Thursday, June 21, 2012

Why Be You When You Can Be New?


oleh : M.I.A/Imran Haaz

Petikan yang digunakan di dalam tajuk di atas diambil dari filem animasi Robot yang saya tonton satu ketika dulu dengan anak perempuan saya, Mifthahul Jannah. Bila Bigweld ditendang keluar dari industri kerana memperjuangkan semua robot adalah hebat tak kira mereka diperbuat daripada apa, dengan slogan ‘You can shine no matter what you’re made off.’ Kata-kata seperti ini dikatakan sangat merugikan kepada golongan kapitalis. Lalu tempatnya diambil oleh pentadbiran muda yang bakal melonjakkan graf keuntungan berlipat kali ganda. Ratchet, robot yang tunjang akar pemikirannya sentiasa berlegar dalam pemikiran kapitalis mengambil alih pentadbiran Big Weld Industries. Dialah yang mempromosikan tag ‘Why Be You When You Can Be New’ dalam iklan-iklan untuk memprogramkan minda robot-robot yang lain untuk kembali merasa rendah diri dengan keupayaan diri mereka. Sama situasinya dengan dunia diluar filem animasi tersebut.

Orang-orang biasa harus sentiasa diperingatkan tentang kekurangan diri supaya mereka akan merasa diri mereka sangat inferior lalu mereka akan segera mencari remedi untuk mengembalikan keyakinan diri mereka. Mereka setiap hari di dalam hayat hidup mereka, pancaindera mereka dilambakkan dengan iklan yang menunjukkanbagaimana rupa manusia-manusia yang berjaya, apa bentuk tubuh mereka, apa yang dipakai oleh mereka, apa yang dimakan mereka, siapa yang menjadi pasangan mereka, apa kenderaan yang dinaiki mereka, di mana rumah tempat tinggal mereka, ke mana mereka menghabiskan wang, di mana mereka bercuti, apa gajet yang digunakan mereka dan segala-galanya tentang mereka-mereka yang dipotretkan sebagai manusia-manusia yang berjaya. Segalanya dibentuk bagi memahat sebuah persepsi supaya semua manusia yang ada di dalam khalayak yang lebih ramai akan dihumbankan dengan perasaan rendah diri, tiada kemegahan dan menyebabkan mereka mula merasakan ingin mengungsi diri ke sebuah sudut gelap di dalam masyarakat. Mereka mahu menjadi halimunan sekiranya mereka tidak dapat menjadi seperti ‘insan-insan berjaya’ yang disogokkan setiap hari di media dan kaca tv. Mereka ingin keluar dari perasaan resah tersebut tetapi mereka tertanya-tanya bagaimana mungkin ianya dapat dilakukan.

Monday, June 18, 2012

Menyamak Dosa Bani Israel Dengan Memfitnah Musa a.s.


Bismillahir Rahmanir Raheem.. Dalam penulisan sebelum ini, saya telah menjelaskan bagaimana tindakan seorang penulis yang mengirimkan surat kepada akhbar Bahasa Inggeris di Malaysia cuba membersihkan dosa zionis dengan memfitnah Rasulullah s.a.w. (klik sini untuk membacanya). Penulisan kali ini merupakan sambungan yang telah saya janjikan di akhir penulisan tersebut berkenaan modus operandi memfitnah nabi dan rasul-rasul mulia bagi membersihkan dosa-dosa ahli kitab terhadap Allah dan sekaligus memberikan legitimasi palsu ke atas mereka untuk mengatakan Palestin itu milik mereka.
  
Joshua anak kepada Nun
Harap perhatian dapat diberikan kepada bentuk nama yang digunakan di dalam penulisan ini. Setiap kali sumbernya ialah Bible, saya akan menggunakan nama yang digunakan oleh Bible untuk merujuk watak di dalam perbincangan tersebut. Sebagai contoh, jika saya menyebut Moses, ia bermaksud cerita yang saya ambil berkenaan individu terbabit merupakan cerita yang diambil dari kitab Bible dan sumber-sumber Israeliyyat. Moshekh, Moses dan Musa merupakan orang yang sama. Moshekh merupakan nama Musa yang disebut di dalam kitab Perjanjian Lama, manakala Moses pula merupakan nama yang digunakan di dalam terjemahan Bible bahasa Inggeris. Al Qur’an menyebut Moshekh/ Moses sebagai Musa di dalam al Qur’an.

Begitu juga dengan Oshea 1, Hoshea 2 dan Joshua 3. Ketiga-tiganya merujuk kepada orang yang sama dan disebut dengan dua nama tersebut di dalam kitab Perjanjian Lama dan Baru. Di dalam tradisi Islam Joshua ialah Yusha’, pemuda yang bersahabat dengan Nabi Musa a.s. yang menemani Nabi Musa a.s. di dalam perjalanan mereka bertemu Khidr a.s. Kisah mengenai perjalanan mereka diceritakan di dalam surah al Kahfi ayat 60 hingga 82.

Thursday, June 14, 2012

Revert Muslim Bertatu


Oleh : Imran Haaz/M.I.A.

Bismillahir Rahmanir Raheem.. sekitar 2005, saya dipertemukan Allah dengan salah seorang saudara Islam semasa diamanahkan menguruskan sebuah projek membaikpulih sejumlah prasarana di Pulau Pinang. Peter, nama yang diperkenalkannya kepada saya. Seorang bertubuh sangat tinggi dan agam.  Ketinggiannya melebihi 2 meter. Hampir setengah kaki tingginya di dari saya.

Dia merupakan kontraktor di bawah seliaan saya. Bekas seorang pengurus pub, pengembara dan samseng jalanan. Pertama kali saya disapa olehnya di dalam mesyuarat, saya agak terkejut. Dengan lengan sebesar peha yang penuh bertatu, dia menyapa saya dengan salam.

Saya menjawab salamnya dalam keadaan kaget. Seluruh gambaran yang wujud di dalam perkiraan minda tipikal muslim di Malaysia yang ada pada saya ketika itu, kehadiran dia di hadapan saya pada ketika itu membuatkan pemikiran saya sedikit berceramuk mencari logik susunan penampilan zahir dan sisi batin dirinya. Wajahnya garang seperti Kerry King, pemain gitar Slayer di usia tuanya. Tetapi tidak sebotak Kerry King, rambutnya panjang ala Jeff Scot Soto semasa di awal kemunculannya bersama Yngwie Malmsteen di dalam Rising Force. Ibarat berhadapan dengan the Undertaker dalam WWE. Bayangkan apa yang bermain di minda saya ketika orang seperti di bawah ini memberikan salam dan memberikan senyuman yang saya nampak sangat ikhlas di sebalik wajah bengisnya.


Tuesday, June 12, 2012

Pertuduhan ke Atas Rasulullah s.a.w. Punca Konflik Palestin

Oleh : M.I.A./Imran Haaz

Bismillahir Rahmanir Raheem.. Pada tanggal 5 Oktober 2011, seorang penulis biadab telah menulis berkenaan permasalahan yang berlaku pada ketika ini di Timur Tengah terutamanya di Palestin. Penulis tersebut dengan biadab mencadangkan serta menuduh Rasulullah s.a.w. sebagai orang yang bertanggungjawab yang mengakibatkan berlakunya konflik yang berpanjangan di antara orang-orang Arab dengan Yahudi sehingga kini.

Di dalam surat yang menyatakan pendapatnya yang disiarkan di dalam sebuah akhbar Inggeris tempatan, dengan tajuk, Behind the Arab Conflict, beliau menyatakan bahawa perbuatan Rasulullah s.a.w. mengarahkan perubahan kiblat dari Baitul Maqdis ke Mekah, merupakan punca utama yang menyebabkan berlakunya konflik ganas antara orang-orang Arab dengan Yahudi. Beliau juga menyatakan, orang-orang Palestin merupakan mangsa yang tersepit di dalam konflik ganas tersebut disebabkan arahan perubahan kiblat ini.



Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email