Monday, September 17, 2012

Bodoh, Anjing, Syaitan, Iblis, Bengong, Bangang


Oleh : M.I.A./Imran Haaz

Penulisan ini merupakan bahagian kedua kepada penulisan, ‘Pewaris Nabi atau Hanya Sekadar Ahli Kitab?’ Penulisan kali ini akan cuba membawa kita semua meneliti sikap serta perlakuan segelintir manusia yang tanpa segan silu mendakwa serta mendabik dada bahawa hanya mereka yang selayaknya dianggap sebagai pewaris kepada perjuangan nabi. Melalui penelitian kepada sunnah nabi dan athar sahabah yang ditinggalkan kepada kita sebagai panduan, penulisan kali ini akan membawa kepada perhatian akal untuk kembali berfungsi bagi menilai benarkah putih yang selama ini kita nampak sebagai putih itu benar-benar putih.

Penulisan kali ini akan membawa kita semua menilai sikap segolongan manusia yang mendakwa diri mereka sebagai satu-satunya kumpulan yang layak mewarisi perjuangan nabi dan menilai sikap yang diambil mereka apabila dibacakan ayat-ayat Allah oleh mereka dan kepada mereka.

Baru-baru ini, saya cuba berbicara dengan seorang lelaki yang mempunyai kedudukan tinggi di dunia. Kedudukannya diakhirat merupakan milik Allah untuk menentukannya. Pernah diangkat pemerintah untuk menjawat jawatan tinggi dalam sebuah organisasi pencegahan.


Dia mendakwa dirinya sebagai seorang yang mencintai al Qur’an dan seorang yang tahap penghayatannya terhadap ayat-ayat al Qur’an melebihi setiap manusia yang wujud di muka bumi ini. Tafsiran ulama’ terdahulu bermula zaman sahabat, tabi’in dan sesudahnya ditolak. Ini kerana dia mendakwa mereka tidak memahami al Qur’an sebagaimana kefahamannya yang  melangkaui langit ke tujuh.

Tetapi amatlah malang apabila dakwaan itu tidak disertai sisi sifat peribadi yang seharusnya mengiringi jiwa dan perlakuan seseorang yang mendakwa dirinya seorang yang amat arif dan faham akan al Qur’an itu sendiri.

Orang-orang Islam sangat beruntung kerana mereka mempunyai al Qur’an dan sunnah nabi untuk dijadikan sandaran dan panduan dalam menilai kedudukan dan segala perkara yang berlaku di dalam dunia ini. Setiap sikap dan perlakuan yang dipersembahkan oleh sesiapa sahaja yang mendakwa dirinya pejuang Islam dan pencinta al Qur’an, dengan mudah boleh dibuat perbandingan bagi menetukan kesahihan dakwaan mereka.

Membodohkan, membengongkan, menyabitkan persekongkolan mereka-mereka yang tidak sependapat dengan mereka dengan Iblis dan syaitan merupakan sesuatu yang lumrah kini bermain pada lisan manusia-manusia yang melantik diri mereka sendiri sebagai  pewaris nabi. Mata fikir mereka sentiasa mengorbit kepada satu bentuk pemikiran yang hanya memusatkan sabitan perkataan genius, ‘alim, bijaksana, ahli syurga, pejuang Islam, perjuangan nabi dan segala yang baik hanya kepada diri mereka. Dalam dunia ini, hanya mereka sahajalah yang genius. Yang lain dihumbankan mereka ke dalam kelas manusia bodoh, bengong, jahil murakkab, tidak mempunyai akal yang sempurna, tidak faham agama, hanya layak mimpi bertemu syaitan dan tidak layak bermimpi bertemu nabi, munafik, kafir dan segala yang menghinakan kedudukan akal manusia.

Setiap kali mereka membaca ayat-ayat al Qur’an yang memuji sikap manusia yang baik, beriman serta beramal soleh, maka akan segera mata fikir mereka membayangkan diri merekalah yang disebut dalam ayat-ayat al Qur’an tersebut. Akan segera terbayang dalam pemikiran mereka betapa Allah memuji kehebatan diri mereka atas segala amal perbuatan yang mereka yang sudah mereka kira sebagai tersangat hebat dan sama kategorinya dengan jihad para sahabat nabi pada satu ketika dulu. Hanya bermodalkan slogan-slogan yang tidak diterjemahkan melalui perlakuan dan perbuatan, mereka lantas dirasuki perasaan bahawa slogan-slogan, pakaian dan hizb Islami yang mereka bersama dengannya melayakkan mereka merasakan mereka orang-orang yang disebut di dalam ayat-ayat pujian dari Allah di dalam al Qur’an. 

Apabila terdapatnya ayat-ayat al Qur’an yang memuji manusia-manusia yang menggunakan akal fikiran dan berada di landasan jalan yang benar di dalam menuju redha Allah, maka tidak ada personaliti lain yang dibayangkan bagi mentafsirkan siapa insan-insan yang dimaksudkan kecuali wajah mereka sendiri. Hanya mereka sahajalah yang layak ditafsirkan sebagai individu yang dimaksudkan di dalam puji-pujian Allah di dalam al Qur’an. Tiada manusia yang lebih layak menerima puji-pujian Tuhan seluruh alam ini kecuali diri mereka sendiri.

Tetapi berlainan pula apabila ayat-ayat kutukan Allah yang disebut di dalam al Qu’ran. Ketika Allah mengutuk, memarahi serta melaknat sekumpulan manusia di dalam ayat-ayat al Qur’an, akan segera mereka membayangkan wajah-wajah pihak yang tidak sependapat dengan mereka dan pihak yang dianggap mereka sebagai musuh. Semua ayat-ayat kutukan serta melibatkan kemarahan Allah ke atas manusia akan sentiasa mereka rasakan ianya ditujukan kepada orang lain kecuali mereka. Mana mungkin mereka yang berkopiah setiap masa, berjanggut panjang hingga ke dada, mempunyai kedudukan tinggi dan sentiasa hebat di dalam pandangan masyarakat, menjawat jawatan-jawatan yang tinggi di dalam penguasaan negeri, negara dan sebagainya, boleh menjadi subjek kutukan Allah di dalam ayat-ayat al Qur’an. Seolah-olah segala ayat-ayat kutukan Allah itu kebal dari menyentuh personaliti mereka. Mana mungkin mereka sebagai orang-orang yang bersama sekumpulan muslim yang gah dan hebat dengan segala slogan-slogan perjuangan Islami, berpakaian Islami, bermanifesto Islami, sentiasa dihiburkan dengan hiburan ‘Islami’, dikelilingi manusia-manusia berserban Islami dan segala yang disekeliling mereka dihiasi dengan perhiasan Islami belaka boleh menjadi subjek sepertimana yang yang dirujuk dalam ayat-ayat kutukan Allah di dalam al Qur’an?

Sikap Nabi Dengan Ayat al Qur’an
Rasulullah s.a.w., suatu ketika pernah ditegur sahabah mengenai rambut di kepala baginda yang mula beruban. Lalu Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa uban-uban yang tumbuh itu merupakan kesan betapa beratnya perasaan takut dan risau baginda apabila surah-surah Hud, al Waqi'ah, al MUrsalat, an Naba' dan at Takwir diwahyukan.

Walaupun dijanjikan Allah dengan balasan syurga dan baginda disebut Allah sebagai kekasih kepada Allah Tuhan yang mencipta, mengurus serta mentadbir sekelian alam ini, tetapi sikap baginda tidak langsung berubah. Malah kerisauan baginda kepada perintah Allah supaya kekal beristiqamah di dalam membawakan jalan hidup yang selamat di dalam Islam kepada semua manusia menyebabkan rambut-rambut baginda beruban. Lihat sahaja bagaimana Rasulullah s.a.w. memberati perintah Allah di bawah sehingga menyebabkan baginda takut dan risau dan uban mula tumbuh dikepala baginda.

“Maka tetaplah (istiqamahlah) kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”(Hud :112)

Daripada Uqbah bin Amir dan Abu Juhaifah, Rasulullah s.a.w. bersabda; "Telah membuat aku beruban (surah) Hud dan saudara-saudaranya" Diriwayatkan oleh At-Thabrani.

Dari Ibnu Abbas r.a : Abu Bakar r.a berkata kepada Rasulullah s.a.w., "Wahai Rasulullah s.a.w., anda telah beruban." Rasulullah s.a.w. bersabda, "Yang membuatku beruban adalah Surah Hud, Al-Waqiah, Al-Mursalat,An-Naba' dan At Takwir." (Riwayat Tirmidzi, Ibnu Sa'd dan Hakim)

Berbeza benar dengan golongan yang mendakwa diri sebagai pewaris nabi kini. Apabila semakin banyak ayat-ayat al Qur’an disampaikan mereka kepada khalayak, semakin ranggi, celupar dan muda jiwanya berubah. Semakin tinggi dia mendongak ke langit dengan sikap riak yang merasakan diri itu bagus. Habis semua muslim yang tidak bersama dengan gerakannya dihamun dan dimaki serta dibodohkan. 

Dibodohkannya setiap muslim yang tidak pandai apabila bertanyakan kepadanya perkara-perkara yang dirasakannya sebagai asas. Belum lagi dijanjikan Allah dengan balasan syurga, riak dan takburnya golongan yang dengan perasan mendakwa diri mereka sebagai pewaris nabi ini mendabik dada seolah-olah mereka itu telah diberi jaminan selamat di akhirat nanti. Berbeza sungguh perlakuan mereka dengan manusia-manusia dikalangan sahabah nabi yang hebat seperti di bawah apabila dibacakan ayat-ayat al Qur’an kepada mereka.

Pewaris Nabi : Salman al Farisi & Asbabun surah al Hijr ayat 45
Siapa tidak kenal dengan Salman al Farisi, cintanya kepada Allah membuatkan dirinya mencari kebenaran di dalam agama semenjak dari usia mudanya. Menjadi anak kepada seorang bapa beragama Majusi yang amat berpengaruh dan kaya, tidak menyebabkan dirinya terbuai dengan kemewahan dunia. Cerita panjangnya sebelum memeluk Islam setelah memeluk agama Majusi, Nasrani dan akhirnya bertemu dengan Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang telah dipesankan kepadanya oleh Uskup al Muriyyah menunjukkan bagaimana sejak dari sebelum kemunculan Rasulullah s.a.w., beliau berusaha mendekati jalan-jalan menuju keredhaan Allah. Cerita panjangnya ada dicatatkan di dalam Sirah an Nabawiyyah Ibnu Hisyam.

Pernah satu ketika ketika ayat 43 surah al Hijr diwahyukan, apabila sampai ke pengetahuan Salman al Farisi, beliau menjadi benar-benar takut sehingga beliau merasakan seolah urat-urat jantungnya seakan terputus. Ketakutan yang bersangatan itu menyebabkan dia lantas bangun dan melarikan diri dan hilang kesedaran akal dalam tempoh tiga hari. Peristiwa tersebut dicatatkan di dalam Kitab Tafsir Jalallain apabila membicarakan tentang asbabun nuzul ayat 45 surah al Hijr. Ianya saya petik sepertimana di bawah.

Ats Tsa’labi telah mengetengahkan sebuah hadis melalui Salman al Farisi, disebutkan bahawa tatkala Salman mendengar firman Allah s.w.t. diturunkan, iaitu : Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar tempat yang telah diancamkan kepada mereka semuanya. (al Hijr ayat 43)
Maka Salman melarikan diri selama tiga hari tiga malam, kerana ketakutan dan ia lakukan itu dalam keadaan tidak sedar dan terlalu sangat perasaan takutnya. Kemudian dia dihadapkan kepada Nabi s.a.w.. Nabi s.a.w. bertanyakan kepadanya tentang apa yang telah dia perbuatnya itu, lalu Salman menjawab : “Wahai Rasulullah, ketika ayat ini diturunkan:  Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar tempat yang telah diancamkan kepada mereka semuanya. (al Hijr ayat 43)
Demi Tuhan yang telah mengutusmu dengan membawa perkara yang hak, sungguh ayat tersebut membuat hatiku terputus,” Maka Allah menurunkan firman-Nya yang lain, iaitu : Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa itu berada di dalam syurga dan (dekat) mata air-mata air (yang mengalir). (al Hijr ayat 45).1


Allah s.w.t. memujuk kembali hati hamba-hambaNya yang benar-benar takut akan azab serta peringatan yang diberikan. Salman al Farisi berubah lega. Walaupun dia ada dan menjadi antara asahabah yang sangat dekat dengan Rasulullah s.a.w., tidak pernah walaupun sekali dia memandang enteng kepada ayat-ayat Allah walaupun bukan manusia sepertinya yang dimaksudkan ayat-ayat tersebut. Mereka inilah yang menjadi pewaris nabi yang berjaya menyebarkan Islam secara meluas kepada dunia.

Umar bin al Khattab dan kisah surah Thur ayat 7 hingga 8

Begitu juga berbeza benar sikap mereka yang tidak pernah dijamin syurga dengan sikap insan-insan mulia yang telah dijamin syurga oleh Allah melalui lisan rasulNya. Saidina Umar al Khattab r.a., salah seorang dari sepuluh orang sahabat Rasulullah s.a.w. yang dijamin kedudukannya di syurga, apabila dibacakan kepadanya ayat berikut, beliau pengsan tidak sedarkan diri kerana perasaan takut segera menyelubungi dirinya. Sedangkan beliau merupakan antara manusia yang digeruni kawan dan lawan semasa hayatnya. Seorang insan hebat yang dijamin syurga dan mengetahui bahawa perlakuannya di dalam mencari redha Allah di dunia diiktiraf oleh Allah sendiri di dalam perakuan yang diberikan Rasulullah s.a.w. tetapi itu semua tidak menghalang dirinya dari terus merasa takut kepada ayat-ayat kutukan dari Allah. Ayat berikut menyebabkan beliau ketakutan lantas pengsan tidak sedarkan diri.

 “Sesungguhnya azab tuhanmu pasti terjadi. Tidak ada seorangpun yang dapat menolaknya”  (At-Thur: 7-8)

Diceritakan bahawa peristiwa itu berlaku pada zaman amanah sebagai Amirul Mukminin dipikulkan pada bahu Saidina Umar bin Al Khattab. Peristiwa berlaku pada suatu malam ketika baginda meronda malam untuk melihat keadaan rakyat di bawah amanah penguasaannya. Apabila beliau melewati sebuah rumah dan terdengar penghuninya sedang membacakan al Qur’an surah at Thur pada lewat malam, lantas perasaan beliau tersentap apabila ayat 7 hingga 8 surah tersebut dibaca. Beliau menjadi terlalu takut sekiranya ayat tersebut merujuk kepada dirinya. Ketika itu beliau spontan berkata, itulah adalah janji-janji yang benar.2 Oleh kerana perasaan takut kepada Allah menguasai dirinya, beliau lantas jatuh pengsan tidak sedarkan diri. Ada riwayat yang mengisahkan peristiwa itu berlaku apabila beliau sendiri membaca surah tersebut di dalam tahajudnya.

Walaupun dijamin syurga, ia tidak mengelakkan dari dirinya segera merasa takut kalau-kalau ayat yang diwahyukan Allah seperti di atas, ditujukan Allah kepada dirinya. Sedangkan bukan beliau yang dimaksudkan sebagai insan-insan yang menjadi subjek kutukan Allah di dalam ayat tersebut. Jaminan syurga bukan menjadi satu alasan kepadanya untuk menjadi  alpa dan merasakan diri bagus. Tetapi sentiasa beliau memperingatkan dirinya bahawa segala ketentuan di dalam kehidupan dirinya di dalam dunia ini sangat bergantung kepada redha Allah yang bakal menentukan hala tuju kehidupannya diakhirat nanti. Umar r.a. tidak membayangkan Abdullah bin Ubay si munafik ketika ayat tersebut sampai ke telinganya.

Dia juga tidak membayangkan wajah-wajah insan lain yang tidak menyamai kemampuannya dalam beribadat serta menjalani kehidupan mengikut syariat yang telah ditentukan oleh Allah dan rasulNya di dalam dunia ini. Beliau tidak membayangkan musuh-musuh yang sentiasa mencari peluang merosakkan perjuangan Islam dari luar dan dalam apabila dibacakan ayat-ayat tersebut. Tetapi dia hanya terfikir kepada satu pesonaliti yang dia kenal dekat. Personaliti yang dia tahu kedudukannya sebagai manusia, hamba Allah yang mungkin boleh terumbang ambing kedudukannya dalam mencari redha Allah. Lalu beliau membayangkan dirinya sebagai subjek yang menjadi sebutan Allah di dalam ayat tersebut. Ikhlas ingatannya itu sehingga menimbulkan ketakutan yang bersangatan. Takut yang terbit di dalam hati yang penuh keihklasan kerana Allah. Ketakutan yang teramat itu menyebabkan beliau jatuh lantas pengsan. Umar r.a. hanya sedar kembali setelah disedarkan dengan percikan air setelah pengsan dalam satu jangka masa yang panjang. Sebaik sedar, beliau menangis dan menjelaskan pengsannya dirinya tadi kerana berasa sangat takut jika ayat tersebut menggambarkan tentang dirinya.

Berbeza benar sikap yang ditunjukkan oleh seorang insan yang telah dijamin syurga apabila ayat-ayat kutukan Allah diwahyukan, dengan sikap yang dipamerkan oleh insan-insan yang sentiasa menyatakan diri mereka sebagai pewaris nabi pada masa kini. Pelik juga apabila sikap yang diambil mereka yang sentiasa mensabitkan perjuangan mereka di dunia dengan perjuangan menuju syurga, sedang antara syurga-syurga yang ditawarkan Allah kepada hamba-hambaNya menetapkan ciri-ciri berikut perlu ada kepada mereka-mereka yang layak menghuninya.

Syurga ‘Adn

Adakah orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Rabb-mu itu benar sama seperti orang yang buta? Sesungguhnya yang mahu mengambil pelajaran itu hanyalah orang-orang yang berakal sahaja. 19
Iaitu orang-orang yang memenuhi janji Allah dan tidak merosakkan perjanjian. 20 (syahadah)
Dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan (iman, silaturrahim) dan mereka yang takut kepada Rabb mereka dan takut kepada hisab yang buruk. 21
Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Rabbnya, dan mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan yang baik. 22
Syurga ‘Adn, yang mereka masuk ke dalamnya dengan orang-orang yang saleh dari bapa-bapanya, isteri-isterinya dan anak cucunya, sedangkan malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari setiap pintu. 23
Kesejahteraan buat kalian berkat kesabaran kalian, maka alangkah baiknya tempat kesudahan ini. 24 3
Syurga ‘Adn, syurga yang dijanjikan Allah untuk makhlukNya yang memenuhi ciri-ciri yang disebut di dalam surah ar Ra’d ayat 19 hingga 24. Perjanjian yang dimaksudkan di dalam ayat 20 merupakan perjanjian antara Ruh manusia di alam arwah untuk tetap menyembah Allah dan tidak akan mempersekutukanNya dengan segala yang lain. Perjanjian tersebut ada diingatkan Allah di dalam ayat 172 hingga 174 surahal a’raaf seperti berikut :

Dan ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka, iaitu anak cucu mereka, dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka, “Bukankah Aku ini Tuhanmu?”, mereka menjawab : “Betul, kami menjadi saksi,”, (ia diperingatkan supaya) tidak kamu mengatakan di hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami terhadap hal-hal ini (keesaan Allah) adalah orang-orang yang lalai,”. Atau agar kamu tidak mengatakan : “Sesungguhnya orang-orang tua kami telah mempersekutukan Tuhan sejak dahulu, sedangkan kami ini adalah anak-anak keturunan yang datang sesudah mereka, maka apakah Engkau akan membinasakan kami kerana perbuatan orang-orang yang sesat dahulu?” Dan demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu agar mereka kembali. (al a’raaf ayat 172 hingga 174)

Perjanjian Ruh yang menjadi subjek di dalam ayat ar Ra’d 20 dan ayat 172 hingga 174 surah al A’raaf, InsyaAllah, akan  saya huraikan dalam sebuah penulisan yang akan dimuatkan dalam blog ini pada hari Isnin, 1 Oktober 2012 tepat jam 11: 30 malam. Sebahagian awal penulisan berkenaan Perjanjian Ruh tersebut telah saya muatkan di dalam penulisan kecil di dalam akaun facebook saya. Ia boleh dicapai di sini  (Klik) (login facebook terlebih dahulu sebelum klik)

Ayat 21 pula menjelaskan sifat-sifat manusia yang diterima masuk ke dalam syurga ‘Adn ialah mereka-mereka yang menghubungkan tali persaudaraan sesama Islam yang putus, memperelokkan tali persaudaraan yang sediada dan mengukuhkan kesatuan ummah semata-mata mengharap redha Allah. Mereka inilah antara manusia yang takut dan tahu bahawa setiap amal perbuatan mereka akan dipersembahkan dihadapan Allah untuk dihisab di hari muka nanti.

Pewaris Nabi Pada Generasi Selepas Sahabat

Dibawakan pula di sini kisah mengenai al Muwaffaq, Wali Negara yang menjalankan Pemerintahan Khalifah Bani Abbas. Al Mu'tamid (256 H sampai 279 H). Meskipun dia bukanlah khalifah, tetapi dia yang berkuasa, kerana gagah perkasanya dan disegani, Pada suatu hari Pahlawan al Muwaffaq itu sembahyang menjadi makmum di satu masjid di Baghdad. Tiba-tiba, imam solat ersebut membacakan ayat 113 surah Hud seperti berikut :

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim. Lantaran kelak akan disentuh kamu oleh api. Dan tidak ada bagi kamu selain Allah yang akan jadi penolong, kemudian itu, kamu pun tidak akan dibela. (Surah Hud ayat 113)
Al Muwaffaq mendengarnya dengan khusyuk. Sehabis hujung ayat ini, kedengaran orang jatuh. Imam meneruskan sembahyang. Rupanya al Muwaffaq, Pahlawan Bani Abbas yang besar itu jatuh pengsan mendengar ayat tersebut dibacakan imam di dalam sembahyang. Setelah beliau sedar dari pengsan, beliau berkata,"Sedangkan condong sahaja kepadaorang zalim sudah begitu seksaannya, betapa lagi kalau berlaku zalim. Ya Allah peliharankan daku dari kezaliman." Pahlawan yang gagah berani ini pengsan kerana takut sekiranya dia tergolong di dalam golongan yang disebutkan ayat tersebut. Mereka-mereka ini, tidak pernah meletakkan wajah manusia-manusia lain apabila membacakan ayat-ayat al Qur'an. Sentiasa sahaja mereka takut sekiranya ayat-ayat al Qur'an yang dibacakan tersebut merujuk kepada diri mereka.

Amatlah pelik akan segala perilaku sekumpulan manusia yang mendakwa diri mereka sebagai pewaris nabi kini. Saya pernah melihat ada diantara mereka, apabila sahaja membacakan ayat-ayat yang berisi kutukan Allah kepada manusia-manusia di dalam al Qur’an, pantas sahaja mereka merujuk ayat-ayat tersebut sebagai terkena kepada golongan yang mereka musuhi. Apabila sahaja Allah merujuk sesetengah manusia di dalam al Qur’an tidak lebih dari diumpamakan seperti  anjing yang menjelir-jelirkan lidah, sepantas kilat manusia-manusia yang mendakwa dirinya sebagai pewaris nabi itu kenal malah menunjukkan jarinya kepada golongan yang dianggapnya sebagai  musuh kepada jalan usaha mereka. Apabila ditanyakan kepada mereka, kenapa sampai begitu sekali tuan sanggup menggelarkan saudara seagama tuan dengan gelaran sedemikian, maka dengan pantas satu jawapan standard diberikan oleh mereka, “Bukan saya yang kata macam itu, tapi Allah yang kata macam tu, saya cuma menyampaikan.”  Jawapan diberikan mereka dengan wajah yang tersenyum sambil disambut hilai ketawa anak-anak murid yang menjadikan dirinya idola. Berbeza benar sikapnya dengan sikap nabi dan pewaris nabi seperti yang kita lihat dipamerkan oleh golongan sahabat sepertimana di dalam kisah Salman al Farisi dan Umar al Khattab sebelum ini. Belum lagi dijamin syurga sudah bersikap sedemikian rupa. Jadi benarkah mereka ini selayaknya digelarkan dan diangkat sebagai pewaris nabi dikalangan kita? Pewaris nabi atau hanya salinan perangai dan perlakuan ahli kitab?

Jadi, apabila setiap kali dipersembahkan dengan dakwaan bahawa sesuatu golongan itu memperjuangkan jalan-jalan menuju syurga dan hanya bersama merekalah jalan ke syurga itu pantas dan tiada rintangan, segeralah merujuk kepada apa yang dinyatakan oleh pemilik Syurga itu sendiri tentang siapa yang Dia kira layak untuk merebut peluang nikmat tersebut. Jika sifat-sifat yang disebut dalam al Qur’an kelihatan janggal dan tidak kena dengan sifat-sifat serta perlakuan mereka yang mendakwa diri mereka pejuang di jalan Allah dengan berterusan selesa membiarkan silaturrahim terputus sesama Islam, membalas keburukan yang didakwa dikenakan ke atas mereka dengan keburukan yang berkali ganda lebih buruk sikapnya, malah memberikan pelbagai gelaran yang buruk dengan membiasakan golongan yang tidak sehaluan dengan mereka dengan sabitan sifat bodoh, bengong, gila, tidak ada akal, bangang, anjing, jahil, kaum jahiliah, Quraisy musyrik, jahil murakkab dan sebagainya, ketahuilah, sesungguhnya Allah menyatakan sesuatu yang lain sebagai sifat orang-orang yang mewarisi destinasi tempat kesudahan bahagia diakhirat nanti.

Jangan tergoda bintang di awan, kalau terbitnya di siang hari ~ Ahmad Jais (Umpan Jinak di air tenang)

Saya ingin diri saya sentiasa ingat kepada pesan di dalam lirik tersebut. Maksudnya sangat mendalam. Siapa sahaja yang menulis lirik ini, sesungguhnya telah diberikan Allah kehebatan menyusun kata-kata yang lembut dalam memberi peringatan. Suatu keupayaan yang sangat dicemburui. Satu keupayaan sinonim yang ada pada seni bahasa orang-orang Melayu. Semoga usahanya menghasilkan lirik-lirik Islami tanpa perlu kepada kosmetik dan kemabukan facade Islami membawa kepadanya sisi-sisi bahagia  di dalam kehidupannya di dunia dan akhirat.

Jangan tergoda bintang di awan, kalau terbitnya di siang hari... sentiasa ingat pesan dan nasihat yang baik ini.

Oleh kerana terdapat beberapa masalah yang saya tidak dapat elakkan, Penulisan di bawah tajuk “Pewaris Nabi atau Hanya Sekadar Ahli Kitab, Bhg 3” InsyaAllah akan dimuatkan pada 29 September 2012, tepat jam 11:30 malam.

Rujukan :
1. Jalalludin al Mahali & Jalalludin as Suyuthi, Tafsir Jalallain, Jilid 2, (2002), Sinar Baru Algesindo, Bandung.
2. Khalid Muhammad Khalid, Men Around The Messenger, (2005), Islamic Book Trust, Petaling Jaya, m/s 19 hingga 20.
3. Op. cit, Jalalludin al Mahalli & Jalalludin as Suyuti, m/s 1005 hingga 1007.
4. 
Prof. Dr. HAMKA, Tafsir ayat 113 surah Hud, Tafsir al Azhar, Juzu’ 10,11 & 12, PT Pustaka Panjimas, Jakarta, m/s 141 – 142.



© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda. 

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email