Monday, February 18, 2013

Racun Mata Hati

Oleh : Imran Haaz/M.I.A.

Bismillahir Rahmanir Raheem..

Manusia dilahirkan dengan tidak tahu apa-apa. Perjanjian Ruh antara diri mereka dengan Tuhan juga tidak mereka ingati. Saya pernah menulis tiga artikel mengenai Perjanjian Ruh. Berminat boleh membacanya di sini (Perjanjian Ruh, Perjanjian Ruh II, Socrates & Perjanjian Ruh). Lalu Allah berikan pendengaran,penglihatan dan kemudian menghidupkan hati manusia.

Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur. (an Nahl 78)

 Pendengaran distimulasikan dengan alunan zikir dan ayat-ayat Allah di dalam al Qur'an semenjak dari dalam perut. Kemudian diperdengarkan azan dan iqamat semasa dilahirkan. Semuanya bagi tujuan menghidupkan mata hati.




Gerakan Dajjal cuba membuatkan manusia tertutup mata hati. Kerana mereka faham bahawa mata hati itu apabila tertutup, pendengaran dan penglihatan tidak lagi akan memberikan sebarang manfaat kepada manusia.

(Kekufuran mereka) yang demikian, ialah kerana mereka lebih mengutamakan kehidupan dunia daripada hari akhirat, dan kerana Allah tidak memberi hidayah pertunjuk yang menyampaikan kaum yang kufur ingkar (kepada kebahagiaan di akhirat).  Mereka itulah orang-orang yang telah dimeteraikan Allah Taala hati mereka dan pendengaran mereka serta penglihatan mereka dan merekalah orang-orang yang lalai. (an Nahl ayat 107 hingga 109)

Bagaimana mata hati manusia ditutup? Melalui cinta dunia dan takut mati. Cinta dunia dan takut mati bermula dari makanan haram dan yang syubhah, banyak gula, hiburan yang melampau sehingga lebih banyak berhibur dari bermuhasabah, rasa cinta yang dibangkitkan melalui media (buku, novel, drama, filem)  yang tidak tentu hala dan masa, dan setiap masa dan ketika bergelak ketawa. Kesemuanya ini akan kemudiannya menimbulkan rasa bagus di dalam hati dan membuatkan diri menjadi semakin takbur dan bongkak. Lalu takwa yang seharusnya menjadi pakaian terbaik di dalam jati diri muslim, mula tertanggal.

Jika dulu, benteng terakhir untuk umat Islam menyelamatkan diri dari semua punca kepada kematian mata hati ialah dengan mendapatkan perlindungan dengan mendekatkan diri dengan jalan-jalan agama. Malang sekali kini, benteng terakhir itu telah ditembusi tanpa ramai yang sedar. Filem Islami disuntik dengan adegan-adegan cinta yang melampau. Novel Islami dirasuki cerita-cerita cinta, dosa yang melebihi isikandungan Islami di dalamnya. Makanan umat Islam kini dicemari dengan pelbagai unsur haram dan syubhah. Umat Islam kini banyak memakan gula yang dimasukkan dengan banyak tetapi dinamakan dengan pelbagai nama saintifik yang tidak disedari mereka.

Maka tinggallah, benteng terakhir untuk umat Islam menyelamatkan hati mereka dari mati ialah dengan menghadirkan diri di taman-taman syurga. Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam hadis di dalam riwayat at Thabrani berikut:

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila melewati taman syurga, hendaklah engkau duduk di situ. Istirahatlah kamu di situ."  Para sahabat bertanya, "Ya Rasulullah, apa taman syurga itu?" Nabi menjawab, "Majlis-majlis ilmu.” 


Namun, sepertimana yang telah dijangkakan akan berlaku di akhir zaman ini, benteng terakhir ini juga kini telah ditembusi dengan program bawah sedar yang dijalankan bagi tujuan mematikan mata hati umat Islam. Kini hilai dan tawa bukanlah sesuatu yang asing di dalam majlis-majlis ilmu. Tidak salah untuk sedikit senyum dan tertawa kecil yang dicetus cerita-cerita yang dibangkitkan di dalam mana-mana kuliah agama. Tetapi yang menjadi masalahnya ialah bilamana ia menjadi tarikan utama dan menguasai hampir sepenuhnya majlis ilmu seumpama itu.


Majlis ilmu yang seharusnya berperanan mengasah mata hati menjadi tajam, kritis, teguh dan terang kini telah diresapi unsur-unsur yang menjadikannya bertindak sebaliknya. Majlis ilmu yang sepatutnya menjadi tempat hati dirawat, kini menjadi tempat yang mana penyakit mata hati yang mati itu menjadi lebih parah lagi.

Hati-hatilah kamu, jangan sampai banyak tertawa kerana sesungguhnya tertawa itu mematikan hati dan menghilangkan sinar penduduk syurga. ( Riwayat  Ibnu Majah) 


Perhatikan contoh ini. Seorang lelaki yang mempunyai masalah organ hati yang tidak berfungsi dengan betul. Lalu dia menuju ke hospital untuk mendapatkan rawatan. setelah didiagnosis memang benar dia menghadapi penyakit hati, lalu si doktor menetapkan preskripsi ubat-ubatan yang perlu dimakan olehnya. Malang sekali ubat yang diberikan oleh doktor tersebut, langsung tidak mengubati, tetapi lebih menjadikan sakit organ hati pesakit tersebut menjadi lebih parah. Maka, pertemuan pesakit ini dengan doktor tadi tidak membuahkan hasil yang dimahukan. Pesakit mahu merawat hatinya, tetapi sang doktor pula memberikan ubat yang menjadikan penyakitnya menjadi lebih parah. Bukankah ini satu tragedi yang malang?

Begitulah juga keadaannya dengan nasib malang umat Islam pada waktu ini. Mereka sedar bahawa mereka sedang menghadapi masalah penyakit kematian mata hati. Lalu mereka segera teringat dengan pesan orang-orang tua. Jika mahu menghidupkan mata hati, dekatilah ilmu-ilmu agama melalui pelajaran dan mengamalkan apa yang disuruh oleh al Qur'an dan as Sunnah. Lalu guru-guru agama dicari. Malang sekali, penyakit hati mereka, tidak diubati sebagaimana yang mereka mahukan. Ketika mana guru yang seharusnya memberikan mereka remedi kepada penyakit mata hati mereka, racun pula yang mereka terima lalu menjadikan keadaan mereka lebih parah.

Satu soalan, jika Rasulullah s.a.w. melawat majlis-majlis ilmu di masa kini yang penuh hilaian ketawa sehingga terbahak-bahak, malah ada diantaranya sampai ternga-nga mengalirkan air mata kerana ketawa, apa agaknya kata Rasulullah s.a.w.?

Alasan mereka, dengan lawak jenaka, maka ramailah orang akan datang ke majlis-majlis ilmu. Mereka mengatakan bahawa jika tanpa jenaka dan gelak ketawa, pasti orang-orang Islam dan bukan Islam tidak akan tertarik kepada ‘majlis-majlis ilmu’ sebegini. Maka kehendak manusia harus diletakkan pada aras yang sama dengan kehendak Allah. Pada mata fikir mereka, manusia perlu mendapat bahagian yang disukainya supaya boleh dipujuk dia untuk dekat dengan jalan Allah. Maka kehendak Allah perlu dipersekutukan dengan kehendak manusia. Allah mahu manusia membebaskan diri dari kejahilan, tetapi segolongan manusia tidak mahu membebaskan diri dari kejahilan jika tidak ditawarkan kepada mereka hiburan yang diingini mereka. Lalu semua ini dikompromi.

Mereka merasakan ribuan jumlah manusia yang hadir berlenggang dan terhibur di dalam majlis-majlis sebegini menunjukkan kejayaan mereka di dalam gerakan dakwah.

Benarkah kuantiti sebegini yang Allah mahukan dari kalangan manusia untuk masuk menjadi hamba-hamba yang bakal menjadi tentera-tenteraNya? Jawapannya tidak sama sekali. Kuantiti dalam kualiti sebegini sentiasa memusnahkan. Al Qur’an memberikan contoh yang konsisten semenjak zaman para nabi dan rasul Bani Israel sehingga Muhammad s.a.w.

2 dari 600,000 Jiwa Bani Israel.
Selepas peristiwa laut terbelah, Bani Israel bersama Musa a.s. mengembara di gurun. Lama sesudah itu mereka diperintahkan Allah untuk memasuki Tanah Yang Dijanjikan iaitu tanah milik orang-orang Canaan, Amorites dan Amelikites. 12 orang pengintip diutus Musa a.s. Setiap seorang dilantik dari setiap satu suku Bani Israel.

Sekembalinya pengintip-pengintip ini, 10 dari mereka memberikan perkhabaran buruk. Bani Israel, menurut pemerhatian mereka telah diperintahkan Tuhan mereka untuk berperang dengan kaum-kaum yang kuat dan gagah. Menurut mereka lagi, Bani Israel tidak mempunyai keupayaan untuk berperang dengan umat-umat yang gagah seperti itu. Meskipun sebelum ini, telah ditunjukkan kuasa Allah melalui mukjizat yang diberikan Allah s.w.t. kepada Musa a.s.

Laut pun Allah telah belah ketika mereka menurut perintah Allah untuk keluar dari Mesir. Ini semua disaksikan dan dialami secara sedar oleh mereka. Tetapi mereka masih sangsi dengan janji-janji Allah.

Lalu dihasut Bani Israel untuk tidak berperang dengan kaum-kaum asal di tanah Palestin yang dijanjikan. Lantas, mendengar hasutan 10 pengintip tersebut, Bani Israel mengarahkan Musa a.s. untuk pergi ke tanah tersebut bersama TuhanNya dan berperang bagi pihak mereka. mereka hanya mahu menunggu di situ dan membiarkan Musa a.s. bersama TuhanNya berperang bagi pihak mereka. Hanya dua dari 12 pengintip masih bertekad mahu memujuk Bani Israel berperang sebagaimana yang diperintahkan Allah kepada mereka. Mereka kemudiannya menjadi mangsa ugutan Bani Israel.

Allah s.w.t. murka kepada tindakan mereka. Mereka dihukum Allah menjadi sesat di gurun tersebut. Al Qur’an tidak menyebut mengenai jumlah mereka. Bible mencadangkan jumlah mereka yang sesat dan kemudian mati gurun tersebut berjumlah lebih 600,000 jiwa. Sarjana mereka sendiri tidak sependapat mengenai jumlah sebenar. Ia diletakkan di sini bagi tujuan perbandingan. Kesemua mereka diharamkan memasuki tanah Palestin selagi hayat dikandung badan. Daripada jumlah ini, dinyatakan hanya dua orang dari 600,000 orang Islam (Bani Israel) pada waktu itu dipanjangkan umur oleh Allah dan dibenarkan memasuki tanah Palestin tersebut. Mereka ialah dua orang pengintip yang bersungguh-sungguh mahu mengikut arahan Allah dan melaksanakan perintah Allah sepertimana yang telah diarahkan. Dua manusia beriman ini dinamakan Yusya’ bin Nun (Joshua son of Nun) dan Khalib (Caleb). Musa a.s. meninggal dunia sebelum Bani Israel pada generasi yang baru dilahirkan berjaya menawan Palestin. Itu sebahagian dari perancangan Allah dan bukanlah kerana Allah murka kepadanya seperti yang difitnahkan oleh Bani Israel dan ahli kitab. Saya telah menjawab pertuduhan dan fitnah tersebut di dalam penulisan bertajuk ‘Menyamak Dosa Bani Israel Dengan Memfitnah Musa a.s.’ (Kliksini)

Jelas sekali, bukanlah jumlah yang Allah mahukan. Kualiti umat sebenarnya yang Allah mahukan. Allah akan menapis kesemua mereka-mereka ini biarpun sehingga tinggal 2 orang dari 600,000 orang. Ini kerana mereka menurut kehendak Allah meskipun kehendak manusia dan hati manusia lain pada ketika itu mahukan kesenangan, kelapangan dan sesuatu yang lebih santai.

313 dari 32,000 Jiwa Bani Israel
Kita rujuk pula kisah peperangan antara pasukan Thalut (Saul di dalam Bible) dan Jalud (Goliath di dalam Bible). Saya percaya ramai yang tahu akan kisah ini. Saya juga percaya ramai yang turut gemar bercerita tentang kisah ini. Tetapi malangnya hanya sedikit yang mahu mengambil pelajaran.

Saya tidak mahu menulis panjang. Jika mahu tahu tentang peristiwa ini, boleh rujuk mana-mana tafsir al Qur’an untuk kisah tersebut. Saya juga pernah menulis tentangnya bagi memperbetulkan kesilapan yang terdapat di dalam Book of Judges mengenai perang dengan Midian yang mereka tidak sedari merujuk kepada peperangan yang dilalui oleh Thalut. Boleh ke pautan berikut jika berminat untuk mendalaminya dan membacanya.


Pasukan Thalut dikatakan mempunyai ribuan tentera. Al Qur’an tidak menyebut tentang jumlahnya. Ini kerana jumlah yang ramai tetapi tanpa kualiti yang diinginkan itu, tidak penting untuk disebutkan. Bible yang wujud pada hari ini meletakkan jumlah tentera Thalut berada membentuk pasukan dengan ketumbukan 32,000 orang.

Mereka kemudian ditapis Allah dengan ujian dahaga dan sebatang sungai. Daripada 32,000 orang tentera yang dikatakan bersama Thalut untuk memerangi pasukan Jalud, hanya 313 orang sahaja yang mengikuti arahan Allah yang diberikan kepada Thalut supaya tidak berhenti minum di sebuah sungai di mana pasukan mereka berhenti. Mereka yang mementingkan nafsu, isi perut dan kemahuan diri mereka melebihi kemahuan Allah, maka mereka ini akan sentiasa ditapis keluar dari jemaah yang bakal memikul beban perjuangan yang ikhlas kerana mengharapkan redha Allah s.w.t. semata-mata.

Jumlah tidak pernah menjadi masalah. Yang penting kualiti. Allah menjanjikan kepada umat Islam, jika mereka benar-benar memenuhi kualiti yang dimahukan Allah, Allah akan memberikan kekuatan yang mereka perlukan. Allah akan campakkan kegerunan di dalam hati musuh-musuh Islam biarpun tentera-tentera Islam tidak mempunyai kekuatan bilangan dan teknologi tempur yang canggih. Ia telah terbukti semenjak zaman Rasulullah s.a.w.

Ujian Isra’ dan Mikrak
Muslim pada dekad awal perkembangan Islam di Mekkah juga tidak terkecuali menerima ujian dan dugaan oleh Allah. Dari penyeksaan, pemboikotan ekonomi sehingga ke pemulauan ahli keluarga semua itu dilalui oleh generasi sahabat-sahabat yang kuat dan gigih dalam menjaga kekuatan iman mereka.

Tetapi untuk memastikan generasi muslim yang pertama akan membentuk negara Islam pertama di Madinah merupakan umat yang terbaik, Allah s.w.t. sekalilagi menguji mereka dengan salah satu tujuannya ialah bagi tujuan penapisan. Hanya yang paling berkualiti akan menjadi sebahagian dari golongan muhajirin yang berhijrah ke Madinah.

Ujian Isra’ dan Mikraj merupakan satu ujian yang besar. Hanya mereka-mereka yang beriman sepenuhnya kepada Allah dan RasulNya dapat menerima peristiwa Rasulullah s.a.w. bergerak dari Baitullah ke Baitul Maqdis di dalam satu malam. Kita pada hari ini tidak hairan dengan perjalanan dalam kepantasa sedemikian rupa. Ini kerana kita hidup di dalam era jet jumbo dan roket-roket ke angkasa. Tetapi perkara itu mencabar lojik akal kepada umat Islam dan manusia-manusia dengan keimanan biasa-biasa pada zaman tersebut. Ramai yang sangsi sehingga menyebabkan mereka mendesak Rasulullah s.a.w. menggambarkan gambaran Baitul Maqdis pada ketika itu.

Tidak cukup dengan ujian tersebut, mereka sekali lagi dikejutkan dengan berita dari Muhammad s.a.w. bahawa baginda tidak hanya berlepas dari Baitullah di Mekah ke Baitul Maqdis di Palestin dalam satu malam, malah baginda juga menyatakan bahawa baginda telah diangkat ke langit paling tinggi dan di bawa bertemu dengan Allah di Sidratun Muntaha.

Dengan berita ini, mereka-mereka dengan iman-iman yang  goyah mengambil keputusan untuk tidak bersama dengan pejuangan nabi. Lalu tertapislah serta terpisahlah mereka-mereka yang mempunyai iman yang berkualiti berbanding sebelum ini. Bersama golongan yang tinggal inilah negara Islam pertama di Madinah didirikan. Amat jelas bahawa Allah s.w.t. tidak pernah memandang kepada kuantiti tetapi kualiti.

Jadi, jumlah yang banyak itu bukanlah satu jaminan kemenangan malah mungkin lebih banyak memusnahkan. Semua ini harus dikawal semula supaya institusi yang seharusnya menjadi tempat di mana penyakit-penyakit mata hati dirawat, tidak bertukar menjadi tempat di mana mata hati itu diracuni untuk segera mati. Tanpa mata hati yang hidup, bagaimana mungkin generasi umat ini akan selamat dengan penipuan input-input indera di dalam akhir zaman kini? Kita semua perlu memperbaiki keadaan ini. Wallahua’lam.

© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.

4 comments:

tuan bila lagi blog satu hala nak buat video video kontroversi

saya kenali blog satu hala melalui video video tuan
 
ya...ustad itu yg diberi title ulama oleh golongan 'itu' suka sgt beri contoh perempuan dedah aurat...perempuan saja yg salah. dia yg tengok badan perempuan tu tak salah pulak...contoh bukan main detail penerangannya...ingat setiap inci badan pompuan yg dia tgk tak tutup aurat tu..dari bahu sampai ke betis ditiliknya...bukan satu contoh...berpuluh coontoh...ye la dia ustaz wal ulama...tgk pompuan sexy bg contoh takpa kot...kita bukan ustad kena jaga mata lebih sket kot
 
Anon February 19, 2013 at 5:17 PM,

Video dibuat mengikut keperluan sasaran.. InsyaAllah akan ada lagi nanti..
 
Anon February 22, 2013 at 9:50 PM,

Mgkin Ustaz tu lupa, dlm al Qur'an, arahan supaya lelaki menundukkan pandangan disebut terlebih dahulu di dalam An NUr ayat 30 sebelum arahan perempuan supaya menutup aurat dalam ayat 31 (An Nur)..

penerangan yang detail menunjukkan apa sikap sebenar dia dengan ayat2 Allah. tetapi sebagai manusia, mungkin dia terlupa kot..?
 

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email