Thursday, November 29, 2012

Kenapa Ada Agama Menggalakkan Penganutnya Rosak?


oleh : M.I.A./Imran Haaz

Bismillahir Rahmanir Raheem.. Agama seharusnya menyelamatkan manusia dari menjadi rosak. Jadi bagaimana pula ada sesetengah ritual dan ibadat di dalam sesetengah kepercayaan itu, menggalakkan penganutnya merosakkan diri, genetik dan keturunan di dalam jangka masa yang panjang. Amalan atau mana-mana ritual agama yang disabitkan sebagai berkait dengan arahan dari Tuhan, sudah pasti, secara tidak langsungnya akan sewajibnya membawa kebaikan kepada manusia itu sendiri. Tetapi bagaimana mungkin ritual yang di dalam sesetengah agama menyebabkan penganutnya terjerumus ke dalam kerosakan.

Islam melarang segala perkara yang memabukkan. Kemabukan membawa manusia kepada tingkat kedudukan yang lebih rendah dari haiwan. Ini kerana kemabukan menyebabkan manusia tidak dapat mengawal dirinya dan perlakuannya sendiri. Apalah nilai yang ada pada manusia yang tidak mampu untuk mengawal tindak tanduknya?


Dalam surat saya kepada pihak the Star satu ketika dahulu, bagi menjawab ulasan yang saya anggap memperlekehkan sikap Islam terhadap arak dan minuman yang memabukkan yang ditulis Marina M berkaitan isu sebat Kartika Sari satu ketika dahulu,saya menyatakan sikap tegas Islam kepada perihal kemabukan ialah bagi tujuan memuliakan manusia (artikel di sini).  Ini kerana Islam ialah satu-satunya agama yang mementingkan tingkat akal serta keupayaan intelektual seseorang manusia. Ia meletakkan hukum, garis serta panduan supaya generasi manusia yang memeluk Islam, akan terselamat akal fikiran mereka dari kebodohan yang merosakkan. Bukan setakat larangan, Islam mempunyai mekanisme yang telah sedia untuk dilaksanakan bagi mengelakkan manusia rosak akibat hilangnya keupayaan akal untuk memimpin diri kepada kemajuan sejagat.

Ada sesetengah kepercayaan memerlukan penganutnya meminum minuman yang memabukkan atas alasan mahu mengajak penganutnya mendekatkan diri kepada Tuhan. Ia juga dilaksanakan bagi tujuan mengajak penganutnya untuk bermuhasabah bagi tujuan mengenali ‘pengorbanan tuhan’. Tetapi sesuatu yang sangat memusykilkan ialah bilamana tindakan mendekatkan diri kepada Tuhan dengan meminum minuman memabukkan seperti wine dan sebagainya, merupakan tindakan yang merosakkan manusia dan keturunannya sendiri.

Apakah tuhan itu tidak tahu bahawa minuman yang memabukkan tersebut sangat tidak elok untuk kesihatan makhluknya yang bernama manusia? Apakah benar dia menyayangi manusia jika dia sendiri mengarahkan manusia melakukan perkara-perkara yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan mereka? Apakah ini yang sering dinyatakan mereka sebagai kasih sayang Tuhan?

Jadi bolehkah dianggap dan diimani mereka itu sebagai tuhan jika jalan-jalan yang digunakan untuk mendekatkan diri kepadanya merupakan jalan yang merosakkan manusia itu dari segi kesihatan fizikal, spiritual, emosi dan mental?

Perhatikan keratan akhbar dan kajian yang dilakukan seperti berikut. Kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa minuman yang memabukkan merosakkan IQ pada genetik keturunan. Tetapi, apabila fakta ini dibawakan kepada mereka yang menggunakannya di dalam ritual agama, maka alasan berikut akan dikemukakan. Bahawa penggunaan sedikit wine di dalam ritual mendekatkan diri kepada usaha mengertikan pengorbanan ‘Tuhan’, tidak akan menjejaskan kesihatan. 



Itu alasan mereka, tetapi kajian demi kajian yang dijalankan menunjukkkan golongan peminum minuman keras yang melakukannya sekali sekala di dalam jumlah yang sedikit seperti di dalam ritual agama tersebut, lebih berisiko besar menyebabkan berlakunya kerosakan kepada sel otak pengamalnya. Itu sepertimana yang dinyatakan oleh Olivier George, seorang neuropharmacologist di dalam kajiannya yang dipetik Huffington Post seperti di bawah :

The pattern of knocking back a few drinks every few days, followed by days of no drinking, can cause more brain damage in rats than drinking moderately every day, say scientists from The Scripps Research Institute in La Jolla.1


Jadi, apa lagi alasan untuk mempertahankan sesuatu yang sudah semestinya merosakkan? Lebih malang lagi apabila ritual-ritual di dalam agama tertentu merosakkan penganutnya dan menyabitkan perbuatan merosakkan terbabit dengan arahan Tuhan. Satu persoalan, bukankah agama itu bertujuan menyelamatkan manusia untuk kehidupan di dunia dan akhirat? Jika benar demikian, maka sudah semestinya ada yang tidak kena dengan ritual dan amalan sedemikian yang disabitkan dengan ketuhanan.

Islam datang untuk menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat. Akal, darah, nyawa dan maruah manusia sentiasa diletakkan di dalam tempat yang mempunyai kemuliaan yang tinggi. Sekatan terhadap umat Islam dari sesuatu yang merosakkan akal dan maruah manusia seperti minuman memabukkan ini bukanlah bertujuan menghalang manusia dari kebebasan yang tiada sempadan. Setiap sempadan yang telah ditentukan oleh agama Islam ialah sempadan yang menyelamatkan umat Islam itu sendiri dari kemusnahan diri terutamanya akal dan maruah. Perhatikan video di bawah ini. Mereka-mereka yang divideokan di dalam keadaan mabuk ini, pada ketika akal mereka waras dan masih berupaya menguasai diri, mereka sudah semestinya tidak mahu diri mereka dijadikan bahan ketawa. Mereka insan-insan yang malang kerana perbuatan mereka sendiri. Untuk menyalahkan mereka 100%, mungkin tidak boleh dilakukan sama sekali. Ini kerana sistem kehidupan yang mereka lalui tidak mempunyai mekanisme yang cukup bagi membantu mereka mengelakkan diri dari terjerumus dari memasuki keadaan-keadaan yang memalukan seperti di dalam video tersebut. Malang sekali bagi kita di sini yang sudah sekian lama mempunyai sistem dan mekanisme yang boleh digunakan bagi mengelakkan berlakunya perkara tersebut secara berleluasa, kini muncul nama-nama figura yang menunjukkan mereka itu Islam, sedang berusaha dengan keras menerapkan pemahaman liberal mereka tentang tafsiran baru ‘Islam di dalam khayal mereka’. Mereka cuba menanggalkan mekanisme demi mekanisme yang telah sekian lama dijalankan bagi tujuan menjaga kebajikan umat. Mereka-mereka inilah proksi kepada gerakan dajjal yang sedang mengintai peluang supaya gerakan yang mendokong mereka dapat memanjat puncak kuasa secara total. 

Hanya dengan kembali kepada al Qur’an dan As Sunnah sepenuhnya kita akan memahami situasi yang sedang kita hadapi kini. Semoga apa yang berlaku kepada insan-insan malang di bawah ini tidak akan berlaku kepada umat Islam di negara ini. Mereka-mereka di dalam video di bawah ini bukan untuk diketawakan, tetapi untuk diperhatikan kesan dan akibat pengaruh minuman memabukkan kepada fungsi akal dan letak duduk maruah makhluk yang dinamakan manusia. Mereka perlu diselamatkan dan hanya Islam jawapan kepada kerosakan sistem sosial masyarakat mereka yang telah dieksperimenkan dengan pelbagai sistem sebelum ini. Untuk kita di sini, kita pertahankan tunas yang ada dan pastikan ia berkembang sehingga membuahkan sebuah Negara yang mana secara keseluruhan sistemnya terletak di bawah perlembagaan yang telah ditetapkan Allah melalui al Qur’an dan sunnah.




I.H : Owh.. mungkin ada yang tertanya tentang lagu latar video di atas. Ia dihasilkan melalui vocal synthesizer di dalam projek yang dinamakan Hatsune Miku. Lagu tersebut bertajuk Ievan Polkka/Ievan Polokka, sebuah lagu Polka terkenal dari Finland yang telah digubah semula menggunakan synthesizer tersebut.

RUJUKAN :

1)       http://www.huffingtonpost.com/2012/10/22/binge-drinking-united-states-drinking-habits_n_2001641.html 

2 comments:

Bersyukur kerana dilahirkan Muslim... alhamdulillah..
 
Benar Amirul a.k.a. Zeaf I-sahus,
Kita sgt beruntung dan harus terus berjuang supaya kita terus menjadi org yg beruntung..
 

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email