Tuesday, April 30, 2013

Menunggang Kryptonite Minda Muslim


oleh : Imran Haaz/M.I.A.

Bismillahir rahmanir Raheem..

Lebih sedekad yang lampau, saya mengikuti sebuah debat yang diadakan di antara saudara (kini Dr.) Asri Zainul Abidin bersama Astora Jabat di kawasan yang dikenali sebagai Mengkuang (jika tidak silap) di dalam daerah Seberang Prai. Ayahanda saya yang membawa saya ke sana dengan satu pesan, “Perhatikan, di sana ada sesuatu”. Saya tidak faham. Malah sehingga kini saya tidak faham apa yang dimaksudkan. Saya cuba membuat kesimpulan, namun ia tidak memuaskan. Lalu saya biarkan ia berlalu.

Ayahanda saya menyuruh saya duduk bersama sekumpulan pemuda berkopiah putih hampir dengan sebatang pohon rimbun. Duduk dikelilingi kumpulan tersebut, intipati debat dan perbahasan tersebut tidak didengar dengan jelas butir bicara mereka. Perdebatan itu juga yang diganggu panas emosi yang dikipas penonton, sedangkan panelis debat  kelihatan sangat tenang, rasional dan berdebat dengan tertib. Bukan intipati isi perdebatan itu yang mahu disentuh. Bukan siapa yang lebih benar serta menonjol yang mahu diungkitkan. Lagi pula ianya berlaku lebih dari belasan tahun yang lampau. Tetapi pengalaman sebagai seorang remaja belasan tahun duduk dikelilingi sekumpulan fanatik mengajar saya sesuatu. Disitulah titik mula saya mengenali apa yang menjadi krypton kepada rencah penyimpulan lojik pemikiran orang melayu Islam kebanyakan. Ketika panelis berdebat, muslim dikalangan yang menonton juga tidak kurang hebatnya berdebat dan berdialog sesama sendiri.



Di situ saya melihat kumpulan pemuda tersebut membuat kesimpulan siapa yang benar melalui input-input mudah. Seseorang itu cukup benar bagi mereka sekiranya dia menyelitkan ayat-ayat al Qur’an (biarpun ia berbentuk manipulasi), memasukkan elemen-elemen bahasa Arab yang kompleks dan tidak difahami khalayak serta mesti berjubah dan berkopiah. Jika janggutnya tebal dan memilih pula memakai serban,  tahap benarnya orang tersebut akan  mendekati kebenaran bicara para malaikat. Saya mengakui input-input yang disabitkan dengan kebenaran yang digunapakai tersebut ada kebenarannya di zaman awal serta pertengahan Islam. Pada ketika itu, para sahabah dan tabi’in membawa penampilan diri mereka yang sangat dekat dengan al Qur’an dan sunnah. Segala sifat, sikap dan apa sahaja yang mengorbit perwatakan si pemakai jubah dan serban tersebut pada ketika itu, jika diujikannya kepada kemahuan Allah di dalam al Qur’an dan garis-garis jelas di dalam sunnah Rasulullah s.a.w., ianya adalah tidak bertentangan malah sentiasa selari. Pengucapan dimulut sentiasa selari dengan perlakuan harian dan sifat-sifat baik yang sentiasa disabitkan dengan diri si pengucap.

Tuesday, April 16, 2013

Seks, Pembohongan, Bodoh Sombong dan Tahun-Tahun Tanpa Hujan..

Oleh : Imran Haaz/M.I.A.

Sebulan yang sangat sibuk.. saya cuba menyiapkan satu penulisan berkenaan Buddha Melayu, Myanmar dan Malaysia dan sikap-sikap mereka sebagaimana yang dituntut di dalam agama Buddha suatu ketika dahulu. Ia berkait peristiwa yang berlaku di Meikhtila dan apa yang sedang cuba dilakukan oleh sekumpulan penganut Buddha di Malaysia. Penulisan yang memerlukan rujukan yang banyak, tetapi sedikit terhalang dgn 'terlenyapnya' buku-buku rujukan saya yang dipenuhi nota yang telah ditulis sebelum ini. Buku-buku bertajuk Maitreya, the Future Buddha , What Buddhist Believe & al ‘Iqd al Farid ke semunya secara tiba-tiba hilang dari pandangan. Saya pasti ketiga-tiganya masih berada di dalam 'Segitiga Bermuda' rumah saya. Sebuah zon misteri di mana buku-buku hilang bila dicari, tetapi bila tidak dicari, buku itu akan muncul semula. 

Itulah yang terjadi bila saya peruntukkan sehari hari bercuti untuk membuat penerokaan  menyelongkar kembali setiap almari, kotak, kabinet dan menyusun semula entah berapa ribu buah buku dan majalah semata-mata untuk mencari ketiga-tiganya. Saya tidak mengira berapa banyak buku yang ada di dalam zon ini, mungkin dua ribu atau mungkin mencecah lebih tiga ribu. Yang saya tahu, saya tidak membuat sistem inventori mengenainya melainkan semuanya direkodkan tajuknya dalam memori. Ini satu keadaan yang kerap kali merugikan saya berkenaan masa.

Sudah nama pun 'Segitiga Bermuda', buku-buku yang saya cari, tidak saya jumpai. Pencarian 12 jam dari lepas subuh sampai ke tengah malam gagal seperti biasa. Isteri saya masih dengan hujah biasa, "Itulah masalahnya dgn manusia yang tiada sistem pengurusan arkib."

Saya hanya mengangguk, tersenyum diperli. Dia betul. Bukan sekali saya telah ditegur. Sudah banyak kali. Kali terakhir dgn ugutan secara berseloroh untuk Bakar Perpustakaan ala Perpustakaan Iskandariah dibakar. Saya tergelak. Saya cuba betulkan sistem. Tidak menjadi. Terlalu memakan masa. 

Hasilnya, ketiga-tiga buku tersebut tidak dijumpai bila saya mencarinya. Tetapi  dalam pencarian itu, saya terjumpa kembali senaskah majalah Time yg diterbitkan tidak lama dulu. Melihat muka depannya, saya tersenyum. Tajuknya..
"Sex, Lies, Arrogance : What Makes Powerful Men Act Like Pigs"..
Terjemahan versi saya :
"Seks, Pembohongan, Bodoh Sombong : Apa Yang Menyebabkan Lelaki Berkuasa Bersikap Seperti Khinzir"..

Ia menyebut beberapa kes politikus terkenal dan orang-orang yang berkuasa yang menepati tajuk tersebut. Beberapa orang yang menarik daripadanya ialah Dominique Strauss Kahn, Newt Gingrich, Ted Haggard & Silvio "Bunga Bunga" Berlusconi. Ceritanya mudah.. mereka buat kerja tidak senonoh, selepas itu mencuci dosa mereka dengan segala bentuk pembohongan terang dan mengharapkan seluruh manusia berada di bawah paras minimum keupayaan akal pemikiran yang bijak untuk percaya kepada versi cerita mereka. Mereka tidak malu untuk menggunakan segala alasan pada aras kecerdikan di bawah aras minimum dan menggunakan segala pengaruh yang ada bagi memastikan pertuduhan tersebut tidak terpalit kepada mereka. 

Lebih menarik lagi apabila kes Ted Haggard & Newt Gingrich disebut. 

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email