Friday, May 9, 2008

Penjara..... Akademi Fantasia Bagi Ahli Politik..

oleh Muhammad Ibn 'Az

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam bagi Rasulullah s.a.w. dan ahlul baitnya. Dalam Al Qur'an pernah menyebut perkara ini mengenai Nabi Yusuf yang dipenjarakan atas dorongan kebencian dan fitnah oleh kuasa-kuasa politik. Begitu juga dengan banyak lagi nama-nama besar dunia yang pernah dipenjarakan sebagai langkah untuk mengekang gerakan-gerakan subversif atau yang menentang arus yang dibawa mereka.

Pemerintah seharusnya bijak dalam menangani setiap apa jua pergerakan yang tidak dapat mereka bertolak ansur dengannya. Setiap langkah yang diambil seharusnya diperincikan terlebih dahulu akan sebab serta kesan jangka panjang bagi setiap satu tindakan yang dibuat.

Bagi mereka yang bijak memanipulasi dan faham akan kesan tindakan-tindakan melulu pemerintah, setiap satu daripada tindakan tersebut tidak lebih daripada hanya akan dengan serta merta menjadi satu pemangkin untuk melonjakkan populariti seseorang individu yang dikenakan tindakan tersebut. Sejarah dunia dibentangkan bukan sekadar untuk menjadi hiburan pojok untuk ditepuk bila bergembira dan untuk ditangisi jika hak dan maruah dicerca. Tetapi sejarah itu merupakan satu pengajaran untuk dianalisa dan dijadikan panduan dan sempadan dalam merangka struktur masa depan negara dan masyarakat.

Sebenarnya, bagi ahli politik pendukung gerakan subversif atau apa jua gerakan yang bertentangan dengan pemerintah, adalah menjadi satu kelebihan paling besar kepada mereka apabila populariti mereka dilonjakkan berkali ganda hasil cetusan sentimen simpati rasa dan serta merta dilonjakkan menjadi adiwira kepada golongan yang berfikir berimankan rasa.

Bila rasa menguasai minda, maka lahirlah adiwira ini biarpun merengkok dia dalam penjara. Perhatikan Gandhi, Adolf Hitler, Nelson Mandela dan ramai lagi figura-figura besar dunia, sekadar memberikan beberapa nama. Ada di antara mereka ini berjuang di atas landasan perjuangan yang benar-benara ikhlas bagi mencorak masa depan bangsa dan agama mereka, ada juga yang terpesong gila apabila mabuk kuasa sehinggakan dendam kesumat yang terkumpul bertahun sebelum ini, diluahkan melalui pemerintahan kejam dan witch hunting besar-besaran yang mengakibatkan dunia sekeliling mereka porak peranda hanya disebabkan nafsu amarah mereka. Prinsip perjuangan asal ditinggalkan, larangan agama dilanggar semata-mata untuk mendapatkan sokongan dan kuasa. Hasilnya, para pendukung yang menatangkan adiwira-adiwira dalam bentuk sebegini sepenuh jiwa dan raga melalui keimanan kepada rasa, merasakan diri mereka mula diperkuda dan terpalit dusta akibat mata hati yang buta.

Jika cercaan para juri dalam akademi fantasia menjadikan populariti dan simpati pemerhati meningkat berkali ganda kepada seorang penyanyi yang tidak melepasi tahap 'biasa-biasa', begitulah juga dengan serangan-serangan media dan hukuman penjara yang melonjakkan figura-figura biasa menjadi luar biasa pada tahap adiwira dalam berpolitik. Ianya terbukti menjadi satu trend dimana sesuatu bentuk hukuman yang pernah dikenakan ke atas mana-mana ahli politik atau penggerak-penggerak gerakan yang menentang arus dengan mana-mana pemerintah, bentuk-bentuk hukuman yang pernah dijalaninya, akan kerap kali dimasukkan dalam profail integriti dan kredibilitinya yang sekaligus mengelabukan segala macam credentials yang pernah dipegang atau tidak pernah dimilikinya.

Jika motif penahanan atau hukuman ke atas mana-mana pihak adalah dengan harapan bahawa ianya akan menjadikan sebarang gerakan yang didokongnya menjadi lemah dan sekaligus lumpuh, maka jika diperhatikan kembali kepada sejarah, semua itu tidak akan berlaku. Seumpama seseorang manusia yang berasa jengkel dan jijik melihatkan seekor lipas yang bergerak bebas di ruang tamu rumahnya. Disebabkan marah, maka dipijak lipas tersebut semata-mata untuk menghapuskannya. Benar lipas itu akan mati, tetapi matinya lipas itu tidak bermakna manusia tersebut boleh bertepuk gembira, kotoran bekas pijakan itu terlekat busuk pada kaki si manusia tersebut dan pada ruang tamu kediamannya. Malah kotoran tersebut harus dicuci pula kerana ianya lebih menjijikkan dari lipas tersebut tadi jika dibiarkan ia hidup.

Maka pemerintah seharusnya bijak dan bukan memijak. Terdapat banyak lagi bentuk mekanisme yang halus yang boleh dipertimbangkan dalam menangani sesuatu gerakan yang tidak dapat mana-mana pemerintah bertolak ansur dengannya. Jika dalam membuat sesuatu pemilihan terhadap pilihan-pilihan tindakan yang ada, adalah lebih baik jika pemerintah itu menilaikan kesan jangka panjang terhadap setiap gerak kerja yang dilakukan mereka. Sebagai pemerintah, ianya menjadi hak bagi sang pemerintah untuk menentukan apa yang baik bagi keamanan, kestabilan ekonomi dan kemajuan rakyat di dalam negara termasuk memenjarakan unsur-unsur yang menggugat keselamatan negara. Sebagai contoh, pencetus-pencetus rasa perkauman dan agama yang melampau serta gerakan bertunjangkan perjuangan anarki, TETAPI haruslah semua itu dilakukan tanpa menzalimi mana-mana pihak. Syeikh Daud Bin Abdullah Al Fatani dalam kitab Munyatul Musollinya yang sudah berusia 200 tahun lebih, menyatakan bahawa jika seseorang itu bercita-cita untuk menjadi seorang pemerintah, maka perkara atau ilmu pertama yang harus dipelajarinya ialah ilmu zalim, iaitu ilmu dalam mengenal erti serta bentuk perbuatan-perbuatan zalim. Zalim ini pula tidak hanya merangkumi kezaliman seasama manusia, malah ianya merangkumi kezaliman pemerintah ke atas semua makhluk di bumi ini termasuk hutan, binatang, sumber air, mineral dan persekitaran. Semua itu harus dihamainya supaya dia kelak tidak akan menzalimi apa jua dalam pemerintahannya.

Jika kezaliman itu sesuatu kelaziman berlaku dalam mana-mana pemerintahan, maka perbuatan tersebut hanya akan menjemput masalah kepada pentadbiran mana-mana negara pelakunya. Pada suatu ketika semasa di zaman pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz, pernah seorang wakil pemerintah dalam negara di bawah naungan tadbir khalifah, ditimpa bala dan malapetaka kemusnahan. Lalu wakil pemerintah tersebut menghantarkan sepucuk surat kepada khalifah Umar Bin Abdul ‘Aziz bagi memohon bantuan berupa peruntukan harta, makanan dan segala keperluan supaya dapat diperbaiki segala masalah yang melanda daerah tersebut. Memahami situasi serta punca kepada malapetaka yang melanda daerah di bawah naungannya tetapi di bawah pentadbiran wakil pemerintah tersebut, Khalifah Umar bin Abdul ‘Aziz hanya membalas surat tersebut dengan berkata : “Adapun suratmu itu telah aku faham, maka apabila engkau bacakan suratku ini, maka baikkan olehmuakan negeri kamu dengan adil dan engkau bersihkan daripada segala zalim,maka bahawasanya ialah pembaiki negeri kamu. Wassalam”

(Kitab asal Munyatul Musolli di tulis dalam bahasa Melayu Pattani lama, terjemahan dalam bahasa Melayu moden seperti berikut: “Adapun suratmu itu telah aku fahami, maka apabila engkau bacakan suratku ini hendaklah kamu baiki negeri kamu dengan keadilan dan engkau bersihkan negeri itu dari segala bentuk kezaliman. Sesungguhnya, itulah cara untuk memperbaiki keadaan negeri kamu, wassalam,")

Sebaris nasihat bagaimana cara terbaik untuk mengembalikan kemakmuran ke daerah tersebut diberikan dan bukannya peruntukan yang diminta, ini kerana Umar Bin Abdul ‘Aziz tahu benar bahawa negara yang dimakmurkan dengan pemerintah yang adil dan saksama serta tidak berlaku adil akan mengundang barakah dan nikmat serta akan menjauhkannya dari segala macam bala dn malapetaka.

Lewat ini, sudah beberapa kali terlintas dalam kotak email saya sebuah email mengenai retorik politik seorang pemerintah bukan Islam yang baru memegang kuasa dengan sebuah lagu retorik yang diulang-ulang korusnya oleh ramai muslim gullible yang merasakan diri mereka sebagai pejuang Islam tetapi masih belum cukup faham permainan politik golongan musuh Islam. Saya harap tiada yang cuba menyamakan khalifah Umar Bin Abdul ‘Aziz yang terkenal adil ini dengan seorang pemerintah yang mana keseluruhan struktur perjuangan yang mendukungnya yang dengan jelas menentang Islam, tetapi mewar-warkan bahawa khalifah ini akan dicontohinya. Muslim seharusnya sedar dan faham antara retorik politik dan asas perjuangan yang ikhlas. Kaedah memahami serta menilaikan sesuatu perkara itu ialah dengan menilaikan serta membuat keputusan bersandarkan kepada apa yang jelas. Jelas struktur organisasi pendukungnya itu menentang Islam pada keseluruhannya. Lebih malang lagi di Malaysia ini, sebagaimana yang diperhatikan akhir-akhir ini, tiada parti bukan Islam yang boleh memenuhi kriteria sebagaimana yang disebutkan dalam surah Al Mumtahanah ayat 8, : Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.) Maka dengan ketidakwujudan golongan dzimmi dalam berpolitik ini (kecuali sebuah kelab penyokong bukan Islam bagi sebuah parti yang menyokong perjuangan Islamnya), Muslim seharusnya berhati-hati dengan segala gerak dalam mengatur langkah.

Buat pemerintah, jangan juga tersilap langkah dalam membuat apa-apa keputusan. Sebagaimana tajuk artikel ini, hukuman-hukuman yang tidak kena dan diambil secara terburu-buru itu hanya akan melonjakkan mereka-mereka yang biasa dalam arena politik ini ke peringkat dan tahap adiwira. Hukuman sedemikian tidak lebih daripada hanya membantu melonjakkan populariti golongan ini sebagaimana Akademi Fantasia lakukan terhadap Mawi.

Haruslah beringat, dalam memerintah itu elakkan menzalimi sesiapa pun termasuk pihak lawan. Sebagai penutup saya memetik sebuah syair yang dicatatkan oleh Syaikh Daud Bin Abdullah Al Fatani dalam kitabnya. Syair ini dikatakan disuratkan pada hamparan sesetengah Raja zaman dahulu.

Jangan kamu zalimkan orang apabila kamu kuasanya, maka zalim itu tempat keluarnya membawa kepada menyesal tidur dua mata engkau, dan yang kena zalim, jika ia meminta doa atas engkau... dan ‘ain Allah tiada tidur, kamu mudah-mudahkan akan doa dan kamu permain-mainkan akan dia dan tiada kamu ketahui dengan apa yang memperbuat oleh doa anak panah malam sangat luas, dan tetapi baginya masa dilalukannya.

Terjemahan : “Janganlah kamu menzalimi orang apabila kamu berkuasa, kerana kezaliman itu akibatnya akan membawa kepada sesalan, kedua mata kamu tidur, tetapi orang yang dizalimi itu berjaga malam berdoa terhadap engkau, sedangkan Allah tidak tidur. Janganlah kamu memperlekehkan dan mempermain-mainkan doa. Sungguh tidak kamu ketahui bahawa doa itu (seumpama) anak panah malam yang sangat tepat sasarannya dalam bertindak dan hanya ia menunggu masa mengenai sasarannya,"

Oleh itu berhati-hatilah dengan doa orang-orang mukmin yang dizalimi, sesungguhnya doa orang yang dizalimi itu sesungguhnya dimakbulkan Allah.... Wallahua’lam

© 2007 - 2008 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.

eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...

Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)

2 comments:

salam saudara..

sekadar pandangan dari saya bagi memudahkah peminat blog ini. bukankah lebih elok rasanya jika artikel dalam blog ini ditulis secara 1.5 atau 2 langkau (1.5@ double spacing). lebih mudah rasanya. terpulang. saya cuma memberi cadangan.terima kasih
 
perbincangan bab 1 agak kurang rasional. Nampknye semua pihak kena relaxed sikit.
 

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email