Tuesday, May 13, 2014

Minda Bawah Sedar dan Hipokrisi Teragung

Oleh : Imran Haaz

Apabila ditanyakan kepadanya, bagaimana gerakan dajjal dapat mempengaruhi manusia, dengan ringkas, Syeikh Imran Hossein menjawab, “Melalui bisikan.” Lalu dia membacakan surah an Nas. Sebuah surah yang dianjurkan untuk perlindungan manusia dari gangguan-gangguan halus. Berikut surahnya.

[1] Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang memelihara sekalian manusia.

[ 2] Yang Menguasai sekalian manusia.

[ 3] Tuhan yang berhak disembah manusia.

[4] Dari kejahatan pembisik yang datang dan menghilang.

[5] Yang melemparkan bisikan ke dalam hati manusia.

[6] (Iaitu pembisik) dari kalangan jin dan manusia

Pemikiran Melayu tipikal akan menyempitkannya kepada elemen serta entiti halus. Gangguan Jin dan syaitan kerap kali disebut sebagai gangguan yang dimaksudkan. Santau, sihir dan sebagainya turut dipukalkan sekali. Mereka berkata benar. Tetapi sayang mereka menyempitkannya sehingga kekuatan kefahaman ayat ini menjadi sempit.

Bukankah di dalam ayat terakhir di dalam surah tersebut turut menyebut mengenai bisikan dari kalangan Jin dan Manusia. Jin, sepertimana kita tahu dapat meresapi pembuluh darah. Dia boleh membisik perkara-perkara jahat kepada pemikiran dan nafsu kita tanpa kita sedar.

Kerana itu, Allah berpesan, jika mahu membaca al Qur’an, harus mulainya dengan bertaa’wudz. Ia disebut dengan jelas dan tidak dipertikaikan di dalam surah an Nahl ayat 98 seperti berikut. Jika membaca al QUr’an sekalipun,tanpa ta’awudz kita tetap terdedah kepada bisikan-bisikan jahat syaitan yang cuba memesongkan kefahaman kita dari maksud sebenar yang Allah mahu kita fahamkan.

Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau (terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam. (an Nahl ayat 98)

Apabila Tuan Mohd Lutfi di dalam akaun facebooknya berkongsi sebuah video yang memperlihatkan ayat-ayat al Qur’an dibaca sebelum sebuah konsert orkestra dimulakan, lantas saya teringat mengenai catatan-catatan lama yang pernah saya buat berkenaan bisikan-bisikan syaitan ini.

Saya menyelak buku-buku nota saya mengenai ‘bisikan-bisikan syaitan’. Jin dan Syaitan, kita tahu cara mereka. Tetapi bagaimana pula Syaitan dari kalangan manusia membisik idea-idea serta pemikiran-pemikiran jahat kepada manusia?

Pernah dengar tentang keupayaan minda bawah sedar manusia? Subconsious mind di dalam bahasa Inggeris. Ia boleh dihasut dan dibentuk tanpa diri manusia itu sendiri sedar bahawa pemikiran mereka sedang dibentuk tanpa rela mereka. Manusia boleh dibentuk untuk berfikir dalam cara orang lain mahu mereka berfikir.

Dalam zaman ini, siapa diri anda ditentukan bukan oleh kemahuan diri anda. Tetapi siapa diri anda dibentuk oleh apa yang disuapkan ke minda bawah sedar anda pada setiap hari. Apa yang anda baca, apa yang anda tonton, apa yang anda dengar dan segala apa yang berada disekeliling anda akan memberikan bisikan-bisikan mereka tentang bagaimana anda akan berpersepsi  di dalam kehidupan nanti. Ingat, anda disini hari ini bukanlah anda sepertimana yang anda mahukan. Kecuali orang-orang yang ikhlas di dalam menjalankan tuntutan-tuntutan Allah. Mereka, pemikiran mereka, hati mereka tidak akan dapat disentuh oleh mana-mana bisikan syaitan tidak kira samada datang daripada Jin dan Manusia.

Apabila menonton filem Constantine, anak saya, Mifthahul Jannah, 5 tahun, bertanyakan tentang benarkah adanya perjanjian antara Tuhan dengan Iblis sepertimana yang disebut di dalam filem tersebut. Saya menjelaskan kepadanya, bahawa memang terdapat perjanjian antara Tuhan dengan Iblis. Tetapi bukanlah di dalam bentuk yang digambarkan di dalam filem itu, di mana kuasa Iblis sama kuat dengan kuasa Tuhan. Ini adalah dogma dualism yang cuba dibisikkan ke dalam hati manusia melalui filem tersebut.

Apabila Iblis dilaknat Allah, dia memohon umurnya dipanjangkan supaya dia boleh menggoda manusia. Allah membenarkannya. Tetapi, bukan semua jenis manusia yang dapat digoda Iblis. Golongan yang mukhlis, yang ikhlas beribadat dan melakukan segala-galanya kerana Allah tidak akan berjaya dihasut dan dirosakkan Iblis.

Iblis berkata: "Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,- kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka". Allah berfirman: "Ini adalah jalan yang lurus, kewajiban Aku-lah (menjaganya). Sesungguhnya hamba-hamba-Ku tidak ada kekuasaan bagimu terhadap mereka, kecuali orang-orang yang mengikut kamu, yaitu orang-orang yang sesat. (al Hijr ayat 39 hingga 42)

Iblis berkata: "Ya Tuhanku, beri tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan".Allah berfirman: "Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh, sampai kepada hari yang telah ditentukan waktunya (hari Kiamat)". Iblis menjawab: "Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang mukhlis di antara mereka.  (Sad ayat 79 hingga 83)

Bagaimana dengan nasib golongan yang tidak ikhlas di dalam beribadat dan melakukan segala-galanya kerana Allah? Mereka-mereka inilah yang akan menjadi mangsa program minda bawah sedar oleh bisikan-bisikan syaitan dari kalangan Jin dan Manusia.

Persoalannya, apa yang cuba mereka capai dengan melakukan gesture membenarkan ayat-ayat al Qur’an dialunkan sebelum permulaan konsert orkestra seumpama itu? Sekali lihat, ramai yang akan terkesima dengan gesture terbabit. Seolah-olah Islam sedang diiktiraf dan diberi kedudukan baru di dalam pemikiran mereka.

Tetapi, persoalan yang bermain di dalam mana-mana minda Muslim yang waras, apa yang mahu mereka capai dari situ? Paranoid? Kita bukanlah paranoid. Malah kita juga bukanlah terlalu naïf sepertimana yang mereka sangka. Biar saya jelaskan, apa yang mahu mereka capai dengan gesture seumpama itu.
Bagi saya yang telah berperang dengan mereka hampir 10 tahun lamanya, saya telah melihat modus operandi  dilakukan berkali-kali saban tahun.

Dalam keadaan Islam merupakan agama yang paling pantas berkembang di dalam dunia, mereka-mereka yang memusuhi Islam tidak mempunyai jalan lain selain daripada merosakkan Islam dari dalam. Untuk mereka-mereka yang berada di luar agama Islam, mereka akan cuba merosakkan persepsi manusia di luar Islam supaya memandang Islam ini hanya sebagai salah satu deviasi dan pilihan-pilihan yang ada di dalam beragama. Mereka cuba meletakkan Islam sebaris dengan seni, doktrin, dogma, aliran pemikiran, falsafah dan segala perkara lain ciptaan manusia.

Mereka telah cuba mengebom dan membunuh orang-orang Islam di negara-negara Islam. Pada  perkiraan mereka, umat Islam akan hancur sebaik negara mereka hancur. Tetapi, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Cita-cita awal ini gagal. If you can’t beat them, join them. Itu kata-kata biasa yang diulangungkapkan oleh mereka.

 Apabila negara-negara Islam dihancurkan, umat-umat Islam ini berpindah secara beramai-ramai memasuki negara mereka. Mereka kini sedang diancam kebanjiran umat Islam di dalam negara mereka. Apabila kehadiran terlalu ramai umat Islam di negara mereka sendiri, maka kewujudan agama Islam itu semakin menjadi signifikan dan ternampak di mana-mana. Orang-orang luar akan mula bertanya tentang Islam. Orang-orang luar Islam akan mula berminat untuk menyelidiki tentang Islam.

Jadi sebelum mereka-mereka yang berminat untuk menyelidiki Islam ini membulatkan pendapat bahawa Islam ini merupakan agama yang benar dari Tuhan Sekelian Alam, maka golongan dari gerakan dajjal ini akan memastikan mereka-mereka ini akan ditanamkan dengan satu bentuk preconceived idea (praanggapan) tentang Islam.

Lalu ditanamkan melalui pelbagai usaha termasuk di dalam filem-filem, penerbitan-penerbitan, bahan-bahan pembacaan dan sebagainya bahawa Islam hanyalah sekadar sebuah idea lain yang sama seperti idea-idea pemikiran lain. Mereka cuba meletakkan semua keindahan segala aspek yang terdapat di dalam Islam di dalam kategori perkara yang sama yang mampu dilakukan manusia.

Keindahan alunan ayat-ayat al Qur’an tidak lebih dari sebuah ekspresi seni dari satu cabang seni yang lain, iaitu Islam, yang boleh mereka nikmati tanpa perlu mengambil serius tentang apa yang ayat-ayat itu mahu sampaikan. Maksud-maksud ayat disampaikan tidak lebih dari terjemahan kepada “lirik karya seni” yang sedang dipersembahkan.

Jika al Qur’an hanya dipersembahkan sebagai salah satu pecahan cabang seni, mereka akan menerimanya di dewan konsert terbabit.

video


Tetapi apabila al Qur’an disampaikan sebagai ayat-ayat seruan Tuhan kepada manusia di dalam dewan-dewan konsert sebelum atau selepas konsert mahu dijalankan, maka yang menyampaikannya akan ditahan dan mungkin dianggap sebagai pengganas. Lihat pula video di bawah:




Bukankah ini sebuah hypocrisy at its best?

Pernah menonton V for Vendetta? Filem kesukaan saya. Wachowsky Brothers (Sekarang Wachowsky brothers & sister), menghasilkan filem-filem hebat. Saya mengkaji karya-karya mereka kerana mereka bijak memasukkan elemen program kepada minda bawah sedar manusia-manusia yang menontonnya. Hampir setiap filem mereka memasukkan elemen perjuangan LGBT dan mahu mengangkat LGBT sebagai salah satu pilihan yang dipilih manusia. Tetapi subjek tersebut merupakan sebahagian kecil dari subjek perjuangan besar yang dimasukkan ke dalam filem-filem mereka. Dari the Matrix hingga ke Cloud Atlas, tema perjuangan menentang penindasan dan sikap berbuat baik dibalas baik cuba diterapkan di dalam filem-filem mereka.

Tidak percaya filem-filem mereka berjaya memasukkan elemen bawah sedar ke dalam pemikiran khalayak yang menontonnya? Lihat sahaja budak-budak Melayu yang mana junjung mereka dipijak kaduk merasakan diri mereka sebagai sedang berjuang menetang kezaliman dengan memakai topeng Guy Fawkes di dalam demonstrasi-demonstrasi yang dijalankan. Mereka tidak sedar, bahawa kezaliman yang ditentang mereka itu sebenarnya bersama mereka. Mereka tidak sedar mereka sedang dipreralatkan untuk meruntuhkan batu penghalang kepada gagasan hegemoni gerakan dajjal di bumi bertuah ini. Bukankah filem itu berjaya mendidik khalayak yang menontonnya untuk bangkit memberontak? Sekurang-kurangnya V dan Evey Hammond watak di dalam filem itu tahu apa yang mereka perjuangkan. Mereka bertindak setelah minda mereka dibersihkan dari sebarang program minda bawah sedar manusia-manusia yang cuba memperhambakan pemikiran mereka.

Dalam filem tersebut, ada sebuah babak di mana watak Gordon Deitrich membawa Evey Hammond masuk ke bilik rahsianya. Dalam bilik tersebut, terdapat pelbagai simpanan perkara-perkara yang diharamkan oleh kerajaan Fascist pimpinan parti Norsefire. Antaranya terdapat sebuah naskhah al Qur’an kurun ke 14.

Evey Hammond apabil ternampak naskhah al Qur’an tersebut, dia menjadi terkejut dan bertanyakan Deitrich samada dia tidak takut memilikinya di dalam simpanannya. Apabila Deitrich menjawab bahawa dia tidak takut, lalu Evey bertanyakan kepadanya, samada dia seorang Muslim. Untuk soalan itu, Dietrich menjawab :

“I don’t have to be Muslim to find the images beautiful, poetry moving..”






Yang menarik tentang objek-objek haram yang disimpan Deitrich ialah sebuah bendera Gabungan Amerika dan Britain dengan fahaman Nazi, sebuah potret anti Establishment dan gambar seni erotik homoseksual. Seluruh babak itu bergerak dari bendera Nazi, kemudian poster anti establishment dan kemudian kepada babak dialog al Qur’an tersebut. Selepas babak al Qur’an terbabit, Deitrich terlihat Evey memandang gambar seni erotic homoseksual yang disimpannya. Dia mengaku dirinya seorang homoseksual. Seluruh babak ini seolah-olah ingin menyampaikan tiga maksud.

Yang pertama, maksud yang jelas. Maksud yang jelas ialah maksud yang mahu disesuaikan dengan keseluruhan naratif filem tersebut. Semua perkara-perkara yang mengancam golongan pro establishment, akan diharamkan di bawah sistem pemerintahan Totalitarian dan Fascist.

Yang kedua, maksud tersirat. Al Qur’an dan apa yang ada di dalamnya adalah sebaris dengan fahaman-fahaman Neo Nazi, anti Establishment barat dan aktiviti LGBT yang ditakuti barat satu ketika dulu.
Yang ketiga, program kepada minda bawah sedar. Anda tidak perlu menjadi seorang muslim untuk mengagumi aspek keindahan Islam. Ini kerana, Islam sebagaimana perkara-perkara yang lain dalam simpanan Deitrich adalah bentuk-bentuk deviasi pemikiran sama seperti idea-idea pemikiran manusia yang lain.

Bukankah alunan al Qur’an di konsert terbabit dan juga naskah al Qur’an di dalam filem V for Vendetta hanya di situ adalah diprogramkan untuk dinikmati sebagai salah satu dari pecahan cabang-cabang seni manusia? Mesejnya, anda tidak perlu untuk menjadi seorang Muslim untuk menikmati semua itu. Ia hanyalah sebuah karya seni. Sama seperti lagu-lagu yang akan dipersembahkan seterusnya. Sama seperti karya-kara seni dalam himpunan Deitrich di dalam filem V tersebut.

Sentiasa ingat pesan ini. Jangan biarkan orang lain menentukan cara anda berfikir dan memahami dunia. Ingat, hanya orang-orang yang mukhlis akan terselamat dari menjadi objek bisikan-bisikan syaitan. Tidak kira samada dari kalangan Jin atau manusia.

Entah Apa lagi yang Mujahid mahu sebagai bukti?

Wallahua’lam.



 © 2007 - 2014 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email