Sunday, February 1, 2009

Terkesima dalam pesona...

2
Oleh Muhammad Ibn 'Az

Bismillahir Rahmaanir Raheem... Mengenai cerita lebai rempit semalam, kedai kek yang biasa saya singgah itu merupakan kedai kek milik Islam. Saya ke sana semata-mata untuk membelinya untuk hari lahir ibu saya keesokan harinya. Biar mahal sedikit jika dibandingkan dengan mana-mana kedai bukan Islam, asalkan duit yang dibayarkan nanti tidak akan mengalir masuk ke mana-mana rumah berhala, pertubuhan-pertubuhan anti Islam dan sebagainya. Ianya juga sebagai tanda terima kasih dan sokongan kepada tuan punya kedai kerana menyelamatkan saya dari tanggungjawab fardu kifayah dengan membuka kedai kek orang Islam. Tak perlu lagi saya pergi ke mana-mana kedai kek bukan Islam. Saya menulis tentang perkara ini bukanlah untuk berceramah, tetapi beberapa perkara yang timbul akhir-akhir ini yang saya rasakan amat tidak betul sedang dilakukan beberapa pihak.

Fardu kifayah itu bukan hanya sekadar dalam isu memandikan mayat dan sebagainya. Fardu kifayah itu juga termasuk dari menjadi pengilang mee segera hinggalah kepada pembuatan kapal angkasa. Begitu juga dengan Proton, berikan masa kepada mereka untuk mengukuhkan syarikat dan memperbaiki produk, jangan dihentam dengan teruk kerana dengan adanya mereka, tanpa kita sedar tanggungjawab fardu kifayah atas semua Muslim di negara ini diselamatkan dengan wujudnya syarikat tersebut. Saya tidak mempunyai apa-apa syer dengan proton tetapi syer tanggungjawab kita semua ada bersamanya. Jatuhnya industri tersebut akan meletakkan kita jauh lagi ke belakang untuk mengejar teknologi pembuatan enjin yang lebih hebat. Sedikit demi sedikit kita belajar menghasilkan enjin dengan tujahan yang lebih kuat agar satu hari nanti dapat kita hantar kad ucapan selamat tinggaluntuk Ehud Barak & Olmert yang dilekatkan pada peluru berpandu dengan warhead berisi dendam tangisan saudara-saudara Islam kita yang dianiaya mereka selama ini.

Bagaimana mungkin kita dapat membina kapal-kapal terbang perang dan jet-jet pejuang untuk menyelamatkan negara kita dan negara-negara Islam saudara kita jika usaha kita belajar bertatih dengan industri kereta tempatan dan belajar membuat enjin sendiri, diperlekehkan bangsa sendiri. Lebih malang lagi, mereka-mereka yang memperlekehkannya itu terdiri dari Muslim yang begitu mudah dicucuk hidung untuk menurut kata sehingga ke tahap boleh 'menjatuhkan' industri itu sendiri. Saya tidak hairan jika yang beria-ia 'menjatuhkan' Proton ini merupakan pihak yang bergabung dengan satu persatuan Sosialist antarabangsa yang turut dianggotai oleh Labor Party Israel yang mana Presiden Israel dan Menteri Pertahanannya Ehud Barak yang baru menyembelih saudara-saudara kita di Palestin, merupakan antara ahli yang terlibat.

Saya tidak hairan jika ‘pihak ini’ yang menganggotai persatuan sosialis antarabangsa yang bersekutu dengan World Labor Zionist Movement dan juga Labor Party Israel yang dianggotai Ehud Barak, si penyembelih Gaza, di dalam pertubuhan tersebut beria-ia hendak 'menjatuhkan' industri kereta dari negara kita. Penjelasan harus mereka berikan tentang penglibatan mereka di bawah pertubuhan yang bersekutu dengan pertubuhan Zionist ini. Jika mereka tidak mahu menjelaskan, rakan karib mereka harus menjelaskan apa fungsi mereka di dalam pertubuhan yang bersekutu dengan parti politik negara Zionist dan pertubuhan Zionist ini kerana ada di antara pemimpin-pemimpin pertubuhan sahabat kepada ‘pihak ini’ sering diagung-agungkan sebagai menyamai kebaikan salah seoarang khalifah Islam selepas zaman para sahabat.

Saya menonton sebuah filem lama lakonan Imuda semasa sedang bersantai dirumah. Ebby Yus dan Os baru-baru ini yang disiarkan di televisyen. Filem 80 an mengenai pemuda dari kampung yang berhijrah ke bandar dan terkena kejutan budaya. Bukan cerita itu yang menarik minat saya, tetapi sebuah babak di tepi jalan dan kawasan letak kereta di dalam filem itu yang menarik perhatian saya. Apa yang menarik ialah pada ketika itu, semua kereta yang sedang bergerak di atas jalan dan yang diletakkan di kawasan parking, semuanya kereta import yang diperbuat di Jepun dan Eropah. Sibuk berkereta pada ketika itu tanpa menyedari beban fardu kifayah sedang kita tanggung kerana kita tidak memiliki industri bagi membina kereta. Berbillion ringgit mengalir keluar mengayakan negara bukan Islam. Kesudahannya pada ketika itu, Muslim kekal sebagai masyarakat pengguna.

Biar apa pun kata orang kepada Dr. Mahathir, saya hormatinya kerana telah mengangkat banyak beban fardu kifayah atas bahu kita sebagai Muslim dan negara-negara Islam yang lain dengan kerja-kerja dan keputusan-keputusan berani yang dibuatnya. Tiada manusia yang sempurna dan maksum. Hanya tinggal seorang sahaja lagi manusia maksum yang akan muncul di bumi, itu pun bagi tujuan memperbetulkan akidah ahli kitab dan membunuh Dajjal. Dia adalah Isa al Masih. Selain dari dia, tiada lagi wujud manusia maksum semenjak kewafatan Rasulullah s.a.w. Manusia tiada yang sempurna, tetapi bila dia menyempurnakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya dan sekaligus membantu jutaan Muslim lain terlepas dari beban tanggungjawab fardu kifayah, maka sedikit sebanyak kita harus berterima kasih kepadanya.

Permatang Pauh tempat di mana saya tinggal bukanlah sebuah tempat yang menarik, tetapi menariknya di sini ialah ia medan bagi mana-mana pihak yang berminat dengan anthropology sosial dan politik, di sinilah medan retorik terbesar. Setiap kali diadakan pilihanraya di sini, saya akan seboleh mungkin mengambil semua gambar kain rentang yang dipasang sebagai satu kajian dan panduan bagi saya untuk menilaikan ‘cakap siapa berbunyi retorik, dan cakap siapa benar-benar diamalkan’. Alhamdulillah, banyak yang telah saya kumpul dan perhatikan dan apa yang saya jangkakan berlaku memang benar ia berlaku. Contoh terbaik ialah kain rentang yang saya ambil gambarnya pada hari-hari menjelang pilihanraya kecil P.44 tahun lalu seperti di bawah.

Lihat saja dan nilaikan antara retorik kemaruk kuasa dan perbuatan yang dilakukan selepas berkuasa. Yang benar katakan benar, yang salah katakan salah. Itu saja.. mudah bukan. Di dalam banner di atas, mereka mendabik dada mengatakan mereka pembela kereta nasional, tetapi selepas berkuasa lain pula ceritanya. Teringat saya dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan terkandung di dalam Muwatta Imam Malik. Hadis tersebut seperti berikut:

Dari Abu Hurairah r.a., beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila kamu mendengar seseorang berkata : “Kaum itu telah rosak”, maka dia (yang berkata itu) adalah yang paling rosak dari kalangan semua," 1

Ketaksuban membawa kepada hilang pertimbangan, kerana itu saya lebih suka dengan pendirian non partisan. Rasulullah pernah berkata, “Biarpun Fatimah yang melakukan kesalahan, aku tetap akan memotong tangannya”. Biar siapa pun pelakunya, kita tidak memandang kepada siapa pelakunya, tetapi kita melihat kepada kelakuannya. Segala masalah dalam dunia Islam pada hari ini ialah berpunca dari kegilaan terhadap kuasa. Kegilaan terhadap kuasa itu termasuk di bawah simptom-simpton penyakit wahan. Penyakit wahan pula ialah penyakit akhir zaman dimana sesiapa sahaja boleh dijangkitinya. Cinta kepada dunia ialah vektor pembawa virus tersebut. Tiada siapa terkecuali. Dari yang mahu bertelanjang melakukan protes hingga ke yang bersungguh-sungguh mahu ‘berjihad’ tanpa ‘bekalan’. Mereka berebutkan kuasa padahal mereka tahu mereka tidak mampu untuk melaksanakan peranan. Perhatikan kini keputusan-keputusan yang di buat oleh kerajaan yang dipimpin mereka.

Apakah mereka menunaikan janji serta bercakap serupa bikin sebagaimana kain rentang yang terpampang kemas yang gambarnya saya tangkap di atas? Kita mempunyai panduan yang jelas dan tidak menyesatkan kita. Kita dianugerahkan Allah dengan al Qur’an dan Hadis Rasulullah s.a.w. untuk kita jadikan panduan sebagai penunjuk jalan. Agama Islam ini merupakan agama yang memuliakan akal manusia. Setiap yang mahu menggunakan akal dengan bijak, kesudahannya akan membawa taufik dan hidayah Allah kepadanya untuk dirinya memeluk Islam. Islam bukan kristian di mana segala yang dicakapkan oleh paderi-paderi dan pendeta-pendeta mereka tidak boleh dipertikaikan dan dibahaskan. Islam memuliakan daya akal manusia untuk mencari jawapan kerana Islam itu agama yang mempunyai jawapan kepada setiap persoalan yang membantu manusia memahami dunia sekelilingnya. Islam itu bukan satu agama yang memberi autoriti mutlak kepada ulama’ untuk menekan kepada mereka-mereka mempersoalkan kredibiliti maklumat dan jawapan yang diberikan. Menekan umat dengan autoriti mutlak ditangan ulama’ berkepentingan sendiri akan mencampakkan Islam menjadi seperti agama-agama yang telah dirosakkan oleh ahli-ahli kitab.

Suka saya memetik kata-kata Nik Abdul Aziz Nik Mat (kini Tuan Guru) di dalam bukunya ‘Kenapa Saya Tidak Kristian?” tentang punca bangkitnya penentangan kepada golongan gereja sebelum reformasi agama dimulakan Martin Luther yang memulakan mazhab Protestant di kurun ke 15 masihi dahulu. Ianya seperti berikut:

Menurut Tuan Guru di dalam bukunya, kegagalan institusi gereja adalah berpunca dari dua sebab berikut :

1) Penekanan akal – dengan erti pendapat ini mestilah diterima sekalipun akal kamu tidak bisa memahaminya. Kerana dia adalah luar dari dugaan akal dan pengertian akal. Jadi kena telan sahajalah.

2) Penekanan kajian – dengan erti kata tidak ada hak langsung bagi manusia mempelajari sendiri secara langsung dari sumber-sumber asal akan kata-kata Allah dan sabda Rasul di dalam kitab-kitab suci. Apa yang boleh ialah nanti dengar kata guru sahaja. Jangan dibantah pantang dilarang. 2

Apa yang berlaku dalam medan politik negara kita hari ini dan contoh yang saya bawakan di atas segera mengingatkan saya kepada Novel bertajuk Animal Farm dari George Orwell. Ditulis oleh George Orwell sebagai sindiran politik kepada apa yang berlaku dan dilihatnya berlaku disekelilingnya.

Ia satu sindiran politik yang relevan juga dengan situasi sekarang dan di mana sahaja. Bagi yang memahami apa yang tersirat di sebalik buku ini, ia akan segera mengingatkan mereka tentang sesuatu yang dekat dengan apa yang berlaku pada kita semua. Ia mengisahkan tentang satu gerakan menjatuhkan manusia, Mr. Jones, pemilik ladang ternakan yang dinamakannya sebagai Ladang Manor. Gerakan yang diketuai oleh seekor pemberontak yang bernama Old Major yang mendapat mimpi pada suatu hari. Lalu dikumpulkan kekuatan tersebut dengan menggabungkan semua jenis haiwan yang ada di sana untuk menggulingkan pemerintahan dan autoriti kuasa pemilik ladang. Lalu siapa saja yang bukan kumpulan manusia pemilik ladang dikirakan mereka sebagai sekutu rapat.

Pada ketika dia sibuk berkhutbah, terlihat pada penyokongnya beberapa ekor tikus yang menyelinap masuk mendengar khutbahnya tersebut. Lalu beberapa ekor binatang yang turut serta dalam perhimpunan khutbah terbabit bertanyakan kepada Old Major, “Apakah tikus itu kawan atau lawan kita?”. Demi untuk menghancurkan penguasaan Tuan punya ladang, Old Major terus membuat satu sessi undian untuk menentu kedudukan binatang-binatang liar seperti tikur dan arnab dikalangan mereka. Semua sekali secara sebulat suara di dalam semangat yang ditiupkan Old Major menyatakan bahawa kumpulan tikus tersebut merupakan kawan kepada mereka yang akan sama-sama berjuang. Selepas habis berkhutbah, Old Major menceritakan tentang mimpinya yang kembali mengingatkannya dengan lagu yang biasa dinyanyikan binatang-binatang yang lebih tua dari mereka sebelum ini. Lalu berkumandanglah lagu semangat perjuangan yang dilaungkan berulang-ulang oleh mereka yang penuh semangat. Lagu yang bertajuk ‘Beasts of England’ yang menyeru penyatuan rakyat binatang diladang tersebut menjadi siulan setiap hari setiap warga ternak diladang tersebut biarpun majoriti daripada mereka tidak memahami sekadar suka mengikut-ngikut sahaja. Tiga hari selepas perhimpunan tersebut, Old Major mati. Tapi legasi perjuangannya tetap berjalan dan diambil alih oleh mereka dari keturunan binatang yang sama dengan Old Major. Ia kini diambil alih oleh Napoleon dan Snowball. Snowball dari keturunan binatang yang sama dengan Old Major, merupakan seekor binatang yang hebat berkata-kata tetapi kurang penampilan karektor berbanding Napolean berketurunan sepupu kepadanya. Terdapat seekor lagi dari kalangan mereka yang menjadi nadi perjuangan pembebasan binatang ternak ladang tersebut. Dia bertubuh kecil tapi terlalu bijak dalam urusan taktikal. Dia dipandang sangat bijak dan telah banyak kali berjaya melepaskan diri apabila dipersoalkan kredibiliti perjuangan dan kata-katanya dengan kehebatannya bermain wayang dan memujuk rayu sehingga melembutkan hati mana-mana pihak yang mempertikaikannya. Dikatakan dia dapat menukar yang hitam menjadi putih dengan kata-kata manisnya.

Setelah beberapa lama, pada suatu hari, Mr. Jones terlupa memberi makan kepada binatang ternaknya lalu disebabkan tidak lagi mampu bersabar, keseluruhan rakyat binatang ternak tersebut memberontak dengan moto gerakan ‘Semua yang berkaki dua itu musuh, semua yang berkaki empat itu kawan’. Jadi apa saja berkenaan dengan manusia itu semua sesuatu yang membawa keburukan dan jahat. Di dalam pemberontakan pada hari yang dinamakan ‘Battle of the Cowshed’ itu, penguasaan manusia terutamanya Mr. Jones berjaya digulingkan. Lantas sebaik sahaja pemerintahan tuan punya ladang itu digulingkan, maka keluarga dari keturunan Old Major terbabit mengambil alih kuasa di ladang terbabit. Yang menyakitkan hati penyokong gerakan yang diterajui keluarga binatang tersebut ialah, sebaik sahaja mereka berkuasa, mereka mula bersikap dan melakukan perkara-perkara yang sebelum ini biasa dilakukan oleh manusia-manusia pemilik ladang sebelum ini. Perkara-perkara yang dulu dikeji Snowball yang digariskan di dalam Seven Commandments (Tujuh Rukun) seperti di bawah mula dilakukan mereka dan keturunan mereka.

  1. Apa sahaja yang berjalan di atas dua kaki adalah musuh.
  2. Apa sahaja yang berjalan di atas empat kaki, atau mempunyai sayap, adalah sahabat.
  3. Tiada binatang dibenarkan memakai pakaian.
  4. Tiada binatang dibenarkan tidur di atas katil.
  5. Tiada binatang dibenarkan meminum alkohol.
  6. Tiada binatang dibenarkan membunuh binatang lain.
  7. Semua binatang adalah sama.

Maka mula berkumandanglah diseluruh ladang ternak tersebut suara-suara melaungkan hak-hak asasi binatang dan persamaan hak samarata terhadap semua binatang. Tetapi semua itu tidak lama, apabila yang pandai dikalangan binatang ini mula mengambil kesempatan. Bila semua ini terjadi, mulalah berlaku perebutan kuasa di ladang tersebut. Napoleon yang kurang bijak dibandingkan dengan Snowball, merampas kuasa dengan kekerasan melalui juak-juak yang dibelanya bagi tujuan ini semenjak dulu. Berjaya merampas kuasa, semua rancangan Snowball yang sebelum ini dikritiknya, kini dia beria-ia pula mahu melaksanakannya dengan membuat fitnah bahawa idea-idea Snowball yang diutarakan oleh Snowball sebelum ini, dicuri dari program-program idea miliknya. Lalu dia menggunakan Squealer yang terkenal dengan ucapannya dan kebolehan dia menakluk hati binatang-binatang lain dengan kata-katanya. Squealer yang bergerak dari satu tempat ke satu tempat memberi penjelasan kepada semua binatang yang mula tidak berpuas hati dengan Napoleon, berjaya meyakinkan semua binatang yang mula bertelagah di dalam pakatan binatang-binatang yang menjatuhkan Mr.Jones bahawa Napoleon akan memastikan semua binatang-binatang di dalam ladang tersebut akan diberikan hak samarata dan dipandang mempunyai hak yang sama antara satu sama lain. Tiada binatang yang lebih dari binatang lain dari segi hak, semuanya samarata.Tetapi, itu semua cuma kata-kata retorik belaka apabila segala kekayaan dan kejayaan hasil usahasama semua binatang-binatang diladang tersebut hanya dinikmati oleh keluarga yang sama spesisnya dengan Napoleon.

Jika dulu semua yang dilakukan oleh manusia dipandang jijik dan jahat oleh mereka, kini mereka mula berkelakuan serupa denga manusia yang mereka mahu jatuhkan dulu. Mereka juga mula menyantap makanan di atas meja dengan menggunakan garpu dan sudu sepertimana manusia tidak berguna yang mereka hinakan dahulu. Mereka kini sama dan malah adakalanya lebih teruk daripada apa yang pernah dilakukan oleh manusia-manusia yang dibenci mereka sebelum ini. Sangat menarik novel tersebut walaupun ceritanya tidak masuk akal bagi yang membaca pada yang tersurat. Hebatnya ia kerana sindiran berbau politik yang tebal di dalamnya sangat relevan pada bila-bila masa dan ketika termasuk dengan apa yang berlaku di dalam Tsunami politik yang melanda Malaysia. Untuk tahu cerita selanjutnya, bacalah buku tersebut. Anda pasti tersenyum sendiri. 3

Berbalik kepada apa yang berlaku di sini, siapa sahaja yang dilantik sebagai pemimpin, seharusnya dia memikirkan tanggungjawabnya ke atas mereka-mereka yang melantiknya melalui undian yang akan dipersoalkan diakhirat nanti. Mereka janganlah terlalu memikirkan tembolok sendiri jika ingin memimpin. Suka saya memetik dua kata-kata di bawah ini, satu saya ambil dari Gospel of Barnabas yang dikatakan lebih hampir kepada ajaran Injil yang disebutkan oleh al Qur’an. Isa a.s. sepertimana yang diberitakan oleh Barnabas di dalam Gospelnya berkata kepada Barnabas apabila disoalkan tentang nasihat bagaimana untuk mengatasi godaan dunia tanpa menganiayai diri sendiri.

“Keep thy flesh like a horse, and thou shall live securely. For unto horse food is given by measure, and labour without measure, and the bridle is put on him that he may walk at thy will, he is tied up that he may not annoy anyone, he is kept in poor place, and beaten when he is not obedient: so do thou, then Oh Barnabas, and thou shalt live always with God," 4

(Jaga diri kamu sepertimana seekor kuda, dan kamu akan hidup dengan selamat. Kerana kuda diberikan makan dengan ukuran, tetapi diberikan kerja tanpa ukuran, dan tali kekang diikatkan kepadanya supaya ia bergerak menurut kemahuan kamu, ia juga diikat supaya ia tidak menyebabkan kacauganggu, ia ditempatkan ditempat yang ala kadar, dan terkadan dipukul bila tidak mendengar kata : Jadilah kamu sepertinya, Wahai Barnabas, dan kamu akan sentiasa hidup bersama dengan Tuhan.")

Pedih, tepat dan mendalam maksudnya. Fikirkanlah untuk kemajuan ummah bukan untuk membalas dendam dan menyumbat tembolok sendiri. Kemunduran seluruh umat Islam sedunia adalah berpunca dari sikap orang Islam itu sendiri. Ia juga berpunca dari tawakkal tidak bertempat dan sikap malas yang secara sengaja ditanamkan ke dalam diri umat Islam semenjak zaman kolonial lagi. Anda fikir itu kebetulan? Tidak.. ianya bukan satu kebetulan. Baca nanti sambungan artikel Palestin : Sebuah Post Mortem pada setiap bahagian yang saya muatkan nanti. Di akhir pembacaan nanti, harapan saya bahawa semua akan sedar bahawa telah lama sebenarnya kita dipaksakan berada di dalam maya alam yang tidak bermaya dan penuh penipuan. Dalam bahasa mudah, ianya seperti filem Matrix yang mana hakikat sebenar kepada apa yang berlaku di dunia ini sebenarnya hanya di ketahui apabila Neo mengikut White Rabbit pada ketika diberitahukan kepadanya tentang apa yang berlaku. Dia diberi pilihan untuk memilih sendiri samada untuk mengetahui kebenaran sebenar ataupun tidak tentang apa yang berlaku disekelilingnya. Lalu kebenaran yang pedih dipilihnya. Lantas apabila tersedar, barulah dia mengetahui bahawa dia sebelum ini berada di dalam sebuah percaturan dunia yang diaturkan pihak-pihak yang mengambil kesempatan untuk menguasai dunia. Dihisap tenaga kita semua sebagaimana manusia-manusia di dalam Matrix bagi tujuan memberi kuasa kepada mereka yang gilakan kuasa untuk memerintah dunia.

Ianya bukan wahdatul wujud, kerana wahdatul wujud merupakan satu perkara yang menghinakan ciptaan Allah. Teringat saya dengan penolakan sebuah buku tulisan saya oleh salah seorang panel bergelar Ustaz di dalam sebuah penerbitan tempatan. Dia memberikan alasan bahawa buku tulisan saya tersebut berbau sufi dan menyatakan bahawa dia takut sekiranya terdapat elemen wahdatul wujud di dalam flow dan track yang saya bina di dalam buku tersebut. Lalu saya bertanyakan kembali kepadanya pada bahagian manakah di dalam buku tersebut elemen wahdatul wujud saya selitkan? Lalu dia tidak dapat memberikan jawapan. Lalu saya tanyakan kepadanya apakah dia faham dengan apa yang disampaikan di dalam buku yang telah saya tulis itu. Dengan teragak-agak dia tidak menjawab dan hanya menyatakan bahawa dia tidak berani untuk bersetuju dengan kedegilan saya mempertahankan beberapa perkara asas di dalam buku yang saya tulis. Hanya katanya bahawa ianya berbau sufi tanpa tahu di mana sufinya bahagian yang terkandung di dalam buku tersebut. Dari awal sebelum saya menghantarkan buku terbabit, telah saya doakan kepada Allah bahawa supaya diberikanNya jalan yang akan memberikan lorongan terbaik kepada segala yang saya usahakan, diminta saya supaya dijauhkan usaha saya dari segala perkara yang bakal menjadi kekesalan dan mendatangkan murka Allah kepada saya. Saya menjelaskan kepadanya bahawa wahdatul wujud itu bertentangan dengan firman Allah dan ia (beriman dengan wahdatul wujud itu) merupakan perbuatan orang-orang yang kufur. Jadi, kesudahannya kerjasama awal tersebut dibatalkan atas persetujuan kedua-dua pihak. Kemudian buku terbabit saya berikan kepada penerbit lain yang berminat untuk menerbitkannya. Walaupun kerjasama awal tadi tidak membuahkan hasil, tetapi saya tetap bersyukur dengan peluang yang diberikan. Mungkin di lain kali ada rezeki menanti dengan penerbit awal tadi. Saya sentiasa percaya dengan ucapan nasihat Rasulullah bahawa setiap kesusahan itu akan dituruti dengan dua kesenangan. Sepertimana yang difirmankan Allah di dalam surah al Insyirah ayat 5 hingga 8.

al Insyirah ayat 5 - 8
Kerana sesungguhnya setiap kesulitan itu ada kelapangan. Sesungguhnya setiap kesulitan itu ada kelapangan. Maka apabila kamu telah selesai, bersunguh-sunguhlah kamu (di dalam usaha dan tawakkal). Dan hanya kepada Rabb-mu lahhendaknya kamu berharap.
5

Sentiasa saya percaya bahawa setiap nasihat dari Rasulullah itu adalah benar dan betul. Sepertimana yang telah saya perhatikan selama ini dan jadikan panduan dalam membuat apa jua penilaian. Setiap apa yang difirmankan Allah dan dikatakan Rasulullah melalui wahyu Allah pastinya betul biar dicampakkan ke mana-mana zon masa tamadun manusia di dunia. Jangan terlalu mudah terpedaya dengan retorik kata-kata kerana di dalam terkesima dalam pesona kehebatan cakap berdegar-degar itu, ingatlah pesan Rasulullah bahawa di dalamnya terkandung pesona sihir yang boleh membuatkan manusia yang bijak itu menjadi bingung. Yang bersalah boleh jadi hero dan yang hero menjadi zero dalam sekelip mata. Setiap apa yang digusarkan, kembalilah kepada Kalamullah dan sunnah Rasulullah untuk dibuat perbandingan. Perlu diingatkan bahawa kita semua wujud di alam ini tetapi kita telah diperbodohkan oleh materialism dan hanya apabila sedar, barulah kita menyedari bahawa kita sebenarnya diperlakukan seperti buah-buah catur bagi tujuan-tujuan strategi yang dirancangkan mereka dalam menguasai dunia. Biarpun panjang artikel itu nanti, ia ibarat pil-pil pahit untuk menyedarkan kita tentang apa sebenarnya yang berlaku di dalam dunia ini sebelum ini hinggalah ke kiamat. Perlu bagi saya di dalam artikel tersebut menceritakan mengenai perkara ini bermula dari terciptanya alam sehingga ke apa yang berlaku kini demi untuk membantu semua memahami kenapa PBB dan barat tidak akan membantu Palestin dan apa perancangan mereka untuk berkuasa di masa hadapan. InsyaAllah.... Wallahua’lam.

Rujukan :

1) Al Muwatta of Imam Malik, Madinah Press Granada, Spain, cetakan 1997, m/s 414

2) Kenapa Saya Tidak Kristian?, Nik Abdul Aziz Nik Mat, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Cetakan pertama 1976, m/s 31.

3) Animal Farm : A Fairy Story, George Orwell, Penguin Books.

4) The Gospel of Barnabas, Saba Islamic Media, Second Print 2002, m/s 23

5) Tafsir al Jalallain, berikut Asbaabun Nuzul ayat, Sinar Baru Algesindo

Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

2 comments:

Anonymous said...

salam...Di sini saya terjumpa satu blog yang murtad dan telah menghina agama Islam kita.

http://syurga-islam.blogspot.com/

diharap kita semua dapat flag blog tersebut pada bahagian atas sebelah kanan flag blog>> hate and violence.

Kepada saudara blog ini, jikalau saudara mempunyai sedikit masa diminta melawat blog tersebut dan memetik artikel blog tersebut untuk mematahkan hujah pemilik blog tersebut..Sama-samalah kita berjuang menegakkan agama Islam yang suci ini.

Anonymous said...

Manusia dipandang lebih teruk dr binatang bila tak berperanan sepatutnya.. 7:179. betul tak?