Friday, February 15, 2019

Rak Rak Rum!

Semakin bejat pengisian naskah drama dan filem kita. Islami mereka ialah pada tudung dan langkah terkepit. Benar-benar sempit. Islami pada penampilan dan kosmetik drama, tetapi semua batas hukum dilanggar, dirodok dan disodok. Berpeluk sakan sampai tidak ingat akhirat. Sebaik lesen besar berlakon sebagai suami isteri diberikan pengarah, ia diangkat sebagai wahyu baharu dari otoriti yang lebih besar dari Tuhan untuk melanggar hukum-hukum Tuhan tanpa rasa bersalah.

“Itu kehendak pengarah. Saya hanya menjalankan tugas. Semua ini tuntutan skrip.”
Kuyup lencun habis basah dikahakkan alasan tersebut untuk sesiapa sahaja yang bertanyakan perihal itu kepada mereka. Bagaimana pula dengan kehendak Tuhan, serta tuntutan agama? Ke parit dan longkang mana ia dihumbankan?

Patutlah kualiti filem dan drama kita semakin hari semakin menuju ke loji kumbahan. Jika sebelum ini, mereka berbangga dengan hasil kutipan. Tahun lepas dan tahun ini, kutipan semakin merudum. Sama merudumnya dengan sisi kebejatan moral di dalam sampah-sampah di dalam gelap yang ditawarkan kepada penonton Melayu. Rak Rak Rum jatuh berderai rumah nenek bagai dalam cerita ram-ram pisang.

Tak tegur makin bejat. Tapi kalau ditegur sakan mereka melompat-lompat.
“Penonton sekarang sudah bijak.” Itu satu lagi klise. Entah Einstein mana yang tolong membuat ukuran. Mungkin kerana penonton semakin bijaklah mereka kini berbelanja dengan bijak dengan menolak untuk menghabiskan duit dan wang mereka dengan menyokong industri filem kita.

Bukan semua insan seni dan pengarah berfikiran demikian, Cuma majority daripada mereka yang memalitkan lumpur kepada segelintir minoriti. Ini kisah yang malang. Medium yang seharusnya menjadi penggerak kekuatan generasi Islam menjadi kunyahan manusia-manusia dengan pemikiran yang boleh dipertikaikan.

Menggeleng kepala melihat bagaimana watak seorang ‘muslimah’ tidak dapat membendung nafsu lantas mengambil tindakan drastik meraba secara rakus punggung pelakon lelaki di dalam sedutan drama di bawah. Seolah-olah itulah punggung terakhir di dalam dunia yang boleh diramasnya.

Oh maaf.. saya yang tersilap. Saya tidak patut menegur. Itu semua kehendak pengarah rupanya. Terlalu berani dan cabul penulisan ini menegur pengarah dan penerbit yang seolah-olah mempunyai Otoriti yang lebih tinggi dari Tuhan semesta alam.
Maaf sekali lagi.. saya terlupa. Itu semua tuntutan skrip rupanya.

Maaf.. sekali lagi saya terlupa. Saya terlupa bahawa mereka telah mendapat wahyu dari tuan pengarah untuk membatalkan hukum-hukum Tuhan.

“Penonton sekarang sudah bijak!”

Oh Maafkan saya sekali lagi kerana tidak sebijak penonton yang menonton drama-drama dan filem-filem tersebut.

“Kami sudah merujuk ustaz dan kitab-kitab besar,”

Oh.. kalau begitu saya sedang hidup sebagai orang jahiliah.Maafkan saya sekali lagi.
“Sebagai manusia yang lebih bijak mengenai bidang seni Negara, kamilah yang lebih layak untuk menentukan halatuju industri seni Negara.”

Oh.. kalau begitu, saya terus tersilap membuat judgement awal kepada apa yang saya rasa sebagai bejat. Cuma tinggal satu persoalan, jika tuan-tuan pemain industri ini terlalu super-duper bijak dan wajib menerima sebelas anugerah nobel di dalam semua hal-hal tersebut, kenapa situasi kewangan FINAS setelah diserahkan kepada pemain industri turut rak rak rum seperti rumah nenek di dalam cerita ram ram pisang?


Inilah jadinya bila pengarah menjadi Tuhan dan skrip menjadi kitab panduan. Jahanam. Rak rak rum!


Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email