Tuesday, January 1, 2008

Memperbetulkan Serta Menjawab Pertuduhan Yang Menyatakan Rasulullah s.a.w. seorang Kaki Perempuan dan Paedophile. Bahagian 4

1

oleh Muhammad Ibn 'Az

(artikel ini merupakan bahagian 4 dari posting dengan tajuk yang sama, bahagian 3nya boleh dibaca dengan klik sini.)

Jika dinilaikan antara peribadi Rasulullah s.a.w. dengan Giovanni Giacomo Casanova, amat jelas di sini bahawa kedua-dua individu terbabit mempunyai perbezaan antara langit dan bumi. Sifat-sifat dan sikap-sikap yang ada pada seorang kaki perempuan ialah sama seperti yang ada pada Giovanni Giacomo Casanova.

Antara sikap-sikap dan sifat-sifat yang ada pada seorang kaki perempuan ialah :

1) Mereka memburu wanita untuk dijadikan alat pemuas nafsu dan kepentingan kebendaan.

2) Wanita yang diburu dan menjadi mangsa mereka, kebiasaannya berusia muda dan tidak akan membebankan mereka.

3) Mementingkan diri sendiri.

4) Mereka ini kurang dipercayai masyarakat.

5) Mereka sering menimbulkan masalah di mana jua mereka berada.

6) Mereka ini tidak bertanggungjawab dalam apa jua hal terutamanya yang melibatkan hubungan dengan wanita.

7) Mereka ini kaki penipu.

8) Hidup mereka dibenci orang sekeliling dan wanita-wanita yang menjadi alat kepada mereka.

Apakah semua sifat-sifat dan sikap-sikap yang tersenarai di atas ada pada diri Rasulullah s.a.w.? Jadi bolehkah disamakan seorang kaki perempuan dengan seorang yang membawa rahmat kepada sekelian alam?

Mereka menuduh Rasulullah s.a.w. seorang kaki perempuan hanya berdasarkan kepada fakta yang tidak lengkap yang mereka perolehi bahawa Rasulullah s.a.w. beristeri ramai. Sedangkan Rasulullah s.a.w. sendiri hanya mempunyai seorang isteri dari perkahwinan pertamanya sehingga kepada waktu isterinya, iaitu Siti Khadijah meninggal dunia. Dari baginda berumur 25 tahun sehingga baginda berusia 50 tahun, hanya Siti Khadijah r.a. seorang sahaja isterinya.

Sekiranya benar Rasulullah s.a.w. seorang kaki perempuan, tempoh umur demikianlah yang sepatutnya belang kaki perempuan itu ditonjolkan. Tetapi, ianya tidak langsung berlaku dan dilakukan Rasulullah s.a.w. Malah baginda merupakan seorang suami yang amat penyayang, seorang bapa yang bertanggungjawab serta seorang pecinta yang setia.

Bukan sekali baginda pernah ditawarkan perempuan-perempuan cantik dari kalangan bangsa Arab, malah pihak musyrikin Mekah juga telah banyak kali menawarkan kepada baginda harta kekayaan yang melimpah ruah serta pangkat dan kedudukan dengan syarat baginda menghentikan kegiatan dakwahnya di Kota Mekah. Tetapi ditolaknya dengan mentah-mentah semua tawaran tersebut. Malah baginda dengan tegas menyatakan bahawa jika pihak musyrikin Mekah dapat membawakan kepada baginda matahari kepada tangan kanannya serta bulan pada tangan kirinya, tugas dakwah yang diamanahkan Allah s.w.t. tidak akan dihentikan olehnya.

Perkara ini disebut dalam sebuah hadis yang diketengahkan oleh Imam Thabrani dan Imam Ibnu Abu Hatim melalui sebuah hadis dari Ibnu Abbas r.a. yang telah menceritakan bahawa orang-orang Quraisy mengajak Rasulullah s.a.w. supaya meninggalkan seruannya dengan imbalan, bahawa mereka akan memberikan kepadanya harta benda yang melimpah ruah, sehingga akan membuatkannya menjadi lelaki yang terkaya di kota Mekah dan mereka akan menikahkannya dengan mana-mana wanita yang disukainya. Untuk itu orang-orang Quraisy mengatakan: “Semuanya itu adalah untukmu, hai Muhammad, asal kamu cegah dirimu dari mencaci maki tuhan-tuhan kami dan jangan pula kamu menyebut-nyebutnya dengan sebutan yang buruk. Jika kamu tidak mahu, maka sembahlah tuhan kami selama beberapa tahun.”

Berikutan dari cadangan orang-orang Quraisy Mekah itu, Allah s.w.t. menurunkan wahyu surah Al Kafiruun seperti di bawah.

Al Kafiruun ayat 1 hingga 6

Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir! "Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. "Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. "Dan aku tidak akan menyembah dengan cara kamu sembah. "Dan kamu pula tidak mahu sembah dengan cara aku sembah. "Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku".

Surah ini merupakan antara surah yang digunakan pula oleh golongan musyrik dengan tafsiran mengikut hawa nafsu mereka sendiri untuk menghalalkan kes-kes murtad. Padahal mengikut kepada Asbabun Nuzulnya (sebab turun ayat), ayat ini menegaskan kepada kaum kafir bahawa hal ehwal agama Islam jangan langsung dicampuri. Jika Islam mengambil kaedah tidak campur tangan dalam hal ehwal agama mereka, maka, mereka juga seharusnya bersikap demikian. Tetapi ini tidak berlaku, malah dalam negara kita sendiri mereka ini dengan tidak mahu menggunakan akal, cuba masuk campur dalam urusan perundangan Islam. Jadi, ayat dari surah Al Kafiruun ini menjadi amaran kepada mereka dan kaum Muslim sendiri supaya jangan mencampuri urusan agama luar dari agama mereka.

Kaum musyrikin Mekah yang sudah sedia maklum yang baginda sudah beristeri, masih lagi tetap menawarkan kepada baginda wanita-wanita cantik sebagai balasan menghentikan kegiatan dakwah. Ini menunjukkan keadaan di Kota Mekah pada waktu tersebut, amalan kotor, zina dan kahwin tanpa had menjadi antara amalan biasa di sana. Sekiranya benar Rasulullah s.a.w. seorang kaki perempuan, tentulah baginda akan menerima saja tawaran mereka tersebut. Tetapi ini tidak berlaku.

Kaum musyrikin Mekah bukan membenci Rasulullah, tetapi mereka membenci apa yang dibawanya iaitu Islam. Mereka seratus peratus percaya kepada sikapnya yang amanah dan siddiq. Tetapi apabila kebenaran yang dibawanya itu menjejaskan kedudukan mereka sebagai pemuka Mekah, peniaga dan penjaga-penjaga berhala dan perniagaan-perniagaan yang berkaitan dengan penyembahan berhala. Maka seorang yang sebelumnya digelarkan sebagai Al Amien dan As Siddiq langsung didustakan. Ini jelas kepada sikap bapa saudaranya yang menjadi antara penentang kuat dakwah Nabi Muhammad s.a.w.

Bapa saudaranya yang dimaksudkan ialah Abu Jahal yang dilaknat Allah melalui surah Al Lahab berikutan peristiwa dakwah terbuka Nabi di atas bukit Safa. Peristiwa ini dicatatkan melalui hadis dari Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

Ibnu Abbas r.a. telah menceritakan bahawa pada suatu hari Nabi s.a.w. telah naik ke Bukit Safa, lalu beliau berseru; “Hai orang-orang berkumpullah di pagi hari ini.” Lalu orang-orang Quraisy berkumpul mengerumuninya. Nabi s.a.w. melanjutkan pembicaraannya; “Bagaimana pendapat kalian, jika aku beritakan kepada kalian bahawasanya musuh datang menyerang kalian di waktu pagi ini, atau menyerang kalian pada waktu petang nanti, apakah kalian akan mempercayaiku?” Mereka menjawab; “Tentu saja kami percaya kepada kamu.” Nabi s.a.w. melanjutkan pembicaraannya; “Sesungguhnya aku adalah seorang pemberi ingatan kepada kalian di atas azab yang keras.” Lalu Abu Lahab menjawab; “Celakalah kamu ini, apakah untuk ini kamu mengumpulkan kami?” lalu Allah s.w.t. menurunkan firmanNya dalam surah Al Lahab dari ayat 1 hingga 5.

Al Lahab 1 - 5

Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Tidaklah berfaedah kepadanya harta benda dan apa yang ia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergelojak. Dan begitu juga isterinya pembawa kayu bakar. Yang dilehernya tali (berpintal) dari sabut.

Diriwayatkan juga bahawa isteri Abu Lahab pernah meleparkan duri pada laluan yang sering digunakan oleh Rasulullah semasa baginda berjalan. Abu Lahab pernah meletakkan perut unta di atas belakang Rasulullah s.a.w. semasa baginda bersujud bersolat berdekataan Kaabah.

Jadi berdasarkan hadis tersebut, sangat jelas bahawa Rasulullah s.a.w. merupakan seorang personaliti yang sentiasa dikagumi sikap dan sifat positifnya di kalangan kaum Quraisy di Kota Mekah. Tetapi baginda didustakan hanya semata-mata kerana kebenaran yang dibawanya dilihat dan ditafsirkan mereka sebagai ancaman kepada kedudukan dan kekayaan mereka. Kesimpulannya, Rasulullah s.a.w. tidak dibenci kaumnya kerana budi pekertinya tetapi kerana Islam yang dibawanya,

Golongan Orientalis, Evangelist dan pewaham Islam sebenarnya lebih kepada menaburkan fitnah terhadap keperibadian Rasulullah apabila mereka mendakwa bahawa baginda merupakan lelaki yang kuat nafsu berahinya kerana mengamalkan poligami serta bernikah dengan isteri yang ramai.

Tetapi lupakah mereka bahawa dalam tempoh waktu umur baginda dari 25 tahun hingga baginda berusia 50 tahun, baginda hanya memiliki seorang isteri yang disayangi dan dicintai baginda sepanjang hayatnya? Umum sangat mengetahui bahawa bagi mana-mana manusia dalam tempoh umur sedemikian, peringkat tersebut merupakan satu peringkat di mana keupayaan seksual seseorang manusia, tidak kira lelaki dan perempuan, berada dalam tingkat paling tinggi dan kuat. Seharusnya jika mengikut lojik akal yang kurang bijak, di mana mereka menyatakan Rasulullah s.a.w. bernikah ramai kerana menurut kepada nafsu berahi baginda yang kuat, sepatutnya pada ketika tempoh tesebutlah baginda berkahwin ramai. Tetapi perkara ini langsung tidak berlaku. Malah dalam tempoh tersebut, tawaran orang-orang Quraisy Mekah untuk memberikan kepadanya mana-mana wanita cantik untuk dimiliki baginda ditolak baginda mentah-mentah. Jadi dimana lojiknya tuduhan mereka tersebut?

1. Perkahwinan Rasulullah s.a.w. dengan Saudah Binti Zam’ah


Sayyidah Saudah Binti Zam’ah bin Qais bin Abdi Syams, merupakan balu kepada Sakran bin Amer bin Abdi Syams. Kedua mereka iaitu Saudah dan Sakran merupakan antara sahabat Rasulullah s.a.w. yang terawal memeluk Islam. Golongan mukmin yang awal beriman kepada Allah dan RasulNya ini dikenali sebagai ‘As Sabiqinal Awwalin’. Malah mereka memeluk Islam lebih awal dari Saidina Umar Al Khattab.


Mereka berdua merupakan antara kumpulan 83 lelaki dan 19 wanita sahabat Rasulullah s.a.w. yang berhijrah ke Kerajaan Kristian Habsyah (Ethiopia) bagi mendapatkan perlindungan dari kekejaman kaum musyrikin Mekah. Kebanyakan dari mereka yang berhijrah ke Habsyah ini bermastautin di sana sehingga tahun ke tujuh hijrah iaitu sebelum penaklukan Khaibar.

Saudah dan suaminya pula telah kembali lebih awal ke Mekah di dalam kumpulan 33 orang lelaki dan 8 wanita sebelum daripada waktu Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah. Tindakan yang mereka ambil ini akhirnya menyebabkan mereka kembali diseksa oleh kaum Musyrikin Mekah. Dalam tempoh penyeksaan inilah, suami yang amat dicintai Saudah iaitu Sakran meninggal dunia.


Apabila Sakran meninggal dunia, tinggallah Saudah sebatang kara mengharungi hidup dalam keadaan ditindas oleh kaumnya dari kalangan Bani Abdi Syams. Bani Abdi Syams ini sangat keras tentangannya terhadap mana individu dari kalangan puak mereka yang menjadi pengikut Rasulullah s.a.w. Penderitaan ini semakin bertambah apabila suaminya meninggal dunia. Dalam keadaannya yang diseksa dan diancam bunuh oleh puaknya sendiri, dia hanya bergantung harap dengan memohon perlindungan semata-mata hanya kepada Allah s.w.t.


Saudah, merupakan seorang yang sangat miskin dalam kehidupannya. Dia digelarkan dengan gelaran ‘ummul masakin’ (ibu kepada orang-orang miskin) kerana kemiskinannya dan kerana sifatnya yang sangat menyayangi dan suka membantu orang-orang miskin sesudah mendirikan rumahtangga dengan Rasulullah s.a.w.


Rasulullah yang menyaksikan serta mengetahui mengenai perkara ini, mengambil jalan mengahwini Saudah r.a. sebagai satu jalan keluar bagi wanita tersebut dari penderitaannya dan sebagai memuliakan sahabat baginda Sakran yang syahid dalam mempertahankan akidahnya sebagai mukmin. Saudah pada ketika tersebut berusia 55 tahun. Dia mengahwini Rasulullah s.a.w. pada ketika usianya lanjut. Pada usia sedemikian, segala bentuk kecantikan dan kesuburan sebagai seorang wanita semakin hari semakin terhakis kecuali keimanan dan budi pekerti yang baik.


Saudah merupakan salah seorang wanita yang agak besar bentuk fizikal badannya. Ini dapat kita ketahui melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim melalui hadis yang disampaikan A’isyah r.a.


Dari A’isyah r.a. katanya : “Aku ingin pula meminta izin kepada Rasulullah s.a.w. seperti halnya Saudah meminta izin kepada beliau, supaya aku bisa solat Subuh di Mina, lalu melontar Jamrah sebelum orang banyak datang. Ditanya orang (kepada) A’isyah, “Pernahkah Saudah meminta izin seperti itu kepada Rasulullah s.a.w.?” Jawab A’isyah; “Ya pernah. Kerana Saudah seorang wanita yang gemuk yang menyebabkan pergerakannya lambat. Lalu dia meminta izin kepada Rasulullah s.a.w., maka diizinkan oleh beliau,"

Hadis Riwayat Muslim


Jadi, apakah seorang yang ‘playboy’ atau kaki perempuan atau kasanova mahu memperisterikan seorang isteri yang berusia 55 tahun, berbadan besar serta lambat pergerakannya dan merupakan seorang wanita yang sangat miskin dan diseksa kaum kerabatnya?


Ciri-ciri yang ada pada Sayyidah Saudah r.a. pasti membuatkan mana-mana playboy cuba menjauhinya kerana seorang playboy atau kasanova merupakan antara manusia dalam dunia yang paling takut akan tanggungjawab dan hanya suka mementingkan diri sendiri. Mereka tidak suka akan tanggungjawab dan sasaran mereka seperti yang saya senaraikan diawal artikel bahagian ini, merupakan wanita-wanita cantik dan kaya raya untuk diambil kesempatan.


Tetapi ini tidak berlaku dengan Rasulullah s.a.w. Baginda mengahwini Sayyidah Saudah r.a. bagi menyelamatkan Saudah dari seksaan dan ancaman bunuh musyrikin Mekah dari Bani Abdi Syams. Oleh kerana Saudah tiada tempat bergantung, perkahwinan ini memberikan perlindungan secukupnya kepada Saudah dan dimuliakan pengorbanan suaminya sebelum ini. Budi pekerti yang ada pada Saudah sangat tinggi begitu jua imannya kepada Allah dan RasulNya.


Hikmah dari perkahwinan ini dapat dilihat apabila Bani Abdi Syams mula melonggarkan tekanan dan penyeksaan mereka ke atas kaum Muslimin. Ini berlaku setelah mereka akhirnya nampak sesuatu yang berbeza yang ada pada diri Rasulullah s.a.w. yang digelar sebagai Al Amien dan Siddiq oleh mereka sebelum ini. Mereka melihat Rasulullah s.a.w. merupakan antara manusia yang benar-benar ikhlas dalam perjuangannya serta membela nasib manusia yang lemah apabila mereka melihat kepada tindakan baginda memperisterikan Saudah yang sebelum ini ditekan dan diancam bunuh oleh mereka. Hasilnya, ramai dari kalangan Abdi Syams mula berbondong-bondong masuk Islam.


Setiap dari perkahwinan Rasulullah s.a.w. mempunyai hikmah dan tujuan-tujuan tertentu bagi perkembangan agama Islam. Secara ringkas, setiap dari perkahwinan Rasulullah s.a.w. boleh dikategorikan dalam empat bentuk tujuan dan hikmah seperti yang tercatat dibawah:


1) Hikmah dari segi Ta’limiyyah (Pengajaran)


2) Hikmah dari segi Tasyri’iyyah (Pernyataan Hukum-Hukum Agama melalui praktikal)


3) Hikmah dari segi Ijtima’iyyah (Dari segi pendekatan sosial dan hubungan kemasyarakatan)


4) Hikmah dari aspek Siyasiyah (Dari segi Politik)


Jika dilihatkan kepada kes perkahwinan Rasulullah s.a.w., jelas ke empat-empat hikamh tersebut terdapat dalam tindakan Rasulullah s.a.w. mengahwini Saudah. Pengajaran yang dapat diambil ialah, seorang yang berkemampuan hendaklah mengutamakan mereka yang berada didalam kesusahan untuk dibantu. Tidak kira kepada umur, latarbelakang serta rupa wajahnya, jika dia dalam kesusahan, haruslah dia dibantu. Pernyataan hukum-hukum agama pula, kita dapat lihat dari perkahwinan ini, seorang wanita yang sudah lepas waktu kesuburannya juga boleh dikahwini.


Pengajaran yang dapat kita perolehi dari segi pendekatan sosial dan hubungan kemasyarakatan serta politik ialah, dengan mendekati serta berbuat baik kepada golongan yang kuat menentang kita, tekanan dan sifat memusuhi kita yang ada pada diri mereka akan semakin terhakis sedikit demi sedikit dan akhirnya mereka akan berbaik pula dengan kita. Apa yang berlaku kepada Bani Abdi Syams ini membuktikan perkara ini benar. Ini juga difirmankan Allah s.w.t. dalam beberapa surah dalam Al Qur’an. Salah satu contohnya adalah seperti di bawah :


Fussilat ayat 34

Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.


Sesungguhnya perkataan Allah itu amatlah benar.


2. Perkahwinan Rasulullah s.a.w. dengan Sayyidah Siti A’isyah Binti Abu Bakar r.a.


Perkahwinan Rasulullah s.a.w. dengan Ayyidah Siti A’isyah r.a. ini merupakan sesuatau yang menjadi bahan tohmahan utama bagi golongan Orientalis, Evangelist dan pewaham Islam diseluruh dunia hanya kerana mereka tiada pengetahuan serta sangat sembrono samada dengan niat atau pun tidak untuk memberikan gambaran buruk mengenai Islam.

InsyaAllah saya akan menceritakan perihal ini sepenuhnya dalam bahagian akhir nanti.


3. Perkahwinan Rasulullah s.a.w. dengan Hafsah Binti Umar Bin Khattab r.a.


Hafsah Binti Umar Bin Khattab r.a. merupakan puteri kepada Khalifah Islam yang kedua iaitu Umar Al Khattab r.a. yang juga merupakan antara sahabat paling rapat baginda s.a.w.

Hafsah binti Umar Al Khattab ini sebelum dari perkahwinan beliau dengan Rasulullah s.a.w. merupakan isteri kepada seorang pejuang Islam bernama Khunais Bin Hudzaifah As Sahmiy. Khunais merupakan seorang pejuang Islam yang amat cintakan Rasulullah s.a.w. Beliau antara 313 pejuang Islam yang hanya lapan orang daripada mereka bersenjatakan pedang, beberapa orang berkuda manakala selebihnya hanya bersenjatakan kayu, pelepah kurma, batang besi, perisai besi, batu dan sebagainya yang terlibat dalam perang Badar menentang 1000 orang musyrikin Mekah yang lengkap berkuda dan bersenjata. Iman mereka serta tawakkal dan yakin mereka kepada Allah sangat tinggi dan Allah membalas iman dan keyakinan mereka terhadap Allah dengan bantuan tentera-tenteraNya dari langit berupa malaikat-malaikat yang turut sama berjuang dan akhirnya pasukan yang sepuluh kali ganda kekuatannya dari pasukan mukmin itu kalah dengan teruk. Allah berfirman dalam Al-Qur’an :


*Ali Imraan ayat 14

Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan ugama Allah), dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa - dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya).


(*Ralat : Ayat di atas sepatutnya dicatatkan sebagai ayat 13 Surah Ali Imran dan bukan ayat 14. Kesilapan ini ditegur saudara ABJ semalam.. terima kasih atas teguran tersebut dan saya memohon maaf atas kesilapan yang tidak disengajakan ini. Harapan saya agar semua yang berkunjung ke sini juga rajin membuat homework dengan memeriksa isikandungan blog, tulisan, ceramah, kuliah, kertas kerja dan sebagainya yang dihidangkan dan tidak menelannya bulat-bulat tanpa membuat rujukan. Boleh saja saya memperbetulkannya tanpa memberitahu, tetapi ada baiknya saya tunjukkan contoh bahawa manusia itu tidak lari dari melakukan kesalahan dan kesilapan kecuali para RasulNya dan Al Qur'an supaya dapat diambil iktibar.. Alhamdulillah saya mempunyai beberapa pengunjung yang bersikap seperti saudara ABJ yang selalu memberi kritikan dan komen membina.. Terima kasih sekali lagi... - ed 3/Januari/2008)


Badar menjadi simbolik kekuatan iman bagi mukmin dimana bantuan Allah diberikan kepada yang berserah diri sepenuhnya kepada Allah. Allah s.w.t. telah berjanji dengan berita dan ditafsirkan juga sebagai perintahNya dalam surah Al Anfaal ayat 65 :


Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti.

Ayat ini kemudiannya dimansukhkan dengan ayat berikutnya dari surah yang sama iaitu ayat 66.

Al Anfaal ayat 66

Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana Ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan (ingatlah) Allah beserta orang-orang yang sabar.

Ayat-ayat yang dipetik di atas merupakan kesinambungan dari ayat dalam surah yang sama bermula dari ayat 56 yang menekankan supaya kaum Mukmin memerangi kaum yang melanggar perjanjian yang telah dipersetujui bersama sebelum dari ini. Pengkhianatan tersebut dilakukan golongan Yahudi dari Bani Quraizah.

Ishaq Ibnu Rahawaih dalam kitab Musnadnya telah mengenengahkan sebuah hadis dari Ibnu Abbas r.a. berkenaan perihal ayat 65 yang digantikan dengan ayat 66 surah Al Anfaal berikutan satu peristiwa diwaktu awal Islam sedang berkembang. Ibnu Abbas r.a. menceritakan bahawa ketika Allah menentukan atas kaum Mukminin, hendaknya setiap orang di antara mereka menghadapi sepuluh orang musuh. Maka hal ini dirasakan amat berat bagi mereka, maka kemudian Allah s.w.t. memberikan keringanan kepada mereka sehingga seorang Mukmin hanya ditentukan menghadapi dua orang musuhnya saja.

Sepertimana perintah solat yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w. pada malam Mikrajnya yang mana perintah awal tersebut mewajibkan Mukmin bersolat 50 waktu sehari semalam. Lalu oleh kerana nasihat dari Nabi Musa a.s. kepada Rasulullah berkenaan keupayaan umat manusia pada zaman Rasulullah s.a.w., Rasulullah s.a.w. turun naik bertemu Allah meminta keringanan dalam penetapan kewajiban tersebut. Sembilan kali Rasulullah s.a.w. bertemu Allah pada malam tersebut bagi memohon keringanan. Pada setiap permintaan itu, lima waktu dikurangkan sehingga ke tahap tinggal lima waktu sembahyang sahaja yang diwajibkan sehari semalam oleh Allah. Nabi Musa a.s. pada akhir penetapan tersebut masih lagi menasihatkan Rasulullah s.a.w. supaya diminta keringanan lagi tetapi Rasulullah s.a.w. telah menyatakan kepadanya bahawa baginda amat malu untuk bertemu Allah setelah semua keringanan ini diberikan.

Kini 1400 tahun setelah peristiwa Isra’ Mikraj tersebut, nyata apa yang dikatakan Nabi Musa a.s. ada benarnya. Lihatlah disekeliling kita, berapa ramai umat Islam yang tidak bersolat. Mereka ini hanya Islam pada nama tidak pada amalan dan penghayatan.

Rahsia Allah memberikan perintah berat pada setiap mulanya hanya untuk menguji keupayaan serta keimanan hamba-hambaNya yang Dia sendiri sudah sedia mengetahui mengenai keupayaan mereka. Bagi yang beriman, tiada masalah dengan perintah seberat itu. Tetapi bagi kebaikan manusia yang biasa keseluruhannya, perkara tersebut mungkin terasa dihati mereka agak berat untuk dituruti.

Dan Allah memberikan kelonggaran kepada yang memohon kepadaNya. Nabi Musa a.s. menasihatkan Rasulullah s.a.w. dalam malam Mikraj tersebut juga merupakan ketentuan Allah kepadanya. Ini kerana Rasulullah merupakan hambaNya yang taat dan patuh dan Allah sangat mengetahui mengenainya. Lalu Allah mengilhamkan kepada Musa a.s. untuk berbicara dengan Rasulullah s.a.w. supaya memujuk baginda kembali kepada Yang Maha Mengetahui dan Maha Pengasih untuk dikurangkan waktu solat yang diwajibkan tersebut. Sama seperti peristiwa dalam ayat Al Anfaal 65 dan 66 di atas. Rayuan dan permintaan hamba-hambaNya sentiasa didengari kerana bukanlah amal ibadat itu diperlukanNya, tetapi sebenarnya diperlukan hamba-hambaNya.

Berbalik kepada cerita Khunais Bin Hudzaifah As Sahmy, suami kepada puteri Umar Al Khattab r.a. Beliau gugur sebagai syuhada dalam perang Badar tersebut. Berikutan peristiwa tersebut, tinggallah Hafsah menjadi balu menanggung keluarganya sendiri. Dalam keadaan celaru dan terkejut kerana kehilangan tempat bergantung, ayahandanya, Umar Al Khattab r.a. tidak menunggu lama membiarkan puterinya terkapai-kapai dalam menempuh kehidupan, lalu Umar pun dengan segera bertemu Saidina Usman Bin Affan r.a. dengan niat menawarkan kepadanya untuk memperisterikan Hafsah. Ini kerana Saidina Umar r.a. tidak mahu hanya menunggu mana-mana pihak datang melamar puterinya. Dia mengambil keputusan berjumpa dengan Saidina Usman yang dikiranya mempunyai ciri-ciri lelaki yang beriman yang bertanggungjawab dan dapat memastikan kebahagiaan puterinya itu.

Saidina Usman r.a. memberikan jawapan bahawa perkara tersebut akan difikirkannya terlebih dahulu. Selepas beberapa hari, Saidina Usman r.a. kembali kepada Saidina Umar dengan baik menyatakan bahawa dia tidak dapat menerima pelawaan tersebut. Lalu, Saidina Umar yang tidak mahu menunggu lama berjumpa pula dengan Saidina Abu Bakar r.a.

Saidina Abu Bakar r.a. tidak memberikan sebarang jawapan terhadap permintaan Saidina Umar r.a. tersebut. Akhirnya, beberapa hari sesudah itu, datanglah lamaran dari Rasulullah s.a.w. untuk mengambil Hafsah sebagai isteri baginda. Umar sangat gembira dengan berita ini. Dia tidak menyangka bahawa hubungannya dengan Rasulullah s.a.w. akan dieratkan pula melalui hubungan ini iaitu sebagai besan.

Dengan perkahwinan ini, ramai dari suku yang sama dengan Saidina Umar Al Khattab r.a. memeluk Islam kerana berasa seperti dimuliakan melalui hubungan darah dengan Rasulullah s.a.w.

Hafsah pernah ditalak oleh Rasulullah. Mendengar mengenai perkara ini, Saidina Umar r.a. berasa sangat sedih sehinggakan menaburkan pasir-pasir di atas kepalanya sambil berkata, “Allah tidak akan peduli lagi kepada Umar dan anaknya..”

Sehari selepas peristiwa tersebut, Jibril a.s. datang melawat Rasulullah s.a.w. dan berkata; “Sesungguhnya Allah menyuruhmu merujuk Hafsah kerana belas kasihNya ke atas Umar,"

Ada juga riwayat yang menyatakan bahawa Jibril menyatakan : “Rujuklah Hafsah, kerana dia adalah wanita yang banyak berpuasa, banyak bangun malam (bersolat di tengah malam) dan dialah isterimu di dalam syurga,” (Hadis Riwayat Ibnu Sa’ad melalui sanad mursal)

Rasulullah s.a.w. merujuk Hafsah kembali. Umar r.a. kemudiannya menyatakan kepada anaknya itu setelah dia dirujuk Rasulullah s.a.w. : “Hai Hafsah, Demi Allah, aku tahu bahawa Rasulullah tidak cinta kepadamu. Kalau bukan kerana aku, tentulah engkau sudah diceraikan sejak dahulu,"

Bersambung ke bahagian 5, (Klik sini)

© Disember 2007 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.

eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...

Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)


Author Image

satuhala
Satuhala merupakan blog kendalian Imran Haaz.

1 comment:

Anonymous said...

assalamualaikum,

saya amat berbangga dgn apa yang telah saudara usahakan,TAHNIAH,semoga ALLAH memberkati, teruskan,teruskan,teruskan dengan nama ALLAH