Thursday, January 29, 2009

Lebai merempit lagi?

Oleh Muhammad Ibn 'Az

Bismillahir Rahmaanir Raheem.. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.. pada awal penulisan saya di dalam blog ini, saya pernah menyentuh dan berbicara mengenai satu fenomena biasa yang mempunyai impak luar biasa dalam memahami khalayak pemahaman Muslim dalam meletakkan keutamaan dalam amalan sehari-harian.Perkara ini akan kekal terus relevan hinggalah kiamat.

Saya pernah menulis mengenai topik topi keledar dan ‘lebai rempit’pada 2007. Saya menulis tentang perkara tersebut setelah melihat kepada seorang ‘lebai’ berumur dalam lingkungan 40 an merempit motosikalnya tanpa helmet bermula dari pekan Permatang Pauh, tempat di mana keluarga saya tinggal, hingga ke sebuah masjid di kawasan Permatang Janggus. Jaraknya hampir 3 kilometer. Yang menarik mengenai ‘lebai rempit’ tersebut ialah, lesen yang dimilikinya merupakan lesen VVVVVVVVV.I.P. Presiden Bush juga perlu memberi laluan kepadanya sekiranya laluannya disekat. Hebat.. memang hebat. Marahnya kepada lampu merah mengalahkan seladang jantan di musim mengawan. Dilanggarnya setiap arahan lampu tersebut di setiap simpang. Dengan mikroskirt berlabel hebat dengan cap ‘Gajah Duduk’yang hampir sama pendek daripada apa saja yang pernah dipakai BeyoncĂ©, baginda memecut laju tanpa memperdulikan sesiapa sahaja. Saya yang memandu kereta menuju ke Bandar Perda untuk urusan dunia yang dihentikan pergerakan saya oleh lampu merah, terlihat kelibatnya yang seakan-akan Speedy Gonzales yang di kejar Sylvester. Bagaikan halilintar menyambar jantung saya apabila seorang apek dengan ‘helmet yang pernah dihadiahkan Itagaki Yamashita kepadanya sebelum Jepun meninggalkan Malaya’ dengan tarikh luput jangka hayat helmetnya yang saya rasakan sudah berakhir pada ketika Singapura dikeluarkan dari Malaysia, memandang kepada seorang remaja India yang menunggang ‘belalang tempur’ (mod -motosikal yang ditunggangnya mengingatkan saya kepada motosikal yang sama ditunggang sahabat/drummer saya pada 1998 semasa di UiTM Shah Alam. Dia menamakan motosikalnya belalang tempur bersempena dengan nama motosikal yang ditunggang oleh Kesatria Baja Hitam.).

Memandang saja tidak mengapa, tetapi yang membuatkan jantung saya hampir tersentap akibat malu ialah bila si apek itu tadi menggelengkan kepala setelah memandang kepada pemuda India si penunggang belalang tempur lalu disambut pemuda itu dengan senyuman dan gelengan kepala dalam rythm yang sama.

Benar-benar memalukan. Patutlah bila saja bersolat Jumaat, bila saja memandang ke kanan dan ke kiri, tiada wujud ramai pemuda mualaf Islam berwajah Cina dan pemuda mualaf Islam berwajah India. Segera semua ini mengingatkan saya dengan cerita dari adik lelaki saya. Dia menceritakan mengenai seorang lelaki India yang bersembang dengannya yang menyatakan bahawa dia sudah banyak mengkaji pelbagai agama. Malah lelaki India itu juga menyatakan bahawa Islam itulah agama yang paling benar, segalanya lojik tentang Islam. Tiada ritual amalan-amalan yang memperbodohkan akal manusia terdapat dalam agama Islam. Tiada perkara yang tidak dapat dijelaskan di dalam Islam, tiada kerahsiaan dalam Islam. Dia mengaku bahawa Tuhan itu satu, tetapi malangnya perkataan akhir yang keluar dari mulutnya apabila ditanyakan kenapa tidak memeluk Islam ialah, “Betul Islam itu betul, tapi saya bila tengok perangai orang Melayu, saya tak mahu masuk Islam. Bila saja masuk Islam, orang akan cakap saya masuk Melayu. Saya tahu masuk Islam bukan masuk Melayu, tapi persepsi masyarakat umum, masuk Islam itu bererti masuk Melayu. Saya tak mahu disabitkan dengan keburukan atas pilihan yang boleh saya pilih atau tidak pilih.” Cerita lelaki India itu tamat di situ. Benar Islam dan Melayu itu berbeza, tetapi di negara kita, Islam adalah melayu dan Melayu adalah Islam. Menurut Perlembagaan Persekutuan Artikel 160 (Tafsiran) perkara (2), Melayu merujuk kepada satu identiti seperti yang di petik di bawah :

“Melayu” ertinya seorang yang menganuti ugama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu dan-

lahir, sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura, atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau ia adalah keturunan seseorang yang tersebut;1

Tafsiran ini jugalah yang membantutkan gerakan Kristian Evangelist di Malaysia untuk menarik seberapa ramai Muslim yang boleh untuk memeluk agama mereka. Lalu dicuba mereka dengan pelbagai jalan belakang termasuk menjinakkan PAS melalui kemasukan kolum kelima yang dianggotai Muslim liberal di dalam Parti tersebut. Ramai di dalam PAS sedar tentang perkara ini, sahabat-sahabat saya di dalam PAS juga sedar mengenai perkara ini. Sahabat-sahabat saya di dalam UMNO juga sedar mengenai perkara ini. Ini kerana mereka telah terlebih dahulu ditembusi jaringan Liberalisme ini. Sebab itulah kita dapat menyaksikan mereka kini berubah dari satu wadah perjuangan, kini hampir 2/3 dari mereka yang berada di dalamnya berubah menjadi anggota kepada sebuah pertubuhan elitis. Dengan berkemeja linen mereka memasuki kampung-kampung orang susah. Tidak hairanlah apabila saja mereka cuba mendekatkan diri dengan masyarakat bawahan, gap antara mereka dengan masyarakat Melayu semakin melebar. Mereka tidak mengikut sunnah sebenar dalam menawan hati masyarakat. Dengan golongan elit, berpakaianlah seperti elit, dengan orang kampung besederhanalah di dalam penampilan. Jika dengan solekan seperti heroin opera cina yang baru naik pangkat, bagaimana mungkin mak cik Bedah dapat merasakan sense of belongings dengan golongan ini? Setiap perbuatan sesuatu ahli di dalam mana-mana pertubuhan yang diwakilinya akan memalitkan lumpur busuk kepada imej pertubuhan tersebut biarpun tujuan penubuhannya bagi sesuatu yang boleh dikatakan mulia. Begitu juga dengan Islam, apa saja yang dilakukan penganutnya akan memberikan kesan kepada agama itu sendiri. Tiada siapa kenal siapa lebai rempit itu tadi, tetapi semua orang kenal dia adalah orang Islam. Dengan kopiah, baju Melayu dan kain pelikat, dia nyata jelas menjadi duta bagi agama Islam. Bila duta berkelakuan buruk, negara yang diwakilinya akan turut terpalit dengan imej buruk. Maka apa saja yang dilakukan olah mana-mana orang Islam, tidak kira apa jua keturunan rasnya, ianya akan memalitkan imej buruk kepada agama Islam itu sendiri. Berbalik kepada cerita ‘lebai rempit’ tadi, dalam perjalanan saya menuju Bandar Perda saya ternampak dia meletakkan motosikal berhadapan salah sebuah masjid di Permatang Janggus.

Saya dan isteri saya singgah di Masjid Bandar Perda bersolat Maghrib kerana mudah untuk untuk meletakkan kereta tanpa menghalang lalulintas di sana. Juga termasuk dalam tujuan saya ke sana adalah untuk membeli kek di sebuah kedai kek Muslim untuk hari lahir ibu saya keesokan harinya.

Solat saya sedikit terganggu dengan lebai rempit tadi. Yang lebih mengganggukan fikiran ialah apabila teringat apek tua dan pemuda India tadi yang berbalas senyuman sesama mereka. Pulang saya di rumah lantas saya menulis artikel mengenainya 2 tahun lepas. Artikelnya boleh dicapai dengan klik sini.

Pagi hari ini, ketika sedang bersarapan di sekitar Bandar Sunway, saya terbaca sebuah petikan berita mengisahkan mengenai seorang pemuda berwajah bersih dan kuat keazamannya untuk berpegang dengan prinsip. Pemuda ini bagi saya merupakan antara mereka-mereka yang berani dan keberaniannya sangat dikagumi. Petikan berita tersebut menyatakan bahawa di atas prinsip yang dipegang kemas olehnya, dia sanggup dipenjarakan hanya atas kesalahan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.

Sukar benar pada zaman ini untuk bertemu pemuda-pemuda yang benar-benar mahu beristiqamah dalam amalannya dan menjaga sunnah sehingga sanggup dipenjarakan. Keberaniannya menggenggam prinsip seharusnya dipuji. Tetapi di dalam pujian, sesuatu perlu dinyatakan kepadanya bahawa kesalahan yang dilakukannya kerana menunggang tanpa topi keledar, tetap satu kesalahan. Malah ianya menyalahi kesalahan dalam menentukan keutamaan dalam mengamalkan sunnah. Malang sekali bagi pemuda tersebut, saya dapat mengagak berdasarkan pemerhatian yang telah biasa saya buat, bahawa dia bakal dijadikan pemangkin untuk menunjukkan betapa tidak Islamnya pentadbiran pemerintah yang wujud pada masa sekarang.

Sedih juga kerana kesalahan yang sedikit yang boleh diperbetulkan dengan teguran yang elok, berakhir dengan pemuda yang beriltizam kuat ini, direncatkan iltizamnya dengan hukuman yang agak berat berbanding kesalahan yang dilakukan. Dalam perkara ini, pihak yang diamanahkan Allah dengan kuasa menentukan hukum sesama manusia seharusnya memperbetulkan saudara kita yang beriltizam kuat ini dengan penuh hikmah. Kesan psikologi ke atasnya dan mereka-mereka yang disekelilingnya akan menjuruskan satu pola sentimen bawah sedar yang akan menjurus kepada penolakan apa jua kebaikan yang hendak ditaburkan pemerintah.

Yang benar harus dikatakan benar, yang salah harus dikatakan salah. Apa yang diniatkan pemuda tersebut untuk menghidupkan amalan sunnah memang harus dipuji. Cuma dia salah dalm meletakkan keutamaan. Cubalah kita renung sejenak, jika Rasulullah s.a.w. masih lagi hidup dan menggunakan motosikal untuk ke masjid, apakah baginda akan memakai serban atau pun topi keledar? Itulah soalan yang sama saya lontarkan di dalam blog ini dua tahun lepas. Jawapannya, Rasulullah s.a.w. pastinya akan memakai topi keledar. Sebagai contoh, perhatikan semasa penglibatan baginda di dalam Perang Badar. Baginda lengkap bertopi besi, berbaju besi dan memakai pakaian pertahanan supaya keselamatan baginda terjamin di dalam perang tesrebut. Jika hendak dibandingkan tawakkal baginda dengan tahap tawakkal kita kepada Allah, tentu sahaja tawakkal bagindalah yang paling tinggi. Sehari sebelum Perang Badar, ketika semua pejuang Islam yang turut serta di dalam perang tersebut sedang nyenyak tidur, baginda bersolat tanpa henti dalam keadaan yang lama memohon bantuan dari Allah. Allah membantu mereka dengan hujan yang turun pada malam tersebut dan rasa mengantuk yang teramat sangat sehinggakan pada pagi hari Perang badar, apabila mereka terbangun, tubuh mereka menjadi begitu segar dan mereka hati mereka yang gusar sebelum ini dipenuhi keberanian dan semangat yang sangat tinggi. Tetap baginda berperang dengan memakai Topi besi dan baju besi biarpun dalam perang-perang yang lain. Ini kerana, apa yang sedang dilakukan baginda untuk mencari keredhaan Allah, usaha tersebut mempunyai risiko yang boleh mendatang bahawa kepada tubuh dan nyawa baginda. Tawakkal bererti berbuat sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan kemuadian meletakkan pengharapan kepada Allah agar usaha tersebut membuahkan kejayaan.

Pernah di dalam Perang Uhud Topi besi yang dipakai baginda pecah ditetak pedang dan kepala baginda berdarah. Baginda mendapat luka dikening, patah giginya dan baginda pengsan di atas timbunan jenazah syuhada medan Uhud. Bayangkan apa yang akan jadi jika tidak baginda memakai topi besi tersebut? Allah menyelamatkan baginda di atas daya usaha baginda yang berusaha menyelamatkan nyawanya.

Begitu jugalah dengan menunggang motosikal untuk ke masjid. Perbuatan menunggang motosikal itu mempunyai risiko yang boleh membahayakan tubuh dan nyawa si penunggangnya. Biarpun ke masjid, rajin-rajinkanlah memakai topi. Tidak mengapa jika jaraknya dekat, tetapi bila saja jarak antara masjid rumah kita agak jauh, adalah lebih baik beramala dengan sunnah yang betul iaiatu dengan memakai topi keledar. Rasulullah juga memakai topi besi pada waktu dan keadaan pemakaiannya diperlukan, siapa pula kita hendak dibandingkan dengan tawakkal kita terhadap Allah jika dibandingkan dengan baginda. Fahami keutamaan dalam beramal. Takut-takut amalan kita mendatangkan mudarat bukan sahaja kepada kita tetapi kepada semua orang lain. Ingatlah pesan Allah kepada orang-orang beriman;

An Nisaa’ ayat 59

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Bukankah telah dijanjikan Allah kesudahan yang lebih elok bagi mereka-mereka yang tahu meletakkan keutamaan di dalam beramal. Fahami ayat di atas kerana kesannya di dalam kes ini boleh menyebabkan apa yang disangka ‘beramal dengan sunnah’ tanpa mengikut keutamaan itu akhirnya akan membuatkan si pelakunya berada di dalam keadaan tidak mematuhi arahan Allah supaya dihormati undang-undang yang digariskan pemerintah. Semoga Allah melindungi kita semua dari ‘jalan-jalan yang dinampakkan cantik tetapi menuju kesudahan yang buruk’ pada setiap saat dan masa. Ameen. Wallahua’lam..


________________________________________________________________________________________________________________________________

Rujukan :

1) Perlembagaan Persekutuan (HINGGA 10HB MAC 2006); International Law Book Services.

4 comments:

selepas isu ini, saya terbaca berita ada seorang daripada pemimpin parti politik yang terkenal di Malaysia mencadangkan supaya topi keledar digantikan dengan serban. Dengan alasan serban adalah lembut dan topi keledar keras. Bagi saya, cadangan yang dikemukakan oleh pemimpin politik ini amatlah tidak masuk akal dan menunjukkan beliau seolah2 tidak berfikir sebelum mengeluarkan kenyataan.Kenyataan seperti ini yang akan merendahkan kredibiliti beliau sebagai seorang pemimpin...
 
Assalamu'alaikum techis, Itulah masalahnya jika mereka yang dihormati mengeluarkan pandangan yang mengelirukan. Bukan sekali dua pandangan sedemikian dilontarkan. Sedangkan memakai helmet itu merupakan satu bentuk tanda kita bersyukur dengan nikmat Allah memberikan kita keselamatan melalui ilmu pembuatan helmet tersebut. Jadi, untuk menjadi manusia yang bersyukur dengan kurniaan Allah, tentu sahaja kita harus meletakkan keutamaan kepada pemakaiannya dalam menempuh perjalanan. Isu ini sebenarnya menggariskan antara hamba-hamba Allah yang bersyukur atau pun tidak... Allah s.w.t. telah berpesan dalam surah al Anbiya' ayat : 80

Dan Kami mengajar Nabi Daud membuat baju-baju besi untuk kamu, untuk menjaga keselamatan kamu dalam mana-mana peperangan kamu, maka adakah kamu sentiasa bersyukur? (Al Anbiyaa’ : 80)

Saya menghuraikan secara ringkas ayat ini di dalam posting dengan tajuk 'helmet, serban dan rempit' pada Jun 2007. Pemakaian helmet itu menunjukkan sempadan antara hamba-hamba Allah yang bersyukur atau pun tidak. Aturan keutamaan sunnah juga menganjurkan dengan jelas bahawa helmet itu lebih menepati sunnah untuk memberi keselamatan kepada penunggang motosikal. Jadi, benar apa yang dikatakan saudara, kenyataan yang dikeluarkan itu sedikit sebanyak bukan hanya menggugat kredibiliti orang yang mengeluarkan kenyataan tersebut, tetapi akan menyebabkan orang memandang serong terhadap Islam hasil kegagalan dalam mencernakan kata-kata figura tersebut. Semoga Allah melindungi kita semua dari menjadi golongan yang tidak bersyukur.
 
Ada sahabat forum tulis benda yang sama juga sebelum artikel ini ditulis. Boleh lawat ke http://ikhwanhayat.net/post/Serban-vs-Helmet.aspx
 
ha, I will experiment my thought, your post bring me some good ideas, it's really awesome, thanks.

- Norman
 

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email