Tuesday, March 11, 2008

Bila Muslim Berakal Pandir.......

3
oleh Muhammad Ibn 'Az

Assalamu'alaikum warahmatullah dan selamat sejahtera buat semua pengunjung. Agak lama saya tidak menulis di sini. Tergerak hati atas rasa sedikit kecewa di atas kejatuhan negeri tempat tumpah darah kepada satu pihak yang pernah dengan terang dan jelas pernah mengeluarkan kenyataan ini : 'Langkah mayat saya dahulu sebelum mendirikan negara Islam!". T

etapi perasaan itu sedikit terubat apabila menyaksikan bahawa beberapa negeri lain kini dikuasai oleh mereka yang bercita-cita dan berazam untuk mengamalkan dasar pemerintahan Islam dan sekaligus memberikan satu tamparan kuat kepada mereka yang selama ini terlalu alpa dalam mengejar kemewahan serta kedudukan dan pangkat. Kelemahan pentadbiran dibawah pemerintahan sebelum ini membuka ruang dan gelombang bagi dipermudahkan jalan sokongan dari pihak-pihak yang selama ini memandang Islam dan gerakan politik berteraskannya dengan pandangan prejudis. Mereka kini mula mengubah haluan dan memberikan kepercayaan yang dahulunya tersimpan akibat ditakut-takutkan pihak lawan. Saudara ABJ menghantar satu sms yang segera mengingatkan saya kepada satu firman Allah s.w.t. dalam surah Ali Imran ayat 140 :

……….Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

Kepada yang menang dalam perebutan kuasa dan amanah ini, ingatlah setiap amanah itu akan ditanyakan diakhirat kelak. Semoga Allah bersama-sama dengan mereka yang bercita-cita untuk menjalankan amanah kuasa ini kerana Allah semata-mata dan kerana ingin menegakkan agama Allah dimukabumi bertuah ini dan kerana ingin berfungsi sebagai khalifah Allah dimukabumi ini. Kepada yang kalah hasil dari percaturan gerak kerja yang dianggap silap, ingatlah bahawa semua ini merupakan kehendak Allah sepertimana yang disebut dalam surah Ali Imran ayat 140 tadi.

Ianya juga merupakan satu bentuk teguran dari rakyat serta golongan bawahan yang selama ini cuba menyuarakan kegelisahan dan ketidakpuasan rasa akibat dari tekanan serta bebanan yang mereka tanggung selama ini. Bagi yang bijak dan bertanggungjawab, mereka akan menilai semula semua dasar, cara dan tindakan mereka selama ini. Mereka akan mengambil pengajaran di atas apa yang berlaku dan kemudiannya akan cuba memperbetulkan kembali keadaan supaya segala apa yang cuba dicaturkan pada masa hadapan akan memenuhi semua kehendak amanah yang dipikul atas jalan yang diredhai Allah s.w.t.

Seorang penulis dan ahli politik Italy, Niccolò Machiavelli, pernah menulis dalam bukunya The Prince (1532), mempromosikan satu method jalan usaha yang meletakkan matlamat itu harus dicapai tidak kira dengan apa cara jalan sekalipun. Kita sebagai Muslim tidak boleh sama sekali menggunakan method 'Matlamat Menghalalkan Cara' ala-ala Machiavelli ini kerana sesungguhnya terdapat banyak larangan yang jelas dalam Al Qur'an dan sunnah Rasulullah s.a.w. yang menyatakan larangan kepada kita daripada mengambil golongan yang memerangi Islam sebagai kawan apatah lagi pemimpin. Tetapi amat mengecewakan di dalam usaha kita cuba menguatkan jalan serta usaha kita dalam menuju ke arah pemerintahan berdasarkan perlembagaan Al Qur'an dan Islam, kita terpalit dengan kekeliruan hebat yang menyaksikan sebuah parti yang secara terang-terangan menentang Islam dan pelaksanaannya di sini lama semenjak dulu, disambut kemengangan mereka dengan Takbir seolah-olah mereka itulah mujahidin yang akan membantu kita nanti.

Rasulullah s.a.w. tidak pernah membenarkan mana-mana pihak yang bukan Islam untuk turut sama dalam perang sepertimana yang dicatatkan dalam beberapa hadis. Hanya setelah pejuang tersebut yang pada mulanya menawarkan diri untuk berperang bersama baginda mengucapkan dua kalimah syahadah, barulah baginda membenarkannya untuk turut sama dalam perjuangan tersebut.

Saya tidak mahu menulis banyak tentang politik kerana di dalamnya terdapat ketaksuban yang hanya mewarnakan dunia sekeliling mereka sebagai putih dan hitam. Tiada kelabu bagi golongan yang taksub ini. Pandangan yang tidak bersesuaian seringkali dihamburkan dengan kata-kata kesat dan tohmahan yang tidak langsung bersandarkan kepada hujah yang benar. Inilah masalah ketaksuban, sedangkan Rasulullah s.a.w. sendiri menerima teguran dan pendapat hatta dari golongan wanita itu sendiri. Saya percaya pada lapis kepimpinan ulama', mereka merupakan satu golongan yang terbuka kepada pendapat dan hujah, tetapi masalahnya ialah dengan golongan ikut-ikutan, yang mana Islam belum lagi tertegak dalam diri mereka. Rukunnya berterabur dengan empat dari lima tiangnya hancur. Akibat dari tindakan membuta tuli inilah, akhirnya negeri tempat tumpah darah saya jatuh ke tangan ‘golongan ini’ dan mereka ini dengan terang-terangan menolak untuk bekerjasama dengan pihak yang cuba bersungguh-sungguh menegakkan Islam.

Tetapi segalanya yang berlaku adalah dibawah perancangan Allah, sepertimana yang dikatakan oleh bapa saya bahawa apa yang berlaku ini ada hikmahnya yang belum dipertunjukkan lagi. Ianya sebagai satu bentuk assessment kepada semua dalam menilai mutu kerja serta tanggungjawab dalam menjalankan amanah yang sebelum ini dipertanggungjawabkan. Sehingga ke masa dimana secara terang-terangan mereka ini dengan jelas sekali lagi membuat perkara-perkara yang menujukkan bahawa mereka ini membenci Islam, maka sehingga ke saat itu kita seharusnya sentiasa peka, bersedia dan berhati-hati.

Sebagai penutup saya ingin kita semua membaca dan memahami surah Al Mumtahanah yang diwahyukan Allah sebagai pengajaran dan peringatan kepada kita sebagai orang-orang Islam. Apalah guna menjadi peringatan jika yang cuba diperingatkan itu langsung tidak mengambil peduli. Atas dasar keinginan yang mendalam dalam memastikan cita-cita setiap mukmin untuk hidup dibawah perlembagaan Al Qur'an dan Sunnah tercapai dan tidak dirompak jalan perjuangannya oleh golongan yang menentang jalan tersebut, sama-samalah kita merenung terjemahan sebahagian surah ini :

Al Mumtahanah ayat 1 - 9

1. Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul.

2. Jika mereka dapat menguasai kamu, nescaya mereka menjadi musuh yang membahayakan kamu, dan mereka akan membebaskan tangan mereka dan lidah mereka terhadap kamu dengan kejahatan, serta mereka suka kalaulah kamu juga menjadi kafir (seperti mereka).

3. Kaum kerabat kamu dan anak-anak kamu (yang tidak menurut kamu beriman) tidak sekali-kali akan mendatangkan sebarang faedah kepada kamu pada hari kiamat; Allah akan memisahkan di antara kamu semua (pada hari itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Melihat segala yang kamu kerjakan.

4. Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya - contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): "Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata", tetapi janganlah dicontohi perkataan Nabi Ibrahim kepada bapanya (katanya): "Aku akan memohon kepada Tuhanku mengampun dosamu, dan aku tidak berkuasa menahan (azab seksa) dari Allah sedikit juapun daripada menimpamu". (Berdoalah wahai orang-orang yang beriman sebagaimana Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya berdoa ketika mereka memusuhi kaumnya yang kafir, dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Kepada Engkaulah sahaja kami berserah diri, dan kepada Engkaulah kami rujuk bertaubat, serta kepada Engkaulah jua tempat kembali!

5. "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan pendirian dan keyakinan kami terpesong kerana penindasan orang-orang kafir, dan ampunkanlah dosa kami wahai Tuhan kami; sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".

6. Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Dan sesiapa yang berpaling daripada mencontohi mereka, (maka padahnya akan menimpa dirinya sendiri), kerana sesungguhnya Allah Dia lah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

7. Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu (dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani.

8. Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

9. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Ambillah pengajaran dari peringatan ini agar kita tidak menyesal dengan tindakan yang tidak mendapat petunjuk. Sehingga maksima lima tahun lagi, warga Muslim Pulau Pinang seharusnya terus memerhati dan berhati-hati, kuatkan jemaah agar cita-cita yang satu tidak hancur akibat dari manusia muslim berfikiran pandir. Benar 'kita' menang, tapi hanyalah menang sorak dan kampung kita mungkin tergadai. Benar sebelum ini pun sudah digadaikan kampung kita oleh mala'un pengkhianat bangsa dan agama dan bola (ed-segolongan tertentu tahu apa yang dimaksudkan dengan bola ini, bagi yang lain, lupakanlah saja…. Ini hanya satu luahan dari hati yang kecewa melihatkan bangsa dimakan dan dipijak bangsa sendiri), tetapi tidak perlu sampai kita menggadaikannya sekali lagi kepada mala'un yang lebih besar dan buruk niatnya terhadap Islam. Menghijaukan yang merah atas dasar benci membuta tuli hanya merugikan perjuangan dan matlamat asal. Apakah ini hasilnya daripada dasar yang cuba mengangkasakan bangsa sehinggakan tumbuh roket dimerata-rata? Bangunlah dari tidur dan mamai! Jangan kita juga turut tertidur sebagaimana tidurnya orang itu yang tidak bangun-bangun setelah 'bom' meletup bersebelahan telinganya. Dia tidak pekak tetapi dipekakkan oleh mereka yang tuli yang berada disekelilingnya. Ayuh kembali kita bersatu atas satu dasar perjuangan menuju redha Allah dan berfungsinya kita sebagai khalifah Allah di mukabumi ini. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui mengenai segala perancangan dan pelaksanaan tindakanNya bagi bumi kita yang tercinta ini. Semoga kita sentiasa aman, damai dan beriman kepadaNya. Wallahua'lam…..


Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987. Semua penulisan di dalam blog ini ditulis dan digarapkan bagi tujuan membantu semua orang Islam dan pihak-pihak yang mahu memahami Islam menangkis fitnah, propaganda, polemik yang cuba ditimbulkan serta bagi membantu menyedarkan muslim tentang apa sahaja perkara yang sedang berlaku disekeliling mereka. Jika terdapat rakan-rakan pengunjung yang bukan Islam mendapati isikandungan penulisan di dalam blog ini tidak selari dengan apa yang difahami mereka di dalam agama mereka, mereka bolehlah membuat kajian dan penelitian sendiri, termasuk mendapatkan rujukan dari pihak yang professional dan pakar di dalam bidang mereka bagi mendapat satu kepastian jelas untuk membantu mereka membuat penilaian. Setiap manusia diberikan kebebasan untuk memilih apa yang betul dan benar untuk menjadi pegangan hidup mereka. Jadi, carilah kebenaran dengan membuat kajian, penelitian dan siasatan sendiri supaya dapat membantu anda mencapai satu keputusan yang tidak dipaksakan oleh mana-mana manusia untuk anda mengikutinya. Setiap jalan yang dipilih adalah atas keputusan anda setelah penilaian dan kajian memberikan satu bentuk kepuasan kepada akal fikiran anda sebagai manusia di dalam mencari kebenaran. Blog ini dan segala isikandungannya adalah untuk Muslim. Sebagai penulis blog ini, saya sudah mengambil segala langkah mengikut kemampuan, pengetahuan serta keupayaan saya untuk memastikan setiap penulisan di dalam blog ini keseluruhan strukturnya memaparkan isikandungan yang benar. Tetapi saya ingin menegaskan kepada semua pengunjung supaya semua isikandungan blog ini ditelitikan, diperiksa dan dikaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan untuk menggunakannya dan mempercayainya. Semua pengunjung dinasihatkan untuk mencari kebenaran melalui penelitian, kajian, pemeriksaan dan kepastian sendiri. Jadikan ini sebagai satu budaya. Sebagai manusia, kesilapan boleh berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekiranya ada kesilapan, saya memohon jutaan maaf dan harap dapat maklumkan supaya dapat diperbetulkan. Terima kasih atas kunjungan anda.



Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

3 comments:

Anonymous said...

Salam...

Setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Memang sedih bila mengingatkan PP jatuh ke tangan pembangkang yg bukan muslim, malah kebanyakan kerusi diPerak juga jatuh ketangan kebanyakan pemimpin non-muslim. Segalanya terjadi kerana timbul rasa tak puas hati di kalangan rakyat. Perasaan marah yg membatasi pertimbangan, dan juga kurangnya pengetahuan tentang bagaimana cara pemilihan ketua dlm Islam membuatkan terjadinya fenomena yang dilalui kini.

Bagi saya, asas pemilihan mengikut hukum Islam amat perlu diketahui. Ringkasnya saya boleh senaraikan persoalan tentang bentuk dan corak pemilihan yang timbul setiap kali pilihanraya dibuat.

1. Muslim dan muslim, berbeza pendapat dan berlainan parti. Pertimbangan boleh dibuat dgn melihat banyak kriteria spt latar belakang, kepimpinan dsb. Seharusnya kita pilih yang mengamalkan Islam dan berakhlak mengikut landasan yang telah digariskan oleh Allah.

2. Muslim dan non-muslim. Mengikut pemahaman saya, kalau ada pemilihan antara calon muslim dan non-muslim, wajib kita memilih yg muslim, walaupun ada perbezaan pendapat dan berlainan dengan parti yang disokong.

3. Muslim dan muslimah. Asasnya, perlu pilih muslim, tapi kalau peribadi yg ditonjolkan oleh muslim tak baik, bagaimana ya? Perlukah kita memilih muslimah? Kalau peribadi adalah lebih kurang sama, lebih baik memilih muslim, kerana lelaki sememangnya lebih layak menjadi pemimpin.

4. Muslimah dan non-muslim. Mana yg perlu dipilih? Kalau saya, rasanya saya akan memilih muslimah (wanita).

5. Non-muslim dan non-muslim. Sebagai muslim, terkadang terfiki, perlukah kita mengundi kalau menghadapi situasi begini?

Soal pemilihan yg tak pasti membuatkan ada yang memilih untuk merosakkan undi. Alhamdulillah, didaerah saya, tidak mengalami dilema yg mengelirukan (situasi 1), cuma perlu memilih berdasarkan prinsip perjuangan, peribadi dan latar belakang sahaja. Kepimpinan ulamak masih dipertahankan untuk penggal yang seterusnya.

Mengurangi rasa terkilan yang wujud untuk sesetengah negeri yang memilih non-muslim sebagai wakil, saya cuba paling tidak meletakkan rasa syukur kerana MB dipilih dikalangan muslim. Sekarang kita semua harus memikirkan cara untuk menyedarkan pengundi sblm pemilihan yang akan datang. Walaupun lambat, rasanya kita semua punya tanggungjawab yg sama untuk saling mengingatkan melalui penulisan.

Walau seteruk mana perasaan benci kepada politik menghantui diri, saya harap kita semua akan sama-sama berusaha melalui pelbagai cara untuk membuka mata warga Islam kita tentang apa yang harus kita dahulukan, menilai dan berfikir sebagai seorang Islam, bukan sebagai rakyat yang teraniaya dan tertindas.

Saya harap sdr sbg penulis yang mempunyai ramai pengunjung, membantu usaha ini dgn menyerapkan serba sedikit kesedaran tentang keperluan ini.

Anonymous said...

salamX...

apa beza DAP dengan UMNO, KeADILAN, PAS???

apa beza muslim dgn non muslim? kalau tak kenal tuhan, tak leh nyata tuhan sama ja semua.....

fairuzhafeez said...

Salam.

Bagi saya kita mahukan Melayu Islam yang menjadi pemimpin untuk negeri-negeri yang mempunyai sultan. Malangnya, apabila kita layak untuk mempimpin banyak benda-benda penting telah terkesamping. KIta sekarang menganggap adalah biasa seorang pemimpin Melayu Islam rasuah.

Bagi saya selagi pemimpin Melayu Islam tidak meletakkan ketaqwaan dan keimanan sebagai tonggak utama dalam diri selagi itulah kita akan berdepan dengan suasana politik sukar dijangka.