Saturday, November 24, 2012

Ikan Di Laut Asam Di Darat Decoded (Dinyahkod)

Oleh : Imran Haaz/M.I.A.

Penulisan ini bermula dengan dialog dengan beberapa orang sahabat di facebook. Lalu saya jadikan ia sebagai sebuah artikel. Ia mengenai lirik sebuah lagu lama. Mungkin sama atau lebih tua dari mereka-mereka yang paling tua yang masih hidup. Jika dilayan sebagai hiburan, hati terhibur. Jika dilayan pada kata yang indah, hati teruja. Dan jika diberikan perhatian kepada apa yang disampaikan, ia merupakan satu teguran kepada bentuk kemandulan pemikiran Melayu Muslim  yang tertipu dengan keindahan sementara yang dikejar. Begitulah lirik Ikan di laut, Asam di darat. Saya merujuk versi dendangan A. Halim dan   Norlela Nasir. Liriknya seperti di bawah dan lagunya di dalam pautan yang dimuatkan.


Kalau menyanyi perlahan-lahan,

Di bawa angin terdengar jauh,
Kalau menyanyi perlahan-lahan,
Di bawa angin terdengar jauh,
Kalau hati tidak tertahan,
Di dalam air badan berpeluh,
Kalau hati tidak tertahan,
Di dalam air badan berpeluh,

Bunga melati di dalam taman,
Daun yang hijau banyak yang gugur,
Bunga melati di dalam taman,
Daun yang hijau banyak yang gugur,
Kalau turut makrifat iman,
Minyak dan air mungkin bercantum,
Kalau turut makrifat iman,
Tidakkan air mungkin bercantum,
Kalau takut dilambung ombak,
Jangan berumah di tepi pantai,
Ikan di laut asam di darat,
Dalam periuk bikin mufakat,
Dalam periuk bikin mufakat,

Dikatakan ianya merujuk lagu yang sudah didendangkan sejak lama dahulu. Kali pertama direkodkan ialah di dalam filem Dewi Murni 1950. Yang mendendangkannya ialah Allahyarham R. Azmi dan Allahyarhamah Rubiah dengan tajuk Jodoh. Liriknya tidak banyak berbeza dengan versi A. Halim dan Norlela Nasir.



Kenapa versi A. Halim dan Norlela Nasir? Pada mulanya tiada alasan spesifik melainkan mungkin kerana saya menyukai filem Pulp Fiction dan beberapa filem Quentin Tarantino terutamanya Kill Bill 1 & 2. Apa pula kena mengena Quentin Tarantino dengan lagu ini? Ia tiada kena mengena sebenarnya. Tetapi feel kepada lagu ini mengingatkan saya kepada feel menonton filem-filem tersebut, kerana kebanyakan runut bunyi di dalam ketiga-tiga filem tersebut menggunakan lagu Surf dan Swing.

Tetapi setelah mendengarnya berkali-kali, ia menjentik pemikiran saya mengenai sesuatu. Boleh jadi terdapat sesuatu yang cuba disampaikan penulis lirik asal lagu tersebut. Di dalam era penjajahan dan Melayu Muslim diselubungi pemikiran kolot, seakan terdapat satu keperluan bagi baki orang Melayu yang masih mempunyai sisa rasional di dalam pemikiran mereka untuk membuat teguran supaya bangsa ini segera bangkit.

Fenomena teguran kepada kolotnya pemikiran Melayu pada ketika itu bukan hanya menjadi sebutan golongan yang terdorong dengan potif politik dan kuasa, malah ianya turut didorong oleh gerakan yang dijalankan guru-guru agama yang mengasaskan pondok-pondok pengajian di serata pelusuk Nusantara.

Antara yang terkenal lantang menegur masalah kolotnya pemikiran orang-orang Melayu ketika itu ialah Tok Kenali. Beliau yang dikenali kerana ketokohannya yang hebat. Pemikiran Tok Kenali mendahului zaman, tetapi malang sekali cerita dari mulut ke mulut yang gemar disampaikan mengenai beliau sentiasa disalutgulakan dengan elemen mistik bagi membangkitkan rasa kagum kepada orang-orang Melayu terhadapnya. Orang-orang Melayu tidak akan memandang kepada awan sebagai sebuah kehebatan ciptaan Allah melainkan sekiranya terdapat kalimah namaNya terpahat di situ. Orang Melayu tidak akan memandang ibadah solat sebagai satu rutin aturan hidup seorang manusia yang sangat hebat melainkan apabila sejadah yang digunakan ‘bangun duduk dengan sendirinya’.  Ini satu penyakit. Itulah juga yang menjadi masalah rasukan yang menghantui pemikiran Melayu setelah mereka lama terjajah. Melayu asalnya tidak sedemikian rupa pemikiran mereka sebelum mereka berpecah lalu terjajah oleh Portugis. Pemikiran mereka hebat dan mendahului zaman. Tetapi semua itu berubah apabila mereka terlalu lama dijajah. 
Tok Kenali tidak senang dengan masalah kolotnya pemikiran orang-orang Melayu ini. Dari masa ke semasa beliau menegur dengan lantang tentang masalah pemikiran orang-orang Melayu.  Tercata di dalam kompilasi buku Tamadun Melayu jilid 5, yang mengisahkan mengenai gaya pemikiran Tok Kenali. Tok Kenali yang dicemari kisahnya dengan elemen mistik dan mengarut oleh tradisi lisan, tetapi di dalam buku ini, mengisahkan gaya berfikir seorang pejuang bangsa yang tahu berpijak di bumi yang nyata. Satu pernyataan bertulis yang ditulis oleh Tok Kenali yang masih kekal menjadi pemangkin kepada cara saya berfikir sehingga ke hari ini ialah seperti berikut:

Maka seyogialah bagi tiap-tiap yang berakal itu bahawa mengedarkan tapaknya ke medan ketinggian yang bersetuju dengan adab agama dan berkenan pula dengan adat yang terutama, tiadalah kelebihan seseorang itu dengan perasaan dirinya sahaja, melainkan apabila menyaksikan yang demikian itu oleh segala mata yang melihat dan segala telinga yang mendengar seperti menyaksi kita bagi perbuatan orang yang dahulu dan sekarang... maka menunjukkan bahawa kita daripada orang yang tiada beramal dengan amalan yang mendatangkan manfaat bagi jenis bangsa dan kaum, padahal jika tilikan orang yang dahulu dan yang sekarang yang boleh menjalankan kehidupan yang tinggi dan perintah yang bergoncang laut dan darat tiadalah pada mereka itu satu tulang dan urat yang terlebih dari kita. 1

Di dalam tulisan beliau seperti yang dipetik di atas, Tok Kenali mengajak bangsanya ini bangkit belajar dari tamadun orang-orang yang hebat tanpa merasa rendah diri akan keupayaan sendiri. Kenyataannya pada bait ini ‘padahal jika tilikan orang yang dahulu dan yang sekarang yang boleh menjalankan kehidupan yang tinggi dan perintah yang bergoncang laut dan darat tiadalah pada mereka itu satu tulang dan urat yang terlebih dari kita.’

Tiada apa yang lebih ada pada Yahudi dan bangsa Eropah melainkan tetap mempunyai bilangan urat dan tulang yang sama dengan apa yang ada pada diri kita. Malang sekali kita terperangkap di dalam ketidakupayaan yang berpunca dari kelemahan pemikiran kita sendiri. Walaupun telah merdeka kita masih lagi terbelenggu dengan keupayaan yang terpenjara oleh kekolotan pemikiran kita sendiri. Kita menjadi satu bangsa yang mudah dimanipulasikan. Kita menjadi sebuah bangsa yang sanggup menjadi soldadu kepada pihak yang mahu menggunakan kudrat dan keupayaan kita demi keuntungan jangka panjang yang langsung tidak menguntungkan kelestarian kehidupan kita di bumi Nusantara ini. Bumi anugerah Allah yang bakal terlepas pegangannya kerana ramai di antara kita hanya wujud pada bilangan kiraan jasad, tetapi jasad itu bagai jamadat kaku dan kejur yang tidak berupaya berfikir dengan waras lantas menjadi mangsa manipulasi pihak yang berkepentingan.

Tidak terkecuali yang menyedari betapa bermasalahnya pemikiran majoriti masyarakat kita pada ketika itu ialah golongan seniman. Seni jika dipacu di dalam trajektori yang tidak menyimpang dari syariat, ianya boleh memacu ummah sebagai pemangkin yang mempercepatkan pembebasan pemikiran orang-orang kita.

Satu contoh yang ingin dibawakan ialah lirik lagu Ikan Di Laut Asam Di Darat versi A. Halim dan Norlela Nasir. Lagu ini dilihat sebagai merupakan satu gesaan, teguran dan tawaran. Liriknya telah diperbaiki oleh mereka yang menerbitkannya kembali di dalam versi ini. Keseluruhan lirik jika mahu dirangkumkan, ia membawa satu maksud yang mahukan mereka yang mendengarnya memerdekakan pemikiran dari belengu limitasi indera. Frasa yang biasa digunakan ialah Mind Over Matter. Jika kuasa minda terlalu dididik untuk terkepung dengan keupayaan indera yang lima, maka manusia tidak akan mencapai tingkat keupayaan kemajuan yang melampaui keupayaan manusia-manusia yang terbatas. Manusia yang sentiasa beriman dengan frasa seeing is believing ialah golongan manusia kolot yang terperangkap di dalam zaman jumud yang anti kepada kemajuan yang melampaui kemampuan manusia.

Kalau menyanyi perlahan-lahan, dibawa angin terdengar jauh.
Liriknya dimulakan dengan ayat ini. Ada yang menganggapnya bait rangkap pantun cinta, mungkin boleh diiyakan jika keseluruhan konteks lirik tidak diberikan perhatian. Pada pandangan saya yang cuba menyelami apa yang disampaikan, ia merupakan satu mukaddimah nasihat kepada yang bakal mendengar keseluruhan lagu ini.

Seolah ia menyatakan, untuk mengubah dasar pemikiran umat Melayu ini, ia harus dilakukan dengan perlahan dan penuh hati-hati. Tidak perlu terlalu berebut dengan cemas yang merosakkan. Jika mahukan perubahan itu berlaku dengan sekelip mata, bukan itulah caranya untuk berhadapan dengan umat yang darah keturunan mereka telah memeluk segala agama dan meninggalkan segala-galanya yang mengarut setelah berjumpa dengan kebenaran Islam. Hanya umat manusia yang maju di dalam keupayaan pemikiran menyambut Islam dengan tangan terbuka tanpa berbantah pada kali pertama bertemu dengannya. Hanya bangsa ini menerima Islam tanpa mempertikaikannya. Hanya jauhari mengenal maknikam. Kebenaran yang dicari oleh manusia dengan asas pemikiran yang sihat akan segera dikenalpasti kehebatannya sebaik bertemu. Begitulah dengan Islam. Bangsa Arab sendiri memerangi Islam sebelum ego mereka ditundukkan dengan kehebatannya. Tetapi perkara itu tidak berlaku dengan bangsa Melayu. Tetapi amat malang apabila keupayaan pemikiran ini telah tertimbus di dalam sela masa penjajahan yang terlalu lama.

Jadi sisa keupayaan pemikiran hebat ini perlu digalikan kembali dari kubur kemandulan daya fikirnya. Ia perlu dilakukan dengan segera tetapi tidak perlu dipecutkan dengan cemas. Segalanya perlu dilakukan dengan penuh hati-hati. Prinsip mudah yang menulis kata-kata nasihat ini ialah, kalau mahu mengambil tanggungjawab mengubah pemikiran bangsa ini, hendaklah perlahan-lahan. Perubahan itu akan tetap berlaku jika diusahakan dengan teliti. Bagai dibawa angin terdengar jauh, begitu jugalah usaha yang dilakukan dengan penuh teliti ini. Allah akan mempermudahkan ia berkembang dan kemudian tersebar luas gelombang perubahan pemikiran yang cuba disampaikan melalui usaha tersebut.

Kalau hati tidak tertahan, di dalam air badan berpeluh
Ada juga pantun rindu-rinduan yang menyambung rangkap di atas, tetapi penulis lirik tersebut membuangnya dan perbuatan ini dilihat seolah cuba menjauhkan keseluruhan penceritaan nasihat di dalam lagu ini dari terkepung di dalam tema cinta yang menyesakkan.
Menyambung rangkap awal dengan nasihat bahawa gerakan untuk mengubah gaya pemikiran Melayu perlu dilakukan dengan penuh strategi dan berhati-hati, penulis lirik memasukkan nasihat tentang akibat jika tersalah langkah atau keupayaan diri tidak cukup kuat untuk mengharungi cabaran tersebut. Kalau hati tidak tertahan, di dalam air badan berpeluh.

Tugasan ini bukanlah satu tugasan yang boleh dilakukan oleh orang-orang yang biasa. Kekuatan yang luar biasa diperlukan untuk mengheret umat Melayu keluar dari kubur kejahilan minda. Tanpa kekuatan dan daya ketahanan, di dalam apa jua keadaan, pembawa obor perubahan ini akan berada di dalam kedudukan yang tidak menyelesakan.

Bunga Melati Di Dalam Taman, Daun Yang Hijau Banyak Yang Gugur
Rangkap ini memasuki fasa yang menyentuh mengenai trajektori  kiblat pemikiran dan matlamat yang selama ini cuba ditujui tidak seharusnya menghalalkan cara pembersihan minda tersebut cuba dilakukan. Kerap kali, inilah yang berlaku. Melati tidak akan putih jika dedaunnya tidak hijau sempurna.

Bunga Melati merupakan puspa bangsa Nusantara. Malah Indonesia mengambilnya sebagai salah satu dari 3 jenis bunga yang dijadikan bunga nasional. Melati di Indonesia diangkat sebagai Puspa Bangsa negara mereka.

Bunga Melati dikenali dengan pelbagai nama diseluruh dunia. Nusantara sendiri menggelarkannya dengan pelbagai nama. Kebanyakan orang-orang tempatan di Malaysia merujuknya sebagai bunga Melur. Warnanya putih dengan kelopak ringkas.
Melati sentiasa digunakan sebagai lambang kesederhanaan dan kesucian. Ia jalan tengah antara kelopak dan warna anggerik yang lebih kompleks dan warna serta kelompak  bunga kemboja yang terlalu ringkas.

Begitu jua dengan usaha membebaskan umat Melayu dari belengu kebodohan pemikiran. Ia satu usaha yang dijalankan atas tujuan membersihkan fikiran orang Melayu dari semua bentuk halangan yang mengehadkan keupayaan berfikir mereka yang selama ini telah dilemahkan. Gerakan membersihkan cara berfikir orang Melayu ini dibuat supaya mereka kembali sepertimana mana mereka berupaya menguasai Asia Tenggara suatu ketika dahulu. 

Mereka suatu ketika dahulu merupakan umat yang sentiasa bersederhana di dalam mengambil apa jua pendapat dan pegangan. Mereka tidak terlalu cenderung kepada ekstremisme dan tidak terlalu pasif bertindak. Kerap kali tindakan yang dilakukan mereka bukanlah tindakan spontan tetapi merupakan tindakbalas terancang yang sentiasa memastikan setiap apa yang cuba dicapai itu dapat disempurnakan tanpa melibatkan kegagalan yang merosakkan.

Dahulu mereka sentiasa tegas di dalam tindakan. Lembut mereka bertempat. Tetapi di dalam mempertahankan kesucian agama dan kedudukan bangsa mereka di tanah anugerah dan yang diamanahkan Allah ke atas mereka, mereka tidak takut untuk menggadaikan kudrat, harta dan nyawa untuknya. Ia berbeza dengan Melayu pasca Merdeka. Jasad mereka merdeka tetapi pemikiran mereka terjajah sehingga akar minda yang paling dalam. Mereka tidak hanya terjajah dengan dogma serta gaya pemikiran bangsa-bangsa lain. Malah kesalahan dogma dan doktrin yang pernah dijalankan bangsa-bangsa lain.

Kerana itulah di dalam rangkap ini, telah disebutkan mengenai halatuju usaha bagi membersihkan serta mempoleskan kembali sistem serta keupayaan pemikiran Muslim di Malaysia.

Kiblatnya ialah pembersihan serta pengukuhan keupayaan akal supaya mereka dapat bersaing dan mendahului. Halatujunya ialah supaya Muslim di Malaysia bebas dari kekangan serta rasa rendah diri dan takut untuk melakukan perubahan kepada jalan takdir hidup mereka yang telah dirancangkan musuh mereka ke atas mereka sejak sekian lama dulu. Tetapi di dalam menjalankan usaha bagi melakukan pembersihan serta peningkatan keupayaan akal Muslim ini, jalan-jalan usaha yang digunakan nanti tidak boleh sama sekali tidak selari dengan syarak.

Mereka yang terlalu memberi fokus kepada indahnya bunga Melati semasa berkembang, jangan mereka terlupa bahawa yang memberikan keupayaan serta keindahan kepada bunga itu ialah dedaunannya yang menghijau. Daun-daun pohon itulah yang membajai keupayaan bunga tersebut untuk berkembang dengan indah. Tanpa daun-daun pohon tersebut yang sihat dan hijau, mana mungkin bunga Melati atau sasaran usaha penyucian ini dapat disuburkan.

Penulis lirik di dalam versi A.Halim dan Norlela Nasir mungkin peka dengan situasi dan keadaan yang berlaku pada masa itu. Mungkin dia melihatkan di dalam cuba mengusahakan percubaan melonjakkan pemerkasaan ekonomi dan pemikiran umat Melayu pada ketika itu, banyak aspek-aspek yang penting kepada pembinaan sahsiah diri mereka sebagai umat Islam menjadi longgar. Terlalu banyak fokus yang diberikan kepada matlamat penghujung tanpa memberikan keutamaan kepada jalan-jalan yang menghala ke matlamat tersebut. 

Seolah-olah, di dalam meletakkan fokus kepada keupayaan pencapaian yang telah ditetapkan, apa sahaja cara dilihat boleh mempercepatkan matlamat tersebut dicapai dengan pantas akan digunakan. Disinilah mungkin lahirnya teguran di dalam kiasan bahasa yang indah, bunga Melati di dalam taman, daun yang hijau banyak yang gugur.

Dengan kembali memberikan fokus kembali kepada pembangunan siasah yang tidak lari dari syarak, maka sasaran pembebasan pemikiran umat Islam di Malaysia ini dari pemikiran yang kolot akan dicapai dengan keupayaan umat-umat yang berkualiti.

Umat-umat yang berkualiti ini, setelah mereka bebas dari belenggu yang selama ini melemaskan mereka di dalam kejahilan dan kemunduran, akan muncul sebagai pendahulu. Ini kerana mereka tidak lagi terikat dengan dogma bahawa semua dan apa sahaja yang dikatakan pemikir dan saintis barat itu betul dan harus dipatuhi sepenuhnya. Mereka tidak akan lagi menggunakan sistem pemikiran barat untuk menjadi kayu ukur keupayaan serta apa yang dibolehkan serta tidak dibolehkan di dalam perkembangan sains dan teknologi dan sistem hidup. Al Qur’an menjadi panduan mereka kerana Al Qur’an itu kitab panduan yang dijamin Allah tidak akan mengalami kegagalan dan rosak.

Kalau turut makrifat iman, minyak dan air mungkin bercampur
Berbeza dengan lirik asal di dalam filem Dewi Murni yang berbunyi seperti berikut :

Putus di hati makrifat iman, air dan minyak mungkin bercampur..

Penggubah lirik di dalam versi A. Halim dan Norlela Nasir, telah mengubah  lirik tersebut seperti berikut:

Kalau turut makrifat iman, minyak dan air mungkin bercampur..

Di dalam versi asal, kita faham maksud yang cuba disampaikan dengan contoh minyak dan air. Ia berkenaan perkara halal dan haram serta perkara maksiat dan taat kepada Allah. Apabila putus makrifat iman, maka halal dan haram pasti tidak akan dikenal lagi dan manusia tidak akan segan silu melakukan maksiat kepada Allah di dalam satu masa dan menunjukkan taat di dalam satu masa yang lain. Itu maksud yang cuba disampaikan di dalam lirik di dalam filem Dewi Murni (1950).

Tetapi, perubahan kepada lirik tersebut telah dibuat semasa versi A.Halim dan Norlela Nasir direkodkan. Pada kali ini, ia secara jelas membawa maksud zahir kepada sifat minyak dan air sepertimana yang disebutkan. Ia sebagai kesinambungan kepada usaha pembersihan serta mengeluarkan umat Islam dari kejumudan akal fikiran.

Apabila semua usaha yang dijalankan bagi membebaskan Muslim dari segala bentuk kejumudan cara berfikir, apa yang mungkin dapat dicapai pada ketika itu ialah, Muslim yang telah dibebaskan ini akan berupaya berfikir melampaui keupayaan indera dan limitasi pemikiran manusia yang hidup sezaman dengan mereka.

Makrifat iman yang dimaksudkan secara jelas merujuk kepada Muslim yang benar-benar memahami bahawa luasnya ilmu tentang sesuatu perkara itu jauh sempadannya. Ia boleh digali dan dikaji selagi al Qur’an tidak menegahnya melakukan perbuatan tersebut. Mereka mengetahui bahawa sifat fizik bahan boleh diubah jika Allah mengkehendakinya. Penuh di dalam al Qur’an contoh-contoh perkara yang boleh dilakukan oleh manusia dengan kekuatan iman yang mencapai tingkat yang tinggi. Generasi para nabi, sahabat dan tabi’in telah membuktikan banyak perkara yang secara normalnya tidak dapat dilakukan, ia dapat berlaku melalui keimanan mereka yang tinggi. Mereka yakin jika Allah mengkehendaki sesuatu itu berlaku, tiada apa perkara yang boleh menghalangnya daripada berlaku.
Penggubah lirik tersebut mengubah halatuju lirik tersebut dengan memberi fokus kepada sifat fizik dan kimia bahan tersebut dan bukan lagi kepada aspek falsafah spiritual pemisahan kedua bahan tersebut.

Sehinggalah pada 2003 apabila Ric Pashley 2 dari Australian National University, melakukan satu eksperimen berkenaan sifat daya tarikan hydrophobic jarak jauh (long range hydrophobic force). Pengenalan, long range hydrophobic  force ini merupakan daya yang dikatakan bertanggungjawab membuatkan molekul-molekul minyak pada permukaan untuk bercantum sesama sendiri dan berkumpul secara sepusat. Daya ini dikatakan dapat menarik molekul minyak di atas permukaan air untuk berkumpul meskipun jarak antara keduanya agak jauh.

Ketika mengkaji daya inilah, Pashley menyedari terdapat beberapa wujudnya tompokan air di celah permukaan minyak yang berkumpul. Setelah mengambil sampel, beliau mendapati sampel tompokan tersebut merupakan campuran minyak dan air yang bersatu.

Dia mendapati bahawa, di dalam setiap liter air akan terdapat sejumlah kecil gas yang terlarut di dalamnya. Pahsley juga mendapati melalui eksperimennya, perkara yang menghalang minyak dan air dari bercampur ialah kewujudan gas-gas ini. Lalu beliau mengambil keputusan untuk membuat satu eksperimen untuk menyahkeluarkan gas-gas terbabit dari campuran air dan minyak melalui kaedah menyejukbekukan dan kemudian mencairkannya kembali. Proses ini diulang-ulang berkali-kali sehingga hampir keseluruhan gas yang terdapat di dalam campuran tersebut dikeluarkan.

Hasilnya, apabila jumlah gas yang terdapat di dalam campuran tersebut dinyahkeluar semaksimum yang mungkin, minyak dan air tersebut bercampur dan membentuk cairan emulsi.

Sebelum ini cairan emulsi antara campuran air dan minyak hanya boleh dicapai dengan memasukkan elemen surfactant yang membantu minyak dan air membentuk emulsi. 



Antara surfactant yang kita kenali ialah sabun yang digunakan untuk mencuci. Air Sabun akan membantu kotoron minyak digabungkan dengan air bagi tujuan membersihkan. Begitu juga surfactant banyak digunakan di dalam cat emulsi bagi tujuan memudahkan likatan cat tersebut melekat pada dinding atau apa-apa permukaan.

Surfactant (Surface Active Agents)
Air dan minyak merupakan cairan yang mempunyai sifat polariti yang berbeza. Air merupakan molekul berkutub (polar molecules) manakala minyak pula dikategorikan sebagai molekul tidak berkutub (non-polar molecules). Secara ringkas (dengan tidak menyentuh sifat atom di dalam pecahan sub-atom dan skala Plank), setiap atom terdiri dari neutron, proton dan elektron.

Bagi molekul dengan bilangan elektron yang cukup dan stabil pada petala elektron, molekul itu dikenali sebagai molekul tidak berkutub. Bagi molekul dengan elektron yang tidak cukup, maka molekul tersebut dikenali sebagai molekul berkutub.

Hubungan tindakbalas antara sesuatu molekul kepada air dibahagikan kepada 3 jenis. Yang pertama, hydrophilic, kedua Hydrophobic dan ketiga Amphiphilic.Hydrophilic = diambil dari perkataan Greek ‘hydro’ iaitu air dan ‘philia’ membawa maksud suka atau cenderung. Dalam kata ringkas, sifat Hydrophilic ini merupakan keadaan di mana seseuatu molekul itu ‘sukakan air’. Sifat hydrophilic membolehkan sesuatu bahan itu menyerap dan bergabung dengan air.  
Hydrophobic = diambil dari perkataan Greek ‘hydro’ iaitu air dan ‘phobic’ membawa maksud takut atau dalam kes ini menolak. Dalam kata ringkas, sifat Hydrophobic ini merupakan keadaan di mana seseuatu molekul itu ‘menolak/menjauhi air’. Sifat hydrophobic membolehkan sesuatu bahan itu terpisah dari bergabung dengan air.  Video di sebelah ini menunjukkan bagaimana sifat hydrophobic yang ada pada daun keladi dikaji dan kemudian digunakan sebagai salutan yang menghalang air dari melekat ke permukaan gelas. Pernah mendengar pepatah 'Bagai Menuang Air Di Daun Keladi.'? Ketika kita hanya sibuk menggunakannya sebagai pepatah dan tidak mahu memaksimumkan pengetahuan tersebut, orang lain sibuk mengkaji kenapa daun keladi mempunyai sifat hydrophobic dan menggunakan kajian tersebut untuk kemudahan manusia.




Amphiphilic pula merupakan molekul yang mempunyai gabungan sifat Hydrophilic dan Hydrophobic.

Minyak yang diketahui mempunyai sifat hydrophobic akan terpisah secara fizikalnya dari air. Sifat hydrophobic pada minyak akan menyebabkan ianya akan meminimumkan sentuhan permukaan molekulnya dengan permukaan air. Lalu perkara ini menyebabkan apa yang seringkali diperhatikan di dalam pemerhatian-pemerhatian yang dijalankan bilamana minyak akan terapung pada permukaan atas air ketika mana ia dicampurkan di dalam bekas. Ia sesuatu yang diketahui semua pihak. Malah banyak pepatah menggunakan sifat hydrophobic minyak ini untuk menggambarkan situasi di mana dua perkara di dalam dua sifat berbeza tidak mungkin bercampur.



Dengan menggunakan surfactant seperti sabun, campuran atau emulsi minyak dan air dapat dihasilkan dan dapat dikekalkan di dalam bentuk emulsi tersebut. Sehingga ke masa eksperimen Pashley dijalankan, emulsi yang mengandungi campuran antara minyak dan air hanya dapat dihasilkan dengan bantuan surfactant. Walaupun bercampur sebagai emulsi, ia masih lagi tidak bercampur sepenuhnya kerana emulsi tersebut terhasil dengan bantuan surfactant. Video di bawah membantu sedikit sebanyak tentang pemahaman kesan surfactant dalam menghasilkan emulsi antara minyak dan air.




Sebagaimana yang diyakini oleh penggubah lirik tersebut, keadaan minyak dan air boleh bercampur boleh dicapai. Bukan dengan menggunakan bantuan surfactant tetapi dengan memahami apa sebenarnya yang menghalang keduanya bercampur. Tetapi ianya hanya boleh dicapai dengan pemahaman yang mendalam tentang aspek fizik dan kimia bahan-bahan tersebut. Inilah yang dinyatakannya dengan frasa ‘kalau turut makrifat iman, minyak dan air mungkin bercampur.’

Malang sekali setelah berdekad-dekad lagu ini dinyanyikan, kita tetap mengambil aspek hiburan darinya tanpa memberikan perhatian serius kepada apa yang cuba disampaikan.Berpuluh tahun dahulu, penggubah lirik ini menyatakan bahawa minyak dan air dapat bercampur jika kita benar-benar faham akan hakikat sifat fizik bahan tersebut serta bagaimana sifat-sifat fizik tersebut tidak tetap dan boleh diubah jika kita benar-benar faham dengan apa yang kita lakukan.

Penggubah lirik ini telah secara yakin menyatakan bahawa minyak dan air dapat bercampur pada ketika seluruh dunia malah saintis-saintis barat sendiri masih terbelenggu dengan kepercayaan bahawa kedua bahan tersebut tidak akan dapat bercampur tanpa apa-apa bahan tambahan samasekali.

Penggubah lirik ini bijak menggunakan ruang seni untuk perjuangan panjang bagi mengajak rakan sebangsanya dan seagamanya dengannya untuk membebaskan diri dari kejumudan pemikiran. Hanya jika bidang seni dipenuhi dengan mereka-mereka yang berfikiran jauh dan mempunyai daya keyakinan serta kekuatan akal sepertinya, maka seni itu sendiri akan turut berubah menjadi wadah perjuangan. Malang sekali, bidang seni kini dipenuhi dengan timbunan sampah.

Itulah jadinya apabila mereka-mereka yang berkeupayaan untuk menakhodakan sesuatu bidang tersebut meninggalkannya untuk diisi oleh manusia-manusia yang tersalah kiblat pemikiran. Maka jadilah sesuatu yang sepatutnya harus ditunggangi bagi mempercepatkan sesuatu gerakan untuk mengislahkan pemikiran umat Islam terbiar dan diisi oleh mereka-mereka yang menggunakannya bagi tujuan merosakkan.

Masanya akan tiba tidak lama lagi bilamana kudeta bidang seni perlu dilancarkan! Bagi yang masih terbuai dengan hanyutan sampah yang dipakejkan sebagai apa yang didakwa seni, beringatlah, Kudeta Seni sedang mengetuk pada pintu... berubahlah sebelum terkapai-kapai ditinggalkan nanti. Cukup-cukuplah merosakkan pemikiran anak-anak muda dengan kiblat pemikiran songsang. Berubahlah supaya seni itu dipandang tinggi dan menjadi mangkin kepada kebangkitan ummat.


Rujukan :
1). Abdul Rahman al Ahmadi; Pokok Pemikiran Haji Yusuf bin Ahmad al-Kenali (Tuk Kenali); Tamadun Melayu; Jilid Empat, Dewan Bahasa dan Pustaka 1995. m/s 1416.


© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda

6 comments:

dengan orang melayu ni umpama mcm tarik benang dlm tepung. Memang tulang dan urat sama darjatnya dengan yang dibarat, tapi hati kita ini, hanya Zat yang maha tinggi je berkuasa atas kita.

Pada saya lagu ni memang tinggi hematnya. Begitu juga dengan kebanyakan lagu sekitar 80an. Khas buat para daie, para pencari kebenaran hakiki. Saya banyak perhatikan karya M nasir yang memang jelas rintih pasal umat. Sesuai dengan ucapan nabi ketika wafat...ummati...ummati...ummati..
 
Benar Abd Muhaimin..
Ramai Pengkarya di dalam dekad lampau ada menggunak seni sebagai medium untuk gerakan mengislahkan bangsa..

Hakikatnya golongan itu kini, ramai yang telah tenggelam di dalam lapisan stratigrafi yang lebih dalam dari zaman dinosaur..

Seolah2 mereka telah pupus dan meninggalkan seni untuk diratah dubuk-dubuk yang memangsai seni demi wang, glamor, kedudukan dan pangkat..
 
Minyak dan air memang bercantum di satu tempat yang selalu di sebut Nabi kita iaitu dalam mulut.Ilmu itu pertamanya dimenafaatkan ke Diri Sendiri ....http://www.oilpulling.org/oil-pulling/
 
saudara,
lagu inilah yang ingin didengar oleh Natrah Maaruf sebelum beliau
meninggal. bahkan, beliau ingin memiliki sekali cd penuh yang berisi
lagu ini. hehe. ada makna tu. kebetulan pula, kes Natrah juga berlaku
pada tahun 1950. terima kasih atas penerangan saudara tapi kenapa tak
diterangkan sekali rangkap2 terkhir lagu itu, ya? penerangan saudara
masih perlu ada tambahan nampaknya
 
AbiDamia..
Benar air dan minyak bercantum di dalam tubuh. Diluar tubuh, memerlukan ilmu pengetahuan manusia.

Tanpa Nama December 18, 2013 at 12:01 AM,
Dalam ramai2 yg membaca, anda seorang perasaan tentang rangkap terakhir. Sengaja sya tinggalkan krn maksudnya sgt jelas. Siapapun kita, kita ialah makhluk Allah yang beriman kepada Allah. Tujuan hidup kita cuma satu iaitu beribadat kepada Allah. Dan kekuatan itu kita perolehi jika kita melihat semua umat Islam sebagai saudara, tidak kira apa asal usul mrk. Inilah sumber kekuatan Islam yg digeruni musuh Islam.

Utk fakta Natrah, sejujurnya saya tidak tahu tentang itu. TQ atas perkongsian maklumat.

 
sebenarnya,
ada 1 lagi versi lagu ini yang dinyanyikan rubiah dan m. yatim. anda
boleh cari di youtube. sementara itu, dari maksud lirik lagu ini, ia
seolah2 ditujukan kepada natrah sendiri. ke hanya kebetulan? Wallahu
a'lam
 

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email