Tuesday, April 16, 2013

Seks, Pembohongan, Bodoh Sombong dan Tahun-Tahun Tanpa Hujan..

Oleh : Imran Haaz/M.I.A.

Sebulan yang sangat sibuk.. saya cuba menyiapkan satu penulisan berkenaan Buddha Melayu, Myanmar dan Malaysia dan sikap-sikap mereka sebagaimana yang dituntut di dalam agama Buddha suatu ketika dahulu. Ia berkait peristiwa yang berlaku di Meikhtila dan apa yang sedang cuba dilakukan oleh sekumpulan penganut Buddha di Malaysia. Penulisan yang memerlukan rujukan yang banyak, tetapi sedikit terhalang dgn 'terlenyapnya' buku-buku rujukan saya yang dipenuhi nota yang telah ditulis sebelum ini. Buku-buku bertajuk Maitreya, the Future Buddha , What Buddhist Believe & al ‘Iqd al Farid ke semunya secara tiba-tiba hilang dari pandangan. Saya pasti ketiga-tiganya masih berada di dalam 'Segitiga Bermuda' rumah saya. Sebuah zon misteri di mana buku-buku hilang bila dicari, tetapi bila tidak dicari, buku itu akan muncul semula. 

Itulah yang terjadi bila saya peruntukkan sehari hari bercuti untuk membuat penerokaan  menyelongkar kembali setiap almari, kotak, kabinet dan menyusun semula entah berapa ribu buah buku dan majalah semata-mata untuk mencari ketiga-tiganya. Saya tidak mengira berapa banyak buku yang ada di dalam zon ini, mungkin dua ribu atau mungkin mencecah lebih tiga ribu. Yang saya tahu, saya tidak membuat sistem inventori mengenainya melainkan semuanya direkodkan tajuknya dalam memori. Ini satu keadaan yang kerap kali merugikan saya berkenaan masa.

Sudah nama pun 'Segitiga Bermuda', buku-buku yang saya cari, tidak saya jumpai. Pencarian 12 jam dari lepas subuh sampai ke tengah malam gagal seperti biasa. Isteri saya masih dengan hujah biasa, "Itulah masalahnya dgn manusia yang tiada sistem pengurusan arkib."

Saya hanya mengangguk, tersenyum diperli. Dia betul. Bukan sekali saya telah ditegur. Sudah banyak kali. Kali terakhir dgn ugutan secara berseloroh untuk Bakar Perpustakaan ala Perpustakaan Iskandariah dibakar. Saya tergelak. Saya cuba betulkan sistem. Tidak menjadi. Terlalu memakan masa. 

Hasilnya, ketiga-tiga buku tersebut tidak dijumpai bila saya mencarinya. Tetapi  dalam pencarian itu, saya terjumpa kembali senaskah majalah Time yg diterbitkan tidak lama dulu. Melihat muka depannya, saya tersenyum. Tajuknya..
"Sex, Lies, Arrogance : What Makes Powerful Men Act Like Pigs"..
Terjemahan versi saya :
"Seks, Pembohongan, Bodoh Sombong : Apa Yang Menyebabkan Lelaki Berkuasa Bersikap Seperti Khinzir"..

Ia menyebut beberapa kes politikus terkenal dan orang-orang yang berkuasa yang menepati tajuk tersebut. Beberapa orang yang menarik daripadanya ialah Dominique Strauss Kahn, Newt Gingrich, Ted Haggard & Silvio "Bunga Bunga" Berlusconi. Ceritanya mudah.. mereka buat kerja tidak senonoh, selepas itu mencuci dosa mereka dengan segala bentuk pembohongan terang dan mengharapkan seluruh manusia berada di bawah paras minimum keupayaan akal pemikiran yang bijak untuk percaya kepada versi cerita mereka. Mereka tidak malu untuk menggunakan segala alasan pada aras kecerdikan di bawah aras minimum dan menggunakan segala pengaruh yang ada bagi memastikan pertuduhan tersebut tidak terpalit kepada mereka. 

Lebih menarik lagi apabila kes Ted Haggard & Newt Gingrich disebut. 


Ted Haggard, seorang Pastor Evangelical, sentiasa mempotretkan dirinya sebagai pejuang moral, agama dan menentang keras perbuatan homoseksual. Berapi-api menunjukkan dirinya suci tetapi akhirnya terkantoi apabila dia membeli dadah meth dan melanggan tukang urut gay, dari perkhidmatan escort gay.

Newt Gingrich pula, sebelum terdedah cerita skandalnya, dia sebagai House Speaker mengetuai pengadilan ke atas kes masalah moral Bill Clinton. Melihat kepada sejarahnya yang panjang, dia sentiasa menjadi antara mereka-mereka yang utama memperjuangkan tingkat moral dan sibuk mahu menghukum pihak-pihak yang dirasakannya tidak bermoral. Dia sibuk mahu menghukum, tetapi di dalam waktu yang sama, dia sendiri mempunyai skandal di luar pernikahan dengan seorang staf di situ. 

Walaupun sesetengah daripada mereka kemudiannya mengakui kesalahan mereka, persamaan ke semua mereka ialah, mereka mengharapkan akan adanya manusia-manusia dengan keupayaan pemikiran yang rosak dan minimum cerdik serta tidak mampu berfikir untuk diri sendiri dan hanya menjadi burung kakak tua untuk mempercayai bahawa pemimpin yg mereka taksubkan itu tetap suci, sesuci, sucinya. Mereka juga tidak malu untuk menggunakan segala kesempatan yang ada untuk memperbodohkan masyarakat dengan hujah-hujah yang tidak masuk akal.

Membaca kembali artikel tersebut, saya pada mulanya tersenyum. Setelah penat mencari buku-buku tersebut, mungkin sudah tiba masanya untuk secawan kopi pekat pada jam 2 pagi. Saya tiada masalah untuk tidur jika minum kopi pada waktu-waktu begini. Segala puji bagi Allah.

Membaca kisah-kisah di atas, mengingatkan saya kepada hadis daripada Rasulullah s.a.w.

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasullullah s.a.w. telah bersabda, maksudnya: "Jika ada seseorang berkata: "Orang ramai sekarang ini sudah rosak", maka orang yang berkata itu sendiri yang paling rosak di antara mereka." (Hadis Riwayat Muslim)

Senyuman yang terukir semasa pembacaan itu kemudiannya mula pudar apabila memikirkan, apakah apa yang berlaku kepada mereka itu, merupakan putaran kehidupan yang kembali berpatah balik kepada diri mereka setelah mereka selama ini sibuk mencari keaiban manusia lain? Bertahun-tahun berbicara tentang rosaknya moral manusia lain dan sibuk mencari kesalahan dan membongkar kesalahan manusia lain, akhirnya menyebabkan sikap dan perangai sebenar diri mereka yang rosak dan keaiban-keaiban mereka terbuka untuk dipertontonkan kepada manusia lainnya.

Daripada Abu Hurairah r.a berkata : Rasullah s.a.w bersabda :" Dan sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim maka Allah s.w.t akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat kelak. Dan Allah s.w.t sentiasa menolong seorang hamba selama ia menolong saudaranya ". (Riwayat Muslim)

Ini adalah zaman di mana logam, batu dan besi 'boleh bercakap'. Hanya mereka yang telah dibutakan mata hati tidak nampak perkara ini sedang berlaku. Sungguh, apabila dimeterainya Allah mata hati seseorang, maka tiada gunanya lagi pendengaran serta penglihatan mereka. Mereka mendengar tetapi seolah mereka pekak. Mereka melihat tetapi seolah mereka buta. Semuanya mungkin kerana sebahagian daripada mereka termasuk di dalam golongan manusia yang disebut di dalam ayat 104 hingga 109 surah an Nahl. Na'uzubillahi Min Dzaalik.

Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, Allah tidak akan memberi hidayah pertunjuk kepada mereka, dan mereka pula beroleh azab yang tidak terperi sakitnya. (an Nahl 104)

Sebenarnya yang tergamak berdusta itu hanyalah orang- orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, dan mereka itu ialah orang-orang yang bertabiat berdusta. (an Nahl ayat 105)

Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur, maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar. (an Nahl ayat 106)

Kekufuran mereka) yang demikian, ialah kerana mereka lebih mengutamakan kehidupan dunia daripada hari akhirat, dan kerana Allah tidak memberi hidayah pertunjuk yang menyampaikan kaum yang kufur ingkar (kepada kebahagiaan di akhirat). (an Nahl ayat 107)

Mereka itulah orang-orang yang telah dimeteraikan Allah Taala hati mereka dan pendengaran mereka serta penglihatan mereka dan merekalah orang-orang yang lalai. (an Nahl ayat 108)

Tidak syak lagi, bahawa mereka ialah orang-orang yang rugi pada hari akhirat kelak. (an Nahl ayat 109)

Ayat ini, benar-benar menakutkan. Amat malang bagi sesiapa jua yang termasuk ke dalam golongan yang dimeteraikan mata hati mereka oleh Allah. Ia menyebabkan seluruh pancaindera tidak lagi dapat memproses sebarang maklumat dan membantu kita menilai sesuatu jalan yang menghampiri kepada kebenaran di dalam sesuatu perkara.

Ia menyebabkan sesiapa sahaja yang membacanya akan segera menjadi takut. Apalah guna hidup jika mata hati telah ditutup dan dimeterai oleh Allah. Kita semua mempunyai kekurangan dan dosa masing-masing. Semoga Allah, memaafkan segala kesilapan, mengampunkan semua dosa dan menutup semua pintu keaiban supaya keaiban kita tidak diperlihatkan Allah sepertimana yang berlaku kepada beberapa contoh di atas. Keaiban mereka dibuka ketika mereka pada dahulunya sibuk mendedahkan serta memperkatakan tentang keaiban orang lain.

 Ia merupakan contoh yang perlu diambil sebagai iktibar dan pengajaran yang panjang. Apa yang berlaku pada hari ini, mungkin bertunas dari peristiwa yang pernah kita lakukan pada suatu waktu yang berakar kepada masa lalu.

Memikirkan semua ini, mood saya mulai hilang. 35 tahun hidup, tentu sahaja ada banyak kesalahan dan kesilapan di mana-mana. Tambahan pula apabila kita gemar mendekati sesuatu perkara hanya bersandarkan kepada persepsi. Itu semua telah saya cuba betulkan sejak beberapa lama dahulu. Malah, saya juga seringkali mengingatkan di dalam penulisan di dalam blog ini berkenaan masalah persepsi dan tolok ukuran kebenaran yang sering ramai antara kita gunakan selama ini.

Persepsi membentuk delusi. Itu bahayanya akhir zaman. Saya sentiasa berpesan, putih tidak semestinya putih di akhir zaman. Hitam juga tidak semestinya hitam di akhir zaman. Akhir zaman, sentiasa berhati-hati dengan pihak yang menawarkan tawaran ‘syurga’ jika mahu berkorban diri untuk mengikt jalannya.

Panduan kita al Qur’an dan as sunnah harus digigit dengan gigi geraham. Tanpanya, kita akan menjadi tidak lain sekadar lebih hina dari binatang ternak yang tertipu dengan kepalsuan persepsi dan delusi ciptaan penjara dunia ini.
Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar (Al-Quran yang mewajibkan taatnya). (21)
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (kafir dan munafik) yang berkata: Kami dengar, padahal mereka tidak mendengar (tidak mahu menerima dan mematuhinya). (22)
Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya). (23)
Dan kalaulah Allah mengetahui ada kebaikan pada mereka, tentulah Dia menjadikan mereka dapat mendengar dan kalau Allah menjadikan mereka dapat mendengar juga (dengan keadaan yang demikian), nescaya mereka tidak menerimanya sambil memalingkan diri. (24)

Semoga Allah s.w.t. melindungi kita semua daripada menjadi seperti manusia-manusia yang disebut dalam ayat-ayat di atas.

Apabila satu demi satu perkara yang sering disebutkan dan pernah disebutkan di dalam blog ini mula menjadi kenyataan, saya menjadi semakin risau dan takut untuk bertaut dengan harapan kepada masa hadapan. Seolah-olah, ‘saat’ itu sudah mula menjengahkan wajahnya. Mungkin tidak kurang dari 2 generasi dari sekarang. Maka kesempatan yang ada ini harus ditumpukan kepada menyiapkan serta menyediakan generasi anak-anak yang masih kecil dan di bawah umur 10 tahun pada hari ini supaya mereka kuat untuk bertahan ketika mereka menghadapi permulaan kedatangan ‘tahun-tahun tanpa hujan’  suatu hari di dalam realiti masa depan mereka nanti.

Dari A’isyah r.a.bahawa Rasulullah s.a.w. menyebut kelaparan yang akan terjadi di depan Dajjal (sebelum kemunculan Dajjal). Mereka berkata, “Harta apakah yang paling baik ketika itu?” Baginda menjawab, “Anak yang kuat yang dapat memberikan minum kepada keluarganya, sedangkan makanan tidak ada.” Lalu mereka bertanya lagi, “Apakah makanan kaum mukminin pada ketika itu?” Nabi menjawab Tasbih, Tahmid dan Tahlil,”  A’isyah berkata, “Lalu dimanakah bangsa Arab pada ketika itu?” Baginda menjawab “Arab pada waktu itu amat sedikit.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Mood saya lenyap. Saya mahu masuk tidur. Saya berharap jangkaan dan pengiraan saya tentang kedatangan tahun-tahun tanpa hujan itu salah dan meleset. Walaupun jelas dihadapan mata sedang berlaku pada waktu ini, ayat-ayat al Qur’an sedang dipadamkan dari al Qur’an oleh mereka-mereka yang seharusnya memegang amanah untuk menyampaikannya. Semuanya dilakukan kerana Assobiyyah. Mungkin mereka lupa tentang janji tahun-tahun tanpa hujan yang semakin mendekat. Timur Tengah mungkin sedang melalui pra-kemunculannya. Kita juga akan menyusul.

Dari Abu Umamah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : “… akan terjadi malapetaka selama tiga tahun sebelum Dajjal keluar, iaitu manusia ditimpa kelaparan.  Pada tahun pertama Allah memerintahkan langit untuk menahan sepertiga air hujannya dan menyuruh bumi menahan sepertiga tanamannya. Pada tahun kedua, Allah menyuruh langit menahan seperdua air hujannya dan menyuruh bumi menahan dua pertiga tanamannya. Kemudian pada tahun ketiga, Allah menyuruh langit untuk menahan seluruh air hujannya sehingga tidak ada hujan yang turun dan menyuruh bumi menahan semua tanamannya sehingga tidak ada tanaman yang tumbuh. Dengan demikian, semua tanah atau lahan akan rosak, kecuali yang dikehendaki Allah. Dikatakan bagaimana pada zaman itu manusia hidup? Mereka membaca tahlil, takbir, tasbih dan tahmid. Hal itu dilakukan agar mereka diberi makanan.” (Hadis riwayat Ibnu majah dan Abu Khuzaimah, Hakim di dalam al Mustadrak serta Dhiya’ dalam al Mukhtarah)

Esok sahaja saya carikan ketiga-tiga buku itu. Mungkin, buku-buku itu 'hilang seketika' untuk membolehkan saya terjumpa majalah ini dan membuatkan saya menulis tentang perkara ini dan menyebabkan muncul beberapa jangkaan yang mengganggu emosi. Semoga kita semua berkesempatan untuk memperlengkapkan diri dan generasi anak-anak kita yang kecil pada hari ini untuk berhadapan dengan tahun-tahun tanpa hujan nanti. Ameen.

Wallahua’lam.


Rujukan :
1)       Abdul Wahab Abdussalam Thawilah, Subhanur (penterjemah), Mengungkap Berita Besar Dari Kitab Suci (Tajuk asal :Al Masih al Muntazarwa Nihayah al Alam), (2006), PT Tiga Serangkai Pustaka Mandiri, Solo, hlmn. 143.

© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.

2 comments:

Assalamualaikum tuan,
Artikel ni byk membuat saya berfikir. Izinkan sy meminjam quot yang ada di artikel tuan utk di tampal di dinding muka buka sy. Teruskan menulis menyebarkan ilmu. Sy tggu artikel seterusnya. Terima Kasih
 
Wa'alaikumsalam w.b.t Red Eva,
Boleh sahaja jika diraskan manfaat itu melebihi dr mudaratnya. InsyaAllah, lapang nanti saya menulis kembali.

 

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email