Sunday, September 4, 2011

Setiap kemajuan bermula dengan sebuah masalah..

oleh : M.I.A.

Bismillahir Rahmanir Raheem.. Saya terbaca dan kerap terdengar ramai orang bersungut mengenai masalah-masalah yang dihadapi mereka di dalam kehidupan sehari-harian. Tambahan pula dengan mood suram selepas sambutan raya. Oleh kerana sumber ekonomi tidak diuruskan dengan betul, maka ada yang mula bersungut seolah-olah Aidil Fitri itu satu bebanan kepada keupayaan kewangan mereka. Tiada sesiapa pun yang memaksa mereka berbelanja mewah tanpa had dan sempadan. Tiada siapa pun yang menyuruh mereka melakukan persediaan lebih dari kemampuan. Maka, apabila selesai sahaja sambutan Aidil Fitri, maka mula terdengar pelbagai sungutan seolah-olah masalah yang berpunca dari kelemahan diri itu satu bebanan yang terlalu berat untuk dipikul. Tetapi, jarang dan kurang sekali manusia-manusia mengambil berat serta memberi perhatian kepada masalah yang dihadapi. Mungkin mereka tidak memahami bahawa masalah yang sedang mereka hadapi itu merupakan satu bentuk paksaan yang dikenakan ke atas mereka supaya mereka dapat memajukan diri serta meningkatkan taraf kehidupan dan ketamadunan mereka.


Ada yang menganggap ia sebuah lumrah kehidupan, tetapi malangnya ada pula yang apabila ditimpa masalah, mula meraban dan bercakap sesuatu yang tidak elok mengenai Tuhan. Benar, masalah adakalanya membebankan dan terkadang ianya merencatkan setiap apa yang telah dirancang sebelum ini.

Walaubagaimanapun, jika masalah itu sentiasa dipandang kehadirannya dengan cara negatif, ianya tidak akan membawa kita ke satu tahap yang lebih elok dari kedudukan kita pada masa kini. Di dalam Syahadah Gadis Ateis, saya ada berbicara sedikit tentang masalah yang melanda setiap seorang dari manusia. Saya menyatakan bahawa setiap masalah yang kita hadapi, ianya merupakan salah satu bentuk paksaan yang dikenakan Allah ke atas kita untuk memajukan diri. Allah memberikan kita ujian berupa masalah dalam kehidupan seharian bukanlah dengan tujuan mahu melihat kita jatuh tersungkur. Tetapi Allah, sebagai pencipta manusia, Dia tahu sebenarnya apa kekuatan dan kelemahan manusia yang diciptakanNya.


Allah sebagai Tuhan yang menciptakan, Dia tahu bahawa manusia, di dalam keadaan senang lenang, mereka akan mudah alpa dan terlalu mengambil mudah. Allah tahu, bahawa manusia itu sifatnya jika tidak ditimpa masalah akan berasa senang dan berpuas hati (complacent). Jika terlalu bersenang lenang, tiada kemajuan yang dapat dicapai. Bangsa yang terlalu berasa senang akan tenggelam di dalam kesenangan mereka apabila mereka dihampiri bangsa lain yang kehidupan mereka sebelum ini penuh dengan perjuangan untuk mendapatkan sebuah kehidupan yang sedikit memuaskan.

Perhatikan disekeliling kita. Sebagai contoh perhatikan gambar pejabat yang dimuatkan di bawah. Bukankah segala-galanya yang ada disekeliling kita termasuk apa yang kita pakai, ianya dihasilkan bermula dengan sebuah masalah. Perhatikan jam tangan pada pergelangan tangan kita. Suatu masa dulu, untuk mengukur masa, manusia perlu mengambil galah untuk mengukur bayang matahari. Manakala untuk menentukan waktu di malam hari, mereka perlu keluar dari rumah untuk melihat kedudukan buruj-buruj tertentu pada kedudukan tertentu di langit. Ia sebuah masalah yang menyusahkan bagi ramai manusia, tetapi hanya segelintir memberi perhatian kepada masalah tersebut supaya ianya dapat diatasi.
Lalu wujudlah teknologi pembuatan jam mekanikal pada awal abad ke 15.


Dari jam yang besar, ianya dikecilkan menjadi jam poket oleh Peter Henlein. Kemudian berevolusi menjadi jam tangan untuk wanita oleh Patek Phillippe pada lewat 1800. Louis Cartier kemudiannya, membina sebuah jam tangan untuk lelaki pada awal 1900. Sebahagian besar dari mereka yang memberikan perhatian serius kepada kesukaran menentukan masa, membuatkan kita pada hari ini mudah di dalam kehidupan kita. Manakala mereka-mereka yang mencari jalan penyelesaian kepada masalah tersebut, membina kekayaan kerana mereka tidak pernah melayan masalah sebagai sesuatu yang negatif, tetapi menjadikan masalah tersebut sebagai suatu batu loncatan untuk mencari kekayaan setelah berusaha keras mengatasinya.

Perhatikan komputer di atas meja tuan-tuan. 

Bukankah penciptaannya bermula dengan pelbagai masalah yang menyusahkan manusia suatu ketika dahulu? Bukankah satu ketika dulu untuk menulis rekod manusia perlu memahat batu semata-mata untuk menyimpan rekod atau bercerita. Kemudian masalah itu di atasi dengan penciptaan pen yang diperbuat dari bulu burung yang perlu dicelup dakwat setiap kali mahu menulis. Ia masih memberikan masalah. Lalu dicipta pula pen berdakwat basah untuk memudahkan urusan penulisan dan penyimpanan rekod bagi mengatasi kekurangan alat tulis sebelum ini. Begitulah seterusnya sehingga kepada penciptaan mesin taip. Rasanya, saya merupakan antara generasi terakhir yang menulis assignment dengan menggunakan mesin taip di tahun-tahun awal di universiti. Memang menyusahkan. Sekali silap, seluruh muka surat perlu ditaip semula. Syukur, masalah tersebut diatasi dengan penciptaan komputer peribadi. Segalanya kini mudah. IBM menjadi sebuah syarikat yang kaya kerana memberi perhatian kepada masalah secara positif. Bill Gates menjadi antara manusia paling kaya di dunia kerana dia juga tidak menganggap masalah sebagai suatu yang negatif.

Kerusi, bangku, meja, almari, rak buku, kasut yang dipakai, seluar, baju dan segala-galanya disekeliling kita diciptakan oleh manusia-manusia yang memberi perhatian serius kepada masalah yang dihadapi oleh manusia lain. Jadi kenapa perlu bersungut ditimpa masalah sedangkan orang lain menjadikan masalah yang kita hadapi sebagai lubuk tempat ia mencari dan membina kekayaan? Ambil positif setiap masalah, insyaAllah ada jalan keluar yang menarik menanti. Allah s.w.t. berfirman di dalam surah Al Insyirah (Asy Syarh) ayat 1 - 8 seperti di bawah :

(1) Bukankan Kami telah melapangkan untukmu dadamu? (2) Dan
Kami telah menghilangkan bebanmu darimu, (3) Yang memberatkan
punggungmu? (4) Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu.
(5) Karena sesungguhnya, sesudah kesulitan itu ada kemudahan,
(6) Sesungguhnya, sesudah kesulitan itu ada kemudahan. (7) Maka
apabila engkau telah selesai (dari suatu urusan), kerjakanlah dengan
sungguh-sungguh (urusan) yang lain, (8) Dan hanya kepada Tuhanmulah
hendaknya kamu berharap.


Percayalah, setiap kesulitan itu akan diganti dengan dua kesenangan. Itu pun jika kita tidak jatuh tersungkur dan bersungut dengan ujian-ujian yang dikenakan Allah ke atas kita dan jika kita tidak mengambil langkah perlu untuk mengatasi setiap permasalahan dan kesulitan yang dihadapi bagi menukarnya menjadi sesuatu yang positif.  Kita harus bangkit dan belajar berhadapan dengan masalah dan bukan membiarkan masalah itu menundukkan kita. Wallahua'lam.

© 2011 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.

8 comments:

Assalamualaikum..

Terima kasih.. satu perkongsian yang baik.
 
Masalah jika dianggap sebagai cabaran pasti akan lebih memotivasikan manusia untuk berusaha mengatasi bebanannya.
 
W'kmsalam Ayah Joe..
Setuju dgn PEMIKIR.. tp ramai yg anggap masalah sbg permulaan kegagalan.
 
السلام عليکم

Terima Kasih satu perkongsian yang amat baik. Seolah-olah memang kena dengan perjalanan hidup saya semenjak akhir-akhir ini.

Terima Kasih juga sebab mula mengemaskini kandungan blog satuhala ini.

Cuma, boleh saya berikan cadangan? Apa kata "Satuhala" ini menawarkan langganan melalui "RSS" dan juga "Subscription by email". Paling tidak, bila ada kandungan yang baru, pelanggan akan terus dapat artikel terus ke dalam kotak emel.

Selamat Hari Raya AidilFitri :)
 
Betul la kata Incik RestNrileks sebab senang la tgk kalau encik
M.I A ni dah update ke belum x payah nak bukak blog ni check kan?.. huhu~~
 
Wa'alaikumsalam Incik Rest n Rileks & Juita Maya.. InsyaAllah saya akan cuba memperbaiki kelemahan tersebut dgn membolehkan RSS dan subscription by email.. cadangan yang baik.. cuma saya sering terlambat dan tertinggal keretapi yang sudah lama bergerak laju kerana terlalu hesitate utk melakukan sesuatu tanpa memahami sesuatu itu dgn pemahaman penuh.
 
Assalamualaikum..

THANK YOU,
 
Wa'alaikumsalam Anon,
Sama-sama.
 

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email