Wednesday, November 28, 2007

Jawapan Kepada Soalan Rockbebeh Berkaitan Posting 'Kebesaran Allah atau Sindiran Dari Allah?'

oleh Muhammad Ibn 'Az

Wa’alaikumsalam Rockbebeh.. Syukur saudara masih sihat dan setia berkunjung ke sini. Saya memahami kenapa saudara menentang satu lagi posting saya dalam blog ini. Sama seperti posting ‘Pembohongan Azab Kubur’ saya sebelum ini yg ditentang saudara dan rakan seperjuangan saudara, yg mana akhirnya apabila kebenaran artikel tersebut mula kelihatan, saudara menarik keluar komentar dan video saudara dari youtube. Sedangkan pada mulanya saya dituduh bersekongkol dgn syaitan oleh saudara. Saya mengalu-alukan pendapat dan kritikan membina bagi mencari hidayah dan kebenaran. Oleh kerana menghormati permintaan saudara dalam email yang lepas supaya tidak disanggah saudara dalam blog ini kerana bagi saudara ia agak memalukan (sedangkan kerap saudara berbuat demikian ke atas saya), saya tidak menjawab permintaan seorang pengunjung dgn nickname niena secara terbuka dan hanya akan berbuat demikian menerusi penerangan ke akaun emailnya. Oleh kerana kali ini, saudara sendiri yg memulakan kembali ‘perbincangan’ secara terbuka ini, maka saya menjawabnya juga secara terbuka. Sebagai penerangan kepada saudara berkenaan posting ‘Kebesaran Allah atau sindiran dari Allah?’. Ingin saya anjurkan kepada saudara supaya membaca posting tersebut sekali atau dua tiga kali lagi supaya dapat difahami. Hujah yg saudara gunakan utk menafikan artikel terbabit dengan menggunakan perbandingan Asma Allah (nama2 Allah) adalah kurang tepat kerana saudara hanya menilainya dari satu sudut perbandingan yang difahami secara tidak tepat (iaitu secara literasi), dan menafikan serta tidak menggunakan rujukan-rujukan lain seperti Al-Quran dan Hadis Sahih. Jika saudara ingin berpandukan Asma Allah, Allah juga mengenalkan DiriNya dengan nama Ar Rahmaan (Yang Maha Pemurah). Makhluk juga bersifat penyayang, tetapi tidak boleh disamakan sifat makhluk dengan Allah. Sifat pemurah makhluk hanyalah bersifat tertentu, terbatas, mengikut keadaan dan sementara, manakalah Ar Rahmaan pula sifatNya yang Maha Pemurah meliputi ke atas semua makhluk, tidak kira makhluk itu beriman kepadaNya atau pun tidak, tidak kira makhluk-makhlukNya itu mencaciNya atau tidak, Dia tetap memberikan rezeki kepada makhluk-makhlukNya untuk hidup. Dia tetap memanjangkan umur-umur mereka dan mencukupkan setiap keperluan semua mereka yang wujud dan diciptakanNya. Begitu juga dengan banyak nama-nama Allah lagi yang seperti Ar Rahiim (Yang Maha Penyayang). Sifat penyayang juga terdapat kepada makhluk. Seekor kucing menjaga anak-anaknya dengan penuh kasih sayang. Seorang ibu sanggup berjaga malam atas sifat kasih sayangnya kepada anak-anaknya. Tetapi semua sifat ini tidak sama dengan Ar Rahiim. Sifat Maha Penyayang Allah tiada tolok bandingnya. Diberikannya segala yang cukup bagi hamba-hambaNya yang Muslim, diberikan ketenangan dalam hati bagi setiap makhluknya yang beriman kepadanya. Atas sifat RahiimNya ini, mukmin akan menikmati nikmat-nikmat yang tidak terhingga yang Dia simpankan untuk dibalas di syurga kelak. Rujuklah mana-mana ustaz yang bertauliah dan yang tidak pernah berjumpa atau berguru dengan mana-mana ‘malaikat’. Ini supaya dapat saudara fahami bahawa dalam Al-Qur’an itu penuh dengan ayat-ayat Allah yang menyindir manusia (hambaNya) yang tidak mahu menggunakan akal. Sindiran Allah tidak sama seperti makhluk-makhlukNya yang menyindir. Sindiran Allah tidak sama seperti sindiran Mak Bedah, Cik Ramlah dan Uncle Azmi yang gemar bergossip. Sindiran Allah merupakan hak mutlak Allah sebagai Pencipta dan Pentadbir sekelian alam untuk menegur makhluk-makhluk ciptaanNya yang dianugerahkan akal tapi langsung tidak mahu menggunakannya. Berbagai nikmat telah Allah kurniakan dan suruh kita perhatikan tetapi kita tidak langsung mahu menggunakan akal untuk mendekatinya. Yang kita lakukan ialah beriman secara membuta tuli, sama seperti golongan umat-umat terdahulu sebagaimana firman Allah dalam surah :

Al Maidah 41
Wahai Rasul Allah! Janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran, iaitu dari orang-orang yang berkata dengan mulutnya: "Kami tetap beriman", padahal hatinya tidak beriman; demikian juga dari orang-orang Yahudi, mereka orang-orang yang sangat suka mendengar berita-berita dusta; mereka sangat suka mendengar perkataan golongan lain (pendita-pendita Yahudi) yang tidak pernah datang menemuimu; mereka ini mengubah serta meminda perkataan-perkataan (dalam Kitab Taurat) itu dari tempat-tempatnya yang sebenar. Mereka berkata: "Jika disampaikan kepada kamu hukum seperti ini maka terimalah dia, dan jika tidak disampaikannya kepada kamu, maka jagalah diri baik-baik". Dan sesiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, maka engkau tidak berkuasa sama sekali (menolak) sesuatu apapun (yang datang) dari Allah untuknya. Mereka ialah orang-orang yang Allah tidak mahu membersihkan hati mereka; bagi mereka kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang besar.

Dalam Al-Qur’an penuh dengan ayat di mana Allah menyindir makhluk-makhlukNya iaitu manusia yang dikurniakanNya akal tapi tidak mahu menggunakannya dan bertaklid dengan amalan secara membabi buta. Contoh-contoh ayat tersebut seperti berikut:

Al Baqarah 170 - 171
Dan apabila dikatakan kepada mereka" Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)? Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya.

Al Furqaan 43-44
Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?
Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.

Al Anfaal 22
Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar (Al-Quran yang mewajibkan taatnya). Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (kafir dan munafik) yang berkata: "Kami dengar", padahal mereka tidak mendengar (tidak mahu menerima dan mematuhinya). Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya).

Al A’raaf 179
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.

Janganlah saudara mengeksploitasikan Asma Allah sebagai hujah bagi menghalalkan dakwah songsang oleh guru saudara. Sering saya melihat saudara menggunakannya untuk menghalalkan dakwaan bahawa guru saudara dapat berkomunikasi dengan ‘malaikat’ terutamanya dalam blog saudara. Sedangkan saya sudah beberapa kali jelaskan kepada saudara, bukan ‘malaikat’ yang menghampirinya, tetapi syaitan yang cuba menyesatkan. Banyak contoh telah saya berikan kepada saudara untuk diambil pengajaran. Allah juga telah berfirman dalam surah seperti di bawah :

Ali Imraan 179
Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada seorang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan Ia tetap menguji kamu) sehingga Ia memisahkan yang buruk (manufik) daripada yang baik (beriman). Dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang Ghaib akan tetapi Allah memilih dari RasulNya sesiapa yang dikehendakiNya (untuk memperlihatkan kepadanya perkara-perkara yang Ghaib). Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya; dan kamu beriman dan bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar.

Al Jinn 26 & 27
"Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun, "Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redaiNya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan).

Sangat jelas Allah s.w.t. telah menyatakan dalam Al-Qur’an bahawa tidak ada seorang manusia pun di dunia yang Allah s.w.t. beritahukan dan perlihatkan tentang perkara-perkara ghaib melainkan kepada Rasul-RasulNya yang terpilih. Malaikat-malaikat Allah termasuk dalam perkara-perkara ghaib yang wajib diimani dan perkara-perkara ghaib pula, tidak Allah perlihatkan kepada manusia biasa kecuali Rasul-Rasulnya yang terpilih. Guru saudara itu bukanlah Rasul kerana tiada lagi yang diutus selepas Rasulullah s.a.w. Sama ada dia ditipu syaitan atau pun dia sendiri yang bersekongkol dengan syaitan dalam ‘dakwahnya’ itu sebagaimana yang pernah dia tuduh saya semasa menafikan Audio Azab Kubur tersebut. Perkara ini mengingatkan saya dengan Rashad Khalifa yang memperkenalkan teori Gemmatrical (teori nombor 19) yang terkandung dalam Al-Qur'an. Dia dihukum sesat oleh semua majlis fatwa negara-negara Islam termasuk Malaysia kerana dia menyatakan bahawa dia Rasul yang terpilih sebagaimana dalam ayat Al-Qur'an yang saya petik di atas. Dia juga mendakwa bahawa kiamat akan berlaku melalui kajiannya pada tarikh tertentu. Saudara.. sedarlah dari lamunan yang sangat lama ini.

Banyak lagi yang ingin saya nyatakan di sini, tetapi berdasarkan email-email yang saya terima saya menyedari yang blog ini dilawati oleh segenap peringkat manusia, dari yang Islam ke yang bukan Islam. Terbaru saya menerima komen dari seorang Rabbi (Rabbai) dari Komunitas Yahudi Indonesia (Sulawesi Utara), Rabbi Yaakov Baruch Palilingan. Dia berterima kasih atas posting saya berkenaan dengan ‘Memperbetulkan Persepsi Pengurusan Jenazah Yahudi’ yang memperbetulkan fitnah yang dimulakan oleh umat Islam ke atas mereka. Sangat menyedihkan apabila kita yang mengaku sebagai umat Muhammad s.a.w. sanggup menggunakan perkara dusta dalam dakwah-dakwah kita. Walaupun saya tidak pernah berharap agar mana-mana pihak menyatakan terima kasih atas posting saya, komen yang saya terima dari Rabbi ini membuatkan hati saya terharu dan berasa amat sedih. Terharu kerana diberi respons oleh golongan yang difitnah walaupun posting saya tersebut tidak menyokong mereka, cuma sebagai menjalankan tanggungjawab memperbetulkan tanggapan salah yang dimulakan oleh muslim sendiri. Bersedih pula kerana fitnah itu dimulakan oleh kita. Kenapakah kita sebagai Muslim yang dididik Rasulullah s.a.w. segala macam adab berdakwah sanggup menggunakan fitnah untuk memperlekehkan orang lain. Lupakah kita dengan kisah Iblis yang terlalu taksub dan angkuh dengan semangat kebangsaannya sehingga mengundang laknat Allah sampai bila-bila? Lupakah kita bahawa sembelihan mereka dihalalkan bagi kita makan? Lupakah kita bahawa mereka juga digelar Allah sebagai ahli Kitab? Sedangkan dalam dalam Al-Qur’an sendiri Allah s.w.t. telah menyatakan bahawa hanya Dia saja yang layak menilaikan mereka ini dan membalas mereka samada dengan nikmat ataupun kecelakaan. Tidak semua Yahudi itu Zionis. Perlu kita fahami bahawa Zionis itu berbeza dengan Yahudi. Yang wajib kita tentang ialah mereka yang menindas saudara-saudara kita diseluruh dunia termasuk yang menyokongnya. Bukan yang tidak berbuat apa-apa. Ini belum termasuk lagi dakwah dusta termasuklah rakaman Audio Azab kubur yang dijaja oleh ramai ustaz ke segala pelosok surau, masjid dan universiti. Malahan terdapat juga ustaz-ustaz yang sehingga tahap mengugut murtad sesiapa yang tidak mempercayai rakaman audio tersebut. Tidak malukah kita bersikap demikian? Beginikah cara pewaris Nabi? Ingat! Matlamat tidak langsung menghalalkan cara. Pengunjung blog ini juga terdiri dari yang berbagai bentuk Islamnya. Mereka ini terdiri dari berbagai lapis peringkat tingkat kefahaman Islam mereka. Ada yang baru hendak berjinak-jinak dengan Islam, ada yang Islam pada nama, ada Islam yang biasa dan ada juga dari golongan-golongan yang lebih tinggi dan hebat ilmu-ilmu mereka. Jadi supaya posting ini tidak mengelirukan mana-mana pihak yang baru hendak berjinak-jinak dengan Islam, saya mengambil keputusan untuk menyunting beberapa hujah yang saya kira mungkin sukar bagi mereka yang baru cuba mendekati Islam untuk fahami. Begitu juga dengan hadis-hadis sahih yang menyatakan beberapa sifat-sifat Allah yang tidak langsung termasuk dalam mana-mana Asma Allah yang 99. Ianya memerlukan penjelasan yang lebih mendalam jika ingin dijadikan hujah dalam ruang maya ini. Bagi mengelakkan ianya menjadi suatu posting yang mengelirukan, saya rasa cukup setakat posting ini untuk kefahaman berkenaan penentangan tersebut. Saya harap kali ini saudara Rockbebeh mengambil pengajaran dari posting ini. Wallahua’lam...

TAMBAHAN DARI EDITOR berikutan komen tambahan dari rockbebeh dalam shoutbox yang menyatakan dia 'difitnah':

Oleh kerana rockbebeh sekali lagi memberikan komen bermuka-mukanya sebagaimana yang pernah dia lakukan semasa berdebat dengan saya berkenaan dengan posting 'Pembohongan Azab Kubur' itu dulu, dan oleh kerana dia juga tidak langsung menghormati permintaannya sebelum ini kepada saya supaya tidak dibuat apa-apa posting mengenainya dan memalukannya, sebaliknya dia bebas berbuat demikian ke atas saya, maka setelah saya fikirkan masak-masak, saya masukkan video yang dimuatkan oleh rockbebeh dalam akaun youtubenya seperti dibawah. Dibawah ini petikan email di mana rockbebeh meminta saya supaya tidak memberikan apa-apa komen mengenainya, saya menghormati permintaannya dan berdebat secara tertutup dengannya sehinggalah komen2 barunya dalam shoutbox satuhala seperti mana yg pernah dia lakukan di youtube Nizampablo yang memuatkan video2 saya.. ayat dalam italic merupakan petikan email tersebut..

cerita mengenai pembohongan azab kubur pun malaikat yang meyampaikan kesahihannya adalah palsu dan itu semua terjadi atas kehendak Allah. dan kerana sebelum ini akak saya hanya menggunakan makrifatnya katanya(makrifat selalunya setan boleh menyelit) dan beliau tidak bermohon doa kepada Allah atas sebab itu lah saya pun ikut tersilap kerna itu saya memohon jutaan maaf. dan tentang cerita ini jangan lah disiarkan secara terbuka kerana saya tak suka dikenali dengan akak saya yang ada kelebihan sebegini kerna itu semua kehendak Allah atas sifatnya yang begitu mencintai Allah. tapi kalau nak mengaibkan saya pun saya tak kisah kerana saya sedar itu semua kesilapan saya dan tentang nick saya berserta akak saya yang boleh berkomunikasi dengan malaikat atas kehendak allah itu harap dihapuskan kalau nak taip pun taipje lah seorang pemuda dengan nama samaran.... tolong yer... tima kaceh.... dan sila kesini untuk cerita akak saya tersebut : http://rockbebeh.blogspot.com/2007/09/suara-jeritan-alam-kub ur.html

Video dibawah inilah yang 'niena' minta saya komen semenjak 17/11, tetapi oleh kerana menghormati permintaan rockbebeh, saya tidak membuat sebarang komen secara terbuka. Oleh kerana dia sendiri yang membuat serangan ini kembali dengan mendakwa saya memfitnahnya, maka untuk memperbetulkan kenyataannya, saya muatkan link ke blognya untuk di baca semua postingnya berkenaan dengan 'malaikat' dan banyak lagi pembohongan yang mengundang khurafat yang dilakukannya. video dibawah merupakan satu daripada 8 siri video yang dia muatkan. Jika link broken, maka ianya bermakna video tersebut juga dibuangnya sepertimana yang pernah dia lakukan semasa berdebat dengan saya berkenaan pembohongan audio azab kubur.

Baca posting pasal video dibawah ini dengan klik sini http://rockbebeh.blogspot.com/2007/09/perjalanan-alam-roh-dua-jam-mati-hidup.html


Video ini menceritakan satu penceritaan penuh khurafat yang menceritakan pengalaman seorang wanita bernama Aslina yang mati selama 2 hari dan kemudian hidup semula (Tajuknya sendiri menunjukkan yang cerita ini satu pembohongan, mana ada hospital swasta sanggup menyimpan mayat selama 2 hari sedangkan warisnya ada pada waktu kematian). Aslina ini mati dan kemudian datang malaikat menjemputnya dalam satu perjalanan ala-ala Isra' Mikraj yang membawanya berjumpa semua Nabi, Rasul, Malaikat, Amal Ibadatnya dan yang paling hebat ialah dia juga berjumpa dengan Allah. Dalam bahagian 3/8 ada sesi 'masuk bakul angkat sendiri', dia menceritakan semua amal ibadat yang dia lakukan yang melayakkannya mempunyai pengalaman perjalanan ala-ala israa' mikraj ini... hebat Aslina ni.. memang hebat.. (sedangkan semua ini pembohongan belaka!!!). Dia juga menyatakan 'husnul khotimah'nya juga dapat menerangi makam Rasulullah s.a.w. Wahh... sungguh hebat... dalam bahagian lapan dia marah kepada Allah kerana menghukum manusia berdosa, lepas itu dia katakan kepada Allah dia sanggup baca Al Qur'an Khatam sebanyak 3 kali dan berselawat seribu kali atas setiap Nabi dan Rasul sehinggakan Rasul-rasul tersebut datang memujuknya supaya berhenti berkorban untuk manusia.. Hebat sungguh, sampai boleh mempertikaikan keputusan Allah dan sehingga Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul datang memujuknya...Ya Allah... ada juga manusia macam ni lagi... kenapa ada orang boleh tertipu dengan video2 ini? Allah s.w.t. telah jelaskan yang Dia tidak akan memperlihatkan perkara-perkara ghaib kepada manusia biasa kecuali kepada Rasul-Rasulnya yang terpilih... Siapa Aslina ini? Allah s.w.t. juga telah menyatakan bahawa jika seorang hamba Allah yang mati dan dihadapkan kepadaNya di akhirat, merayu supaya dapat dikembalikan mereka ke dunia untuk beribadat dan mereka tidak akan mensia-siakan peluang terbabit walaupun sesaat. Allah tidak akan memberikan mereka peluang itu!!! Cuba bandingkan dengan cerita ini, pakaiannya walaupun bertudung, masih menampakkan lengan dan masih lalai membuang masa berbual dan bercerita seumpama masuk pertandingan bercerita Kanak-kanak. Sedangkan telah dia nyatakan yang dia itu telah mati, kenapa masih berani membuang masa... sudahlah rockbebeh...









© November 2007 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.

eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...

Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)

Thursday, November 22, 2007

Peratusan Kes Rogol, Al-Qur'an dan Hadis... Apa kaitan rapat ketiga-tiganya?



oleh Muhammad Ibn 'Az

Semua statistik di bawah diambil dari sebuah terbitan dari Jabatan Keadilan Amerika Syarikat dengan tajuk Sex Offences & Offenders yang diterbitkan dalam tahun 1997 di bawah kelolaan Lawrence A. Grenfeld. Dokumen penuhnya boleh diambil dari link ini :

http://www.rainn.org/docs/statistics/soo.pdf

(sekiranya link tersebut tidak boleh digunakan, emailkan kepada saya suapay dapat saya berikan salinannya kepada sesiapa yang berminat)

  • 73% atau hampir 3 dari setiap 4 daripada kes-kes rogol dan serangan seksual yang dilaporkan, dilakukan oleh pemangsa yang dikenali mangsanya. Perogol dalam kategori terbesar ini seringkali terdiri dari kalangan kenalan rapat, kekasih, bekas kekasih, bekas teman hidup (bekas suami), kenalan keluarga, ahli keluarga (cth: Pak cik, bapa tiri, sepupu dsb) dan sebahagian kecil terdiri dari ahli keluarga terdekat (cth: bapa kandung, abang kandung dsb).
  • 80% dari mangsa rogol yang membuat laporan polis, berusia di bawah usia 30 tahun.
  • 44% - 55% dari jumlah mereka seperti yang disebut di atas, merupakan golongan remaja dan kanak-kanak.
  • 90% dari mangsa rogol yang berusia di bawah 12 tahun mengenali perogol terbabit.
  • 2/3 dari mangsa yang berusia 18 – 29 tahun mempunyai hubungan awal dengan perogol.
  • 6 dari 10 kes rogol berlaku di rumah mangsa atau kenalan mangsa atau rumah saudara mangsa.
  • Lebih separuh dari kes rogol berlaku dalam lingkungan jarak 1 batu (1.609 km) dari rumah mangsa atau berlaku dirumah mangsa.
  • Bagi mangsa yang berusia 12 tahun ke bawah, 43% dari kes mereka dilakukan oleh perogol yang mempunyai kaitan kekeluargaan dengan mereka.
  • Hanya 11% dari mangsa yang berusia 30 dan ke atas mempunyai hubungan kekeluargaan dengan perogol.
  • 40% dari mangsa rogol mengalami kecederaan sampingan.
  • 5% daripadanya mengalami kecederaan parah.
  • Kecederaan biasa dialami oleh mangsa rogol yang berusia 30 tahun dan ke atas.
  • 25% dari mangsa rogol yang dibunuh berusia di bawah 18 tahun.
  • Senjata biasanya digunakan oleh pemangsa/perogol yang tidak dikenali mangsa.

Berdasarkan statistik yang yang diberikan di atas, kesimpulan yang dapat dibuat ialah majoriti daripada kes-kes rogol yang berlaku dilakukan oleh mereka-mereka yang dikenali atau mempunyai hubungan dengan mangsa. Pemangsa-pemangsa ini seakan-akan bebas dalam batasan pergaulan dengan mangsa sehinggakan mempunyai akses untuk memasuki rumah mangsa atau membawa mangsa ke rumah mereka atau mangsa-mangsa ini boleh di bawa keluar dengan sewenang-wenangnya oleh mereka. Ini dibuktikan dengan peratusan kes-kes rogol berlaku dalam lingkungan 1 batu (1.609 km) dari atau dirumah mangsa. Begitu juga dengan 2/3 dari mangsa rogol yang berusia 18 hingga 29 tahun, menurut laporan tersebut, mereka ini sedang atau pernah mempunyai hubungan intim atau hubungan sebagai kenalan dengan perogol atau pelaku jenayah seksual ini. Batasan pergaulan dalam kes-kes sedemikian tidak disempadani oleh apa-apa batasan. Kebebasan dalam pergaulan jelas nyata apabila si pemangsa seakan-akan mempunyai satu bentuk kebebasan untuk keluar masuk ke kediaman mangsa. Dalam Islam, batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram telah jelas dinyatakan. Pengharaman pergaulan bebas tanpa sempadan dalam Islam ini bukanlah bagi tujuan mengikat kebebasan manusia untuk bersosial, tetapi lebih kepada satu bentuk perlindungan kepada mereka yang lemah. Begitu juga undang-undang yang Allah s.w.t. gariskan melalui jalan Al-Qur’an dan hadis. Undang-undang bukanlah bertujuan untuk menghukum, ianya sebenarnya bertujuan untuk memberikan perlindungan kepada mereka-mereka yang lemah dan teraniaya serta memberikan keadilan kepada mereka yang teraniaya supaya setiap perbuatan jahat dan buruk ke atas mereka di balas dengan hukuman yang setimpal. Pentingnya menjaga batas pergaulan dalam Islam digambarkan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. di bawah.

Dari Ibnu Abbas r.a., katanya dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : “Seorang lelaki tidak boleh berada di tempat sunyi dengan seorang perempuan, melainkan harus disertai mahram. Begitu juga seorang perempuan tidak boleh berjalan sendirian, melainkan harus bersama-sama seorang mahram.” Tiba-tiba berdiri seorang lelaki, lalu dia bertanya: “Isteriku hendak menunaikan ibadat haji, sedangkan aku ditugaskan pergi berperang ke sana dan ke situ, bagaimana itu ya Rasulullah?” Jawab Rasulullah : “Pergilah kamu haji bersama isterimu!”.
(Hadis Riwayat Muslim)

Jika berperang mempertahankan Islam dari serangan puak kufur diperintahkan Rasulullah s.a.w. supaya dikirikan dan dikinikan pula tanggungjawab menemani isteri yang bakal mengerjakan haji, maka disini sangat penting bagi kita untuk mengetahui bahawa setiap dari wali itu sangat dipertanggungjawabkan untuk memelihara keselamatan mahramnya yang berurusan dan mempunyai pekerjaan yang harus dilakukan. Jika seorang wanita yang dewasa sekalipun diperintahkan Rasulullah s.a.w. supaya ditemani suaminya atau mahramnya, apatah lagi jika anak-anak gadis kita yang masih kecil atau remaja. Malah ada juga bapa-bapa yang tidak bertanggungjawab boleh dengan senang hati menyuruh anak-anak gadis mereka untuk keluar berseorangan ke kedai semata-mata untuk membelikan sekotak rokok bagi memenuhi keperluannya. Bapa jenis apa seumpama ini? Lembab, bebal atau bodoh? Dengan persekitaran masyarakat yang semakin hari semakin berfikiran seperti manusia tidak berotak dan tidak beragama, sanggup dia lepaskan anak gadisnya berjalan berseorangan dan sekaligus mendedahkannya kepada segala mata-mata jahat yang memerhatikan setiap langkah dan gerak geri untuk diambil kesempatan.

Islam tidak membataskan pergerakan wanita, malah menggalakkan mereka terlibat sama dalam semua aktiviti yang bersesuaian dengan keupayaan mereka hatta menyertai pasukan tentera Islam di medan perjuangan sekalipun. Tetapi biarlah semua persekitaran pekerjaan dan aktiviti yang melibatkan mereka itu memberikan satu jaminan keselamatan ke atas diri mereka dan tidak menindas mereka kerana gender mereka serta memberikan mereka satu persekitaran yang kondusif bagi kemajuan diri mereka dan ummah. Satu persekitaran yang kondusif membawa erti bahawa mereka di beri peluang samarata untuk maju dan memberikan khidmat mereka serta terjamin keselamatan mereka dari semua anasir-anasir buruk serta gangguan-gangguan dari mana-mana pihak. Jika persekitaran itu sangat tidak kondusif, maka kehadiran mahram diwajibkan ke atas mereka supaya semua hak dan keselamatan mereka dilindungi. Ingat! Sebahagian dari ummah ini ialah wanita dan mereka jugalah yang bakal melahirkan generasi ummah di masa hadapan. Menafikan sumbangan dan keupayaan mereka bererti membunuh ummah itu sendiri. Saya melihat perkara ini tidak jauh, cukup dengan contoh ibu, ibu mertua, isteri dan adik perempuan saya sendiri, mereka merupakan antara wanita yang mempunyai pandangan-pandangan kritikal yang membuka minda sekaligus dapat memberikan satu teguran membina dalam kelembutan mereka. Setiap kali teguran tersebut dibuat, maka sesuatu yang saya tak pernah terjangka akan keluar dari buah fikiran mereka, mereka hidangkan sebagai alternative kepada pandangan keras dari minda seorang lelaki. Sesungguhnya Allah itu Maha Halus dalam setiap ciptaanNya. DiciptaNya wanita bukan untuk tunduk kepada Adam tetapi realitinya untuk membantu Adam sebagai check & balance dalam memainkan peranan sebagai khalifah di muka bumi ini. Mengapa mesti ditolak pandangan dan kritikan dari wanita sedangkan Rasulullah s.a.w. sendiri seringkali menjadikan mereka sebagai sumber mendapatkan pendapat dan buah fikiran. Banyak peristiwa yang dicatatkan hadis di mana Rasulullah s.a.w. mendengar pandangan dari wanita dalam membuat sesuatu keputusan dan adakalanya pandangan tersebut yang diambil baginda, menyelamatkan keadaan ummah yang ada ketikanya diambang pergaduhan. Ini terbukti dalam kes Abdullah Bin Ubay semasa tentera Islam pulang dari perang dengan Bani Mushtaliq.

Rasulullah s.a.w. telah menggariskan batasan-batasan yang perlu dipatuhi dalam hubungan antara bukan mahram bagi mengelakkan segala perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

Dari Jabir r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ketahuilah! Seorang lelaki bukan mahram tidak boleh bermalam di rumah perempuan janda, kecuali jika dia bernikah dan suaminya ada di rumah, atau ada muhrimnya.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Sebagaimana yang diketengahkan serta dinyatakan dalam statistik yang dibentangkan di atas, majoriti dari kes-kes serangan seksual dan rogol yang mendatangkan kecederaan berlaku ke atas golongan wanita dalam lingkungan umur 30 tahun dan ke atas. Mengikut laporan dalam terbitan tersebut, majoritinya merupakan kes-kes dimana wanita-wanita tersebut diserang oleh kenalan, teman lelaki, bekas teman lelaki atau bekas suaminya sendiri. Oleh kerana kebanyakan dari wanita yang mengalami keruntuhan rumahtangga memilih untuk hidup sendiri dan tidak membebankan ibu bapa atau mana-mana mahramnya, maka mereka ini sedikit sebanyak terdedah kepada bentuk-bentuk kemudaratan tidak terjangka dalam kehidupan mereka sehari-harian, lebih-lebih lagi apabila mereka tidak menjaga batas-batas pergaulan sebagaimana ditetapkan Allah dan RasulNya. Mungkin golongan dari gerakan liberasasi wanita menentang hujah sebegini kerana bagi mereka tiada salahnya menjemput atau melayan tetamu yang datang bertandang ke rumah, tetapi seringkali mereka terlupa bahawa dalam setiap hati manusia itu terdapat satu bentuk kejahatan yang hanya boleh dikawal dengan kekuatan iman dan mengikut semua langkah precaution yang ditetapkan. Seorang yang kuat imannya juga boleh tewas dengan dugaan sekiranya dia tidak dibantu oleh persekitaran yang boleh menghalangnya melepaskan diri dari terus digoda hasutan nafsu dan dorongan syaitan. Sebagai contoh, jika anda membela kucing, tentu anda menyedari bahawa kucing juga antara binatang-binatang yang Allah jadikan mempunyai kebijakan tersendiri. Di rumah ibu saya terdapat banyak kucing yang dibela oleh adik perempuan saya. Adakalanya kucing-kucing tersebut sangat merimaskan tetapi kebanyakan dari masanya, kehadiran mereka menghiburkan hati. Kucing jika kita melihatkan kepada sifat dan sikap mereka, mereka ini merupakan antara penipu-penipu yang sangat licik berlakon. Saya banyak kali mengalami peristiwa dimana ikan goreng atau nasi bungkus yang saya beli dan makan dirumah ‘dirompak’ kucing-kucing terbabit. Pada ketika saya menikmati hidangan tersebut, kucing-kucing tadi akan datang dan berlakon manja dan buat-buat tidur di depan saya tanpa sekali pun melakukan percubaan untuk mencuri makanan. Tetapi apabila saja saya bangun atau melakukan sesuatu berjauhan dengan makanan tersebut, maka dalam sekelip mata kucing-kucing ini mengambil kesempatan di atas kealpaan saya. Selesai saja ‘merompak’ makanan terbabit, mereka berlari seakan-akan tahu perbuatan mereka tersebut mengundang rasa marah tuan punya makanan, walaupun saya tidak berbuat apa-apa terhadap mereka. Begitu juga dengan manusia yang Allah s.w.t. kurniakan kekuatan akal yang berkali ganda hebat dari akal kucing-kucing terbabit. Manusia yang didorong oleh hati jahat, nafsu serta syaitan, tentunya tidak akan melepaskan mana-mana peluang yang terhidang di depan mata terutamanya jika mangsanya nanti tidak dapat bertindak balas. Kebanyakan dari kes-kes yang mendatangkan kecederaan dalam mana-mana serangan seksual yang melibatkan wanita dalam lingkungan umur 30 tahun dan ke atas berlaku disebabkan oleh mangsanya yang cuba melawan. 1/5 dari mangsa yang melaporkan yang mereka cuba melawan perogol/penyerang terbabit menyatakan bahawa tindakan mereka itu mengundang kepada kesudahan yang lebih buruk dengan serangan balas oleh perogol terbabit. Jadi langkah terbaik ialah mencegah sebagaimana yang telah digariskan Allah s.w.t. dalam Al-Qur’an dan melalui hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

Dari ‘Uqbah r.a. Bin Amir r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda : “Hindarilah olehmu masuk ke rumah-rumah wanita!” Lalu bertanya seorang Ansar. “Ya Rasulullah! Bagaimana pendapat anda tentang Al Hamwu (keluarga dekat bagi suami, cth: pak cik, saudaranya, anak saudara dan sebagainya).” Jawab Rasulullah s.a.w., “Bahkan itu lebih berbahaya.”
(Hadis Riwayat Muslim)

1400 tahun yang lalu, Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan kita tentang batasan-batasan ini. Sekiranya mereka yang kita kira sebagai rapat dikatakan Rasulullah s.a.w. sebagai lebih berbahaya, maka apatah lagi dengan bahaya oleh orang-orang luar yang tidak atau baru dikenali. Statistik di atas telah menunjukkan kebenaran apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. ini, bahawa ¾ dari setiap kes-kes rogol dan serangan seksual melibatkan orang-orang yang dikenali mangsanya terutamanya dari kalangan keluarga dalam kategori Al-Hamwu ini.

Menurut statistik dalam laporan tersebut lagi:

  • 67% atau lebih kurang 2/3 daripada semua kes rogol yang dilaporkan, berlaku dari jam 6 petang sehingga 6 pagi.
  • Malam minggu (malam hari Sabtu) merupakan hari dan waktu yang paling banyak kes rogol dicatatkan dalam semua 7 hari dalam seminggu.

Malam minggu sebagaimana yang dinyatakan dalam statistik tersebut merupakan malam yang paling banyak mencatatkan kejadian rogol dan serangan seksual. Sebagaimana yang kita sedia maklum, malam minggu merupakan malam dimana muda mudi dan golongan dewasa gemar keluar bersosial. Dengan batasan-batasan hubungan yang tidak disempadani apa-apa, maka tidak mustahil perkara buruk seperti yang dinyatakan dalam statistik tersebut boleh berlaku. Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang menyatakan bahawa dalam malam terkandung kejahatan dan setan-setan berkeliaran pada malam hari.

Dari Jabir r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jangan biarkan ternak dan anak-anakmu lepas berkeliaran ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja. Karena setan keluar ketika matahari terbenam sampai hilang cahaya senja.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Jelas Rasulullah s.a.w. telah pun memberikan amaran mengenai kejahatan yang terkandung dalam gelapnya malam. Saya memahami hadis ini membawa maksud kemudaratan yang di bawa oleh kedatangan senja termasuk kejahatan dalam bentuk apa yang dibincangkan dalam artikel ini. Tidak hanya demikian, pada suatu senja ketika sedang bersembang dengan seorang pak cik, sepupu dan adik-adik saya selepas selesai membuka khemah kenduri, azan Maghrib berkumandang. Sebaik saja azan tersebut habis dilaungkan, maka muncullah satu lagi ‘setan’ yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis di atas. Jelas sekali ‘setan’ ini hanya muncul pada waktu cahaya senja masih kelihatan dan menghilang sebaik saja cahaya senja hilang dan muncul gelap malam. ‘Setan’ yang saya temui ini jelas sekali memmenuhi kriteria kemunculan satu jamnya seperti dalam hadis di bawah.

Dari Jabir Bin Abdullah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bila hari telah senja, laranglah anak-anak keluar rumah, kerana pada ketika itu setan berkeliaran. Satu jam sesudah itu bila telah malam maka biarkanlah mereka. Kuncilah pintu dan sebut nama Allah, kerana setan tidak dapat membuka pintu yang berkunci. Tutup tempayanmu dengan menyebut nama Allah. Tutup semua bejanamu dengan menyebut nama Allah, sekalipun dengan membentangkan sesuatu di atasnya, dan padamkan lampu (ketika hendak tidur).”
(Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis di atas jelas Rasulullah s.a.w. memberikan satu peringatan mengenai penularan wabak penyakit. Setan pertama tersebut juga membawa maksud penyakit bawaan nyamuk. Nyamuk aedes hanya mencari mangsa pada waktu senja. Selepas gelap malam muncul, ianya pun hilang. Deskripsi ini betul-betul tepat dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Saya sudah menghuraikan hadis ini dalam posting saya sebelum ini “Siapakah Sebenarnya Yang Dinamakan Syaitan? Bahagian 1, 2 dan 3. Untuk membacanya klik sini.

Sangat jelas bagi menjauhi segala kemudaratan yang boleh berakhir dengan kejadian rogol serta serangan seksual, maka batas perhubungan hendaklah disempadani mengikut syariat yang telah ditetapkan. Ada juga yang cuba menyalahkan cara berpakaian wanita yang menjolok mata sebagai punca kepada perlakuan rogol yang berlaku. Saya tidak menafikannya sebagai antara punca, tetapi cara berpakaian wanita itu jatuh kepada kategori penyebab sekunder kepada kes-kes rogol dan serangan seksual ini. Penyebab primernya ialah batasan pergaulan yang langsung tidak dijaga. Sebagaimana statistik tersebut memberikan gambaran jelas bahawa ¾ dari mangsa rogol mengenali mangsanya. Mungkin akan ada yang tidak berpuashati dengan kenyataan saya yang mengatakan bahawa, faktor berpakaian itu jatuh sebagai sebab sekunder. Sebenarnya, Allah s.w.t. telah memerintahkan dalam Al-Qur’an dalam surah An Nuur ayat 30:

(An Nuur 30)
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

Arahan ayat hijab ini pertamanya ditujukan kepada kaum lelaki. Arahan Allah ini sangat mudah, effisien dan penuh dengan pendekatan psikologi. Saya sudah menghuraikannya dalam posting saya yang bertajuk “Aurat Muslimah: Satu Penindasan Atau Pembebasan?” (Untuk membaca hikmahnya dan posting tersebut, sila klik sini).

Hanya kemudian dari itu, barulah ayat berkenaan hijab Allah s.w.t. perintahkan ke atas kaum wanita.

(An Nuur 31)
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup dada mereka dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

Jelas sekali Allah s.w.t. memerintahkan kaum lelaki terlebih dahulu menundukkan pandangan supaya tidak terpengaruh dengan dorongan nafsu akibat dari memandang sesuatu yang boleh membangkitkan syahwat. Jadi kenapa hendak disalahkan wanita sekiranya perintah Allah yang pertama Allah s.w.t. tekankan ke atas kita tidak langsung kita penuhi. Apakah kita sebagai lelaki Muslim ini terlalu mementingkan diri, memaksa kaum wanita berubah sedangkan kita tidak mahu berubah? Sedangkan perintah Allah yang pertama ialah kepada kita supaya menundukkan pandangan. Fahami perintah Allah ini! Ianya satu pendekatan psikologi yang paling hebat untuk merubah dunia disekeliling kita. Baca tentangnya dalam posting saya “Aurat Muslimah: Satu Penindasan Atau Pembebasan?” (Untuk membaca hikmahnya dan posting tersebut, sila klik sini) supaya dapat difahami bagaimana hebatnya sesuatu arahan Allah itu dan kesan daripada pelaksanannya. Sebenarnya, kita ini terlalu ego. Kesukaan kita ialah membiarkan kebodohan dan kesombongan menguasai diri, sedang Allah s.w.t. itu sudah pun meletakkan segalanya dalam susun atur yang paling cantik dan elok untuk dipraktikkan. Sebenarnya, semua permasalahan sosial ini boleh dikawal dan dikurangkan sedikit demi sedikit sekiranya kita semua sedia mahu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar menurut Al-Qur’an dan hadis. Kembalilah kepada Al-Qur’an dan sunnah, kerana segala-galanya terjawab disana. Tak percaya? Cubalah sendiri, cari guru bertauliah, mohon petunjuk Allah dan dalami Al-Qur’an dengan kefahaman sebenar dan bukan kefahaman sempit. Anda pasti akan terkejut dengan apa yang anda akan jumpa... percayalah.. ianya berlaku kepada saya dan semua yang cuba mendekati Allah melalui kefahaman ayat-ayat Al-Qur’an dan As Sunnah. Sebut apa saja... Evolusi, Sains angkasa, Penerokaan Angkasa, fizik, geologi, kewujudan makhluk asing, kepupusan dinosaur semuanya disebut dengan jelas dalam Al-Qur’an dan hanya difahami oleh mereka yang berpengetahuan.

Al Qamar 17, 22, 32 dan 40
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

Al Israa’ 12
Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda, maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang-benderang supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari); dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan ugama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam Al-Quran) dengan sejelas-jelasnya.

Terpulanglah... samada kita kembali atau kita dikembalikan, yang pasti 10 minit yang anda luangkan membaca artikel ini takkan kembali kepada anda semula. Kehilangan masa tersebut, menunjukkan bahawa baki umur kita yang ada semakin berkurang. Sudahkah kita bersedia untuk dipanggil pulang? Wallhua’lam....

© November 2007 Muhammad Ibn 'Az. Hakcipta terpelihara.

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.

eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...

Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)

Thursday, November 15, 2007

Kebesaran atau Sindiran dari Allah?

oleh Muhammad Ibn 'Az



Assalamulaikum dan salam sejahtera kepada semua…Harap semuanya dalam keadaan sihat dan tenang fikiran pada setiap masa.. Saya terpanggil untuk menulis artikel ini setelah saya mengambil sekeping gambar pokok duit-duit yang membentuk nama Allah dibahagian belakang rumah saya. Gambar seperti di bawah..


Sambil membelek-belek gambar tersebut, teringat saya kepada ratusan keping gambar yang lebih kurang serupa tujuannya yang banyak tersebar dalam internet. Saya pernah menyaksikan banyak gambar nama-nama Allah yang muncul pada kaki langit, pada buah kurma, pada tumbuh-tumbuhan, api, badan manusia, tompokan kulit lembu, sarang lebah, permukaan bulan dan sebagainya. Pada kebiasaannya saya kurang mengambil perhatian dengan gambar-gambar sedemikian. Bagi saya, ia hanyalah gambar-gambar yang menyatakan kekaguman bagi mereka yang menilaikannya sebagai hebat dan bukti kekuasaan Allah. Biarpun kurang memberikan perhatian, gambar-gambar sedemikian jelas mencuri juga tumpuan saya untuk menyaksikan kelainan dan keunikan setiap satu dari gambar-gambar tersebut. Tetapi yang lebih mengharukan ialah, pada setiap kali gambar tersebut dipaparkan, pasti ianya akan disertakan dengan kalimah sebegini… “Kebesaran Allah!” atau pun “Bukti KeAgungan Allah”. Benarkah gambar-gambar sebegini boleh dijadikan hujah untuk menunjukkan Kehebatan, Keagungan dan Kebesaran Allah? Sedangkan pada saya, kita tidak langsung perlu akan gambar-gambar sebegini untuk mengetahui serta menyedari akan kehebatan Allah terutamanya dari segi cara Dia menciptakan makhluk-makhlukNya. Bukankah Allah s.w.t. telah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 190-191:

Ali Imran 190 -191
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi Ulil Al Bab (orang-orang yang berakal); (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.



Allah s.w.t. menyatakan bahawa hamba-hambaNya yang digelarkanNya sebagai Ulil Al Bab merupakan antara golongan hamba-hambaNya yang sentiasa melihat, merenung dan mengkaji serta cuba memahami persekitaran mereka. Mereka menilai semua yang diciptakan oleh Allah dan mengambil pengajaran daripada pemerhatian mereka itu dan sekaligus mendekatkan diri mereka kembali dengan lebih rapat bersama keimanan yang teguh berpaksikan tauhid hanya kepada Allah. Ini kerana kekaguman yang hadir dalam hati mereka setelah pemerhatian tersebut dibuat, hanya menuju kepada satu kesimpulan yang menunjukkan semua ciptaan Allah itu mengandungi kehebatan yang tak terjangkau oleh kemampuan dan keupayaan minda manusia. Allhuakbar! Allah Maha Besar!

Jika kita merujuk Al-Qur’an, terdapat banyak ayat-ayat dari Pencipta seluruh alam ini sendiri yang menyuruh hamba-hambaNya yang muslim memerhatikan sekeliling mereka dengan menggunakan akal supaya apa yang diperhatikan oleh mereka itu kelak akan mendatangkan manfaat kepada keimanan mereka kepada Allah serta membawa kebaikan kepada kemanusiaan sejagat. Oleh kerana timbul satu perasaan kurang senang yang menerjah hati dan minda saya apabila saya menatapi gambar kalimah Allah yang terhasil dari bentuk-bentuk susunan daun pokok duit-duit tersebut, lantas timbul beberapa persoalan dalam minda kenapakah Allah membentuk rupa pokok tersebut sedemikian rupa dan mentakdirkan saya terpandang kepadanya. Begitu juga dengan kalimah Allah yang saya perasankan terbentuk pada jari telunjuk tangan kanan semasa dalam kedudukan tahiyyat dalam solat satu ketika dulu. Saya pernah menerbitkannya dalam posting saya sebelum ini. Ianya merupakan posting saya yang paling banyak sekali tersebar dalam internet, bagi yang jujur, mereka menyatakan dengan jelas bahawa artikel tersebut diambil dari blog saya. Ramai yang meminta keizinan untuk memasukkannya ke dalam blog mereka dan saya izinkan dan mereka sebenar-benarnya jujur dengan saya, tidak kurang juga yang kurang amanah dengan membuat beberapa pengubahsuaian dan menyatakan itu garapan mereka sendiri. Terpulanglah... posting tersebut boleh dibaca di sini. (Klik)

Tetapi semenjak dari saya mengambil gambar pokok duit-duit tersebut baru-baru ini, ada semacam rasa kurang senang dalam hati dan minda saya dengan perkara tersebut. Apakah saya telah tersalah tafsir akan motif dan maksud disebalik beberapa peristiwa pelik tersebut? Apa maksud semua ini? Kenapakah sejak akhir-akhir ini terlalu banyak peristiwa-peristiwa dan kejadian-kejadian seumpama itu yang berlaku di seluruh dunia termasuk di Malaysia sendiri? Jika akhbar tabloid antara bahan bacaan anda sehari-hari, pasti anda akan bersetuju dengan saya bahawa sejak akhir-akhir ini terlalu banyak dan kerap kejadian dimana individu-individu menjumpai atau memiliki sesuatu yang terpampang kalimah Allah padanya. Dan pada setiap kali berita itu dimuatkan dalam akhbar-akhbar sedemikian rupa, pastinya mereka tidak lupa untuk menyatakan bahawa perkara tersebut merupakan satu tanda yang menunjukkan kebesaran Allah. Tidak salah menyabitkan peristiwa yang dikatakan istimewa itu dengan Keagungan Allah dan Kebesaran Allah. Tetapi yang saya kerap perhatikan ialah kebanyakan kita lebih terpana dengan keajaiban kosmetik perkara-perkara tersebut, tetapi kita terlupa kepada saranan sebenar oleh Allah Yang Menciptakan setiap satu dari makhluknya penuh dengan kehebatan. Tidak kira sebesar mana pun atau sehalus mana pun ciptaanNya, ianya terlalu hebat untuk digarap oleh pemikiran manusia kecuali bagi yang lembab akal.

Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas, Ketua Pengarah IKIM, menulis sebuah rencana dalam akhbar Mingguan Malaysia dalam ruangan Cetusan Pemikiran yang diterbitkan pada Ahad 18 Ogos 2007. Mengambil kata-katanya dalam rencana tersebut,

“Agama Islam bukanlah agama untuk kalangan orang bebal dari segi akal fikiran....”

Kebetulan kenyataannya itu diterbitkan dikala saya ingin menjelaskan isu dalam artikel ini. Apa yang dkatakannya itu sangat benar. Allah s.w.t. sendiri sentiasa mengingatkan manusia terutamanya kita yang Muslim ini agar sentiasa mengutamakan akal dalam apa jua perbuatan dan tingkah laku. Setiap apa yang dibawa kehadapan kita perlu ditangani dengan kebijaksanaan akal berbekalkan panduan kepada Al-Qur’an dan As Sunnah. Tiada ibadat dalam Islam boleh dilakukan tanpa kehadiran akal yang waras. Akal diletakkan ditempat yang tertinggi dalam Islam. Hanya yang berakal sahaja dapat menilaikan antara kebodohan, kepura-puraan, ikut-ikutan dan sembrono. Setelah merujuk kepada Al-Qur’an, amat jelas apa yang yang kita war-warkan serta agung-agungkan sebagai ‘Kebesaran Allah’ atau ‘Keagungan Allah’ itu, tidak hanya sekadar menunjukkan betapa kita sebagai hamba-hamba Allah yang Muslim sangat jarang atau tidak pernah menggunakan akal dalam melihat ‘Kebesaran’ sebenar Allah s.w.t. sebagaimana yang Allah s.w.t. mahukan kita menggunakannya. Tidak percaya? Mari kita lihat satu persatu gambar-gambar dibawah dan kita tengok sendiri apa yang Allah s.w.t. wahyukan kepada kita:

LEMBU & TERNAKAN:

Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.
(An Nahl : 66)



-Tidak langsung tercatat yang Allah s.w.t. menyuruh kita memerhatikan mana-mana tompokan yang ada pada kulit lembu itu supaya dapat kita mengagumi Kehebatan serta Keagungan Allah. Yang disuruh Allah ialah, memerhatikan sains disebalik kehebatan Ilmu Allah yang menukarkan darah lembu dan makanan yang dimakannya sehingga menjadi susu-susu yang membawa manfaat kepada manusia. Apakah perlu sehingga tompokannya membentuk nama Allah, barulah kita tersedar dari lamunan dan baru hendak sibuk mencanangkan kebesaran Allah hanya berdasarkan sesuatu yang kosmetik sebegini? Cuba bayangkan sekiranya Allah tidak langsung mentakdirkan berlakunya tompokan-tompokan di badan lembu tersebut membentuk nama Allah, maka selamanya Muslim yang tidak langsung mahu menggunakan akal tidak akan nampak ‘Kebesaran Allah’ pada penciptaanNya tersebut. Perlukah sehingga Allah membentuk tompokan pada badan lembu tersebut sehingga membentuk Kalimah Allah, barulah kita sibuk mencanangkan, memalukan kompang, mendabik dada serta berebut-rebut menghantar email berantai ke seluruh dunia menyatakan ‘Kebesaran Allah telah muncul pada badan seekor lembu.. lihatlah dunia!!! Allahuakbar!!! Kembalilah semua ke jalan Islam!!!!!!!’... Lembab sangatkah otak kita sehingga perlu bagi Allah membentuk Kalimah-kalimah namaNya pada badan lembu-lembu terbabit supaya memudahkan muslim yang malas menggunakan otak untuk menyedari akan KehebatanNya? Apakah Allah ingin membantu kita yang malas menggunakan otak atau pun kita disindir dengan sindiranNya kerana malas menggunakan akal? Sekiranya seseorang menghantar kepada kita gambar seperti dibawah dan menyatakan dalam tajuk email tersebut, ‘Kebesaran Allah’, pasti tiada yang akan menjadikannya sebagai email berantai dan silap-silap akan dihamun pula penghantar email tersebut kerana seolah-olah bagi mereka sipenghantar email tersebut cuba mempermainkan mereka. Sedangkan sangat cukup gambar tersebut bagi para ‘Ulil Al Bab’ untuk mencetus kekaguman dalam minda mereka mengagumi dan melihatkan kepada ‘Kebesaran Allah dan KeagunganNya’. Tak percaya? copy dan paste gambar lembu dibawah ini kedalam email anda dan forwardkan kepada saudara-saudara atau rakan-rakan anda yang tidak lagi membaca artikel ini, dan tengok akan apa reaksi mereka? Letakkan tajuknya ‘Kebesaran Allah’ dan lihat cara mereka menggunakan akal, samada menurut apa yang Allah mahukan atau perlu bagi Allah untuk menyindir mereka juga?


Tamar @ Kurma :
 
Dan dari buah tamar (kurma) dan anggur kamu jadikan daripadanya minuman haram dan makanan serta minuman yang halal; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mahu menggunakan akalnya. (An Nahl 67)


-Gambar tersebut merupakan antara banyak gambar yang diwar-warkan dan dicanangkan sebagai ‘Kebesaran Allah yang ditunjukkan pada bulan Ramadhan’. Benar, ia sebahagian kecil dari tanda-tanda kebesaran Allah... Persoalannya, jika sehingga kiamat, kalimah-kalimah yang dikatakan sebagai ‘Kalimah-kalimah Allah’ tidak muncul pada buah tamar tersebut, apakah kita akan sedar yang kurma dan semua buah-buahan yang ada dimuka bumi ini merupakan tanda-tanda kebesaran Allah? Apakah itu yang Allah s.w.t. suruh kita perhatikan? Jika nama kita Doraisamy atau Ah Peng atau Benjamin Stephen, dan kita tak pernah nampak semua buah-buahan ciptaan Allah itu sebagai tanda-tanda kebesaran Allah, itu kes yang lain. Tapi kita sebagai Muslim dari berbagai bangsa dan rupa ini, kenapakah kita sangat buta dalam memerhatikan dan menyedari bahawa buah-buahan yang Allah s.w.t. ciptakan untuk kegunaan kita, dan kita gunakan untuk pelbagai tujuan termasuk perubatan dan minuman itu merupakan Keagungan dan Kebesaran Allah yang Dia sendiri suruh perhatikan? Apakah kita golongan yang tidak mahu menggunakan akal? Atau apakah kita kaum yang tak mahu berfikir? Tidak cukupkah gambar sebagaimana di bawah ini untuk mencetuskan kesedaran kepada kita tentang tanda-tanda Kebesaran Allah pada buah Tamar/Kurma dan manfaat yang boleh kita perolehi dan gunakan untuk kebaikan manusia dari Penciptaan Allah ini?


Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.
(Ar Ra'd 4)


Ia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab hujan itu tanaman-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan tamar (kurma) serta anggur; dan juga dari segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir.
(An Nahl 11)


Lebah , sarangnya dan madu :
 

Dan Tuhanmu mewahyukan (mengilhamkan) kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir. (An Nahl 68 & 69)

Apakah kita sebagai muslim terlalu buta untuk memperhatikan kehebatan Allah pada setiap pekerjaan yang dilakukan oleh lebah-lebah ini dan segala manfaat yang kita perolehi darinya, sehinggakan perlu pula bagi Allah menyindir kita dengan mengilhamkan kepada lebah-lebah itu tadi supaya membentuk sarangnya seakan nama-nama Allah, barulah kita hendak sedar akan kebesaran Allah itu hanya pada namaNya yang terbentuk? Sedangkan apa yang disuruh Allah untuk diperhatikan ialah sistem hidup lebah, manfaat yang ia bawa kepada pertumbuhan flora, kehebatan dan ketepatannya dalam keluar dan mencari jalan pulang, bekerja keras tanpa henti-henti, membentuk sarang-sarangnya dalam bentuk heksagon dan ada yang oktagon, keupayaannya mempertahankan diri dan koloni, sarangnya yang mendatangkan manfaat kepada haiwan dan manusia dan sebagainya yang merupakan ciptaan Allah yang penuh kehebatan yang dianugerahkanNya kepada lebah untuk manfaat khalifah muka bumi ini. Inilah tanda yang dicari dan ternampak oleh orang-orang yang berfikir. 

Bukan hanya menunggu sehingga sarangnya terbentuk seakan-akan nama-nama Allah barulah kita sibukkan dengan mencanangkan kehebatan Allah! Apakah kita terlalu bebal atau terlalu lembab akal? Melihat yang kosmetik dan melupakan yang fantastik? Tidak terasakah kita disindir Allah dengan kejadian-kejadian seperti dalam gambar ini? Tidak cukupkah hanya sekadar gambar biasa lebah dan sarangnya untuk membuka minda kita mengagumi Keagungan Allah dan Kehebatan CiptaanNya itu? Apakah perlu sehinggakan ia mengukir sarangnya sehingga membentuk nama-nama Allah barulah kita tersedar dari lamunan dan sekadar terpana hanya dengan sesuatu yang kosmetik? Tidak langsung tercatat dalam mana-mana ayat dalam Al-Qur’an yang Allah s.w.t. ajukan kepada semua muslim supaya memerhatikan nama-namaNya terpapar pada ciptaanNya untuk mengagumi akan kebesaranNya. Sebaliknya apa yang dianjurkan oleh Allah kepada kita ialah memerhatikan kehebatan disebalik penciptaan makhluk-makhlukNya itu. Apakah kita ini golongan yang tak mahu berfikir?


Tanda-tanda Kekuasaan Allah pada Penciptaan Langit dan Bumi:

Dan berapa banyak tanda-tanda kekuasaan Allah di langit dan di bumi yang mereka menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pagi dan datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.
(Yusuf 105)


Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;
(Ali Imraan 190)


Tidakkah mereka melihat dan memikirkan segala yang telah dijadikan oleh Allah, yang beredar (berpindah-randah) bayang-bayangnya ke kanan dan ke kiri (pada pagi dan petang), dengan keadaan tunduk menurut peraturan dan kehendak Allah, sedang mereka merendah diri?
(An Nahl 44)


"Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat,
(Nuh 15)


Dan Dia lah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir.
(Ar Ra'd 3)


Allah menukarkan malam dan siang silih berganti; sesungguhnya yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang celik mata hatinya berfikir.
(An Nuur 44)


Tidakkah engkau memerhatikan, bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkanNya menjadi matair-matair di bumi; kemudian Ia menumbuhkan dengan air itu tanaman-tanaman yang berbagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatmu berupa kuning; kemudian Ia menjadikannya hancur bersepai? Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orang-orang yang berakal sempurna.
(Az Zumar 21)


Sukar sangatkah bagi kita untuk memikirkan akan kebesaran Allah dengan hanya merenung kepada awan dan langit di atas kita. Tidak nampakkah kita dengan kebesaran Allah dengan hanya melihat dan merenung gambar awan dan langit seperti di bawah ini?
 
Kenapakah sehingga perlu kepada Allah untuk mengaturkan gerakan awan-awan tersebut sehingga membentuk Kalimah Allah, barulah kita sibukkan dengan mencanangkan ‘Kebesaran Allah’ dan ‘Keagungan Allah’? Apakah kita kaum yang tidak menghiraukan dan memikirkan? Atau apakah kita orang-orang yang tidak berakal? Atau boleh jadi kita kaum yang tidak mahu berfikir? Atau pun kita ini orang-orang yang buta mata hatinya sehingga menghalang kita dari berfikir? Apakah kita semua hamba-hamba Allah yang tidak sempurna akalnya? Tidak terasakah kita disindir Allah dengan Kalimah-Kalimah yang mempamerkan namaNya ini? Menunggu yang kosmetik dan melupakan yang fantastik! Bayangkanlah jika nama-nama Allah itu tidak muncul di kaki langit, pada buah tamar, pada sarang lebah, pada tompokan lembu tersebut sehingga kiamat, apakah kita sanggup untuk menghantar dan mencanangkan kepada dunia dengan hanya gambar-gambar biasa lembu tanpa nama Allah, sarang lebah tanpa nama Allah dan gambar awan-awan biasa tanpa kalimah Allah dan mendabik dada mengatakan itu semua merupakan kebesaran Allah? Hanya yang menggunakan akal sahaja yang sanggup untuk berbuat demikian sepertimana suruhan Allah... fikir-fikirkanlah... apakah kita mahu berfikir dan menggunakan akal sebagaimana yang Allah s.w.t. mahukan atau pun kita kekal menunggu kemunculan kalimah-kalimah Allah pada mana-mana objek supaya dapat kita sedari bahawa objek tersebut merupakan tanda kebesaran Allah....? 

Sesungguh apa yang Allah s.w.t. suruh kita perhatikan itu, adalah supaya kita sendiri akan dapat mengambil banyak manfaat dari apa yang kita perhatikan dan fikirkan. Bukan hanya setakat mendekatkan diri kita kepada Allah, malah kita juga akan menjadi antara hamba-hamba Allah yang paling maju kehadapan. Sekiranya sikap kita yang hanya tersedar apabila sesuatu yang kosmetik berlaku, maka selayaknyalah kita di bom setiap hari oleh kuffar laknat dengan segala teknologi yang telah mereka perhatikan, selidiki dan ambil pengajaran setelah semua muslim yang sepatutnya bersikap demikian hanya menunggu kalimah-kalimah Allah muncul. Entahlah.. tepuk dada tanyalah iman... 

Patutkah mereka merasa cukup dengan mengetahui yang demikian sahaja, dan tidak memikirkan dalam hati mereka, (supaya mereka dapat mengetahui), bahawa Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu melainkan dengan ada gunanya yang sebenar, dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu, (juga untuk kembali menemui Penciptanya)? Dan sebenarnya banyak di antara manusia, orang-orang yang sungguh ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya.
(Ar Ruum 8)


wallahua’lam....

Perhatian... Kepada pembaca yang berminat untuk menyalin artikel-artikel yang terdapat dalam blog ini ke mana-mana blog-blog atau email bagi tujuan perkongsian ilmu dan dakwah dan bukan bagi tujuan komersil, anda dibenarkan untuk berbuat demikian dan pihak kami berharap agar pihak anda dapat menyatakan dengan jelas www.satuhala.blogspot.com sebagai sumber artikel-artikel ini diambil. Semua artikel dalam blog ini merupakan hasil karya Muhammad Ibn 'Az. Semoga semua ilmu yang dikongsi akan memberi manfaat kepada semua. Semua artikel hasil karya Muhammad Ibn 'Az didalam blog ini ini dilindungi dibawah Akta Hakcipta 1987.

eNovel dari Muhammad Ibn 'Az pemilik blog satuhala... Syahadah : Dialog Dengan Gadis Melayu Atheist... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...

Dapatkan juga CD-ROM kitab-kitab agama dunia untuk di buat kajian dan perbandingan... untuk mendapatkannya, klik banner di bawah...(stok adalah terhad)


Berminat.. Sebarkan Supaya Manfaatnya Lebih Meluas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Follow by Email