Saturday, December 29, 2007

Memperbetulkan Serta Menjawab Pertuduhan Yang Menyatakan Rasulullah s.a.w. seorang Kaki Perempuan dan Paedophile. Bahagian 3

oleh Muhammad Ibn 'Az

(artikel ini merupakan bahagian tiga dari posting dengan tajuk yang sama, bahagian 2nya boleh dibaca dengan klik sini.)

Berbeza dengan majoriti pemuda berusia serupa dari zaman Jahiliah sehingga zaman millennia ini, Rasulullah s.a.w. merupakan seorang yang fokus mengenai hala tuju hidupnya. Dia tidak berfoya-foya jauh sekali mempunyai mana-mana teman istimewa.

Akhirnya, setelah semua bersetuju dengan cadangan dari pihak Siti Khadijah r.a., perkahwinan antara Rasulullah s.a.w. diadakan Siti Khadijah r.a. dilangsungkan.

Ketika Rasulullah berusia tiga puluh lima tahun, sewaktu beliau belum diangkat oleh Allah sebagai seorang nabi. Kota Makkah dilanda banjir besar sehingga merosakkan binaan Ka’abah.

Pada awal usaha pembaikan, orang-orang Quraisy merasa agak sangsi dan takut untuk meruntuhkan Ka’abah bagi kerja pembaikan tersebut. Tetapi apabila seorang dari mereka yang bernama Al-Walid bin Al-Mughirah Al-Makhzumy memulakan kerja meruntuhkan binaan Kaabah yang rosak dan setelah mereka melihat tidak ada hal buruk yang terjadi pada Al-Walid, orang-orang Quraisy pun mulai ikut meruntuhkan Ka’abah sampai ke bagian rukun Ibrahim.

Mereka kemudian membagi sudut-sudut Ka’bah dan mengkhususkan setiap kabilah dengan bagian-bagiannya sendiri. Rasulullah sendiri ikut dalam usaha tersebut. Pada ketika pembangunan sudah sampai ke bahagian Hajar Aswad, mula timbul perselisihan antara bangsa Quraisy yang terlibat dalam pembinaan semula Ka’abah tersebut. Mereka mempertikaikan kabilah mana yang sepatutnya mendapatkan kehormatan untuk meletakkan Hajar Aswad ke tempatnya semula. Perselisihan pendapat ini berlangsung selama beberapa hari bahkan hampir menyebabkan pertumpahan darah.

Abu Umayyah bin Al-Mughirah Al-Makhzumi kemudian memberikan saran kepada mereka agar menyerahkan keputusan kepada orang yang pertama kali masuk ke pintu masjid pada waktu subuh. Kesemua kabilah terbabit bersetuju dengan cadangan tersebut. Apabila tiba waktu yang dijanjikan, maka dengan takdir Allah s.w.t., Baginda Rasulullah s.a.w. menjadi hamba Allah yang pertama memasuki pintu masjid tersebut. Melihatkan kepada kelibat baginda, semua orang Quraisy dalam kabilah-kabilah bertelagah terbabit berasa gembira dan lapang dada kerana baginda merupakan orang yang menjadi kepercayaan semua di Kota Mekah.

Bagi mengatasi masalah perbalahan mengenai perebutan hak ekslusif meletakkan hajar Aswad di tempatnya, baginda mengambil selembar selendang lalu membentangkannya. Kemudian Hajar Aswad itu diletakkan di tengah-tengan selendang tersebut. Baginda lalu meminta seluruh pemuka kabilah yang berselisih untuk memegang setiap hujung selendang tersebut. Mereka kemudiannya mengangkat Hajar Aswad itu bersama-sama. Setelah mendekati tempatnya, Rasulullah s.a.w. kemudiannya meletakkan Hajar Aswad tersebut ke tempatnya. Kebijaksanaan baginda ini menyelamatkan satu lagi tragedi pertumpahan darah yang menjadi sesuatu yang lumrah dikalangan puak-puak Arab yang berselisih.

Pada ketika hampirnya tiba waktu di mana Muhammad s.a.w. bakal dilantik sebagai Khatamun Nabiyyin, Penutup bagi segala Nabi dan Rasul, mimpi-mimpi baginda disertai oleh berita-berita baik yang akhirnya membawa kepada baginda mengasingkan diri bagi menjauhkan diri baginda dari Kota Mekah yang dipenuhi maksiat. Siti Khadijah r.a., seorang isteri yang amat mengambil berat mengenai perihal suaminya, setia menghantarkan bekal makanan dengan memanjat bukit An Nur bagi memastikan suaminya yang tercinta itu sentiasa dalam keadaan selesa dalam mengasingkan diri.

Kemudian apabila tiba waktu yang dijanjikan, tidak dilewatkan atau dilambatkan walaupun sesaat, Ruhul Quddus yakni Jibril a.s. mendatangi baginda membawa wahyu pertama kepada baginda untuk umat manusia keseluruhannya. Wahyu tersebut terkandung dalam surah Al ‘Alaq. Pendeta-pendeta Yahudi dan Nasrani telah lama mengetahui mengenai sifat-sifat dan cara mengenali Rasul akhir zaman yang bakal dilantik. Ianya terkandung dalam kitab-kitab mereka dan sebahagian dari ayat-ayat tersebut tidak terpadam sehingga kini dan masih wujud dalam Bible yang dibaca majoriti Kristian. Wahyu pertama ini juga mengandungi petanda-petanda yang dicari pendeta-pendeta Yahudi dan Nasrani. InsyaAllah di kesempatan yang lain saya akan menghuraikan perkara ini dalam posting saya berkenaan dengan rahsia surah Al-‘Alaq, kalimah Bismillah dan kaitannya dengan petunjuk-petunjuk yang dinyatakan dalam kitab-kitab wahyu Allah sebelum dari Al-Qur’an.

Baginda yang meluru pulang dalam ketakutan disambut Siti Khadijah dengan wajah yang tenang. Suaminya yang berada dalam keadaan ketakutan itu diselimutinya dan ditenangkan. Melalui cadangannya, maka Rasulullah s.a.w. di bawa olehnya untuk bertemu salah seorang sepupunya yang merupakan pendita Yahudi yang sangat berusia. Waraqah bin Naufal, sepupu Siti Khadijah tersebut, menyatakan bahawa apa yang dialami baginda itu merupakan wahyu dari Allah yang sekaligus membawa maksud bahawa baginda telah diutus menjadi Rasul.

Waraqah bin Naufal, juga menyatakan bahawa dia berjanji akan mempertahankan baginda dengan nyawanya pada ketika Rasulullah diusir oleh musyrikin Mekah nanti. Pernyataan dari mulut Waraqah ini mengejutkan baginda. Lalu baginda pun bertanya apakah baginda akan dihalau dari kampung halamannya yang tercinta? Waraqah memberitahu bahawa memang itulah takdir bagi setiap yang memikul tugasan berat tersebut.

Siti Khadijah menjadi isterinya yang amat disayangi serta dikasihi baginda. Cinta baginda terhadap Siti Khadijah tidak pernah luput biarpun selepas lama Siti Khadijah r.a. meninggal dunia. Ini dibuktikan melalui beberapa peristiwa yang dicatatkan dalam hadis baginda. Rasulullah tidak pernah lekang dari mulutnya memuji Siti Khadijah r.a. biarpun selepas Siti Khadijah meninggal dunia dan baginda mendirikan rumahtanggannya dengan isteri-isteri baginda yang lain.

Rasulullah s.a.w. hanya beristerikan Siti Khadijah seorang sehinggalah Siti Khadijah meninggal dunia. Baginda setia kepadanya dan hidup susah senang dengannya sehingga ke akhir hayatnya. Cinta Rasulullah s.a.w. kepada Siti Khadijah adakalanya menimbulkan rasa cemburu dalam hati isterinya, Siti A’isyah r.a., yang dinikahi selepasa beberapa tahun dari kematian Siti Khadijah r.a.

Siti A’isyah yang masih muda remaja menyatakan serta mengakui bahawa dia amat mencemburui rasa cinta Rasulullah terhadap Siti Khadijah biarpun dia tidak pernah bersemuka dengan Siti Khadijah r.a. Peristiwa ini ada dicatatkan dalam hadis.

Berkata A’isyah r.a.: “Tidak pernah aku cemburu kepada seseorangpun isteri-isteri Rasulullah s.a.w. seperti cemburuku kepada Siti Khadijah, padahal aku tidak pernah melihatnya. Tetapi Rasulullah sering menyebutnya.Seringkali Rasulullah menyembelih kibasy kemudian dipotongnya anggota-anggota kibasy tersebut lalu dikirimkannya kepada bekas teman-teman Sayyidah Khadijah. Aku berkata kepada Rasulullah : “Seakan-akan tidak ada wanita lain dalam dunia ini, selain Khadijah sahaja.” Spontan beliau menjawab; :”Sungguhnya Khadijah itu adalah begini dan begini (terhadapku, yakni Rasulullah dan agama Islam) dan juga daripadanya pula aku mendapat anak.”
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

Rasa rindu baginda terhadap isterinya yang lama telah meninggal dunia dapat dilihat dalam satu peristiwa di mana Halah Binti Khuwailid, iaitu saudara Siti Khadijah datang berkunjung kepada Rasulullah s.a.w., lantas baginda kenal cara meminta izinnya untuk memasuki rumah yang sama seperti cara serta suara Siti Khadijah r.a. Baginda terharu kerana teringat baginda kepada Siti Khadijah sambil berucap, : “Wahai Tuhanku, aduh Halah Binti Khuwailid.” Lalu A’isyah dengan spontan berkata : “Apa yang tuan kenang dari seorang wanita dari golongan yang merah bibir, yang sudah ditelan masa, padahal Allahtelah menggantikannya dengan yang lebih baik daripadanya.”

Mendengar ucapan A’isyah itu, timbul marah Rasulullah seraya dia berkata: “Tidak A’isyah, Allah belum menggantikan isteriku itu dengan wanita yang lebih baik, kerana dia telah percaya kepadaku tatkala orang lain masih lagi dalam bimbang keingkaran, dia telah membenarkan aku, tatkala orang lain mendustakan aku, dia telah mengorbankan harta bendanya, tatkala orang lain menahan kemurahan mereka terhadapku dan dia telah melahirkan beberapa anak untukku tatkala orang lain mengharamkan anaknya kepadaku.”

Rasulullah pada ketika awal baginda menyampaikan dakwah, baginda telah dilayan dengan bermacam bentuk penghinaan dan perbuatan-perbuatan kejam dari masyarakat yang menolak apa yang cuba disampaikan baginda. Pada ketika itulah satu-satunya suara yang memberikan sokongan dan semangat kepada baginda datang dari isterinya Siti Khadijah.

Pada setiap ketika Rasulullah dicerca, dipukul, dihinakan, dihalau dan seriba macam lagi tentangan kejam yang dikenakan kepada baginda oleh masyrakat, Siti Khadijah dengan setia membantunya dengan merawat baginda dan memberikan sokongan moral biarpun sehingga mereka dipulaukan. Tetap dia tidak berganjak walaupun seinci dari sokongannya terhadap baginda. Siti Khadijah r.a. berdiri teguh dibelakang suaminya itu sehingga ke akhir hayatnya setelah kaum muslimin dikepung dan dipulaukan oleh musyrikin Mekah kerana dakwah yang disampaikan Rasulullah. Tidak pernah sekali pun dia menyesal dan menasihatkan Rasulullah berhenti dari melakukan tanggungjawabnya melainkan menyatakan sokongannya yang tidak berbelah bahagi kepada Islam dan apa yang di bawa suaminya.

Dari seorang yang kaya raya, Sayyidah Siti Khadijah meninggal dunia dalam keadaan sangat miskin kerana hartanya habis diberikan bagi membantu golongan mukmin yang menghadapi kesukaran sewaktu peristiwa dipulaukan tersebut dan membantu perjuangan suaminya. Kematian Siti Khadijah r.a. digambarkan Rasulullah s.a.w. tahun tersebut sebagai tahun kesedihan yang mana membuatkan Rasulullah s.a.w. berkelana ke Taif bagi mengubat hatinya serta mendapatkan sokongan baru bagi kaum Mukmin. Penduduk Taif juga menyambut baginda dengan hinaan, cercaan serta balingan batu yang mendatangkan kecederaan kepada baginda.

Betapa besar pengorbanan seorang isteri yang bernama Siti Khadijah ini kepada tanggungjawab yang harus dilaksanakan suaminya yang tercinta tanpa pernah dia bersungut dan mengeluh. Betapa besarnya pengorbanannya sehingga kita di nusantara ini akhirnya mendapat hidayah dapat menghirup udara pemberian Allah ini sebagai umat manusia yang beriman kepadaNya.

Sedih rasanya apabila ada diantara kita apabila diberikan Allah pinjaman berupa kesenangan dan kemasyhuran sementara di dunia ini, sanggup menghinakan wanita yang amat disayangi Rasulullah s.a.w. dengan dengan cercaan yang amat mengguriskan perasaan umat Islam. Sedangkan Rasulullah s.a.w. juga ada terasa hati bila A’isyah r.a. merasa cemburu dengan Siti Khadijah sepertimana yang diceritakan dalam hadis di atas.

Bersambung pada bahagian 4... (klik sini)

© Disember 2007 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.

eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...

Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)

Thursday, December 27, 2007

Memperbetulkan Serta Menjawab Pertuduhan Yang Menyatakan Rasulullah s.a.w. seorang Kaki Perempuan dan Paedophile. Bahagian 2

oleh Muhammad Ibn 'Az

Dalam bahagian dua ini selepas mukadimah yang dimuatkan sebelum ini, saya ingin membawa semua pengunjung untuk kembali mengenali siapa itu Muhammad Bin Abdullah. Saya tahu ramai yang mengenali siapa dirinya, sikap-sikapnya, perbuatan-perbuatannya, susuk fiziknya dan sumbangannya yang tidak terkira banyaknya kepada dunia. Allah s.w.t., Tuhan sekelian alam sendiri menggelarkannya dengan gelaran Rahmatan Lil ‘Alamiin. Ianya boleh dibaca dalam surah berikut:

Al Anbiyaa’ 107
Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Berikutan banyak tohmahan yang berlegar-legar dalam jaringan maya ini, dapat saya perhatikan bahawa kebanyakan dari pencanang-pencanang tohmahan ini hanyalah mengulangi cakap-cakap dengar yang mereka sendiri tiada pengetahuan mendalam mengenainya. Yang menjuarainya tentulah golongan evangelist. Bersepah di merata-rata artikel-artikel serta video-video tohmahan mereka di seluruh jaringan maya ini. Kebanyakannya dengan kesat melemparkan kata-kata nista yang menyerang peribadi kekasih orang-orang mukmin ini.

Pepatah Mat Saleh pernah menyatakan ‘Don’t Judge A Book By Its Cover’ yang secara umumnya membawa maksud, jangan menilaikan sesuatu itu hanya dengan melihat kepada luaran sahaja. Secara khususnya pepatah itu membawa maksud jangan menyatakan sesuatu yang anda tiada pengetahuan mengenainya.

Tetapi apa yang berlaku, tidak sebagaimana kena dengan isi pepatah tersebut, mereka ini, yakni golongan evangelist dan penentang Islam dengan sembrononya menghentam tanpa ilmu pengetahuan hanya berdasarkan kepada perasaan hasad dengki yang dibisiki syaitan. Rasulullah s.a.w. sifat luar dan dalamnya mencerminkan kemuliaan tertinggi yang sukar dicapai mana-mana insan lain. Pendek kata ‘Covernya’ baik, isi dalamannya juga baik.

Michael H. Hart dalam bukunya yang bertajuk The 100 : A Ranking Of The Most Influential Persons Of History (© Hart Publishing Co. Inc, New York cetakan 2005, diterbitkan di Malaysia oleh Golden Books Centre Sdn. Bhd. www.goldenbookscentre.com) menyatakan:

Muhammad, however, was responsible for both the theology of Islam and its main ethical and moral principles. In addition, he played the key role in proselytizing the new faith, and in establishing the religious practices of Islam. (terjemahannya : Muhammad, walaubagaimanapun, merupakan orang yang bertanggungjawab (dalam memperkenalkan) prinsip ketuhanan dan prinsip moral serta etika utama dalam Islam. Sebagai tambahan, dia memainkan peranan utama dalam penyebaran agama baru dan dalam mengukuhkan amalan-amalan praktikal dalam Islam.)

Sekiranya Rasulullah s.a.w. diletakkan oleh Michael H. Heart pada kedudukan nombor 1 dalam seratus tokoh yang diulas pencapaian mereka dalam sejarah di dalam bukunya, dan dia juga menegaskan dalam petikan di atas bahawa Rasulullah s.a.w. merupakan orang yang bertanggungjawab menegakkan prinsip-prinsip moral dan etika dalam Islam kepada masyarakat pagan (musyrikin) Arab yang terkenal dengan kehancuran moral pada ketika itu, maka bolehkah dia (Rasulullah) digelar sebagai kaki perempuan? Agak ironi bunyinya bukan?

Sebelum meneruskan perbincangan mengenai topik ini, amatlah perlu bagi kita mengenali apa itu yang dimaksudkan dengan ‘kaki perempuan’. Jika ingin memasuki zon Islam untuk mempertikaikan atau menuduh atau menyatakan sesuatu, penggunaan akal fikiran perlu diutamakan. Dalam Islam tiada zon sembrono dan membuta tuli. Dalam Islam tiada ruang argumentasi dan toleransi bagi bukti-bukti palsu. Yang ada hanya kebenaran yang dinyatakan benar setelah menilaikannya menggunakan akal fikiran setelah merujuk kepada Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Jadi sebagai permulaan, kita seharusnya mula menggunakan akal untuk memahami apa itu yang dimaksudkan dengan perkataan ‘Kaki Perempuan’. ‘Kaki Perempuan’ yang dibincangkan di sini bukanlah terminology yang membawa maksud kaki bagi seorang perempuan. Tetapi ‘kaki perempuan’ yang dibincangkan di sini ialah satu terminology yang digunakan untuk menggambarkan sifat dan tabiat semulajadi seorang lelaki hidung belang yang pengisian hidupnya diisi dengan perbuatan mempermain-mainkan perasaan wanita, menggunakan mereka sebagai objek pemuas nafsu dan akhirnya mereka-mereka ini ditinggalkan sehabis madu mereka diteguk.

Lelaki yang dinamakan sebagai ‘kaki perempuan’ ini juga memburu wanita untuk ditundukkan bagi memenuhi keperluan material dan syahwat mereka. Terdapat satu perkataan yang digunakan secara meluas hampir di seluruh dunia samada secara rasmi atau pun tidak rasmi. Perkataan itu membawakan erti yang sama dengan ‘kaki perempuan’. Perkataan itu ialah KASANOVA atau CASANOVA dalam Bahasa Inggerisnya. Menurut kamus Oxford, erti tepat bagi memberikan maksud kepada perkataan ini adalah seperti yang tertera di bawah:

Casanova

noun a man notorious for seducing women.

(terjemahannya : Kata Nama lelaki yang terkenal jahatnya dalam menggoda wanita)

Perkataan Casanova ini diambil sempena nama seorang pengembara Itali bernama Giovanni Giacomo Casanova (1725-1798).

Oleh kerana Rasulullah s.a.w. telah ditohmah dengan meluas dalam jaringan maya sebagai seorang ‘kaki perempuan’ atau ‘casanova’, maka disinilah bermulanya langkah pertama bagi saya untuk membuktikan apa yang dinyatakan itu tidak lebih hanya kepada menggambarkan kebodohan minda bagi mereka yang mencanangkannya.

Jika seseorang menggelarkan anda sebagai Einstein di dalam kelas, maka seharusnya andalah yang paling bijak dalam kelas anda tersebut dan pemikiran anda mendahului rakan-rakan anda. Sama seperti kualiti yang ada pada Einstein yang pemikirannya mendahului pemikiran saintis-saintis semasa dengannya. Apabila anda digelarkan sebagai kasanova pula, kualiti dan cara hidup yang ada pada Giovanni Giacomo Casanova juga seharusnya ada kepada anda sehingga melayakkan anda untuk digelarkan sedemikian rupa.

Oleh kerana pihak penentang Islam yang kematian akal dan korup modal gemar menggelarkan Rasulullah s.a.w. sebagai Casanova, maka kita selidiki apakah benar cara hidup Rasulullah s.a.w. sama seperti orang tidak bermoral yang disamakan dengannya.

Dengan ini, saya mengambil usaha mencari biografi hidup Giovanni Giacomo Casanova untuk dibuat perbandingan. Di bawah ini nanti, saya serba sedikit akan menceritakan kepada anda siapa itu Giovanni Giacomo Casanova dan cara hidupnya. Selepas dari itu, saya akan menceritakan pula mengenai riwayat hidup Rasulullah s.a.w. untuk dibuat perbandingan. Pembaca dan pengunjung yang bijak dan mahu menggunakan akal pastinya mereka akan dapat membuat satu keputusan samada tohmahan ‘casanova’ ke atas Rasulullah s.a.w. itu mengandungi kebenaran atau pun hanya tohmahan yang dilemparkan oleh golongan yang bebal akal fikirannya.

Giovanni Giacomo Casanova dilahirkan di Venice pada 1725. Beliau merupakan anak kepada seorang aktres bernama Zanetta Farussi, isteri kepada pelakon bernama Gaetano Giuseppe Casanova yang merupakan sepupu kepada Wolfgang Amadeus Mozart.

Di dalam biografinya, dia menyatakan bahawa dia kehilangan terunanya pada usia 16 tahun kepada dua orang gadis adik beradik yang menurutnya, mereka menyerahkan diri mereka kepadanya. Pada usia tersebut juga, dia menerima Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang perundangan dari Universiti Padua. Dia juga mengambil kursus dalam falsafah moral, bidang kimia dan matematik di universiti yang sama. (ed- agak menarik apabila mengetahui bahawa beliau juga mengambil kursus dalam falsafah moral tetapi tidak pernah mempraktikkannya. Ironinya pula sepertimana yang dinayatakan Michael H. Hart dalam petikan di atas tadi, Rasulullah, seorang yang ummi iaitu tidak tahu membaca dan menulis, merupakan orang yang bertanggungjawab menegakkan sistem moral dan etika dalam masyarakat yang sangat tidak bermoral pada waktu tersebut.)

Pada 1740 Casanova kembali ke Venice di mana dia memulakan kerjayanya sebagai pendakwah bagi hal yang berkaitan undang-undang di gereja. Tetapi dia tidak menghabiskan banyak masa dengan kerjayanya di gereja oleh kerana sifat semulajadinya yang agak liar dan lebih banyak terdorong dengan aktiviti-aktiviti seksual. Kerjayanya di gereja juga banyak terpalit dengan skandal-skandal akibat tabiat buruknya tersebut. Selepas meninggalkan gereja, dia memasuki perkhidmatan tentera sebagai pegawai rendah tentera bagi Republik Venice. Dia dihantarkan ke Constantinople (Istanbul sekarang) untuk berkhidmat. Oleh kerana dia merasakan bosan dan menganggap kariernya dalam bidang ketenteraan tidak menjamin masa depannya, maka sekali lagi dia menukar karier.

Kembali ke Venice, dia menjadi seorang pemain biola dalam Teater San Samuele. Pada usia 21 tahun, dia telah menyelamatkan nyawa seorang bangsawan Venice dari keluarga Bragadin, yang mana mereka inilah yang menjadi tempatnya bergantung dan seterusnya mereka inilah yang menjadikannya sebagai salah seorang lelaki yang kaya raya. Casanova sekali lagi meninggalkan Venice pada 1748, kali ini juga disebabkan oleh satu lagi skandal di mana dia dituduh memperkosa seorang gadis. Bagaimanapun pertuduhan ke atanya ini ditarikbalik dan dibersihkan namanya.

Dia kemudian menghabiskan masa dengan berhijrah ke beberapa tempat seperti Paris, Dresden, Prague dan Vienna. Akhirnya pada 1753 dia kembali ke Venice. Dalam tahun 1755, pada usia beliau 30 tahun, dia ditahan dan dituduh sebagai mengamalkan ilmu hitam oleh Inquisitori di Stato Venice dan dia dipenjarakan di I piombi, sebuah penjara terkenal di sana. Dia dipenjarakan selama 5 tahun tanpa diberikan apa jua bentuk perbicaraan atau pun dijatuhkan sebarang hukuman yang ditetapkan. Dalam memoirnya, dia menyatakan bahawa dia mengetahui apa kesalahan yang dilakukannya tetapi dia tidak menyatakan bentuk kesalahan yang dilakukan untuk dicatatkan dalam memoirnya.

Bagaimanapun pada 1756 dia berjaya meloloskan diri dari penjara tersebut dan melarikan diri ke Paris. Sebelum darinya belum ada seorang pun banduan yang ditahan berjaya melepaskan diri dari penjara yang dikatakan paling ketat kawalannya.

Di Paris, dia menjadi seorang pemegang amanah bagi Loteri Kebangsaan yang pertama. Kedudukannya ini menjadikannya dapat mengumpul kekayaan yang amat besar. Bagaimanapun sebahagian dari kekayaan yang terkumpul hilang akibat banyak kegiatan tidak bermoralnya dengan wanita-wanita yang menjadi pekerjanya. Akibat dari itu, dia menanggung hutang piutang yang banyak lalu dipenjarakan selama 4 hari atas sebab ini.

Dia sekali lagi cuba ditahan pihak berkuasa akibat masalah hutangya di beberapa tempat lain, tetapi berjaya meloloskan dirinya ke Switzerland di mana perancangannya pada mulanya dia ke sana, dia berhasrat untuk menjadi seorang paderi Katolik. Bagaimanapun niat itu ditukar dan dia kemudiannya mengunjungi Albrecht von Haller dan Voltaire. Bermula 1760, dia mula mengelarkan dirinya dengan gelaran Chevalier de Seingalt (Chevalier merupakan gelaran bagi pangkat seperti panglima) dan terkadangnya dia menggunakan gelaran Count de Farussi (Farussi merupakan nama asal ibunya) dengan niat mengelabui mata orang ramai dan mencari kedudukan dalam masyarakat. Bagaimanapun akhirnya, Pope Clement XIII akhirnya pada satu ketika menganugerahkannya dengan anugerah pingat Éperon d'Òr. Akhirnya Casanova memperolehi gelaran Chevaliar yang diidam-idamkannya secara sah menerusi pemberian angurah dari Pope tersebut.

Casanova bersara pada 1785 dan seterusnya dia berkhidmat sebagai pustakawan kepada Count Joseph Karl von Waldstein, seorang chamberlain (pengurus kediaman diraja) bagi Maharaja di Istana Dux, Bohemia (kini dikenali sebagai Istana Duchov, Republik Czech). Disinilah tempatnya di mana dia memulakan usahanya menulis autobiografinya. Kehidupan diakhir-akhir penghujung usianya sangat membosankan, menyakitkan dan mengecewakan dirinya. Semua yang bekerja di Istana Dux tersebut membenci sikap dan perangainya dan dia bukanlah merupakan seorang yang dihormati di sana malah dibenci. Pada 1798 akhirnya dia menghembuskan nafas yang terakhir di tempat di mana ramai manusia disekelilingnya membenci dirinya.

Itu serba sedikit yang mampu dicatatkan mengenai Giovanni Giacomo Casanova. Jika anda ingin mengetahui kisahnya yang lebih mendalam, google saja namanya dan bacalah untuk menambah fakta yang tidak terhidang dan sengaja tidak dihidangkan di sini kerana rasanya agak tidak sesuai.

Sebagai perbandingan, saya ceritakan serba sedikit pula mengenai sejarah hidup Rasulullah s.a.w. untuk dibuat perbandingan. Bagi yang sudah biasa dan arif benar dengan kisah Rasulullah, anggaplah ini sebagai mengimbas kembali apa yang biasa didengar dan dipelajari. Perlu bagi saya menceritakan sedikit sebanyak perihal baginda bagi yang kurang biasa dengannya bagi mengenali budi pekerti baginda yang sebenarnya dan diakhirnya dapat dibuat perbandingan dengan orang yang disinonimkan dengan perkataan ‘kaki perempuan’ untuk dinilaikan smaada tuduhan tersebut benar ataupun tidak.

Muhammad Bin Abdullah merupakan putera tunggal bagi pasangan Abdullah dan Siti Aminah. Ayahanda baginda meninggal dunia dalam satu perjalanan mengikuti kafilah perniagaan ke Syam semasa baginda masih dalam kandungan lagi. Baginda dilahirkan dalam kabilah Bani Hasyim yang merupakan antara keluarga yang paling dihormati di Mekah. Datuknya Abdul Mutallib merupakan penjaga kota suci Mekah.

Semasa kanak-kanak, baginda diserahkan kepada sebuah keluarga miskin untuk disusukan oleh ibu susuannya iaitu Halimatus Sa’adiah. Pada usia 6 tahun, ibunya, Siti Aminah pula meninggal dunia dan meninggalkannya sebagai yatim piatu dan dipelihara pula oleh datuknya Abdul Mutallib.

Baginda kemudiannya diserahkan kepada bapa saudaranya Abu Talib untuk dipelihara. Menerusi cadangan Abu Talib, baginda mula berniaga atas amanah membawa dagangan milik seorang wanita Quraisy yang kaya raya. Wanita tersebut ialah Sayyidah Siti Khadijah Binti Khuwailid r.a., beliau bersetuju membenarkan baginda Rasulullah s.a.w. membawa dagangan miliknya untuk di niagakan di Syam atas kepercayaan beliau kepada baginda yang sudah sedia terkenal diseluruh Kota Mekah sebagai As Siddiq (Yang Benar) dan Al Amin (Yang Amanah).

Gelaran ini diberikan oleh penduduk kota Mekah yang rata-ratanya senang dengan keperibadian Rasulullah s.a.w. Tiada yang jelek dimata mereka mengenai keperibadian Rasulullah. Baginda tidak pernah terlibat dengan apa jua bentuk aktiviti maksiat yang sangat berleluasa di Kota Mekah pada ketika tersebut.

Walaubagaimanapun, Sayyidah Siti Khadijah menugaskan seorang wanita yang menjadi orang kepercayaannya yang bernama Maisarah untuk memerhatikan gerak geri Muhammad sepanjang aktiviti perdagangan itu berlangsung. Sehabis pulang dengan keuntungan lebih dari biasa, Muhammad s.a.w. kembali kepada tuan punya barang dagangan yang diamanahkannya untuk didagangkan. Siti Khadijah yang teramat suka dengan hasil untung perniagaan yang lumayan, berkat dagangan yang diuruskan Muhammad s.a.w. mendapat satu lagi berita gembira yang disampaikan kepadanya oleh Maisarah sebaik baginda s.a.w. pulang.

Maisarah menyampaikan kepada Siti Khadijah bahawa Muhammad itu merupakan sejujur-jujur pemuda yang memegang amanah. Tutur kata, budi bicara dan hemah baginda dalam mengendalikan amanah Siti Khadijah itu disampaikan oleh Maisarah. Maisarah juga menyatakan kepada Siti Khadijah bahawa dia belum pernah melihat dan mengenali mana-mana pemuda yang tulus serta halus budi pekerti sebelum ini. Pemuda-pemuda Kota Mekah pada ketika tersebut tidak jauh bezanya dengan sikap dan sifat majoriti pemuda di zaman sekarang. Jadi benarlah apa yang sering diperkatakan oleh penduduk Mekah. Memang baginda s.a.w. seorang yang teramat amanah. Hati mana yang tidak tertarik dengan budi pekerti mulia. Hati mana yang tidak tertarik dengan wajah seindah purnama.

Atas sifat kejujuran dan amanah yang dinilaikan Sayyidah Siti Khadijah dan dibenarkan pula oleh yang memerhatikannya dengan lebih dekat, Maisarah. Maka tercetus rasa terpikat dalam hati Siti Khadijah kepada pemuda bernama Muhammad ini. Siti Khadijah pada ketika itu berusia 40 tahun dan merupakan seorang janda yang pernah berkahwin sebanyak dua kali. Suaminya yang pertama merupakan lelaki Quraisy yang diriwayatkan bernama Athieq bin Abid. Athieq meninggal dunia tidak berapa lama setelah mendirikan rumahtangga dengan Siti Khadijah r.a. Sesudah itu, Siti Khadijah r.a. dipinang pula oleh seorang lelaki Quraisy bernama Nabassyi Bin Malik dari Bani Usaid Bin Amr Bin Tamim. Sudah ditakdirkan Allah jodohnya dengan Nabassy juga tidak lama, Nabassy juga meninggal dunia semasa masih menjadi suami Siti Khadijah r.a. Kesabarannya diuji dengan ujian kematian suami-suaminya sebelum ini akhirnya diganti Allah dengan nikmat yang lebih baik.

Muhammad s.a.w. pada ketika itu berusia 25 tahun. Seorang pemuda yatim piatu dari keluarga miskin tetapi amat dihormati masyarakat oleh kerana keturunannya serta luhur budi pekertinya. Baginda yang berniaga bagi membantu keluarga bapa saudaranya, kemudiannya dirisik oleh seorang lagi pelayan Siti Khadijah r.a. yang bernama Nafisah bagi membantu hajat tuannya meminang Muhammad s.a.w. Apabila ditanyakan Nafisah kepada baginda apakah baginda tiada keinginan untuk berumahtangga? Lalu baginda memberikan jawapan bahawa dia hanyalah merupakan seorang pemuda yang masih belum tetap mata pencarian dan tiada kemampuan baginya untuk mencukupkan keperluan nafkah rumahtangganya apabila didirikan kelak. Nafisah kemudiannya bertanya lagi apakah baginda mahu berkahwin sekiranya yang ingin bersuamikannya merupakan seorang wanita yang kaya raya dan tidak kisah dengan kedudukannya yang miskin. Baginda kemudian bertanyakan apakah ada wanita berhati mulia sedemikian yang mahukannya sebagai suami. Nafisah menyatakan bahawa ada dan dia menyatakan bahawa Siti Khadijah r.a. yang menghantarnya untuk bertanyakan hal ini. Rasulullah yang gembira dengan kenyataan yang keluar dari mulut Nafisah kemudiannya menyatakan bahawa, dia tidak dapat memberikan keputusan sebelum menimbangkannya serta berbincang dengan bapa saudaranya terlebih dahulu.

Bersambung ke bahagian 3..

© Disember 2007 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.

eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...

Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)

Wednesday, December 26, 2007

Memperbetulkan Serta Menjawab Pertuduhan Yang Menyatakan Rasulullah s.a.w. seorang Kaki Perempuan dan Paedophile.

Assalamualaikum warahmatullah dan selamat sejahtera buat semua. Segala Puji bagi Allah Tuhan sekelian Alam dan selawat dan salam bagi Rasulullah dan ahlul baitnya. Agak lama saya tidak menghadap skrin laptop ini untuk menulis sesuatu yang baru bagi blog ini. Terima kasih kerana blog ini masih setia dikunjungi sahabat-sahabat pengunjung setia. Alhamdulillah selesai AidilAdha, maka segala kesibukan yang agak membataskan ruang masa kini sedikit kelihatan melonggarkan ikatannya. Menulis memerlukan ilham, semangat, sokongan dan kesempatan. Semua tu milik Allah yang boleh diberikanNya kepada siapa jua yang dipilihNya.

Terkadang ada juga ketikanya fikiran agak buntu dengan langkah dan kemajuan seterusnya yang harus dilangkahi. Segalanya bergantung kepadaNya jua. Jika Dia memutuskan sesuatu itu, tiada apa atau siapa yang dapat menghalangNya. Semoga kita semua sentiasa mendapat ruang Keredhaan daripadaNya dalam melakukan setiap suatu. Pada kali ini, jika diizinkan Allah, saya akan cuba mengupas dengan mendalam mengenai perihal pertuduhan yang sentiasa dicanangkan golongan pewaham Islam terutamanya laman-laman Evangelist yang kehabisan modal dalam melemparkan fitnah ke atas satu-satunya agama yang diredhai Allah s.w.t.

Golongan ini sebenarnya telah lama mati akal untuk menyatakan bahawa Al-Qur’an itu bukan wahyu dari Allah, kerana pada setiap kali diperdebatkan serta dibahaskan tentang ayat-ayat Al-Qur’an, maka kitab-kitab mereka yang ditangan pula yang kelihatan terlalu banyak cacatnya. Sebaliknya pula yang berlaku dengan ayat-ayat Al-Qur’an, semakin banyak didebat dan dibahaskan, semakin kelihatan benar ianya wahyu-wahyu yang diutuskan Allah. Maka untuk menyerang menggunakan kaedah dan modal sama yang semakin memakan diri, mereka kini beralih arah dengan menyerang peribadi utusan Allah yang menyampaikan wahyu-wahyu tersebut.

Kerana bagi mereka disitulah tertampak kelemahan-kelemahan yang dapat dimanipulasikan untuk memesongkan mereka-mereka yang tiada pengetahuan serta kurang mengenali peribadi baginda Rasulullah s.a.w. Sebenarnya kaedah yang digunapakai ini juga amatlah mudah untuk dipatahkan tetapi memerlukan kaedah penjelasan yang tepat dan bernas yang membuka minda serta bukti-bukti yang boleh dijadikan contoh.

Ulasan bagi menjawab pertuduhan ini juga didorong oleh persoalan yang dicadangkan oleh Kniels dalam shoutbox satuhala pada 30 November 2007.

InsyaAllah dalam posting kali ini, saya akan cuba memberikan penjelasan tentang pertuduhan-pertuduhan ke atas peribadi Rasulullah s.a.w. seperti yang tersebut dalam tajuk utama posting ini. Saya akan membahagikan posting tentang perkara ini kepada beberapa bahagian mengikut kesempatan dan bahan-bahan yang dimuatkan serta menurut keizinan Allah s.w.t. Antara bahagian-bahagian yang akan dimuat dalam membuat penjelasan ini ialah:

  1. Mengenali Peribadi Rasulullah s.a.w. menurut kaca mata para sahabat dan musuh-musuh baginda.
  1. Mengenali apa itu yang dimaksudkan dengan poligami serta membuat perbandingan dengan cara pelaksanaan poligami dalam Islam dibandingkan dengan tradisi Judeo-Kristian dan beberapa agama lain. (ed – Saya pernah menulis tentang perkara ini dalam artikel bertajuk : “Pluralism : Apakah Semua Agama itu sama? Bahagian 2”. Klik sini untuk membacanya)
  1. Perkahwinan-perkahwinan Rasulullah s.a.w., mengenali para Ummul Mukminin (Isteri-isteri baginda) dan sebab-sebab yang mendorong kepada perkahwinan-perkahwinan tersebut dilangsungkan.
  1. Menjawab pertuduhan Rasulullah s.a.w. sebagai kaki perempuan.
  1. Memberikan penjelasan kepada pengertian ‘paedophile’, sejarah Judeo-Kristian, Hindu, sejarah dunia dan pembentangan fakta-fakta serta statistik mengenai perkara sama yang berlaku dalam dunia kini.
  1. Rasional, hikmah dan kebenaran disebalik perkahwinan Rasulullah s.a.w. dengan Saidatina A’isyah r.a.

Tajuk-tajuk di atas merupakan apa yang akan saya kupas dalam posting yang akan dibahagikan kepada beberapa bahagian. InsyaAllah saya akan muatkan dalam tempoh terdekat satu per satu bermula dari minggu ini.

Monday, December 17, 2007

Menjawab Persoalan Perkahwinan Adam a.s. dan Hawa..

oleh Muhammad Ibn 'Az

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Posting ini bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Seha pada 28 November 2007 melalui shoutbox satuhala. Berikut entry dari Seha, saya membahagikan entrynya kepada dua bahagian, pertama bewarna biru yang akan saya jelaskan dan yang bahagian kedua dalam font merah, merupakan bahagian yang tidak akan saya ulas tetapi saya akan jelaskan sebab mengapa saya berbuat demikian.

assalamualaikum..nak bertanya tentang nabi adam a.s dan siti hawa..macam mana mereka berkahwin, boleh ceritakan sedikit..sebab siti hawa kan diciptakan dari rusuk kiri nabi adam..jadi bagaimana upacara perkahwinan itu diadakan, suasana pada hari itu, apa yang dilakukan pada waktu itu, dlll lagi la. yer..harap boleh ceritakan...adalah sesuatu yang menyeronokkan jika terkenangkan nenek moyang kita...

Wa'alaikumsalam Seha…Terima kasih kerana saudari antara yang setia berkunjung ke sini. Sebelum saya menghuraikan jawapan bagi pertanyaan saudari tersebut, saya ingin menasihatkan saudari agar berhati-hati dengan cara menggunakan fikiran kerana akal fikiran juga mempunyai batas-batasan yang tidak boleh dilewati. Sebagai hamba Allah yang dikurniakan keupayaan akal dan kemampuan analitik, kita seharusnya menggunakan nikmat ini sebagaimana yang Allah mahukan kita menggunakannya, iaitu dengan cara yang mana boleh mendekatkan kita lebih dekat kepadaNya serta dapat memberikan faedah besar kepada kita dan seluruh kemanusiaan. Dalam kita menikmati keupayaan akal ini, seharusnya kita juga mengetahui batas-batasan daerah yang telah Allah s.w.t. telah tegah kita lewati. Bagi yang beriman, cukup apa yang dinyatakan kepada mereka melalui sumber-sumber Allah iaitu Al-Qur'an dan pesuruhNya Muhammad s.a.w. Larangan ini bukanlah bagi tujuan menyekat kebebasan keupayaan minda manusia tetapi lebih kepada sifat RahimNya kepada hamba-hambanya yang bertakwa. Sebagai Al ‘Aliim (Yang Maha Mengetahui) dan Al Al Hakeem (Yang Maha Bijaksana) Allah s.w.t. mengetahui apa bentuk keupayaan maksima terhadap akal yang dianugerahkannya kepada kita. Sebagai Al Khaliq (Yang Maha Pencipta), tentu saja Dia lebih mengetahui mengenai apa saja yang diciptakanNya.

Sebagai contoh seorang jurutera yang membina kereta, tentu saja dia mengetahui apa keupayaan kereta binaannya tersebut dan had-had kegunaan yang harus dipatuhi. Sebagai pencipta kereta tersebut, tentu saja dia telah sedia menggariskan beberapa panduan bagi si pengguna atau pembeli keretanya tentang had-had dan cara penggunaan dan penyelenggaraan yang betul supaya kereta yang dibeli mereka nanti tidak akan menghadapi apa-apa masalah dihari kemudian. Jika saudari mempunyai kereta yang baru dibeli, tentu saudari diberikan sama jadual waktu penyelenggaraan yang telah ditetapkan di dalam kitab manual kereta oleh si pembuat kereta. Pada 5,000 km yang pertama, minyak enjin harus ditukar dan kereta harus dihantar servis. Dalam manual tersebut juga telah dinyatakan dengan jelas had-had penggunaan kereta yang harus di patuhi. Pencipta kereta tersebut juga telah menggariskan beberapa perkara yang dilarang dan tidak boleh dilakukannya. Sebagai contoh, pemanduan bagi kereta berkapasiti 1600 c.c. sepatutnya tidak melebihi kelajuan 200 km/ jam dan jangan sekali-kali melangkaui capaian r.p.m. pada 6500 r.p.m. (putaran per minit). Sebagai jurutera yang menciptakan kereta tersebut, jelas mereka sangat mengetahui mengenai had-had keupayaan ciptaan mereka. Jadi tindakan pemilik kereta yang melampau dan melanggar had-had yang ditetapkan, akan dianggap sebagai tindakan yang amat tidak bijak. Bukan setakat itu sahaja, tindakan tidak bijak dan melampaui batas yang telah ditetapkan oleh si pencipta kereta tersebut, iaitu jurutera yang merekabentuknya, juga akan mengundang masalah kepada si pemilik kereta itu sendiri nanti. Masalah kerosakan enjin pasti akan terjadi dan ini pastinya akan menyusahkan si pemilik kereta tersebut, tidak jurutera yang membinanya. Jurutera kereta itu sedikit pun tidak terkesan dengan akibat perbuatan si pemilik kereta yang yang melampaui batasan yang telah ditetapkan olehnya. Yang menanggung akibat hanyalah si pemilik kereta. Dengan kos pembaikan yang harus di tanggung sendiri dan masalah ketiadaan pengangkutan dan sebagainya hanya ditanggung oleh si pemilik kereta yang melampaui batas. Sebagai Jurutera yang bertanggungjawab, dia telah menggariskan panduan-panduan, cara-cara penjagaan dan batasan-batasan penggunaan yang tidak harus dilanggari oleh mana-mana pemilik kereta.

Begitulah juga dengan kita sebagai manusia. Allah s.w.t. Tuhan yang menciptakan kita semua telah pun di atas sifat Maha MengasihiNya memberikan kita semua sebuah ‘manual’ cara bagaimana untuk kita menjaga diri kita sendiri dalam kehidupan kita di dunia dan mendapat keuntungan berlipat kali ganda di akhirat nanti. Sebagaimana manual untuk kereta, Al-Qur’an pula merupakan satu bentuk cara dan panduan hidup bagi sekelian manusia untuk memahami bagaimana dunia dan makhluk-makhluknya berfungsi. Dalam Al-Qur’an telah dijelaskan segala-galanya dengan begitu jelas. Ianya difahami oleh yang beriman dan berilmu dengannya. Tiada apa yang ditinggalkan kecuali ia meninggalkan mereka-mereka yang meninggalkannya.

Hidup sebagai manusia juga seumpama sebuah kereta. Sebuah kereta hanya akan memberi manfaat kepada tuannya apabila ia dijaga dengan betul, mengikut jadual penyelenggaraan yang betul dan dipatuhi segala batas-batas kepenggunaannya. Jurutera yang membina kereta yang berasaskan bahan bakar petrol, melarang pemilik ciptaannya dari mengisi minyak diesel sebagai gantian bahan bakar terbabit, meskipun harga diesel itu lebih murah. Ini kerana selaku pencipta, tentunya dia lebih mengetahui mengapa dia melarang si pemilik kereta ciptaannya dari mengisi diesel sebagai gantian bahan bakar. Oleh kerana si pemilik kereta tersebut merasakan dirinya lebih pandai dan bijaksana daripada jurutera terbabit dan hanya menggunakan lojik akalnya untuk mengurangkan kos bahan bakar, dia pun mengisikan diesel sebagai langkah penjimatan kos. Akhirnya, keretanya itu langsung tidak dapat bergerak dan mengalami masalah kerosakan enjin yang teruk. Bukankah bodoh tindakannya itu? Sedangkan jutureranya yang bijaksana sudah pun memberikan garis panduan yang betul tetapi si pemilik kereta tersebut masih berdegil dengan menggunakan lojik akal kurang cerdiknya.

Begitulah juga dengan semua larangan Allah ke atas manusia. DilarangNya manusia membuat dosa kerana dosa itu memudaratkan kehidupan manusia di dunia dan akhirat. DiharamkanNya memakan babi oleh kerana banyak kemudaratan daripada kesan memakannya yang boleh menjejaskan kesihatan tubuh badan manusia itu sendiri. Dilarang Allah supaya kita tidak memikirkan perkara-perkara yang diluar kemampuan akal manusia untuk memikirkannya kerana sebagai Pencipta yang Maha Bijaksana, hanya Dia selayaknya tahu tahap maksima keupayaan akal manusia.

Allah s.w.t. menasihatkan semua manusia dalam Al Qur’an supaya tidak memikirkan perkara-perkara ghaib dengan mendalam kerana semua itu di luar bidang keupayaan manusia. Hanya Dia saja yang tahu akibat perbuatan melanggar batasan yang telah Dia tetapkan. Sebagai manusia yang merupakan ‘produk’ ciptaanNya, kita seharusnya patuh kepada segala nasihatNya yang disampaikan melalui Al-Qur’an dan Sunnah RasulNya. Telah Allah s.w.t. berfirman :

Al Israa’ 85
Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".

Al An’aam 59
Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.

Berkenaan dengan soalan saudari mengenai lojik disebalik perkahwinan Nabi Adam a.s. dan Hawa yang menurut pertanyaan saudari tidak sepatutnya berlaku kerana mereka diciptakan dari materi yang sama dan seharusnya dikira sebagai mahram. Sebenarnya sering kita terlupa dalam melayan karenah akal yang dibisiki syaitan, bahawa kita sebenarnya sedang diperkudakannya yang sedang bergelak ketawa menghinakan kemuliaan kita di atasnya. Manusia itu mulia apabila akalnya berfikir sempurna. Manusia menjadi lebih hina dari syaitan yang diperintahkan Allah untuk sujud kepada kita sewaktu penciptaan mula bangsa kita ini apabila akalnya dapat diakali pula oleh syaitan. Syaitan ini besar tipu dayanya tetapi dia hanya berkuasa di atas manusia-manusia yang tidak mahu menggunakan akal.

Mahram itu sendiri hanya kita ketahui batasannya melalui ayat-ayat Allah. Sekiranya tiada ayat Allah berkenaan mahram, maka bukanlah satu masalah bagi kita untuk memahami permasalahan ini. Ketahuilah bahawa pada setiap satu generasi bangsa manusia itu, Allah s.w.t., Tuhan Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana, menggariskan syariat-syariat yang sesuai dan bertepatan dengan kemajuan bangsa manusia itu sendiri. Pada setiap peringkat kewujudan manusia di alam ini, telah Allah s.w.t. tetapkan syariat yang berbeza-beza untuk manusia patuhi. Kita pada zaman akhir setelah kewafatan utusanNya yang terakhir, terikat dengan peraturan yang membataskan perkahwinan sesama mahram. Hukum mahram itu sendiri datangnya dari Allah. Jadi, kenapa pula ia mesti menjadi satu kemusykilan untuk kita bandingkan dengan sekumpulan manusia yang tidak langsung Allah perintahkan untuk mematuhi hukum tersebut? Apakah bijak bagi kita mempersoalkan kebijaksanaan Allah dalam meletakkan sesuatu hukum itu? Cuba fikir, jika di dunia ini hanya ada dua individu manusia yang diciptakan saling berkait antara satu sama lain, dan tujuan mereka diutuskan ke bumi adalah bagi mengembangbiakkan bangsa manusia. Dan pembiakan manusia hanya boleh terjadi dengan melalui hubungan perkahwinan antara keduanya, apakah bijak bagi yang menghantarkan mereka ke sini mengenakan pula hukum mahram yang perlu di batasi? Jadi di mana kebijaksanaannya? Bagaimana untuk berkembangbiak jika perbuatan seumpama itu diharamkan? Ketahuilah, Allah s.w.t. berfirman dalam surah :

An Nisaa' 1
Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati kamu.

Az Zumar 6
Ia menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), kemudian Ia menjadikan daripadanya - isterinya (Hawa); ….

Pada setiap umat ada syariat-syariat tertentu yang harus mereka ikuti dan patuhi. Syariat yang Allah s.w.t. tetapkan ke atas Adam a.s. dan pasangannya ialah untuk memastikan generasi manusia berkembangbiak dan menjadi khalifah di muka bumi ini. Perkara ini di firmankan Allah dalam ayat 67 surah Al Hajj

Al Hajj 67
Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariaatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada ugama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus.

Jadi perkahwinan Adam dan Hawa itu berlandaskan syariat yang ditetapkan oleh Allah ekslusif hanya untuk mereka berdua. Sebagai Pencipta, ianya merupakan hak mutlak bagiNya untuk menetapkan apa jua syariat yang Dia mahu letakkan, kerana sebagai Pencipta, tentulah Dia yang lebih memahami kesesuaian ciptaanNya itu untuk berpasangan dengan siapa. Bagi memudahkan kita memahami apa maksud hak mutlak ini, saya bawakan beberapa contoh yang sering diamalkan manusia yang bijaksana yang diberi keupayaan kepada mereka oleh Allah untuk mencipta. Setiap pencipta, dia sendiri lebih arif dan bijak untuk menentukan apa sebaiknya yang menjadi pelengkap kepada ciptaannya itu.



Seorang pencipta yang mencipta dan menghasilkan botol dari material plastik, telah dengan kebijaksanaannya juga menciptakan tudung penutupnya dari material yang sama iaitu plastik. Tiada manusia lain membantah keputusannya menciptakan tudung botol itu dari plastik. Pasti kita pernah membeli air mineral dalam botol dari mana-mana kedai kan? Pernah tak kita persoalkan kenapa si pencipta botol minuman plastik itu, menciptakan juga penutup botolnya dari bahan plastik? Kenapa tidak material lain? Kenapa kita tidak mempersoalkannya sedang kita tahu yang manusia itu cenderung untuk membuat kesilapan?



Begitu juga dengan pembuat dan pencipta bolt dan nut. Kedua-duanya diciptakan dari material yang sama oleh penciptanya, tetapi kedua-duanya dihasilkan dalam dua bentuk berbeza. Untuk berfungsi dengan optimum, tidak boleh kita hanya menggunakan bolt atau hanya menggunakan nut. Kedua-duanya diciptakan untuk saling melengkapi antara satu sama lain, walaupun diciptakan mereka dari bahan (material) yang sama. Tidak ada langsung manusia mempersoalkan kebijaksanaan si pencipta bolt & nut itu tadi menggunakan bahan yang sama untuk dua hasil kerja yang berbeza, sedangkan si penciptanya itu hanyalah manusia biasa yang tidak sempurna dan sering melakukan kesilapan. Jadi apakah bijak bagi kita pula untuk mempersoalkan syariat Allah dan ketetapanNya menjadikan Hawa dari Adam dan seterusnya mengahwinkan mereka bagi tujuan pembiakan spesis manusia, sedangkan 'perkahwinan' antara bolt & nut yang diciptakan manusia dari material yang sama tidak pula dipersoalkan? Bukankah Allah itu Tuhan yang Maha Mengetahui dan Tidak Pernah Lupa dan Silap? Bukankah manusia itu pula seorang yang pelupa dan cenderung melakukan kesilapan?

Berkenaan Hawa yang diciptakan dari rusuk Adam, tidak terdapat dalam mana-mana ayat Al-Qur'an yang merujuk kepada material dari bahagian mana Hawa dicipta. Yang ada cuma petikan ayat seperti ayat 1 surah An Nisaa' yang dipetik di atas. Yang Allah ceritakan cuma, Hawa itu diciptakan dari Adam. Bahagian spesifiknya tiada yang mengetahuinya melainkan Allah sahaja. Tetapi perihal ciptaan Hawa dari rusuk kiri Adam ada dinyatakan dalam beberapa hadis Sahih. Ulama berbeza pendapat mengenai hadis-hadis ini. Ada yang mengatakan bahawa ia merujuk kepada penciptaan Hawa dari rusuk Adam, ada juga yang menyatakan bahawa itu hanyalah perumpamaan kepada kaum Adam supaya berhati-hati dan bijak dalam mendidik kaum hawa kerana sikap seorang wanita itu sukar diluruskan, ianya memerlukan kelembutan dan psikologi untuk mendidik wanita dan bukanlah secara kasar. Hadis seumpama itu saya petik seperti di bawah:

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Nabi s.a.w. bersabda: “Siapa yang iman dengan Allah dan hari kiamat, maka apabila dia menyaksikan suatu peristiwa, hendaklah dia menanggapinya dengan baik atau diam. Bijaksanalah membimbing wanita, kerana wanita itu diciptakan dari tulang rusuk. Dan bahagiannya yang paling bengkok ialah sebelah atas. Jika engkau berusaha meluruskannya, nescaya dia akan patah. Tetapi jika engkau biarkan, dia akan sentiasa bengkok. Kerana itu bijaksanalah membimbing wanita dengan baik.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Saya tidak ingat ini perkataan dari siapa, tetapi saya selalu mengingatkan diri saya mengenai quote ini yang datangnya dari seorang Mat Saleh yang saya terlupa namanya. "An idle mind is the devils' workshop" yang membawa maksud, otak dan minda yang dibiarkan kosong itu merupakan tempat Iblis bekerja. Seharusnya kita sedar bahawa kita sudah lewati batas kebijaksanaan akal apabila kita membiarkan akal dan minda kita ditunggangi dan diperkudakan oleh Iblis dan syaitan. Mereka ini sentiasa menunggu peluang untuk menunjukkan kepada Allah bahawa anak cucu Adam ini lebih hina dari mereka. Jika dulu mereka diperintahkan Allah untuk sujud kepada kita, mengapa harus kita biarkan mereka menunggangi kita dengan membiarkan akal kita kosong dan sebagainya.

Apabila tiba idea-idea merepek dan tak masuk akal langsung menerjah minda kita, hendaklah kita dengan segera memohon perlindungan Allah dari syaitan yang direjam. Kerana jika dilayan, ia kelak akan menghinakan kedudukan kita ke tahap paling hina disisi Allah dan semua makhluk. Itu memang tujuan utama Iblis dan syaitan semenjak dari zaman Adam a.s. lagi. Berkenaan pertanyaan perihal kenduri Adam dan jemputannya, tak perlulah dijawab kerana ianya sangat jelas satu permainan syaitan yang cuba menunggang minda dan malangnya ianya dibiarkan menguasai diri. Apakah lojik adanya kenduri dengan hanya wujud dua orang manusia pada ketika tersebut? Nasihat saya, perbanyakkan amal dan carilah ilmu serta sentiasalah memohon perlindungan Allah dari kejahatan Iblis dan Syaitan pada setiap masa. Semoga kita semua sentiasa dilindungi dan dipelihara Allah dari tipu daya syaitan pada setiap saat dan masa. Harapan saya posting ini memberikan jawapan kepada persoalan yang dikemukakan.. Wallahua’lam..

© Disember 2007 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.

eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...

Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)

Sunday, December 16, 2007

Bolehkah Kita Melihat Allah? Bahagian akhir.

oleh Muhammad Ibn 'Az

(artikel ini merupakan bahagian terakhir (ke empat) dari artikel bertajuk Bolehkah kita melihat Allah? Untuk membaca bahagian pertamanya, sila klik sini.)

Di bawah ini saya berikan dua lagi contoh bagi anda semua untuk memahami bagaimana iman itu berfungsi menyelamatkan kita dan diri kita dari penipuan terutamanya penipuan penglihatan. Saya memfokuskan kepada aspek penglihatan adalah berdasarkan kepada pengalaman serta pemerhatian saya melihatkan kecenderungan golongan yang menolak agama yang menyatakan bahawa Allah itu tidak wujud kerana manusia tak dapat melihatNya. Contoh yang saya bakal saya gunakan ini, merujuk kepada pemahaman lojik. Mencontohi bagaimana pendekatan Allah untuk mendidik hamba-hambaNya untuk medekatkan diri mereka kepadaNya. Cara dakwah yang paling berkesan ialah dengan cara meniru sunnah yang Allah sendiri gunakan serta wahyukan kepada para Nabi dan Rasul-RasulNya. Sebagai contoh, di zaman Nabi Salleh a.s., masyarakat pada ketika itu sangat menggilai unta. Unta menjadi satu kebanggaan dan ketaksuban bangsa mereka pada ketika itu. Maka Allah memberikan satu mukjizat kepada Nabi Salleh a.s. dengan membolehkannya menunjukkan kepada kaumnya satu keajaiban di mana seekor unta betina keluar daripada batu. Begitu juga dengan zaman Nabi Musa a.s., masyarakat diwaktu zamannya amat menggilai sihir, mana-mana ahli sihir yang handal akan disanjung. Maka Allah menghantar Nabi Musa a.s. kepada Firaun yang sudah melampaui batas dengan mengaku dirinya sebagai tuhan untuk dinasihati supaya dia bertaubat dan kembali beriman kepada Allah s.w.t. Pendekatan yang Allah s.w.t. gunakan pada waktu tersebut ialah dengan membekalkan kepada Nabi Musa a.s. dengan mukjizat yang dapat mengalahkan semua sihir dari kalangan ahli-ahli sihir Firaun yang terhebat. Hasilnya, kesemu ahli-ahli sihir tersebut akhirnya beriman kepada Nabi Allah Musa a.s. Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. pula, syair menjadi kegilaan masyarakat Arab pada ketika itu. Diturunkan Allah s.w.t. Al-Qur'an dalam Bahasa Arab yang sangat indah gaya bahasanya sehinggakan mengalahkan mana-mana syair yang pernah ditulis oleh manusia. Al-Qur'an kekal mukjizat teragung sepanjang zaman. Isikandungannya boleh digunakan dalam apa saja bentuk dakwah kerana ia datang dari Pencipta segala kebijaksanaan yang wujud di seluruh langit dan bumi. Hanya masa dan kemajuan pemikiran manusia yang akan menetapkan bagaimana saluran dakwah itu seharusnya digunakan. Bagi kita yang ingin berdakwah, kita seharusnya peka dengan kemampuan serta minat seseorang atau kumpulan yang akan menjadi sasaran dakwah kita. Untuk berdakwah dengan komuniti serta peminat sastera, dakwah dalam bentuk ayat-ayat Al-Qur’an mengandungi kefahaman sains tinggi seharusnya dielakkan. Bukan kerana mereka tidak faham, mereka memahaminya tetapi minat mereka lebih kepada keindahan bahasa, tuturcara dan seni-seni ayat yang indah. Perkara-perkara inilah yang akan membangkitkan minat dan rasa teruja dalam hai mereka untuk mendekati Al-Qur’an. Begitu juga dengan komuniti sains, mereka lebih teruja apabila sesuatu ayat Al-Qur’an yang dibacakan kepada mereka mengandungi pengetahuan sains tinggi yang tidak pernah tercapai oleh manusia sebelum abad ke 21 ini. Jadi bagi memudahkan semua pihak memahami apa yang cuba disampaikan di sini, saya mengambil pendekatan logik untuk mebuktikan yang keimanan dengan kitabullah itulah yang akan membantu manusia memahami serta mengenali Allah Rabbul ‘Alamin.

Sebagai contoh, saya ingin meminta anda semua merenung komputer di hadapan anda ini selama sepuluh saat bermula dari sekarang.

-
-
-
-
-
-
-
-
-
-

Apakah ada apa-apa perubahan dengan kedudukan komputer anda dari saat pertama tadi? Tentu tiada kan? Bagaimana jika saya katakan kepada anda bahawa komputer anda itu bergerak lebih dari seinci pada ketika saat pertama anda mengira sambil merenung kepadanya? Tidak nampak......? Bagaimana pula jika saya katakan kepada anda bahawa komputer yang anda renung sebentar tadi telah bergerak sejauh 150 kilometer dari tempat ia duduk sepanjang sepuluh saat dalam kiraan anda tadi? Tentu anda tidak percayakan, malah mungkin juga ada yang mengatakan saya gila kerana berkata demikian......

Sebenarnya itulah yang berlaku dan sedang berlaku sekarang ini. Komputer di depan mata anda termasuk diri anda sendiri sedang bergerak pada kelajuan 30 km sesaat. Tak percaya? Allah telah berfirman dalam surah An Naml :

An Naml ayat 88

Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan; (demikianlah) perbuatan Allah yang telah membuat tiap - tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya; sesungguhnya Ia Amat mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.

1400 tahun yang lalu telah Allah s.w.t. wahyukan kepada Rasulullah s.a.w. mengenai pergerakan bumi yang sangat laju, tetapi baginda dituduh manusia kufur pada ketika itu sebagai orang gila. Tapi siapakah yang sebenarnya gila kini? Si kufur atau Rasulullah s.a.w. bersama orang mukmin itu sendiri? Mereka yang kufur dan engkar ini menolak ayat-ayat Allah yang dibawakan Rasulullah s.a.w. hanya berdasarkan apa yang mereka lihat dan tahu, sedangkan pengetahuan mereka pada ketika itu amatlah cetek.

Komuniti sains dunia, sehingga abad ke 15 masih lagi dibelengu dengan pemahaman songsang bahawa bumi merupakan pusat sistem solar dengan semua objek termasuk matahari, planet-planet lain dan bulan berpaksi dan mengelilingi bumi. Al-Qur’an yang diwahyukan pada abad ke 6 masihi dengan jelas menunjukkan bahawa bumi itu bergerak dan tidak statik sepertimana yang saya petik dalam ayat 88 surah An Naml tadi. Jika gunung-ganang dalam ayat itu dikatakan bergerak laju, ia juga membawa maksud bumi ini yang mana gunung-ganang tersebut sebahagian daripadanya juga bergerak dalam kelajuan yang sama. Gunung-ganang juga ada kalanya bergerak dengan sendirinya hasil kegiatan seismik akibat dari pergerakan kerak bumi yang melepaskan tekanan lalu menghasilkan gempa. Apabila sahaja Rasulullah s.a.w. membawakan berita-berita dan ayat-ayat sebegini, baginda langsung ditertawakan oleh manusia-manusia yang berotak tetapi otaknya digunakan tidak lebih dari bagaimana seekor binatang ternak menggunakannya.

Al A’raf 179
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Sehinggalah apabila Nicholas Copernicus pada abad ke 15 mengemukakan teori Heliocentric dalam bukunya yang bertajuk De revolutionibus orbium coelestium (On the Revolutions of the Celestial Spheres) (terjemahan ; Berkenaan Pusingan Objek-objek Sfera Angkasalepas).



Komuniti sains dunia seakan-akan terkejut dari lamunan tidur mereka yang lama, yang hanya bergantung kepada teori salah mengenai pusat system solar. Mereka mengambil masa hampir 1000 tahun lamanya untuk beriman dengan fakta sebenar bahawa bumi ini bukan pusat sistem solar. Sikap dan sifat golongan komuniti sains dari Kristian Eropah, iaitu golongan Roman Katolik (gerakan Protestanism sedang membina asasnya pada ketika ini) pada ketika itu yang cuba menafikan apa-apa sumber dari pihak sarjana Muslim, sedangkan hasil karya sarjana-sarjana Muslim menjadi antara rujukan utama mereka. Sikap ini jelas kelihatan apabila mereka hanya mengangkat De revolutionibus orbium coelestium sebagai permulaan Revolusi Sains dunia dengan mengelarkan revolusi tersebut dengan nama Copernican Revolution. Nicholas Copernicus sendiri merujuk hasil-hasil karya sarjana-sarjana Islam seperti Nasir al-Din Tusi, Mo'ayyeduddin Urdi, Ibn al-Shatir, Ibn Batutta dan Ibn Rushd. Tetapi tiada langsung kredit diberikan.

Yang paling menarik mengenai penemuan Nicholas Copernicus ini ialah, pihak gereja Roman Katolik mengharamkan penerbitannya pada 1616 sehinggalah ianya disunting pada 1620. Ini kerana pihak gereja Roman Katolik pada ketika itu mendakwa penemuan Copernicus itu sangat bertentangan dengan kandungan kitab suci mereka iaitu Bible yang mana menurut Bible, bumi itu tidak bergerak. Ini antara bunga-bunga yang memulakan dasar pemisahan komuniti sains dan pihak gereja kerana terlalu banyak percanggahan fakta antara penemuan sains dan cerita-cerita serta kandungan kitab suci Kristian. Bagi pihak gereja pada waktu tersebut, Sains merupakan satu bentuk bidaah sesat yang bertentangan dengan perkataan ‘Tuhan’ mereka. Maka selepas saja Galileo Galilei dikenakan perintah tahanan di rumah seumur hidupnya atas hasil kerja sainsnya, komuniti sains Eropah kemudian dari itu ditindas pihak gereja atas dasar penemuan-penemuan sains sangat bercanggah dengan ajaran Kristian. Pihak gereja menjadi seperti sebuah pemadam api kepada api kemajuan sains pada ketika tersebut.

Berbeza dengan Kristian, Islam pula menjadi catalyst (pemangkin) seperti bahan bakar yang memajukan lagi kelompok sains tanpa ada sebarang percangghannya sehingga kini. Cuma kita kini agak lembab disebabkan sikap kita sendiri yang hanya suka menunggu sesuatu dari cuba mendalami serta mempraktikkan apa yang disuruh Allah dan RAsulNya di dalam Al_Qur’an. Baca posting saya berkenaan dengan’Kebesaran Allah atau Sindiran Allah’ dengan klik di sini.

Al-Qur’an juga dengan jelas pada seribu tahun sebelum revolusi Copernicus menyatakan bahawa matahari itu merupakan pusat sistem solar.

Al Furqaan 45
Tidakkah engkau melihat kekuasaan Tuhanmu? - bagaimana Ia menjadikan bayang-bayang itu terbentang dan jika Ia kehendaki tentulah Ia menjadikannya tetap! Kemudian Kami jadikan matahari sebagai tanda yang menunjukkan perubahan bayang-bayang itu;

Jika bumi tidak berputar, maka bayang-bayang akan menjadi tetap dan tidak bergerak dan semua hidupan pada bahagian bumi yang menghadap matahari akan mati dalam satu jangka masa tertentu akibat dari radiasi UV berlebihan ke atas mereka. Manakala bagi bahagian yang terlindung dari cahaya matahari, mereka mengalami kegelapan selama-lamanya dan juga akan mati dalam jangka waktu tertentu akibat dari kesejukan yang melampau dan kekurangan bekalan oksigen dan makanan kerana tiada tumbuh-tumbuhan dapat hidup pada persekitaran sebegini. Bumi yang berputar dan bergerak mengelilingi matahari menghasilkan perubahan ketara kepada bayang-bayang objek di bumi. Dan matahari menjadi tanda membawa maksud bahawa ia menjadi pusat kepada ‘tawaf’ bumi mengelilinginya sebagaimana ‘hajar aswad’ menjadi petanda bagi mengira bilangan tawaf mengelilingi Kaabah. Sangat menarik apabila melihatkan perbuatan muslim dalam tawaf semasa haji. Cara mereka beribadat sama seperti seluruh makhluk Allah dalam dunia ini beribadat. Elektron-elektron bergerak mengelilingi sebuah nukleus atom zarah dalam pergerakan seperti bertawaf. Bulan pula bergerak mengelilingi bumi sebagaimana pergerakan Muslim bertawaf di Mekah. Bumi pula ‘bertawaf’ di sekeliling matahari sebagai tasbih dan ibadatnya menurut perintah Allah ke atasnya. Matahari pula dengan kekuasaannya ke atas sistem solar ‘bertawaf’ mengelilingi pusat galaksi bimasakti (milkyway) pada kelajuan 300 km sesaat sebagai mematuhi arahan Allah ke atasnya sebagaimana yang sering kita baca dalam Al-Qur’an bahawa makhluk-makhluk Allah termasuk atom, bumi, matahari, bulan dan sebagainya sentiasa bertasbih memuji Allah dan menurut perintahNya pada setiap saat dan masa. Tidak pernah ia lewat walau sesaat dalam mematuhi arahan Allah supaya ‘bertawaf’ secara berterusan sehingga datang perintah terbaru dariNya. Perintah terbaru itu akan datang tidak lama lagi, samada manusia bersedia atau tidak ianya tetap akan datang. Pada ketika Israfil dipanggil memulakan tugasnya yang telah lama dia tunggu, maka terhentilah semua ibadat ‘tawaf’ ini dengan pekikan bingit yang menghancurkan alam. Pada ketika itu, tiadalah guna harta, pangkat, kemewahan, suami isteri, anak pinak dan sebagainya. Ianya diluputkan seperti debu-debu beterbangan. Yang tinggal hanyalah amalan dan keimanan yang akan diungkit satu persatu tanpa sekelumit kecil pun ditinggalkan.

Al Kahfi 49
Dan "Kitab-kitab Amal" juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:" Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!" Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.

Dosa-dosa akan dipamerkan kepada semua makhluk yang ada tidak kira suka atau pun tidak. Jika malu di dunia boleh disembunyikan, di akhirat nanti segalanya akan dipertontonkan dan akan disaksikan dosa-dosa kita kepada semua yang kita kenal, seperti suami, isteri, ibubapa kita, datuk nenek kita, sahabat handai kita dan sebagainya. Bersediakah kita untuk dimalukan? Jika tidak, bertaubatlah.. selagi masih di dunia, doa dan taubat di terima Allah tidak kira apa dosa kita. Samada dosa berzina, mabuk, membunuh, memfitnah dan termasuk syirik (terdapat syarat tambahan utk bertaubat dalam dosa2 syirik) akan diampunkan Allah jika kita bertaubat dengan sesungguhnya. Allah tidak memandang seorang penyesal akan dosa yang dilakukannya dengan pandangan jijik, tetapi penuh kasih sayang kerana terdetik dihatinya bahawa apa yang dilakukannya selama ini sangat besar kesalahannya kepada Allah dan manusia lainnya. Allah memandang seorang yang bertaubat dan merayu kepadanya dengan pandang kasih sayang kerana Dialah Al‘Afuwwu (Yang Maha Pemaaf), kerana Dialah Al Ghafoor (Yang Maha Pengampun) dan kerana Dialah At Tawwabu (Yang Maha Menerima Taubat). Dia bukanlah Raja yang menghalau hambaNya yang hina serta yang kotor bergelumang dengan dosa. Pintu rahmatNya sentiasa terbuka bagi yang mengetuknya. Dia telah lama menunggu di situ menunggu kita mengetuknya memohon ampun kepadaNya. Dia sentiasa menunggu kita dengan limpahan Rahmat dan kasih sayangNya. Tetapi kita ini merupakan makhlukNya yang amat sombong dan bongkak. Hanya pintuNya tertutup bagi yang berputus asa dengan rahmatNya.

Jadi kesimpulan dari contoh tadi ialah, penglihatan dan pemerhatian melalui deria adalah tidak mencukupi bagi membolehkan kita menilaikan sesuatu itu sebagaimana ia wujud dan kelihatan. Seperti contoh renungan ke atas komputer anda yang saya nyatakan tadi. Pada zahirnya, memang kita tidak melihat sebarang pergerakan berlaku ke atas objek tersebut. Tetapi hakikatnya, ianya telah bergerak begitu jauh meninggalkan tempat di mana ia berada pada ketika tadi. Hanya yang beriman dengan Al-Qur’an dan ilmu sains sahaja dapat memahami keadaan ini. Sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat melihat pergerakannya kecuali kita melihatnya dengan ‘keimanan’. Contoh yang sama saya muatkan dalam eBook Syahadah saya dengan menggunakan contoh pasu bunga di stesen keretapi yang disuruh kepada watak utama dalam novel tersebut, seorang gadis bernama Rini, untuk merenungkannya sepertimana yang saya buat dalam contoh posting ini. Ini bagi membantu serta meyakinkan bahawa Allah itu hanya boleh dikenali melalui keimanan kita kepada Kitabullah.

Al Baqarah 26
Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: "Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?" (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik;

Contoh kedua ini pula lebih mudah, Cuma saya harap anda semua dapat memaksimumkan saiz ‘window’ video dibawah dengan klik ikon youtubenya kemudia sila tekankan butang ‘play’ untuk merenung kesan ilusi optik bagi membuktikan bahawa, jika kita tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai sesuatu itu, maka seluruh deria kita akan cuba menipu kita apabila kita mula hilang fokus.

Bulatan-bulatan hijau disekeliling tanda X itu, semakin lama semakin menghilang apabila anda menumpukan perhatian anda pada tanda tersebut. Mata anda menyatakan bahawa bulatan hijau itu hilang, tetapi minda anda mengetahui bahawa itu hanyalah ilusi dan bulatan itu tetap ada di situ walaupun kadang kala ia hilang dari penglihatan. Jika difokukan mata anda kembali ke bulatan-bulatan hijau tersebut, maka ianya akan muncul kembali. Ini bukanlah magik, tetapi bukti menunjukkan yang kita ini sentiasa ditipu deria kita kecuali jika kita mempunyai pengetahuan atau ‘keimanan’.

Kesimpulannya, jika kita memandang dengan mata, mata itu akan menipu kita, jika kita memandang dengan akal dan iman, walaupun mata itu cuba menipu kita, tapi kita tidak akan tertipu kerana kita sudah benar yakin yang titik-titik tersebut tidak hilang, yang hilang hanya pada pandangan, realiti dan iman yang meneguhkan hati kita menyatakan bahawa titik itu tidak hilang biarpun penglihatan menyatkan yang sebaliknya.

Jadi persoalan terakhir sebelum saya menamatkan posting ini ialah... bilakah masanya kita boleh melihat Allah dalam rupabentuk asalNya?
Allah s.w.t. telah menjelaskan dengan sejelas-jelasnya dalam Al-Qur’an bahawa, manusia dan Jinn itu tidak boleh melihatNya.

Al An’aam ayat 103
Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata), dan Dia lah Yang Maha Halus (melayan hamba-hambaNya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.

Setelah semua contoh yang diberikan bagi membangkitkan kefahaman mengenai pentingnya iman sebagai langkah permulaan mengenali Allah, maka seharusnya pada ketika ini, dengan semua contoh yang diberi, kita semua dapat memahami bahawa untuk melihat Allah, ianya memerlukan kita memenuhi beberapa syarat-syarat seperti yang telah Dia tetapkan. Sepertimana contoh seorang astronomer untuk melihat matahari, dia perlu menyediakan pelbagai persiapan bagi membolehkannya memerhatikan matahari tanpa sebarang masalah. Dalam menyediakan kelengkapannya yang berupa teleskop, satelit, filter dan sebagainya, dia juga seharusnya mematuhi beberapa larangan yang tidak boleh langsung baginya untuk melakukannya seperti memerhatikan secara terus matahari tanpa menggunakan filter. Dengan melanggar arahan ini, maka retina matanya akan dibakar oleh teriknya cahaya matahari tersebut dan akan mengakibatkan kebutaan kepadanya.

Begitulah juga dengan prasyarat untuk melihat Allah secara terus. Syarat yang pertama ialah Dua Kalimah Syahadah. Syarat yang kedua ialah membuktikan Ikhlasnya kita dalam Syahadah yang kita ikrarkan dalam syarat yang pertama tadi. Membuktikannya ialah dengan mematuhi segala syarat yang terkandung dalam rukun-rukun Islam dan Rukun-rukun Iman dan meninggalkan segala apa bentuk laranganNya ke atas kita. Syarat yang ketiga ialah mati (bukan dengan cara yang tidak diredhai Allah seperti jalan mencabut nyawa sendiri dan seumpama dengannya) dan dibangkitkan semula untuk dinilaikan sama ada kita benar-benar ikhlas dengan Syahadah yang kita ikrarkan sebelum itu. Hanya itu saja syaratnya. Mudah kan? Tiada yang hidup melainkan yang dihidupkan semula selepas mati dan dinilaikan amal perbuatannya akan mendapat peluang terindah dalam hidup seorang makhluk untuk menghadap dan merenung wajah Penciptanya. Ini seharusnya diingat bahawa tiada manusia atau Jinn yang hidup dapat melihat Allah dalam hayat mereka itu. Ingatlah peringatan ini kerana akan tiba waktunya di satu ketika yang amat sukar dan susah, akan muncul seorang manusia yang berkeupayaan menurunkan hujan, menyuburkan lembah yang mati, mematikan lalu menghidupkan kembali orang yang dibunuhnya, mengembalikan ‘ibu bapa’ kita yang telah mati serta berbagai lagi keajaiban yang mampu dilakukannya dengan izin Allah, dan dia mengakui dirinya sebagai tuhan. Ingatlah, bahawa manusia yang hidup tidak akan sama sekali berpeluang melihat Allah dalam jangka waktu hidupnya melainkan setelah mereka mati dan dihidupkan diakhirat. Manusia tersebut yang berkeupayaan sebegini telah diingatkan oleh setiap Rasul dan Nabi mengenai kemunculannya diakhir zaman nanti. Tiada Nabi dan Rasul yang diutuskan Allah melainkan bersama mereka satu tugasan mengingatkan manusia tentang kemunculan insan ini. Insan ini namanya Al Masih Dajjal. Kemunculannya tidak lama saja lagi. Dia sudah pun ada di sini dan hanya menunggu masa dan keizinan dari Allah untuk merosakkan menggoyah iman semua yang ada dimuka bumi ini. Sehingga saat itu tiba, hendak kita sentiasa menyediakan segala bentuk kelengkapan, amal serta mendalami ilmu supaya kita tidak akan tergolong dalam golongan yang berjaya disesatkannya. Perkara ini bukanlah sesuatu yang boleh dimain-mainkan. InsyaAllah saya akan membuat satu posting panjang mengenai Dajjal ini. Seperti mana yang pernah disebut, Dajjal akan muncul pada ketika di dunia ini sudah tiada lagi mimbar-mimbar masjid memberikan peringatan mengenai kemunculannya selama lebih setahun. Sepanjang pengamatan saya, selama dua tiga tahun ini, mimbar masjid di kawasan saya juga telah lama menyepi dari peringatan ini. Yang ada hanyalah khutbah-khutbah rethorik yang memperkatakan perkara-perkara yang sangat remeh seperti adab berwuduk dan sebagainya. Jumaat bukanlah gelanggangnya untuk khutbah seumpama itu. Kita sebenarnya sedang merosakkan kekuatan umat kita dengan khutbah-khutbah lullaby sebegini. Khutbah seperti membelai bayi untuk menidurkannya ini seharusnya diperbaiki. Ramai jemaah yang tidur kerana hilang semangat dengan khatib-khatib syok sendiri yang berkhutbah bagaikan berdondang sayang. Sedangkan Allah s.w.t. telah menyediakan platform bagi kita di mana boleh digunakan ‘forum’ Jumaat ini untuk menyampaikan berita-berita serta peluang-peluang menguatkan ummah serta amaran-amaran dan ancaman-ancaman yang sedang dihadapi oleh ummah dikawasan tersebut. Di sinilah semua muslim berkumpul saban minggu tidak kira yang sembahyang cukup lima waktu, atau seminggu sekali, semuanya berkumpul di sini menghulurkan leher mereka untuk dikhutbahkan oleh khatib-khatib ini. Alangkah ruginya kita mensia-siakan platform terbaik yang tidak ada pada sebarang agama lain. Seharusnya disinilah dikhutbahkan dan dibakar semangat anak-anak muda untuk bangkit memajukan ummah dan diberitakan peluang-peluang dan ruang-ruang yang ada bagi mereka memperbaiki diri dan ummah. Sangat merugikan apabila khutbah-khutbah yang ada kini hanya disambut dengan makmun yang saban minit menguap. Saya sangat berharap agar satu ketika nanti, semua khatib-khatib yang berkhutbah memahami apa yang dikutbahkan mereka dan tidaklah semacam blurr di atas mimbar.

Akhir sekali, sebagai berita baik, saya muatkan sebuah petikan dari sebuah hadis yang menyatakan dengan jelas mengenai pertemuan kita dengan Allah diakhirat nanti.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya para sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w., “Dapatkah kita melihat Tuhan kelak di hari kiamat?” Tanya Rasulullah s.a.w., “Sulitkah bagi kamu melihat matahari di tengahari yang cerah?” Jawab mereka ,“Tidak!” Tanya Rasulullah s.a.w. ,”Sulitkah bagimu melihat bulan di malam purnama tidak berawan?” Jawab mereka, “Tidak!”, sabda baginda, “Maka demi Allah yang jiwaku berada dalam kuasaNya, kamu tidak akan mendapat kesulitan sedikit jua pun melihat Tuhanmu sebagaimana tidak sulitnya bagimu melihat matahari dan bulan tersebut,"
(Hadis Riwayat Muslim)

Persoalannya, apakah kita layak untuk berada ditempat tersebut sesudah semua amalan kita dinilaikan? Semoga posting ini memberi manfaat kepada anda dan saya juga kerana sepanjang menulisnya, saya mendapat berbagai respons positif dan dalam masa yang sama ilham-ilham baru diberikan Allah kepada saya untuk posting-posting seterusnya. Terima kasih atas sokongan dan dorongan anda... wassalam...

© Disember 2007 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.

eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...

Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)

Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email