Sunday, May 25, 2014

Malaysia BUKAN Sebuah Negara Sekular - HUDUD BOLEH DILAKSANAKAN.

Di bawah ini saya lampirkan satu penulisan yang baik yang dipetik dari laman web www.bangkit.info. Ia berkenaan persepsi-persepsi salah yang selama ini mengatakan negara ini adalah sebuah negara sekular. Ia sebuah penulisan dari pihak Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA). Sila 


Malaysia BUKAN Sebuah Negara Sekular - HUDUD BOLEH DILAKSANAKAN.



Tiada asas yang kukuh untuk mendakwa bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Sekular atau Secular Nation. Rujukan-rujukan yang dibuat kepada beberapa kenyataan Almarhum Tunku Abdul Rahman kononnya Malaysia diasaskan sebagai sebuah Negara Sekular adalah sekadar pujukan politik bagi memastikan masyarakat bukan Islam terus kekal bersama UMNO dalam Perikatan dan kemudiannya BN.

Kenyataan-kenyataan yang menyerlahkan sentimen untuk terus kekal sebagai sebuah Negara Sekular juga mungkin berasaskan kepada kefahaman yang salah mengenai peranan dan kedudukan Residen-residen British di Negeri-negeri Melayu. Hakikat bahawa Persekutuan Tanah Melayu bukan bermula sebagai sebuah Negara malah ia berasal dari Kesultanan Melayu/Islam langsung tidak diberikan perhatian. Mungkin ia berpunca dari pengaruh British yang begitu kuat dalam pentadbiran Persekutuan dan negeri-Negeri Melayu.

Masyarakat bukan Melayu terutamanya lebih merasakan British adalah tuan yang memerdekakan Negara ini. Sedangkan umat Melayu telah berjaya menghalang cubaan British untuk menjadikan Negeri-negeri Melayu sebagai Malayan Union. Mereka mungkin berjaya di India untuk menghapuskan Kesultanan moghul, Kesultanan Delhi dan berbagai Kesultanan Islam. Namun di Negeri-negeri Melayu British gagal. Bukan disebabkan oleh kekuatan negeri-negeri Melayu, tetapi ia banyak bergantung  kepada kemampuan Raja-raja dan pemimpin Melayu dalam perundingan dan berpolitik. Pepatah membujur lalu melintang patah banyak memainkan peranan hingga Negeri-negeri Melayu sebenarnya tidak jatuh keseluruhannya kepada British.

Anggapan berbagai pihak kononnya Suruhanjaya yang menggubal Perlembagaan Persekutuan adalah orang Inggeris, maka Perlembagaan yang dihasilkan ini tentunya bersifat sekular, juga tidak tepat kerana pihak berkuasa yang menentukan untuk menerima atau menolak syor-syor yang dibuat oleh Suruhanjaya Reid adalah Raja-Raja Melayu yang berdaulat di Negeri masing-masing. Malah Raja-Raja Melayu yang berdaulat inilah yang memutuskan untuk membentuk sebuah negara Persekutuan yang dinamakan Tanah Melayu pada tahun 1957. Tanpa perkenan dan persetujuan raja-raja melayu Negara ini tidak akan terbentuk dan negeri-negeri Melayu akan berpecah-pecah sebagai sebuah negara yang berdaulat sebagaimana negara Brunei.

BUKTI-BUKTI PENEGASAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN BAHAWA MALAYSIA BUKAN NEGARA SEKULAR ADALAH AMAT TERANG DAN JELAS SEBAGAIMANA BERIKUT –

1.   PERKARA 3 FASAL 1 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN Menjelaskan dengan terang dan nyata tanpa memerlukan kepada tafsiran yang berliku-liku –

“Islam adalah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain bebas untuk diamalkan dengan aman dan damai dimana-mana Bahagian Persekutuan.”

“Islam is the religion of the Federation; but other religions may be practised in peace and harmony in any part of the Federation.”

2.  PERKARA 37 FASAL (1) dibaca bersama Jadual keempat Perlembagaan Persekutuan.
Baginda YDPA sebagai Ketua Utama Negara wajib berikrar dengan melafazkan suatu sumpah atas nama suci Allah untuk memelihara agama Islam pada semua masa.
Sumpah YDPA

• Kami ........................................... ibni ............................................................. Yang di-Pertuan Agong bagi Malaysia bersumpah dengan melafazkan:
Wallahi;​Wabillahi; ​Watallahi;

• maka dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguh dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan yang telah disah dan dimasyhurkan dan yang akan disah dan dimasyhurkan di masa hadapan ini. Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri.

3.​TIADA UNGKAPAN SEKULAR DI DALAM PERLEMBAGAAN.

Walaupun memorandum Parti Perikatan kepada Suruhanjaya Reid ada menyebutkan bahawa penegasan Islam sebagai Agama Negara tidak menafikan ciri-ciri sekular Negara ini, namun semasa perundingan untuk memuktamadkan Perlembagaan ungkapan sedemikian tidak diterima untuk dimasukkan dalam Perlembagaan. Hasilnya Negara Malaysia mempunyai Perlembagaan yang langsung tidak menyebutkan sepatahpun perkataan Sekular yang boleh mengakibatkan Malaysia boleh dianggap sebagai sebuah Negara Sekular. Sedangkan bagi negara-negara sekular seperti India, Amerika dan Turki penegasan bahawa negara mereka adalah negara sekular adalah ditegaskan secara nyata dalam perlembagaan negara mereka.

Memang benar Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Perlembagaan sebagai Undang-Undang Tertinggi Negara, namun ia perlu difahami dengan maksud bahawa - Perkara 3(1)  yang memartabatkan Islam Agama Negara dan Perkara 37(1) yang mewajibkan lafaz Sumpah Agung adalah sebahagian dari undang-undang tertinggi Negara. Tidak ada percanggahan di antara Perkara 4 dan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Bahkan Perkara 4 menjadi tiang seri yang menyokong dan memartabatkan KETINGGIAN DAN KEDAULATAN AGAMA ISLAM sebagai  AGAMA NEGARA yang pada hakikatnya menafikan sama sekali kedudukan Malaysia sebagai sebuah Negara Sekular.

Kewajipan untuk Pelaksanaan Sumpah Agung pula adalah terletak kepada pihak eksekutif iaitu Jemaah Menteri atau mana pihak yang menjalankan tugas eksekutif atas nama SPB YDPA dan dalam hal ini termasuk lah juga kepada Legislative dan Judiciary. Dengan kata lain semua pihak yang terkait dengan aktiviti pemerintahan Negara adalah terikat dengan Sumpah Agung dan Prinsip Kedaulatan Islam sebagai Agama Negara ini.

Prinsip Kedaulatan Islam sebagai Agama Negara ini bukan hanya dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin rakyat bagi Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, bahkan prinsip itu diperkenankan oleh Raja-Raja Melayu yang telah memberi perkenan bagi pembentukan sebuah Negara Persekutuan yang pada asalnya dinamakan Persekutuan Tanah Melayu sebagai simbol perpaduan dan ikatan persaudaraan Negeri-Negeri Melayu yang diterajui oleh Raja/Sultan yang berdaulat sejak dari saat kedatangan penasihat-penasihat British ke Negeri-negeri Melayu.

Walaupun memorandum Parti Perikatan untuk memasukkan prinsip mengenai Islam sebagai Agama Negara hanya disambut oleh seorang sahaja dari ahli Suruhanjaya Reid (bertanggungjawab menyediakan laporan dan syor pembentukan Perlembagaan Persekutuan) iaitu Hakim Abdul Hamid dari Pakistan, namun syor Hakim Abdul Hamid itu telah diterima oleh Raja/Sultan yang berdaulat yang bertanggungjawab untuk membentuk Negara ini. Maka dengan perkenan itu termaktublah dalam perkara 3(1)Perlembagaan Persekutuan – ISLAM AGAMA NEGARA sebagai Undang-undang Tertinggi lagi Berdaulat.

4.​TIADA KEPUTUSAN MAHKAMAH YANG MEMUTUSKAN MALAYSIA NEGARA SEKULAR.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohd.Salleh Abas TIDAK PERNAH MEMUTUSKAN BAHWA MALAYSIA ADALAH NEGARA SEKULAR.  Dalam kes Che Omar bin Che Soh lwn PP beliau hanya BERPANDANGAN bahawa UNDANG-UNDANG YANG MASIH TERPAKAI DI NEGARA INI ADALAH UNDANG-UNDANG SEKULAR –   “…because the law in this country is still what it is today, secular law.” Akan tetapi beliau juga menyatakan sistem undang-undang sekular itu boleh diubah.

Bahkan dalam kes Kalimah ALLAH yang diputuskan di Mahkamah Rayuan pada  Mahkamah Rayuan pada bulan Oktober 2013 yang lalu, Mahkamah Rayuan telah mengetepikan penghakiman Mahkamah Tinggi dan telah memutuskan bahawa Agama Islam adalah salah satu struktur asas Perlembagaan Persekutuan –

“…Article 3(1) has a historical background and dimension, to the effect that those words are not without significance. The Article places the religion of Islam at par with the other basic structures of the Constitution, as it is the 3rd in the order of precedence of the Articles that were within the confines of Part I of the Constitution. It is pertinent to note that the fundamental liberties Articles were grouped together subsequently under Part II of the Constitution.”

5. Kerajaan telah membuat penegasan di Parlimen bahawa Malaysia bukan Negara Sekular.
Perlembagaan tidak nyatakan Malaysia sebagai negara sekular, kata Nazri;

KUALA LUMPUR, 22 Okt 2012— Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menegaskan tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan Malaysia adalah sebuah negara sekular pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat pagi ini.

Dalam jawapan balasnya di Dewan Rakyat, Nazri  berkata perkataan “sekular” tidak disebut langsung di mana-mana bahagian di dalam Perlembagaan tetapi hanya undang-undang sekular sahaja terus digunapakai dalam perundangan Malaysia.

BERPANDUKAN KEPADA PERKARA-PERKARA YANG SUDAH TERMAKTUB DI DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN YANG DINYATAKAN DI ATAS AMATLAH JELAS BAHAWA MALAYSIA BUKANLAH SEBUAH NEGARA SEKULAR SEPERTIMANA YANG SERINGKALI DIGEMBAR GEMBURKAN OLEH PELABAGAI PIHAK TERMASUK DI KALANGAN  AHLI POLITIK, PENGAMAL UNDANG-UNDANG, PEGAWAI KERAJAAN, AHLI AKADEMIK DAN ORANG RAMAI.

JUSTERU, UNTUK MENYIMPULKAN BAHAWA HUDUD TIDAK BOLEH DILAKSANAKAN DI NEGARA INI KERANA MALAYSIA ADALAH SEBUAH NEGARA SEKULAR ADALAH MELESET SAMA SEKALI.


TERSERAHLAH KEPADA UMAT ISLAM UNTUK MEMPERBETULKAN PERSEPSI SALAH MENGENAI KEDUDUKAN AGAMA NEGARA INI. JIKA TIADA USAHA YANG DILAKUKAN, MAKA KEDAULATAN AGAMA ISLAM BAKAL TERUS TERHAKIS DAN ISLAM AKAN TERUS DIANGGAP SEKADAR AGAMA RASMI BAGI SEBUAH NEGARA SEKULAR.


Pernyataan Dari :
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email