Monday, August 16, 2010

Hari itu hari bodoh saya...

Oleh M.I.A.


Bismillahir Rahmanir Raheem.. Ramadhan datang lagi dengan mengimbau jutaan kenangan indah yang terkadangnya mengusik jiwa. Masuk sahaja bulan puasa, banyak kenangan yang menerjah akal fikiran. Ada yang lucu dan ada yang sangat menginsafkan. Sedikit cerita peribadi disulam ke dalam blog sebelum meneruskan kebiasaan dengan sambungan posting berat. Kita santai dahulu. Bagi saya saat berpuasa yang paling meninggalkan banyak kenangan ialah semasa menghuni asrama putera Sekolah Menengah Teknik Tunku Abd. Rahman Putra di Pulau Pinang sekitar tahun 1990 an dahulu.


Waktu itu, semua pelajar tidak dibenarkan membawa masuk segala bentuk alat hiburan. Discman, Walkman, Radio, Gitar dan apa sahaja perkara yang membawa konotasi hiburan adalah tidak dibenarkan. Bagi yang tidak biasa hidup bergelumang dengan muzik, arahan dan peraturab tersebut merupakan sesuatu yang tidak memberikan apa-apa impak kepada diri mereka. Tetapi bagi saya dan beberapa orang sahabat, peraturan ini sangat-sangat menjerut emosi.

Cuba bayangkan sekumpulan anak muda berumur 17 tahun dengan rembesan adrenalin tanpa henti dicabut dan diharamkan mereka dekat dengan perkara yang sangat mereka sukakan, apakah mereka akan terus diam? Oh tidak, perkara itu tidak berlaku.


Disebabkan bosan dengan situasi itu, ditambah pula dengan segala peraturan yang menyekat minat dan keinginan ramai dari antara kami, hiburan alternatif dicari dan diciptakan secara ‘kreatif’. Satu perkara yang lazim di dalam bulan Ramadhan pada sesi persekolahan ketika itu, penghuni asrama diwajibkan menghadiri solat tarawih dan disusuli dengan kelas persediaan.

Surau Sekolah Teknik Tunku Abdul Rahman Putra tersebut terletak pada lokasi dipertengahan jalan antara bangunan sekolah dan bangunan asrama. Sungai Air Itam membahagikan kawasan keduanya dengan rumpunan buluh tebal dikedua-dua belah sungai membentuk sebuah pintu gerbang pada penghujung jambatan yang menghubungkan sungai tersebut. Permandangannya sangat indah diwaktu pagi dan sangat menyeramkan sebaik hari memasuki senja dan malam. Bersebelahan rumpunan buluh inilah terletaknya lokasi surau sekolah tersebut.


Kebosanan melihat keadaan sekeliling yang sunyi di dalam kelas persediaan selepas solat tarawih, dipecahkan pada suatu malam dengan kehadiran seekor musang yang melintas pagar yang membahagikan kawasan surau dengan gelanggang tenis disebelahnya. Salah seorang sahabat mencuit bahu saya dengan jari tangan kanannya menunjukkan ke arah satu lembaga yang bergerak di dalam gelap. Setelah mengetahui objek yang bergerak tersebut merupakan seekor musang, dengan tiba-tiba sahaja kumpulan sahabat saya memandang antara satu sama lain. Seolah-olah tercetus satu idea yang sama secara serentak di dalam benak fikiran setiap seorang dari kami. Tanpa perancangan dan tanpa arahan, secara serentak masing-masing bangun dan terus mengejar musang terbabit.

Surau sekolah tersebut, struktur lantainya dibina lebih kurang 3 kaki tingginya dari paras tanah. Bahagian koridor bangunan berbentuk segi enam tersebut dipasangkan batu marmar yang licin. Pada bahagian sisi yang menghadap gelanggang tenis, dijadikan kami sebagai kawasan lepak semasa, sedang dan selepas dari menunaikan solat tarawih.

Dalam kekalutan mahu mengejar musang terbabit, salah seorang sahabat saya terpijak sehelai sejadah yang dibentangkan semasa dia berlari. Struktur lantai yang licin dan kelajuan lariannya mengakibatkan dia terlungsur dengan laju sejauh beberapa meter. Mujur dia terlanggar beg-beg yang diletakkan pada satu sudut bahagian koridor terbabit. Jika tidak kerana tertahan dengan timbunan beg tersebut, tentu sahaja dia akan terjatuh pada bahagian hujung koridor dengan besi penghadang yang terbuka. Melihat kejadian tersebut, kami masing-masing tidak dapat menahan ketawa. Musang yang pada awalnya dikejar itu terlepas dari padangan setelah ia memasuki rumpunan buluh di bahagian tepi sungai.

Tetapi peristiwa itu menimbulkan satu idea bodoh yang baru. Melihat potensi lantai koridor yang licin dan sejadah yang boleh dijadikan alat luncuran, mulai malam itu aktiviti luncur sejadah menjadi aktiviti rutin setiap kali selepas tarawih. Pertandingan pada setiap pusingan akan disertai dua orang yang akan bersaing meluncur sejadah. Garis permulaan ditetapkan pada bahagian garisan sambungan lantai marmar berdekatan bilik wuduk. Peserta akan berlari selaju mungkin dengan memegang kedua hujung sejadah dan apabila hampir ke garisan permulaan, mereka akan meniarapkan diri seperti superman di atas sejadah dan meluncur laju bersaingan ke hadapan. Pemenang akan dikira melalui jarak yang ditempuh. Siapa paling jauh, dialah yang menang. Tiada hadiah yang ditawarkan selain tepuk dan sorak. Cabaran yang paling hebat ialah bagaimana untuk mengawal kelajuan supaya jarak yang dicapai akan berhenti sebaik sebelum penghujung koridor. Jika terlebih laju, peluncur akan terjatuh pada ketinggian hampir satu meter ke atas lantai pada aras tanah.

Jika mat rempit menggunakan motorsikal sebagai kenderaan dan jalanraya sebagai gelanggang, luncur sejadah atau rempit sejadah ini pula hanya menggunakan sejadah sebagai kenderaan dan lantai surau sebagai jalanraya. Berpakaian baju melayu, kain pelekat dan kopiah sebagai helmet, dari hari ke hari aktiviti ini semakin mendapat sambutan. Aktiviti ini berlangsung hampir pada setiap malam selepas tarawih sehinggalah keadaan menjadi tidak terkawal. Jika pelopor awal sukan merapu ini memulakan aktiviti selepas solat tarawih, ‘generasi baru’ lebih ganas lagi apabila mereka mengambil kesempatan dengan menganjurkan pertandingan sebaik habis lapan rakaat solat tarawih. Keadaan menjadi terlalu bising dan mengganggu ketenteraman pihak yang mahu beribadat. Tetapi kemeriahan pertandingan itu berakhir apabila pada suatu pagi selepas roll-call, ustaz yang menjadi warden asrama membuat pengumuman berikut dengan nama-nama beberapa individu dipanggil untuk keluar dari barisan. Oh, nama saya tidak terkecuali. Setelah hampir lebih sepuluh orang dipanggil keluar, pelajar-pelajar lain dibenarkan untuk terus masuk ke dewan makan untuk bersahur. Ustaz kemudiannya membacakan senarai kesalahan yang dilakukan dan membacakan hak-hak kami untuk berdiam diri. Wah, macam polis di dalam filem Hollywood. Diumumkan oleh Ustaz bahawa setiap seorang dari kami akan dijatuhkan hukuman rotan sekali setiap seorang. Hukuman tidak dijalankan pada ketika itu juga, tetapi menunggu kehadiran penghuni asrama puteri untuk memasuki dewan makan. Dewan makan asrama pada tahun 1990-an terletak diantara Blok A dan Blok B asrama putera. Dihadapan pintu masuk dewan makanan itu terletak gelanggang sepak takraw. Di atas gelanggang itulah roll-call setiap pagi dan petang diadakan. Di atas gelanggang itu jugalah sebaik pelajar-pelajar perempuan bergerak untuk memasuki dewan makan, dirotannya setiap seorang dari kami kerana terlibat dengan aktiviti rempit sejadah. Oh, zaman itu memang penuh kenangan dan rotan di pagi bulan Ramadhan itu menjadi salah satu kenangan yang masih kekal di dalam ingatan saya sehingga kini. Rotan memang menjadi sesuatu yang lumrah di sekolah tersebut. Apa jua bentuk kesalahan dari gagal mata pelajaran hingga ke aktiviti-aktiviti nakal akan dihukum dengan rotan. Dan kerana ketegasan itu jugalah tiada seorang pun sahabat saya yang saya tahu sehingga kini terjerumus ke dalam perkara tidak elok sehingga kini. Kenangan-kenangan manis itu akan kekal selamanya.

Sesuatu yang tidak mungkin saya lupa sampai bila-bila mengenai Ramadhan berlaku hampir sepuluh tahun yang lalu. Ketika itu saya baru berhenti kerja dengan sebuah syarikat multinasional di Singapura. Kembali ke Pulau Pinang, hampir beberapa bulan menganggur, masa saya banyak dihabiskan dengan menghadiri temuduga dari satu syarikat ke satu syarikat yang lain. Segalanya seperti biasa sehinggalah tiba hari Jumaat pertama di dalam bulan Ramadhan di tahun tersebut.

Sejak dari sekolah menengah hingga ke universiti, saya sentiasa mempunyai isu dengan khutbah jumaat. Setiap kali menghadiri solat jumaat, satu perasaan tidak senang dengan gaya penyampaian, isikandungan dan penampilan khatib penyampai khutbah. Bagi saya di dalam pemikiran yang penuh dengan semangat yang berkobar dan idealisme, khutbah jumaat bagi saya seharusnya ia menjadi satu bentuk wadah dan mekanisme yang hebat, boleh dipergunakan bagi tujuan dakwah dan medan penyampaian hebat. Itulah medan di mana muslim menghadirkan diri ,menyerahkan akal pemikiran untuk dibasuh fikiran * mereka. Ibadah yang diperintahkan khusus oleh Allah, mekanisme ini pada pemerhatian saya di awal waktu remaja, dilihat seolah-olah dipersia-siakan oleh sekumpulan manusia yang dipertanggungjawabkan melaksanakannya.

Dengan lenggok yang begitu klasik ditambah dengan tempo yang terlalu perlahan, hampir lebih separuh jemaah ‘mengangguk-angguk di dalam kefahaman’. Isikandungan khutbah yang tidak membangkitkan semangat bagi saya sangat-sangat merugikan bagi jemaah muslim di negara ini. Dengan melumpuhkan fungsi khutbah Jumaat sebagai agen pembasuh fikiran muslim, kita melahirkan generasi pasif yang bagaikan zombi menghadirkan diri setiap Jumaat, semata-mata untuk dikhutbahkan dengan perkara-perkara remeh temeh yang sangat-sangat membosankan. Pernah satu khutbah yang hampir membuat saya menjerit di dalam batin yang terseksa, apabila si khatib berkali-kali menegur jemaah supaya mengambil wuduk dengan cermat dan jangan sampai terpercik kepada orang lain. Ingatan sekali boleh diterima, tetapi istilah terpercik itu dihuraikan sepanjang khutbah membuatkan perasaan saya pada ketika itu seperti mahu melancarkan kudeta dan merampas tongkat kebesaran khatib dan menyuruh dirinya diam dan teruskan saja dengan solat Jumaat. Oh! Betul-betul bengang. Ketika menahan marah, sisi batin di dalam diri saya sudah bertukar menjadi incredible hulk.

Mulai dari hari itu, pada Jumaat berikutnya, saya bertukar menjadi ‘komando’ dan ‘pencuci kolah masjid’. Dari jemaah yang sentiasa cuba untuk mendapatkan saf paling depan, saya bertukar menjadi jemaah yang paling lewat datang ke masjid. Dari sikap bersiap dan bergerak ke masjid setengah jam lebih awal dari waktu azan Zohor, saya kemudiannya bertukar dengan menjadikan doa antara dua khutbah sebagai signal untuk saya mula bergerak untuk keluar dari rumah. Maka apabila sahaja sampai ke masjid, tempat-tempat solat sudah pun penuh. Ruangan yang tinggal hanya pada ruangan di tepi kolah yang sangat basah dan tidak selesa. Kerana marah dan tidak berpuas hati dengan kualiti khutbah, saya melakukan perbuatan ini dari minggu ke minggu. Adik lelaki saya yang sedar perubahan ini mula menyindir dengan setiap kali pulang dari masjid, dia akan bertanya soalan yang serupa. ‘Cuci kolah lagi ka minggu ni?’. Oh, dia tidak faham dengan kebodohan yang sedang menguasai diri saya. Kemudian dari satu masjid ke satu masjid saya mengembara keluar dari kariah mencari khutbah Jumaat yang ideal dan berupaya membasuh fikiran Muslim seperti saya. Malang, jarang sangat saya berjumpa khatib-khatib yang berkualiti, bernada tegas bila menegur dan berlembut bila mahu memujuk. Yang ada dan ramai ialah khatib-khatib yang termasuk ke dalam senarai yang harus dilakukan kudeta mimbar ke atas mereka.

Lambat ke masjid terkadangnya memerlukan saya beraksi ala komando dengan melompat tinggi dan memanjat tembok dengan pantas bersama kain pelekat semata-mata mahu mendapat saf-saf terakhir dengan ruangan yang masih berbaki. Bayangkan memanjat tembok setinggi hampir dua meter dengan kain pelekat di dalam kawasan sebuah masjid besar di dalam daerah Seberang Prai semata-mata kerana tidak mahu mendengar bebelan khatib-khatib yang berkhutbah seolah-olah ianya satu repetisi yang boleh digambarkan seperti sebuah pemain cakera padat yang memainkan cakera padat rosak. Berulang-ulang dibebelkan perkara-perkara remeh. Berulang-ulang dibebelkan perkara yang sudah sedia maklum oleh Muslim. Mana dia khutbah-khutbah yang boleh membuatkan adrenalin setiap pendengarnya dirembes dengan deras lantas sebaik habis solat Jumaat, setiap Muslim keluar dari masjid dengan penuh semangat sebagai hamba-hamba Allah yang taat dan tidak sabar lagi mahu menunjukkan kepada dunia merekalah umat-umat yang terbaik di dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. Mana dia khutbah-khutbah yang boleh menunjukkan kepada majikan-majikan yang memberi pelepasan kepada semua pekerja Muslim, yang mana kualiti wajah, gaya kerja, tindak-tanduk pekerja mereka di dalam persekitaran kerja akan berubah positif sebaik pulang ke tempat kerja sebaik habis dikhutbahkan di dalam khutbah Jumaat?!! Mana dia khutbah-khutbah yang bertindak sebagai pengecas tenaga dan semangat setiap Muslim untuk bangun dan bertekad berjuang demi Allah dalam setiap lapangan yang diceburi mereka. Itulah khutbah-khutbah yang saya cari sejak sekian lama. Jika ada pun berjumpa, hanyalah khutbah-khutbah berbaur politik di sampaikan totok-totok politik yang bersuara deras tetapi kandungan berasal dari akal yang lembab dan sempit.

Solat Jumaat merupakan medan yang terbaik di mana majoriti muslim berkumpul. Yang tak pernah sembahyang pun akan menghadirkan diri pada waktu solat Jumaat. Di situlah ada ustaz, ada doktor, ada jurutera, ada pemimpin hingga ke mat-mat rempit muslim berkumpul. Bukankah ini peluang yang seharusnya diambil supaya semangat mereka-mereka ini dapat dibakar untuk berubah menjadi manusia-manusia muslim yang berguna dan hebat kepada agama, bangsa dan tanah air? Jadi kenapa khutbah-khutbah Jumaat kini tidak memberikan impak selain dari menjadi tempat di mana para jemaah mencuri peluang tidur dan kembali ke rumah dan tempat kerja seperti zombi yang tidak tahu apa yang mereka perbuat sejak hampir satu setengah jam tadi di masjid? Itulah isunya dengan saya.

Dari satu masjid ke satu masjid saya jelajah mengikut keperluan urusan saya pada ketika itu. Kebanyakannya menyaksikan saya berada di saf-saf paling belakang kerana kebosanan. Hati yang semakin parah mahukan sesuatu kualiti yang hebat dari isikandungan khutbah menyebabkan diri terkadang diisi kebodohan tegar atas nama idealisme dan semangat. Sesungguhnya syaitan itu membisikkan hasutannya bukan kepada perkara yang dibenci kita, tetapi pada perkara yang dicintai kita. Syaitan itu telah lama bergelumang dengan perjuangannya mahu menyesatkan manusia. Syaitan-syaitan memahami bahawa sesuatu yang dibenci akan segera ditolak oleh manusia kerana itu sesuatu tindak balas yang refleks normal. Syaitan akan menghadirkan hasutannya kepada kita melalui sasuatu yang amat dicintai kita tetapi di dalam bentuk yang samar tetapi menjurus kepada perkara yang haram.

Sebagai contoh, seorang guru agama yang teramat cinta dan rindukan Allah, sentiasa menjaga dirinya dari terlibat dengan dosa-dosa besar dan perkara-perkara haram dan sentiasa menjaga serta menambah amal ibadat dari masa ke semasa, syaitan tidak akan datang kepadanya dalam bentuk seorang perempuan seksi dan hampir telanjang kerana ia tahu guru agama itu akan segera menolaknya. Ini kerana garis antara yang haram dan halal memang jelas diketahui guru agama tersebut. Modus operandi Iblis dan syaitan biasanya menumpukan kepada sempadan garis antara yang haram dan yang halal. Zon yang dikenali sebagai zon syubhah di mana garis antara yang haram dan halal itu berada di dalam warna kelabu. Bukan hitam dan bukan putih. Biasanya lagi modus operandi syaitan ini akan menyerang pada garis kelabu di dalam perkara yang sangat dicintai mangsa-mangsa yang mahu diserang mereka. Guru yang warak dan hebat seperti di dalam contoh di atas, tidak akan diserang dengan idea perempuan separuh telanjang, arak yang sedia terhidang, rasuah dalam bentuk jelas dan ideologi-ideologi yang jelas berada di dalam kategori haram. Otak dan mata fikirnya telah jelas diprogram untuk menolak perkara-perkara sedemikian rupa dan syaitan tidak akan membuang masa mencuba dengan perkara sebegitu. Yang ditumpukan syaitan ialah pada perkara yang mata fikir guru itu membuka ruang dan peluang untuk dinilaikan. Sebagai contoh, jika seorang pemimpin negara yang dipandang hebat yang mana hidupnya sentiasa merindui Allah dan hatinya sangat mahu diubat dengan pertemuan dengan Allah. Dia juga tahu bahawa Mekah merupakan tempat yang tepat bagi mana-mana insan untuk mengubat kerinduan kepada Tuhannya yang tercinta. Lalu syaitan datang membawakan habuan berupa sumbangan dari kontraktor berkepentingan untuk mebolehkannya melepaskan kerinduan kepada Allah. Pada mata fikirnya dia melakukan sesuatu kebaikan tetapi hakikatnya syaitan telah menunggang cintanya kepada Allah dengan menawarkan kepadanya sesuatu yang menjerumuskannya kepada perbuatan yang boleh dikategorikan rasuah. Nampak suci tapi berdaki dengan kotoran yang akhirnya menggelapkan hati sedikit demi sedikit.

Ya. Syaitan menggoda kita dengan perkara yang kita sukai dan bukan dibenci. Jika seorang penulis cintakan penulisan yang menulis untuk mengajak muslim menjadi umat terbaik, akan digoda syaitan melalui fakta-fakta penulisan yang semakin banyak dijumpainya untuk dimuatkan di dalam penulisan, lantas solatnya mula ditolak dari masa yang patut ke masa yang diundurkan sedikit demi sedikit. Lama kelamaan waktu solatnya ditangguhkan sehingga hampir sampai masuk waktu yang satu lagi. Justeru lebih lama membiarkan diri terbuai dengan ‘kebaikan’ yang dirasakannya baik itu, mulailah dia menginggalkan solat dari satu waktu ke satu waktu yang lain. Dia yang pada awalnya berjihad melalui penulisan, kemudian dihanyutkan syaitan di dalam arus yang dicintainya dengan menjauhi perintah-perintah Allah yang lain. Ini kerana syaitan telah membentuk persepsi di dalam dirinya bahawa apa yang dilakukannya itu lebih penting dan harus dikinikan dan bukan dikirikan. Menganjak waktu solat barang 10 minit pada awalnya, dan kemudian anjakan itu berubah jauh dari masa ke semasa kerana dia dibutakan syaitan dengan pekerjaan yang dirasakannya dakwah.

Begitu juga dengan apa yang berlaku kepada saya satu ketika dulu. Dari seorang remaja yang penuh idealisme dan berkobar-kobar semangat mahu umat Islam berubah menjadi hamba-hamba Allah yang terbaik, syaitan memperdayakan saya di atas perkara yang amat saya suka lakukan ini. Bermula dengan perasaan tidak senang dengan khutbah-khutbah Jumaat yang terlalu mebosankan. Saya mula menjauhkan diri dari mendengar khutbah dan hanya menghadirkan diri bersolat Jumaat. Dari menjauhi khutbah, saya mula meninggalkan solat Jumaat dari masa ke masa, bermula dengan sekali dan kemudian berubah menjadi berkali-kali di dalam perbuatan berselang seli antara pergi dan tidak pergi. Sungguh benar saya diperdayakan dan tidak sedar. Dan sungguh benar apabila ada ketikanya saya merasakan perbuatan saya itu betul kerana pada fikiran saya, saya sedang memperjuangkan sesuatu, tetapi pada hakikatnya tidak. Saya diperdayakan syaitan oleh idealisme yang pada asalnya baik. Oleh kerana terbawa-bawa dengan perasaan kecewa itu, saya diperdayakan.

Sehinggalah pada suatu ketika di dalam bulan Ramadhan, apabila saya mula tersedar dan kembali menjaga solat Jumaat saya. Tetapi prestasi asal tidak dapat saya capaikan. Saya masih menjadi ‘pencuci kolah masjid’ akibat kebosanan dengan bebelan khatib. Syaitan menimbulkan di dalam hati saya bahawa kelewatan saya bersolat Jumaat, harus dikongsi dosanya oleh si khatib yang seringkali melemparkan saya ke alam kebosanan dengan bebelannya setiap minggu. Sehinggalah pada suatu hari kira-kira dua minggu sebelum Aidilfitri, selepas solat subuh, ditimbulkan ilham di hati saya untuk merancang menunaikan solat di sebuah masjid di dalam kawasan Georgetown. Masjid Kapitan Keling, tiba-tiba tak semena-mena nama masjid ini muncul dalam lubuk hati. Mungkin kerana setiap kali saya bersolat di situ sebelum ini, saya dapat merasakan ketenangan di dalam khusyuk solat saya menghadap Allah. Mungkin apa yang saya cari selama ini, mungkin boleh saya ketemukan di sana. Mungkin hari ini merupakan hari Allah membantu saya dengan menemukan saya dengan khutbah yang sangat berkualiti yang boleh membuat jiwa muslim yang mendengarnya merasakan seperti ingin bangun dan melompat mahu berubah. Ya.. pada mata fikir saya, ada semacam suatu paksaan yang mendorong diri saya untuk menunaikan solat Jumaat di sana.

Sebelum jam 10 pagi, saya sudah bersiap. Menunggang motorsikal dan menumpang feri, saya sampai di sana awal. Lalu sempat saya meronda di kedai-kedai buku di kawasan Chowrasta awal sebelum bersolat. Setengah jam sebelum azan dilaungkan, saya sudah berada di saf paling hadapan. Ya, inilah yang mungkin saya tunggu-tunggu atau cari selama ini. Hanya 30 minit memisahkan saya dari sesuatu yang saya perjuangkan dan yang saya cari. Selepas azan Zohor dilaungkan jemaah bangun mendirikan solat sunat. Kemudian kelihatan susuk tubuh seorang khatib yang agak berusia mula menaiki mimbar.

“Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh..”, suara khatib itu terus menerjah masuk ke dalam lubuk hati. Benar-benar terkesan apabila salam tersebut disusuli dengan laungan azan sebelum khatib membaca khutbah Jumaat. Ya, mungkin ini yang saya cari selama ini. Sebaik azan habis dilaungkan, khatib tadi bingkas bangun. Pada wajahnya menunjukkan riak wajah seorang yang tegas dan berpendirian kukuh. Dia kemudian mengemaskan kedudukannya supaya dapat berdiri betul menghadap semua jemaah. Semua mata bertumpu kepadanya. Kemudian dia memulakan khutbah.

Bagai mahu pengsan diri saya mendengar khutbah yang disampaikannya. Tiba-tiba seluruh maya diri saya seakan-akan melumpuh. Terasa seperti saya ditampar oleh Allah dengan keegoan saya selama ini. Khutbah Jumaat terhebat yang saya cari, khutbah di dalam bahasa Tamil yang saya dapat. Dari mahu khusyuk mendengar khutbah, saya menjadi bingung dan tidak faham. Memang sepatah perkataan pun saya tidak faham dengan apa yang disampaikannya pada ketika itu. Saya terasa seperti disindir oleh Allah. Dengan fikiran berkecamuk, saya menoleh ke kanan saya. Kelihatan seorang pemuda Melayu khusyuk mendengar khutbah tersebut. Saya yakin dia tidak faham. Tetapi riak wajahnya menunjukkan dia memberikan tumpuan walaupun tidak faham. Saya melihat jauh dihujung sebelah kanan saf pertama, kelihatan seorang Arab bersama anak lelakinya khusyuk mendengar khutbah tersebut. Saya yakin mereka berdua tidak faham dengan apa yang cuba disampaikan, tetapi mereka tetap khusyuk mendengar. Pada kedudukan belakang sebelah kanan saya, kelihatan seorang lelaki Afrika yang juga khusyuk mendengar khutbah.

Di dalam keadaan bingung itu, saya cuba bermuhasabah dan cuba memahami situasi ini. Perlahan-lahan dibukakan kefahaman saya oleh Allah, bahawa bukanlah isikandungan khutbah yang menjadi kayu ukur peri penting solat Jumaat. Tetapi mentaati perintah Allah dalam mendirikan solat Jumaat dengan rukunnya yang lengkap, itulah yang menjadi ukuran. Benar majoriti dari yang hadir tidak faham dengan isikandungan khutbah di dalam bahasa Tamil tersebut. Mereka menghadiri solat Jumaat bukan kerana substance khutbah, tetapi mereka telah menghadirkan diri mereka semata-mata kerana tunduk kepada perintah Allah. Oh, saya mula menjadi takut. Baru saya faham inilah perbuatan menyekutukan Allah di dalam perkara-perkara yang tidak nampak. Baru saya nampak selama ini saya mahukan sesuatu untuk diri saya barulah saya mahu menurut perintah Allah. Saya telah mempersekutukan kehendak Allah di belakang kehendak saya. Apabila kepentingan diri saya dapat dipuaskan, barulah saya mahu menurut perintah Allah. Saya mula menjadi takut, berpeluh dan gelisah. Rasa seperti bumbung masjid mahu runtuh menimpa saya. Saya mula nampak apa yang selama ini saya tidak nampak. Kepentingan diri saya telah saya letakkan dihadapan kehendak Allah. Dalam keadaan begitu takut saya tidak dapat menahan sebak atas kebodohan dan kesilapan saya.

Saya cuba menahan supaya emosi takut dan sedih saya itu tidak terlepas keluar dan dizahirkan. Tetapi gerak geri saya yang gelisah itu disedari jemaah di kiri dan kanan saf. Saya menekup muka menahan perasaan. Pada fikiran mereka yang di kiri dan kanan, tentu mereka ingatkan saya memahami khutbah bahasa Tamil tersebut, tetapi pada hakikatnya tidak. Cuma saya sedang dilamun mabuk perasaan bersalah. Selesai khutbah, semua jemaah bangun untuk mendirikan solat Jumaat. Solat saya pada hari itu merupakan solat yang paling menakutkan. Saya mula nampak diri saya ini seperti seorang pemberontak di hadapan Allah. Saya mula nampak apa yang saya rasakan begitu Islam pada mata saya sebelum ini, rupa-rupanya fa├žade yang digunakan syaitan untuk melindungi pemberontakan terhadap perintah Allah melalui perbuatan-perbuatan yang dirasakan begitu ‘Islami’. Kepada Allah saya bertaubat dan memohon ampun.

Usai berjemaah, saya antara yang terakhir keluar dari masjid. Langkah saya sangat lemah. Bukan kerana letih berpuasa. Tetapi lemah seperti roh saya hilang maya ditegur Allah dengan kejadian di dalam masjid sebentar tadi. Saya kemudiannya duduk sebentar di bawah pokok di bahagian pintu hadapan masjid. Hati saya mengelamun ke segenap arah. Tiba-tiba, lalu seekor anjing kurap. Saya memerhatikan kelibat anjing tersebut memunggah dari sebuah tong sampah ke satu tong sampah yang lain. Pang! Seperti ditampar untuk kali kedua. Dibukakan Allah lagi pemahaman dan hijab yang menutup fikiran saya selama ini sekali lagi. Bahawa kedudukan anjing kurap itu lebih mulia dari saya yang terlalu ego dengan segala macam idealisme. Saya mula nampak apa yang tidak saya nampak selama ini. Anjing itu tidak memilih kehidupannya seperti itu. Anjing itu diciptakan Allah untuk menjalani kehidupan seperti itu. Ketetapan Allah ke atas anjing itu dipatuhi ia tanpa ia bersungut dan merungut biar pun sifat semulajadi yang Allah tetapkan kepada ia harus ia bergelumang dengan segala macam kekotoran. Saya mula ternampak khinzir, gagak, lipas dan tikus di dalam kepala saya. Oh, mereka semua tidak pernah melanggar ketetapan Allah ke mereka dengan menempatkan mereka pada kedudukan binatang-binatang yang perlu bergelumang dengan kekotoran. Tidak sekali pun mereka meninggalkan tugas-tugas mereka yang Allah perintahkan untuk mencuci bumi dari segala macam kotoran yang ditinggalkan.Tidak sekali pun mereka tinggalkan segala ketetapan Allah ke atas mereka atas alasan tidak cantik, tidak selesa, belum sampai masa dan pelbagai alasan lagi. Yang meletakkan kepentingan dan kehendak diri terlebih dahulu di hadapan dan membelakangkan kehendak Allah hanya saya. Bagai mahu pecah otak digasak dengan semua perkara ini. Baru saya nampak orang-orang yang tidak mematuhi perintah Allah di atas faktor-faktor kehendak diri yang mahu diutamakan itu kedudukannya sangat memalukan dan hina jika dibandingkan dengan binatang-binatang kotor yang setia mematuhi ketetapan Allah ke atas mereka. Baru saya mula faham kenapa di dalam al Qur’an tidak sekali Allah bersumpah di atas nama manusia. Baru saya faham kenapa di dalam al Qur’an Allah bersumpah dengan menyebut Demi Masa, Demi Bulan, Demi Matahari, Demi Pohon Tinn & Zaitun dan demi segala-gala yang bukan manusia. Oh, kesemua objek itu terlalu patuh kepada perintah dan ketetapan Allah dengan tidak sedikit pun membantah. Bayangkan jika bumi, kerana mengutamakan keselesaan dirinya yang mahu sedikit kedinginan menganjakkan orbit jauh sedikit dari matahari, bukankah ia bererti kematian pada skala besar semua hidupan di bumi akibat kesejukan yang melampau.

Saya terasa seperti tidak mampu bergerak kerana sangat takut. Begitu hinanya kedudukan saya dihadapan Allah saya rasakan apabila saya ditegur dengan kelibat anjing yang memunggah tong sampah. Oh, saya merasakan seperti Qabil yang ditegur kebodohannya dengan kelibat seekor gagak yang mengais tanah. Peristiwa itu membuatkan saya terdiam dalam tempoh yang begitu lama. Semenjak itu saya mula melihat sesuatu yang orang lain saksikan sebagai A, saya melihatnya sebagai A,B,C dan D. Sepuluh tahun rasanya sudah berlalu, saya masih berusaha dan banyak gagal dari berjaya. Saya telah memperbaiki solat Jumaat saya, tetapi kualiti khutbah tetap seperti sepuluh tahun dulu masih lagi disampaikan. Cuma bezanya saya pada hari ini, saya menghadirkan diri pada seluruh sessi khutbah itu tanpa mahu terlalu mengambil pusing tentang kualiti penyampaian khutbah. Bagi saya kualiti khutbah Jumaat perlu diperbaiki dan dipertingkatkan, tetapi muslim seharusnya tidak menjadikan itu sebagai alasan untuk meletakkan kepentingan dan kehendak diri dihadapan kehendak Allah. Jika ada perintah-perintah Allah kepada tuan-tuan seperti arahan Allah untuk menutup aurat, taat kepada pemerintah selagi dia bersolat dan segala perintah yang lainnya, ketepikan kehendak diri dan idealisme dangkal yang menangguhkan kita melaksanakan perintahnya selagi kehendak kita tidak dipenuhi. Ketahuilah sahabat sekelian, bahawa itu juga perbuatan menyekutukan Allah tanpa kita sedar. Jangan ulangi kesilapan saya. Jika perintah Allah menyuruh kita menutup aurat, ambil kesempatan di dalam bulan mulia ini untuk memulakannya tanpa tangguh. Kehendak diri seperti mahu perhatian, mahu kelihatan ‘cantik’ dan mahu mendapat tempat kerja yang baik merupakan satu perbuatan mendahului kehendak kita di atas kehendak Allah. Apakah kita mahu kehendak kita dipenuhi dahulu baru hendak mematuhi kehendak Allah? Jika demikian kiranya, siapa kita letakkan pada kedudukan Tuhan? Kita atau pun Allah? Sahabat sekelian, ingatan ini adalah untuk diri saya kerana sebaik insaf, saya akan cepat lalai. Jika sahabat ingin mengambil pengajaran, itu kerana Allah memilih para sahabat sekelian untuk berbuat demikian dan bukan kerana penulisan ini. Selamat menjalani ibadah di bulan puasa, semoga kita semua dapat pulang kepada Allah dengan Dia redha sepenuhnya kepada kita. Wallahua’lam..

* M.I.A. : Basuh fikiran saya gunakan untuk menterjemahkan perkataan brainwash di dalam Bahasa Inggeris. Terjemahan ‘cuci otak’ yang dimuatkan di dalam Kamus Dewan, saya rasakan seperti tidak menepati maksud perkataan tersebut. Saya mungkin tersilap. Tetapi saya rasakan perkataan kata kerja ‘basuh fikiran’ lebih tepat dan menpayti kehendak saya.

16 comments:

sudah kembali dengan tulisan yang panjang berjela jela.. saya mau copy .. dan baca di rumah sementera tunggu waktu berbuka.. terima kasih bro
 
haha.. break saya rosak Adi.. no problem.. boleh copy & baca..
 
Salam Sahabat,

Waaa nih betul betul balas dendam nih!
 
Wa'alaikum salam J-Hadi Protos..
haha.. qadha 5 bulan punya A.W.O.L.
 
Salam...menarik pulak ada mat rempit sejadah. Kakros tak pernah ada idea budak nakal macam tu...he he he. suami akak guru disiplin skolah menengah dan di skolahnya ada 2 orang guru yg bertauliah merotan, suami akak salah seorang. Budak2 skolahnya mmg nenakal sangat...tapi klau ada yg kena hukum rotan smua mahu suami akak yg rotan (sebab tak sakit) tapi jarang suami akak rotan biasanya dia tukar hukuman lain...tunggu lepas habis skolah solat maghrib berjemaah dan kemudian suami akak hantar pulang.
Yang lucu pula ada yg pakai sluar ketat, suami akak tak rotan tapi kena pakai kain pelekat sampai habis sessi skolah tapi terus pakai balik ke rumah.
Pelik memang pelik...kereta suami akak tak pernah kena calar, tapi kereta guru perempuan...calar-calar!
Bab menyengutukan Allah atau syirik kepada Allah memang ramai yg tak sedar tapi terus-terus melakukannya. Tentu ayat ni semua org dah biasa dengar...berkata seorg ibu : "jangan pergi dulu, tunggu makan bubur kacang ni nanti karang kempunan..." nak jadi crita sipolan yg tak makan bubur tu accident jatuh basikal,patah kaki.Menagislah siibu sambil berkat "tulah tadi mak dah kata..makan bubur dulu nanti kempunan...skarang dah jadi".
'Kempunan' inilah yang mensyirikkan kita kpd Allah SWT. Syirik ini dipanggil Syirik Khafi.
kakros bagi 5 bintang pd cacatan ini, pengalaman yg mendidik jiwa..moga pembaca mendapat hidayah jua dgn penulisan Muhammad ni. Yg baik dari Allah yg lemah adalah diri sendiri. wallahu'alam.
 
Wa'alaikumsalam Kak Ros.. saya sendiri tak ingat berapa kali dah kena rotan kat sekolah tu atas macam2 alasan. Rotan bukannya kuat pun.. ala-ala manja gitu, tapi kami semua rapat.. salah seorang sahabat saya yg selalu curi rambutan rumah pengetua dulu, sekarang ni dah jadi cikgu sains dan ketua warden sekolah.. bebudak sekolah rapat dengan dia sebab dia faham psikologi budak2 nakal sebab dia pun nakal dulu.. bab rempit sejadah tu, biasalah budak2 remaja.. haha.. macam air, di mana mana ada ruang disitu kreativiti diorang keluar.. guru sepatutnya jadi sahabat yang selesa bagi budak2 tu bergaul dan bercerita. Bila timbul hormat, diorang akan malu untuk lakukan benda2 tak elok.. rasanya suami Kak Ros pun dalam kategori yang diorang respek, sbb tu kereta tak calar.. hahha. susah betul jadi guru kan? ..
bab syirik memang kena belajar dan faham.. banyak perkara sebenarnya dalam kategori syirik tapi kita tak faham. Salah satunya contoh yang Kak Ros bagi. Benda2 macam tu yang kita tak sedar dan benda mcm2 tu yang buat iman kita tercabut sikit demi sedikit tanpa sedar. Sebenarnya banyak cerita lagi, kalau sempat boleh la dimuatkan lagi.. Semoga Allah memberi kekuatan, perlindungan dan rahmat ke atas Kak Ros & family buat selama-lamanya.Amin.
 
cerita ini berlaku pada 10 tahun lepas..hehehe..nampaknye kita mungkin sebaya
 
Penulis... secara hitungan Gregorian mungkin lebih kurang sebaya, tetapi secara hitungan biologi yang lebih Islami belum tentu kita sama Tuan Penulis.. ;)
 
salam,


Saya menanti coretan dari saudara,akhirnya dapat juga 3/4 renungan keinsafan untuk saya.
 
Salam. Baru menjadi pengikut blog saudara sejak saya miliki novel syahadah gadis ateis, terlalu banyak maklumat yg baik di sini. sama seperti saudara adi, saya pun mahu copy dan baca di rumah, lebih selesa dalam menghayatinya. :)
 
Wa'alaikumsalam Man Kuchai,
Itu cerita kesilapan saya.. kadang2 kita terlalu mencari sesuatu yang ideal sedangkan hakikatnya jalan menuju Allah tu rupa-rupanya jalan yang paling mudah sekali.. harap tak ada yang mengulangi kesilapan dan kebodohan saya.. TQ Man.. Selamat Berpuasa dan beribadah dengan gigih mengikut kemampuan.
 
Wa'alaikumsalam Azi81, selamat datang.. TQ kerana menyokong SGA dan blog ini. Adi tu dah follow blog ni sejak awal blog ni wujud, dia pun ada blog sendiri yg selalu jugak saya masuk kalau sempat.. nama blog dia ada saya letakkan dlm sleeve belakang SGA sebagai ucapan terima kasih sebab byk menyokong saya dari awal..
Memang rasanya copy dan baca di rumah lebih selesa.. Boleh saja.. harap bagi manfaat pada Azi dan harap tak ulangi kebodohan saya dlm mencari sesuatu yang ideal akhirnya tertipu dengan syaitan.. cuma sekadar berkongsi pengalaman.. SElamat berpuasa dan beribadah di bulan yang mulia ini..
 
Nampaknya agak benar seperti yang diceritakan, saya perhatikan bahawa terdapat ulama yang mendahulukan 'kumpulan' dari ummah. Bila ada ulama yang menyeru pada perpaduaan ummah, ada ulama yang menentangnya atas sebab 'kumpulan'. Nampaknya MIA perlu huraikan lebih lanjut untuk bacaan ummah.
 
Assalamu'alaikum Shamsadis.. apa yang sham perhatikan itu betul. Ia berkaitan masalah ketaksuban membuta tuli dan meletakkan akal masing2 dibelakang nafsu marah dan nafsu merasakan diri sendiri lebih baik dari orang lain. Kita harus berdoa meminta Allah membuka hati kesemua kita bersatu, kerana penyatuan kita akan meletakkan ummat Islam di Malaysia ini berada di dalam kedudukan hebat di dunia dan akhirat. InsyaAllah.
 
Dengan membaca artikel ini, bermakna semua posting telah dibaca oleh saya kerana memang sengaja meninggalkan posting ini untuk dibaca last sekali. tak tahu lah kenapa.Dari tahun lepas dok tengok tajuk ni tapi x de rasa nak baca. Rupanya kelakar jugak ha ha. Selalulah menulis lebih2 lagi tentang isu semasa.(hmph..actually, kalau nak menulis kena betul2 ada mood kan?) Sebab saya ni rajin membaca :) he he.. tambah2 blog nih.:)
 
Betul Juwita.. menulis memerlukan mood serta kelapangan. Hanya bila Allah mengizinkan baru segala yang dirancangkan itu akan diterjemahkan melalui penulisan sebegini. TQ atas sokongan sahabat spt Juwita. Kebetulan, penulisan terakhir yang dibaca Juwita ini, diterbitkan di dalam Berita Harian bila salah seorang kolumnis akhbar tersebut menghubungi saya pada tahun lepas untuk mengisi cerita hari raya. Terima kasih juga kepada kolumnis tersebut, CikPuan Rasyiqah. Boleh di baca di sini : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/RamadanDinantiSyawalDirai_Rempitsejadahabadidalamingatan/Article
 

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email