Saturday, September 29, 2012

Pewaris Nabi Atau Hanya Sekadar Ahli Kitab? bhg. 3

Bismillahir Rahmanir Raheem..
Jika sebelum ini, telah dijelaskan bagaimana perbandingan antara mereka-mereka yang dianggap sebagai pewaris nabi sebenar dan mereka-mereka yang hanya mengaku diri mereka sebagai pewaris nabi di dalam sikap dan perlakuan terhadap ayat-ayat al Qur’an, penulisan kali ini pula akan membawa kita menilai sikap yang diambil nabi, pewaris nabi sebenar dan golongan yang dengan perasannya mewar-warkan kepada dunia hanya mereka selayaknya dianggap sebagai pewaris nabi.

Kita akan mengambil topik yang mudah. Topik yang selalu ditunggangi oleh golongan yang sentiasa mengakui hanya diri mereka mewarisi perjuangan para nabi. Topik mudah ini merupakan kudapan serta makanan ruji yang sentiasa dikunyah golongan ini. Ini kerana topik ini melibatkan sentimen ketidakpuasan hati masyarakat kepada nasib yang menimpa diri mereka. Mereka tahu, apabila emosi manusia disentuh, rasionalisasi minda akan tercampak ke belakang punggung.

Kebiasaan bagi mana-mana ahli kitab sejak zaman-zaman nabi Bani Israel, mereka menggunakan agama bagi kepentingan diri mereka. Menyembunyikan ayat-ayat Allah yang tidak memberikan kelebihan kepada mereka dan membuat riuhpikuk kepada ayat-ayat yang dilihat mereka boleh dijadikan mangkin (catalyst) yang member kekuatan kepada perjuangan mereka. Sikap dan perangai mereka tidak berubah. Kiblat hala tuju kesudahan mereka ialah lubang biawak sepertimana yang Rasulullah s.a.w.  sebut di dalam hadis berikut.

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a. berkat : Bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?”. Nabi s.a.w. menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka”. (Hadis Riwayat Muslim)


Sikap Nabi Terhadap Penderitaan Kaum Muslimin
Ketika melihat kaum muslimin sedang menderita diboikot, dizalimi serta diperangi oleh musuh-musuh Islam, Rasulullah s.a.w. bersegera mendekati mereka dengan pesanan supaya digandakan kesabaran di hati dan perasaan mereka. Bagaimana mungkin mereka tidak bersabar dan menyahut seruan Rasulullah s.a.w. supaya mereka bersabar, ketika mana jiwa dan perasaan mereka sendiri menjadi sayu, tersentuh dan diruntun kesedihan tatkala melihatkan tubuh yang merangkul jiwa yang berpesan tentang kesabaran kepada mereka itu sendiri, seorang rasul yang agung dan menjadi pemimpin ulung masyarakat, mengikat perutnya dengan batu-batuan demi menahan rasa lapar ketika seluruh kaum muslimin turut berlapar dan dizalimi musuh-musuh mereka. Kisah berlaku semasa Rasulullah s.a.w. turun turut sama menggali parit di dalam medan perang Khandaq.

Jiwa mana yang mahu bertega tidak mahu mendengar nasihat rasul mulia lagi agung ini dikala disuruhnya bersabar di atas kezaliman yang berlaku, ketika mana anak kesayangannya sendiri Fatimah r.a. menyatakan bahawa keluarga Rasulullah s.a.w. tidak pernah merasa sekeping roti yang mengenyangkan selama dua hari yang berturut-turut.

Dari Aisyah r.a. berkata: Keluarga Muhammad s.a.w.  tidak pernah kenyang roti gandum syair (gred rendah) dua hari berturut-turut hingga s.a.w. wafat. (Hadis Riwayat Muslim)

Dari Aisyah r.a., ia berkata, "Keluarga Muhammad s.a.w. tidak pernah kenyang dari gandum halus selama tiga malam berturut-turut sejak tiba di Madinah hingga beliau wafat." (Hadis Riwayat Bukhari).

Bagaimana mungkin mereka sanggup bersungut dengan nasib serta apa yang menimpa mereka, jika Muhammad s.a.w., kekasih Allah sendiri tidur beralaskan daun tamar sehingga birat bentuk pelepah yang digunakan sebagai tilamnya itu melekat dan berbekas di badan. Sehinggakan Umar r.a., yang terkenal keras, tegas serta berjiwa gagah, lantas tidak dapat menahan air mata melihatkan kekasih Allah, yang menjadi pemimpin umat Islam pada ketika itu, tidur di dalam gudang beralaskan pelepah kering tersebut.
Ketika kaum muslimin menderita dan dalam keadaan susah, Rasulullah s.a.w. juga turut bersama dengan mereka. Rasulullah s.a.w. tidak menggunakan kesusahan mereka untuk mendapatkan apa-apa pengaruh, malah Rasulullah s.a.w. sendiri berusaha dengan kudrat serta segala kemampuannya yang ada untuk membantu mereka keluar dari penderitaan. Ketika menghembuskan nafasnya yang terakhir, Rasulullah s.a.w. tidak meninggalkan sebarang harta, malah wang terakhir miliknya yang berjumlah sekadar beberapa dinar lantas diarahkan dengan segera disedekahkan kepada yang memerlukan. Rasulullah s.a.w., kembali kepada Allah dalam keadaan dirinya tidak terikat dengan sebarang kecintaan kepada dunia kecuali cinta dan kasih kepada umatnya.

Lalu apa yang dilakukan Rasulullah s.a.w. itu menjadi ikutan Abu Bakar as Siddiq r.a. dan para sahabah yang lain.

Umar al Khattab r.a. sebagai Pewaris Nabi
Umar r.a. ketika mana umat Islam dipimpinnya sebagai Khalifah juga mengikuti langkah Abu Bakar r.a.. Bukan kecil daerah yang tunduk di bawah penguasaan Islam semasa Umar r.a. menjadi khalifah. Dari Syam di utara, ke Mesir di barat dan India di timur semuanya berada di bawah penguasaan Umar r.a. yang memegang tampuk pemerintahan sebagai amanah yang dipinjamkan Allah ke atasnya.
Pada ketika mana kaum muslimin menghadapi musim kemarau yang teruk yang dikatakan berlaku pada tahun 18 H, Saidina Umar r.a. keluar menyiasat akan perihal kaum muslimin yang berada di bawah tanggungjawabnya.

Beliau melalui dari satu khemah ke khemah penduduk-penduduk desa yang berkampung berhampiran Madinah. Berkampungnya mereka di situ adalah disebabkan oleh masalah kemarau yang melanda sehingga tidak memungkinkan mereka mendapatkan makanan kecuali melalui bantuan pemerintah.
Umar r.a. bersama pembantunya melakukan rondaan malam untuk mengetahui situasi kaum muslimin yang berada di bawah tanggungjawabnya.  Hijaz pada tahun tersebut berada di dalam keadaan kering kontang. Begitu kering bumi tersebut sehingga tanahnya menjadi hitam dan apabila angin bertiup, ia akan menerbangkan debu-debu hitam dengan banyak sekali. Tahun ini dinamakan sebagai Tahun Ramadah disebabkan oleh salah satu sebab iaitu tanah menjadi hitam atau pun kerana debu (ramad) yang kerap ditiup terbang oleh angin.

Lantas Umar r.a. menggunakan semua simpanan makanan yang ada di Baitulmal untuk memastikan setiap jiwa yang meminta perlindungan di Madinah dibantu sedapat mungkin. Keadaan yang teruk itu menyebabkan semua simpanan makanan di Baitulmal habis dikembalikan kepada yang memerlukan. Tiada lagi makanan yang boleh diberikan kerana Baitulmal telah kosong sepenuhnya.

Umar r.a. melihatkan keadaan kaum muslimin yang menderita kerana ketiadaan makanan itu, mengambil tekad untuk tidak memakan sebarang makanan yang berlemak susu serta makanan yang mengenyangkan serta menggemukkan sehingga musim kemarau itu berlalu. Jika kaum muslimin menderita, pemerintahnya harus bersama merasai keperitan itu supaya  mereka insaf dan segera berbuat sesuatu untuk memperbaiki keadaan. Umar r.a. seorang pemerintah agung yang memerintah wilayah-wilayah dunia yang kaya, tidak pernah tertipu dengan kemuliaan kedudukannya. Beliau yang selama ini gemar menikmati hidangan roti dan lemak susu, kemudian menukar dietnya kepada hanya memakan minyak dan cuka. Beliau hanya menghisap-hisap minyak tersebut yang tidak pernah mengenyangkan. Ia dilakukan sehinggakan kulit Umar r.a. yang cerah, bertukar menjadi kehitam-hitaman dan tubuhnya menjadi susut teruk. Ramai yang khuatir Amirul Mukminin akan jatuh sakit kerana cara pemakanannya. Bagi Umar r.a., bagaimana mungkin dia boleh bersenang lenang dan berada di dalam keadaan kenyang sedangkan diluar sana kaum muslimin menderita kelaparan.

Pernah Umar r.a. ketika musim tersebut, keluar malam bersama pembantunya untuk menilai situasi rakyatnya. Beliau bersama pembantunya melalui khemah-khemah. Dia mendapati kaum muslimin sudah tidak seperti biasanya tertawa dan berbincang-bincang sesama mereka. Umar r.a. juga mendapati mereka tidak meminta-minta. Apabila ditanyakan kenapa sampai sedemikian jadinya, lantas dia dimaklumkan, “Mereka pernah meminta tetapi tiada apa yang sapat diberikan lagi, lalu mereka pun berhenti meminta lalu mereka berada di dalam keadaan seperti ini yang sangat menyedihkan dan memerlukan keprihatinan.”

Lantas Umar mengirimkan surat-surat kepada gabenor-gabenor Islam di wilayah yang lebih bernasib baik baik seperti di Bashrah dan Mesir untuk mengirimkan bantuan segera kepada Madinah. Inilah tahun hukuman had ditangguhkan. Umar r.a. di dalam masa yang sama melakukan solat meminta Allah meringankan bebanan kemarau ini dengan hujan segera dikirimkan. Umar r.a. kemudian menjemput Abbas bin Abd. Mutallib, bapa saudara Rasulullah s.a.w. untuk mengetuai doa tersebut sebagai mengambil berkatnya sebagai bapa saudara nabi dan antara orang yang dicintai Nabi s.a.w.

Akhirnya kemarau berakhir dengan hujan mulai turun. Semua pelarian kemarau yang berkhemah di Madinah kembali pulang ke desa masing-masing.

Sebagai seorang pewaris nabi, Umar r.a. tidak pernah mengambil kesempatan atas kesempitan hidup serta penderitaan rakyat bagi mendapatkan populariti serta perbatuan politik (political mileage). Ketika kaum muslimin menderita, dia turut menderita. Ketika mendapati tubuh kaum muslimin menjadi kurus kerana lapar, Rasulullah s.a.w. sebagai nabi dan Rasul serta para sahabahnya seperti Umar r.a. yang mewarisi jalan usaha tersebut sebagai pewaris nabi, turut menjadi kurus dan sama-sama berlapar. Tetapi kualiti pewaris nabi seperti ini seakan-akan semakin pupus apabila ramai dari kalangan manusia-manusia yang tanpa segan silu mengakui diri mereka pewaris nabi, menggunakan isu-isu penderitaan rakyat demi keuntungan hala tuju mereka ke puncak kuasa.

Yang Mengakui Diri Pewaris Nabi
Berada di saat dunia di dalam ambang akhir zaman ini, maka muncullan kumpulan manusia yang menggunakan agama sebagai tunggangan kepada puncak kuasa dan kemewahan. Maka, sangat sukar untuk membezakan antara mereka yang benar-benar mewarisi jalan perjuangan nabi-nabi, dan mereka yang menggunakan jalan tersebut untuk kepentingan mereka sendiri. Tetapi dengan sedikit asas al Qur’an, Sunnah Nabi serta atsar sahabah, kita sedikit sebanyak dapat menghidu pekung disebalik façade ketampilan warak dan kudus yang cuba dipamerkan.

Ketika mereka mengatakan rakyat dizalimi dan mendapat kezaliman pemerintah, lantas kita cuba untuk menilaikan samada apa yang dikatakan mereka itu bersandarkan kepada kebenaran atau sekadar mahu menunggang penderitaan rakyat demi memanjat puncak kuasa. Mereka gemar menunggang rasa gundah, kecewa dan sedih golongan marhaen. Ini kerana mereka tahu, golongan inilah yang akan menjadi satu dahan yang amat kuat untuk dapat mereka berpaut ke kemuncak cita-cita mereka.

Menunggang golongan yang tidak terdedah kepada sifat keji dan jijik manusia yang tamak dan rakus kepada kuasa dan habuan dunia merupakan modus operandi yang amat mudah. Apa yang golongan murba ini tahu ialah, personaliti di hadapan mereka itu hadir di dalam satu pakej yang selama ini mereka tafsirkan sebagai mewakili manusia-manusia yang sentiasa pada mata fikir mereka sebagai insan-insan yang terbaik. Membaluti ketamakan serta jiwa busuk mereka yang berdasar ke akar ruh yang bongkak dengan façade ketrampilan kudus dan suci. Mereka tahu, manusia bernama Melayu dan Muslim itu akan jarang mahu berfikir di luar capaian keinginan tembolok mereka. Mereka tahu, majoriti manusia yang bernama Melayu Muslim itu jarang menggunakan minda untuk berfikir lebih jauh dari keupayaan sebenar minda mereka yang dianugerahkan Allah sebagai senjata dan pertahanan supaya manusia itu hanya menjadi hamba kepada Allah tetapi tidak diperhambakan oleh ketamakan serta kerakusan manusia lain.

Pantang mereka melihat manusia-manusia muslim yang ditafsirkan mereka sebagai terluka jiwa dan perasaan. Kerap mereka ini bertenggek di kelab jiwa luka yang dipakejkan kembali sebagai ‘taman-taman syurga’ bukan untuk mencari jalan menyelesaikan isu dan turut sama merasai penderitaan tersebut, tetapi mengapi-apikan rasa benci supaya madu kepada isu yang diapi-apikan itu dapat diperah untuk memaniskan masa depan mereka ke puncak kuasa. Ibarat makhluk halus yang gemar menghasut, lalu ditanamkan segera kebencian kepada golongan biasa ini dengan jarum-jarum hasutan. ‘Lihatlah tuan-tuan betapa kita semua dizalimi pada hari ini!’ jeritnya seolah-olah kezaliman di dalam halusinasinya itu jika ditafsirkan melalui oleh sesiapa jua yang mendengarkan perkataannya, tentu sahaja membayangkan betapa teruk seksaan yang dia terima dan alami dalam ‘memperjuangkan yang hak serta menentang segala yang batil.’

‘Tuan-tuan lihatlah kepada pemimpin tuan, mereka menzalimi kita, kita ditindas, rakyat kita tidak cukup makan, kita tidak dapat bergerak ke sana ke mari dengan bebas, kita tidak dapat bersuara dengan bebas, pendek kata dalam segala-galanya kita ditindas. Mereka tidak pernah mahu peduli dengan penderitaan kita!,” ternganga penonton dan jemaah mendengar. Sebaik sahaja dia bangun dan bergerak meninggalkan rostrum ceramah, maka jemaah mula berbisik meneka-neka di dalam hati mereka.

‘Berapa bulan?’ Tanya seorang jemaah. ‘Mungkin dah lepas 9 bulan 10 hari.’ Jawab seorang lagi jemaah secara sinis. Sangat pelik apabila melihatkan keadaan ‘pewaris-pewaris nabi’ yang mengakui diri mereka dizalimi ini. Ketika dari satu pentas ke satu pentas ceramah dan kuliah mereka mengatakan serta mewar-warkan diri mereka dizalimi, perut merekalah yang paling boroi kerana kenyang terlebih makan. Jika ada yang kurus pun, mungkin dipaksa doktor menguruskan badan kerana terkena kencing manis.

Suatu ketika, pernah ayahanda saya memaklumkan tentang kedatangan seorang ‘tokoh agama’ terkenal yang kini sedang dilatih dan ditarbiah untuk menjadi jurucakap dan pemfatwa halal tindak tanduk kepada satu gerakan yang akan muncul di masa hadapan. Yahudi dan Nasrani redha kepadanya, kerana dia ‘sangat terbuka’, ‘mewakili pemikiran golongan Islam moderat’, ‘tidak taksub’, ‘tidak condong kepada mana-mana kumpulan’. Yahudi dan Nasrani tidak akan kedekut dengan golongan semacam ini. Dia akan dibantu dan terus dibantu. Dia akan dinaikkan imejnya dan terus dinaikkan.

Lalu beliau singgah di salah sebuah masjid di Permatang Pauh. Selesai menyatakan kepada jemaah betapa rakyat termasuk dirinya dizalimi dan sebagainya, beliau meminta diri untuk ke pulang ke pusat pengajian yang diasaskannya. Saya mengambil peluang mengekori ‘tokoh agama’ tersebut dikala semua jemaah sedang sedap menyantap makanan mewah dihadapan mereka sebagai lambang betapa mereka sedih dengan keadaan diri mereka yang terzalim. Sambil ketawa, menyantap dan meneguk air di antara santapan, resepi perut boroi yang paling mujarab, tidak terlihat pada wajah jemaah-jemaah tersebut kesan kezaliman yang berlaku di atas mereka. Sedangkan ketawa dan masih mampu berbincang sambil menyantap makanan itu satu indikasi rakyat yang aman dan terpelihara mengikut skala pemerhatian Umar r.a. semasa tahun Ramadah. Jelas mereka tidak dizalimi tetapi lisan mereka sentiasa berzikir dengan ratapan bagaikan orang yang mengalami kezaliman.

Mungkin suatu hari nanti doa mereka akan dimakbulkan kerana pada setiap saat dan masa mereka mendakwa diri mereka dizalimi. Mereka juga tidak bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan kepada mereka. Walaupun sedikit, jika istiqamah dalam menunjukkan rasa kesyukuran kepada Allah, maka Allah akan menambahkan nikmat berkali ganda sepertiman yang Allah s.w.t. pernah janjikan di dalam ayat berikut:

Dan (ingatlah) tatakala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Ibrahim ayat 7)

Saya mengekori tokoh agama berperut besar tersebut. Tidak ada masalah kalau berperut besar tetapi tidak bersungut dirinya dizalimi. Menjadi satu masalah apabila fizikalnya menyatakan sesuatu yang lisannya tidak mampu selindungkan. Pernah diceritakan di dalam Asababun Nuzul ayat 91 surah al An ‘am apabila seorang lelaki Yahudi yang bersengketa dengan Nabi s.a.w. ditanyakan Nabi s.a.w. perihal perutnya yang memboyot. Walaupun ia sebuah hadis yang berstatus mursal (sanad tidak sampai kepada Rasulullah s.a.w.), tetapi ia mungkin boleh diberi perhatian kerana selepas sedikit penyelidikan mengenai kata-kata yang disebut serta disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. menyebutnya, ia dijumpai ada kebenaran.

Ibnu Abu Hatim telah mengenengahkan melalui Sa’ad ibnu Jubair yang mengatakan, bahawa ada seorang lelaki Yahudi yang dikenal dengan nama Malik Ibnush Shaif, bersengketa dengan Nabi s.a.w.. Kemudian Nabi s.a.w. , berkata kepadanya : “Kuminta kepadamu demi Dzat Yang Menurunkan Taurat kepada Musa, apakah engkau menemukan di dalam kitab Taurat, bahawasanya Allah s.w.t membenci pendita Yahudi yang berbadan gemuk.” Akhirnya lelaki Yahudi itu marah-marah, seraya berkata; “Allah sama sekali tidak pernah menurunkan apa pun kepada manusia.” Lalu para sahabat berkata : “Alangkah celakanya kamu ini, apakah Ia juga tidak pernah menurunkan sesuatu (kitab) kepada Musa?”. Kemudian Allah s.w.t. menurunkan firman –Nya iaitu ayat 91 surah al An’aam.1

Menurut pemerhatian saya yang cuba mencari ayat di dalam Bible seperti apa yang diperkatakan Rasulullah s.a.w.  kepada lelaki Yahudi tersebut, terdapat kemungkinan bahawa ayat yang disebut Rasulullah s.a.w. yang dikatakan merujuk kebencian Allah kepada pendita-pendita dan golongan agama Yahudi yang gemuk dan boroi di dalam kitab mereka, berkemungkinan merujuk kepada ayat 4 hingga 7 di dalam Kitab Jeremiah fasal 30 seperti berikut:

These are the words the Lord spoke concerning Israel and Judah: “This is what the Lord says: “‘Cries of fear are heard— terror, not peace. Ask and see: Can a man bear children? When why do I see every strong man with his hands on his stomach like a woman in labor, every face turned deathly pale? How awful that day will be! No other will be like it.

 Malah hadis mursal tersebut tidak bertentangan perkataannya dengan hadis berikut yang disahihkan di dalam sahih Bukhari dan Muslim seperti di bawah:

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.” (Hadis riwayat Bukhari )

“Orang mukmin yang kuat lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim) 

Mereka boleh sahaja mendakwa bahawa mengikut atsar sahabat, Saidina Ali r.a. juga di tahun-tahun beliau menjadi khalifah, digambarkan sebagai mempunyai perut yang sedikit besar. Tetapi, mereka lupa pula untuk menyebut mengenai kekuatan susuk fiziknya dengan urat-urat yang timbul di serata lengan dan kakinya malah beliau sentiasa dikaitkan dengan kekuatan susuk fizik yang terkadangnya melampaui kekuatan manusia biasa. Lihat sahaja sejarah bagaimana beliau menendang serta mencabut pintu gerbang benteng Khaibar. Daun pintu itu dijadikannya perisai sebelum menumpaskan pahlawan Yahudi yang terlalu besar badannya jika dibandingkan dengan Ali r.a.. Selesai pertempuran, diberitakan sepuluh orang sahabat cuba mengangkat daun pintu besi tersebut tetapi tidak mampu melakukannya. Itu Ali r.a..
Berbeza dengan perut besar ‘pewaris nabi yang mendakwa  diri mereka dizalimi’. Duduk di atas kerusi semasa sedang berforum  boleh terlentok lena dibuai mimpi. Untuk bangun dari kerusi pun mengaduh sakit dan terasa badan itu tersangat berat.

Begitulah tokoh yang mendakwa dirinya pewaris nabi yang saya ekori sehingga ke kenderaannya. Dia menuntut pemerintah berjimat cermat dan mengutamakan kezuhudan, tetapi dia sendiri mengenderai kereta yang sangat mewah bersama pemandu yang memandukan kenderaan tersebut ke sana dan ke mari.

Tidak jadi masalah untuk dia bermewah-mewah sekiranya dia mampu dan tidak melupakan tanggungjawabnya terhadap hartanya dan hartanya itu tidak melalaikannya dari rasa tunduk dan bersyukur kepada Allah. Yang jadi masalah ialah, apabila ada golongan yang sentiasa mendakwa diri mereka sebagai ‘pewaris nabi’ kemewahan mereka melampaui serta melebihi golongan rakyat biasa dan di dalam masa yang sama, sentiasa di dalam ceramah dan kuliah-kuliah mereka, mereka mendakwa diri mereka dizalimi.  

Jika boleh memandu kereta sport 'Mclaren F1' ketika diri mewar-warkan kepada dunia mereka dizalimi, tentu sahaja semua manusia di dunia ini ingin ‘dizalimi’ sepertimana golongan yang perasan mengaku diri mereka pewaris nabi ini ’dizalimi’. Bagaimana mungkin mereka mendakwa diri mereka dizalimi jika bapa mertua mereka memandu Mercedes model terbaru bernilai menghampiri sejuta ringgit, anaknya memandu Alphard yang harganya ratusan ribu ringgit dan menantunya memandu Harrier yang juga tidak mampu dimiliki oleh orang-orang yang benar-benar terzalim.

Saya sentiasa menjadikan perut, kenderaan serta kemewahan yang melingkari hidup mereka ini yang dibandingkan dengan lisan yang biasa diulangungkapkan oleh mereka sebagai petunjuk untuk saya mengetahui siapa di sebalik topeng kewarakan, suci dan kudus ini. Kerap kalinya petunjuk itu tidak pernah menghampakan. Oleh kerana dunia akhir zaman, segala yang kelihatan putih itu tidak semuanya putih dan segala yang disaksikan sebagai hitam itu tidak semuanya hitam, saya berpegang kepada apa yang pernah Umar r.a. sebutkan di dalam salah satu pengucapan beliau seperti berikut:

Dari Umar bin Khattab r.a. katanya: “Manusia pada zaman Rasulullah s.a.w. berhukum dengan dasar wahyu, dan sekarang wahyu sudah tidak turun lagi. Sekarang kamu kami hukum menurut apa yang nyata bagi kami tentang kerjamu. Barang siapa yang nyata bagi kami baik, kami amankan dan kami benarkan. Kami tiada mengetahui sesuatu yang dirahsiakan: Hanya Tuhan yang menghitung (memeriksa) yang dirahsiakannya itu. Siapa yang nyata bagi kami jahat, tidak kami amankan dan tidak kami benarkan, walaupun ia mengatakan bahawa yang dirahsiakan hatinya baik.” (Sahih Bukhari)

Negara ini dianugerahkan Allah dengan rezeki hujan dan tumbuh-tumbuhan yang subur. Malah kedudukannya ditengah-tengah laluan perkapalan antara 3 laluan yang terpenting di dunia juga meletakkan negara ini dalam kedudukan yang sentiasa diberikan perhatian luar biasa bagi mereka-mereka yang mahu menguasai jalan-jalan kuasa dunia. Sebagaimana Mesir dan Panama, negara ini sentiasa tidak lekang dari radar perhatian negara pembuli yang mahu semua negara tunduk kepada kehendak serta hasrat politiknya. Demi memastikan semua negara di dunia menjadi tukang angguk kepada mereka, pelaburan yang besar dilambakkan bagi memastikan manusia-manusia boneka dapat dipasang pada semua negara di dalam kedudukan strategik. 

Boneka-boneka inilah yang gemar menunggang isu-isu yang dikaitkan dengan 'penderitaan rakyat'. Terlihat sahaja ada perkara yang boleh ditunggang, bagaikan parasit mereka melekatkan diri kepada isu tersebut dan mengapi-apikannya bukan untuk mencari jalan penyelesaian, tetapi bagi menimbulkan rasa panas dan tegang. Apabila kebencian itu meluap-luap, dia akan memanggil segolongan manusia yang sentiasa dipandang tinggi sebagai manusia-manusia 'pewaris nabi' untuk memberikan 'cop halal' kepada apa yang sedang dilakukannya. Legitimasi melalui elemen-elemen inilah yang akan menjadikan rakyat biasa yang tidak pernah tahu akan permainan persepsi, mula terasa diri mereka selayaknya melakukan perkara-perkara diluar daripada batasan yang ditetapkan Al Qur'an dan Sunnah. Tanpa mereka sedar, modifikasi terhadap hukum-hukum agama, telah dilakukan golongan yang selama ini dianggap sebagai 'pewaris nabi'. Tanpa mereka tahu, 'pewaris nabi' yang mereka harapkan ini sebenarnya telah melakukan apa yang manusia-manusia yang terdahulu daripada mereka pernah lakukan. 

Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan. (Surah At-Taubah : 31)

Satu persoalan timbul bilamana Rasulullah s.a.w. membacakan ayat 31 dari surah at Taubah sepertimana yang dipetik di atas. Apakah benar golongan Nasrani menyembah paderi-paderi mereka? Lalu 'Adi bin Hatim, seorang bekas penganut agama Nasrani bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w.. Ianya tercatat di dalam hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad, at Tirmidzi dan Ibn Jarir seperti di bawah : 



Adi bin Hatim datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan berkata: Wahai Pesuruh Allah orang Nasrani tidak menyembah Paderi mereka dan Orang Yahudi tidak juga menyembah Rahib mereka, bagaimana Allah berkata begitu. Nabi s.a.w. menjawab: “Tidakkah mereka itu menghalalkan bagi mereka apa yang telah diharamkan (oleh Allah) dan mengharamkan apa yang telah dihalalkan?, dan Adi berkata, ‘ya’, maka Rasulullah berkata, ‘Maka mereka itu telah menyembah (rahib dan pendeta) mereka”

Sampai begitu sekali kedudukan mereka-mereka yang mengubah, menyembunyikan, mengadakan hukum-hukum baru yang bertentangan dengan al Qur'an dan Sunnah. Mereka yang melakukannya disamakan sebagai cuba bertindak seperti Tuhan dan mereka-mereka yang sedar tetapi berterusan mengikuti secara taksub golongan yang mengubah ayat-ayat Allah ini, mereka turut dikira sebagai tergolong di dalam golongan manusia-manusia yang mempersekutukan Allah. Na'uzubillahi min Dzaliik. Namun, apa yang lebih menakutkan ialah, pesanan Rasulullah s.a.w. yang mengatakan golongan seperti ini akan muncul semula dengan ramainya diakhir zaman nanti. Sepertimana umat-umat Yahudi sebelum ini yang terpaksa dihantar ribuan nabi dan Rasul bagi memperbetulkan jalan agama yang telah dipesongkan oleh golongan agama mereka, begitu jugalah kita nanti di akhir zaman yang sudah tidak terlalu jauh ini. Setiap kali seorang nabi dan Rasul diutuskan ke dunia, setiap kali itulah kita mengetahui bahawa sebahagian besar golongan yang sentiasa menamakan diri mereka sebagai 'pewaris nabi' itu sudah tidak dapat dipercayai lagi. Jadi tidaklah terlalu pelik untuk menyatakan bahawa kedatangan Isa bin Maryam a.s. sudah semakin hampir dengan masa kita. Tanda-tandanya sudah jelas. Hanya yang tidak memerhatikan dengan akal akan mengatakan bahawa saat itu masih jauh. 

Wujudnya golongan 'pewaris nabi' yang tidak langsung mengikuti jalan para nabi dan sahabah sudah menjadi seperti satu wabak yang merebak dengan pantas. Manusia-manusia mulia yang cuba berpegang teguh kepada apa yang Allah sampaikan melalui rasulNya kini dilabelkan dengan pelbagai label yang menghinakan. Dari literalis kepada ulama' jumud dengan pemikiran tertutup, golongan agama yang masih berpegang kepada jalan yang sedapat mungkin dekat kepada jalan yang ditunjukkan oleh para nabi dan sahabah dilabelkan sebegitu rupa. Lancang sesetengah mulut mereka melabelkan semua yang dianggap mereka sebagai halangan keppada basahan mimpi cita-cita kuasa mereka. Lalu mereka-mereka inilah sepertimana 'tokoh agama' yang saya sebut di dalam sebuah kisah kecil di salah sebuah masjid di kariah Permatang Pauh, menunjukkan perlakuan yang sangat berbeza dari segi perbuatan daripada apa yang diucapkan lisan mereka. Ketika mereka menyatakan diri mereka terzalim, merekalah yang paling kuat ketawa ketika menjamah jamuan selepas kuliah. Ketika mereka mendakwa diri mereka terzalim, perut merekalah yang lebih besar dari perut manusia yang dikatakan menzalimi mereka. Ketika mereka mendakwa diri mereka terzalim, kereta merekalah yang paling mewah dari kenderaan manusia-manusia yang ada disekeliling mereka. Ketika mereka mendakwa diri mereka terzalim dan melakukan solat hajat ditengah-tengah jalan, ditengah padang dan himpunan jalanan supaya Allah menghancurkan manusia yang dikatakan menzalimi mereka, doa-doa merekalah yang tidak dimakbulkan Allah sehingga ke hari ini. Sedangkan Rasulullah s.a.w. berpesan tentang doa-doa yang dipanjatkan oleh orang-orang yang dizalimi:

Sabda Rasulullah s.a.w kepada Mu’adh bin Jabal ketika baginda mengutusnya ke Yaman yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a: 

“Dan takutlah engkau akan doa orang yang dizalimi, sesungguhnya (doa orang yang dizalimi itu) tidak ada di antaranya dan di antara Allah pendinding.” (Bukhari). 

Abu Hurairah r.a meriwayatkan Rasulullah s.a.w. bersabda: “Doa orang yang dizalimi itu adalah mustajab, sekalipun dia adalah seorang yang berbuat maksiat kerana kemaksiatannya itu adalah tertanggung ke atas dirinya sendiri.” (Ahmad). 


Jadi, kenapakah doa-doa mereka yang sentiasa mendakwa diri mereka dizalimi ini yang sentiasa mendoakan kepada kehancuran manusia-manusia yang dikatakan menzalimi mereka, tidak termakbul sehingga sekarang? Malah, kedudukan serta kekuatan mereka-mereka yang mahu dihancurkan melalui doa-doa tersebut semakin kuat dan menebal dan tidak terjejas. Bukankah doa-doa orang yang dizalimi itu tiada hijab antara Allah s.w.t. dan mereka. Sangat jelas di sini bahawa tuduhan mereka dizalimi itu adalah tidak bersandarkan kepada suatu sandaran yang benar melainkan adu domba atas tujuan yang mahu menghancurkan persaudaraan sesama Islam. Fizikal tubuh dan kemewahan mereka sudah pun menjerit-jerit memberitahu kepada manusia-manusia yang memerhatikan dengan akal akan bicara mereka yang tidak selari dengan realiti yang dilalui mereka. Malah, doa-doa mereka yang dilakukan sejak sekian lama tidak kira di atas jalan, padang bola, ladang ternakan, di luar bangunan, di bawah pokok dan di mana sahaja tempat yang dapat memboleh jurufoto mengambil gambar mereka sedang beribadat dalam emosi yang ditunjukkan seolah-olah mereka dizalimi, doa tersebut sampai ke hari ini belum menjadi kenyataan dan sebaliknya apa yang diminta bertentangan pula dengan apa yang diputuskan Allah. Tokoh-tokoh yang pelik dan sangat tidak sama perlakuan dan sikap mereka dibandingkan dengan cerita Rasulullah s.a.w. dan para sahabahnya yang dimuatkan sebelum ini.

Tetapi apa yang pasti, walaupun tidak mendapat nikmat sepertimana tokoh-tokoh tersebut mendapatnya, untuk mengatakan diri saya terzalim dengan pelbagai nikmat yang melingkari kehidupan saya semenjak lahir, ia bererti saya bersungut kepada Allah dengan cara yang tidak sepatutnya dan benar. Bagaimana mungkin saya layak untuk dipertambahkan nikmat oleh Allah s.w.t. jika lisan saya sentiasa mengucapkan perkataan saya dizalimi sedangkan pada hakikatnya perkara tersebut tidak berlaku. Semua manusia diberikan akal, dan setiap manusia muslim itu diberikan Allah panduan. Jika kedua-duanya tidak digunakan dengan baik, kita akan diperhambakan bukan oleh Allah tetapi manusia-manusia yang tidak layak untuk kita tunduk kepada mereka tanpa perintah Allah yang mengkehendaki kita berbuat demikian. Terpulanglah.. apa yang saya nukilkan bersandarkan pemerhatian dan perbandingan, jika di dalamnya ada pengajaran yang baik yang boleh diambil, itu merupakan satu nikmat Allah yang diberikan kepada kita semua. Jika sebaliknya, semoga Allah menjauhkan kita semua dari keburukan yang datang bersamanya. Sesungguhnya, hanya Allah yang tahu mengenai segala-galanya.

© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda. 

2 comments:

Penulisan yg dihiasi dgn sangkaan2..

Bermakna sekarang takder la ulamak pewaris nabi..??

Tuan saja la jadik ulamak pewaris nabi.. Senang citer..

Hidup merempat sahajalah bermakna dizalimi..??

Sungguh sempit takrifan istilah zalim saudara itu..

Wallahua'lam..

 
Salam tidak diberi, nama pun tidak diperkenalkan.. saya panggil saja Anon November 23, 2012 12:52 AM...

Belum lagi menggunakan Naga Bhoot Jolokia, sudah ada yang terasa pedas. Jika membaca penulisan di atas dengan minda yang terperangkap di dalam ketaksuban, maka terpulanglah kepada apa yang saudara mahu simpulkan. Mungkin cermin mata hijau yang digunakan untuk membaca penulisan tersebut telah menapis perkataan ‘Mereka yang mendakwa diri pewaris nabi’ dari sampai ke pusat pemprosesan maklumat yang seharusnya berfungsi dengan sempurna bagi mereka dengan akal yang sempurna dan rasional. Baca sekali lagi, dan cuba huraikan di mana ada saya sebutkan bahawa tiada lagi ulama’ pewaris nabi?

Pelik benar dengan sikap sesetengah pihak yang pantas benar membuat kesimpulan tanpa memahami apa yang dibaca terlebih dahulu. Penulisan di atas ditulis di dalam konteks golongan yang mengambil kesempatan di atas dakwaan kezaliman itu berlaku dengan membawa dakwaan bahawa semua rakyat itu merempat, tidak cukup makan, tidak bebas, susah dan sebagainya sedangkan yang membuat dakwaan itu sendiri hidup mewah dan buncit kerana kekenyangan. Apakah penulisan sebegini mudah juga sungguh sukar untuk dihadamkan oleh saudara? Boleh bantu saya dengan menunjukkan sehingga tahap mana penulisan tersebut boleh dipermudahkan lagi supaya ia boleh sampai ke tahap di mana orang-orang seperti saudara dapat memahami apa yang disampaikan itu bukanlah seperti apa yang dimengertikan saudara sebelum ini.

Saya juga telah nyatakan di atas, untuk mengetahui samada benar dakwaan mereka dizalimi ataupun tidak, lihat sahajalah pada apa kesudahan doa yang seharusnya tanpa hijab antara Allah dan mereka yang dizalimi. Jika berlaku sebaliknya daripada apa yang didoakan, maka tidak benarlah dakwaan mereka bahawa mereka dizalimi. Hanya jika saudara mempunyai sedikit kesabaran untuk menunggu dan melihat keputusan Allah di dalam masa yang terdekat setelah doa-doa tersebut dipanjatkan, maka saudara tidak akan membuat komen yang terburu-buru dalam meletakkan kehendak diri mengatasi keputusan yang Allah tetapkan.

Saya menulis perkara di atas setelah memerhati dan membuat penilaian kenapa disebalik semua dakwaan sesetengah pihak bahawa mereka itu dizalimi, kenapa doa-doa kehancuran yang mereka panjatkan kepada Allah supaya menimpa orang-orang yang didakwa menzalimi mereka itu sampai ke hari ini masih belum dimakbulkan. Lebih malang lagi, apabila kehancuran yang dicita-citakan mereka di dalam doa mereka kepada orang yang didakwa menzalimi mereka, kini menimpa diri mereka bagai api yang disemarakkan oleh tiupan angin yang kuat. Perhatikan segala sesuatu demi mencari kebenaran dan redha Allah. Tanggalkan cermin mata hijau, jauhkan memakan makjun sangkut seperti diiklankan di dalam akhbar bacaan saudara, Ta’awudz, Baca semula, fahami konteks dan kemudian barulah komen. Terima kasih.
 

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email