Thursday, March 11, 2010

Sudah Terbit di dalam U.P.

2
Oleh : M.I.A.

Bismillahir Rahmanir Raheem.. Pada 24 Disember 2009, saya bersama isteri dan anak keluar makan tengahari pada jam 5 petang. Satu kebiasaan bagi saya untuk makan sedikit lewat setiap kali cuti dan bila ada program luar yang telah saya rancangkan bersama keluarga. Setelah semua urusan berkenaan rumah disiapkan barulah saya tenang untuk menjamah makanan. Anak saya pula, sudah dipastikan dia makan ikut masa yang sesuai dengannya.

Petang 24 Disember 2009 itu, saya memilih Restoran Nasi Kandar Nasmir di Bandar Perda untuk menjamu selera. Sehabis menikmati nikmat rezeki pemberian Allah ini, saya terpandang kepada sticker yang dilekatkan ke dinding restoran. "Wi-fi Zone"..

Lalu saya meminjam telefon bimbit isteri saya untuk memeriksa email ke akaun saya. Telefon bimbit saya pada ketika itu sudah nyawa-nyawa ikan. Pekak, buta dan bisu terkena air laut sewaktu memancing dengan bapa saya. Ombak yang kuat membasah kuyupkan saya yang cuba menjadi hero dengan memancing dari atas batu jauh dari orang lain. Ingat mahu melayan blues di tengah malam, tapi habis basah dipukul ombak.

Satu persatu email yang diperiksa.. saya flagkan mana yang perlu dijawab segera dan mana yang memerlukan masa untuk dijawab. Biasa untuk email yang memerlukan masa untuk dijawab, saya akan jelaskan dahulu kepada pengirim yang saya memerlukan masa untuk menjawabnya. Terkadang sehingga dua tiga bulan tempoh masa yang saya ambil. Itu kelemahan saya dan saya akuinya. Dalam limpahan email di kotak masuk saya, saya terpandang sebuah nama yang agak saya kenal.
'Salam Perkenalan' tajuk email tersebut. Pengirimnya Azizi Abdullah. Kebetulan sebulan dua sebelum ini, saya baru sahaja habis membaca 'Jiwa Hamba' karya penulis besar dan tersohor Azizi Abdullah (M.I.A. - Sangeeta, Ayahanda, Daerah Beta dan terbaru Beruk antara hasil karya Ustaz Azizi Abdullah) . Nama dalam email tersebut seakan sama dengan nama penulis buku itu.


Telahan saya betul apabila membuka email tersebut.. memang dari Azizi Abdullah.. Atas kapasitinya sebagai Ketua Editor surat khabar Utusan Pengguna, dia menghubungi saya. Katanya setelah merayau-rayau di alam cyber, dia terjumpa blog ini dan tertarik hati dengan blog ini terutamanya kepada beberapa artikel yang katanya sesuai untuk terbitan Mac Utusan Pengguna.

Asalnya 4 artikel dari blog ini dicadangkan Ustaz Azizi mahu dimuatkannya ke dalam UP. Setelah berbalas email beberapa kali, akhirnya dua artikel yang pernah dimuatkan dalam blog ini, diberi nafas baru dan disiarkan dalam Utusan Pengguna.

Alhamdulillah.. setelah 3 bulan, pagi tadi saya menerima salinan UP dari CAP dan dua artikel yang pernah dimuatkan di blog ini diterbitkan dalam terbitan MAC Utusan Pengguna. Bersyukur saya kerana apa yang pernah singgah di blog ini atas sifat non commercial dan perjuangan, dibawa pula kepada sebuah medium non commercial dan bermotif perjuangan oleh Ustaz Azizi, tokoh yang disegani di bidang sastera dan perjuangan hak pengguna. Untuk itu saya bersyukur dan segala puji itu hanya bagi Allah Tuhan sekelian alam. Terima kasih juga kepada Ustaz Azizi dan semua sahabat yang menyokong blog ini.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan Utusan Pengguna keluaran Mac-April 2010, bolehlah mendapatkannya di kedai-kedai buku berhampiran. Selain artikel tulisan saya yang telah diberi nafas baru di muka 17 dan 21 di bawah tajuk 'Filem kita wajah kitakah?' dan 'Berdagang Punggung di awan merah.'.. ada beberapa cerita menarik di dalam keluaran Mac. Cerita mengenai seorang nelayan buta di Kampung Pulau Sayak, yang kelaut tanpa teman dan tidak pernah sesat di dalam UP keluaran Mac ini benar-benar menarik perhatian saya. Ia dimuatkan di dalam mukasurat 5. Tanpa bantuan sesiapa, dia kelaut hanya menggunakan firasat demi mencari nafkah untuk isteri dan anak-anak. Hebat kuasa Allah memberikan kelebihan kepada hamba-hambaNya dengan cara yang tak pernah kita terfikir. Malah dilaporkan di dalam akhbar tersebut, bahawa Pak Hashim, nelayan buta tersebut, tidak pernah sesat dan tidak pernah sekali pun silap mendarat di jeti orang lain. Begitu juga dengan cerita mengenai khidmat pelanggan sebuah jenama kenderaan antarabangsa yang kurang prihatin terhadap pengguna jenamanya.. kepada yang berminat, jangan lupa dapatkan..

Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

2 comments:

irdina said...

Assalamulaikum,

Alhamdullilah dan tahniah. itulah namanya perjuangan yang ikhlas. orang pasti akan dapat menilainya. teringat suatu ketika dulu saya sampai bengkak2 mata menangis membaca novel Ayahanda karya Azizi Hj Abdullah.sangat terkesan di hati.

satuhala said...

Wa'laikumsalam Irdina, Terima.. Segala puji-pujian itu bagi Allah.. Allah memberikan kehebatan kepada Azizi Abdullah dalam penulisannya.. Kalau Irdina sukakan Ayahanda, mungkin boleh cuba baca novel 'Beruk' yang sudah dicetak dengan publisher baru.. check www.aziziabdullah.blogspot.com untuk maklumat penjualan.. Semoga Allah memberikan Irdina dan keluarga kekuatan, rahmat dan perlindungan ada setiap saat dan masa... Amin..

Satu lagi.. Syahadah Gadis Ateis dah keluar.. jangan lupa untuk dapatkannya..