, selepas melihat tiada bantahan kerana telah difatwakan ahli kitab
muslim sebagai tidak apa atas nama ‘Muzik Islami’, akan dimasukkan pula selepas
ini set drum, kemudian bass, kemudian seruling, lepas itu tabla, kemudian
didgeridoo, kemudian rak amplifier 10 tingkat, kemudian pentas, kemudian set
penataan cahaya, kemudian penari latar, kemudian asap bagi menghidupkan suasana
konsert . Tidak cukup dengan itu, dimasukkan pula organ gereja dengan paip
bunyian setinggi kubah masjid. Organ ini tidak lengkap kalau pemain organnya
tidak bernama Igor.
Pak Haji-Pak Haji yang cuba lari dari
hiburan dengan memasuki kelab pencen di masjid untuk cuci tangan kini tidak
lagi boleh lari ke mana-mana. Mereka cuba cuci tangan dari hiburan,
tetapi hiburan kini mengejar mereka hingga ke dalam masjid.