Thursday, June 14, 2012

Revert Muslim Bertatu


Oleh : Imran Haaz/M.I.A.

Bismillahir Rahmanir Raheem.. sekitar 2005, saya dipertemukan Allah dengan salah seorang saudara Islam semasa diamanahkan menguruskan sebuah projek membaikpulih sejumlah prasarana di Pulau Pinang. Peter, nama yang diperkenalkannya kepada saya. Seorang bertubuh sangat tinggi dan agam.  Ketinggiannya melebihi 2 meter. Hampir setengah kaki tingginya di dari saya.

Dia merupakan kontraktor di bawah seliaan saya. Bekas seorang pengurus pub, pengembara dan samseng jalanan. Pertama kali saya disapa olehnya di dalam mesyuarat, saya agak terkejut. Dengan lengan sebesar peha yang penuh bertatu, dia menyapa saya dengan salam.

Saya menjawab salamnya dalam keadaan kaget. Seluruh gambaran yang wujud di dalam perkiraan minda tipikal muslim di Malaysia yang ada pada saya ketika itu, kehadiran dia di hadapan saya pada ketika itu membuatkan pemikiran saya sedikit berceramuk mencari logik susunan penampilan zahir dan sisi batin dirinya. Wajahnya garang seperti Kerry King, pemain gitar Slayer di usia tuanya. Tetapi tidak sebotak Kerry King, rambutnya panjang ala Jeff Scot Soto semasa di awal kemunculannya bersama Yngwie Malmsteen di dalam Rising Force. Ibarat berhadapan dengan the Undertaker dalam WWE. Bayangkan apa yang bermain di minda saya ketika orang seperti di bawah ini memberikan salam dan memberikan senyuman yang saya nampak sangat ikhlas di sebalik wajah bengisnya.



Selesai mesyuarat, dia mengajak saya bersembang. Usia saya pada ketika itu lewat 20 an. Peter hampir 50 tahun. Antara berani dan takut, saya menurutnya ke sebuah gerai kecil di tepi jalan. Awal pagi, tentu sahaja minuman yang dikaitkan dengan obesiti menjadi pilihan. Jika hanya minum kemudian tidur dan kemudian terus berceramah pasal Islam itu syumul tanpa mempraktikkannya, obesiti yang dikaitkan dengan minuman tersebut bertukar menjadi doa-doa yang dimakbulkan.

Saya tidak mahu bertanya lebih. Cukup dengan dia menjegil, ia sudah cukup untuk membuatkan kepala lutut tercabut. Pelbagai perkara yang diceritakannya. Dari cerita dia bermula dengan mengurus sebuah pub di Pulau Pinang semasa muda ke cerita anaknya yang bersepah di seluruh dunia sehingga ke ceritanya menjual Catamaran miliknya sebelum pulang ke Malaysia. Tetapi semua itu masih belum cukup bagi saya. Dalam hati, saya mahu dia menyinggung persoalan tentang agamanya. Mungkin kerana masih muda mentah, memek muka saya yang tidak sabar untuk terus ke soalan cepu emas tersebut dapat dibacanya.

“Nama saya Peter Abdullah,”.

Bermula dari hari itu, setiap kali berjumpanya untuk urusan kerja, mana-mana gerai tepi jalan akan disinggahi bagi mendengar cerita-ceritanya. Ibarat penglipur lara, saya belajar banyak perkara dari pengalamannya yang tidak kedekut dikongsinya. Dari cerita suka ke duka dan yang merapu, semua dia boleh. Memang sesetengah manusia itu diciptakan Allah hebat bercerita. Dia termasuk salah seorang daripadanya. Jika bosan dan merasakan masa berjalan dengan perlahan, Peter mempunyai magis untuk menggerakkan masa tersebut dengan kelajuan super sehinggakan lima jam terasa seperti 30 minit.

Saya lebih banyak diam. Apalah yang menarik yang ada pada pengalaman seorang anak muda berusia 20 an untuk diceritakan kepada seorang penglipur lara yang calar balar pengalamannya meredah dunia sangat jelas digambarkan di dalam cerita-ceritanya. Apa yang lebih pada saya ketika itu hanyalah mengorbit seputar spesifikasi serta kehendak-kehendak kontrak kerja kejuruteraan. Hanya perkara yang membosankan itu sahaja yang dapat saya tawarkan serta dia mahukan dari pengalaman saya dihadapannya.

Pernah sekali saya bersamanya dalam satu keadaan yang sedikit genting di Kedah. Ia apabila salah sebuah prasarana yang ditempatkan berhampiran ladang kelapa sawit dicerobohi. Pada ketika itu, saya memeriksa panel elektrik yang baharu sahaja siap kerja pemasangannya. Semua staf yang lain telah pulang, tinggal saya melayan Peter bercerita. Tiba-tiba saya ternampak kelibat dua orang warga asing yang menceroboh masuk. Saya memberitahu kepada Peter dan kami berdua ke sana untuk mengarahkan mereka keluar. Oleh kerana kawasan tersebut di bawah tanggungjawab saya, maka sebarang kes kecederaan, kemalangan serta kematian yang berlaku, saya perlu menjawabnya. Bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku, saya berjumpa dengan kedua-dua penceroboh tadi dan mengarahkan mereka meninggalkan premis tersebut.

Saya bercakap selembut mungkin menggunakan segala bahasa berbunga yang boleh saya susun untuk mengarahkan mereka keluar. Ia supaya tidak timbul keadaan yang boleh mencetuskan kemarahan. Tetapi penceroboh itu tidak berpuas hati. Mungkin tidak puas hati kerana diarahkan keluar oleh ‘seorang budak’, mereka kemudian beredar dengan wajah yang marah.

Selang 15 minit selepas dari itu, kedua orang yang menceroboh tersebut datang kembali bersama parang dan sekumpulan lagi sahabat-sahabat mereka. Jika tidak silap, tujuh orang semuanya. Hanya saya dan Peter yang seperti Undertaker itu sahaja untuk berhadapan dengan mereka. Mereka mula menjerit-jerit marah. Oleh kerana masih muda dan panas suhu darah dalam diri, saya terlupa mereka bertujuh dan berparang. Peter menyuruh saya diam dan kemudian mengajak saya berhadapan dengan mereka mengikut caranya.

“Biar saya yang berbicara,” kata Peter.

Pada sangkaan saya, Peter akan menggunakan cara yang lebih berdiplomasi. Saya menunggu untuk melihat bagaimana situasi ini ditanganinya. Saya membaca segala apa yang saya tahu ketika itu termasuk doa makan. Pengalaman hidup belum cukup untuk membuatkan wajah saya setenang Peter. Dalam hati dan pemikiran, berligat berfikir macam-macam perkara. Untuk menelefon polis, jalan masuk ke kawasan itu sahaja memakan masa untuk sampai ke lokasi tersebut. Kemudian Peter membuka mulut.

“Saya nak kamu semua tahu yang kami berdua tidak kisah untuk mati di sini. Bagaimana pula dengan kamu? Sudah sediakah untuk melihat anak bini kamu mengangis petang ini?!”

Apa? Petang ini? Gila punya Peter. Siapa cakap saya tidak kisah untuk mati. Saya belum kahwin! Sekurang-kurangnya mereka ada bini untuk menangis petang itu. Gaya Peter mencabar penceroboh tersebut mengingatkan saya dengan komik Pedang Setiawan. Kata-kata yang digunakannya dalam komik tersebut kurang lebih sama seperti pepatah ‘Bila keranda diusung baru bercucuran airmata’. Apakah Peter pernah belajar  jurus Lima Guntur Membelah Neraka seperti di dalam komik-komik Hong Kong yang satu ketika dulu menjadi kegilaan remaja lelaki Malaysia? Sekurang-kurangnya ketika mereka gilakan komik ini, mereka tidak merempit kerana menunggu giliran untuk membaca komik yang dibeli seorang tetapi dikongsi puluhan orang. Sampai ke pembaca terakhir, rupa komik sudah seperti kertas pembalut roti canai.

Peter kemudian meninggikan lagi suaranya. Rupanya seperti orang kerasukan. Tetapi berlainan sekali riak muka wajah-wajah penceroboh tersebut. Kelihatan mereka takut.

“Saya mahu kamu semua tahu. Polis dalam perjalanan ke sini. Saya beri peluang untuk kamu semua pulang dengan selamat.” Polis jugalah yang dicari bila susah-susah macam ini. Peter yang kelihatan sebegitu ganas pun terpaksa berselindung di sebalik pihak berkuasa tersebut. Mereka kelihatan bersungut dan berkata sesuatu. Kemudian mereka mengambil keputusan untuk berundur. Samada mereka takut kepada jurus-jurus tempur Peter atau pun mereka lebih takut kepada lelaki-lelaki berbaju biru, saya tidak pasti. Tetapi sesuatu yang saya pasti hayat saya mungkin lebih panjang dari petang itu dan kemungkinan saya untuk berbini cerah kembali.

Petang itu kami berdua selamat. Bersyukur kepada Allah, Dia-lah yang menyelamatkan kami berdua petang itu. Untuk menenangkan diri, saya dan Peter  ke sebuah lokasi untuk minum petang. Ketika itulah baru dia bercerita tentang bagaimana dia memeluk Islam.

Dia memulakan perniagaan sejak awal usia 20 an. Pernah memiliki pub yang dikatakannya sangat menguntungkan. Pernah diceritakannya, setiap malam minggu mesin daftar tunainya tidak cukup untuk memuatkan wang pelanggan yang mabuk tidak sedar diri berbelanja. Sehinggakan ada ketikanya dia terpaksa memasukkan wang ke dalam bakul yang disediakan di sebelah mesin daftar tunai tersebut. Dengan wang yang begitu banyak, arak dan perempuan, dia masih merasakan ada sesuatu perasaan di sudut hatinya yang menyatakan dia sedang mencari sesuatu. Cuma masalahnya, dia tidak tahu apa yang sedang dicarinya.

Bosan dengan bau arak dan perempuan di pub, dia menjual perniagaannya untuk berhijrah keluar negeri. Dia melakukan pelbagai kerja di sana. Dia mencari sesuatu, tetapi sesuatu itu tidak ditemuinya di Eropah. Bosan hidup bagai nomad, dia tiba-tiba ingin menyendiri dan tempat yang dirasakannya yang membolehkannya hidup sendiri hanya bertemankan perasaannya hanya boleh dicapai dengan belayar solo di lautan luas.

Menggunakan semua wang simpanannya, dia membeli sebuah catamaran untuk digunakannya untuk bersendiri di tengah lautan. Hanya dia dan alam ciptaan Allah yang luas ini bertemankannya di lautan. Sunyi dan ditemani kebesaran Allah yang baru kini dia melihatnya dengan pemikiran yang tenang tanpa alkohol yang menyelubungi pemikirannya, baru dia sedar apa sebenarnya yang sedang dia burukan. Dia sedang mencari dirinya kembali. Dia sedang mencari asal usul dirinya dan asal usul dirinya mempertemukan dia dengan Tuhannya tidak lama sesudah itu.

Dia menjual catamaran miliknya dan kembali ke Malaysia. Tidak lama di Malaysia dia mengambil keputusan untuk memeluk Islam. Dengan syahadah yang diucapkannya, dia menyatakan seolah-olah pada hari itulah dia baru dilahirkan. Dia tidak pernah merasai sesuatu yang indah sepertimana pada hari dia pertama kali mengucapkan syahadah. Terlalu indah dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Hanya mereka-mereka yang pernah melalui kehidupan sepertimana dia, tahu bagaimana syahadah yang pertama yang diucapkan itu membawa satu bentuk keindahan yang tidak terungkap dengan kata-kata. Dia kemudiannya berkahwin dengan sorang wanita Melayu tidak lama sesudah itu.

Dia ada bercerita mengenai sikap sesetengah umat Islam yang memandang sinis kepadanya setiap kali dia ke masjid. Sentiasa dia mengenakan baju dengan lengan yang panjang supaya tatu miliknya yang pernah dia cacahkan semasa zaman sebelum Islamnya dapat disembunyikan. Tetapi pada ketika memerlukannya berwuduk, dia terpaksa melakukannya supaya tidak menimbulkan sebarang rasa pelik dan tidak senang sesetengah orang Islam. Dia menceritakan dia pernah diludah oleh seorang lelaki di dalam masjid hanya kerana terpandang tatu ditangannya. Tetapi baginya, tidak mengapa, kerana mungkin pada firasatnya, lelaki itu tidak faham dengan situasi serta sejarah hidupnya.Perit dengan sikap muslim tetapi dia tetap tenang dalam Islam. Dia mengaku perbuatannya mencacah tatu ke tubuhnya satu perbuatan yang disesalinya sepanjang hayatnya. Dia juga mengaku jika pemikirannya bijaksana walaupun sebelum memeluk Islam, tentu sahaja dia tidak akan melakukan perbuatan tidak cerdik seperti itu. Malang sekali tiada panduan untuknya bagi menyuluh jalan yang terang.

Saya teringat kepada Peter apabila pada petang semalam saya menonton sebuah video mengenai seorang saudara Islam dari British yang memeluk Islam sejak 20 tahun yang lalu. Dengan penuh tatu di sebahagian tubuhnya dan wajahnya yang penuh dengan kesan tindikan, siapa sangka hidayah Allah akan meresapi kemas dalam jiwa dan sanubari dirinya. Begitu juga dengan video mengenai muslim di Jepun. Saya melihat Bro. Abdullah Taki di dalam video tersebut juga mempunyai sejarah yang hampir sama dengan Matthew (Abdul Malik). Kedua-dua mereka pernah menjalani kehidupan yang hampir sama dengan Peter dan ketiga-tiga mereka kini menjadi hamba-hamba Allah di dalam satu nafas kehidupan baru yang lebih indah dan tidak mahu dipersia-siakan mereka.




Cuma sesuatu yang merisaukan saya. Apakah pula penghujung nasib saya sebagai hamba Allah dimuka bumi ini? Saya amat takut sekiranya saya yang dilahirkan di dalam rahmat dan dilahirkan sebagai hambaNya yang Islam, berubah hala dari menjadi seorang yang berusaha keras untuk menjadi mukmin, tetapi tercampak ke jurang serta lembah hina hanya kerana sifat takbur, sombong dan sebagainyaنعوذ بالله من  ذلك .

Semoga Allah mengekal saya, keluarga dan kita semua dalam keimanan yang lebih kukuh semasa hayat, mati dan dihidupkan kembali sebagai orang-orang yang beriman apabila berhadapan dengan Allah nanti. Amin.

Jangan kita terlupa dengan kisah bagaimana Iblis dilaknat Allah hanya kerana sombong dan takbur yang dia lebih mulia dari Adam a.s. Iblis merasakan dia lebih layak dari Adam a.s. kerana sejarah asal usulnya yang dirasakannya lebih mulia. Mana mungkin untuk dia tunduk kepada Adam a.s. sedangkan Iblis pada ketika itu merupakan antara hamba-hamba Allah yang paling taat sehingga kedudukannya diangkat dari satu langit ke langit yang satu. Hebatnya dia beribadat sehinga benar-benar tinggi kedudukannya. Malang sekali sifat sombong yang ada pada dirinya menghancurkan ke semuanya. Lebih malang lagi apabila ada pula dikalangan anak-anak Adam yang mendakwa diri mereka ahli ibadat, mempertontonkan amal ibadat serta kemuliaan mereka dan dalam masa yang sama menghina sesama anak-anak Adam bahawa kedudukan mereka di sisi Allah lebih mulia dari saudara segama mereka yang lain. Dengan amal ibadat yang tidak pun boleh mengakibatkan kaki mereka terangkat sekaki ke udara, riak, sombong dan takbur mereka telah melebihi tahap sombongnya Iblis yang pernah diangkat Allah ke lapisan-lapisan langit yang lebih tinggi. Seolah-olah hanya mereka itu Islam dan yang lain itu penghuni kekal neraka jahannam. Seolah-olah hanya mereka itu pandai dan semua orang lain bodoh hanya kerana tidak mahu bersama mereka. Perkataan bodoh, bahlol dan bengong menjadi zikir harian dan bahan sendaan untuk meletakkan kemuliaan kepada diri sendiri dan menghinakan saudara Islamyang tidak sehaluan dengan mereka. Sangat sedih melihatkan perkembangan mutakhir kini. Kita benar-benar terlupa dengan sejarah Iblis. 

Ya Allah, lindungilah kami dari tertipu dengan tipu daya syaitan dan kelemahan diri kami sendiri. Amin. 

© 2012 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara. 
Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda. 

6 comments:

assalammualaikum w.b.t, sy tertarik dgn post saudara "revert muslim bertatu" ttp bukan itu yg sy ingin rungkaikn. sy cma ingin brtanya bagaimana dgn buku yg saudra ingin terbitkn tu,adakah sudah siap dan telah terbit dipsran.t.kasih!
 
Assalammaualaikum tuan, pengalaman yang menarik tetapi yang menariknya kenapa bila nyawa dihujung tanduk kita ingat pula kita masih bujang dan belum berbini. Bila naik kereta laju pun siap pesan "awak tu belum kawin lagi jangan laju-laju" saya cume fikir positif mungkin melalui perkahwinan itu dapat menyempurnakan sebahagian agama.
Bab tatu tu memang sebahagian dari kita selalu memandang sinis ego perasan macam tak berdosa, kalaulah dosa kita tu Allah jelmakan menjadi tatu kat badan takut-takut tak cukup tempat nak letak. Sesungguhnya beruntunglah mereka yang revert tu dosa dah terhapus seperti bayi baru lahir. Rasa macam nak minta doa biar tambah hidayah untuk saya.
Adila_Alim
 
satu lagi artikel yang menarik
 
Wa'alaikumsalam wrt Anon June 14, 2012;
perihal buku2 yg sedang diusahakan saya ada sebutkan di dalam post "Menyamak dosa Bani Israel dengan memfitnah Musa a.s.,".. saya sedang berusaha dgn keras untuk menyiapkan kesemua yang telah dirancangkan. Saya sangat berharap usaha tersebut dipermudahkan Allah, TQ atas sokongan.
 
Wa'alaikumsalam wrt Adila_Alim,
Perkahwinan memang menyempurnakan sebahagian dari agama. Tetapi dalam penulisan atas, ia hanyalah satu quote dari bentuk pemikiran seorang anak muda yang mentah semasa saya berusia 20 an. Ia juga sesuatu yg seringkali disebut oleh orang2 kita sptmana yg Adila komenkan... kita telah terprogram untuk berbicara dgn cara demikian.. ia satu bentuk pemikiran kurang matang di dalam meletakkan sesuatu keutamaan dan saya akui, ia juga antara sebahagian dari kekurangan sistem pemikiran yg pernah mengisi pusat akal fikiran saya dulu.. perlahan2 setiap yg kurang baik itu diperbetulkan seiring dengan peningkatan usia.. masih belum berjaya sepenuhnya dan masih terdapat lebih banyak jatuh dari bangun dalam usaha pembaikan tersebut.. Semoga kita semua mendapat serta kekal mendapat hidayah Allah pada setiap saat dan masa. Amin.
 
Salam Shamsadis,
Segala puji hanya bagi Allah..
 

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email