Tuesday, April 30, 2013

Menunggang Kryptonite Minda Muslim

8

oleh : Imran Haaz/M.I.A.

Bismillahir rahmanir Raheem..

Lebih sedekad yang lampau, saya mengikuti sebuah debat yang diadakan di antara saudara (kini Dr.) Asri Zainul Abidin bersama Astora Jabat di kawasan yang dikenali sebagai Mengkuang (jika tidak silap) di dalam daerah Seberang Prai. Ayahanda saya yang membawa saya ke sana dengan satu pesan, “Perhatikan, di sana ada sesuatu”. Saya tidak faham. Malah sehingga kini saya tidak faham apa yang dimaksudkan. Saya cuba membuat kesimpulan, namun ia tidak memuaskan. Lalu saya biarkan ia berlalu.

Ayahanda saya menyuruh saya duduk bersama sekumpulan pemuda berkopiah putih hampir dengan sebatang pohon rimbun. Duduk dikelilingi kumpulan tersebut, intipati debat dan perbahasan tersebut tidak didengar dengan jelas butir bicara mereka. Perdebatan itu juga yang diganggu panas emosi yang dikipas penonton, sedangkan panelis debat  kelihatan sangat tenang, rasional dan berdebat dengan tertib. Bukan intipati isi perdebatan itu yang mahu disentuh. Bukan siapa yang lebih benar serta menonjol yang mahu diungkitkan. Lagi pula ianya berlaku lebih dari belasan tahun yang lampau. Tetapi pengalaman sebagai seorang remaja belasan tahun duduk dikelilingi sekumpulan fanatik mengajar saya sesuatu. Disitulah titik mula saya mengenali apa yang menjadi krypton kepada rencah penyimpulan lojik pemikiran orang melayu Islam kebanyakan. Ketika panelis berdebat, muslim dikalangan yang menonton juga tidak kurang hebatnya berdebat dan berdialog sesama sendiri.



Di situ saya melihat kumpulan pemuda tersebut membuat kesimpulan siapa yang benar melalui input-input mudah. Seseorang itu cukup benar bagi mereka sekiranya dia menyelitkan ayat-ayat al Qur’an (biarpun ia berbentuk manipulasi), memasukkan elemen-elemen bahasa Arab yang kompleks dan tidak difahami khalayak serta mesti berjubah dan berkopiah. Jika janggutnya tebal dan memilih pula memakai serban,  tahap benarnya orang tersebut akan  mendekati kebenaran bicara para malaikat. Saya mengakui input-input yang disabitkan dengan kebenaran yang digunapakai tersebut ada kebenarannya di zaman awal serta pertengahan Islam. Pada ketika itu, para sahabah dan tabi’in membawa penampilan diri mereka yang sangat dekat dengan al Qur’an dan sunnah. Segala sifat, sikap dan apa sahaja yang mengorbit perwatakan si pemakai jubah dan serban tersebut pada ketika itu, jika diujikannya kepada kemahuan Allah di dalam al Qur’an dan garis-garis jelas di dalam sunnah Rasulullah s.a.w., ianya adalah tidak bertentangan malah sentiasa selari. Pengucapan dimulut sentiasa selari dengan perlakuan harian dan sifat-sifat baik yang sentiasa disabitkan dengan diri si pengucap.



Tetapi perkara itu tidak lagi wujud dalam bentuk yang sama pada ketika ini. Jika dulu kita akan sentiasa selamat berdampingan dengan manusia-manusia yang dipakejkan dirinya di dalam penampilan yang sejak dari dahulu kita tafsirkan sebagai penampilan warak. Tetapi kini, semua itu tidak berada di dalam jaminan selamat yang sama. Sentiasa kini kita melihat pakej penampilan yang seharusnya ditafsirkan sebagai warak  itu, menghadiahkan kita akan kejutan yang sebaliknya. Kini kita melihat terdapat guru-guru yang mengajarkan agama kepada kita yang mulutnya sentiasa berzikir dengan membodohkan setiap mereka yang tidak sehaluan dengannya. Kita juga semakin terkejut apabila dihidangkan dengan perbuatan-perbuatan menghalalkan sesuatu yang diharamkan Allah hanya kerana mengejar keuntungan yang sedikit.

Hati kita menjadi takut apabila melihatkan golongan-golongan yang kini memakai pakaian yang kita tafsirkan sebagai uniform agama, nada serta seruan-seruan yang dilaungkan mereka bersifat sangat lancang dengan bahasa-bahasa yang tidak kita sanggup gunakan untuk mereka yang kita gelarkan saudara seagama dengan kita. Kita juga kaget apabila guru yang selama ini mengingatkan kita tentang sikap ahli kitab yang menyembunyikan ayat-ayat Taurat dan Injil demi kelestarian destinasi kuasa kumpulan-kumpulan mereka, kini melakukan perkara yang hampir sama. Setiap ayat yang menjejaskan peluang menuju destinasi puncak kuasa, mereka akan tenggelamkan. Tiada apa yang dapat menjelaskan kedudukan situasi yang mengelirukan ini kecuali ianya sebagai petunjuk yang kedua kaki kita kini sedang berpijak dengan nyata di akhir zaman. Zaman di mana putih itu tidak semesti putih dan yang hitam itu tidak semestinya hitam. Zaman di mana kenderaan paling pantas menuju puncak kuasa ialah dengan menunggang fitnah.

Kerana itulah penampilan zahir di dalam bentuk yang selama ini kita tafsirkan sebagai uniform keagamaan ,  ia bakal mengundang suatu permasalahan yang agak merisaukan apabila hayat dunia menghampiri akhir zaman. Diakhir zaman semua itu tidak cukup. Sunnah-sunnah yang kelihatan indah pada zahir seharusnya diterjemahkan melalui perlakuan, nilai budi bahasa,  keberadaan sifat pada diri, hasil kerja dan kesudahan yang ditujui. Pakaian dan kata-kata atau manifesto tidak akan menjadi ukuran. Di dalam Islam, track record perbuatan dan amalan zahir yang dilakukan menjadi ukuran. Kerana itu Saidina Umar al Khattab r.a. berkata di dalam catatan di dalam Sahih Bukhari seperti berikut:

Daripada Abdullah bin ‘Utbah bin Mas’ud katanya: Aku dengar ‘Umar bin Al-Khattab ra berkata: “Bahawa sesungguhnya manusia pada zaman Rasulullah saw diberi penjelasan dengan wahyu dan wahyu telah terputus, kita sekarang hanya boleh mengambil kira perbuatan yang zahir daripada amalan kamu, sesiapa yang menzahirkan kepada kami kebaikan kami akan percaya dan dekat dengannya, tidak ada hak bagi kami mencampuri perkara yang tersembunyi, Allah akan menghisabnya. Sebaliknya sesiapa yang menzahirkan kejahatan kami tidak akan mempercayai dan membenarkannya, walaupun dia berkata niatnya baik”. 

Di akhir zaman, persepsi juga sentiasa mengundang delusi. Rasulullah s.a.w. pernah menceritakan tentang permainan persepsi yang mengundang delusi di dalam sebuah hadis seperti berikut:

Telah bercerita kepada kami Muslim bin Ibrahim telah bercerita kepada kami Jarir bin Hazim dari Muhammad bin Sirin dari Abu Hurairah RA dari Nabi s.a.w. bersabda:”Tidak ada bayi yang boleh bercakap ketika masih dalam buaian kecuali tiga orang. (Yang pertama) Nabi ‘Isa a.s.  (Yang kedua), dahulu ada seorang lelaki Bani Isra’il, yang dipanggil dengan nama Juraij, ketika dia sedang melaksanakan solat ibunya datang memanggilnya, namun lelaki itu enggan menjawabnya. Dia berkata dalam hati: “Apakah aku penuhi panggilannya atau aku teruskan solat?.” Akhirnya ibunya berkata: “Ya Allah, janganlah Engkau matikan dia kecuali Engkau perlihatkan kepadanya wanita penzina.” Suatu hari Juraij sedang berada di biaranya lalu datang seorang wanita menawarkan dirinya dan mengajaknya berbicara namun Juraij menolaknya. Kemudian wanita itu mendatangi seorang pengembala lalu wanita ini dapat merayu pengembala itu hingga melahirkan seorang anak. Si wanita lantas berkata: “Ini anaknya Juraij.” Maka orang-orang mendatangi Juraij dan menghancurkan biaranya dan memaksanya keluar lalu memaki-makinya. Kemudian Juraij berwudhu’ lalu solat. Setelah itu dia mendatangi bayi itu lalu bertanya:”Siapakah bapamu wahai anak?.” Bayi itu menjawab: “Seorang pengembala.” Orang-orang berkata: “Kami akan bangunkan biaramu terbuat dari emas.” Juraij berkata:”Tidak, dari tanah saja.” Dan (yang ketiga), ada seorang wanita dari kalangan Bani Isra’il yang sedang menyusui bayinya ada seorang lelaki tampan dan gagah sambil menunggang tunggangannya melewati di hadapan wanita itu. Wanita itu berkata:”Ya Allah, jadikanlah anakku ini seperti pemuda itu.” Maka spontan saja bayinya melepaskan puting susu ibunya dan memandang lelaki tampan itu lalu berkata:”Ya Allah, janganlah Engkau jadikan aku seperti dia.” Lalu dia kembali mengisap puting susu ibunya. Abu Hurairah RA berkata:”Seakan aku melihat Nabi SAW mengisap jari Baginda.”Lalu lewat seorang budak wanita, maka ibunya berkata:”Ya Allah, jangan Engkau jadikan anakku seperti dia.” Maka sang bayi kembali melepaskan puting susu ibunya lalu berkata: “Ya Allah,jadikanlah aku seperti dia (budak wanita itu).” Ibunya bertanya:”Mengapa kamu berkata begitu?.”Bayi itu menjawab:”Sesungguhnya pemuda penunggang itu sebenarnya salah seorang dari orang-orang kejam sedangkan budak wanita ini, orang-orang menuduhnya dengan mengatakan; kamu mencuri, kamu berzina, padahal dia tidak pernah melakukannya.”” (Shahih Bukhari & Shahih Muslim)

Itu bahayanya persepsi. Tambah-tambah lagi apabila ia berkenaan bahaya persepsi di akhir zaman. Ia benar-benar mengundang delusi. Boleh jadi yang tidak cukup Islam di akhir zaman itu lebih tinggi tahap kepatuhannya kepada Islam berbanding yang terlihat Islam pada zahir tetapi tidak Islam di dalam sisi-sisi gelap kehidupannya. Lihat sahaja di dalam contoh doa si ibu bayi di atas.

Masalah persepsi yang menjadi satu set kriteria yang diimani kerap kali dijadikan senjata bagi menundukkan daya fikir pemikiran rakyat murba terutamanya golongan Melayu Islam.

Minda Melayu Muslim akan segera lemah apabila berhadapan dengan individu-individu yang didatangkan dengan sebuah pakej yang dikira warak. Perkiraan warak di dalam formula minda melayu muslim pula hanya memerlukan beberapa rencah perisa yang mudah.  Mudah rancuan rempah ratus tersebut. Tetapi rencah tersebut bakal menggetus sebuah kesimpulan yang tipikal dalam membuat penilaian berdasarkan keberadaan apa jua subjek yang bakal terhidang dihadapan mereka. Kelemahan ini telah dikenalpasti golongan yang mahu menggunakannya sebagai jalan menuju kekayaan, pengaruh serta puncak kuasa. 

Perhatikan skim MLM (multi-level marketing). Tidak dapat tidak, untuk mencapai sasaran golongan melayu muslim kebanyakan, perwatakan sebegini harus diselitkan supaya golongan itu percaya bahawa apa yang ditawarkan itu bersih serta selamat dan boleh dipercayai. Akhir-akhir ini, lebih panas kencang pawaka tersebut bertiup selepas dekad-dekad 80-an. Di kala itu, satu persediaan sebuah generasi yang menjadi sekumpulan manusia muslim yang telah diprogramkan gaya berfikir mereka supaya sentiasa berfikir dan membuat keismpulan di dalam satu ruang lingkup yang mudah diagak dan dibaca oleh gerakan dajjal. Percayalah majoriti daripada melayu muslim di negara kita telah diprogramkan supaya dapat berfikir dengan gaya berfikir yang mereka mahukan. Saintis muslim, jurutera muslim, jurutera sistem muslim, politikus muslim, golongan agama yang taksub, pejuang hak-hak asasi malah muslimin dan muslimat tipikal telah pun berjaya diprogramkan gerakan ini untuk dibentuk minda mereka sedari awal bagi kepentingan sebuah gerakan yang bakal tumbuh selepas hari-hari tanpa hujan berlaku dalam dekad terdekat ini. Saya akan cuba menjelaskan bagaimana sistem program pemikiran ini berlaku dan kesan-kesan jangka panjangnya di dalam perenggan-perenggan di bawah.

Dari alam persekolahan tersebut yang mengenalkan saya dengan pengenalan krypton minda melayu muslim, masuklah pula penglibatan saya sebagai siswa di sebuah IPTA tempatan. Lalu berlalu pula satu ketika ditahun-tahun sebagai siswa. Berlaku pula sebuah peristiwa menggemparkan negara. Seorang yang disandarkan harapan dan sentiasa dicanangkan sebagai sebuah sinar kepada gerakan menghidupkan Islam, secara tiba-tiba dikatakan berkelakuan tidak senonoh dan gemar menanam benih di luar kebun yang subur. Bayangkan situasi ini, sebuah kereta yang sedang dipandu deras tiba-tiba sahaja berhenti dengan mengejut. Inersia yang terhasil menyebabkan kesemua penumpang terpelanting ke hadapan. Hanya yang memakai tali pinggang keledar sahaja terselamat dan masih terduduk kemas di kerusi yang empuk dan selesa. Bagi yang tidak berpegang atau dipegang oleh sesuatu yang kukuh, mereka terhempas serta tercampak keluar di atas jalanraya yang sibuk. Itulah saya bersama ramai rakan yang tidak bertali pinggang keledar. Ketika kenderaan yang sedang deras bergerak menuju sebuah desinasi objektif  ke arah Malaysia dipimpin oleh seorang yang dianggap warak, segalanya berubah sekelip mata dengan berita demi berita yang amat mengejutkan.

Seorang pensyarah di kolej kediaman saya kemudian memanggil saya dan bertanya, “Nizam, kamu dan kawan-kawan kamu bersama siapa?”. Dua hari selepas itu, saya tidak lagi melihat kelibatnya. Begitu juga dengan seorang ustaz di kolej kediaman yang sama. Kedua-duanya hilang ke sebuah daerah misteri yang dipanggil dengan pelbagai nama. Ia menimbulkan situasi yang cemas dan dikipas kemarahan. Tidak lama sesudah itu terdengar seruan memanggil siswa ke sebuah masjid. Bezanya panggilan itu dengan seruan ke masjid sebelum itu, ianya tidak dilaungkan oleh mana-mana muazin. Terlihat lautan manusia yang ratusan ribu jumlahnya. Masing-masing menunggu arahan keramat.

Lalu berlakulah acara mandi ramai-ramai sambil disiram, direnjis-renjis dengan air pancuran dari beberapa jentera merah dan dipilis setiap dahi jiwa yang kerasukan bagi memberikan kesedaran.  Setelah puas disiram dan disintok air kuning yang menggatalkan kulit dari kereta merah dan dijerkah abang-abang misai tebal, berkasut sukan dengan T-shirt masuk ke dalam, waktu untuk pulang ke kampung halaman pun tiba.

Di kampung halaman, walaupun jauh dari kekacauan ibukota, semangat mahukan satu perubahan serta keadilan yang tanpa disedari diimbang di atas neraca yang songsang masih panas membara. Suatu malam yang diisi hangat perdebatan antara seorang anak yang lewat merasa garam dengan ayahandanya berlaku.

Di waktu itu juga , ditayangkan melalui televisyen sebuah rancangan forum yang menjemput beberapa panel dari dua bahagian yang saling bertentangan. Saya tidak mengingati siapa-siapa yang dijemput kecuali seorang. Salah seorang daripadanya sangat saya kenali. Kelihatan seorang tokoh yang pernah dibuang negara yang kemudiannya diterima kembali,  sedang digasak dari sebelah kiri dan kanan. Setiap kali diperlukan dia berbicara, dia akan berbicara dengan penuh semangat, setiap  kali yang memerlukan dia berhenti bicara, beliau akan mengangkat sedikit lengannya ke atas meja bagi menampaknya ikatan biji-biji tasbih yang sedang bergerak laju menari-nari mengikut rentak tarian jari-jemarinya yang sentiasa selari dengan tempo zikir-zikir yang dikumat-kamitkan dengan mulut yang tidak henti-henti bergerak. Itu sudah cukup. Dengat input tasbih, alunan mulut yang berkumat kamit berzikir dan wajah yang sedaya upaya dibentuk seolah menunjukkan wujudnya sifat tawaduk walaupun tidak natural, semua sudah cukup untuk memetik suis melemahkan daya fikir saya pada ketika itu yang masih merupakan remaja yang tercari-cari arah. Dengan input sedemikian rupa, resipi penghasilan krypton yang melemahkan minda setiap muslim tipikal seolah telah lengkap. Segala isikandungan, sifat perbuatan dan hala tuju gerakan yang sedang dibincangkan tidak lagi menjadi satu perkiraan penting. Dengan krypton yang terhidang, maka satu kesimpulan yang diambil dari minda yang telah dilemahkan pun dibulatkan dangan tekad. Mana mungkin manusia-manusia yang mempersembahkan kehadiran diri mereka dengan imej yang sebegitu warak menelusuri jalan-jalan yang hitam dan kelabu? Mana mungkin mereka-mereka dengan keberadaan sifat warak yang menghiasi penampilan mereka secara zahir itu silap? Imej yang dibawakannya memberikan beberapa input yang mencadangkan kepada seorang remaja yang naif seperti saya bahawa si pendebat  itu berada dipihak yang benar. Di mahkamah persepsi saya, dia telah dihukum benar! 

Lalu, dihujahkan perkara penampilan zahir tersebut kepada si ayahanda. Inilah reason beyond reasonable doubt. Suatu kepastian di dalam lingkungan pemahaman yang kelabu. Hujah yang dirasakan sudah cukup kuat itu dipersembahkan kepada si ayahanda. Lalu dengan penuh kasih sayang, dipandang ke wajah anakandanya yang masih mentah dan diberikan satu nasihat.

“Di akhir zaman nanti,  jangan sekali-kali membuat penilaian dengan hanya menilai sisi zahir, perkataan-perkataan yang diucap serta imej-imej keberadaan diri yang dipersembahkan, betapa ramainya pengikut serta jemaah apa yang dituruti. Segalanya harus seiring. Yang zahir harus rapat menemani yang batin. Di akhir zaman, kebanyakan  apa yang cuba dipersembahkan sebagai betul itu sebenarnya dibuat bagi mengelabukan yang salah. Sentiasa kembali kepada panduan yang dua ditinggal Rasulullah s.a.w.. Al Qur’an dan sunnah baginda. Perkataan dan perbuatan manusia boleh diambil dan boleh ditolak kecuali kedua ini.”

Orang muda, ejakulasi kesimpulan mindanya sangat cepat. Dia cepat berpuas hati dengan nikmat terhidang tanpa dia tahu bahawa dicelahan façade warak yang cuba ditonjolkan terpancar maklumat-maklumat yang mencadangkan sesuatu yang lain. Kaji sahaja al Kahfi. Di sana ada cerita akhir zaman dan  juga cerita sifat-sifat manusia di dalamnya. Al Kahfi tidak akan membawa kesan menenangkan yang penuh jika tidak dapat difahami. Al Kahfi juga tidak akan menyelamatkan kita dari fitnah dajjal jika penggunaannya hanya sekadar untuk dihembuskan ke muka ‘sang dajjal’  sepertimana ayat-ayat al Qur’an yang lain digunakan untuk menghalau sang pontianak di dalam filem-filem melayu yang dibuat sang pengarah bagi tujuan  ‘menyekolahkan rakyat di dalam gelap’. Ia harus difahami. Ia harus dikaji dan dihayati. Al Qur’an bukanlah sesuatu yang perlu dilayan sebagai sesuatu yang terkesamping di dalam hayat hidup. Ia seharusnya meresapi ke segenap urat darah tubuh badan yang dipinjamkan Allah ini. 

Setiap gerakan, setiap kalimah yang terpancar keluar dari bibir, setiap makanan yang mengisi isi perut tubuh dan segala apa yang dilakukan dengan tubuh pinjaman ini harus berada di dalam lingkungan peraturan al Qur’an. Jadi al Qur’an itu bukanlah sesuatu yang disimpan kemas di dalam mana-mana almari perhiasan dan menjadi sebahagian kecil yang luar dari kehidupan manusia. Manusia harus mengikut keupayaannya yang tertentu menjadikan dirinya sebagai sesuatu yang menafsirkan betapa berfungsinya al Qur’an sebagai panduan dan  jalan hidup.

Pembinaan sahsiah sedemikian rupa memerlukan calar-balar serta parut-parut pengalaman yang bertambah seiring dengan pertambahan usia. Malang bagi yang semakin berusia tetapi hidup sebagai boneka yang dipegang kukuh ubun-ubun mereka kerana tertipu dan menipu demi memenuhkan keinginan isi perut. Lebih malang lagi jika kehidupan mereka sentiasa dikaitkan dengan perjuangan yang dikatakan mahu menegakkan al Qur’an dan sunnah, tetapi perjuangan serta apa yang dilaungkan selama ini seolah kini menempati sisi-sisi salah di dalam perkhabaran berkenaan berita benar masa hadapan yang diceritakan oleh setiap nabi dan rasul yang pernah diutus.

Risau melihatkan anakandanya kabur dan mudah tertipu dengan façade ketrampilan yang dihidangkan dihadapan mata, si ayahanda mengajaknya bersama-sama kembali kepada al Qur’an dan disarankan anakandanya memahami isikandungannya sepenuhnya. Itu tiang penegak diri sebagai muslim. Jati diri sebagai mukmin tidak akan terdiri sekiranya Kalamullah tersebut tidak difahami dan dihayati.

Kitab itu menjadi panduan. Di dalamnya berisi panduan jalan-jalan selamat bagi kehidupan yang bahagia di dunia dan akhirat. Sesiapa yang berpegang penuh ikhlas kepada Kalamullah dan sunnah yang ditinggalkan Rasulullah s.a.w., diizinkan Allah akan terselamat dia dari jalan-jalan kesesatan dan tipu daya Iblis dan manusia serta kelemahan diri sendiri.

Seorang guru tafsir, semasa menjelaskan tafsir surah al Mumtahanah di dalam tahun-tahun pembelajaran yang berlalu lama dahulu telah berpesan,  di waktu-waktu genting di mana halatuju kecelaruan politik  mula berlaku, dan muslim terperangkap ditengah-tengah ombak serta ayunan gelombang yang didorong hembusan angin yang tidak tahu dari mana bibir tiupannya, jadikan satu amalan untuk membaca doa yang berupa ayat ke 5 surah al Mumtahanah seperti yang tertera di bawah.

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan pendirian dan keyakinan kami terpesong kerana penindasan orang-orang kafir, dan ampunkanlah dosa kami wahai Tuhan kami; sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". (al Mumtahanah ayat 5)

Sedaya upaya, apa yang dipesankan itu diamalkan. Hanya Allah sahaja yang mengetahui siapa di pihak yang benar dan siapa dipihak yang sebaliknya. Hanya petunjuk dariNya dapat menyelamatkan muslim dari teraba-raba mencari arah. Akhir zaman, input-input indera sangat mudah untuk dimanipulasikan.
Jika sahabat-sahabat tidak percaya tentang apa yang saya cuba nyatakan di sini, boleh sahaja saya tunjukkan di dalam contoh di bawah, bagaimana minda muslim yang seharusnya dapat dengan mudah membuat justifikasi dengan tepat, segera menjadi lemah dan tertipu apabila sahaja keupayaan mindanya dilumpuhkan dengan Kryptonite Minda Melayu Muslim.

Dengan semakin ramai munculnya golongan ahli kitab mengambil serta cuba menjuarai urusan agama kita kini, kita kini sebenarnya sedang menjemput segera kedatangan Isa a.s.

Ketika kemunculannya yang pertama ke dunia, ibunya yang mulia menjadi mangsa fitnah hanya kerana ahli kitab pada ketika tersebut, gemar mengambil pendirian bersandarkan persepsi. Lalu, apabila seorang gadis melahirkan anak tanpa seorang bapa, Siti Mariam a.s. menjadi mangsa fitnah dan cemuhan masyarakat. lalu Allah mengizinkan Isa a.s. bercakap semasa usia bayinya bagi mempertahankan kesucian ibunya dan memadamkan delusi yang terhasil dari cerapan persepsi golongan ahli kitab pada waktu itu. hampir ke semua kes melibatkan bayi yang diberikan Allah kelebihan bercakap semasa usia kecil adalah bagi tujuan memperbetulkan delusi yang mungki menguasai minda disebabkan persepsi. Di dalam hadis seperti yang dinyatakan di atas, disebutkan kisah Isa a.s., Juraij dan seorang wanita Bani Israel yang menyusui anaknya. Yang pertama Isa a.s., bertutur kata untuk menyucikan delusi persepsi buruk yang dilemparkan kepada ibundanya. Yang kedua, bayi wanita pelacur tersebut yang mensucikan kembali fitnah perbuatan jahat yang cuba ditimpakan ke atas Juraij. Yang ketiga bilamana sang ibu yang terkesima dengan penampilan tampan dan hebat oleh pemuda dan timbul perasaan jelik bilamana melihat seorang hamba wanita yang dimangsai fitnah. Lalu doa-doa yang dipanjatkannya hasil delusi bersandarkan persepsi cerapan inderanya, dibatalkan dengan doa oleh anaknya yang secara tiba-tiba diberikan Allah keupayaan untuk bercakap. Ketiga-tiganya berlaku bagi menangani suatu perkara yang sama iaitu memperbetulkan persepsi indera yang menghasilkan delusi kepada pemikiran manusia.

Akhir zaman ialah sebuah zaman di mana delusi ini akan menjadi parah dan berleluasa. Manusia mula dihukum kerana persepsi yang ditimbulkan. Lalu, janganlah hairan jika Isa a.s., mantan bayi yang pernah berkata-kata semasa hayat kecilnya, akan dihantarkan kembali ke dunia ini bagi menyelamatkan keadaan dari semua fitnah ini. Tugasnya berat. Dia akan berhadapan dengan golongan ahli kitab yang bersekongkol dengan gerakan dajjal. Jika semasa hayatnya lebih 2,000 tahun yang lampau, dia berhadapan dengan golongan ahli kitab Yahudi, kini nanti, baginda akan berhadapan pula dengan golongan kafir dan ahli kitab dari kalangan Yahudi, Nasrani dan termasuk ahli kitab Muslim. Agamawan yang mengubah agama mereka demi sesuap nikmat yang dijanjikan bumi dalam rupa bentuk wanita, harta dan kuasa. Agamawan yang menggunakan agama sebagai komoditi dan barang dagangan. Agamawan yang menggunakan agama untuk digunakan sebagai bahan tawaran. Turun harga kereta. Turun harga rumah. Turun Harga diri. Turun harga agama. Segalanya dijual dan  dilacurkan dalam ketenangan selubung jubah agama. Ia telah berlaku dahulu, ia telah pun berlaku kelmarin dan ia akan terus berlaku sehingga mantan bayi yang pernah berkata-kata itu muncul di menara Putih di Syria nanti.

Bagaikan satu kebetulan apabila tercatat di dalam di dalam kitab yang diimani sebagai Injil oleh golongan Nasrani. Di dalam Mark fasal 11 ayat 15 hingga 17 dikisahkan mengenai amukan Jesus (Isa) terhadap sekumpulan ahli-ahli kitab Yahudi yang sedang berjual beli dihadapan sebuah synagogue.  Melihatkan mereka sedang rancak berjual beli dihadapan synagogue tersebut, Jesus kemudiannya menterbalikkan semua meja jualan mereka sehingga menyebabkan mereka berasa sangat terkejut. Lalu dimarahi mereka akan Jesus. Lalu Jesus mengatakan kepada mereka seperti berikut, “Ini adalah rumah Tuhan dan merupakan tempat di mana orang-orang bersembahyang kepada Tuhan. Tetapi kamu telah menjadikannya sebagai tempat dimana pencuri dan perompak berselindung.” Petikan ayat 15 hingga 17 Mark fasal 11 seperti berikut.

 15And they come to Jerusalem: and Jesus went into the temple, and began to cast out them that sold and bought in the temple, and overthrew the tables of the moneychangers, and the seats of them that sold doves;  16And would not suffer that any man should carry any vessel through the temple. 17And he taught, saying unto them, Is it not written, My house shall be called of all nations the house of prayer? but ye have made it a den of thieves.(Versi King James, Mark fasal 11 ayat 15 hingga 17)

Kisah yang sama juga disebut di dalam Matthew  (Matius) fasal 21 ayat 12 hingga 15, Luke (Lukas) fasal 19 ayat 45 hingga 48 dan John (Yohanna) fasal 2 ayat 13 hingga 22. Intipati kepada kisah itu mempunyai pemahaman dari segi perkara yang tersurat dan tersirat. Perkara yang tersurat dapat difahami semua yang membaca petikan tersebut. Tetapi pemahaman tersirat tentang apa yang diberitahukan Jesus di dalam kejadian di rumah ibadat tersebut tidak dapat difahami oleh khalayak yang ramai. Ia memerlukan penelitian. Saya menjelaskannya seperti berikut.

Bahawa antara perangai atau kelakuan ahli kitab ialah mereka akan sentiasa melindungkan perbuatan, perlakuan serta niat jahat mereka dengan imej-imej keagamaan yang dizahirkan pada penampilan mereka. Mereka sentiasa tanpa segan silu menyalahgunakan agama demi keuntungan dunia yang sedikit. Itulah yang cuba disampaikan. Ia dapat difahami sedemikian rupa apabila Jesus sendiri merujuk tubuhnya juga sebagai refleksi keagungan Tuhan yang lebih mulia dari binaan kuil yang mereka agung-agungkan itu. Ia dapat dibaca dalam petikan John fasal 2 ayat 21. Jadi perlakuan menggunakan imej agama bagi melindungi perlakuan serta niat jahat seseorang itu merupakan antara sifat buruk yang ada pada golongan ahli kitab yang kufur kepada jalan yang benar.

Penyakit ini bukanlah suatu penyakit khusus yang dihidapi oleh golongan ahli kitab. Rasulullah s.a.w. telah memberikan kita amaran akan berlakunya pengulangan kepada keburukan perangai ahli-ahli kitab sebegini. Ramai diantara kita akan mengulanginya. Ramai dari kita akan menggunakan imej agama dan melacurkannya demi keuntungan dunia yang sedikit. Mereka-mereka inilah yang disebut Rasulullah s.a.w. sebagai menuju ke lubang biawak dipandu oleh penyakit wahan yang menjangkiti diri mereka. Apa itu penyakit wahan? Tanya para sahabat. rasulullah s.a.w. menjawabnya dengan ringkas. Penyakit cinta dunia dan takut mati. Semoga Allah menjauhkan kita semua dari keburukan tersebut. Amin…

Melihat keadaan yang menggusarkan ini, satu usaha keras ke arah pembaikan diri harus diusahakan.  Usah biarkan diri kita diselubungi kelemahan berhadapan dengan Kryptonite Minda Melayu Muslim. Perkasakan diri dengan pengukuhan kefahaman al Qur’an dan as Sunnah supaya kita tidak akan dilemahkan oleh krypton yang dimaksudkan dan menjadikan kita boneka-boneka yang boleh dicampakkan serta digerakkan ke mana-mana jalanan demi kerakusan jiwa-jiwa yang reput dimamah rayap wahan.

Terasa rindu yang teramat rasanya ingin melihat kembali sunnah-sunnah berserban dilaksanakan oleh mereka-mereka yang benar-benar mencorakkan sunnah Rasulullah s.a.w. ini dengan warna-warna keindahan. Kini hampir tiada lagi mereka-mereka yang berserban memberi kesan positif serta mencorakkan dunia dengan segala bentuk keindahan sepertimana insan-insan agung di bawah ini.

Bermula dengan zaman Rasulullah s.a.w., kepada para sahabat dan kemudian tabi'en dan seterusnya sehingga ke nama-nama gah berikut seperti Al Khwarizmi, al Biruni, al Kindi, Ibn Rusd dan Jabir ibn Haytham sekadar menamakan beberapa nama dari sejumlah tokoh agung beragama Islam yang ramai dan sangat hebat. Kehebatan ilmu dan pengkajian mereka telah secara tidak langsung  menghiaskan sunnah berserban dengan corak-corak keindahan. Ketika itu tiada siapa berani mengatakan Islam itu sempit, jumud dan kaku. Ketika itu, Islam sangat dipandang tinggi kerana mereka-mereka yang sentiasa membawa imej Islam, kehadiran mereka di dalam sesuatu masyarakat pasti akan membawa kesan-kesan positif serta pembaharuan yang membawa manusia mengharungi kehidupan yang lebih maju ke hadapan. Generasi mereka merupakan sebuah generasi yang menyambut tradisi Islam dari para sahabah, tabi’en serta generasi-generasi yang rapat dengan generasi awal Islam. Kehebatan generasi awal Islam ini diwarisi serta dijaga sekemas mungkin dan diberikan nilai-nilai tambah oleh ulama’, saintis, artis, ahli falsafah dan pemikir-pemikir Islam kemudiannya.


Entah di mana silapnya, kini dengan kebanjiran graduan-graduan agama yang puluhan ribu jumlahnya di negara ini, imej Islam tidak berubah ke aras yang lebih positif tetapi Islam kini dipandang sebagai sebuah sistem yang kaku dan kejur. Ramai di antara golongan ini (tetapi tidak semua), tidak membawa pulang perubahan yang sentiasa diinginkan ummah. Kehadiran mereka dalam jumlah yang ramai tidak memberikan keindahan yang diharapkan. Ia dapat dirasakan apabila perpecahan di dalam masyarakat Islam semakin membusuk. Apabila ada sahaja golongan agamawan yang ikhlas menyeru kepada perpaduan serta penyatuan ummah sepertimana diperintahkan oleh Allah, mereka akan segera dilabelkan dengan pelbagai label dan gelaran negatif oleh sekumpulan fanatik yang mendakwa diri mereka pewaris nabi. Lantas golongan agamawan yang ikhlas ini tidak mampu untuk memperbetulkan kembali trajektori ummah kerana dibuli dan diserang oleh orang-orang gasar yang menyembah guru-guru mereka sebagai tuhan yang bersekutu dengan Allah.

“Siapa kamu untuk menasihati kami?! Apa kelulusan kamu untuk berhujah dengan kami? Siapa guru-guru kamu untuk melayakkan kamu berbicara tentang pegangan kami dan perbuatan guru-guru kami?”  Itu antara kata-kata bernada riak yang sentiasa dilemparkan kepada mereka yang  tidak senada dengan pemimpin agung anugerah tuhan mereka. Ini adalah satu penyakit. Rasulullah menggelarkannya dengan nama Wahn. Penyakit cintakan dunia dan takut mati.

Selagi ramai graduan agama kita hanya mampu untuk membawa pulang ilmu-ilmu al Qur’an dan Sunnah Rasulullah s.a.w. di dalam balutan ketat sarung-sarung tinju, selagi itulah umat Islam tidak akan bangkit dari lamunan sedap di atas hirupan nikmat berpecah belah. Seolah-olah hanya itu sahaja yang mereka tahu dan boleh sumbangkan serta tunaskan dari ilmu-ilmu agama yang mereka pelajari. Menggunakan al Qur’an dan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. yang hebat semata-mata untuk memberi pukulan TKO kepada musuh-musuh mereka yang bertentangan fahaman dengan mereka.



Sayang sekali, dengan ramainya golongan sebegini menghiaskan diri mereka di dalam pakej-pakej yang selama ini sentiasa kita sabitkan dengan kebaikan, sifat warak dan keagungan tingkah laku serta pemikiran, golongan-golongan agamawan yang ikhlas serta sentiasa menjalankan tanggungjawab mereka semata-mata mencari keredhaan Allah pun turut terpalit lumpur yang sangat mencemarkan.

Oleh kerana ramainya golongan sebegini akan muncul di akhir zaman, setiap muslim harus memperlengkapkan diri mereka dengan pemahaman al Qur’an dan sunnah Rasulullah s.a.w. yang kemas dan kukuh. Ia supaya mereka tidak mudah untuk dimanipulasikan oleh mana-mana gerakan atau individu yang digerakkan oleh gerakan yang sentiasa saya namakannya sebagai gerakan dajjal yang akan bermaharajalela menjelang saat hampir kering kering tasik Tabariyyah (Galilee) sepertimana yang disebutkan oleh seorang sahabah bernama Tamim ad Dari r.a. di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim seperti berikut.

Telah disampaikan kepada kami lbn Buraidah dan Amir bin Syurahbil asy-Sya’bi, kabilah Hamdan bahawa dia pernah bertanya kepada Fathimah binti Qais, saudara perempuan adh-Dhahhak bin Qais dan termasuk kelompok perempuan pada hijrah pertama.

Amir berkata, ”Sampaikanlah kepadaku suatu hadis yang engkau dengar dari Rasulullah saw yang tidak engkau sandarkan kepada siapapun selain beliau. ”Fathimah berkata, "Jika engkau mahu nescaya aku lakukan. Amir berkata, "Tentu, sampaikanlah kepadaku.” Fathimah berkata, ”Aku menikahi lbn al-Mughirah. Dia termasuk pemuda plihan kaum Quraisy ketika itu. LaIu dia terkena musibah pada permulaan jihad bersama Rasulullah saw. Ketika aku telah menjadi janda, aku dilamar oleh Abdur Rahman bin ‘Auf untuk salah seorang sahabat Rasulullah saw. Sementara itu, Rasulullah melamarku untuk maulanya, Usamah bin Zaid. Aku pernah diberitahu bahawa Rasulullah saw bersabda, "Barangsiapa mencintaiku, maka hendaklah dia mencintai Usamah. Maka ketika Rasulullah saw bercakap kepadaku, aku berkata, "Urusanku ada di tangan Anda. Nikahkanlah aku kepada siapa saja yang Anda suka. Lalu Rasulullah saw bersabda. ‘Pindahlah kamu ke Ummu Syarik. ‘Ummu Syarik adalah perempuan kaya dan kalangan Ansar yang telah banyak memberikan sumbangan di jalan Allah dan disinggahi banyak tamu. Aku berkata, Aku akan melakukannya. Maka beliau bersabda. "Jangan engkau lakukan. Sesungguhnya Ummu Syarik adalah seorang wanita yang banyak tamunya. Aku tidak suka kain tudungmu jatuh atau baju tersingkap dan kedua betismu sehingga kaum itu akan melihat auratmu. Tetapi, pindahlah ke putra pamanmu, ‘Abdullah bin Amr bin Ummi Maktum, seorang Ielaki dani Bani Fihr’, Fathimah pun pindah kepadanya. 

Ketika masa iddahku berakhir, aku mendengar seruan seorang sahabat Rasulullah saw. "Marilah solah berjamaah” Maka aku pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah saw. pada barisan wanita yang berada tepat di belakang kaum itu. Setelah selesai solat, Rasulullah saw, duduk di mimbar. Sambil tersenyum beliau bersabda. "Hendaklah setiap orang tinggal di tempat salatnya. ’Selanjutnya beliau bersabda,’ Apakah kamu semua mengetahui sebab aku mengumpulkan kamu? Mereka menjawab, "Hanya Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui. ’Beliau bersabda, ’Sesungguhnya aku, demi Allah tidak mengumpulkan kamu semua bukan kerana ada pengharapan ataupun ketakutan. Melainkan aku mengumpulkan kamu adalah kerana Tamim ad-Dari, yang dahulunya seorang Nasrani, datang untuk berbai’at masuk Islam. Dia menceritakan kepadaku seperti apa yang telah aku sampaikan kepada kamu tentang Dajjal. Dia menceritakan kepadaku seperti apa yang telah aku sampaikan kepada kamu semua tentang Dajjal. 

Dia menceritakan kepadaku bahawa dia mengemudi sebuah perahu bersama 30 orang dari Lakhm dan Judzam. Mereka dipermainkan ombak selama sebulan di laut. Lalu mereka berlabuh menuju suatu pulau di laut itu sampai terbenam matahari. Mereka duduk­duduk di pantai dekat perahu. LaIu mereka naik ke pulau itu. Maka mereka didatangi seekor binatang yang banyak bulunya yang mereka tidak dapat membezakan mana bahagian depan dan mana bahagian belakangnya.

 Mereka berkata ,“Celaka kau, apakah kamu ini ? Binatang itu menjawab. ‘Aku adalah mata-mata.’ Mereka bertanya, ‘Mata-mata apa?” Dia menjawab, ‘Wahai kaum, pergilah kepada orang yang berada di dalam gua, kenana dia merindukan berita dan kamu’

Tamim ad-Dari berkata, Ketika binatang itu menyebutkan kepada kami seseorang, kami meninggalkannya kerana mungkin dia adalah syaitan perempuan. Selanjutnya dia berkala, lalu kami berangkat segera hingga memasuki gua. Tiba-tiba di dalamnya ada seorang manusia yang paling besar badannya dan diikat dengan rantai yang kuat. Kedua tangan dan lehernya disatukan dan diikat dengan besi di antara hingga kedua mata kakinya. Kami katakan, "Celaka kamu, makhluk apakah kamu ini? Dia menjawab, “kamu telah mengetahui perihalku, kini beritahukan kepadaku, siapakah kamu ini ?
 Mereka menjawab, “Kami adalah manusia dari Arab. Kami menaiki perahu lalu dihentam gelombang laut besar dan ombak mempermainkan kami selama sebulan. Kemudian kami berlabuh di pulaumu ini.  Kami didatangi seekor binatang yang berbulu lebat sehingga tidak diketahui mana bahagian muka dan mana bahagian belakangnya. Kami bertanya, “Celaka kamu, binatang apa kamu ini?” ”Saya adalah mata-mata.” “Mata-mata apa?” ‘Pergilah kepada orang yang berada di gua ini kerana dia sangat merindukan berita dari kamu.”

Maka kami pun segera mendapatkan kamu. Kami takut pada binatang itu dan kami tidak tenang jangan-jangan ia adalah syaitan betina. Orang itu berkata, “Beritahukan kepadaku tentang kurma Baisan!” (Baisan ialah negeri yang terkenal sejak dahulu kala. Negeri ini berada dekat Syam Lama dan merupakan salah satu kota di Palestin.)

“Tentang apanya yang engkau nak tanyakan?” “Aku bertanya kepada kamu apakah kurma berbuah?” “Sesungguhnya pohon kurma itu hampir tidak akan berbuah.” Lalu dia berkata lagi.
“Beritahukan kepadaku tentang Tasek Thabariyyah!” “Tentang apanya yang engkau nak tanyakan ?
“Apakah tasik itu masih berair ?

‘Ya Tasik ilu masih banyak airnya.””Sesungguhnya air tasik itu hampir habis,”
       Dia berkata, “Beritahukan kepadaku tentang mata air Zughar!” (Mata air Zughar adalah nama       seorang perempuan yang dinisbatkan pada mata air ini.) “Mengenai apanya yang nak engkau tanyakan?” “Apakah mata air itu masih memancarkan air? Dan apakah penduduknya masih bercucuk tanam dan mata air itu?” “Ya mata air itu masih memancarkan banyak air dan penduduknya bercucuk tanam dari air tersebut.” “Terangkan kepadaku tentang nabi yang diutus kepada orang-orang buta huruf, apa yang dilakukannya?” “Dia telah keluar dari Mekah menuju Yatsrib,”

“Apakah orang-orang Arab memenanginya?”
        Ya”
“Bagaimana caranya dia memperlakukan mereka7’ “Dia telah menundukkan orang-orang Arab terdekatnya, sehingga mereka mengikutinya.”
“Apakah demikian?” “Ya” 

‘Lebih baik bagi mereka untuk mengikutnya. Aku akan memberitahukan kepada kamu mengenai diriku. Aku ini adalah aI-Masih. Aku hampir akan diizinkan keluar, maka aku akan keluar. Lalu aku akan berjalan di muka bumi. Aku tidak melalui sesuatu kampung melainkan aku tinggal selama 40 malam kecuali kola Mekah dan Thaibah (Madinah). Kedua kota itu diharamkan atasku. Setiap aku akan memasuki salah satu kota itu, aku dihadang oleh malaikat yang memegang pedang untuk memenggalku. Di setiap celah kedua kota itu dijaga oleh para malaikat.”

Fathimah berkata, “Sambil memukulkan tongkatnya pada mimbar, Rasulullah saw bersabda.”lni adalah Thaibah, yakni kota Madinah. lngatlah, apakah hal itu telah aku sampaikan kepada kamu?”

Orang ramai menjawab :"Benar.”

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda,”Sungguh cerita Tamim itu sesuai dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu, juga mengenai kota Mekah dan Madinah. Ketahuilah sesungguhnya Dajjal itu berada di Laut Syam atau di Laut Yaman, bukan dari arah timur, bukan dari arah timur, bukan dari arah timur.” Baginda mengisyaratkan dengan tangannya ke arah timur.”Selanjutnya Fathimah berkata, ”Maka aku menghafalkan hadis ini dari Rasulullah.”

Ini adalah akhir zaman. Hampir semua ciri-ciri mengenai akhir zaman itu sudah hampir lengkap sepenuhnya. Hanya mereka dengan mata hati yang tertutup menafikan semua ini. Satu pesan di akhir zaman ini, jangan mudah terpedaya dengan delusi mainan persepsi kerana ia melunakkan minda untuk percaya bahawa yang tiada itu ada dan yang ada itu tiada, yang mulia itu hina dan yang hina itu mulia, yang benar itu dusta dan yang dusta itu benar.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw. bersabda (yang bermaksud): “Lagi akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan “Ruwaibidhah””.Sahabat bertanya, “Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?”. Nabi saw. menjawab, “Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai”. 
(H.R. Ibnu Majah)

Tahun-tahun yang tandus sedang meninjau. Saya ada alasan untuk menyatakan bahawa ia semakin hampir. Ia berikutan hadis berikut yang telah disebutkan di dalam riwayat Imam Ahmad sepertimana yang saya petik dari kitab Misykatul Masobih.
Amr bin al A’s berkata, beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tiada suatu kaum yang mana perzinaan menjadi berleluasa dikalangan mereka maka mereka akan dikuasai oleh kemarau, dan tiada suatu kaum yang mana rasuah berleluasa dikalangan mereka, maka ketakutan akan menguasai mereka.” (Riwayat Ahmad, Misykatul Masobih) 

Kita telah melalui tahun-tahun yang menakutkan di mana anak-anak kita, kita sangat risaukan keselamatan mereka ketika mereka keluar rumah. Kita takut dengan keselamatan anak gadis kita di mana sahaja mereka berada. Kita berasa takut dengan masa depan kita kerana segala macam bentuk ketidak tentuan yang ada dan berlaku. Semua ketakutan ini berpunca dari masalah rasuah yang berleluasa di dalam masyarakat. Ia bukan hanya ditudingkan kepada pemerintah, tetapi semua pihak termasuk yang swasta, individu, parti-parti politik dan sebagainya. Berleluasa bermaksud ianya meresapi segenap penjuru dan berada di dalam setiap kawasan dan kumpulan. Kita sedang melaluinya kini.

Untuk tahun-tahun tandus tanpa hujan, ia sedang menanti. Kita melihat zina kini semakin berleluasa. Kenapa dikatakan ia semakin berleluasa? Ia dilihat sangat berleluasa apabila mereka-mereka yang dikatakan berjuang bermati-matian untuk menegakkan hukum-hukum Allah di bumi ini sanggup menganggap pertuduhan zina yang telah tersebar luas sebagai suatu perkara kecil yang tidak perlu diambil peduli. Ianya berlaku kerana yang dituduh itu, merupakan golongan yang berada di dalam kelambu mereka sendiri. Apabila mereka-mereka yang saban hari siang malam pagi petang bercakap bagai tagar mahu melaksanakan hukum-hukum Islam ke atas mereka yang melakukan dosa, tetapi di dalam masa yang sama, mereka turut sama terpalit dengan tuduhan melakukan dosa yang serupa tanpa kewajiban mempertahankan diri dan dibawa ke muka pengadilan dikemukakan terhadap mereka. Habis semua ayat-ayat Allah di dalam al Qur'an diputarbelitkan. Segala macam spin dilakukan bagi mengalih beban pertuduhan tersebut kepada pihak lain. Keluar berbagai-bagai kenyataan yang cuba menyelamatkan keadaan mereka. Tetapi tidak ada satu pun kenyataan dari pihak mereka yang mahukan perkara pertuduhan zina ini ditangani secara Islam secara serius dan mengikut jalan syariat yang ada. Apa semua ini? Jika Pak syeikh boleh berkelakuan sedemikian rupa, apatah lagi mat rempit melayu Islam ditepi-tepi jalan. Jika perkara ini tidak ditangani dan masih dianggap kecil kerana kiblat politik, maka benarlah zina telah berleluasa. Ia sangat berleluasa sehingga tidak lagi menimbulkan kejanggalan dan rasa terkejut malah cuba dipertahankan bermati-matian. Maka bersedialah kita semua dengan tahun-tahun tanpa hujan tidak lama lagi nanti. Na'uzubillahi min Dzaalik.



© 2007 - 2013 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.


Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

8 comments:

allin artline said...

Teringat soalan saya untuk saudaraku imran...:-)..jawapan tersebut seakan senada dengan artikel diatas... -->kebanyakan graduan yang keluar dari sistem ini, mereka hanya mampu membawa ilmu2 Islam di dalam sarung2 tinju. Satu2nya perkara yang mereka tahu ialah, bagaimana untuk menilai manusia lain yang tidak bersama dengan golongan mereka. Mereka sibuk bermusuhan dengan ulama’2 yg tidak seperguruan dengan mereka. Lantas kerana sibuk mencari kesalahan ilmuan muslim lain, kemajuan umat dan kepesatan perkembangan ilmu Islam sebelum ini terus mati. Bermula kematian itu, negara2 Islam mula dihancurkan dan dijajah dari dalam.

Allain, amat mudah untuk kenal pasti samada ulama’ ditempat yang kita tinggal diasuh di dalam sistem yang merosakkan ini. Cuba kita banding setiap perlakuan mereka dengan ayat2 al Qur’an dan sifat2 Nabi dan para sahabat. Jika ada pertentangan yang jelas dengan apa yang dilakukan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, maka ada sesuatu yang sangat tidak kena dengan mereka. Satu lagi sifat mereka-mereka ini ialah mereka suka akan perpecahan. Mereka tidak suka jika orang lain menyuruh mereka bersatu dan bermaaf-maafan.

Anonymous said...

Salam Bang.

Hamba trbc laman brikut. mgkn selari dgn artikel abg Imran. Tajuk Fitnah Ulama & Alamat Kiamat


http://www.dakwah.com.my/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=236:fitnah-ulama-a-alamat-kiamat&catid=110:sekelibat&Itemid=350


satuhala said...

Allin Artline,

Penulisan di atas sebahagiannya bermula dr perbincangan saya dgn saudara satu ketika dulu.. ia mengingatkan sya kepada keperluan penulisan di atas atas tujuan pencerahan..

satuhala said...

Wa'alaikumsalam w.b.t. Anon May 1, 2013 at 12:18 PM,

TQ atas pautan bermanfaat.

sophie said...

salam saudara imran haaz,

saya terpanggil utk menulis diruang komen saudara yg selama ini saya menjd 'silent reader'. syukur alhamdulillah, Allah membuka minda saya dgn memberi gambaran keadaan semasa yg berlaku dikalangan umat islam di malaysia khususnya. walaupun jauh beribu batu dgn alam fitnah diruang maya menjadikan kecelaruan utk mencari kebenaran. sy rasa amat sukar sekali. blog saudara agak 'berat' bacaannya tidak straight 4wd dan agak berlapik dan memerlukan saya melakukan pencarian utk menganalisis suasana di Malaysia skrg. sikap tdk ambil peduli sy setelah sekian lama sgt dikesali. sy tidak punya byk masa utk menganalisis kemelut 'politik' di msia, namun beberapa minggu kebelakangan ini setelah byk jwpn sy terjwp sy br faham tulisan2 saudara dan sgt insaf dgn 'hari2 tanpa hujan'.org yg tidak punyai ilmu yg sgt tinggi seperti sy mmg sukar nak mengerti dan menganalisis, hanya berbekalkan sedikit akal Allah membukakan mata sy melihat pergelutan yg masyrakat m'sia alami. bila saya nampak semua ini rasa sedih xterhingga, insaf, dan rase bertanggungjwp menyampaikan. namun, tugas menyampaikan tanpa mengundang emosi kemarahan bukanlah mudah tambah lagi ketaksuban yg melanda bg segelintir individu. Apapun sy perlu belajar perlu tambah ilmu perlu ambil tahu supaya tidak tersesat mencari haltuju yg sebenar di dunia dan akhirat. Saudara teruskanlah menyebarkan ilmu.Semoga Allah memberi rahmat di jalanNya.

satuhala said...

Wa'alaikumsalam w.b.t. Sophie..

Saya cuba ringankan penulisan, tetapi apabila ia membawa persoalan berat, beban itu kemudiannya tertumpah pada susunan2 ayat.

Sophie benar bila menyatakan penulisan saya diselindungkan maksud2nya disebalik lapik yang saya sengajakan. Spt Sophie faham, sesetengah manusia yang sudah taksub pegangan akan segera tercampak keluar dari landasan pembacaan apabila penulisan tersebut dilihat menyerang dasar2 yg difahami mrk sebagai maksum dan tanpa cacat cela jika ditulis secara terang dengan suluhan yg terlalu nyata.

Saya mengharapkan semua yg membaca penulisan disini, akan bertindak spt Sophie dgn mencari maksud melalui klu yg disebutkan secara berlapik. Bg yg faham dan biasa dgn cara blog ini, mrk akan dapat menangkap pemahaman sepintas lalu.

Bukan persoalan ilmu yg menjadi halangan, ttp mmg penulisan2 di sini diselindungkan supaya ia mencapai maksud mengubah pemikiran manusia bukan secara drastik, tetapi bertingkat dan berperingkat.

Manusia yang mahu diubah trajektori pemikiran mereka, perlu disiapkan dgn asas2 pemikiran yg dimahukan termasuk keupayaan mentelah disebalik celah-celah maksud yang diperhias jelas. Mmbiasakan khalayak dgn penulisan straight forward cuma membantu di dalam jangka masa pendek. Ia spt mencandukan masyarakat dgn senangnya mencapai maklumat dan membuat keputusan hanya bersandarkan daya fikir manusia lain.

Khalayak di sini, saya cuba mengajak mereka berfikir ttg apa yg sya mahu sampaikan. Jd, mrk akan bersedia dgn kebiasaan itu utk membolehkan mereka survive biar pun terendam dalam arus fitnah serta ketidaktentuan kebenaran yang membanjiri dunia sekeliling.

Syukur AlHamdulillah, ramai yg ke sini, telah berubah cara pemikiran mereka. Mrk tidak statik, tidak mengharapkan suapan dan mereka berupaya terkadangnya menerokai sisi maksud yg lebih dalam dan jauh daripada apa yang cuba disampaikan di sini.

Alhamdulillah juga, krn Sophie juga mungkin kini sebahagian drpd mereka. Sama2 kita tegur menegur supaya matlamat kita semua di sini untuk mencari redha Allah tidak tenggelam disebalik semua gelombang kepalsuan yang bakal menghiasi dunia ini ditahun-tahun tandus tanpa hujan nanti. Semoga kita semua selamat dan teneram di zaman ini dan selepas ini nanti. Ameen..

Anonymous said...

Salam IH,

Saya baru selesai berfb, jenguk2 posting IH, share2..tiba2 kawan online (kawan masa study dulu lah..) Tgn gatal laju menaip tanya PRU, sy selamba jawab pangkah lambang biru...terus kena sembur.." sapa pangkah dacing bodo"...hurmmm... kalo sy pangkah yg kaler ijau atau kaler biru mude atau yg ade lambang roket mungkin sy dpt anugerah "cerdik"?.. a friend yg dah ada title "Dr" a lecturer di IPTA...sy snyum n geleng kepala...masa sama dia boleh plak suruh sy rujuk ayat2 Ustaz Azhar Idrus...sy lagi geleng kepala...r u sure ur a dr.? UAI? omg! Kalo Ustaz Don sy kira lebih sesuai in most sense.. tringat dolu2 sy pernah ajar tuisyen bahasa inggeris utk skolah rendah. ada murid tuisyen darjah 4 taktau baca simple english utk level darjah 4. tak pernah terkeluar perkataan bodo utk dia dan tak pernah anggap murid tu bodo...melainkan sy ajar dia sampai dia 'cerdik' baca english dari word by word to sentence to sentence to paragraph to paragraph...kalo level UAI yg ajar budak darjah 4 tu da lama kena label bodo...sapa setuju angkat tangan :)

satuhala said...

Zara,

Biasalah.. bila lisan tak ditambat dgn rasa takut pd Allah dan terlupa setiap lisan, kata dan perbuatan akan dicatatkan tanpa ditinggalkan oleh malaikat yg dekat, itulah jadinya..

mrk memangkah dan mengundi bersandarkan sentimen.. Menjadi Dr, 'ulamak' dan 'Prof' ditafsirkan mereka lesen untuk membodohkan org lain..

Sepatutnya, bila mrk lebih banyak belajar, mereka akan lebih merasa rendah diri kerana ilmu yg semakin banyak digali itu akan menyedarkan mereka bahawa perbendaharaan ilmu Allah itu terlalu luas.. mrk akan segera berasa kerdil dihadapan manusia2 lain dan keluasan ilmu Allah yg meliputi apa yg nampak dan tidak nampak, dan apa yang dikeahui dan tidak pernah diketahui manusia..

Belum tentu seorang Doktor tahu membezakan antara bisa keli kayu dan ikan keli yg lain jika turun ke bendang.. seorang Ustaz belum tentu lagi menjadi seorang genius Kitabullah apabila ditanyakan kepadanya apa fungsi planet Musytari utk siste solar ini.. sedangkan ia ada disebut di dalam al Qur'an.. Seorang pakar psycoanalysis spt C.G. Jung juga pasti akan malu jika dia mengetahui bahawa ilmu psychoanalysis yg cuba diketengahkannya awal kurun ke 19 berkenaan kewujudan 2 sisi personaliti di dalam tubuh manusia, itu merupakan sesuatu yg tidak menghairankan serta selalu disebut2 oleh ustaz2 dikampung yg yg menyebut pembahagiannya sebagai nafsu dan akal..

Jd. yg membodohkan org lain itu, ialah org2 yang perlu lebih banyak belajar supaya rasa tawaduk itu lekat dan menjadi sebahagian dari diri mereka sendiri..

saya juga harus terus belajar dan mengambil nasihat di atas.. supaya tidak berubah menjadi karakter yg dirujuk Zara seolah berpendidikan tinggi spt dlm komen Zara di atas.. TQ atas pandangan... ia juga cermin untuk disuluh ke wajah saya sendiri.. Terima kasih..